SLIDER

handsome
Showing posts with label handsome. Show all posts

Dicerai Lepas 3 Hari Nikah Tanpa Sebab, Kemudian Di Saman Pula Oleh Bekas Suami

5 Jun 2017



Saya seorang pegawai di sebuah bank, berkelulusan universiti dan berusia 32 tahun. Selepas tamat belajar dan mendapat kerja, saya ditunangkan dengan seorang lelaki atas kehendak keluarga. Saya akur dengan kehendak ibu bapa saya, sebab saya tahu, mereka tentu akan mencari calon suami yang terbaik untuk saya, sebab saya tidak mempunyai teman lelaki.

Tunang saya seorang pegawai kerajaan, juga lulusan universiti, anak sulung dalam adik beradik seramai empat orang. Ibu dan ayahnya, rakan lama ibu bapa saya. Saya dimaklumkan dia telah melihat gambar saya sebelum kami ditunangkan dan tidak membantah permintaan ayah dan ibunya. Pada hari pertunangan, kami diperkenalkan dan itulah kali pertama saya melihat dia. Orangnya kacak, tinggi dan saya rasa dia menjadi idaman ramai wanita. Dia juga nampak baik, peramah dan sentiasa tersenyum melihat saya. Jauh dalam hati saya berkata, memang dia jodoh terbaik Allah hantarkan untuk saya.

Kami bertunang tidak lama, hanya tiga bulan. Dalam tempoh itu, kami tidak berjumpa, semua urusan dibuat oleh ibu bapa kami. Sampaikan barang hantaran juga mereka yang uruskan atas permintaan saya. Genap tiga bulan, kami disatukan. Majlis sangat meriah, maklumlah, kedua-duanya anak sulung, tentunya majlis meriah dengan kehadiran kawan-kawan dan sahabat andai serta keluarga jauh dan dekat.

Saat kami diijabkabulkan, air mata saya menitis. Saya sangat terharu dan sebak setelah dia dengan sekali lafaz sah menjadi suami saya. Inilah saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh seorang wanita. Masa untuk mengabdikan diri kepada suami dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan harapan, bahagia yang dibina akan kekal sampai ke akhir hayat.

Bagaimanapun, bahagia yang saya harapkan tidak nampak cahayanya apabila suami terus menghilangkan diri selepas tiga hari kami bergelar suami isteri. Dia tinggalkan saya tanpa pesan, tanpa sepatah kata. Saya terkapai-kapai tidak tahu apa salah saya sampai dia sanggup buat saya macam itu. Saya langsung tidak disentuh. Pada mulanya saya faham mungkin dia penat, lagipun selepas majlis, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Malangnya pada hari ketiga semasa saya sedang berkemas di dapur dengan mak dan adik-adik, dia keluar rumah tanpa memberitau saya.

Sedar-sedar dia sudah tidak ada di dalam bilik. Sebelah petangnya, mentua saya datang. Kecoh dia bercerita. Saya hanya mendiamkan diri. Mak dan bapa saya yang melayan mentua bercerita. Saya melihat mak saya menangis. Kemudian adik-adik. Saya masih tidak tahu sebabnya sehinggalah bapa memanggil saya ke ruang tamu dan menyuruh saya duduk. Saya duduk di hadapan pelamin yang belum dibuka. Dengar apa yang mentua kamu hendak beritahu, kata bapa.

Ketika bapa berkata-kata, saya merasa dunia berpusing ligat dan suasana gelap gelita. Saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan saya. Setelah sedar, saya tidak melihat kelibat mentua saya lagi, yang ada mak, bapa dan adik-adik saya yang kesemuanya menangis. Saya juga menangis. Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya ketika itu. Yang saya dengar, saya telah diceraikan oleh suami. Maknya sendiri yang bagi tahu saya di hadapan ibu bapa dan keluarga saya.

Bapa sangat marah tapi me­ngawal kemarahannya itu. Sepupu dan bapa saudara saya mula datang ke rumah. Kalau kelmarin mereka datang dengan wajah gembira, tetapi kali ini semua nampaknya sangat marah. Bapa saudara dan sepupu saya pergi ke rumah suami untuk mendengar sendiri dari mulut dia yang telah menceraikan saya. Nak tahu apa dia kata, kita jumpa di mahkamah! Saya sudah ceraikan dia. Betapa biadapnya dia kepada keluarga saya. Nampak sahaja belajar tinggi tetapi kurang ajar. Itulah yang keluarga saya kata. Mereka sangat marah.

Akan tetapi tidak ada gunanya lagi. Sebab saya telah diceraikan. Yang saya tidak faham, bekas suami membawa pula kes itu ke mahkamah dan menuntut saya membayar ganti rugi. Dia yang ceraikan saya, dia pula yang minta ganti rugi. Sepatutnya saya yang buat saman malu. Ini terbalik pula. Enam tahun kes itu berlarutan. Penat saya naik turun mahkamah dengan mak dan bapa saya. Buang masa, membazir duit dengan perkara yang tidak kami tahu sebabnya. Ibu dan bapanya langsung tidak menasihatkan anaknya, sebaliknya menyokong tindakan anaknya menyaman saya dan keluarga.

Saya tanggung malu dengan keluarga, jiran, saudara mara dan kawan-kawan kerana dia. Saya minta tukar kerja di tempat lain kerana tidak mahu diganggu. Semuanya saya yang tanggung. Sudahnya saya yang disaman. Saya terima ini semua dengan reda. Alhamdulillah kes ini telah selesai dua bulan lalu. Saya terpaksa bayar RM10,000 kepada bekas suami di atas kesalahan yang saya tidak tahu apa. Saya pelik kenapa mahkamah begitu ambil mudah kes penganiayaan ke atas isteri seperti saya. Patutnya siasat sampai ke akar umbi, apa puncanya. Bukan main dengar sebelah pihak sahaja. 

Saya bersyukur kerana semuanya telah selesai. Walaupun saya telah menerima hukuman dunia yang diputuskan manusia, saya yakin hukuman di akhirat untuk dia yang menganiaya saya tetap ada. Allah tahu siapa benar dan siapa salah. Saya mendoakan supaya satu hari nanti dia dan keluarganya akan sedar kesilapan mereka dan bertaubat. Saya pula akan teruskan hidup saya. Pintu hati saya sudah tertutup rapat untuk lelaki. Saya serik. Bukan tidak percaya jodoh, tetapi pengalaman ini sangat sakit dan saya tidak pasti bila kesakitan itu akan hilang. Semoga Allah bagi saya kekuatan dan semangat untuk terus muhasabah diri dan menjadi wanita solehah di dunia dan akhirat,”demikian Syifa menutup ceritanya.

Sedihkan cerita Syifa? Semoga Allah makbulkan doa Syifa. Apa pun saya kagum dengan semangat dan kesabaran Syifa menangani masalah ini. Tidak siapa tahu apa yang dia rasa.

Kisah ini baik dijadikan teladan oleh kaum lelaki, khasnya mereka yang mendapat jodoh yang diatur oleh ibu bapa. Niat ibu bapa baik tetapi anak-anak juga perlu fikirkan yang terbaik untuk mereka. Jangan kerana hendak menjaga hati ibu bapa, terima sahaja pilihan mereka. Ambil masa untuk mengenali bakal isteri, jangan terus terima. Jangan buat aniaya anak dara orang.

Menamatkan catatan, pesanan saya, sekiranya tidak dapat menggembirakan hati orang, cukuplah hanya tersenyum, bukan membuatkan orang itu terus berduka.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia


 

Di Lamar Lelaki Lembut

26 May 2017


Terima kasih Admin Laman Qaseh, kerana sudi siarkan kisah saya. Tujuan saya adalah untuk memohon pendapat pembaca-pembaca sekalian kerana saya pun sedang keliru dengan keputusan yang saya nak ambil sekarang ni.

Saya Suri, umur 25 tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Dulu masa saya belajar di IPT, saya mempunyai seorang kawan baik. Dia seorang lelaki lembut. Tapi taklah sampai nak bertukar jadi perempuan (a.k.a pondan). Nama dia Haziq. Kami sebenarnya ber-enam kumpulan best friends termasuklah Haziq. Haziq sorang je lelaki dalam group kami. Kami memang sangat rapat sehinggalah sekarang kami tak pernah terputus hubungan. Masih berhubung dan keluar bersama-sama,  jalan-jalan ke shopping mall, main boling, tengok wayang dan lepak-lepak kat kedai makan.

Dalam kami ber-lima yang gegirl ni, Haziq lebih rapat dengan saya. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin dia selesa bila berdamping dengan saya. Saya pernah bertanyakan Haziq, kenapa dia tak bercampur gaul dengan geng-geng lelaki. Haziq bagitahu dia lebih suka berada dalam group perempuan, sebab budak-budak lelaki ni suka mengusik dan layanan terhadap dia agak kasar. Mungkin Haziq tak biasa kot. Biasalah kan lelaki memang agak kasar sikit. Tapi saya OK je dia nak join group kami. Saya layan Haziq sama macam dengan kawan-kawan saya yang lain juga. Haziq ni seorang yang lemah-lembut, soft spoken. Pergaulan , percakapan, gelak ketawa dan gaya berjalan tak ubah seperti perempuan. Cuma yang bagusnya dia masih memakai pakaian lelaki. Raut wajah dia boleh dikategorikan handsome juga.  Tentang naluri dia saya kurang pasti.

Kini kami semua masing-masing sudah mempunyai kerjaya dan bekerja di syarikat berlainan. Sejak bekerja ni, saya lihat Haziq cuba berusaha perlahan-lahan berubah nak jadi ‘keras’. Percakapan dan gayanya seboleh-bolehnya cuba untuk jadi lebih gentleman. Mungkin pengaruh persekitaran di tempat kerja dia yang mempunyai lebih ramai staff lelaki. Kami rakan-rakan memberi sokongan sepenuhnya dan tak berbelah bahagi kepada Haziq.

Selepas beberapa tahun kami berkawan , suatu hari, Haziq datang berjumpa saya untuk menyampaikan hasrat hati dia. Dia hendak melamar saya untuk menjadi teman wanita dia. Saya akui masa tu saya tiada teman istimewa lagi. Saya agak terkejut juga kerana saya tak pernah terfikir pun yang Haziq akan pergi sejauh tu. Saya terdetik juga, adakah Haziq masih mempunyai naluri untuk bercinta dengan seorang perempuan. Selama kami berkawan, dia tak pernah tunjuk pun ciri-ciri dia berminat ke arah bab-bab cinta ni. Jadi bila dia melamar saya, adakah tujuannya ikhlas atau ada tujuan lain. Betul ke hati dan perasaan dia nak melamar saya.

Saya buntu memikirkan apakah yang perlu saya lakukan. Apa perlu saya respon kepada Haziq. Perasaan dalam hati saya ni pelbagai. Ada rasa sayang, kasihan dan pada masa yang sama suka pun ada juga. Tapi mungkin sebab kami dah terlalu rapat kot, jadi perasaan tu mula berputik di hati Haziq. Untuk ke tahap mempunyai perasaan cinta tu, saya masih kurang pasti dan keliru. Kalau saya menolak lamaran Haziq, risau hati dia terluka sebab macam Haziq ni, hati dia sensitif dan cepat sentap juga. Saya rasa kasihan pula. Taknaklah nanti kalau saya tolak lamaran dia, hubungan kami sebagai rakan baik terjejas. Kalau saya terima lamaran dia pula, atas sebab apa saya perlu terima. Betul ke saya sayang dia lebih daripada seorang rakan. Bagaimana penerimaan keluarga saya nanti. 

Mungkin keluarga dia boleh terima saya, tapi bagi keluarga saya, mungkin agak sukar untuk mereka menerima kehadiran Haziq dalam keluarga. Entah lah. Pening saya memikirkannya. Tak tidur malam dibuatnya. Ini dah macam ditelan mati mak, diluah mati bapak. Saya tanya pendapat rakan-rakan baik saya, mereka cuma kata "Ikutlah naluri, Tepuk Dada Tanya Selera" . Buat istikharah. Saya sendiri pun dalam usaha untuk membina keyakinan dalam hati. Saya rasa confuse. Kalau ada pembaca yang pernah berpasangan dengan lelaki lembut, boleh korang share pendapat korang tak?

Terima kasih
Suri


Kekasih Hati Lelaki Lembut. Ok ke?

11 May 2017



Saya ditakdirkan untuk mempunyai sebilangan besar kawan yang sebegini. Bukan sekadar lembut, tapi yang pondan pun bersepah.Namun, tidak pernah sekali saya dan teman-teman lain menyisihkan mereka. Betul kata kamu, mereka juga punya naluri. Cuma sedikit berlainan. 

Tetapi untuk berkasih dan bercinta dengan golongan lembut ini, sukar untuk saya beri komen yang membina. Bukan lah maksud saya, kita tak boleh langsung berpacaran dengan mereka. Tapi, kebanyakan yang saya lihat dengan mata saya sendiri, hubungan itu tidak sampai ke mana. Kalau ada yang berjaya sekalipun..nisbahnya terlalu kecil. Maaf kalau saya katakan, jarang-jarang lelaki lembut yang ada hati dengan perempuan. Selalunya mereka ini suka tengok lelaki juga!

Seorang sahabat saya, berkasih dengan seorang lelaki lembut. Mereka dating macam pasangan lain juga. Si lelaki saya tak nafikan, seorang yang berpewatakan menarik, dressing up to date dan pembersih orangnya. Si perempuan, ayu bertudung litup, bersopan santun, jalan pun terkiput-kiput..pendek kata kalau bawak balik kampung jumpa mak bapak…confirm pass! Mereka hampir bertunang. Namun, bila harinya hampir tiba, si lelaki mengubah fikiran. Katanya dia tak dapat terima si perempuan dan teruskan hubungan. Apa lagi, bergaduh sakan la. Gaduh punya gaduh, terbongkarlah cerita..rupanya si lelaki itu GAY dan dah ada BOIFREN. Makanya, teman saya si perempuan ini, meraung tak ingat dunialah.

Ada beberapa orang teman rapat saya di ofis dulu, begitu juga. Mereka yang lembut ini berkahwin dan dapat zuriat…tetapi selepas itu, bercerai dan kembali ‘lembut’. Ada juga yang berkahwin, tetapi tak dapat teruskan peranan sebagai suami. Tak boleh..katanya. Tapi bila dengan lelaki juga, boleh pulak. Heran! Ada juga sebilangan mereka, yang lembut bila bekerja di waktu siang…(jadi lelaki lah)…tetapi bila malam…mula lah drag. sakan. Mekap & dressing diorang..saya tabik spring. Dari segi bab-bab kecantikan, menghias rumah, kekemasan dan memasak, mereka jauh lebih advance dari perempuan. Percayalah. Saya sendiri pernah masuk ke dalam rumah mereka, menjengah ke dapur dan bilik tidur…perghhh. Superbb! 

Dari sudut logiknya, mereka dalam dunia mereka sendiri. Mereka tak pernah hiraukan kata-kata nista masyarakat yang memandang serong. Mereka berjaya dan berkerjaya malah dari sudut persahabatan, mereka sangat setia. Cuma mungkin dari sudut agama kita, tidak pernah mengajar sebegitu. Ok, saya tak mahu komen mengenai sensitiviti keagamaan serta dosa pahala. Bagi saya, berani buat berani tanggung.

Pendapat saya, cara kita mendekatkan diri dengan golongan lembut ini sangat penting. Mereka sensitif. Atau dalam ertikata lainnya, mudah sentap. Tetapi jika di beri kesedaran yang mendalam, saya percaya mereka boleh berubah. Kalau ditakdirkan jodoh kita dengan lelaki lembut, jangan melatah. Sebaliknya kita bimbing dia supaya dapat jadi ketua keluarga yang baik dan jadi contoh kepada anak-anak. Bukan begitu?


Oleh : Delacroix (from comment)
Kredit : LizaRazak.Com 

Cemburu Dengan Adik "Kembar Tahun"

23 Apr 2017


Kami dilahirkan dalam keluarga campur. Ibu berbangsa Melayu , bapa pula berbangsa Cina. Kami hanya dua beradik lelaki. Kami digelar “Kembar Tahun” kerana saya dilahirkan bulan 1, dan adik saya dilahirkan bulan 12. Pada tahun yang sama. Kiranya dalam surat lahir kami dikira umur sama. Dari tadika sehinggalah masuk ke kolej kami akan didaftarkan bersama-sama oleh ibu dan bapa. Kehidupan keluarga kami sangat bahagia, tiada masalah dan penuh kasih sayang . Ibu dan bapa memberi secukupnya kasih sayang , pelajaran dan sebagainya dengan tidak berbelah bahagi tanpa ada favouritism .

Yang menjadi masalah saya ialah tanggapan, pandangan , perlian dan usikan dari orang luar yang membuatkan saya cemburu dan sentiasa merendah diri. Saya dan adik sering bersama kemana-mana. Walaupun kami sebaya, dilahirkan agak rapat, wajah kami ada sedikit perbezaan. Saya lebih kemelayuan dan adik saya lebih kearah wajah campuran.  Jadi , kemana kami pergi, dimana kami berada, kami sentiasa menjadi topik perbualan dan perkara yang diperbandingkan dari semua aspek. Dari segi rupa , karektar, ketampanan, kepandaian , pembawakan diri dan sebagainya. Dan semua aspek yang dibualkan ini sentiasa dimenangi oleh adik saya. Saya betul betul rasa rendah diri.

Ketika di waktu sekolah dulu, kami satu kelas. Saya kerap dibandingkan dengan adik. Rakan-rakan sentiasa menyukai adik saya , kerana dia lebih pandai. Guru-guru pun lebih cenderung fokus dan lebih perhatiannya kepada adik saya. Kata mereka , adik adalah harapan sekolah untuk mendapat result yang bagus dalam SPM. Kami juga sering dibandingkan dari segi sifat dan sikap. Adik dikatakan jauh lebih peramah dan disenangi ketika didekati, sedangkan saya juga mudah untuk membantu orang dalam kesusahan. Paling saya tidak suka apabila mereka sering ulang dan mengulangi mempertikaikan sikap saya yang berbeza dengan adik.

Walaupun ibu dan bapa tak pernah membezakan kami,  bila kami pulang ke kampung sebelah ayah. Nenek, datuk, makcik, dan saudara-mara disebelah ayah sangat menyenangi adik saya. Kata mereka, adik banyak mewarisi keturunan mereka, dan adik membawa tuah dalam keturunan mereka. Saya dilayan seperti orang asing. Saya juga nampak ibu dilayan seperti tidak wujud. Namun ibu banyak bertenang dan bersabar je dengan karenah mereka, mungkin pada ibu yang penting asalkan ayah menyayangi ibu, itu pun dah cukup. Cuma , jiwa remaja saya yang sangat beremosi dan sering bergolak.

Kini kami berada di  kolej, juga perkara yang sama berlaku. Saya pernah bagitahu ibu, yang saya tak mahu lagi berada di kolej yang sama bersama adik. Selepas Spm, saya berhasrat untuk belajar berasingan. Di kolej lain. Tapi ibu tak membenarkan. Katanya kami adik-beradik harus sentiasa bersama dan membantu di antara satu sama lain. Tapi ibu tak pernah faham emosi dan perasaan yang saya hadapi. Bila saya sentiasa berdekatan dengan adik, saya akan sentiasa diketepikan dari segenap hal. Ini membuatkan saya cemburu dan sedih. Saya tidak suka tetapi tiada kuasa menghentikan orang terus membandingkan kami.

Di kolej juga , rakan-rakan wanita lebih menyukai ketampanan yang dimiliki oleh adik saya. Adik juga sering mendapat surat-surat cinta dari mereka yang ingin kenal lebih rapat. Ada yang ingin jadi teman wanita, ada yang ingin jadi adik angkat, kakak angkat. Bila kami berada dalam kumpulan perbincangan, respons mereka hanya pada adik, seolah –olah saya tidak wujud dalam kumpulan perbincangan tersebut. Seolah-olah ketampanan adik saya tu, jadi sumber inspirasi buat mereka apabila  ada kumpulan perbincangan. Saya sangat-sangat merasa rendah diri. Saya fikir kalau saya berterusan begini, ia mungkin akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran saya. Saya ingin sekali berada jauh daripada adik saya. Saya ingin ada kehidupan saya sendiri tanpa dipengaruhi kelibat adik saya. Cukuplah saya mengenalinya dan rapat apabila dirumah.

Bantulah saya kawan, untuk menaikkan semangat dan menghentikan perasaan cemburu dan rendah diri.

-Hafiz Liu-



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.