SLIDER

digoda
Showing posts with label digoda. Show all posts

Apabila Suami Di Goda Jiran

11 Apr 2018


KISAH minggu ini untuk kita baca dan cermin diri sendiri. Benarkah ‘wanita adalah musuh besar kaum wanita sendiri?’ Sebab terdapat sesetengah wanita suka menggoda suami kaum sejenisnya lantas menghancurkan masa depan mahupun kehidupan keluarga wanita itu sendiri. Demikian e-mel Ros kepada penulis dua kali selepas surat dari seberang laut yang dihantar tidak sampai ke tangan penulis. Ketika kami berbual tiga kali melalui telefon, Ros memberitahu, dia sudah lama berhasrat menghubungi penulis tetapi keadaan tidak mengizinkan. Cuma baru-baru ini apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi beliau berusaha hingga berjaya menghubungi penulis minggu lalu.

Ros tidak lagi tinggal di Malaysia, setelah bersara awal dari perkhidmatan kerajaan dua tahun lalu. Beliau mengikut suaminya yang tinggal di seberang laut. Menurut Ros, walaupun masalah yang dihadapinya masalah biasa, tetapi sebagai wanita dan isteri yang terlalu sayangkan rumah tangganya, beliau ingin menyelamatkan perkahwinannya dari menghadapi keruntuhan dan berharap wanita yang mengganggu hidupnya itu membaca kisah ini dan insaflah bahawa perbuatannya bukan sahaja salah, malah berdosa besar. ‘‘Tujuan saya memaparkan masalah ini bukan untuk mencerca, sebaliknya mengharapkan wanita tersebut cepat berubah, jangan lagi mengganggu suami saya, sebaliknya layani dan sayangilah suaminya. 

‘‘Seperkara lagi tolonglah jangan menghasut anak-anak anda membenci saya dan bertindak keterlaluan merosakkan rumah yang saya tinggalkan, begitu juga pada jiran-jiran, jangan terus berbohong menegakkan benang basah, di samping menyembunyikan perbuatan keji yang dilakukan. ‘‘Masalah saya ini bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah hampir 10 tahun berkahwin dengan warga negara asing bernama Zaky yang kebetulan ketika itu berkhidmat beberapa tahun di negara ini. ‘‘Perkahwinan kami melalui perkenalan oleh seorang kawan baik. Ketika itu Zaky seorang duda. Bekas isterinya sudah pulang ke negara asal sementara anak-anak tinggal di rumah beliau di negaranya.

‘‘Setelah tamat perkhidmatan Zaky kembali ke negaranya. Tinggallah saya sendirian. Sebulan atau dua minggu sekali beliau akan datang menemui saya di utara Malaysia. Di situlah bermula segala-galanya. Kerana setelah berhenti kerja dia sering berada di rumah, dia berbaik-baik dengan jiran tetangga. Tetapi jiran sebelah rumah kami yang seorang ini, Masni namanya lain sikit, sikap dan perbuatan beliau berbeza sekali. ‘‘Sebagai contoh dia hanya berbual dan berkawan dengan Zaky tidak dengan saya, bila nampak saya balik kerja, dia terus masuk rumah dan tidak mahu menegur saya. Kalau saya tegur, dia tak jawab. Memang sombong sejak dulu, kami yang tinggal setaman dah kenal perangai beliau. 

Dia merasakan dirinya orang berada, kaya, ayahnya orang ternama dan suaminya ada kilang. Kelebihannya dia cantik, jadi kami jiran setaman tak layak dibuat kawan. ‘‘Kerana suka berbual dengan Zaky, beliau sering mengajak Zaky makan dan minum petang di rumahnya. Semua itu tidak menjadi masalah kalau suami beliau ada bersama. Tapi masalahnya, suaminya strok dan terlentang tak boleh bangun dibiarkan di bilik atas banglonya. Sementara tiga anaknya tidak tinggal bersama kerana seorang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, dua orang lagi menuntut di IPTA.

‘‘Jadi pada siang hari mudahlah mereka berbual dan bertandang kerana tidak ada siapa yang menegur dan menghalang. Mulanya saya tidak ambil pusing, sebab saya bekerja tentulah Zaky memerlukan teman berbual. Tetapi layanan Masni lain sikit. ‘‘Hubungan sulit mereka terbongkar apabila satu hari Zaky melahirkan resahnya sambil berkata, adalah tidak adil bagi suami Masni tidak ceraikan isterinya, sedangkan dia tidak boleh berfungsi sebagai suami. Bila saya tanya maksudnya, katanya, dia kesian dengan Masni sudah beberapa tahun tidak mendapat layanan batin.

‘‘Rasa kasihan yang agak pelik ini membuat saya bertanya bagaimana dia tahu perasaan Masni. Katanya, Masni selalu memberitahu masalah batinnya. Kemudian saya tanya kembali Zaky apa perasaannya kalau ditakdirkan dia strok patutkah saya minta cerai? Sudah tentu dia kecil hati. Kata saya, adalah menjadi tanggungjawab isteri menjaga suami yang sakit, bukan saja semasa sihat dan senangnya. Bukankah perkahwinan ini mengharapkan kesetiaan hingga ke akhir hayat, sama-sama susah dan senang. Zaky terdiam.

‘‘Peliknya Masni tidak pernah menceritakan masalahnya pada saya. Saya hairan mengapa dia lebih percaya dan dekat sekali dengan Zaky? Pada mulanya saya percayakan Zaky kerana dia memang alim tetapi perbuatannya suka bertandang ke rumah Masni membuatkan saya jadi curiga. ‘‘Untuk memastikan dia di rumah, saya sering telefon Zaky pagi dan petang, memang Zaky tak jawab. Bila saya tanya, katanya, dia ada di rumah dan tak dengar bunyi telefon. Memang pelik. Jadi ke mana dia pergi kalau tidak ke rumah Masni? 

‘‘Isteri manakah yang dapat menutup mata, hati dan perasaan terhadap suami yang kian berubah? Walaupun dia sering berang kalau saya tanya hubungannya dengan Masni, namun saya tetap bertanya. Dan dia menafikan ada hubungan dengan Masni. ‘‘Kerana Zaky lekas baran, saya jumpa Masni satu hari dengan harapan dia sedar perbuatan kejinya itu. Tetapi Masni menafikan dan tidak mahu bersumpah dengan al-Quran. Bila saya kata, perbuatannya berdua-duaan dengan suami saya itu berdosa dia memberitahu, dia cuma berbincang dan hanya meminta nasihat Zaky. Kalau nak bincang mengapa tak tanya saya atau kadi mengapa minta nasihat orang lelaki, dan mengapa dia suka melarikan diri setiap kali saya balik kerja atau ketika bersua muka dan mengapa dia tidak menjawab bila saya tegur. Dia membisu tidak menjawab.

‘‘Sebagai usaha untuk meredakan keadaan, saya minta Zaky tidak datang ke Malaysia tetapi saya akan menemuinya, walaupun itu bermakna saya akan menghabiskan ribuan ringgit dan cuti kerana berulang alik ke negerinya. ‘‘Malangnya tindakan saya itu juga tidak berjaya kerana mereka masih berhubung melalui telefon, Internet dan berjumpa. Ketika anak-anaknya cuti semester dan saya ada di Malaysia kerana bekerja, saya lihat Masni tidak ada di rumah, kata anak-anaknya ibunya ke rumah datuk. Dan logikkah alasan Masni bertandang ke rumah besan, sedangkan anak menantunya disuruh jaga suaminya di rumah. Tindakannya menimbulkan prasangka mungkinkah dia menemui suami saya di luar negara?

‘‘Pada zaman syarikat penerbangan MAS mempunyai penerbangan terus dua tiga kali seminggu ke negara suami saya memang mudah untuk Masni ke sana walaupun dua tiga hari bagi melepaskan rindu. ‘‘Sebenarnya saya tak sangka niat baik saya mengizin dan membenarkan Zaky pergi menjenguk suami Masni yang strok pada mulanya dulu telah membawa padah kepada hubungan kami suami isteri.‘‘Saya benar-benar tidak menyangka Masni sanggup membelakangkan suaminya sedangkan suaminya memberikan segala-galanya. Depan suami saya, Masni sanggup mengutuk dan memanggil suaminya dayus kerana tidak menceraikannya. Sedangkan dia tidak pernah minta cerai.

‘‘Masni bukan muda lagi, usianya sudah menjangkau 50-an tahun dan sudah ada cucu, tetapi sanggup menduakan suaminya. Untuk menutup perbuatan maksiatnya, beliau memburukkan saya pada jiran-jiran dan anak-anaknya. Kalau dulu dia tak suka berbaik dengan jiran, tetapi sejak saya bercerita dengan jiran baik saya tentang perbuatannya yang kurang manis itu beliau telah berbaik dengan jiran lain menafikan cerita saya sambil memburuk-burukkan saya. ‘‘Akibatnya saya dipandang serong oleh jiran-jiran. Pada sangkaan mereka takkanlah wanita kaya, cantik, dari keluarga berada itu sanggup bertindak serong. 

Dan anak-anaknya yang masih menuntut di IPTA pula dihasut memusuhi saya, hingga mereka sanggup merosakkan pokok-pokok tanaman saya. Bukan setakat potong dan gunting pokok pagar saya, malah meracunnya sampai mati.‘‘Kalaulah jiran-jiran boleh merenung sejenak, apakah perasaan mereka jika suami mereka digoda oleh jiran, tentu mereka faham perasaan saya. Jangan sangka wanita kaya, cantik, anak orang kaya serta lembut, pijak semut tak mati itu baik dan tak pandai goda suami orang. ‘‘Namun ada juga jiran yang percaya dan menjauhkan diri dari saya. 

Saya juga nasihatkan Masni supaya jangan goda suami saya lagi dengan mempamerkan tubuhnya dengan berpakaian malam yang tipis di belakang rumah, supaya Zaky dapat melihatnya dari rumah kami. Dia dah lama buat hal ni. Satu hari dia terperangkap apabila saya yang keluar di pintu belakang.‘‘Kerana termalu sebab itulah dia hasut anak-anaknya racun pokok pagar saya sampai mati, supaya dia boleh buat free show untuk suami saya. Saya cuba jumpa dia secara empat mata tetapi dia mengelak.

‘‘Saya pernah perangkap suami saya dan Masni dengan balik rumah dari pejabat lebih awal dari biasa. Puas saya ketuk pintu Zaky lambat buka. Bila saya jenguk belakang rumah, saya nampak kelibat Masni berlari balik ke rumahnya. ‘‘Zaky juga menyimpan gambar Masni dalam komputernya. Saya juga jumpa bukti Masni datang ke rumah Zaky di sini (di luar negara) setiap kali saya balik ke Malaysia. Saya nampak butiran batu manik tudung yang berkilat di atas karpet dan katil, sedangkan saya tidak ada tudung dan baju berbatu manik seumpama itu. Lagipun Zaky tidak suka. Hanya Masni suka pakai tudung dan baju berbatu manik. Dan rumah kami tidak pernah dikunjungi orang Malaysia. Jadi siapa lagi yang datang?

‘‘Kalau anak-anaknya pandai mereka boleh perangkap ke mana sebenarnya ibu mereka pergi. Setiap kali ibunya mendakwa ke rumah datuk, mereka boleh pergi cari atau telefon bertanya apakah cerita ibunya benar atau tidak. Tapi Masni memang pandai, dia yang sering telefon anak-anaknya konon bertanyakan suaminya. ‘‘Satu lagi bukti, pernah terjadi satu hari saya ajak Zaky singgah membeli-belah di sebuah kompleks yang baru dibuka. Zaky berkata berapa kali lagi saya nak pergi ke kompleks itu. Sedangkan saya tak pernah pergi, bila saya beritahu Zaky saya tak pernah pergi dan dengan siapa dia pergi, Zaky tergamam kerana terperangkap bahawa dia pernah pergi dengan Masni.

‘‘Saya telah berkorban berhenti kerja lebih awal mengikut Zaky demi kebahagiaan kami, tapi sia-sia. Mereka tetap berhubung. Saya berdoa agar Masni akan berasa akibatnya. Apa perasaannya kalau menantunya curang dan menggoda suami orang. Kerana saya yakin setiap perbuatan kita sama ada baik atau buruk akan ada pembalasannya dari Allah. Dan fikirlah juga apa hukumnya kalau menduakan suami terutama suami yang sedang sakit. Bertaubatlah Masni,’’ demikian cerita Ros. Katanya, dia tidak menyangka skandal wanita di bandar kecil juga hebat bukan setakat di KL saja.

Inilah dunia, dan inilah manusia. Yang membezakan sikap manusia antara satu sama lain cuma akal, jika akal tidak digunakan dengan baik, tanpa disokong dengan didikan agama semua perkara buruk boleh berlaku. Tak kira di mana mereka berada. Semoga doa Ros agar rumah tangganya kembali aman dimakbulkan Allah.

Kredit : UtusanMalaysia

Aku Menyesalll Sebab 'Jual Mahal'

28 Sept 2017


Terima kasih admin approve aku punya cerita. Okla aku xreti nak mula macam mana ni. Sebab cerita aku ni panjang. Aku cube cerita satu persatu. Sebenarnya zaman sekolah dulu trend adik angkat adik angkat ni sangatla famous, sampai aku sekali terjebak dengan trend tu. Tapi kisahnya adik tu yang mintak aku jadi kakak angkat dia. Haha rasa macam hot tapi tak sebenarnya. Haha 

Adik yang aku maksudkan ni lelaki tau, senang nama dia hadi, dia ni baik , sangat baik, zaman sekolah jujur aku cakap segala aktiviti yang aku buat semua dia ‘care’ dan ambil tahu, dan aku sedar aku bukanlah kakak yang baik, sebab dalam masa yang sama, ada budak tingkatan 3 minat kat aku jugak. Masa tu aku tingkatan 5. Aku tadelah cantik, tak tahu kenapa ramai adik – adik bawah aku minat kat aku, dan aku bukanlah kaki melayan tau. walhal batch sendiri tade sorang pon minat kat aku. Haha 

Oklah, aku nak cerita pasal hadi ni, aku nampak effort dia nak “lebih” dari kakak angkat dengan aku, tapi aku ignore je, sebab zaman tu nak spm, so aku memang tak endah pasal perasaan ni. Habis spm takdir allah rezeki aku baik, aku dapat better offer sambung overseas. Aku ingat hadi dah lupa kat aku, tapi sebenarnya tak, tiap kali aku balik malaysia pasti dia akan call aku tanya khabar, masatu dia study di johor. Aku macam acu tak acu je jawab, yela masatukan aku tak “rasa” pon ada perasaan dengan dia. Walhal aku sedar aku memang single dan time tu memang tak fikir pasal nak kahwin ni. 

Habis je study di overseas 4 tahun, aku pon balik malaysia, dengan segulung ijazah, time tu dah rasa boleh capai cita2 aku. Haha tapi sebenarnya belum lagi. Aku memang tak contact dengan si hadi ni. Tapi aku sedar dia selalu “PM” di FB aku, tapi di sebabkan bussy dan rasa tak penting aku tak balas pun. 

Aku mula masuk alam pekerjaan, dan dalam masa yang sama aku sambung belajar lagi, hadi? Aku tak tahu dia buat apa sekarang. Aku rasa hubungan tu dah tade apa – apa. Takdir allah, masa aku nak konvo, aku cari photografer untuk majlis konvo aku, cari punya cari semua full booked. And the end aku baru teringat kat hadi ni. Aku mula search balik fb dia dan start conversation. And alhamdulillah dia decided untuk terima job tu, even dia dah lama tak pengang camera. 

Kiteorang pon deal, untuk jumpa satu tempat untuk shoot photografer, cuba bayang dah 7 tahun tak jumpa, time tu rasa semua lain, dia yang dulu hingusan, sekarang aku tengok lebih matang dalam mengendali kehidupan. Alhamdulillah. Lepas je dari shoot tu. Kiteorang jadi rapat balik, kadang – kadang hang out. Walaupun si hadi ni bussy dengan kerja, dia memang akan cari masa kalau aku ajak hang out. 

Makin hari kenal si hadi ni, aku pulak jatuh cinta dengan dia, aku pun single memang tade sapa pun. Tapi persoalannya aku tak reti nak cakap dengan hadi yang aku suka kat dia. Aku sedar dia dah anggap dan terima aku sebagai “kakak”. Haha 

Aku nak pesan kat korang semua, jangan terlalu “mahal” sangat dan jangan terlalu “murah” sangat, kalau yang datang tu cukup agamanya, cukup semuanya cubalah untuk menerima. Jangan jadi macam aku, semua yang datang aku tolak, kemudian aku meroyan sorang – sorang. Haha 

Untuk hadi, bukan nama sebenar, saya sayang awak, cume awak tak sedar. Kejarlah azam baru awak. Moga awak enjoy dengan hidup awak! Saya saja tak nak whatsapp awak, sebab saya nak cube “move on” sebab saya tahu, kalau saya luahkan kat awak, awak tak terima saya. Last but not least saya terima kasih membaca, dan kalau ada idea boleh sharekan ye. 

Aku single
Mencari jodoh




Fasa Memikat Suami

2 Sept 2017


Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada awal 2016, seramai 274,000 pasangan telah bercerai sepanjang enam tahun sebelumnya.

Mengejutkan lagi apabila antara punca daftar penceraian yang disenaraikan adalah masalah komunikasi, campur tangan orang ketiga, pasangan yang tidak bertanggungjawab, masalah sosial atau akhlak, dan penggunaan media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram. 

Kebanyakan kes penceraian yang direkodkan itu melibatkan usia perkahwinan lima tahun ke bawah dan memberikan satu gambaran bahawa tempoh masa lima tahun pertama perkahwinan sangat kritikal dan penting.  

Apa kata, kita lupakan sebentar fakta tersebut dan menyelami isu ini dengan melihat apakah sebenarnya yang mungkin berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan. 

Selain itu, bagaimana seorang isteri masih boleh mencari jalan penyelesaian alternatif kepada cabaran dihadapi ini.  

Fasa Persaingan
Anda akui atau tidak, sewaktu mula-mula mengenali pasangan, sebolehnya anda ingin tampilkan versi diri yang terbaik bagi memikat hati si dia. Setiap pilihan pakaian dititikberatkan, penampilan secara keseluruhan menjadi keutamaan, segala-galanya menarik dan sedap mata memandang. Apatah lagi, semburan haruman sudah sebatu jauh pun masih boleh terbayang siapa pemiliknya. Anda bersaing secara tidak langsung, untuk mempersembah diri anda yang terbaik ketika itu.

Zon selesa
Sebaik usia perkahwinan menginjak ke tahun kedua dan seterusnya, diserikan pula dengan kehadiran si kecil – secara tidak langsung – si ibu akan lebih banyak menumpukan perhatian kepadanya. Berada pada fasa zon selesa, keperluan penjagaan dan penampilan diri sudah tidak lagi dititikberatkan kerana fokus dan tanggungjawab sudah beralih kepada si kecil itu tadi.

Percaya atau tidak, antara alasan yang biasa diberi oleh mereka adalah tiada masa untuk diri sendiri, menjaga imej itu tidak penting, malas untuk bersolek dan menjaga penampilan, barangan kelengkapan solekan yang agak mahal, tiada masa untuk membeli-belah, malah kedudukan kewangan yang tidak stabil.

Sebagai perunding imej yang sudah mengadakan bengkel bimbingan imej secara peribadi dan berkumpulan kepada ribuan peserta program daripada golongan wanita bekerjaya , usahawan, selebriti sehinggalah suri rumah tangga sepenuh masa, alasan dan pemilihan perkataan seperti saya malas, saya tiada masa, imej diri tidak penting - beginilah yang sedikit sebanyak telah mensabotaj imej mereka secara tidak langsung.  

Fasa Memikat
Saya boleh membayangkan senyuman anda di sini. Adakah anda hanya patut memikat suami sebelum kahwin sahaja? Oh, tentulah tidak. Lupakan ‘tabu’ bahawa wanita tidak elok memikat, ibarat hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Berpegang lama-lama kepada pantang larang sebegini tidak menjanjikan kebahagiaan juga jika tidak mencari, berusahalah dan terus mencuba. 

Dan fasa memikat ini tidak seharusnya berhenti, walaupun sudah sedekad atau separuh abad berumah tangga. Setuju? 

Perlukah cantik pada mata suami?
Ramai yang mungkin tidak ketahui bahawa menjaga imej , bukan sahaja tertumpu kepada penampilan dan penjagaan diri, tetapi juga tingkah laku dan cara kita berkomunikasi. Cantik luaran dan dalaman itu sangat perlu kerana ia memberikan gambaran yang positif kepada personaliti individu tersebut.

Seawal perkahwinan, terapkan komunikasi yang lebih terbuka dan telus, sentiasa bertanya khabar walaupun pasangan di tempat kerja, penggunaan intonasi suara yang baik ketika berbicara dan jadikan mereka sebagai kawan rapat di mana anda berdua sering saling memerlukan.  

Menariknya baru-baru ini , saya terpanggil untuk membuat kaji selidik secara terbuka kepada rakan-rakan di media sosial, dan melontarkan soalan seperti, berapa kerapkah perkataan magik ‘Saya sayang kamu (I love you)’ ini diucapkan kepada pasangan masing-masing.

Agak memeranjatkan juga, bila didapati ungkapan penting sebegini hanya diucapkan setahun sekali sama ada ketika ulang tahun perkahwinan atau sambutan hari jadi, malah ada yang tidak pernah sama sekali.

Jawapan yang diberi itu tadi , benar-benar buat saya termangu seketika. Menganalisis kembali statistik yang dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Di mana silapnya? 

Mungkin ada yang akan berasa jengkel dengan tajuk ini, perlukah kita cantik untuk suami? Sedangkan rata-rata akan menjawab, si suami patut dipertanggungjawabkan, bukanlah si isteri. 

Suami tidak lagi menunjukkan minat, takkan pula si isteri hendak beriya-iya pula. Ya benar, tetapi persoalannya, adakah anda sudah lakukan yang sebaik mungkin untuk si dia? 



Selain penampilan yang menarik dan sedap mata memandang, pilihan kata-kata, sentuhan kasih sayang dan peranan mengambil berat harus menjadi tanggungjawab bersama sedari awal perkahwinan lagi.

Cantik bukan hanya pada pandangan mata, tetapi komunikasi lisan dan bukan lisan bahasa tubuh belaian sentuhan, seperti semudah berpegangan tangan dengan pasangan. Lakukan sebagaimana anda mula-mula bercinta dahulu. Usah malu untuk memulakan sesuatu yang baik untuk diri sendiri dan pasangan. Malu jika segalanya sudah berakhir dan tiada apa lagi yang dapat diselamatkan.


Ayah DiGoda Jiran, Selepas Kematian Ibu

10 Jun 2017


Saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik, dua perempuan dan seorang lelaki. Dua adik saya masih belajar. Ibu saya telah kembali ke rahmatullah setahun lalu akibat kanser rahim. Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya terpaksa reda dan memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adik yang berusia 15 dan 19 tahun.

Saya sudah bekerja, jadi tidak ada masalah untuk uruskan rumah dan perbelanjaan adik-adik walaupun ayah memberi wang yang mencukupi untuk kami tiga beradik. Ayah saya seorang pegawai di sebuah bank berusia lewat 50-an, seorang yang kacak dan sentiasa menjaga penampilan. Dalam usia begitu, ayah masih ada peminat baik di tempat kerja atau di luar. 

Kami tiga beradik menerima kematian ibu dengan lapang dada dan berusaha untuk tidak menyusahkan ayah. Saya tahu ayah rindukan ibu tetapi dia tidak menunjukkannya kepada kami kerana mungkin tidak mahu kami sedih. Nenek sebelah ibu dan ayah telah berusaha untuk mencari jodoh untuk ayah. Tetapi ayah menolak dengan baik dan mengatakan ibu baru pergi. Nenek sangat berharap ayah kahwin lain supaya makan minum ayah terjaga walaupun saya ada.

Kata nenek, lebih senang ada isteri daripada bergantung kepada saya yang satu hari nanti akan berkahwin dan meninggalkan ayah dan adik-adik walaupun setakat ini, saya belum nampak ayah ada cita-cita ke arah itu. Saya tidak ada masalah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi biarlah dengan wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah serta serasi dengan kami tiga beradik. Itu yang penting, bukan berkahwin dengan ayah kerana ayah semata- mata.

Apa yang menjadi masalah sekarang, ayah melayan seorang wanita yang juga jiran kami di sebelah rumah. Sejak ibu meninggal, wanita ini yang saya panggil Cik Ina (bukan nama sebenar) semakin berani menegur ayah secara terbuka. Malah dia juga bersusah payah memasak lauk dan kuih-muih untuk kami anak beranak pada hujung minggu walaupun kami tak minta. Saya mula nampak perubahannya apabila dia selalu bertanyakan ayah kepada adik bongsu saya.

Saya mula bimbang, takut kalau-kalau dia masukkan apa-apa yang tidak baik dalam makanan yang diberinya kepada kami, terutama ayah tetapi saya tidak berani hendak beritahu ayah. Saya tidak mahu mempercayai perkara itu kerana tidak mahu dianggap syirik tetapi tingkah laku ayah semakin hari semakin berubah. Dia juga melayan Cik Ina walaupun sebelum ini ayah jarang berbual dengan perempuan lain terutama semasa ibu masih ada.

Kalau dahulu, ayah jarang berada di luar rumah, sekarang ayah banyak menghabiskan masanya membasuh kereta dan membersihkan halaman. Saya juga pelik dengan perubahan ayah. “Setiap kali ayah keluar, Cik Ina pun keluar. Kadang-kadang dia buat-buat nak angkat pakaian di jemuran, ada ketikanya nak siram pokok bunga dan macam-macam lagi yang dia buat semata-mata untuk menarik perhatian ayah.

Ayah pula kalau kami ada, buat tak pandang Cik Ina tetapi kalau kami terlepas pandang, bukan main mesra lagi mereka. Saya perasan akan tingkah laku mereka berdua dan mengagak tentu ada rahsia di sebaliknya. Malam hari pula, ayah sudah mula bergayut di telefon, kalau saya tanya katanya klien. Kalau tanya lagi, ayah cepat-cepat masuk ke bilik dan tutup pintu. Tingkah laku ayah menyebabkan saya semakin percaya yang ayah dan Cik Ina ada hubungan.

Saya bukan tidak suka kepada Cik Ina tetapi saya rasa ayah tidak sesuai dengan dia sebab dia bukan wanita yang sesuai untuk ayah, lagipun kami tidak serasi dengannya. Pada saya, Cik Ina tidak layak menggantikan tempat ibu. “Saya pernah bercerita dengan nenek sebelah ayah tentang perkara ini dan nenek juga tidak setuju. Kata nenek, dia akan carikan calon isteri untuk ayah jika itu yang ayah mahukan. Tetapi ayah tidak boleh cari sendiri sebab nenek hanya akan cari wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah dan kami tiga beradik.

Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan tidak suka dengan Cik Ina tetapi pada saya, dia bukan wanita yang layak dijadikan isteri oleh seorang duda beranak tiga seperti ayah sebab kami sudah dewasa. Cara penampilan, tutur kata dan pakaian Cik Ina juga saya tidak suka. Ayah lebih layak mendapatkan seorang wanita yang tertib, lemah lembut dan berpakaian sopan seperti arwah ibu. Dan saya tidak sanggup melihat ayah hidup di samping seorang wanita yang langsung tidak ada ciri-ciri arwah ibu kami.

Saya telah memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan saya akan berterus terang dengan ayah tentang perkara ini. Saya tidak akan membantah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi bukan dengan Cik Ina. Sekarang ini, saya semakin meluat dengan gelagat Cik Ina yang semakin melampau. Dia juga sudah berani datang ke rumah jika ayah ada. Alasannya nak hantar kuih la, lauk la, pada hal saya tahu tujuannya hanya untuk berjumpa dan bersembang dengan ayah.

Adik-adik saya pula akan lari masuk ke bilik apabila Cik Ina datang, tinggal saya melayan dia. Takkan saya nak tinggalkan dia dengan ayah pula di ruang tamu, tentu tidak maniskan? Saya jadi buntu dan tidak tahu bagaimana hendak mengatasi ma­salah ini. Tapi saya telah nekad akan berterus terang dengan ayah mengenai perkara ini. Biar ayah tahu yang kami tidak suka ayah berbaik-baik dengan Cik Ina.

Saya sangat berharap ayah faham akan situasi ini dan tidak menyifatkan saya cuba mengajarnya. Sebagai anak sulung, saya juga mahu tengok ayah bahagia setelah ketiadaan ibu. Tetapi saya juga berhak memilih siapa wanita yang bakal menggantikan tempat ibu supaya ayah terus bahagia.

Saya akan berbincang mengenai perkara ini dengan kedua-dua nenek dan semoga ada jalan penyelesaiannya nanti. Biarlah nenek pujuk ayah, asalkan ayah tidak tersilap pilih. Saya berdoa supaya ayah ditemukan jodoh dengan wanita yang baik dan dapat menjaga ayah dan kami dengan kasih sayang dan perhatian tidak berbelah bahagi. Bagaimanapun, saya juga percaya pada Qada dan Qadar, kita hanya merancang, penentunya te­tap di tangan Allah. Semoga Allah pelihara saya dan keluarga serta temukan jodoh yang baik-baik untuk ayah.

Kredit : UtusanMalaysia


 

Lepaskan Jawatan Tinggi Gara-gara Difitnah Dan Di Goda Isteri Orang

30 May 2017

DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia. Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia. Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun berlalu tetapi masih segar dalam ingatan. Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya. 

Begini kisah Zabidi.

"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran. "Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.

"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri. "Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.

"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat. "Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri. 

"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan. "Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.

"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama. "Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan. "Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U. 

"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga. "Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya. "Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah ‘masak’ dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.

"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya. "Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.
"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.

"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang. "Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu. "Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.

"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi. "Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.

"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami. "Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan. "Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya. "Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.

"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin,’’ Zabidi menamatkan ceritanya. Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya. Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.

Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat. Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.

Salam

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.