SLIDER

miang
Showing posts with label miang. Show all posts

Pandai-pandailah Nak Melepaskan Diri Dari Jerat Cinta Lelaki Tua

22 Apr 2022

 



APABILA membaca e-mel yang dihantar oleh Ezora dan berbual dengan beliau di telefon pasal bercinta dengan orang tua membuatkan saya teringat kembali kepada e-mel yang pernah dihantar oleh Puan Fifi awal Februari yang lalu.Kata-kata atau pandangan Fifi begitu sinis dan amat tajam sindirannya. Namun yang pedih itu memang sakit, tetapi ia adalah ubat dan lebih merupakan ingatan kepada kaum wanita sejenisnya, ingatan beliau lebih kurang begini; ``kaum wanita kalau tak berilmu dan tidak beriman, maka jadilah mereka golongan yang amat bodoh dan akan hidup dalam kecelakaan. Dan hidup mereka lebih menderita hingga ke akhir hayat. 

``Sebagai contoh kalau bercinta dengan lelaki tua, memang payah nak diubati. Kalau dah tersangkut payah nak lepas. Kalau terlepas pun parutnya payah sembuh, dan anda akan tercap dengan pelbagai bekas penyakit seperti parut kudis, panau, kurap ataupun kayap.``Begitulah buruknya atau kesan yang ditinggalkan kalau anda menghambakan diri bercintai dengan lelaki tua. Melalui pengalaman saya sendiri saya pernah cuba diganggu oleh lelaki yang 12 tahun lebih tua daripada saya. Pelbagai cara saya berusaha untuk melepaskan diri. Memang payah tetapi saya bersyukur kerana terlepas juga akhirnya. 

``Saya tak nafikan ramai gadis yang gagal. Macam pengalaman yang saya lalui semakin saya cuba jauhkan daripada cengkamannya, semakin kuat saya dicekik. Tapi saya pula jadi wanita lebih kuat beriman dan lebih berilmu. Semakin digoda saya jadi lebih lekat di tikar sembahyang, ingat dosa dan pahala, di samping risiko buruk dan baiknya. Semua ini membuatkan saya menjadi semakin insaf tentang hidup ini.``Bayangkanlah betapa mewahnya hidup anda kalau menerima golongan tua ini jadi kekasih, anda akan sentiasa diumpan dengan kemewahan dan kesenangan. Dan inilah puncanya ramai gadis mengaku kalah apabila tidak terdaya menolak desakan demi desakan, serta lempahan kemewahan lelaki tua ini. 

``Tidak dinafikan ada juga kalangan wanita yang telah bersuami bertindak meninggalkan suami mereka, semata-mata bila suami sendiri tidak mampu menyediakan segala kemewahan itu. Ketika itu cuma iman yang tertanam di jiwa sahaja yang akan dapat mengatasi segala dugaan. Insya-Allah.``Apa yang menyelamatkan saya ketika bersua dengan keadaan itu ialah, saya bertanya diri sendiri apa ada pada kemewahan? Bukankah kehidupan yang abadi di akhirat kelak menjadi idaman setiap insan?``Bagi saya bila kita tak cukup iman dan ilmu di dada, maka mudahlah syaitan merasuk dan menghasut umat Islam menjadi pengikutnya. Bukankah syaitan telah bersumpah di hadapan Allah akan menyesatkan seberapa banyak umat Nabi Muhammad. 

Dan sedarlah wahai saudara sejenisku, indah bercinta hanya sementara, nikmat dunia takkan kekal selamanya.'' Demikian cerita Fifi tentang pengalamannya. Cerita Ezora pula begini, dia juga pernah jatuh cinta dengan suami orang. Bukan sekali tapi sudah tiga kali. Katanya tak tahulah apa nasibnya, setiap kali jatuh cinta, lelaki itu mengaku bujang, selepas diselidik barulah pecah tembelang dia dah kahwin.``Emak saya pernah mengingatkan sebelum datang bekerja di KL dahulu. Katanya, jangan kahwin suami orang, mula saja kita senang, akhirnya hidup kita sengsara. Emak tak banyak bagi contoh, tetapi dengan banyak membaca saya faham apa maksudnya. 

Ialah siapa tak tahu bila hidup bermadu, dan tak semua lelaki tersebut hidup senang, mereka cuma sanggup melabur beribu ringgit pada peringkat awal sahaja, tetapi bila dah dapat apa yang dihajati, dia akan tinggalkan kita.``Pengalaman pertama saya bercinta dengan lelaki berusia 30 tahun, fikir saya belum kahwin, rupa-rupanya ada dua orang anak, lelaki kedua juga ada dua orang anak, tapi baru berusia 28 tahun. Lelaki ketiga dah ada empat orang anak baru berusia 32 tahun. Siapa sangka mereka dah kahwin, masih muda lagi. Mereka tak puas hidup bujang, nak enjoy sendiri, lepas tu malas nak fikir tentang tanggungjawab di rumah, malas nak duduk rumah berselimut dengan anak-anak. Nak bebas! Free!

``Memang mereka tak banyak duit, tetapi mula-mula kenal cakap saja di mana nak keluar makan, semua ok, pasal hadiah tak usah nak cakaplah. Lepas setahun, baru kita nampak color mereka yang sebenarnya, bila rahsia dah terbongkar. Mulalah nak meminjam duit kita. Boleh belahlah kita nak bagi!``Setelah saya fikir dan kaji saya pun pelik mengapa orang dah berkahwin sahaja suka pada saya, yang bujang-bujang tak nampak batang hidung. Saya bukan memilih sangat, tetapi itulah kenyataannya, memang golongan lelaki yang seangkatan saya ini memang kurang sangat, boleh dikatakan kalaupun ada mereka tak berani nak dekat saya.

``Saya bukan bergaya mewah, cuma mereka mendakwa saya high taste. Sebenarnya tidak. Takkan saya nak tunjuk murah sangat, atau ketawa, tergelak dan tersenyum tak memasal macam orang tak cukup akal. Tetapi yang berani mendekati saya cuma suami orang. Mereka memang pandai jual temberang, menabur budi, memancing peluang.``Mereka tak segan silu menabur umpan mahal-mahal, asal hajat tercapai, bila kita dah berkawan lama barulah tahu siapa mereka. Lepas tu bila kita tinggalkan dia, mulalah mereka cap kita yang buruk-buruk, sebab itu kalau alang-alang semangat dan iman tak kuat kita tidak akan berani angkat kaki ucap selamat tinggal. 

``Tapi saya keras semangat, bila terbukti tak betul, saya tak bimbang ucap selamat tinggal, sebab saya tak rugi, yang melepas merekalah. Saya tak takut sebab saya selamat dan saya tahu jaga diri, saya tak rosak apa-apa.``Selepas tiga kali putus cinta, saya terperangkap dengan lelaki yang bukan sahaja manis mulut, tetapi jalankan taktik mengugut untuk mencapai matlamatnya.``Taktik ini saya rasa kaum wanita khususnya gadis-gadis mesti tahu dan mesti berani bertindak. Mula-mula taktik Zin, 50 tahun ini dia buat baik dengan saya dan bertanya, dia dapat tahu saya ini tengah frust sebab ditinggalkan kekasih. 

``Tapi saya nafikan saya kata, saya tinggalkan lelaki tersebut, namun dia tetap berkeras katanya tak ada wanita seberani saya, maklum zaman ini lebih ramai wanita tak kahwin berbanding lelaki. Lepas itu dia pun setuju dengan kata-kata saya setelah saya menerangkan sungguh-sungguh, ceritakan kegagalan saya bercinta.
``Tak lama lepas tu dia serkap jarang katanya, dia kenal kekasih saya terdahulu. Sebenarnya tidak. Tetapi oleh kerana saya masih mentah, saya pun mengakulah, benar dengan lelaki yang dia serkap jarang tu. Mulalah dia korek rahsia. Mulalah main cerita serkap jarang. Setelah berbual beberapa kali baru saya sedar dia ni main serkap. 

``Lepas tu dia berani hantar bunga pada saya, katanya itu hadiah kerana nak minta maaf sebab serkap jarang, tuduh saya sembarangan. Tetapi masih berkeras konon dia kenal kawan lama saya. Bila saya nafikan, sekali lagi dia hantar bunga ros. Hantar di pejabat tentulah ramai yang terkejut. Jadi elok-elok saya nak dapat peluang berkenalan dengan orang baru, dia sekat dengan buat serkap jarang dan menghantar bunga seperti itu.``Faham sajalah orang Melayu kita, walau setinggai mana pelajarannya, tetapi bila sampai bab hantar bunga ini mulalah otak jadi kelabu. Mula bercerita yang buruk-buruk. Lebih teruk lagi lepas hantar bunga Zin telefon pejabat saya tanya kawan pejabat nampak tak bunga yang di hantarnya. Lepas tu suruh teka siapa yang hantar bunga tu. 

``Dari situlah dia mula korek kisah hidup saya dan mula bertanya dah berapa kali saya putus cinta. Yang perempuan mulut tempayan di pejabat saya ni memang seronok sangat bercerita pasal memburukkan orang lain. Bila main teka-teka di telefon inilah banyak cerita saya di pejabat terbongkar tanpa saya sedari.``Semakin saya larang hantar bunga, setiap Isnin bunga baru terletak atas meja saya. Mungkin pada orang lain tak jadi hal, tapi saya malu. Lepas tu dah jadi hobinya telefon orang lain dulu sebelum bercakap dengan saya. Bila cerita seperti ini dah tersebar luas di pejabat tentulah tak ada lelaki berani dekati saya, apalagi nak berkawan. Mereka mula mendakwa saya memilih orang kaya. Zin benar-benar menghancurkan hidup saya. 

``Akhirnya yang tak ada pun jadi macam ada. Zin menjadi semakin berani menghantar lebih banyak hadiah, jadi macam mana orang tak percaya. Kalau alang-alang iman boleh hancur kita dibuatnya. Pasal ajak keluar makan malam ini memang dah jadi cerita biasa, Zin tak pernah bosan atau jemu mengajak keluar makan.``Oleh kerana saya sering melarang dia menghantar bunga, maka dia berjanji tidak akan hantar bunga lagi kalau saya keluar makan malam dengan dia, sekali pun jadilah. Saya pun patuhlah. Nak jadikan cerita dia bawa kawan-kawannya makan sama. Dan perkenalkan saya sebagai temannya. Mendidih darah saya, tapi apa nak kata, kita orang Melayu masih tak berani memalukan orang di khalayak. 

``Esoknya heboh cerita saya keluar makan malam dengan Zin. Puncanya daripada Zin sendiri, dia telefon kawan pejabat tanya saya dah datang atau belum konon nak tanya, sama ada saya nampak atau tidak telefon bimbitnya hilang selepas makan malam. Sebenarnya telefonnya tak hilang tapi dia sengaja nak bagi tahu saya keluar makan malam dengan dia. Sakitnya hati. Lepas tu kawan-kawan mulalah mengusik kita.``Akhirnya sebagai manusia saya jadi keliru, daripada dimalukan begitu, akhirnya saya mengaku kalah. Selalulah kami keluar makan malam, waktu itu saya dah nekad kalau dia nak ajak kahwin pun saya tak terdaya nak membantah. Hati saya jadi lebih lemah bila peribadi saya diperbodohkan seperti ini. 

``Tapi akhirnya saya bernasib baik juga bila keghairahan Zin memikat saya terbongkar kepada pengetahuan isterinya. Dan peristiwa inilah yang tak sedapnya, saya menjadi sasaran maki hamunnya, sedangkan Zin terlepas. Kerana tak tahan dihina saya perangkap Zin, pada hari yang ditetapkan Zin mengajak saya makan, di situlah baru isterinya sedar yang suaminya memang miang. Tapi saya tetap menjadi sasarannya.``Bagaimanapun nama saya sudah buruk digelar penggoda suami orang, nak runtuhkan masjid dan macam-macam gelaran lagi. Tetapi sedarkah mereka tidak sedikit pun tertanam dalam hati saya sejak awal lagi hendak merosakkan rumah tangga orang lain. Saya benar-benar menjadi mangsa manusia tak bertanggungjawab yang hendak merosakkan masa depan saya dengan mengadakan pelbagai fitnah. 

``Tapi macam biasalah siapa nak percaya cakap saya. Mulalah nama saya dikait-kaitkanÊ bercinta dengan suami orang terdahulunya. Kalau diikutkan hati mahu saya serang mereka balik, tetapi apa gunanya kalau memburukkan nama saja. Akhirnya saya berbincang dengan emak saya, keputusan diambil untuk bertukar kerja ke tempat lain di negeri saya sendiri. Untungnya saya kakitangan kerajaan, kalau tidak saya mati beragan.``Malangnya kini umur pun dah meningkat saya masih belum mendapat calon yang sesuai, selain daripada suami orang. Namun saya tak tahulah berapa lama saya boleh bertahan, saya cuma berdoa hati saya tidak berubah. Cuma satu permintaan saya jangan mudah mengecap wanita suka menggoda suami orang, sebenarnyalah, suami oranglah yang suka menggoda gadis-gadis dan kaum wanita.'' Demikian cerita Ezora. 

Jadi kalau ada kalangan isteri yang mengamuk suami mereka tersangkut dengan gadis lain, cuba lihat perangai suami anda. Jangan menyerang gadis itu melulu, siasat dulu. Sebab kalau tersilap, kerana sakit hati, ada gadis yang bersedia jadi madu anda, semata-mata kerana sakit hati. Balas dendam, sedangkan dia tak berminat.Pendek kata jangan puji suami anda melangit, dan memaki hamun gadis lain, siapa tahu suami anda yang memulakan langkah. Jadi siasat sebelum tangkap. - Maimunah.

Kredit : dcckmonaum@hotmail.com

Kredit : UtusanMalaysia


Suamiku Si Miang Keladi

12 Sept 2017


Bagaimanakah perasaan seorang isteri sekiranya berhadapan dengan suami yang terkenal dengan sifat ‘nakal’. malah perlakuannya itu kadangkala boleh menimbulkan masalah bukan sahaja pada diri sendiri malah orang sekeliling?  


Ini yang terjadi terhadap Salmah, 49, yang rata-rata ramai mengenali sikap suaminya, bukan kerana jasa-jasa atau sikap tawaduk lelaki itu, sebalikya kerana perangai ‘miang-miang keladi’ sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang.

Salmah sendiri tidak tahu bila perangai suaminya itu akan berubah kerana semakin umur meningkat, semakin menjadi-jadi pula perangai miangnya.

Kalau hendak diperkatakan tentang rasa malu, sudah tebal muka Salmah menahan rasa malu dengan jiran sekeliling apabila sering dikaitkan dengan perangai suaminya. Malah dia pernah mengurung diri dalam rumah bagi mengelak dicemuh masyarakat setempat.

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan umpatan jiran-jiran mengenai tingkah laku suaminya yang ‘mencolok’ rasa itu, tetapi apa lagi yang dia dapat buat, nasihat semua sudah diberi. 

Kalau hendak ikutkan rasa merajuk, memang sudah puas dia lakukan tetapi suaminya masih juga dengan dengan sikapnya. Hendak merajuk lama-lama fikir Salmah, akhirnya tiada siapa hendak memujuk,  

“Dahulu, ketika dia muda, tidaklah ketara sangat perangai miangnya itu. Paling ‘busuk’ pun dia hanya mengenyit mata kepada gadis-gadis cantik yang lalu lalang di pejabatnya. 

“Sesekali, kalau kami keluar makan berdua, memang bola matanya ligat mengerling gadis-gadis cantik yang lalu-lalang. Apabila aku merajuk kerana cemburu, dia berhenti sekejap tetapi di belakang aku dia buat lagi. 

“Sekarang, bukan sahaja setakat mengenyit mata, siap bersiul dan mengajak anak-anak dara di kawasan itu minum di kedai kopi. Ada juga anak dara yang melayan dan mulalah mereka berbual berjam-jam lamanya. 

“Entah anak siapa yang diajak dia tidak kisah, yang pelik anak-anak gadis ini menurut pula. Mahu pula mereka duduk bersama suami aku itu di kedai kopi sambil menjamu selera, ramai-ramai satu meja. 

“Aku tahu, anak-anak gadis tersebut orang luar bukan dari kawasan tempat tinggal kami. Mereka mungkin seronok apabila dipelawa suami aku, masakan tidak makan dan minum percuma.  

“Setahu aku, dalam ramai lelaki di kawasan kami, dia seorang sahaja yang sudah berumur berperangai begitu. Selalu aku kata, rambut sudah beruban, perut pun sudah membuncit, sepatutnya dalam usia-usia selepas bersara ini semakin rajin ke masjid, tingkatkan amalan, bukannya berpeleseran macam lelaki muda.  

“Ini tidak, asyik bermotosikal ke sana sini, hon sana sini, menyakat anak dara orang sana sini. Apabila perut lapar tahu pula balik ke rumah.  

“Yang paling aku rasa menyampah apabila mengetahui, suamiku dicop sebagai muka tembok oleh masyarakat setempat kerana sentiasa berada di simpang jalan, duduk di situ memetik gitar sambil memanggil nama-nama gadis yang dikenali ketika mereka turun dari bas.  

“Apabila aku tanya mengapa perangainya masih suka menyakat anak-anak dara yang boleh dianggap anak sendiri, mudah sahaja dia menjawab, sekadar suka-suka dan tidak menganggap sebagai satu perkara yang membawa kepada mudarat besar,” kata Salmah panjang lebar. 

Salmah berkata, suaminya memberitahu dia hanya mahu seronok-seronok sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran hendak menjadikan anak-anak gadis itu sebagai kekasih hati.

Apa yang dia lakukan umpama hobi kerana gemar berpeleseran sebagaimana dia waktu muda dahulu. Salmah pula memberitahu, biarpun suaminya bersikap begitu, pada malam hari dia tidak pula keluar dari rumah. Kalau tidak, sekiranya ada kejadian rogol, pasti suaminya akan dilibatkan sama. 


Masalahnya, menurut Salmah, dia tidak mahu satu hari nanti orang di kawasan itu jelak dengan sikap suaminya dan membuat aduan kepada polis atas dasar gangguan seksual. Setakat ini Salmah hanya mampu berdoa agar suaminya tidaklah sampai difitnah atas kesalahan mengganggu anak-anak gadis tersebut keterlaluan. 

Mendengar luahan daripada Salmah, seperti rasa tidak percaya suaminya bersikap begitu. Hendak ketawa juga ada kerana terasa lucu dengan kisah berkenaan.  

Namun kesimpulannya, mungkin ini disebabkan faktor usia dan hormon dalam diri seseorang lelaki itu apabila sudah semakin tua, perangai tetap tidak berubah. Mungkin juga dia bosan kerana tiada anak melayaninya. Apa pun itu bukan satu alasan untuk dia bersikap demikian.

Semua Orang Boleh Curang .... Jika Anda Memilih Untuk Melakukannya

31 Aug 2017




Faktor-faktor Yang Menjurus Ke Arah Perlakuan Curang

Perbuatan curang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Lelaki curang? Itu adalah perkara biasa kerana tabiat lelaki yang memang suka menggoda gadis atau wanita lain sedangkan dia sendiri telah mempunyai sesuatu yang halal bagi dirinya. Wanita curang? Ini juga tidak dinafikan, kes-kes seperti ini juga banyak berlaku dalam kalangan masyarakat. Namun antara lelaki dan wanita, siapakah yang lebih bersikap curang kepada pasangan mereka?
Menurut Pensyarah Psikologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin, berdasarkan peratusan, perlakuan curang 70 peratus lebih banyak dilakukan lelaki berbanding wanita.
Namun apa yang membezakan antara lelaki dan wanita, kelakuan curang lelaki seolah-olah ‘direstui’ dalam masyarakat berbanding wanita yang melihat kecurangan yang dilakukan itu satu yang keji.
Ini berdasarkan kepada kelebihan lelaki itu yang dibenarkan untuk berkahwin lebih seorang bagi lelaki beragama Islam.
Dalam melakukan kecurangan, usia bukanlah penghalang bagi lelaki, terutama dalam kalangan lelaki muda, namun bagi golongan wanita, sifat curang tidak didedahkan kepada mereka oleh keluarga sejak kecil bahkan sentiasa dipupuk kepada mereka sikap setia kepada pasangan.
“Bagi golongan wanita, sukar untuk merealisasikan perlakuan curang itu sendiri kerana pergerakan mereka lebih mudah dikenali dan disyaki masyarakat sekeliling, sahabat dan keluarga. Bahkan, keberanian wanita agak rendah berbanding lelaki untuk berlaku curang di tempat kerja atau tempat terbuka yang membolehkan mereka mudah dilihat sementelah masyarakat di luar cepat menyampaikan.
“Tambahan, perlakuan curang adalah sesuatu yang tidak elok, tidak manis bagi golongan ini iaitu sesuatu di luar konteks masyarakat, manakala dalam membicarakan persoalan ini melibatkan lelaki, mereka pula pandai menyorok keadaan. Apabila berlaku curang, mereka akan buat muka selamba dan tiada perasaan serba salah atau bersalah. Golongan wanita pula cepat gelabah dan cepat pula rasa bersalah,” katanya.
Apabila ditanya siapakah yang pandai simpan rahsia selepas melakukan kecurangan, Siti Azura menjawab, sebenarnya, golongan lelaki lebih pandai menyimpan rahsia berbanding wanita. Ini terbukti apabila berlaku pembongkaran sesuatu hubungan di luar konteks perkahwinan, kadangkala perhubungan itu sudah lama berlaku. Berbeza dengan golongan wanita yang tidak pandai menyimpan rahsia, kerana akan bercakap mengenainya dengan rakan karib untuk meluahkan perasaan.
Malah, lazimnya golongan wanita yang lebih rapat dengan keluarga dan anak-anak akan berfikir lebih mendalam sebelum berbuat apa-apa keputusan.
“Mereka akan memikirkan dahulu, apa yang akan terjadi terhadap keluarga dan anak-anak dan akibat daripada perlakuan curang itu. Malah, akibat terlalu memikirkan keluarga, ada antara wanita yang enggan berkahwin lagi setelah bercerai atau suami meninggal dunia kerana memikirkan masa depan anak-anak,” katanya.
Golongan wanita juga jelasnya, cepat puas hati dengan kehidupan yang mereka alami sekiranya tiada masalah dalam rumah tangga.
“Mereka tidak kisah untuk melayari kehidupan rumah tangga yang seadanya bersama suami dan anak-anak kecuali suami buat hal di luar dan tidak memberikan nafkah zahir, batin.
“Lazimnya, kecurangan bermula apabila lelaki pada mulanya hanya sekadar suka-suka dengan sesuatu perhubungan tanpa disedari terus ‘tersuka’ dengan individu berkenaan.
Statistik juga katanya, menunjukkan lelaki kacak lebih cenderung untuk berlaku curang, namun, bukan bermakna lelaki kurang tampan tidak akan curang. Bahkan, ramai lelaki muka ‘pecah’ memiliki ramai teman wanita. Kenapa? Kerana mereka bijak memancing wanita dengan kekayaan dan pengaruh yang mereka ada.
Satu lagi persoalan dalam menghadapi masalah lelaki curang adalah keturunan.
Mungkin ada kebenarannya, lelaki yang menjalinkan hubungan dengan ramai wanita kerana bapa mereka memiliki ramai kekasih atau isteri lebih daripada satu.
Namun, ada juga lelaki yang setia pada seorang isteri meskipun didedahkan dengan suasana itu sejak kecil lagi.
Sebenarnya dalam hal ini, sesiapa pun boleh berlaku curang jika dia memilih untuk melakukannya.
1 PJJ - perkahwinan jarak jauh, bila berjauhan terlalu lama pasangan semakin kuat diuji. contohnya lelaki diuji dengan wanita lain yang dekat dengannya. Mereka perlukan nafkah batin menjadikan alasan berkahwin lain sebagai alasan menyalurkan kehendak seks. Isteri yang jauh pasti tidak dapat menghidu kecurangan suami kerana sibuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak berseorangan tanpa suami di sisi.
2 Kurang layanan mesra - di dalam hati lelaki pasti ada keinginan dilayan seperti begini dan begitu, tetapi tidak tercapai sepenuhnya kerana pasangan sibuk dengan anak-anak dan urusan rumah tangga sehingga badan berbau busuk ‘ikan’ kononnya. Mereka memberi alasan kekurangan penampilan dan penjagaan diri pasangan sebagai alasan terpikat pada wanita yang berbau wangi.
3 Kewangan - ada kes lelaki terpaut dengan wanita lain kerana wanita itu mampu memberi wang dan memenuhi keinginan hidupnya (sebelum ini dia agak bermasalah dalam ekonomi rumah tangga). Oleh kerana dikelabui harta dan kedudukan (wanita berpangkat) golongan ini sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak. seolah-olah memperoleh hidup baharu yang lebih bahagia.
4 Reunion group - satu projek malapetaka jika disalahgunakan. Berapa banyak kes kecurangan dilaporkan kerana perjumpaan kawan-kawan lama. cinta lama berputik kembali kerana tidak dapat menguruskan secara profesional hubungan biasa semakin intim sehingga berantakan rumah tangga. Cuba elakkan lelaki dan wanita yang sudah berkahwin berhubungan secara intim di media sosial dan mengadu dumba kisah pasangan mengharapkan belas ehsan.

Memang Semua LELAKI 'GATAL' Ke ??

26 Aug 2017



Nak tanya para lelaki dalam page ni, memang lelaki & gatal tak boleh hilang ke macam mana? Even dah kahwin pun.

Masalah saya ni taklah besar mana. Saya tak tahu lah saya ni sensitive ke ape, tapi perempuan kot, mesti lah terasa bila suami tengok perempuan lain. Even dalam social media pun. Suami saya suke sangat comment gatal & lucah kat gambar perempuan, model lah. Kadang dia sorang, kadang kawan2 tag dia, kadang dia tag kawan2. Saya rase jijik & malu bila terjumpa & baca. Dia dah buka aib sendiri, kalau saya boleh terjumpa, mesti kenalan kami yang rapat pun boleh nampak. Saya rase malu sangat.

Banyak kali dah lah saya jumpa, tapi saya diam je, taknak tanya, sbb nak jaga hati dia even sakit je hati bila baca ayat dia. Satu hari tu saya jumpa comment dia, dia nampak saya baca, saya tak ckp apa, saya sentap, diam je wholeday tak cakap dgn dia. Then dia minta maaf, dia cakap dia melawak je, janji tak buat lagi. Saya iya kan je lah, malas nak ckp banyak.

Ingat kan dah stop, paling latest, saya ternampak masa dia tinggal phone dia atas meja, dia pm lucah model suruh bj. Tuhan je yg tahu ape saya rase masa tu. Sampai saya dah tawar hati dengan dia. Dah tak rasa apa bila tengok dia comment mcm tu, sbb dah boleh expect. Sampai nak bersama pun dah takde mood, sbb teringat semua ayat2 dia. Saya jadi meluat bila tengok dia, depan cakap lain, belakang buat lain. Saya boleh je balas balik, biar dia rase, tapi saya tak sanggup langsung nak buat macam tu, nak guris perasaan dia, sbb saya tahu rasa sakit tu macam mana. Kadang tu saya jadi syak macam2 kat dia, takut dia buat benda yang sama kat tempat keje/luar. Saya betul dah lost respect kat dia, tengah cuba so hard nak gain kan balik.

Minta maaf cakap, benda macam ni mungkin orang nampak kecik, takde ape, tapi bagi saya benda benda macam ni sikit sebanyak merosakkan hubungan suami isteri. Boleh jadi moody bila pikir balik.

Para suami, tolonglah jaga sikit hati & perasaan isteri, benda macam ni tak lawak langsung, macam takde benda lain nak melawak. Tunduk lah sikit pandangan tu, jgn sebab benda bodoh macam ni, hubungan suami isteri renggang.



Suami Kaki Perempuan, Jangan Tunjuk Kita Lemah, Bangkitlah Pilih Kehidupan Kita Sendiri

15 Jun 2017



Tulisan ini dikongsikan oleh seorang wanita melalui ruangan mesej whatapp dan fecebook dengan harapan agar kisah beliau dapat dijadikan pengajaran kepada para isteri yang menghadapi masalah rumah tangga seperti beliau. 

Baca lagi:

Saya bernikah dengan suami awal 2011, salah saya tak berfikir panjang waktu tu, ikut hati. Saya perkahwinan ketiga dan merupakan isteri kedua. Isteri pertama bercerai, dan sudah pun berkahwin lain. Yang kedua (dah naik jadi no. 1) dan saya no. 2. Waktu tu suami saya tidak berkerja tetap, ada masa ada duit dan bila tiada maknanya tiada langsung.

Saya selalu baca sms dari wife di kampung, tiada duit, susu anak dan pampers. Macam macam lagi. Saya jadi kasihan. Saya selalu letak Rm50 atau bila awal gaji Rm100 dalam dompet suami. Saya tahu dia pasti bank-in kat kampung (isteri pertama di kampung ). Pada masa tu saya fikir, saya harus menolong kerana siapa yang ada selain saya. Walaupun serangan facebook berkaitan saya mengambil suaminya hebat bermula. Tak mengapa, siapa tak sakit hatikan?

Tapi betul orang tua kata, isteri di uji di saat suami tidak mempunyai apa, suami di uji di saat punya segala. Anak saya yang pertama baru 4 bulan, suami main cinta dengan budak umur 19 tahun, pelajar universiti. Seminggu habis 40k, macam-macam dia beli handphone, perfume sampai adik-beradik budak tu semua dia beli. Sampai satu tahap mereka bercuti berdua. Saya sabar, saya tak marah dan tak bergaduh. Saya fikir masa saya sudah sampai. Karma saya sudah sampai saya pasrah, saya redha.

Sewaktu mereka bercuti, Allah swt menguji saya, isteri pertama di kampung yang memujuk saya secara tiba-tiba, pada dia saya meluah segala, saya tak tenang, jangan kata hati tak tenang. Duit, sedikit harta saya korban sebab saya tak suka suami bersedih, muram. Kami menjadi kawan baik. Kami menjaga antara satu sama lain. Bila dia memerlukan kewangan, saya membantu sekiranya mampu.

Satu hari, suami pergi out station, saya tahu tapi saya tak bertanya. Senyap-senyap saya follow sampai ke airport, tak nampak pun. Saya ke rumah budak perempuan tu dengan anak dan ibu, kereta suami ada di situ. Allah, menggigil kaki saya, macam-macam perasaan, marah bengang semua ada. Saya balik ke rumah saya pack barang-barang suami dan niat saya hantar ke rumah budak tu. Ayah saya kata jangan hantar ke rumah budak tu, jika betul-betul nekad, hantar rumah ibu-bapa suami. 

Dengan hati yang membara, saya hantar ke rumah mak mertua dan saya ambil kereta suami di rumah budak perempuan tersebut. Setelah bersemuka, dengan keluarga perempuan tersebut baru saya tahu yang mereka membohongi keluarga dengan mengatakan saya gila talak. Nasib saya bawa ibu bapa saya sebagai saksi.

Lepas 2 bulan, saya menerima sms, dari budak perempuan tu mengatakan sudah memutuskan hubungan dengan suami saya. Saya balik yang bertanya, mengapa? Bukankah kamu saling menyayangi? Saya tak pandai jaga suami, saya itu dan ini, macam-macam kurang. Saya dah redha, saya mengalah, kata saya. Allah menguji saya dan budak perempuan tu. Saya mengandung anak kedua. Akhirnya mereka putus dan saya tak tanya lagi. Saya hanya menonton wayang di fb dan twitter, mereka berperang sesama sendiri.

Saya maafkan suami. Kami kembali bersama cuba untuk membina kembali. Tapi masih tidak serumah, kerana sepanjang kami serumah lebih kurang dua tahun, 2 kali suami hampir memukul ibu saya. SAYA ULANG, IBU SAYA . Pada suami dia bebas buat apa sahaja, jangan ditegur. 

Dia berhak kerana dia SUAMI. Kami teruskan hidup dengan setiap minggu berjumpa, habiskan masa menonton wayang, bercuti dengan suami, kadang-kadang dengan anak-anak tiri. Saya nampak perubahan, setiap hari saya berdoa agar perubahan tu berpanjangan rezeki dipermudahkan.

Selepas 2 tahun, saya diuji lagi. Suami bernikah di sempadan dengan janda anak 4, dan suami saya adalah perkahwinan ke tiga beliau. Saya dengar melalui bekas isteri suami, Saya kata saya tak tahu hampir sebulan kami tidak berhubung, berikutan hubungan suami dengan perempuan juga. Tulah bercinta org lain, nikah org lain. Pada hari itu saya hairan dengan diri saya sendiri, saya tak menangis, mungkin saya tak ambil peduli, mungkin sudah lali.

Awal tahun ini saya menerima pm dari facebook, dari seorang perempuan katanya mahu berterus terang. Saya terima, orang baik saya sepuluh kali baik. Kami bertukar no fon, kami whatsApp sepanjang malam. Suami dan isteri barunya minta saya mencuba kehidupan baru ni. Saya cuba, tetapi mereka mempermainkan saya, kebaikan yang dihulurkan hanya untuk melekakan saya agar tidak membuat sebarang laporan. 

Isteri baru suami menyatakan kata kekurangan saya. Saya terlalu pentingkan kerja, tak ada masa bersama dan terlalu mengikut kata ibu. Bagaimana saya tak pentingkan kerja? Jika rumah, api air, unifi, pampers susu, insurans, duit dapur dan duit bagi emak semua atas saya?

Wallahi, saya tak minta suami sepanjang kami bernikah, ada bagi, tak ada saya diam. Bagaimana saya tidak mementingkan ibu? Di saat yang paling sukar ibu berada di samping saya, menjaga anak-anak di saat saya mencari sesuap nasi. Saya berusaha sendiri. Pada fikiran saya yang dikatakan kolot ni, tak mengapa suami tak ada duit, saya ada. Kita orang tua tak makan tak apa, anak-anak perlu makan minum, susu pampers mesti ada. Tu belum sakit mereka lagi, kita sakit makan panadol tidur. Budak? Mereka tak tahu.

Setiap hari saya pulang ke rumah, saya tinggalkan masalah saya dan suami di dalam kereta, saya ukir senyuman untuk anak-anak. Ibu saya tak tahu perihal suami berkahwin lain. Suami dan isteri baru, daftar menggunakan surat cerai suami dengan isteri lama. Saya termenung dipermainkan lagi, bukan seorang kini dua orang. Saya hanya melihat gambar kegembiraan mereka di facebook dan instagram. 

Kadang-kadang anak-anak tiri menghubungi saya bertanyakan khabar dan mengadu. Saya hanya mampu mendengar. Tak mengapalah, saya kata once for all. Jaga hati sendiri, salah saya tak hormat hati sendiri. Saya berfikir, saya tak rugi apa-apa, saya cuma tak ada suami, saya masih beruntung ada kerja tetap, rumah, kereta dan anak-anak.

Saya bersyukur Allah SWT masih sayang, ujian saya ni kecil jika dibandingkan dengan isteri-isteri yang jadi mangsa aniaya. Akhirnya, saya membuat permohonan cerai. Alhamdulillah, saya tenang walaupun saya ke mahkamah seorang diri tanpa ditemani sesiapa, saya tahu saya kuat. Allah ada, Allah lindung saya. Saya tak tuntut apa-apa dengan suami, hanya lepaskan saya cara baik. Kalau dia ingat anak-anak, berilah duit belanja, jika tidak tak apa, ada rezeki lain untuk anak. Kalau dulu saya ikut hati, sekarang saya serah kepada Allah, bulat-bulat.

Buat isteri di luar sana, kalau suami ada perempuan lain, jangan menangis atau murung, bangkit. Kalau tak kerja, cari kerja. Belajar berdikari. Doa banyak banyak. Doakan urusan saya dipermudahkan.

Thanks admin.

Kredit : thecoverage 


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.