Ayah DiGoda Jiran, Selepas Kematian Ibu
Saya anak sulung daripada tiga orang adik
beradik, dua perempuan dan seorang lelaki. Dua adik saya masih belajar.
Ibu saya telah kembali ke rahmatullah setahun lalu akibat kanser rahim. Walaupun
sedih dengan pemergiannya, saya terpaksa reda dan memikul tanggungjawab
untuk menjaga adik-adik yang berusia 15 dan 19 tahun.
Saya
sudah bekerja, jadi tidak ada masalah untuk uruskan rumah dan
perbelanjaan adik-adik walaupun ayah memberi wang yang mencukupi untuk
kami tiga beradik. Ayah saya seorang
pegawai di sebuah bank berusia lewat 50-an, seorang yang kacak dan
sentiasa menjaga penampilan. Dalam usia begitu, ayah masih ada peminat
baik di tempat kerja atau di luar.
Kami
tiga beradik menerima kematian ibu dengan lapang dada dan berusaha untuk
tidak menyusahkan ayah. Saya tahu ayah rindukan ibu tetapi dia tidak
menunjukkannya kepada kami kerana mungkin tidak mahu kami sedih. Nenek
sebelah ibu dan ayah telah berusaha untuk mencari jodoh untuk ayah.
Tetapi ayah menolak dengan baik dan mengatakan ibu baru pergi. Nenek
sangat berharap ayah kahwin lain supaya makan minum ayah terjaga
walaupun saya ada.
Kata nenek, lebih
senang ada isteri daripada bergantung kepada saya yang satu hari nanti
akan berkahwin dan meninggalkan ayah dan adik-adik walaupun setakat ini,
saya belum nampak ayah ada cita-cita ke arah itu. Saya
tidak ada masalah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi biarlah dengan
wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah serta serasi dengan kami tiga
beradik. Itu yang penting, bukan berkahwin dengan ayah kerana ayah
semata- mata.
Apa yang menjadi masalah
sekarang, ayah melayan seorang wanita yang juga jiran kami di sebelah
rumah. Sejak ibu meninggal, wanita ini yang saya panggil Cik Ina (bukan
nama sebenar) semakin berani menegur ayah secara terbuka. Malah
dia juga bersusah payah memasak lauk dan kuih-muih untuk kami anak
beranak pada hujung minggu walaupun kami tak minta. Saya mula nampak
perubahannya apabila dia selalu bertanyakan ayah kepada adik bongsu
saya.
Saya mula bimbang, takut kalau-kalau
dia masukkan apa-apa yang tidak baik dalam makanan yang diberinya
kepada kami, terutama ayah tetapi saya tidak berani hendak beritahu
ayah. Saya tidak mahu mempercayai perkara
itu kerana tidak mahu dianggap syirik tetapi tingkah laku ayah semakin
hari semakin berubah. Dia juga melayan Cik Ina walaupun sebelum ini ayah
jarang berbual dengan perempuan lain terutama semasa ibu masih ada.
Kalau
dahulu, ayah jarang berada di luar rumah, sekarang ayah banyak
menghabiskan masanya membasuh kereta dan membersihkan halaman. Saya juga
pelik dengan perubahan ayah. “Setiap kali
ayah keluar, Cik Ina pun keluar. Kadang-kadang dia buat-buat nak angkat
pakaian di jemuran, ada ketikanya nak siram pokok bunga dan macam-macam
lagi yang dia buat semata-mata untuk menarik perhatian ayah.
Ayah
pula kalau kami ada, buat tak pandang Cik Ina tetapi kalau kami
terlepas pandang, bukan main mesra lagi mereka. Saya perasan akan
tingkah laku mereka berdua dan mengagak tentu ada rahsia di sebaliknya. Malam
hari pula, ayah sudah mula bergayut di telefon, kalau saya tanya
katanya klien. Kalau tanya lagi, ayah cepat-cepat masuk ke bilik dan
tutup pintu. Tingkah laku ayah menyebabkan saya semakin percaya yang
ayah dan Cik Ina ada hubungan.
Saya bukan
tidak suka kepada Cik Ina tetapi saya rasa ayah tidak sesuai dengan dia
sebab dia bukan wanita yang sesuai untuk ayah, lagipun kami tidak serasi
dengannya. Pada saya, Cik Ina tidak layak menggantikan tempat ibu. “Saya
pernah bercerita dengan nenek sebelah ayah tentang perkara ini dan
nenek juga tidak setuju. Kata nenek, dia akan carikan calon isteri untuk
ayah jika itu yang ayah mahukan. Tetapi ayah tidak boleh cari sendiri
sebab nenek hanya akan cari wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah
dan kami tiga beradik.
Sekali lagi saya
tegaskan, saya bukan tidak suka dengan Cik Ina tetapi pada saya, dia
bukan wanita yang layak dijadikan isteri oleh seorang duda beranak tiga
seperti ayah sebab kami sudah dewasa. Cara penampilan, tutur kata dan
pakaian Cik Ina juga saya tidak suka. Ayah
lebih layak mendapatkan seorang wanita yang tertib, lemah lembut dan
berpakaian sopan seperti arwah ibu. Dan saya tidak sanggup melihat ayah
hidup di samping seorang wanita yang langsung tidak ada ciri-ciri arwah
ibu kami.
Saya telah memikirkan perkara
ini semasak-masaknya dan saya akan berterus terang dengan ayah tentang
perkara ini. Saya tidak akan membantah jika ayah ingin berkahwin lagi
tetapi bukan dengan Cik Ina. Sekarang ini,
saya semakin meluat dengan gelagat Cik Ina yang semakin melampau. Dia
juga sudah berani datang ke rumah jika ayah ada. Alasannya nak hantar
kuih la, lauk la, pada hal saya tahu tujuannya hanya untuk berjumpa dan
bersembang dengan ayah.
Adik-adik saya
pula akan lari masuk ke bilik apabila Cik Ina datang, tinggal saya
melayan dia. Takkan saya nak tinggalkan dia dengan ayah pula di ruang
tamu, tentu tidak maniskan? Saya jadi
buntu dan tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah ini. Tapi saya
telah nekad akan berterus terang dengan ayah mengenai perkara ini. Biar
ayah tahu yang kami tidak suka ayah berbaik-baik dengan Cik Ina.
Saya
sangat berharap ayah faham akan situasi ini dan tidak menyifatkan saya
cuba mengajarnya. Sebagai anak sulung, saya juga mahu tengok ayah
bahagia setelah ketiadaan ibu. Tetapi saya juga berhak memilih siapa
wanita yang bakal menggantikan tempat ibu supaya ayah terus bahagia.
Saya
akan berbincang mengenai perkara ini dengan kedua-dua nenek dan semoga
ada jalan penyelesaiannya nanti. Biarlah nenek pujuk ayah, asalkan ayah
tidak tersilap pilih. Saya berdoa supaya
ayah ditemukan jodoh dengan wanita yang baik dan dapat menjaga ayah dan
kami dengan kasih sayang dan perhatian tidak berbelah bahagi. Bagaimanapun,
saya juga percaya pada Qada dan Qadar, kita hanya merancang, penentunya
tetap di tangan Allah. Semoga Allah pelihara saya dan keluarga serta
temukan jodoh yang baik-baik untuk ayah.
No comments
Post a Comment