SLIDER

fitnah
Showing posts with label fitnah. Show all posts

Apabila Suami Di Goda Jiran

11 Apr 2018


KISAH minggu ini untuk kita baca dan cermin diri sendiri. Benarkah ‘wanita adalah musuh besar kaum wanita sendiri?’ Sebab terdapat sesetengah wanita suka menggoda suami kaum sejenisnya lantas menghancurkan masa depan mahupun kehidupan keluarga wanita itu sendiri. Demikian e-mel Ros kepada penulis dua kali selepas surat dari seberang laut yang dihantar tidak sampai ke tangan penulis. Ketika kami berbual tiga kali melalui telefon, Ros memberitahu, dia sudah lama berhasrat menghubungi penulis tetapi keadaan tidak mengizinkan. Cuma baru-baru ini apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi beliau berusaha hingga berjaya menghubungi penulis minggu lalu.

Ros tidak lagi tinggal di Malaysia, setelah bersara awal dari perkhidmatan kerajaan dua tahun lalu. Beliau mengikut suaminya yang tinggal di seberang laut. Menurut Ros, walaupun masalah yang dihadapinya masalah biasa, tetapi sebagai wanita dan isteri yang terlalu sayangkan rumah tangganya, beliau ingin menyelamatkan perkahwinannya dari menghadapi keruntuhan dan berharap wanita yang mengganggu hidupnya itu membaca kisah ini dan insaflah bahawa perbuatannya bukan sahaja salah, malah berdosa besar. ‘‘Tujuan saya memaparkan masalah ini bukan untuk mencerca, sebaliknya mengharapkan wanita tersebut cepat berubah, jangan lagi mengganggu suami saya, sebaliknya layani dan sayangilah suaminya. 

‘‘Seperkara lagi tolonglah jangan menghasut anak-anak anda membenci saya dan bertindak keterlaluan merosakkan rumah yang saya tinggalkan, begitu juga pada jiran-jiran, jangan terus berbohong menegakkan benang basah, di samping menyembunyikan perbuatan keji yang dilakukan. ‘‘Masalah saya ini bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah hampir 10 tahun berkahwin dengan warga negara asing bernama Zaky yang kebetulan ketika itu berkhidmat beberapa tahun di negara ini. ‘‘Perkahwinan kami melalui perkenalan oleh seorang kawan baik. Ketika itu Zaky seorang duda. Bekas isterinya sudah pulang ke negara asal sementara anak-anak tinggal di rumah beliau di negaranya.

‘‘Setelah tamat perkhidmatan Zaky kembali ke negaranya. Tinggallah saya sendirian. Sebulan atau dua minggu sekali beliau akan datang menemui saya di utara Malaysia. Di situlah bermula segala-galanya. Kerana setelah berhenti kerja dia sering berada di rumah, dia berbaik-baik dengan jiran tetangga. Tetapi jiran sebelah rumah kami yang seorang ini, Masni namanya lain sikit, sikap dan perbuatan beliau berbeza sekali. ‘‘Sebagai contoh dia hanya berbual dan berkawan dengan Zaky tidak dengan saya, bila nampak saya balik kerja, dia terus masuk rumah dan tidak mahu menegur saya. Kalau saya tegur, dia tak jawab. Memang sombong sejak dulu, kami yang tinggal setaman dah kenal perangai beliau. 

Dia merasakan dirinya orang berada, kaya, ayahnya orang ternama dan suaminya ada kilang. Kelebihannya dia cantik, jadi kami jiran setaman tak layak dibuat kawan. ‘‘Kerana suka berbual dengan Zaky, beliau sering mengajak Zaky makan dan minum petang di rumahnya. Semua itu tidak menjadi masalah kalau suami beliau ada bersama. Tapi masalahnya, suaminya strok dan terlentang tak boleh bangun dibiarkan di bilik atas banglonya. Sementara tiga anaknya tidak tinggal bersama kerana seorang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, dua orang lagi menuntut di IPTA.

‘‘Jadi pada siang hari mudahlah mereka berbual dan bertandang kerana tidak ada siapa yang menegur dan menghalang. Mulanya saya tidak ambil pusing, sebab saya bekerja tentulah Zaky memerlukan teman berbual. Tetapi layanan Masni lain sikit. ‘‘Hubungan sulit mereka terbongkar apabila satu hari Zaky melahirkan resahnya sambil berkata, adalah tidak adil bagi suami Masni tidak ceraikan isterinya, sedangkan dia tidak boleh berfungsi sebagai suami. Bila saya tanya maksudnya, katanya, dia kesian dengan Masni sudah beberapa tahun tidak mendapat layanan batin.

‘‘Rasa kasihan yang agak pelik ini membuat saya bertanya bagaimana dia tahu perasaan Masni. Katanya, Masni selalu memberitahu masalah batinnya. Kemudian saya tanya kembali Zaky apa perasaannya kalau ditakdirkan dia strok patutkah saya minta cerai? Sudah tentu dia kecil hati. Kata saya, adalah menjadi tanggungjawab isteri menjaga suami yang sakit, bukan saja semasa sihat dan senangnya. Bukankah perkahwinan ini mengharapkan kesetiaan hingga ke akhir hayat, sama-sama susah dan senang. Zaky terdiam.

‘‘Peliknya Masni tidak pernah menceritakan masalahnya pada saya. Saya hairan mengapa dia lebih percaya dan dekat sekali dengan Zaky? Pada mulanya saya percayakan Zaky kerana dia memang alim tetapi perbuatannya suka bertandang ke rumah Masni membuatkan saya jadi curiga. ‘‘Untuk memastikan dia di rumah, saya sering telefon Zaky pagi dan petang, memang Zaky tak jawab. Bila saya tanya, katanya, dia ada di rumah dan tak dengar bunyi telefon. Memang pelik. Jadi ke mana dia pergi kalau tidak ke rumah Masni? 

‘‘Isteri manakah yang dapat menutup mata, hati dan perasaan terhadap suami yang kian berubah? Walaupun dia sering berang kalau saya tanya hubungannya dengan Masni, namun saya tetap bertanya. Dan dia menafikan ada hubungan dengan Masni. ‘‘Kerana Zaky lekas baran, saya jumpa Masni satu hari dengan harapan dia sedar perbuatan kejinya itu. Tetapi Masni menafikan dan tidak mahu bersumpah dengan al-Quran. Bila saya kata, perbuatannya berdua-duaan dengan suami saya itu berdosa dia memberitahu, dia cuma berbincang dan hanya meminta nasihat Zaky. Kalau nak bincang mengapa tak tanya saya atau kadi mengapa minta nasihat orang lelaki, dan mengapa dia suka melarikan diri setiap kali saya balik kerja atau ketika bersua muka dan mengapa dia tidak menjawab bila saya tegur. Dia membisu tidak menjawab.

‘‘Sebagai usaha untuk meredakan keadaan, saya minta Zaky tidak datang ke Malaysia tetapi saya akan menemuinya, walaupun itu bermakna saya akan menghabiskan ribuan ringgit dan cuti kerana berulang alik ke negerinya. ‘‘Malangnya tindakan saya itu juga tidak berjaya kerana mereka masih berhubung melalui telefon, Internet dan berjumpa. Ketika anak-anaknya cuti semester dan saya ada di Malaysia kerana bekerja, saya lihat Masni tidak ada di rumah, kata anak-anaknya ibunya ke rumah datuk. Dan logikkah alasan Masni bertandang ke rumah besan, sedangkan anak menantunya disuruh jaga suaminya di rumah. Tindakannya menimbulkan prasangka mungkinkah dia menemui suami saya di luar negara?

‘‘Pada zaman syarikat penerbangan MAS mempunyai penerbangan terus dua tiga kali seminggu ke negara suami saya memang mudah untuk Masni ke sana walaupun dua tiga hari bagi melepaskan rindu. ‘‘Sebenarnya saya tak sangka niat baik saya mengizin dan membenarkan Zaky pergi menjenguk suami Masni yang strok pada mulanya dulu telah membawa padah kepada hubungan kami suami isteri.‘‘Saya benar-benar tidak menyangka Masni sanggup membelakangkan suaminya sedangkan suaminya memberikan segala-galanya. Depan suami saya, Masni sanggup mengutuk dan memanggil suaminya dayus kerana tidak menceraikannya. Sedangkan dia tidak pernah minta cerai.

‘‘Masni bukan muda lagi, usianya sudah menjangkau 50-an tahun dan sudah ada cucu, tetapi sanggup menduakan suaminya. Untuk menutup perbuatan maksiatnya, beliau memburukkan saya pada jiran-jiran dan anak-anaknya. Kalau dulu dia tak suka berbaik dengan jiran, tetapi sejak saya bercerita dengan jiran baik saya tentang perbuatannya yang kurang manis itu beliau telah berbaik dengan jiran lain menafikan cerita saya sambil memburuk-burukkan saya. ‘‘Akibatnya saya dipandang serong oleh jiran-jiran. Pada sangkaan mereka takkanlah wanita kaya, cantik, dari keluarga berada itu sanggup bertindak serong. 

Dan anak-anaknya yang masih menuntut di IPTA pula dihasut memusuhi saya, hingga mereka sanggup merosakkan pokok-pokok tanaman saya. Bukan setakat potong dan gunting pokok pagar saya, malah meracunnya sampai mati.‘‘Kalaulah jiran-jiran boleh merenung sejenak, apakah perasaan mereka jika suami mereka digoda oleh jiran, tentu mereka faham perasaan saya. Jangan sangka wanita kaya, cantik, anak orang kaya serta lembut, pijak semut tak mati itu baik dan tak pandai goda suami orang. ‘‘Namun ada juga jiran yang percaya dan menjauhkan diri dari saya. 

Saya juga nasihatkan Masni supaya jangan goda suami saya lagi dengan mempamerkan tubuhnya dengan berpakaian malam yang tipis di belakang rumah, supaya Zaky dapat melihatnya dari rumah kami. Dia dah lama buat hal ni. Satu hari dia terperangkap apabila saya yang keluar di pintu belakang.‘‘Kerana termalu sebab itulah dia hasut anak-anaknya racun pokok pagar saya sampai mati, supaya dia boleh buat free show untuk suami saya. Saya cuba jumpa dia secara empat mata tetapi dia mengelak.

‘‘Saya pernah perangkap suami saya dan Masni dengan balik rumah dari pejabat lebih awal dari biasa. Puas saya ketuk pintu Zaky lambat buka. Bila saya jenguk belakang rumah, saya nampak kelibat Masni berlari balik ke rumahnya. ‘‘Zaky juga menyimpan gambar Masni dalam komputernya. Saya juga jumpa bukti Masni datang ke rumah Zaky di sini (di luar negara) setiap kali saya balik ke Malaysia. Saya nampak butiran batu manik tudung yang berkilat di atas karpet dan katil, sedangkan saya tidak ada tudung dan baju berbatu manik seumpama itu. Lagipun Zaky tidak suka. Hanya Masni suka pakai tudung dan baju berbatu manik. Dan rumah kami tidak pernah dikunjungi orang Malaysia. Jadi siapa lagi yang datang?

‘‘Kalau anak-anaknya pandai mereka boleh perangkap ke mana sebenarnya ibu mereka pergi. Setiap kali ibunya mendakwa ke rumah datuk, mereka boleh pergi cari atau telefon bertanya apakah cerita ibunya benar atau tidak. Tapi Masni memang pandai, dia yang sering telefon anak-anaknya konon bertanyakan suaminya. ‘‘Satu lagi bukti, pernah terjadi satu hari saya ajak Zaky singgah membeli-belah di sebuah kompleks yang baru dibuka. Zaky berkata berapa kali lagi saya nak pergi ke kompleks itu. Sedangkan saya tak pernah pergi, bila saya beritahu Zaky saya tak pernah pergi dan dengan siapa dia pergi, Zaky tergamam kerana terperangkap bahawa dia pernah pergi dengan Masni.

‘‘Saya telah berkorban berhenti kerja lebih awal mengikut Zaky demi kebahagiaan kami, tapi sia-sia. Mereka tetap berhubung. Saya berdoa agar Masni akan berasa akibatnya. Apa perasaannya kalau menantunya curang dan menggoda suami orang. Kerana saya yakin setiap perbuatan kita sama ada baik atau buruk akan ada pembalasannya dari Allah. Dan fikirlah juga apa hukumnya kalau menduakan suami terutama suami yang sedang sakit. Bertaubatlah Masni,’’ demikian cerita Ros. Katanya, dia tidak menyangka skandal wanita di bandar kecil juga hebat bukan setakat di KL saja.

Inilah dunia, dan inilah manusia. Yang membezakan sikap manusia antara satu sama lain cuma akal, jika akal tidak digunakan dengan baik, tanpa disokong dengan didikan agama semua perkara buruk boleh berlaku. Tak kira di mana mereka berada. Semoga doa Ros agar rumah tangganya kembali aman dimakbulkan Allah.

Kredit : UtusanMalaysia

Isteri Bekas Suami Tuduh Saya Gila Talak

29 Sept 2017



Saya Rose (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an, mempunyai dua anak perempuan, berusia lapan dan 11 tahun. Saya ibu tunggal, berpisah dengan suami empat tahun lalu kerana orang ketiga. 
 
“Syukur, sebab saya bekerja walaupun gaji tidak seberapa tetapi saya gembira kerana anak-anak di bawah jagaan saya sepenuh masa dan bekas suami boleh melawat anak-anaknya pada bila-bila masa. 

“Perkahwinan kami dahulu kerana cinta. Dua tahun menyulam kasih, hancur begitu sahaja kerana dia beralih kasih. Cintanya rapuh. Janjinya hanya separuh jalan untuk bersama saya. 

“Saya reda dengan perpisahan ini. Saya menyifatkan jodoh kami hanya sampai setakat itu. Tiga bulan selepas berpisah, bekas suami bernikah dengan gadis yang menjadi skandalnya semasa masih menjadi suami saya. 

“Saya tidak terkejut. Lebih baik begitu daripada saya dimadukan. Tak sanggup hidup dengan lelaki yang menduakan kasih sayangnya kepada saya. 

“Setahun berlalu, keadaan aman, anak-anak gembira dengan saya. Kami hidup secara sederhana. Apa yang ada itulah yang kami makan. Saya tidak ajar anak mewah dengan hidup seperti masa ayah mereka ada.  

“Saya didik mereka dengan baik. Ada masa belajar, mengaji, solat dan bermain. Awal tahun ini, saya tengok dua anak saya mula berubah perangai. 

“Balik sahaja dari rumah ayah mereka, keadaan mereka berubah. Mengaji kena suruh, baca buku juga kena paksa. Lebih banyak main daripada belajar. Cakap saya sudah tak didengar. 

“Setelah memujuk dan bertanya dengan baik, saya dapat tahu semasa mereka ke rumah ayah mereka, mereka tidak pernah disuruh buat apa yang saya suruh mereka buat. 

“Mak tiri pun tidak pernah ambil tahu hal mereka, sebab sibuk uruskan anak dia. Mereka bawa diri sendiri. Makan sendiri dan banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan bermain.
“Kerana tidak mahu perkara itu berterusan, saya hubungi bekas suami bertanyakan hal itu. Dia melenting dan tuduh saya kata dia tak pandai jaga anak. Mengeruhkan keadaan, isterinya pula masuk campur. 

“Dituduhnya saya cuba menggoda suaminya semula. Siap dimaki hamunnya saya dengan kata-kata kesat, sedangkan dia tahu saya sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan suaminya lagi. 

“Tidak cukup dengan telefon, dia kirim mesej dan WhatsApp macam-macam kepada saya. Tuduh saya gatal dan gila talak. Cetek sungguh fikiran dia. Agaknya dia lupa yang dia yang menggatal mengorat suami saya dahulu. 

“Saya apa lagi, ‘belasah’ dia habis-habisan dengan kata-kata azimat saya. Saya minta dia bertaubat dan jangan kacau saya dan anak-anak saya. Saya pun tak ingin nak rebut kembali suami dia. 

“Yang saya utamakan sekarang adalah anak-anak saya. Masa depan mereka dan pelajaran mereka. Saya tidak mahu anak-anak saya dididik dengan cara yang tidak sepatutnya. Saya tidak mahu bekas suami abaikan anak-anak kami apabila bersamanya. 

“Saya minta dia jaga kebajikan anak-anak kami sekiranya mereka ada bersamanya. Jaga makan minum mereka, layan mereka dengan kasih sayang. Jangan biarkan mereka dengan hal sendiri. 

“Saya juga minta dia bagi tahu isterinya, jangan racun fikiran anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka keliru dengan hidup mereka. Saya mahu anak-anak berjaya dalam pendidikan dan hidup mereka di dunia dan akhirat. 

“Saya juga pelik dengan perangai isteri bekas suami. Apa lagi yang dia hendak. Suami saya dah diambilnya. Anak-anak juga diberi hak berjumpa ayah mereka tanpa halangan walaupun nafkah yang diberi macam biskut chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada. 

“Saya malas naik turun mahkamah, nak tuntut nafkah anak-anak, dah empat tahun, tak ada perubahan. Bekas suami macam itu juga, berhabis untuk keluarga baharunya, ada duit tapi untuk anak-anak dengan bekas isteri, selalu tak cukup. 

“Semoga Allah lindungi saya dan anak-anak dan tempatkan kami di bawah rahmat dan lindungan-Nya setiap waktu. Mudah-mudahan kami tiga beranak bahagia dengan cara kami di dunia dan akhirat. 

“Kepada suami di luar sana, pesan saya jangan abaikan anak-anak kalau sudah kahwin lain. Kepada isteri yang merampas suami orang, jangan keterlaluan melayan anak-anak tiri. Jagalah dengan kasih sayang, ingat anak-anak itu tidak berdosa.
Mereka tidak tahu apa-apa. Saya berdoa supaya bekas suami dan isterinya akan sedar dan kembali ke pangkal jalan,” kata Rose menamatkan ceritanya. 

Itulah lumrah hidup yang perlu kita hadapi. Saya harap Rose akan terus bersabar. Insya-Allah banyak berdoa, Allah akan buka jalan untuk semua masalah yang Rose hadapi. Abaikan perangai isteri bekas suami, asalkan Rose tetap dengan cara berhemah dan mulia seorang wanita dan ibu. 

Menamatkan catatan, pesanan saya, hargai orang lain dan jangan berdendam. Hidup itu sederhana, asal kita tidak menjadikannya rumit dan menyusahkan.
Salam

Lepaskan Jawatan Tinggi Gara-gara Difitnah Dan Di Goda Isteri Orang

30 May 2017

DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia. Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia. Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun berlalu tetapi masih segar dalam ingatan. Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya. 

Begini kisah Zabidi.

"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran. "Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.

"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri. "Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.

"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat. "Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri. 

"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan. "Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.

"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama. "Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan. "Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U. 

"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga. "Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya. "Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah ‘masak’ dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.

"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya. "Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.
"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.

"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang. "Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu. "Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.

"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi. "Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.

"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami. "Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan. "Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya. "Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.

"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin,’’ Zabidi menamatkan ceritanya. Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya. Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.

Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat. Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.

Salam

Kredit : UtusanMalaysia

Di Fitnah Saudara-Mara Di Laman Sosial

30 Apr 2017


Kepulangan Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana diharapkan. Dia yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan dirinya amat tidak difahami. Dia yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan layanan daripada sepupu-sepupu yang lain. “Keluarga nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.

“Tetapi kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini. Namun menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada pagi Syawal. Linda yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya, sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.

Masih teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata mereka. Selalunya, dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan. “Namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,” katanya. Akhirnya, menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu, segalanya terbongkar. Itupun selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.

Setelah dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial seperti facebook, we chat dan whats app. “Aplikasi laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai dalam perkumpulan berkenaan. “Sepatutnya laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.

“Inilah yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats app sendiri,” jelas Linda. Apa yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini. Bukan sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi oleh datuk dan neneknya. Daripada risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.

Sepupunya yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah terhadap Linda. “Rasa marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mengenali saya sepenuhnya. “Dari sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.

“Dari situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela diri. Apa-apa pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan. “Mereka tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.

Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.