SLIDER

Di Fitnah Saudara-Mara Di Laman Sosial


Kepulangan Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana diharapkan. Dia yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan dirinya amat tidak difahami. Dia yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan layanan daripada sepupu-sepupu yang lain. “Keluarga nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.

“Tetapi kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini. Namun menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada pagi Syawal. Linda yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya, sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.

Masih teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata mereka. Selalunya, dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan. “Namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,” katanya. Akhirnya, menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu, segalanya terbongkar. Itupun selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.

Setelah dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial seperti facebook, we chat dan whats app. “Aplikasi laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai dalam perkumpulan berkenaan. “Sepatutnya laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.

“Inilah yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats app sendiri,” jelas Linda. Apa yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini. Bukan sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi oleh datuk dan neneknya. Daripada risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.

Sepupunya yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah terhadap Linda. “Rasa marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mengenali saya sepenuhnya. “Dari sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.

“Dari situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela diri. Apa-apa pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan. “Mereka tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.

Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.