Sehingga Ke Tua, Tidak Disenangi Ibu Tiri
BERCAKAP
tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular arwah Ibrahim Pendek mari kita lihat siapa yang kena!!, dalam filem Ali Baba
Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel dan ketika kami
berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu dan beradik tiri. Pengalaman
pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu. Walaupun
umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib. Namun bukan semua ibu tiri jahat,
malah ada ibu tiri yang didera anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika
anak-anak tiri cekap, ibu tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap,
anak-anak tiri akan terkena dan hidup menderita.
Dapat ibu tiri cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa sahaja
katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu diceraikan.
Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang kakak dan abang. Oleh kerana ibu tak bekerja, maka
dia terpaksa bawa kami ke rumah opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah
ibu bercerai sebab kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah
tak ada asalkan ibu tak terseksa. Tetapi kami tak tahu ada masalah
lain lebih besar lagi. Kehadiran kami menambah beban hidup opah yang memang
sedia susah. Opah menoreh getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami.
Tetapi tak sampai dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah
kami dengan opah.
Cuba pembaca bayangkan nasib dan
kehidupan kami ketika itu. Opah yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan
kami. Waktu itu kakak baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang
abang berusia 10 tahun. Apa yang menyedihkan kami, ayah
tidak pernah ambil tahu tentang kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak
rumah ayah dengan rumah opah cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah,
banyak benda yang tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam
basikal kawan pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku
dan pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan isterinya,
tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka tengking dan pukul.
Ketika itu ayah sudah ada anak
baru, mula-mula seorang akhirnya bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat
jumpa ayah. Kalau dapat jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika
itu kami macam yatim piatu. Kata opah dia tidak ada daya upaya
membiayai persekolahan kami adik beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan
pelajaran hingga tingkatan lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa
berhenti sekolah, cari kerja. Walaupun ayah-ayah saudara
(anak-anak opah) ada hulurkan bantuan, hanya cukup untuk beli makanan sebab
mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat
makan pun sudah cukup baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh,
nak naik bas perlukan duirt, mana nak cari.
Walaupun ayah kata dia tak ada
duit, tetapi kami tanggungjawabnya. Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak
boleh minum milo, sedangkan kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o
kosong. Tunggu hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi
manis. Pernah juga kami dapat duit dari
ibu tiri seringgit dua, itu pun kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik
cepat kerana tak selesa tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai
ayah balik. Tetapi apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal
80-an? Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik.
Kakak kerja tak lama sebab kahwin
dengan tentera. Tak lama lepas itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak
tinggal di rumahnya. Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah,
cari kerja untuk hidup. Dah nasib kami. Boleh dikatakan saya bukan sahaja
dibesarkan oleh kakak dan abang ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga
tingkatan lima. Agaknya kerana keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini
hidup mereka cukup senang, suaminya dah berpangkat tinggi. Bila kami adik-beradik nak kahwin,
perkataan yang keluar dari mulut ibu tiri, biarlah mereka ada
duit"...apa maksud cakapnya, pembaca fikirlah sendiri.
Setelah berkahwin dan ada anak,
bila cuti atau hari raya, saya akan ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari.
Tujuannya hendak bermesra dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi
anak-anak boleh bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran
mereka tidak disenangi. Tidak mahu serabutkan fikiran,
maka saya kurangkan balik kampung dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan
tak sanggup lagi bermalam di rumah ayah. Saya cuba hubungi ayah, bercakap
dengannya melalui telefon tapi biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya
telefon jauh, ayah tak boleh bergerak. Macam-macam lagi.
Moral ceritanya daripada
pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak
yang beribu tiri. Ada antara mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan
buruk sangka serta paling teruk jadi pendendam. Kini setelah dewasa dan
berkeluarga, saya amat menghargai sebuah keluarga bahagia. Saya berjanji akan
memelihara dan menghargai keutuhan dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi. Hanya mereka yang senasib tahu
betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri. Nasihat saya kepada ayah-ayah di
luar sana, jika terpaksa berkahwin lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab
lain, fikirkanlah nasib anak-anak terutama yang masih kecil.
Kepada anak-anak yang telah dewasa
dan punya hidup sendiri, ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan
orang tua yang tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada
yang membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang. Itu cerita Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.
Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments
Post a Comment