Seksanya Bercinta Dengan Suami Orang
BUKAN seronok sangat bercinta dengan suami orang!''Itu kesimpulan yang dapat dibuat daripada curahan hati Haslinda dalam e-mel yang dihantarkannya kepada saya. Nak seronok macam mana semuanya dibuat dalam rasa kebimbangan bukan kerana takutkan isteri kekasih kita tu, tetapi lebih kepada bimbang rahsia terbongkar. Pecah tembelang.
''Sebenarnya saya bukan suka sangat nak bongkar rahsia hati ini,
tetapi kadang kala saya merasa terlalu sunyi, tak ada orang nak lawan
bercakap, ada kawan perempuan mereka ada suami dan anak nak diuruskan.
Yang masih single sibuk dengan hal peribadi sekali sekala sahaja kami boleh keluar berjalan dan makan-makan.
''Bukan saya tak boleh keluar selalu tetapi teman saya ini terlalu
cemburukan saya, tak benarkan saya keluar dengan kawan-kawan, berbual di
telefon pun dia tak suka. Ditakdirkan ketika saya berbual, dia tak
dapat hubungi saya, mulalah dia merepek meraban, marah dan mendakwa
konon saya melayan lelaki lain.
''Di sebabkan saya tak suka kena marah, jadi saya tak bolehlah
berbual lama dengan kawan bukan sahaja ketika di rumah ketika di pejabat
pun dia akan pastikan saya tidak bergayut di telefon. Hinggakan nak
keluar makan pun kena beritahu dia di mana dan dengan siapa.
''Nak kata dia suami bukan, cuma kekasih, tetapi punyalah cemburu
Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya saya memerlukan pandangan seseorang
untuk meredakan hati ini, cukuplah sekadar nasihat. Saya tahu tentu
banyak pembaca di luar sana yang berpengalaman jadi bolehlah saya
belajar mengatasi masalah ini.
''Tetapi sebelum itu biar saya cerita dulu. Sebenarnya bukan saya tak
mahu bercinta dengan orang bujang. Saya dah cuba banyak kali, tetapi
malangnya semuanya tak lekat alasan mereka dah ada kekasih, dah
bertunang dan ada juga yang tak minat nak kahwin. ''Ada seorang tu saya punyalah gilakan dia, setahun lamanya saya
simpan perasaan dia pun baik layan saya, saya fikir tentulah dia sukakan
saya. Top-top saya terima kad jemputan kahwin. Katanya gadis itu
pilihan ibunya. Ya Allah frustnya. Umur saya dah 27 tahun.
''Saya pun bukan memilih, tetapi entah mengapa hanya suami orang
sahaja yang selalu singgah dalam hidup saya. Saya memang tak sukakan
suami orang, yang saya cap mereka sebagai gatal. Malangnya yang
gatal-gatal inilah yang tersangkut dengan saya. Dek kerana bencikan
suami orang inilah juga saya pernah berjanji dengan diri saya sendiri
bahawa saya tidak akan kahwin dengan suami orang.
''Tetapi apabila kita minta dijauhi sesuatu yang amat kita benci maka
itulah yang datang dalam hidup kita. Mungkin Allah ingin menguji
kekuatan iman saya. Dan saya mengaku akhirnya saya lemah dengan ujian
ini. Kadang kala saya tanya diri sendiri apakah malangnya nasib saya
ini. Saya ingin segera berumahtangga dengan orang bujang, tetapi mengapa
suami orang yang suka sangat dengan saya?
''Bercinta dengan suami orang bukannya seronok sangat. Dia mahu kita
jadi kekasihnya tetapi dia tidak pernah ada di samping kita, bila kita
mahu. Ke mana saya pergi mesti minta izinnya dahulu.''Berjumpa sebulan sekali, nak berjalan pun kena sorok-sorok. Sebagai contoh kalau nak shopping
saya pergi ke kedai sendiri, pilih mana-mana yang suka, lepas tu dia
datang tapis pilihan saya adakah mengikut seleranya, kalau tidak saya
kena tukar yang lain. Dalam kedai tak boleh cakap banyak, lepas dia
bayar secara tunai saya balik sendirian dia tak hantar.
''Kalau nak makan malam cuma di tempat tertentu sahaja, yang
sunyi-sunyi, jauh daripada orang, yang orang ramai tak suka datang. Saya
tiba dulu buat pilihan makanan untuk dia. Saya kena pilih kedudukan
mejanya agak tersorok sedikit. Ketika itulah kami dapat berbual atau
berbincang panjang sebab tak ada orang nampak. ''Agaknya inilah nasib wanita seperti saya hendak menumpang manja
dengan suami orang. Tapi bukan saya cari, dia yang cari saya, dah dapat
memikat hati saya dia beri saya pelbagai syarat dan undang-undang untuk
saya patuhi, alasannya dia suami orang dan dia tak mahu rosakkan
kebahagiaan rumahtangganya.
''Kalau difikirkan lebih mendalam memang saya sudah membuang banyak
masa bercinta dengannya sedangkan saya fikir tidak ada peluang langsung
untuk menjadi isterinya. Pertama kerana dia terlalu takutkan isteri,
dalihnya konon dia sayangkan isteri, tak mahu rosakkan kehidupan
anak-anaknya, kedua, katanya kerana bosnya tak suka pekerjanya kahwin
dua. Jadi apakah taraf saya ini adakah seorang kekasih ataupun
simpanannya?. simpanan.
"Nak kata simpanan pun tak boleh dia tidak membiayai segala keperluan
saya sama ada membayar sewa rumah dulu ataupun membayar ansuran rumah
yang baru saya beli. Kadang-kadang saya fikir memang saya membodohkan
diri, membuang masa aja, tapi entahlah kenapa saya jadi bodoh macam ni. ''Emak selalu tanya saya bila nak kahwin. Saya jawab saya lebih
senang hidup sendirian. Tetapi sebenarnya saya dah terperangkap. Tak
tahu kenapa saya terlalu sayangkan dia, sedangkan saya tahu dia sudah
berkeluarga. Dan terlalu sukar untuk dia kahwin dua. Sampai bila saya
harus jadi macam ini. Menunggu lamarannya macam tunggu buah tak jatuh.
''Berbanding kehidupan isterinya, saya rasa hidup saya lebih
menderita, terkurung tanpa arah tujuan, nak berkawan dilarang, apa lagi
kalau nak keluar berjalan dan berhibur dengan kawan-kawan. Semuanya
mesti mendapat persetujuan dan kebenarannya. ''Bila memikirkan nasib saya sekarang ini, adakah masih ada jalan
untuk kebahagiaan hidup saya di masa depan bersamanya? Umur semakin
meningkat, saya bimbang langsung tak mendapat zuriat kalau saya
tinggalkan dia sebab belum tentu ada lelaki lain yang mahu mengambil
saya sebagai isteri, jika mereka tahu gaya hidup saya sekarang.
''Ditakdirkan saya bertemu lelaki lain dan saya dilayan lebih baik
dari dia mungkin saya jadi seperti kera dapat bunga, kerana saya tidak
pernah merasa dilayan seperti seorang wanita istimewa kecuali ketika
saya ditidurinya. Kerana hanya ketika itulah saya dilayan bagaikan
seorang permaisuri diulit mesra, sambil memadu asmara bagaikan hidup di
syurga.''Namun selepas kembali ke rumah sendiri, saya rasa diri saya
bagaikan robot yang menurut semua perintah, dipanggil saya datang
disuruh saya pergi. Saya tahu dan saya sedar diri saya ini amat bodoh
namun tiada sesiapa di sisi saya yang sudi membimbing si bodoh ini
keluar dari kotak yang selama ini membelenggu hidup saya.
''Kadang kala saya tanya diri sendiri, mengapa saya begitu bodoh dan
takut dengan suami orang ini, dan mengapa saya terlalu mengasihi dan
mencintai dia. Adakah saya takut tak dapat kahwin kerana usia yang
semakin meningkat? Entahlah, saya sendiri tak tahu apa jawapan yang
sesuai dilemparkan pada diri saya ini.'' Demikian cerita Haslinda
panjang lebar tentang masalahnya terperangkap bercinta dengan suami
orang.
Kata Haslinda selepas bercerita panjang dengan meluahkan perasaan
begini terlepas sedikit rasa seksa di hati. Reda sedikit beban. Pesan
orang tua-tua 'bukan beban batu digalas' Kalau tak ada masalah janganlah
cari masalah.
No comments
Post a Comment