SLIDER

kemaafan
Showing posts with label kemaafan. Show all posts

Semua Orang Boleh Curang .... Jika Anda Memilih Untuk Melakukannya

31 Aug 2017




Faktor-faktor Yang Menjurus Ke Arah Perlakuan Curang

Perbuatan curang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Lelaki curang? Itu adalah perkara biasa kerana tabiat lelaki yang memang suka menggoda gadis atau wanita lain sedangkan dia sendiri telah mempunyai sesuatu yang halal bagi dirinya. Wanita curang? Ini juga tidak dinafikan, kes-kes seperti ini juga banyak berlaku dalam kalangan masyarakat. Namun antara lelaki dan wanita, siapakah yang lebih bersikap curang kepada pasangan mereka?
Menurut Pensyarah Psikologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin, berdasarkan peratusan, perlakuan curang 70 peratus lebih banyak dilakukan lelaki berbanding wanita.
Namun apa yang membezakan antara lelaki dan wanita, kelakuan curang lelaki seolah-olah ‘direstui’ dalam masyarakat berbanding wanita yang melihat kecurangan yang dilakukan itu satu yang keji.
Ini berdasarkan kepada kelebihan lelaki itu yang dibenarkan untuk berkahwin lebih seorang bagi lelaki beragama Islam.
Dalam melakukan kecurangan, usia bukanlah penghalang bagi lelaki, terutama dalam kalangan lelaki muda, namun bagi golongan wanita, sifat curang tidak didedahkan kepada mereka oleh keluarga sejak kecil bahkan sentiasa dipupuk kepada mereka sikap setia kepada pasangan.
“Bagi golongan wanita, sukar untuk merealisasikan perlakuan curang itu sendiri kerana pergerakan mereka lebih mudah dikenali dan disyaki masyarakat sekeliling, sahabat dan keluarga. Bahkan, keberanian wanita agak rendah berbanding lelaki untuk berlaku curang di tempat kerja atau tempat terbuka yang membolehkan mereka mudah dilihat sementelah masyarakat di luar cepat menyampaikan.
“Tambahan, perlakuan curang adalah sesuatu yang tidak elok, tidak manis bagi golongan ini iaitu sesuatu di luar konteks masyarakat, manakala dalam membicarakan persoalan ini melibatkan lelaki, mereka pula pandai menyorok keadaan. Apabila berlaku curang, mereka akan buat muka selamba dan tiada perasaan serba salah atau bersalah. Golongan wanita pula cepat gelabah dan cepat pula rasa bersalah,” katanya.
Apabila ditanya siapakah yang pandai simpan rahsia selepas melakukan kecurangan, Siti Azura menjawab, sebenarnya, golongan lelaki lebih pandai menyimpan rahsia berbanding wanita. Ini terbukti apabila berlaku pembongkaran sesuatu hubungan di luar konteks perkahwinan, kadangkala perhubungan itu sudah lama berlaku. Berbeza dengan golongan wanita yang tidak pandai menyimpan rahsia, kerana akan bercakap mengenainya dengan rakan karib untuk meluahkan perasaan.
Malah, lazimnya golongan wanita yang lebih rapat dengan keluarga dan anak-anak akan berfikir lebih mendalam sebelum berbuat apa-apa keputusan.
“Mereka akan memikirkan dahulu, apa yang akan terjadi terhadap keluarga dan anak-anak dan akibat daripada perlakuan curang itu. Malah, akibat terlalu memikirkan keluarga, ada antara wanita yang enggan berkahwin lagi setelah bercerai atau suami meninggal dunia kerana memikirkan masa depan anak-anak,” katanya.
Golongan wanita juga jelasnya, cepat puas hati dengan kehidupan yang mereka alami sekiranya tiada masalah dalam rumah tangga.
“Mereka tidak kisah untuk melayari kehidupan rumah tangga yang seadanya bersama suami dan anak-anak kecuali suami buat hal di luar dan tidak memberikan nafkah zahir, batin.
“Lazimnya, kecurangan bermula apabila lelaki pada mulanya hanya sekadar suka-suka dengan sesuatu perhubungan tanpa disedari terus ‘tersuka’ dengan individu berkenaan.
Statistik juga katanya, menunjukkan lelaki kacak lebih cenderung untuk berlaku curang, namun, bukan bermakna lelaki kurang tampan tidak akan curang. Bahkan, ramai lelaki muka ‘pecah’ memiliki ramai teman wanita. Kenapa? Kerana mereka bijak memancing wanita dengan kekayaan dan pengaruh yang mereka ada.
Satu lagi persoalan dalam menghadapi masalah lelaki curang adalah keturunan.
Mungkin ada kebenarannya, lelaki yang menjalinkan hubungan dengan ramai wanita kerana bapa mereka memiliki ramai kekasih atau isteri lebih daripada satu.
Namun, ada juga lelaki yang setia pada seorang isteri meskipun didedahkan dengan suasana itu sejak kecil lagi.
Sebenarnya dalam hal ini, sesiapa pun boleh berlaku curang jika dia memilih untuk melakukannya.
1 PJJ - perkahwinan jarak jauh, bila berjauhan terlalu lama pasangan semakin kuat diuji. contohnya lelaki diuji dengan wanita lain yang dekat dengannya. Mereka perlukan nafkah batin menjadikan alasan berkahwin lain sebagai alasan menyalurkan kehendak seks. Isteri yang jauh pasti tidak dapat menghidu kecurangan suami kerana sibuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak berseorangan tanpa suami di sisi.
2 Kurang layanan mesra - di dalam hati lelaki pasti ada keinginan dilayan seperti begini dan begitu, tetapi tidak tercapai sepenuhnya kerana pasangan sibuk dengan anak-anak dan urusan rumah tangga sehingga badan berbau busuk ‘ikan’ kononnya. Mereka memberi alasan kekurangan penampilan dan penjagaan diri pasangan sebagai alasan terpikat pada wanita yang berbau wangi.
3 Kewangan - ada kes lelaki terpaut dengan wanita lain kerana wanita itu mampu memberi wang dan memenuhi keinginan hidupnya (sebelum ini dia agak bermasalah dalam ekonomi rumah tangga). Oleh kerana dikelabui harta dan kedudukan (wanita berpangkat) golongan ini sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak. seolah-olah memperoleh hidup baharu yang lebih bahagia.
4 Reunion group - satu projek malapetaka jika disalahgunakan. Berapa banyak kes kecurangan dilaporkan kerana perjumpaan kawan-kawan lama. cinta lama berputik kembali kerana tidak dapat menguruskan secara profesional hubungan biasa semakin intim sehingga berantakan rumah tangga. Cuba elakkan lelaki dan wanita yang sudah berkahwin berhubungan secara intim di media sosial dan mengadu dumba kisah pasangan mengharapkan belas ehsan.

Suami Kaki Perempuan, Jangan Tunjuk Kita Lemah, Bangkitlah Pilih Kehidupan Kita Sendiri

15 Jun 2017



Tulisan ini dikongsikan oleh seorang wanita melalui ruangan mesej whatapp dan fecebook dengan harapan agar kisah beliau dapat dijadikan pengajaran kepada para isteri yang menghadapi masalah rumah tangga seperti beliau. 

Baca lagi:

Saya bernikah dengan suami awal 2011, salah saya tak berfikir panjang waktu tu, ikut hati. Saya perkahwinan ketiga dan merupakan isteri kedua. Isteri pertama bercerai, dan sudah pun berkahwin lain. Yang kedua (dah naik jadi no. 1) dan saya no. 2. Waktu tu suami saya tidak berkerja tetap, ada masa ada duit dan bila tiada maknanya tiada langsung.

Saya selalu baca sms dari wife di kampung, tiada duit, susu anak dan pampers. Macam macam lagi. Saya jadi kasihan. Saya selalu letak Rm50 atau bila awal gaji Rm100 dalam dompet suami. Saya tahu dia pasti bank-in kat kampung (isteri pertama di kampung ). Pada masa tu saya fikir, saya harus menolong kerana siapa yang ada selain saya. Walaupun serangan facebook berkaitan saya mengambil suaminya hebat bermula. Tak mengapa, siapa tak sakit hatikan?

Tapi betul orang tua kata, isteri di uji di saat suami tidak mempunyai apa, suami di uji di saat punya segala. Anak saya yang pertama baru 4 bulan, suami main cinta dengan budak umur 19 tahun, pelajar universiti. Seminggu habis 40k, macam-macam dia beli handphone, perfume sampai adik-beradik budak tu semua dia beli. Sampai satu tahap mereka bercuti berdua. Saya sabar, saya tak marah dan tak bergaduh. Saya fikir masa saya sudah sampai. Karma saya sudah sampai saya pasrah, saya redha.

Sewaktu mereka bercuti, Allah swt menguji saya, isteri pertama di kampung yang memujuk saya secara tiba-tiba, pada dia saya meluah segala, saya tak tenang, jangan kata hati tak tenang. Duit, sedikit harta saya korban sebab saya tak suka suami bersedih, muram. Kami menjadi kawan baik. Kami menjaga antara satu sama lain. Bila dia memerlukan kewangan, saya membantu sekiranya mampu.

Satu hari, suami pergi out station, saya tahu tapi saya tak bertanya. Senyap-senyap saya follow sampai ke airport, tak nampak pun. Saya ke rumah budak perempuan tu dengan anak dan ibu, kereta suami ada di situ. Allah, menggigil kaki saya, macam-macam perasaan, marah bengang semua ada. Saya balik ke rumah saya pack barang-barang suami dan niat saya hantar ke rumah budak tu. Ayah saya kata jangan hantar ke rumah budak tu, jika betul-betul nekad, hantar rumah ibu-bapa suami. 

Dengan hati yang membara, saya hantar ke rumah mak mertua dan saya ambil kereta suami di rumah budak perempuan tersebut. Setelah bersemuka, dengan keluarga perempuan tersebut baru saya tahu yang mereka membohongi keluarga dengan mengatakan saya gila talak. Nasib saya bawa ibu bapa saya sebagai saksi.

Lepas 2 bulan, saya menerima sms, dari budak perempuan tu mengatakan sudah memutuskan hubungan dengan suami saya. Saya balik yang bertanya, mengapa? Bukankah kamu saling menyayangi? Saya tak pandai jaga suami, saya itu dan ini, macam-macam kurang. Saya dah redha, saya mengalah, kata saya. Allah menguji saya dan budak perempuan tu. Saya mengandung anak kedua. Akhirnya mereka putus dan saya tak tanya lagi. Saya hanya menonton wayang di fb dan twitter, mereka berperang sesama sendiri.

Saya maafkan suami. Kami kembali bersama cuba untuk membina kembali. Tapi masih tidak serumah, kerana sepanjang kami serumah lebih kurang dua tahun, 2 kali suami hampir memukul ibu saya. SAYA ULANG, IBU SAYA . Pada suami dia bebas buat apa sahaja, jangan ditegur. 

Dia berhak kerana dia SUAMI. Kami teruskan hidup dengan setiap minggu berjumpa, habiskan masa menonton wayang, bercuti dengan suami, kadang-kadang dengan anak-anak tiri. Saya nampak perubahan, setiap hari saya berdoa agar perubahan tu berpanjangan rezeki dipermudahkan.

Selepas 2 tahun, saya diuji lagi. Suami bernikah di sempadan dengan janda anak 4, dan suami saya adalah perkahwinan ke tiga beliau. Saya dengar melalui bekas isteri suami, Saya kata saya tak tahu hampir sebulan kami tidak berhubung, berikutan hubungan suami dengan perempuan juga. Tulah bercinta org lain, nikah org lain. Pada hari itu saya hairan dengan diri saya sendiri, saya tak menangis, mungkin saya tak ambil peduli, mungkin sudah lali.

Awal tahun ini saya menerima pm dari facebook, dari seorang perempuan katanya mahu berterus terang. Saya terima, orang baik saya sepuluh kali baik. Kami bertukar no fon, kami whatsApp sepanjang malam. Suami dan isteri barunya minta saya mencuba kehidupan baru ni. Saya cuba, tetapi mereka mempermainkan saya, kebaikan yang dihulurkan hanya untuk melekakan saya agar tidak membuat sebarang laporan. 

Isteri baru suami menyatakan kata kekurangan saya. Saya terlalu pentingkan kerja, tak ada masa bersama dan terlalu mengikut kata ibu. Bagaimana saya tak pentingkan kerja? Jika rumah, api air, unifi, pampers susu, insurans, duit dapur dan duit bagi emak semua atas saya?

Wallahi, saya tak minta suami sepanjang kami bernikah, ada bagi, tak ada saya diam. Bagaimana saya tidak mementingkan ibu? Di saat yang paling sukar ibu berada di samping saya, menjaga anak-anak di saat saya mencari sesuap nasi. Saya berusaha sendiri. Pada fikiran saya yang dikatakan kolot ni, tak mengapa suami tak ada duit, saya ada. Kita orang tua tak makan tak apa, anak-anak perlu makan minum, susu pampers mesti ada. Tu belum sakit mereka lagi, kita sakit makan panadol tidur. Budak? Mereka tak tahu.

Setiap hari saya pulang ke rumah, saya tinggalkan masalah saya dan suami di dalam kereta, saya ukir senyuman untuk anak-anak. Ibu saya tak tahu perihal suami berkahwin lain. Suami dan isteri baru, daftar menggunakan surat cerai suami dengan isteri lama. Saya termenung dipermainkan lagi, bukan seorang kini dua orang. Saya hanya melihat gambar kegembiraan mereka di facebook dan instagram. 

Kadang-kadang anak-anak tiri menghubungi saya bertanyakan khabar dan mengadu. Saya hanya mampu mendengar. Tak mengapalah, saya kata once for all. Jaga hati sendiri, salah saya tak hormat hati sendiri. Saya berfikir, saya tak rugi apa-apa, saya cuma tak ada suami, saya masih beruntung ada kerja tetap, rumah, kereta dan anak-anak.

Saya bersyukur Allah SWT masih sayang, ujian saya ni kecil jika dibandingkan dengan isteri-isteri yang jadi mangsa aniaya. Akhirnya, saya membuat permohonan cerai. Alhamdulillah, saya tenang walaupun saya ke mahkamah seorang diri tanpa ditemani sesiapa, saya tahu saya kuat. Allah ada, Allah lindung saya. Saya tak tuntut apa-apa dengan suami, hanya lepaskan saya cara baik. Kalau dia ingat anak-anak, berilah duit belanja, jika tidak tak apa, ada rezeki lain untuk anak. Kalau dulu saya ikut hati, sekarang saya serah kepada Allah, bulat-bulat.

Buat isteri di luar sana, kalau suami ada perempuan lain, jangan menangis atau murung, bangkit. Kalau tak kerja, cari kerja. Belajar berdikari. Doa banyak banyak. Doakan urusan saya dipermudahkan.

Thanks admin.

Kredit : thecoverage 


Duit Bersara Habis Kerana Perempuan, Kawan

22 May 2017

Setiap pasangan suami isteri mahukan kebahgiaan hidup. Mahu sehidup semati dengan pasangan jika diizinkan Allah. Namun, bukan mudah untuk menikmati bahagia itu jika suami tidak setia dan tidak ikhlas dalam perhubungan. Nasihat isteri tidak diendah, teguran tidak diterima, akhirnya isteri mengalah dan membiarkan apa yang mahu dilakukan suami walaupun menyakitkan hati. Hukum Allah tidak kira masa, sampai waktunya Dia akan tunjukkan.

Apabila rahsia terbongkar, mahu tidak mahu isteri juga yang jadi penyelamat. Inilah kisah pilihan saya minggu ini. Kisah menarik yang ingin dikongsi oleh Sofi (bukan nama sebenar) dengan pembaca ruangan ini. Ikuti luahan Sofi mengenai suaminya yang menghabiskan wang persaraan dengan berfoya-foya bersama perempuan dan kawan-kawan hingga lupa diri. Ini cerita Sofi kepada saya.

“Saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Berusia lewat 50-an dan bernikah dengan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi juga bernama Rani(bukan nama sebenar) berusia 60 tahun. “Kami dikurniakan sepasang anak perempuan yang telah meningkat remaja berusia dari 13 hingga 20 tahun. Seperti orang lain, perkahwinan kami sangat bahagia di permulaannya tetapi bergolak kerana suami mula berhibur di luar dengan kawan-kawannya.

“Semuanya gara-gara dia mendapat wang persaraannya setelah mencapai usia 60 tahun. Pada masa yang sama dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia awal 30-an yang bekerja di sebuah pusat hiburan. “Saya tidak tahu tentang hubungan mereka tetapi rahsia ini terbongkar apabila satu hari saya terjumpa slip bank pindahan wang kepada akaun seorang perempuan di dalam beg kerja suami. “Setiap malam dia akan keluar rumah, jauh malam atau awal pagi baru balik. Lama saya perhatikan, tetapi saya tidak bertanya. Saya hendak lihat sejauh mana perangainya itu. 

“Setelah enam bulan keadaan suami tidak berubah tambahan pula saya lihat dia terlalu boros dalam berbelanja, saya mula syak sesuatu. Saya tidak terus bertanya tetapi mengintip pergerakan suami. “Ke mana dia pergi, dengan siapa dan apa yang dia buat saya ikut. Saya melihat dengan mata sendiri suami keluar dengan perempuan itu pergi berhibur di pusat-pusat hiburan dengan kawan-kawannya yang masing-masing membawa pasangan. Hampir sebulan saya buat intipan tanpa pengetahuannya. Saya hendak kumpul bukti dulu sebelum menyerang suami.

“Sejak dia berkawan dengan wanita itu, suami selalu kesempitan wang. Duit kereta, duit rumah dan perbelanjaan rumah terjejas. Pada hal dia baru dapat beratus ribu ringgit. Apa yang dia buat dengan duit itu pun saya tidak tahu. “Saya meradang apabila dia mula minta duit daripada saya. Sudahlah kami beranak tidak merasa duit yang dia dapat, duit saya pula hendak dikerjakannya. “Keadaan suami semakin teruk, duit yang beratus ribu itu habis untuk dia berseronok dengan perempuan itu dan kawan-kawannya. Setiap bulan dia mula pinjam duit orang.

“Setiap bulan juga kami bergaduh kerana duit. Saya tidak mahu bagi sebab tahu dia akan bagi kepada perempuan itu dan belanja kawan-kawannya berseronok. “Kerana tidak tahan dengan perangainya saya bersemuka dengan dia mengatakan saya tahu kenapa dia sesak duit. Saya tanya ke mana perginya duit banyak-banyak yang dia dapat? “Janji nak bawa saya ke Tanah Suci juga tidak kesampaian. Janji hendak beli tanah di kampung buat rumah nak senangkan isteri dan anak-anak, tapi satu benda pun tidak nampak.

“Saya tunjukkan juga slip pindahan duit dia ke akaun perempuan tersebut. Dia terus diam. Saya apa lagi, bersyarah panjang dan keluarkan semua bukti yang saya ada termasuk gambar mereka berdua dan sebagainya yang sempat saya kumpul bersama-sama kawannya. “Yang menjadikan dia terkejut apabila saya tunjukkan gambar perempuan itu dengan beberapa lelaki di tempat yang berlainan. Dia macam tidak percaya tetapi bukti saya kukuh. “Dia hilang kata-kata dan tidak berani lagi membela dirinya. Akhirnya dia mengaku sudah lama tidak berjumpa perempuan itu kerana dia sudah tidak ada duit lagi.

“Dia juga mengaku perempuan itu hanya mahukan duitnya sahaja bukan suka kepada dia. Perempuan itu juga katanya memang suka menggoda lelaki yang dia tahu akan dapat duit persaraan. Dapat apa yang dia hendak, dia akan pergi. Memang dia perempuan pengikis. “Suami mengaku kesilapannya. Dia minta maaf di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. “Di hadapan saya dia menangis dan memeluk saya sambil merayu supaya saya ampunkan kesilapannya. “Saya berkeras dengan dia dan memberinya beberapa syarat. Andainya dia melanggar semua syarat itu, dia akan tahu apa keputusan saya. Ini amaran akhir saya kepadanya. Saya buat ini semua kerana anak-anak kami.

“Nasib baik saya masih waras dan boleh berfikir. Bersyukur kerana dia sedar selepas ditipu oleh perempuan itu. Lagipun ini kali pertama dia buat perangai. Tetapi satu perkara yang saya belajar, jangan cepat melatah jika suami buat perangai, siasat dahulu dan kumpul bukti, kemudian bertindak. “Insya-Allah kebenaran akan muncul. Walau sakit hati saya akan berusaha untuk melupakan perkara itu dan memberinya peluang kedua. Tapi akan mengambil masa juga nampaknya. Luka hati saya bukan mudah hendak sembuh. Alhamdulillah, sekarang saya dapat semula suami saya yang dahulu, penyayang dan bertanggungjawab.

“Kepada lelaki di luar sana saya ingin berpesan, dapat duit jangan lupa anak isteri dan keluarga yang mendoakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Mereka berhak menikmati rezeki yang Allah bagi itu,” kata Sofi menamatkan ceritanya.Alhamdulillah dan syabas Sofi. Saya bangga dengan keberanian anda. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga dan perangai suami. ewajarnya Sofi memberi peluang kedua kepada suami. Nama pun manusia, tidak sempurna. Berdoalah agar dia insaf dengan apa yang telah dilaluinya. Doa saya supaya Allah kurniakan keberkatan hidup buat Sofi dan Rani sekeluarga di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan saya, memaafkan kesilapan orang satu pebuatan mulia di sisi Allah terutama mereka yang kita sayang. Maafkan mereka dengan ikhlas dan dari dasar hati yang paling dalam.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.