Suami Kerja Jauh, Isteri Kesunyian Mencari Teman Mengisi Jiwa Kosong
SUDAH hampir setahun suaminya berkhidmat di sebuah negara di kutub utara. Tinggallah Zamira (bukan nama sebenar) bersama tiga anaknya di ibu kota meneruskan kehidupan seperti biasa. Faktor tidak biasa dengan cuaca terlalu sejuk membuatkan Zamira memilih membesarkan anak-anak di negara tercinta sahaja. Jika sebelum ini dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, Zamira juga memilih untuk bekerja bagi menghilangkan rasa bosan di rumah.
Wanita berusia 31 tahun ini akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan
sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat
telekomunikasi. Anak-anaknya berusia lingkungan lima hingga lapan tahun juga sudah
mula ke sekolah, dek kerana cita-cita tertangguh dahulu, Zamira turut
mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di sebuah universiti tempatan
mengambil jurusan pentadbiran perniagaan.
Hidup Zamira memang penuh dengan aktiviti, setiap hari Isnin hingga
Jumaat dari jam 8 pagi hingga 7 malam dia akan berada di pejabat. Bila balik pula dia menguruskan kelengkapan anak-anak untuk ke
sekolah esok hari dan hujung minggu pula Zamira menghadiri kelas
menuntut ilmu di peringkat ijazah. Suami memang ada menyarankan saya memenuhi masa supaya saya tidak
akan rasa bosan dan merinduinya. Memang semenjak bercinta kami tidak pernah berenggang dan langsung tidak pernah berpisah walau untuk sehari.
Jadi setelah suami ditugaskan ke luar negara sesuatu yang amat
sukar bagi saya melepaskannya. Atas sebab itu saya disuruh suami
menyambung pelajaran dan bekerja supaya ada rakan-rakan yang dapat
menghiburkan hati," cerita Zamira di awal pertemuan kami. Mujurlah juga Zamira mempunyai seorang pembantu rumah yang baik
hati dan jujur jadi Zamira tidak mempunyai tekanan memikirkan keadaan
rumah dan anak-anaknya di rumah.
Dek kerana jauh, suami Zamira hanya akan pulang ke tanah air
kira-kira lima bulan sekali. Kerinduan Zamira dan anak-anak pada suami
dilepaskan semata-mata menerusi internet atau panggilan video. Hampir setahun suami berkhidmat di sana saya semakin boleh
mengadaptasi kehidupan tanpanya. Kalau dulu saya tidak boleh memandu,
kini saya sudah berjaya memiliki lesen memandu dan suami juga membelikan
saya sebuah kereta mewah semata-mata untuk menggembirakan hati saya
yang berkorban menjaga anak-anak sepanjang peninggalannya ke luar
negara.
Semakin seronok saya bergaya dengan kereta dan kerjaya yang
memerlukan interaksi dengan orang ramai. Hingga pada satu hari saya
bertemu dengan seorang pelanggan lelaki yang berusia dalam 30 tahun.
Pada awalnya hubungan sekadar pelanggan, lama-lama kami berkawan pula.
Dia mengajak saya keluar minum dan tanpa ragu saya menerima pelawaan,"
imbas Zamira. Biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti, Zamira mengakui jiwanya
begitu kosong tanpa teman yang bernama lelaki. Bila semakin lama
suaminya di luar negara, perasaan kebergantungan menjadi semakin nipis
dan Zamira kini sungguh berdikari.
Walaupun baru dua kali keluar minum dengan Irfan (bukan nama
sebenar), saya tidak mampu menidakkan rasa hati. Saya tahu saya mula
sukakannya, bukan bermakna saya mahu bercerai dengan suami, tapi saya menganggap Irfan teman di kala sunyi semata-mata dan tidak lebih dari itu. Irfan bukanlah jejaka persis hero tempatan tapi bagi saya dia
mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun dia lebih muda dua tahun
dari saya, kematangannya terserlah. Pengetahuan amnya juga luas, dari
perbualan dengannya saya tahu dia seorang yang kuat membaca.
Paling saya tertarik dengannya ialah sikapnya yang sungguh mengambil
berat. Satu hari kereta saya rosak, Irfan pantas datang menghulur
bantuan, perasaan saya padanya semakin hari semakin kuat hinggakan saya
lebih banyak berSMS dengannya daripada suami sendiri," akui Zamira. Dua bulan berlalu selepas mengenali Irfan, Zamira merasakan
kehidupannya sungguh ceria. Jiwanya rasa seakan gadis yang baru mula
mengenali erti cinta, satu perasaan yang mengujakan Zamira setiap hari
dan dia bersemangat ke pejabat semata-mata untuk makan tengah hari
bersama Irfan.
Tersedar dari khayalan
Kemesraannya dan Irfan menyebabkan Zamira ada terdetik di hati untuk
berkahwin dengan Irfan. Dia mula merancang strategi mencari alasan
berpisah dengan suami. Hinggalah pada satu hari anak sulung Zamira
diserang demam denggi, betapa paniknya Zamira kerana terpaksa
menguruskan anaknya di hospital seorang diri. Di hospital melihat begitu ramai orang sakit, sayu pula hati saya.
Makin saya terharu melihat pengorbanan seorang ibu yang menjaga anak
dan suami yang sakit di hospital. Begitu tabah ibu itu yang usianya
seakan kakak saya sahaja. Berkongsi cerita dengan kakak tersebut, umpama
menyedarkan saya daripada khayalan sendiri.
Ketika itu saya mula mengenang kesilapan diri, betapa jauh saya
terlanjur walau tidaklah sampai berdua-duaan dengan Irfan di tempat
sunyi tapi saya merasa seakan besar beban dosa yang saya tanggung. Ketika menjaga anak di hospital, Irfan ada beberapa kali menghubungi
tapi saya tiada hati untuk menjawabnya. Kepada suami saya adukan
kegusaran hati tentang anak yang sakit dan akhirnya saya sedar
kekhilafan diri.
Saya mengelak berhubung dengan Irfan dan akhirnya saya memilih
untuk berhenti kerja. Saya menukar nombor telefon dan memutuskan
hubungan dengan Irfan walaupun di laman sosial. Sementara menunggu notis
berhenti, anak saya juga semakin sihat dan pembantu rumah saya juga
mahu berhenti kerja kerana akan bernikah. Bagaikan satu hikmah yang terbaik disusun yang maha pencipta, saya
akhirnya kembali kepada fitrah seorang isteri. Biarpun sudah berhenti
kerja dan menguruskan rumah tangga saya rasa puas kerana dapat berbakti
untuk suami.
Suami saya tidak pernah mengetahui tentang apa yang telah terjadi
dan menerima keputusan saya dengan hati terbuka, itulah yang terbaik
untuk kami.
No comments
Post a Comment