Realiti Seorang Isteri Perokok
Dalam kehidupan berkeluarga, pasangan
suami isteri sememangnya perlu menerima kelebihan dan kekurangan
masing-masing demi kerukunan dan keharmonian rumahtangga dan untuk
membina sebuah keluarga yang bahagia. Justeru itu, sikap bertolak ansur
dan hormat-menghormati sangat penting bagi memastikan perasaan,
kesihatan dan kesejahteraan pasangan masing-masing sentiasa terpelihara,
baik dari aspek fizikal, mental, moral dan material.
Statistik menunjukkan bahawa bilangan
perokok lebih ramai terdiri daripada kalangan golongan lelaki, ada
baiknya jika kaum lelaki, sama ada yang merokok mahu pun tidak, sesekali
diajak memberikan perhatian kepada sikap atau tabiat mereka yang boleh
mendatangkan kesan buruk kepada pasangan, keluarga serta anak-anak,
(dalam konteks ini, khususnya tabiat merokok). Ini diharap dapat
menimbulkan kesedaran atau mencetuskan hasrat sama ada ingin berhenti
atau tidak akan sama sekali mengamalkan tabiat merokok di hati suami
demi cinta dan kasih sayang terhadap isteri serta zuriat mereka.
Seseorang perokok biasanya mula
mengamalkan tabiat merokok pada usia muda, malahan ketika di bangku
sekolah lagi. Apabila meningkat remaja, dewasa sehinggalah berkahwin,
kebanyakan mereka sudah pun menjadi perokok tegar apatah lagi
masing-masing sudah bekerja, mempunyai wang sendiri dan mampu
memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk tabiat tersebut atas dasar
kelaziman walaupun sedar dan mengetahui kesan buruk tabiat tersebut
terhadap kesihatan sendiri.
Ke’taksub’an (sebenarnya ketagihan)
terhadap tabiat merokok, menyebabkan seorang perokok, merangkap seorang
suami (dan dalam banyak keadaan, juga seorang bapa), lazimnya hanya
mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya
sehinggakan rokok dianggap, lebih penting dan utama daripada isteri
serta anak-anak.
Perokok Pasif
Ramai suami/ bapa yang tidak sedar (atau
sedar tetapi tidak peduli) bahawa apabila mereka menyalakan sebatang
rokok di depan isteri dan anak-anak, mereka hanya menyedut 25% daripada
asap tembakau yang dihisap (kerana puntung rokok mempunyai penapis),
tetapi ahli keluarga yang berada berdekatan dengan mereka (perokok
pasif) menyedut sebanyak 75% kandungan racun daripada asap tersebut.
Bahaya yang dihadapi oleh perokok pasif lebih tinggi kerana asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi:
- 2 kali ganda kandungan nikotin
- 3 kali ganda kandungan tar
- 5 kali ganda kandungan karbon monoksida
- 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya
Isteri selalunya adalah orang yang
paling rapat dengan seorang suami yang merokok. Isteri yang tidak
merokok selalunya memang tidak suka dengan tabiat suami yang merokok
tetapi dalam banyak keadaan, tiada apa yang mampu dilakukan selain
daripada hanya memberi nasihat. Tabiat merokok suami ini menyebabkan
isteri perokok berada dalam dilema dan terpaksa menghadapi pelbagai
senario yang tidak menyenangkan.
Risiko Penyakit
Antara masalah yang berkemungkinan dihadapi oleh isteri perokok ialah:
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan atau kandungan tidak cukup bulan, sekiranya hamil.
- Lebih terdedah kepada ancaman menghidap pelbagai jenis kanser.
- Menghadapi masalah kesuburan dan putus haid lebih awal.
Kesan yang lebih buruk boleh berlaku, sekiranya isteri itu sendiri juga merupakan seorang perokok. Ini kerana wanita mengandung yang merokok berisiko mengalami kesan pembalikan yang berbahaya terhadap kehamilan dan bayi yang dikandung. Selain boleh mendatangkan masalah kepada uri dan keguguran spontan, bayi juga boleh dilahirkan tidak cukup bulan atau meninggal dunia sebaik dilahirkan.
Isteri seorang perokok juga
berkemungkinan perlu menjaga anak yang menghidapi pelbagai masalah
kesihatan kesan suami/ bapa yang merokok, antaranya:
- Anak lebih mudah mendapat lelah
- Anak lebih berisiko mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak khususnya bayi yang masih kecil mudah terganggu.
Kesan Terhadap Perbelanjaan Keluarga
Suami/ bapa yang merokok semestinya mampu menyedari dan mengalami sendiri bagaimana terjejasnya kemampuan kewangan mereka akibat jumlah perbelanjaan yang besar yang diperuntukkan untuk meneruskan ketagihan terhadap tabiat ini. Ada kalanya, perbelanjaan keluarga untuk sara hidup seharian, membeli makanan, pakaian, peralatan persekolahan, malahan susu dan lampin untuk anak-anak pun turut terjejas dan harus dikorbankan untuk menampung ‘tabiat’ yang sama sekali tidak bermanfaat ini.
Suami/ bapa yang merokok semestinya mampu menyedari dan mengalami sendiri bagaimana terjejasnya kemampuan kewangan mereka akibat jumlah perbelanjaan yang besar yang diperuntukkan untuk meneruskan ketagihan terhadap tabiat ini. Ada kalanya, perbelanjaan keluarga untuk sara hidup seharian, membeli makanan, pakaian, peralatan persekolahan, malahan susu dan lampin untuk anak-anak pun turut terjejas dan harus dikorbankan untuk menampung ‘tabiat’ yang sama sekali tidak bermanfaat ini.
Akibatnya, sumber kewangan keluarga yang
sememangnya terhad berterusan menjadi masalah. Hendak berbelanja untuk
keperluan asas pun tidak mencukupi, apatah lagi untuk menabung untuk
masa kecemasan, pendidikan anak-anak dan untuk kehidupan hari tua.
Isteri yang turut sama berjimat dan
menyumbang terhadap sumber kewangan keluarga ada kalanya turut makan
hati apabila wang yang sepatutnya boleh dilaburkan untuk keperluan yang
lebih mendesak, dileburkan untuk kepuasan merokok yang tidak akan pernah
padam.
Situasi pastinya menjadi lebih buruk
sekiranya ada anak/ ahli keluarga mengalami pelbagai masalah kesihatan
akibat tabiat merokok suami. Perbelanjaan keluarga juga sedikit sebanyak
pasti akan terjejas apabila sejumlah wang perlu dibelanjakan untuk kos
rawatan anak/ahli keluarga yang sakit. Selain wang ringgit, kos masa,
tenaga, fikiran dan perasaan ahli keluarga lain yang terpaksa berulang
alik ke hospital, menemani, merawat dan lain-lain juga harus diambil
kira. Bagi keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah atau
sederhana, ini boleh menimbulkan masalah lain dalam keluarga yang boleh
menjejaskan keharmonian rumahtangga terutamanya apabila berlaku
perselisihan faham antara suami isteri.
Anak-anak adalah harta yang tidak
ternilai kepada setiap pasangan suami isteri. Kehadiran anak-anak dalam
keluarga membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada ibu bapa. Oleh itu,
adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan anak-anak
permulaan yang baik dalam kehidupan mereka. Maka, suami isteri sebagai
ibu bapa yang bertanggungjawab wajib berusaha untuk melindungi dan
berhenti meracuni mereka dengan asap rokok.
Risiko Terhadap Hubungan Kelamin
Harus diingat, tabiat merokok juga
berkemungkinan boleh menjejaskan hubungan kelamin pasangan suami isteri.
Contohnya, isteri seseorang perokok mungkin akan berhadapan dengan
dilema gangguan hubungan kelamin kesan suami yang mengalami masalah
kegagalan alat kelamin suami untuk berfungsi (mati pucuk) akibat tabiat
merokok.
Kebiasaan merokok menyebabkan
pegantungan dan ketagihan terhadap nikotin. Nikotin menyebabkan saluran
darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat seterusnya mengakibatkan
kegagalan alat kelamin suami untuk mencapai ereksi serta melaksanakan
fungsi seksual. Kualiti sperma suami akan terjejas, kemampuan mencapai
ereksi akan berkurangan dan kemampuan tenaga batin akan menjadi lemah.
Maka, seorang suami yang merokok bukan sahaja mesti mengambil berat
tentang kepuasan dan kesejahteraan isteri mereka, malahan kesihatan,
kesejahteraan dan kemampuan fizikal mereka sendiri. Masalah tenaga batin
akan menyumbang kepada ketidakpuasan hubungan suami isteri dan ada
kalanya, boleh mengakibatkan keretakan rumah tangga.
Warisan Sikap Dan Tabiat Kepada Anak-Anak
Peribahasa Melayu ‘bapa borek, anak rintik’ ataupun ‘like father, like son’
adalah antara bidalan yang memberikan gambaran bagaimana sikap dan
amalan suami/ bapa bakal menjadi contoh dan ikutan anak-anak. Jika sikap
baik yang diamal dan ditonjolkan, baiklah pula sikap yang dicontohi
oleh anak-anak dan jika sebaliknya, buruklah sikap yang akan diwarisi
oleh anak-anak.
Tidak dapat dinafikan bahawa selain desakan rakan (peer pressure),
ramai dalam kalangan golongan muda yang mengamalkan tabiat merokok ini
mengambil contoh atau meniru sikap atau amalan tersebut daripada suami,
isteri atau khususnya, ibu bapa yang merokok. Walaupun ada juga golongan
muda yang merokok sedangkan ibu bapa mereka tidak merokok, jumlahnya
sangat rendah berbanding mereka yang bapa atau ibunya adalah perokok.
Perokok mengetahui bahawa tabiat merokok
adalah tabiat yang tidak sihat, memudaratkan dan tidak berfaedah sama
sekali tetapi apabila mereka sendiri tidak mampu meninggalkan atau
mengelakkan dari mengamalkan tabiat berkenaan, mereka tidak mempunyai
alasan untuk melarang, menjauhkan atau memarahi anak-anak yang mula
merokok. Bagaimana bapa yang merokok ingin memarahi anaknya merokok
sedangkan dia sendiri merokok di hadapan anak tersebut sejak anak itu
kecil? Bukankah itu ibarat ‘kuali mengata belanga hitam’?
Tentunya ramai isteri/ ibu yang kecewa
sekiranya mendapat panggilan telefon daripada guru di sekolah
memaklumkan bahawa anaknya, tidak kira lelaki ataupun perempuan,
ditangkap menghisap rokok di tandas sekolah. Puas sudah si ibu
menasihati dan berusaha mendidik anak tersebut supaya jangan sampai
terikut dengan tabiat merokok suami/ bapa, tetapi apakan daya. Mungkin
nikotin yang dihembus berdekatan anak tersebut sejak zaman kecilnya
sudah meresap ke dalam darahnya mengakibatkan si anak ketagihan sejak
sekian lama dan sejurus meningkat alam remaja, kecenderungan untuk mula
cuba merokok pun tidak tertahan lagi.
Mudah-mudahan ramai suami/ bapa yang
mengambil iktibar tentang hal ini dan memberi perhatian kepada bebelan
yang selama ini dileterkan oleh isteri. Sayangilah isteri dan anak-anak
anda. Jadikan rumah dan ruang persekitaran anda BEBAS ASAP ROKOK.
Rujukan
- www.infosihat.gov.my
- www.tekno.kompas.com
- www.quitsmoking@about.com
Semakan Akhir | : | 7 Februari 2015 |
Penulis | : | Noorlaile binti Jasman |
Akreditor | : | Norddin bin Daud |
Kredit : myhealth.gov
No comments
Post a Comment