Memang Aku Sengaja Pakai Pakaian Selekeh Dan Kereta Buruk Bila Pergi Reunion
‘Reunion’ memang majlis yang bagus.
Admin sendiri pernah menyertai majlis ‘reunion’ rakan sekolah menengah dahulu.
Tapi, itulah sekali seumur hidup. Selebihnya, kami banyak berjumpa di alam maya
ataupun ada kala terserempak di mana-mana. Ikatan masih tetap utuh biarpun lama
tidak ketemu. Itulah persahabatan sebenar tanpa syarat. Namun, berbeza pula dengan kisah
‘reunion’ yang satu ini. Sewaktu perjumpaan, bukannya banyak yang berkisarkan
tentang menyingkap memori silam, tetapi lebih kepada perbualan berkisarkan
kejayaan diri dan membanggakan diri.
Ikuti luahan Izman Pauzi di
facebooknya yang telah mendapat lebih 50,000 kongsian daripada netizen. Ini
juga boleh dijadikan panduan hidup dalam mengenal sahabat yang sebenar.
*Artikel dipetik daripada FB
Izman Pauzi dengan sedikit olahan tatabahasa.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Persahabatan Tanpa
Syarat
Cuti sempena Hari Raya
Aidilfitri kali ini agak panjang dan ramai orang mengambil peluang pulang ke
kampung halaman berjumpa sanak-saudara. Tidak kurang juga orang yang
menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan sekolah. 'Reunion' ini adalah suatu
majlis yang sangat bagus, tetapi biarlah dengan nawaitu dan penerimaan yang
sama seperti masa persekolahan dahulu iaitu persahabatan tanpa syarat.
Ya, zaman persahabatan semasa
persekolahan adalah zaman yang paling saya suka di mana kita bersahabat tanpa
syarat. Kita tidak kisah sahabat itu markah berapa dalam peperiksaan, kita tak
kisah ayah ibunya kerja apa, rumahnya besar mana, datang sekolah naik apa.
Semua itu tidak penting. Pada masa itu, kita hanya pentingkan persahabatan. "Jika kau terlupa bawa
bekal atau tiada duit belanja, marilah kongsi bekal aku." "Periksa semua markah merah
dan kena rotan dengan ayah kau ke? Jom kita pergi mandi sungai.”
Itulah dialog kita kepada
sahabat setiap kali sahabat kita mempunyai masalah atau kita sendiri mempunyai
masalah. Jadi, bila ada permintaan untuk majlis ‘reunion’, ramai yang ingin
menyertainya kerana fikir sahabat kita tanpa syarat itu masih begitu. Namun,
realitinya tidak begitu. Saya ada satu kisah yang berlaku
di depan mata saya pada akhir tahun lepas.
Begini kisahnya...
Pada suatu petang pada hari
cuti, seorang sahabat mengajak saya untuk menemaninya ke kedai ‘spare parts’.
Saya dengan rela menemaninya. Kami ke bandar Klang. Usai membeli barangan
dikehendaki, dia mengajak saya menemaninya ke majlis ‘reunion’ rakan sekolah
rendahnya. sudah tentu saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di
situ dan saya juga berpakaian agak selekeh. Dia mendesak dan saya tiada pilihan
kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji hanya sekejap sahaja.
Di restoran berhawa dingin itu,
beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam
kelompok-kelompok kecil. Di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah. Dia
masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah tidak berjumpa
atau bertegur sapa secara bersemuka sudah puluhan tahun. Saya pula turut
bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. Apabila ditanya mengenai
isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya
terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.
Saya hanya menjadi pemerhati di
majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Memang ada anak-anak
gadis di situ, tetapi saya bukanlah seorang yang mata keranjang. Lagipun mereka
juga hanya memandang saya sebelah mata lantaran pakaian saya yang sangat
selekeh iaitu berbaju T, ‘cargo pants’ dan bersandal. Gadis-gadis moden ini
lebih tertarik dengan gajet dan lelaki yang agresif berbanding saya yang pemalu
dan hanya bermain ‘game’ ular di dalam ‘handphone’ 3310 saya.
Saya dapat perhatikan
sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. ada
kelompok guru, ‘businessman’, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri.
Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar
berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta
yang dipakai. Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis
tersebut.
"Woi, kau pakai kereta apa
sekarang?"
Saya yang mendengar turut terasa
jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan ‘show off’ kereta. Lagi
memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar,
berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering
melancong ke luar negara. Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan
kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi
orang ‘ada-ada’. Dua jam berlalu, sahabat saya
mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa
pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya
bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak
mengendahkan sahabat saya lagi.
Hanya ada dua orang sahabatnya
sahaja yang mengekori hingga ke kereta. Mereka masih berbual-bual kira-kira 20
minit dan bergelak ketawa. Mereka bukan calang-calang orang, salah seorang
adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan. Mereka
berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu
di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian. Apabila ingin bersurai, saya
tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi
masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia
tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya. Dia mempunyai kereta BMW,
Merc, Honda, Toyota Hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi Wira buruk ini juga
dibawanya.
Katanya, "Memang saya sengaja.
Saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan
dan susah senang bersama. Jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada
dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. Sahabat
tanpa syarat.”
Saya diam dan termenung sendiri.
Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan,
pakaian cuma alas diri. Kita mampu memiliki dan menggantikan kesemuanya itu
pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan
kita. Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak
persahabatan. Namun, jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat,
persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.
Adakah diri anda bersahabat
tanpa syarat sehingga kini?
Kredit : Fb/Izman Pauzi

No comments
Post a Comment