Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H
Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan
saya sekeluarga untuk turut serta dalam Program Bakul Ramadan anjuran
ISMA Cawangan Alor Setar pada kali ini. Kami mendapat 10 nama keluarga
seperti yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah
Kubang Pasu. Pengalaman berkunjung ke rumah keluarga
yang tidak bernasib baik ini menyuntik keinsafan di hati dan menambahkan
rasa syukur di atas segala nikmat yang telah Allah curahkan pada kita.
Saya kongsikan pengalaman menziarahi 2 keluarga di sekitar Jitra yang
menyentuh perasaan saya.
Kes 1: Kasih ibu tiada taranya
Kedatangan kami ditunggu di tepi jalan
oleh seorang ibu sambil mendukung seorang anak kecil berusia 2 tahun dan
diekori oleh seorang lagi berusia 3 tahun. Ibu berusia 40 tahun ini
telah 2 tahun hidup sebatang kara membesarkan 6 orang anak berusia
antara 2 dan 16 tahun dengan mengambil upah menjahit baju serta membantu
di kantin sekolah. Suami tempat bergantung masih ditahan reman hampir 2
tahun kerana kesalahan memiliki dadah ganja.
Sepanjang 2 tahun ini beliau terpaksa
memikul tanggungjawab untuk menyara dan memberi kasih sayang pada
anak-anak. Wajah sayu anak-anak menggambarkan kedukaan mereka hidup
dalam kesempitan. Mujurlah ada sedikit bantuan dari JKM sebanyak RM450
sebulan untuk membantu persekolahan anak-anak. Melihat kes ini menambahkan kebencian
saya pada najis dadah.
Bagaimana seorang yang terjebak dalam kes dadah
menerima akibat termasuk anak-anak yang terpaksa hidup dalam derita.
Semoga masyarakat tidak menghukum keluarga ini atas kesalahan ayah
mereka yang masih kesnya di muka pengadilan. Semoga nasib anak-anak ini
terbela dan kita semua terus menghulurkan bantuan supaya mereka keluar
daripada kepompong kemiskinan.
Kes 2: Kasih ayah membawa ke syurga
Ketika melihat profil keluarga yang akan
diziarahi ini saya sedikit terasa kelainan kerana jarang seorang ibu
meninggalkan anak-anak termasuk yang masih kecil untuk dijaga oleh
seorang ayah tunggal. Ketika sampai, kami disambut oleh abang
paling dewasa; seorang anak muda yang akan menduduki peperiksaan SPM.
Wajahnya menampakkan kedewasaan dan sifat tanggungjawabnya. Sambil
menunggu si ayah yang keluar mencari rezeki dengan mengambil upah
memotong rumput, kami sempat berkenalan dengan 7 orang anak daripada
keluarga ini.
Berusia 18 tahun dengan yang sulung
berada di UiTM Arau dan yang paling kecil berusia 3 tahun, ketujuh-tujuh
anak ini dijaga oleh si ayah setelah ibu pergi entah ke mana. Enggan
menceritakan lebih lanjut tetapi jelas rasa sayu kelihatan di wajah
anak-anak ketika ditanya tentang ibu mereka.
Sebagai seorang ibu yang juga mempunyai
anak kecil berusia 3 tahun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa pilu
melihat si kecil dijaga oleh abang dan kakak tanpa seorang ibu tempatnya
bermanja. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu betah
meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk mengubah haluan hidup dan
meninggalkan mereka tanpa bertanya khabar dan berita.
Si ayahlah yang memikul tanggungjawab
memasak, menguruskan rumah, menghantar anak-anak ke sekolah, menjaga si
kecil berusia 3 tahun dan setelah anak pulang ke sekolah pada sebelah
tengahari, si ayah keluar mencari rezeki dengan memotong rumput sambil
tugas rumah diambil alih oleh anak-anak. Mesin rumput yang digunakan terpaksa
dijual ketika anak sulung ingin memasuki universiti dan buat masa ini,
si ayah terpaksa meminjam mesin rumput daripada seorang kawan.
Inilah kisah 2 keluarga yang saya lawati
pagi tadi. Banyak lagi kisah dalam masyarakat kita yang tidak kita
ketahui, kecuali kita turun ke padang dan merasai kesempitan kehidupan
mereka. Saya mengambil.kesempatan ini untuk
mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang Bakul Ramadhan.
Semoga apa yang telah anda sumbangkan dapat meringankan penderitaan
keluarga yang tidak bernasib baik ini.
Ini merupakan pengalaman bermakna untuk
anak-anak saya supaya mereka dapat menghargai nikmat kesenangan yang
Allah berikan kepada mereka dan supaya mereka menjadi generasi yang
cakna ummah. Ini permasalahan dalam masyarakat kita
sedangkan banyak lagi permasalahan di luar sana seperti isu Palestin dan
Syria, yang perlu kepada keprihatinan daripada kita semua.
Oleh : Dr. Murizah bt Mohd Zain



No comments
Post a Comment