Dicerai Lepas 3 Hari Nikah Tanpa Sebab, Kemudian Di Saman Pula Oleh Bekas Suami
Saya seorang pegawai di sebuah bank, berkelulusan universiti dan berusia 32 tahun. Selepas tamat belajar dan mendapat kerja, saya ditunangkan dengan seorang lelaki atas kehendak keluarga. Saya akur dengan kehendak ibu bapa saya, sebab saya tahu, mereka tentu akan mencari calon suami yang terbaik untuk saya, sebab saya tidak mempunyai teman lelaki.
Tunang
saya seorang pegawai kerajaan, juga lulusan universiti, anak sulung
dalam adik beradik seramai empat orang. Ibu dan ayahnya, rakan lama ibu
bapa saya. Saya dimaklumkan dia telah melihat gambar saya sebelum kami
ditunangkan dan tidak membantah permintaan ayah dan ibunya. Pada
hari pertunangan, kami diperkenalkan dan itulah kali pertama saya
melihat dia. Orangnya kacak, tinggi dan saya rasa dia menjadi idaman
ramai wanita. Dia juga nampak baik, peramah dan sentiasa tersenyum
melihat saya. Jauh dalam hati saya berkata, memang dia jodoh terbaik
Allah hantarkan untuk saya.
Kami
bertunang tidak lama, hanya tiga bulan. Dalam tempoh itu, kami tidak
berjumpa, semua urusan dibuat oleh ibu bapa kami. Sampaikan barang
hantaran juga mereka yang uruskan atas permintaan saya. Genap tiga
bulan, kami disatukan. Majlis sangat meriah, maklumlah, kedua-duanya
anak sulung, tentunya majlis meriah dengan kehadiran kawan-kawan dan
sahabat andai serta keluarga jauh dan dekat.
Saat
kami diijabkabulkan, air mata saya menitis. Saya sangat terharu dan
sebak setelah dia dengan sekali lafaz sah menjadi suami saya. Inilah
saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh seorang wanita. Masa untuk
mengabdikan diri kepada suami dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan
harapan, bahagia yang dibina akan kekal sampai ke akhir hayat.
Bagaimanapun,
bahagia yang saya harapkan tidak nampak cahayanya apabila suami terus
menghilangkan diri selepas tiga hari kami bergelar suami isteri. Dia
tinggalkan saya tanpa pesan, tanpa sepatah kata. Saya terkapai-kapai
tidak tahu apa salah saya sampai dia sanggup buat saya macam itu. Saya
langsung tidak disentuh. Pada mulanya saya faham mungkin dia penat,
lagipun selepas majlis, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Malangnya
pada hari ketiga semasa saya sedang berkemas di dapur dengan mak dan
adik-adik, dia keluar rumah tanpa memberitau saya.
Sedar-sedar
dia sudah tidak ada di dalam bilik. Sebelah petangnya, mentua saya
datang. Kecoh dia bercerita. Saya hanya mendiamkan diri. Mak dan bapa
saya yang melayan mentua bercerita. Saya melihat mak saya menangis.
Kemudian adik-adik. Saya masih tidak tahu
sebabnya sehinggalah bapa memanggil saya ke ruang tamu dan menyuruh
saya duduk. Saya duduk di hadapan pelamin yang belum dibuka. Dengar apa
yang mentua kamu hendak beritahu, kata bapa.
Ketika
bapa berkata-kata, saya merasa dunia berpusing ligat dan suasana gelap
gelita. Saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan saya. Setelah sedar,
saya tidak melihat kelibat mentua saya lagi, yang ada mak, bapa dan
adik-adik saya yang kesemuanya menangis. Saya
juga menangis. Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya
ketika itu. Yang saya dengar, saya telah diceraikan oleh suami. Maknya
sendiri yang bagi tahu saya di hadapan ibu bapa dan keluarga saya.
Bapa
sangat marah tapi mengawal kemarahannya itu. Sepupu dan bapa saudara
saya mula datang ke rumah. Kalau kelmarin mereka datang dengan wajah
gembira, tetapi kali ini semua nampaknya sangat marah. Bapa saudara dan
sepupu saya pergi ke rumah suami untuk mendengar sendiri dari mulut dia
yang telah menceraikan saya. Nak tahu apa
dia kata, kita jumpa di mahkamah! Saya sudah ceraikan dia. Betapa
biadapnya dia kepada keluarga saya. Nampak sahaja belajar tinggi tetapi
kurang ajar. Itulah yang keluarga saya kata. Mereka sangat marah.
Akan
tetapi tidak ada gunanya lagi. Sebab saya telah diceraikan. Yang saya
tidak faham, bekas suami membawa pula kes itu ke mahkamah dan menuntut
saya membayar ganti rugi. Dia yang ceraikan saya, dia pula yang minta
ganti rugi. Sepatutnya saya yang buat saman malu. Ini terbalik pula. Enam
tahun kes itu berlarutan. Penat saya naik turun mahkamah dengan mak dan
bapa saya. Buang masa, membazir duit dengan perkara yang tidak kami
tahu sebabnya. Ibu dan bapanya langsung tidak menasihatkan anaknya,
sebaliknya menyokong tindakan anaknya menyaman saya dan keluarga.
Saya
tanggung malu dengan keluarga, jiran, saudara mara dan kawan-kawan
kerana dia. Saya minta tukar kerja di tempat lain kerana tidak mahu
diganggu. Semuanya saya yang tanggung. Sudahnya saya yang disaman. Saya
terima ini semua dengan reda. Alhamdulillah kes ini telah selesai dua
bulan lalu. Saya terpaksa bayar RM10,000 kepada bekas suami di atas
kesalahan yang saya tidak tahu apa. Saya pelik kenapa mahkamah begitu
ambil mudah kes penganiayaan ke atas isteri seperti saya. Patutnya
siasat sampai ke akar umbi, apa puncanya. Bukan main dengar sebelah
pihak sahaja.
Saya bersyukur kerana
semuanya telah selesai. Walaupun saya telah menerima hukuman dunia yang
diputuskan manusia, saya yakin hukuman di akhirat untuk dia yang
menganiaya saya tetap ada. Allah tahu siapa benar dan siapa salah. Saya
mendoakan supaya satu hari nanti dia dan keluarganya akan sedar
kesilapan mereka dan bertaubat. Saya pula
akan teruskan hidup saya. Pintu hati saya sudah tertutup rapat untuk
lelaki. Saya serik. Bukan tidak percaya jodoh, tetapi pengalaman ini
sangat sakit dan saya tidak pasti bila kesakitan itu akan hilang. Semoga
Allah bagi saya kekuatan dan semangat untuk terus muhasabah diri dan
menjadi wanita solehah di dunia dan akhirat,”demikian Syifa menutup
ceritanya.
Sedihkan cerita Syifa? Semoga
Allah makbulkan doa Syifa. Apa pun saya kagum dengan semangat dan
kesabaran Syifa menangani masalah ini. Tidak siapa tahu apa yang dia
rasa.
Kisah ini baik dijadikan teladan
oleh kaum lelaki, khasnya mereka yang mendapat jodoh yang diatur oleh
ibu bapa. Niat ibu bapa baik tetapi anak-anak juga perlu fikirkan yang
terbaik untuk mereka. Jangan kerana hendak menjaga hati ibu bapa, terima
sahaja pilihan mereka. Ambil masa untuk mengenali bakal isteri, jangan
terus terima. Jangan buat aniaya anak dara orang.
Menamatkan
catatan, pesanan saya, sekiranya tidak dapat menggembirakan hati orang,
cukuplah hanya tersenyum, bukan membuatkan orang itu terus berduka.
Salam.
Kredit : UtusanMalaysia
No comments
Post a Comment