SLIDER

Duit Bersara Habis Kerana Perempuan, Kawan

Setiap pasangan suami isteri mahukan kebahgiaan hidup. Mahu sehidup semati dengan pasangan jika diizinkan Allah. Namun, bukan mudah untuk menikmati bahagia itu jika suami tidak setia dan tidak ikhlas dalam perhubungan. Nasihat isteri tidak diendah, teguran tidak diterima, akhirnya isteri mengalah dan membiarkan apa yang mahu dilakukan suami walaupun menyakitkan hati. Hukum Allah tidak kira masa, sampai waktunya Dia akan tunjukkan.

Apabila rahsia terbongkar, mahu tidak mahu isteri juga yang jadi penyelamat. Inilah kisah pilihan saya minggu ini. Kisah menarik yang ingin dikongsi oleh Sofi (bukan nama sebenar) dengan pembaca ruangan ini. Ikuti luahan Sofi mengenai suaminya yang menghabiskan wang persaraan dengan berfoya-foya bersama perempuan dan kawan-kawan hingga lupa diri. Ini cerita Sofi kepada saya.

“Saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Berusia lewat 50-an dan bernikah dengan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi juga bernama Rani(bukan nama sebenar) berusia 60 tahun. “Kami dikurniakan sepasang anak perempuan yang telah meningkat remaja berusia dari 13 hingga 20 tahun. Seperti orang lain, perkahwinan kami sangat bahagia di permulaannya tetapi bergolak kerana suami mula berhibur di luar dengan kawan-kawannya.

“Semuanya gara-gara dia mendapat wang persaraannya setelah mencapai usia 60 tahun. Pada masa yang sama dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia awal 30-an yang bekerja di sebuah pusat hiburan. “Saya tidak tahu tentang hubungan mereka tetapi rahsia ini terbongkar apabila satu hari saya terjumpa slip bank pindahan wang kepada akaun seorang perempuan di dalam beg kerja suami. “Setiap malam dia akan keluar rumah, jauh malam atau awal pagi baru balik. Lama saya perhatikan, tetapi saya tidak bertanya. Saya hendak lihat sejauh mana perangainya itu. 

“Setelah enam bulan keadaan suami tidak berubah tambahan pula saya lihat dia terlalu boros dalam berbelanja, saya mula syak sesuatu. Saya tidak terus bertanya tetapi mengintip pergerakan suami. “Ke mana dia pergi, dengan siapa dan apa yang dia buat saya ikut. Saya melihat dengan mata sendiri suami keluar dengan perempuan itu pergi berhibur di pusat-pusat hiburan dengan kawan-kawannya yang masing-masing membawa pasangan. Hampir sebulan saya buat intipan tanpa pengetahuannya. Saya hendak kumpul bukti dulu sebelum menyerang suami.

“Sejak dia berkawan dengan wanita itu, suami selalu kesempitan wang. Duit kereta, duit rumah dan perbelanjaan rumah terjejas. Pada hal dia baru dapat beratus ribu ringgit. Apa yang dia buat dengan duit itu pun saya tidak tahu. “Saya meradang apabila dia mula minta duit daripada saya. Sudahlah kami beranak tidak merasa duit yang dia dapat, duit saya pula hendak dikerjakannya. “Keadaan suami semakin teruk, duit yang beratus ribu itu habis untuk dia berseronok dengan perempuan itu dan kawan-kawannya. Setiap bulan dia mula pinjam duit orang.

“Setiap bulan juga kami bergaduh kerana duit. Saya tidak mahu bagi sebab tahu dia akan bagi kepada perempuan itu dan belanja kawan-kawannya berseronok. “Kerana tidak tahan dengan perangainya saya bersemuka dengan dia mengatakan saya tahu kenapa dia sesak duit. Saya tanya ke mana perginya duit banyak-banyak yang dia dapat? “Janji nak bawa saya ke Tanah Suci juga tidak kesampaian. Janji hendak beli tanah di kampung buat rumah nak senangkan isteri dan anak-anak, tapi satu benda pun tidak nampak.

“Saya tunjukkan juga slip pindahan duit dia ke akaun perempuan tersebut. Dia terus diam. Saya apa lagi, bersyarah panjang dan keluarkan semua bukti yang saya ada termasuk gambar mereka berdua dan sebagainya yang sempat saya kumpul bersama-sama kawannya. “Yang menjadikan dia terkejut apabila saya tunjukkan gambar perempuan itu dengan beberapa lelaki di tempat yang berlainan. Dia macam tidak percaya tetapi bukti saya kukuh. “Dia hilang kata-kata dan tidak berani lagi membela dirinya. Akhirnya dia mengaku sudah lama tidak berjumpa perempuan itu kerana dia sudah tidak ada duit lagi.

“Dia juga mengaku perempuan itu hanya mahukan duitnya sahaja bukan suka kepada dia. Perempuan itu juga katanya memang suka menggoda lelaki yang dia tahu akan dapat duit persaraan. Dapat apa yang dia hendak, dia akan pergi. Memang dia perempuan pengikis. “Suami mengaku kesilapannya. Dia minta maaf di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. “Di hadapan saya dia menangis dan memeluk saya sambil merayu supaya saya ampunkan kesilapannya. “Saya berkeras dengan dia dan memberinya beberapa syarat. Andainya dia melanggar semua syarat itu, dia akan tahu apa keputusan saya. Ini amaran akhir saya kepadanya. Saya buat ini semua kerana anak-anak kami.

“Nasib baik saya masih waras dan boleh berfikir. Bersyukur kerana dia sedar selepas ditipu oleh perempuan itu. Lagipun ini kali pertama dia buat perangai. Tetapi satu perkara yang saya belajar, jangan cepat melatah jika suami buat perangai, siasat dahulu dan kumpul bukti, kemudian bertindak. “Insya-Allah kebenaran akan muncul. Walau sakit hati saya akan berusaha untuk melupakan perkara itu dan memberinya peluang kedua. Tapi akan mengambil masa juga nampaknya. Luka hati saya bukan mudah hendak sembuh. Alhamdulillah, sekarang saya dapat semula suami saya yang dahulu, penyayang dan bertanggungjawab.

“Kepada lelaki di luar sana saya ingin berpesan, dapat duit jangan lupa anak isteri dan keluarga yang mendoakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Mereka berhak menikmati rezeki yang Allah bagi itu,” kata Sofi menamatkan ceritanya.Alhamdulillah dan syabas Sofi. Saya bangga dengan keberanian anda. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga dan perangai suami. ewajarnya Sofi memberi peluang kedua kepada suami. Nama pun manusia, tidak sempurna. Berdoalah agar dia insaf dengan apa yang telah dilaluinya. Doa saya supaya Allah kurniakan keberkatan hidup buat Sofi dan Rani sekeluarga di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan saya, memaafkan kesilapan orang satu pebuatan mulia di sisi Allah terutama mereka yang kita sayang. Maafkan mereka dengan ikhlas dan dari dasar hati yang paling dalam.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia

No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.