SLIDER

menyara
Showing posts with label menyara. Show all posts

Suami Kaki Perempuan, Jangan Tunjuk Kita Lemah, Bangkitlah Pilih Kehidupan Kita Sendiri

15 Jun 2017



Tulisan ini dikongsikan oleh seorang wanita melalui ruangan mesej whatapp dan fecebook dengan harapan agar kisah beliau dapat dijadikan pengajaran kepada para isteri yang menghadapi masalah rumah tangga seperti beliau. 

Baca lagi:

Saya bernikah dengan suami awal 2011, salah saya tak berfikir panjang waktu tu, ikut hati. Saya perkahwinan ketiga dan merupakan isteri kedua. Isteri pertama bercerai, dan sudah pun berkahwin lain. Yang kedua (dah naik jadi no. 1) dan saya no. 2. Waktu tu suami saya tidak berkerja tetap, ada masa ada duit dan bila tiada maknanya tiada langsung.

Saya selalu baca sms dari wife di kampung, tiada duit, susu anak dan pampers. Macam macam lagi. Saya jadi kasihan. Saya selalu letak Rm50 atau bila awal gaji Rm100 dalam dompet suami. Saya tahu dia pasti bank-in kat kampung (isteri pertama di kampung ). Pada masa tu saya fikir, saya harus menolong kerana siapa yang ada selain saya. Walaupun serangan facebook berkaitan saya mengambil suaminya hebat bermula. Tak mengapa, siapa tak sakit hatikan?

Tapi betul orang tua kata, isteri di uji di saat suami tidak mempunyai apa, suami di uji di saat punya segala. Anak saya yang pertama baru 4 bulan, suami main cinta dengan budak umur 19 tahun, pelajar universiti. Seminggu habis 40k, macam-macam dia beli handphone, perfume sampai adik-beradik budak tu semua dia beli. Sampai satu tahap mereka bercuti berdua. Saya sabar, saya tak marah dan tak bergaduh. Saya fikir masa saya sudah sampai. Karma saya sudah sampai saya pasrah, saya redha.

Sewaktu mereka bercuti, Allah swt menguji saya, isteri pertama di kampung yang memujuk saya secara tiba-tiba, pada dia saya meluah segala, saya tak tenang, jangan kata hati tak tenang. Duit, sedikit harta saya korban sebab saya tak suka suami bersedih, muram. Kami menjadi kawan baik. Kami menjaga antara satu sama lain. Bila dia memerlukan kewangan, saya membantu sekiranya mampu.

Satu hari, suami pergi out station, saya tahu tapi saya tak bertanya. Senyap-senyap saya follow sampai ke airport, tak nampak pun. Saya ke rumah budak perempuan tu dengan anak dan ibu, kereta suami ada di situ. Allah, menggigil kaki saya, macam-macam perasaan, marah bengang semua ada. Saya balik ke rumah saya pack barang-barang suami dan niat saya hantar ke rumah budak tu. Ayah saya kata jangan hantar ke rumah budak tu, jika betul-betul nekad, hantar rumah ibu-bapa suami. 

Dengan hati yang membara, saya hantar ke rumah mak mertua dan saya ambil kereta suami di rumah budak perempuan tersebut. Setelah bersemuka, dengan keluarga perempuan tersebut baru saya tahu yang mereka membohongi keluarga dengan mengatakan saya gila talak. Nasib saya bawa ibu bapa saya sebagai saksi.

Lepas 2 bulan, saya menerima sms, dari budak perempuan tu mengatakan sudah memutuskan hubungan dengan suami saya. Saya balik yang bertanya, mengapa? Bukankah kamu saling menyayangi? Saya tak pandai jaga suami, saya itu dan ini, macam-macam kurang. Saya dah redha, saya mengalah, kata saya. Allah menguji saya dan budak perempuan tu. Saya mengandung anak kedua. Akhirnya mereka putus dan saya tak tanya lagi. Saya hanya menonton wayang di fb dan twitter, mereka berperang sesama sendiri.

Saya maafkan suami. Kami kembali bersama cuba untuk membina kembali. Tapi masih tidak serumah, kerana sepanjang kami serumah lebih kurang dua tahun, 2 kali suami hampir memukul ibu saya. SAYA ULANG, IBU SAYA . Pada suami dia bebas buat apa sahaja, jangan ditegur. 

Dia berhak kerana dia SUAMI. Kami teruskan hidup dengan setiap minggu berjumpa, habiskan masa menonton wayang, bercuti dengan suami, kadang-kadang dengan anak-anak tiri. Saya nampak perubahan, setiap hari saya berdoa agar perubahan tu berpanjangan rezeki dipermudahkan.

Selepas 2 tahun, saya diuji lagi. Suami bernikah di sempadan dengan janda anak 4, dan suami saya adalah perkahwinan ke tiga beliau. Saya dengar melalui bekas isteri suami, Saya kata saya tak tahu hampir sebulan kami tidak berhubung, berikutan hubungan suami dengan perempuan juga. Tulah bercinta org lain, nikah org lain. Pada hari itu saya hairan dengan diri saya sendiri, saya tak menangis, mungkin saya tak ambil peduli, mungkin sudah lali.

Awal tahun ini saya menerima pm dari facebook, dari seorang perempuan katanya mahu berterus terang. Saya terima, orang baik saya sepuluh kali baik. Kami bertukar no fon, kami whatsApp sepanjang malam. Suami dan isteri barunya minta saya mencuba kehidupan baru ni. Saya cuba, tetapi mereka mempermainkan saya, kebaikan yang dihulurkan hanya untuk melekakan saya agar tidak membuat sebarang laporan. 

Isteri baru suami menyatakan kata kekurangan saya. Saya terlalu pentingkan kerja, tak ada masa bersama dan terlalu mengikut kata ibu. Bagaimana saya tak pentingkan kerja? Jika rumah, api air, unifi, pampers susu, insurans, duit dapur dan duit bagi emak semua atas saya?

Wallahi, saya tak minta suami sepanjang kami bernikah, ada bagi, tak ada saya diam. Bagaimana saya tidak mementingkan ibu? Di saat yang paling sukar ibu berada di samping saya, menjaga anak-anak di saat saya mencari sesuap nasi. Saya berusaha sendiri. Pada fikiran saya yang dikatakan kolot ni, tak mengapa suami tak ada duit, saya ada. Kita orang tua tak makan tak apa, anak-anak perlu makan minum, susu pampers mesti ada. Tu belum sakit mereka lagi, kita sakit makan panadol tidur. Budak? Mereka tak tahu.

Setiap hari saya pulang ke rumah, saya tinggalkan masalah saya dan suami di dalam kereta, saya ukir senyuman untuk anak-anak. Ibu saya tak tahu perihal suami berkahwin lain. Suami dan isteri baru, daftar menggunakan surat cerai suami dengan isteri lama. Saya termenung dipermainkan lagi, bukan seorang kini dua orang. Saya hanya melihat gambar kegembiraan mereka di facebook dan instagram. 

Kadang-kadang anak-anak tiri menghubungi saya bertanyakan khabar dan mengadu. Saya hanya mampu mendengar. Tak mengapalah, saya kata once for all. Jaga hati sendiri, salah saya tak hormat hati sendiri. Saya berfikir, saya tak rugi apa-apa, saya cuma tak ada suami, saya masih beruntung ada kerja tetap, rumah, kereta dan anak-anak.

Saya bersyukur Allah SWT masih sayang, ujian saya ni kecil jika dibandingkan dengan isteri-isteri yang jadi mangsa aniaya. Akhirnya, saya membuat permohonan cerai. Alhamdulillah, saya tenang walaupun saya ke mahkamah seorang diri tanpa ditemani sesiapa, saya tahu saya kuat. Allah ada, Allah lindung saya. Saya tak tuntut apa-apa dengan suami, hanya lepaskan saya cara baik. Kalau dia ingat anak-anak, berilah duit belanja, jika tidak tak apa, ada rezeki lain untuk anak. Kalau dulu saya ikut hati, sekarang saya serah kepada Allah, bulat-bulat.

Buat isteri di luar sana, kalau suami ada perempuan lain, jangan menangis atau murung, bangkit. Kalau tak kerja, cari kerja. Belajar berdikari. Doa banyak banyak. Doakan urusan saya dipermudahkan.

Thanks admin.

Kredit : thecoverage 


Lelaki Berkeluarga Dilanda Sindrom Malas Bekerja Bukan Sesuatu Yang Baru

12 Jun 2017



SENARIO lelaki berkeluarga malas bekerja yang dibangkitkan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, sedikit sebanyak mungkin ada kaitan dengan pencapaian golongan wanita hari ini.Taraf pendidikan yang lebih tinggi telah menyaksikan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan pelbagai aktiviti perniagaan. 

Ini bertambah rancak apabila, golongan Hawa dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran ekonomi. Perkembangan ini membuatkan kebergantungan wanita kepada lelaki atau lebih tepat suami semakin berkurangan memandangkan mereka mampu menjana pendapatan sendiri yang kadangkala lebih tinggi berbanding lelaki.

Fakta ini disokong oleh perangkaan dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi, di mana golongan Hawa meliputi 48 peratus daripada penduduk dalam kumpulan umur berkerja iaitu 15-64 tahun. Perangkaan ini menunjukkan penyertaan tenaga buruh wanita bertambah daripada 44.7 peratus pada tahun 2000 kepada 45.7 peratus pada 2005.

Bilangan wanita yang bekerja bertambah daripada 3.3 juta pada tahun 2000 kepada 3.9 juta pada 2005, di mana peratusan guna tenaga wanita daripada jumlah keseluruhan guna tenaga meningkat daripada 35.6 peratus kepada 36.7 peratus dalam tempoh yang sama. Penglibatan wanita dilihat tertumpu pada sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pertanian. Dari segi struktur pekerjaan pula, peratusan wanita yang berkerja dalam kumpulan pekerjaan bergaji tinggi adalah lebih tinggi.

Perkembangan ini didorong oleh pencapaian yang lebih baik golongan Hawa dalam bidang pendidikan. Peratusan wanita dalam kategori pegawai kanan dan pengurus meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun 2000 kepada 5.4 peratus pada tahun 2005. Kategori ini masih didahului kaum lelaki yang turut mencatatkan peningkatan daripada 8.0 peratus kepada 9.4 peratus dalam tempoh yang sama. 

Bagaimanapun, pekerja wanita nyata mendominasi dalam kategori profesional; juruteknik dan profesional bersekutu; pekerjaan perkeranian dan; pekerjaan perkhidmatan dan jualan. Bagi kategori profesional, wanita terutamanya berkerja sebagai doktor, doktor pergigian, peguam dan arkitek. Ia menunjukkan pertambahan daripada 7.2 peratus pada tahun 2000 kepada 7.5 peratus pada 2005, berbanding lelaki daripada 5.1 peratus kepada 5.5 peratus dalam tempoh yang sama.

Manakala bagi kategori juruteknik dan profesional wanita mencatatkan penurunan kecil iaitu 14.1 peratus pada tahun 2000 kepada 14 peratus pada 2005. Begitupun angka tersebut masih lebih tinggi berbanding lelaki yang mencatatkan peningkatan 10.9 peratus kepada 12.6 peratus. Secara keseluruhan peningkatan wanita dalam pekerjaan adalah hasil daripada akses pendidikan yang semakin baik. 

Begitupun, bukan niat untuk menafikan kehebatan kaum lelaki, tetapi perkembangan ini seharusnya diterima oleh mereka sebagai satu cabaran untuk mereka turut berdaya saing dengan wanita. Kaum lelaki tidak harus melihat keupayaan wanita untuk menjana pendapatan sendiri sebagai satu kesempatan untuk mereka ber senang-lenang, sebaliknya mengambilnya secara positif untuk seiring memainkan peranan dalam meningkatkan kesejahteraan rumah tangga.

Apa pendapat kaunselor

KAUNSELOR Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata, isu lelaki berkeluarga dilanda sindrom malas bekerja bukan sesuatu yang baru. Katanya, isu ini bukan sahaja berlaku di kampung, malah di bandar turut mengalami fenomena sama. “Banyak terjadi kes, suami menjaga anak-anak di rumah dan isteri bekerja. Golongan ini boleh dikatakan sebagai suami sepenuh masa.

“Sindrom ini berlaku apabila si isteri bersetuju untuk memikul tanggungjawab mencari nafkah dan suami menguruskan kerja di rumah. “Namun demikian, keadaan menjadi tidak sihat apabila suami hanya makan dan tidur di rumah tanpa menghiraukan hal anak-anak,’’ katanya. Hushim menambah, keadaan psikologi anak-anak yang sudah bersekolah dan mempunyai kawan-kawan akan terganggu kerana mereka akan tertanya-tanya mengapa bapa mereka di rumah sahaja sedangkan pada masa yang sama bapa orang lain bekerja.

“Sesuatu perlu dibuat untuk memperbaiki keadaan ini. Golongan lelaki perlu lebih yakin menghadapi situasi ini. Jika berterusan, fungsi institusi keluarga akan terganggu. “Kembali kepada ajaran Islam, lelaki yang wajib mencari nafkah dan bukan sebaliknya. Isteri hanya membantu dan memberi sokongan kepada suami,’’ ujarnya.

Ditanya tentang bilangan pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki di institusi pengajian tinggi terutama bidang profesional mempengaruhi senario ini berlaku, Hushim berkata, keadaan ini sebenarnya boleh diubah pada peringkat sekolah rendah lagi. “Tidak dinafikan, statistik sekarang menunjukkan pelajar perempuan lebih ramai dan menjadi penyumbang tenaga kerja utama negara.

“Manakala lelaki pula sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti dadah, rempit dan buli sejak di sekolah lagi,’’ katanya. Hushim menambah, bilangan pelajar perempuan tidak boleh disekat kerana mereka memang layak dari segi akademik. Jelasnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyedarkan golongan lelaki bermula pada peringkat sekolah rendah dengan memberi motivasi dan kursus kepimpinan.

“Kementerian pelajaran, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa perlu menerapkan pentingnya mencari rezeki, memimpin keluarga dan bekerja sejak lelaki itu kanak-kanak lagi,’’ katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia, Prof. Dr. Suradi Salim berkata, senario ini sering berlaku di kalangan suami isteri yang menjalankan aktiviti pertanian.

Tambah Suradi, amat kerap berlaku juga kes isteri menjual kuih dan suami duduk di rumah. “Antara yang menjadi faktor utama ialah isteri yang berkahwin dengan suami yang berpendidikan lebih rendah darinya atau berjawatan rendah. “Malah ada kes lelaki yang bekerja sebagai kakitangan awam dan pencen awal pada usia awal tidak mahu mencari pekerjaan lain.

“Mereka ini hanya mengharapkan sumber kewangan daripada isteri,’’ katanya. Kata Suradi lagi, fenomena ini jarang membawa kepada penceraian kerana hak tersebut terletak pada tangan lelaki dan mereka lebih selesa dengan situasi seperti ini.

Kredit : Intimku

 

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.