Fobia Kepada Makhluk Bernama Lelaki
Terima kasih admin kalau artikel saya terpilih
untuk disiarkan disini. Saya rasa apa yang saya nak luahkan ini adalah
semata-mata untuk mengurangkan bebanan perasaan fobia dan trauma, kerana saya
ni seorang yang sangat terlalu memikirkan masalah emosi. Saya anak bongsu daripada lima adik-beradik. Semuanya perempuan. Saya tak pasti kakak-kakak menyimpan perasaan yang sama seperti saya atau tidak. Tetapi diri saya, saya
telah menanggungnya daripada saya kecil sehinggalah saya nak masuk umur 30-an,
masih tak dapat letgo tekanan/stress yang saya hadapi.
Sejak kecil, saya dan kakak-kakak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak harmoni dan cukup tidak aman. Pada
pandangan penglihatan saya, bapa saya seorang yang sangat bengis, baran dan
garang yang tidak bertempat. Ibu saya seorang yang sangat lemah lembut , jauh
berbeza dangan bapa yang berperangai seperti orang tidak bertamadun. Dari kecil, kami
selalu dihidangkan dengan adegan-adegan bapa yang selalu menengking, memukul,
menampar, mendera dan mengherdik ibu tanpa diketahui apa salah ibu. Kami yang
semuanya perempuan, tak mampu menolong ibu. Kami hanya mampu menangis dan ibu
selalu menyorokkan kami di dalam almari setiap kali bapa menyerang ibu. Ibulah tempat bapa selalu melepaskan kemarahan dia tanpa belas kasihan.
Sepanjang tempoh kami membesar, kami
sangat kasihan dengan ibu kerana melihat dia yang sentiasa bersabar dan
menyerah je apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. Kadangkala kami tak
faham kenapa ibu hanya berdiam diri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketika kami kecil, kami tak tahu, kejadian tersebut merupakan kes keganasan
rumahtangga. Sekarang sedikit demi sedikit, kami faham dan kami adik beradik
sendiri memang membenci bapa teramat sangat, dan kami sendiri sudah hilang rasa
hormat kepada bapa. Sampai bila-bila pun
kami membenci bapa. Dan kami pun tak tahu bila kali terakhir kami memanggil bapa dengan panggilan ayah.
Oleh kerana keganasan yang bapa sering
lakukan, saya tonton setiap hari , dari saya kecil hingga dewasa, menyebabkan
saya menghadapi tekanan emosi yang sangat hebat menyebabkan saya terlalu fobia
dan trauma dengan insan yang bernama lelaki. Malah bermula di sekolah, saya
memang tidak boleh bercampur dengan lelaki sehinggalah saya sekarang berada di alam pekerjaan. Sejak dari alam persekolahan, prestasi pendidikan saya sangat lemah. Saya tak boleh
fokus kepada pelajaran kerana gangguan perasaan apabila berada di rumah.
Apabila saya cuba belajar di luar rumah, saya tidak boleh fokus, kerana sentiasa
risaukan ibu yang berada di rumah. Entah apalah bapa sedang lakukan kepada ibu.
Apabila ada kerja berkumpulan, saya tidak dapat memberi kerjasama kepada ahli
kumpulan, lebih-lebih lagi kalau ada ahli kumpulan lelaki. Saya benci lelaki.
Sekarang di alam pekerjaan saya masih
tidak boleh terima kehadiran seorang lelaki dalam hidup saya. Kesannya saya
masih bersendiri sehingga sekarang , tidak mempunyai rakan lelaki apatah lagi
teman istimewa. Saya mempunyai masalah sosial yang sangat teruk, kerana menyimpan
perasaan negatif terhadap lelaki. Saya menjadi seorang yang sangat merendah diri. Tiada keyakinan. Takut yang berlebihan. Kalau ada rakan lelaki yang ingin berkenalan,
saya akan menjadi menggeletar dan menangis menyebabkan diorang panik melihat
saya respons sedemikian. Sekiranya di dalam ofis berlaku situasi pertelingkahan
pendapat antara rakan-rakan ofis yang menyebabkan mereka meninggikan suara di
antara satu sama lain, dada dan jantung saya akan berdegup kencang dan tangan
saya akan mula kejang. Saya akan lari keluar dari tempat tersebut dan mencari
tempat sunyi untuk meleraikan perasaan tekanan yang saya hadapi masa itu.
Saya pernah dilanda kemurungan dan
depression yang teruk yang memerlukan saya berjumpa dengan doktor dan mengambil
pelbagai ubat-ubatan untuk mengawal emosi saya. Apa yang saya perasan, saya
tidak boleh berada hampir berdekatan dengan lelaki, saya tidak boleh mendengar suara lelaki ,
lagi-lagi suara bernada tinggi macam nak bergaduh. Saya akan mula sesak nafas. Kalau
bertembung dengan lelaki, saya akan memandang mereka dengan penuh kebencian.
Walaupun saya sedang menonton cerita, apabila ada adegan keganasan lelaki
terhadap wanita, saya akan menjerit sekuat hati sambil menutup telinga.
Sampaikan rakan rumah sewa terpaksa menutup tv dengan segera untuk menghalang
perkara lebih buruk berlaku. Apabila ada rakan-rakan rumah sewa atau ofis yang
berkahwin, saya tak dapat memenuhi undangan kenduri perkahwinan mereka, kerana
seolah-olah saya melihat rakan-rakan saya itu akan menerima nasib yang sama
seperti ibu saya. Saya akan jadi takut , kasihan dan sesak dada untuk melihat
mereka di hari persandingan tersebut.
Kini, walaupun ibu dan bapa sudah di
hujung usia, perangai bapa masih tidak berubah. Walaupun sekarang tidak lagi
menggunakan kekuatan fizikal, tetapi bapa masih seorang yang panas baran.
Pantang sikit ibu tersalah cakap, pasti diherdik dan ditengking. Kalau makanan
atau air yang dihidangkan ibu tidak memenuhi selera bapa, bapa akan membaling pinggan
cawan ke lantai. Ibu tak ubah seperti kuli dan hamba abdi, bukannya seperti teman sehidup semati yang sepatutnya saling menyayangi. Saya pelik, kenapa bapa boleh bersikap
sedemikian, sedangkan ibu adalah isteri dia yang dia nikahi. Mungkinlah, saya
tidak tahu sejarah silam mereka, sebab setiap kali saya bertanyakan kepada ibu,
ibu tidak pernah mahu menceritakan kepada kami. Saya lebih sanggup tidak pulang
ke rumah, duduk tinggal di rumah sewa. Tetapi saya kasihan tinggalkan ibu
sorang-sorang dengan bapa yang berperangai macam singa. Saya ajak ibu untuk
tinggal bersama saya, tapi ibu menolak.
Saya pernah cadangkan pada ibu supaya
bercerai dengan bapa, tapi ibu berdiam diri. Saya tak kisah pun kalau ibu dan
bapa bercerai walaupun mereka dah tua. Saya ingin menjaga ibu. Saya sedar , sedalam mana tekanan yang kami hadapi, lebih dalam lagi perasaan kecewa yang ibu simpan selama ini. Biarlah orang kata, sejahat-jahat ayah tu, dia tetap ayah kita. Bagi saya, statement ini tak sesuai langsung untuk bapa yang sentiasa memperhambakan ibu, sepatutnya dia mencurahkan kasih-sayang yang selayaknya ibu dapat. Kadang-kala saya seperti hendak membunuh diri kerana terlalu penat menyimpan tekanan perasaan ini.
Bagi lelaki-lelaki di luar sana, saya tahu, tak semuanya yang bersikap seperti bapa saya. Tetapi kalau ada yang bersikap sedemikian, tolonglah jangan diseksa perasaan, jiwa dan raga pasangan anda. Bukan sahaja boleh menghancurkan kehidupan pasangan anda, tetapi turut terkesan kepada anak-anak yang tidak berdosa. Sehebat manapun anda menunjukkan kekuasaan anda dengan mendera wanita secara fizikal dan mental, secara tak langsung anda menunjukkan sifat DAYUS, kerana melakukan keganasan dengan insan-insan yang lebih lemah daripada anda.
- Anak Bongsu Ibu-
- Anak Bongsu Ibu-
No comments
Post a Comment