SLIDER

rokok
Showing posts with label rokok. Show all posts

Inilah Senarai Penyakit Jantung Yang Lazim Di Malaysia! Jom Ambil Tahu Sekarang

27 Aug 2022

 


Tahukah anda, apakah jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia? Mungkin ramai pernah dengar mengenai sakit jantung dan strok, tapi sebenarnya ada banyak lagi penyakit jantung yang anda perlu tahu.

Penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, penyakit ini lebih dikenali dengan nama penyakit jantung dan telah menjadi punca kematian utama hampir sedekad lamanya.

Kebanyakan bentuk penyakit jantung boleh dirawat atau dielakkan dengan cara mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, hampir 1.7 juta rakyat hidup dengan 3 jenis faktor utama penyakit jantung iaitu diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi.

Malah, 3.4 juta lagi rakyat Malaysia mempunyai dua faktor risiko utama seperti yang diterangkan di atas. Perkara inilah yang menyebabkan begitu ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit jantung.

Apakah maksud penyakit jantung dan jenis jenisnya

Sebenarnya, penyakit jantung merupakan satu terma universal yang digunakan untuk merujuk kepada penyakit atau kondisi yang mempengaruhi jantung manusia. Ini termasuklah:

  1. Penyakit jantung koronari – penyakit yang berlaku pada kawasan salur darah yang menuju ke jantung.
  2. Penyakit serebrovaskular – penyakit pada salur darah yang menuju ke otak.
  3. Penyakit arteri periferal – penyakit pada saluran darah yang menuju ke tangan dan kaki.
  4. Penyakit jantung reumatik – kecederaan pada otot dan injap jantung disebabkan demam reumatik.
  5. Penyakit jantung kongenital – kerosakan struktur jantung sejak lahir.
  6. Thrombosis vena dalam – darah beku pada kawasan kaki yang boleh tercabut dan bergerak ke bahagian jantung dan paru-paru.

Jantung merupakan organ yang paling penting dalam sistem kardiovaskular.

Melalui saluran darah, jantung bertindak mengepam dan membekalkan oksigen kepada semua sel di dalam badan manusia.

Penyakit jantung akan terjadi apabila saluran darah dan jantung tidak dapat melakukan fungsinya seperti biasa.

Disebabkan sistem kardiovaskular menghubungkan jantung kepada bahagian badan yang lain, penyakit ini juga boleh memberikan kesan yang negatif kepada organ lain.

Jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia

Ada banyak penyakit jantung yang lazim di Malaysia. Antaranya adalah:

1. Penyakit jantung koronari

Di Malaysia, jenis penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit arteri koronari. Penyakit ini terjadi apabila terdapatnya pengumpulan plak pada kawasan arteri.

Penyakit yang turut dikenali dengan nama penyakit jantung koronari ini boleh menyebabkan simptom seperti sakit dada atau sakit jantung jika tidak dirawat.

2. Angina (sakit dada)

Angina merupakan sejenis kesakitan atau ketidakselesaan pada kawasan dada, lengan, leher, perut atau rahang yang berlaku disebabkan pengaliran darah kepada jantung yang terbatas.

Namun, angina bukanlah sejenis penyakit. Ia merupakan salah satu simptom penyakit arteri koronari. Malah, angina merupakan satu cara jantung memberikan ‘amaran’ kepada kita.

Jika anda kerap diserang sakit dada, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk mengenal pasti punca sebenar angina yang dialami.

3. Sakit jantung

Sakit jantung atau infarksi miokardium akut berlaku apabila bekalan darah kepada mana-mana bahagian otot pada kawasan jantung terhenti atau terhalang.

Sakit jantung biasanya berlaku disebabkan plak lemak yang tercabut dan membentuk darah beku pada kawasan arteri koronari.

Serangan jantung boleh membawa maut jika tidak dirawat secepat mungkin.

Oleh sebab itu, penting untuk anda menelefon 999 jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang mengalami sakit jantung.

4. Kegagalan jantung

Ramai yang anggap kegagalan jantung terjadi apabila jantung gagal untuk berfungsi. Walau bagaimanapun, itu bukanlah maksud sebenar kegagalan jantung.

Kegagalan jantung berlaku apabila jantung tidak lagi dapat mengepam darah dengan sempurna.

Akibatnya, pesakit akan rasa sesak nafas dan letih kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

5. Degupan jantung tidak sekata (arrhythmia)

Masalah degupan jantung tidak sekata berlaku apabila impuls elektrik yang mengawal degupan jantung tidak berfungsi dengan baik.

Oleh sebab itu, jantung akan berdegup terlalu pantas atau terlalu perlahan. Degupan jantung tidak sekata juga tergolong dalam kategori arrhythmia.

Kesimpulan


Bukan semua sakit jantung berlaku dengan jelas seperti yang dapat kita lihat pada kaca televisyen.

Kadangkala, sakit jantung boleh berlaku secara senyap. Ia juga tidak akan menunjukkan apa-apa simptom sehinggalah pesakit mengalami serangan jantung atau kegagalan jantung.

Individu yang mengalami hipertensi, kolesterol tinggi dan merokok merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami penyakit jantung.

Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami simptom penyakit jantung.

Kredit : HelloDoktor



Awas ! Wanita Merokok

19 Jan 2022



KEBANYAKAN kita setuju jika dikatakan wanita sekarang lebih moden, maju, berjaya dan berpelajaran.

Di sebalik semua kecemerlangan dikecapi wanita dek kemodenan dan peredaran zaman, sama ada kita sedar atau tidak, jumlah pembabitan kaum hawa dalam aktiviti sosial terutamanya merokok juga semakin meningkat.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuktikan, peratusan jumlah wanita yang merokok meningkat di negara membangun termasuk Malaysia, sementara angka perokok lelaki mula menunjukkan penurunan.

Lebih membimbangkan, satu kajian dari Universiti Amsterdam, Belanda baru-baru ini mendapati tabiat itu yang diamalkan ketika mengandung boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan menjadi seorang homoseksual.

Pakar neurobiologi Universiti Amsterdam, Profesor Dr. Dick Swaab berkata, selain tabiat merokok, pengambilan alkohol juga boleh membuatkan anak menjadi bodoh.

Melalui kajiannya itu, Swaab mendapati gaya hidup seorang wanita mengandung secara tidak langsung boleh mempengaruhi seksualiti dan tahap pemikiran anak mereka.

Jelasnya, pengambilan dadah atau tinggal di kawasan yang udaranya tercemar memberi kesan buruk kepada perkembangan janin dan mempengaruhi proses pembesaran bayi.

"Pengambilan hormon sintetik dan tabiat merokok semasa mengandung boleh meningkatkan peluang untuk anak yang dilahirkan menjadi homoseksual .

"Pengambilan alkohol, pula boleh menyebabkan tahap pemikiran anak menjadi lemah," jelasnya.

Adakah kajian ini benar?

Menurut Pakar Obstetrik dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Dr. Mathi Arasu Muthusamy, fakta yang mengatakan wanita hamil yang merokok boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan menjadi homoseksual sebenarnya belum ada bukti yang kukuh. 

"Walaupun ada kajian yang dibuat, masih belum ada bukti yang mengatakan kecenderungan anak yang dilahirkan menjadi homoseksual dipengaruhi oleh tabiat merokok. Pun begitu, wanita hamil yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat mungkin boleh memberi kesan genetik kepada kandungannya. 

"Sebenarnya, mereka yang merokok ketika hamil,berisiko menghidap penyakit yang lebih kronik. Pada pendapat saya, kajian tersebut secara tidak langsung memberi kesan psikologi kepada wanita hamil supaya tidak merokok," ujarnya.

Kesan buruk kepada wanita

Dr. Mathi memberitahu, merokok sebenarnya mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada wanita jika dibandingkan dengan lelaki, selain penyakit barah, jantung, respiratori, wanita merokok juga mengalami masalah kesuburan dan berdepan risiko semasa mengandung serta melahirkan.

"Alangkah baiknya jika wanita itu sendiri tahu bahawa merokok meningkatkan risiko mereka mendapat barah pangkal rahim dan barah payu dara sebelum menopaus.

"Jika perokok lelaki sering dikaitkan dengan penyakit paru-paru, wanita sebenarnya mempunyai masalah yang lebih serius. Golongan ini berisiko mengalami masalah reproduktif dan kanser. Wanita yang merokok akan menggandakan risiko menghidap kanser pangkal rahim," jelasnya.

Tambahnya, merokok dalam kalangan wanita mempercepatkan hilangnya telur dan menjejaskan fungsi reproduktif atau kesuburan, malah perokok wanita berisiko tinggi untuk mendapat haid tidak normal selain mempercepatkan proses menopaus beberapa tahun lebih awal daripada wanita tidak merokok.

Ini kerana merokok mengganggu keupayaan sel dalam ovari menghasilkan estrogen, menyebabkan telur wanita lebih mudah menghasilkan kerosakan genetik.

Beliau menekankan, jika dibandingkan dengan wanita tidak merokok, perokok wanita berkemungkinan mengalami ketidaksuburan yang boleh melewatkan proses kehamilan.

Dr. Mathi berkata daripada bukti sehingga kini, nampaknya wanita yang merokok lebih cenderung untuk mengalami kesakitan semasa datang haid dan putus haid pula berlaku lebih awal iaitu kira-kira setahun atau dua tahun lebih awal berbanding dengan yang tidak merokok.

"Wanita hamil yang merokok lebih banyak melahirkan bayi yang meninggal dunia jika dibandingkan dengan wanita hamil yang bukan perokok. Seandainya bayi itu lahir normal, maka bayi wanita perokok lebih ramai meninggal dunia pada bulan-bulan pertama kehidupannya. Dalam daun tembakau umumnya terdapat satu hingga tiga peratus dadah nikotin. 

"Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin terhadap janin. Asap daripada setiap batang rokok mengandungi tar dan apabila meluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan penyakit kanser. Nikotin akan menyebabkan ketagihan selain bahaya karbon monoksida, sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen," katanya.

Selain itu, bahaya merokok boleh memberi kesan kepada pertumbuhan janin disebabkan oleh penurunan aliran darah ke dalam plasenta, peningkatan kadar kematian janin (semasa peringkat perinatal), kecacatan kepada bayi seperti kecacatan pada bibir dan lelangit (cleft lip dan palate), peningkatan risiko untuk mengalami sawan, kelahiran sebelum tempoh matang (atau tidak cukup bulan), keguguran, penurunan berat badan bayi sebanyak 150 hingga 200 gram dan perkembangan sistem saraf yang tidak normal. 

Beliau menjelaskan, bayi juga berisiko tinggi untuk mendapat asma dan sindrom kematian bayi mengejut (cot death). Kesemua risiko tersebut lebih besar kemungkinan berlaku ke atas wanita atau ibu yang merokok berbanding dengan yang tidak merokok . 

Pencegahan 

Dr. Mathi menasihatkan wanita hamil yang merokok supaya berhenti merokok. 

"Bagi mereka yang mempunyai pasangan yang merokok, elakkan diri daripada terhidu asap rokok. Dalam masa yang sama, elakkan diri daripada tempat sosial yang terdedah dengan asap rokok. 

"Kepada perokok, ambil ubat jika perlu. Ia boleh membantu meredakan rasa ketagihan dan tekanan. Anda boleh mengambil gula getah bernakotin, lozenges dan lain-lain. Doktor anda juga boleh memberi ubat. Menggunakan produk pengganti nakotin atau ubat lain mampu melipat gandakan peluang anda untuk berhenti merokok," katanya.

KESAN ASAP ROKOK PASIF KEPADA BAYI
Masalah dan penyakit pernafasan
Perkembangan kecerdasanotot terjejas
Jangkitan telinga
Leukemia
Kanser otak
Lelah ,meningkatkan simptom lelah
Sindrom kematian secara mengejut.

TIP BERHENTI MEROKOK
Bila terasa ingin mengepit rokok di jari, cuba pegang sesuatu yang lain seperti pensil, buku, memasak atau menulis yang mampu membuatkan anda lupa untuk mengambil rokok. Jika merokok untuk rasa kepuasan melalui mulut, gantikan ia dengan memakan makanan berkhasiat seperti sayuran mentah, bertih jagung atau roti gandum.

Jika merokok untuk merangsang semangat tubuh, cuba lupakan dengan berjalan cepat, membaca bahan bacaan menarik atau berbincang topik menyenangkan. Pastikan diet anda mengandungi bahan nutrisi yang penting dan anda tetap makan secara teratur untuk mencegah rasa lesu kerana kadar gula rendah

Andai anda merokok untuk mengurangkan stres, atasi ia dengan mendengar muzik yang menyenangkan, berjalan jauh atau melakukan sesuatu yang menggembirakan anda

Jika anda merokok untuk mendapatkan kesenangan, cari kesenangan dengan cara lain dan pilih suasana tidak ada orang yang merokok

Bila anda merokok kerana kebiasaan, hindari situasi yang menyebabkan anda terdorong berbuat demikian seperti bergaul dengan teman yang merokok dan pilih kawasan yang tidak dibenarkan merokok

Bila anda merokok sambil makan makanan atau minuman tertentu, elakkan makan dan minuman berkenaan dan makan di lokasi lain

Bila terasa ingin merokok, tarik nafas dalam-dalam dengan berhenti sebentar pada akhir tarikan nafas. Tahan nafas sementara anda menyalakan pemetik api. Keluarkan nafas perlahan-lahan dan tiup pemetik api terbabit. Bayangkan ia sebatang rokok dan buang.


KESIMPULAN
~Merokok menyebabkan fungsi ovari merosot dan memberi kesan buruk kepada sperma
~Merokok menyebabkan proses IVF lebih sukar
~Merokok memberi kesan kepada anak dalam kandungan
~Pasangan yang merancang mendapat bayi perlu elak merokok dan pendedahan menjadi perokok pasif.


Info
Toluena
Pelarut
industri
Cat
Metana
Gas pembentung
Asid asetik
Cuka
Karbon monoksida
Hexamine
Barbeku ringan

Kandungan Rokok
Arsenik
Racun
Kadmium
Bateri
Nikotin
Racun
serangga
Butana
Cecair
pemetik
api
Metanol
Bahan api roket
Ammonia
Pembersih
tandas
Asid
Sterik
Lilin asid
Rokok


Mengapa Aku Berhenti Merokok ? Pengalaman Ngeri Benar-Benar Buat Aku Nekad ...

9 Jan 2022


Saya antara salah seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Kedah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan saya sendiri telah merokok hampir lebih kurang 30 tahun dari zaman persekolahan dari Tingkatan 3 (1974)  hinggalah sampai Tahun 2010 , sehingga pada awal tahun tersebut Tuan Pengarah Kesihatan telah mengadakan satu perjumjpaan khas bagi kakitangan kesihatan khusus untuk perokok-perokok tegar dengan berbagai amaran termasuk untuk memotong markah sebanyak 10% dari markah prestasi tahunan jika masih merokok, namun ianya tidak sedikit pun memberikan kesan kepada saya, pihak Pegawai Kesihatan Daerah telah mengadakan satu progrem khas Nafas Baru di Pejabat Kesihatan dengan mengatakan perbuatan dan amalan menghisap rokok ini bahaya dan haram termasuk dengan menyiarkan berbagai gambar-gambar yang mengerikan dan amaran akan mengambil tindakan disiplin kepada warga kesihatan daerah yang masih merokok, namun dalam hati kecil saya tidak langsung merasa takut dan gentar dan terus lagi merokok. Walaupun aku mengidap asma yang kronok namun berhenti merokok adalah tidak sekali-kali ada dalam dari kehidupan aku.


Musibah dan hikmah datang kepada saya pada pertengah tahun tersebut, adalah menjadi kegemaran saya untuk memancing Udang Galah dan waktu memancing dan tempat nya cukup mencabar dan peprlu hisap rokok banyak bagi tujuan hilangkan kebosanan dan menghalau nyamuk yang banyak di kawasan tersebut, hinggakan kadar hisapan rokok saya semakin meningkat daripada 2 kotak rokok (40 batang) sehari meningkat kepada 3 kotak (60 batang) sehari itu tidak termasuk rokok gulung sendiri lagi.. mungkin antara 10-20 batang, jadi saya merokok makin bertambah banyak.. hinggakan pada suatu hari saya seperti biasa pergi memancing dengan kawan dan pada hari itu saya memancing seperti biasa berbekal kan rokok dan air minuman 100+++ Botol Besar ..memancing selepas sembahyang Asar hingga Magrib.. berhenti sembahyang sambung sampai.. subuh.. behnti sembahyang subuh dan sambung sampai jam 10-11pagi.. dari Udang Galah 4x5 ekor..je.. tetapi malam itu aku rasa telah menghisap rokok lebih kurang 60-70 batang.. Balik kerumah aku rasa dada aku semakin sesak dan ketat, oksijen dah udara dah tak boleh masuk dalam ruang paru-paru aku.

Lepas pejabat aku balik rumah dalam keadaan cukup penat dan tidak bermaya, aku tidak berani lagi untuk menghisap rokok kerana merasakan dada aku sudah ketak dan ketat rasa dalam ruang paru-paru aku, namun aku terus berdegil tidak ke Klinik atau Hospital dan terus melawan kesakitan dan kesesakan nafas tersebut dimana pengalaman lalu selalunya bila aku cuba kuatkan semangat dan melawan keadaan itu ianya akan kembali pulih dari semput itu..namun keadaan tidak berubah anak dan isteriku tidak tahu lagi keadaan aku itu namun pada jam 10 malam aku rasa makin teruk dan tidak dapat tidur.. nafas rasa makin semput, sempoit dan aku rasa tidak mampu bernafas lagi.. aku bagi tahu isteri ku ..mungkin aku akan mati di saat itu dan aku ke bilik air buang segala air kecil dan air besar aku kata kat isteriku agar senang nanti orang uruskan mayat aku.. 

...kemudian aku naik keatas katil dan sambil duduk aku terus mengucap-mengucap sehinggalah.. aku tidak sedarkan diri (pengsan)  seluruh badan aku di katakan hitam akibat peredaran darah terganggu dan isteri aku menjadi panik dan gelabah lalu telipon 999 nasib baik dapat respond.. pusat 999 kemudian menghubungi Kecemasan Kedah seterusnya ke Pusat Kesihatan Dekat Kampong aku yang pada mula enggang melayan tetapi setelah Maklumat memberitahu nama aku dan salah seorang pertugas kenal nama itu.. lantas dengan segera mereka datang ke Rumah aku.

Lebih kurang 30-45 minit selepas aku pengsan tadi baru ambulance sampai dan aku di bawa ke Hospital berdekatan, aku bertuah keran di Hospital berkenaan seorang Doktor China dengan didikasi merawat aku dan pertama kali beliau menyoal nama aku.. aku boleh jawab dan kemudian beliau bertanyakan no kad pengenalan aku.. aku boleh jawab kemudaian aku ditahan di wad untuk rawatan selanjutnya, ajadi inilah kali pertama aku tidur dalam wad dan jari jemari aku dipenuhi jarum-jarum yang sebelum ini aku cukup takut dengan jarum-jarum ini..hampir sepanjang hayat aku tidak pernah tidur dalam wad hospital dan inilah kali pertama dapat merasakan nya.. hampir semua jururawat dan kakitangan hospital mengenali aku kerana aku kerap menyampaikan ceramah kepada kakitangan dimasa-masa tertentu dan melawat Hospital ini.. 

Jadi saat itu lah aku bertekad tidak akan merokok lagi sehinggalah ke hari ini.. Ramai di kalangan kawan dan orang-orang awam bertanyakan apakah petuanya untuk berhenti merokok, adalah amat sukar untuk menjawab nya dan tiada lagi aku dapat sebarang Fatwa yang mujarab dalam perkara ini, hingga Alim ulama dan pakar-pakar perubatan pun masih ramai yang merokok jadi dari sinario peristiwa yang berlaku pada diri aku itu apa yang dapat di simpulkan kita perlu ambil kesempatan akan peristiwa-peristiwa pahit dan hitam seperti itu mungkin dapat membantu Prokok-prokok tegar dan pro ini untuk berhenti merokok.

Antara perubahan atau perasaan bila berhenti merokok yang saya alami adalah seperti berikut:
  • Saya merasa bangga kerana dapat berhenti merokok yang mana memang bertahun-tahun cuba berhenti tetapi tidak berjaya
  • Rasa ketagihan akan datang juga dalam 3-7 saat atau beberapa minit dalam waktu-waktu kita merokok dahulu contohnya selapas bangun tidur dan minum pagi, kita akan rasa sesuatu amalan yang kita tertinggal tak buat iaitu merokok sabar dan tabah hanya 2x5 saat sahaja.
  • Rasa susah untum buang air besar, kadang-kadang rasa sampai nak mengis kerana najis tak mau keluar rasa keras seperti batu terpaksa sabar dan jika perlu kita kena korek pelan-pelan atau pecah kan najis tadi perlahan-lahan mungkin terpaksa ambil masa dalam bilik air. keadaan ini akan berterusan 1-2 minggu mungkin juga kesan dari ubat yang di bekalkan dari hospital juga.
  • Selera makin menurun dengan banyak, hinggakan antara jam 8pagi hingga 2 petang kita tak rasa lapar lagi.
  • Keadaan tubuh badan tidak banyak berubah, tidak terlalu gemuk atau kurus.
  • Kekuatan batin akan bertambah sedikit demi sedikit kadang-kadang boleh tahan hingga 1-2  jam dan boleh ulang 2x3 kali.
  • Cepat marah adalah suatu yang kerap berlaku kepada saya khusus kepada anak-anak buah (kakitangan bawahan) dapat di kawal oleh ketua Jabatan yang memahami masalah ini dan kurang memberikan penekanan.
  • Kerap bermimpi hisap rokok ianya sering berlaku antara 1-3 bulan namun ianya tidak membebankan.
  • Rasa yakin bile berhadapan dengan pegawai atasan di mana sebelum ini kita menyedari nafas dan badan kita kuat berbau.
  • Rasa lebih yakin kepada tuhan (ALLAH) dalam keadaan tertekan contoh sewaktu dalam perbicaraan di Mahkamah jika dulu sebelum Mahkamah bersidang maka berbatang-batang rokok terpaksa di hisap.
  • Kesimpulan nya iman kita dan rezeki semakin melimpah ruah, sehati 3 kotak x RM10.00 sekotak= Rm30 sehari jadi sebulan mau terpaksa belanja lebih kurang RM900 - 15000 kerana jika merokok tak kena Teh tarik tak sah..sekali kena rokok maka sekali akan pekena Teh atau Kopi maka jumlah nya akan terus meningkat.
  • Jadi berikut adalah bebarapa petua tambahan bagi berhenti merokok untuk panduan semua Perokok-Perokok tegar dan Ibu bapa yang menghadapi anak-anak yang baru belajar merokok.
  • Kesimpulan nya "JANGAN SEKALI-KALI PERCAYA DENGAN DAKWAAN KETAGIHAN ROKOK TIDAK DAPAT DI ATASI" dengan pengalaman saya melbehi 30 tahun merokok "Ketagihan" itu dapat di buang dengan senang tanpa apa-apa rawatan dari mana-mana Klinik Berhenti Merokok, jika ada kesempatan ke Klinik tersebut adalah lagi bagus dan baik.

MEMBUAT PERSEDIAAN BERHENTI MEROKOK
Anda mungkin merasa bahawa berhenti merokok ini mempunyai kebaikan dan keburukan pada diri anda. Perasaan ini memang sesuatu yang lumrah setiap kali kita membuat sesuatu keputusan yang paling penting dalam kehidupan kita. Setelah mengenalpasti sebab-sebab anda berhenti merokok, fikirkan juga perkara-perkara yang mungkin menghalang anda daripada berhenti merokok. Contohnya , ada perokok yang bimbang akan mengalami naik berat badan atau gejala " withdrawal " atau gian. senaraikan pula faktor-faktor yang anda rasakan mungkin menghalang niat anda untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda merasa sangsi untuk meneruskan niat anda untuk berhenti merokok, yakinkan diri anda bahawa kesangsian itu boleh diatasi. Sentiasa ingatkan diri anda akan mendapat kebaikan dan faedah yang akan anda kecapi dengan berhenti merokok dan bersedialah untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda telah benar-benar bersedia untuk berhenti merokok, kemungkinan anda berjaya adalah lebih cerah. Bagi membantu anda bersedia untuk berhenti merokok, anda bolehlah mengambil langkah-langkah yang dinyatakan di bawah bagi menjayakan hasrat anda untuk berhenti merokok;
  • Memahami bila dan kenapa anda merokok.
  • Ubah kebiasaan merokok.
  • Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok.
  • Dapatkan sokongan.
  • Rancang kehidupan harian tanpa merokok.

1. MEMAHAMI BILA DAN KENAPA ANDA MEROKOK.
Apabila anda mengetahui kenapa anda merokok, anda boleh merancang cara mana melalui kehidupan biasa tanpa merokok. Sebab kenapa anda merokok biasanya bergantung rapat dengan masa atau tempat, dengan siapa kita bersama atau perasaan yang dirasai. Dengan mengetahui kenapa dan bila anda akan berhenti merokok, memudahkan anda bersedia menghadapi masa-masa tersebut ketika mana desakan atau keinginan intuk merokok itu timbul.
Simpanlah sesuatu catatan harian atau diari mengenai amalan merokok anda untuk beberapa hari. Bagi setiap kali anda merokok. tuliskan masa anda merokok, keadaan ketika mana anda berada dan sebab anda merokok. Buatkan suatu tanda ketika mana keinginan untuk merokok paling memuncak
 


2. UBAH KEBIASAAN MEROKOK
Adalah lebih mudah bagi anda berhenti merokok sekiranya anda dapat mengatasi kebiasaan merokok yang diamalkan sebelum ini. Mulakan dengan:
  • Ubah cara dan gaya anda merokok, hindarkan merokok pada masa yang biasanya anda merokok, pegang rokok berbeza dengan cara yang biasa, tukar jenama lain, ikatkan kotak rokok dengan getah gelang agar membukanya untuk tujuan merokok akan mendatangkan sedikit kesukaran.
  • Ubah situasi atau keadaan ketika mana biasanya merokok, pilihlah tempat yang tidak sesuai atau selesa untuk merokok dan bukan di tempat yang anda merasa seronok merokok. Mula kurangkan kekerapan merokok.

3. TETAPKAN TARIKH BERHENTI MEROKOK
Adalah mustahak anda menentukan sendiri tarikh berhenti merokok. Elakkan hari-hari bilamana anda akan mengalami tekanan, sebaliknya pilihlah tarikh penting dan bermakna bagi diri anda seperti hari lahir, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk berhenti merokok. Pada hari anda akan berhenti merakok itu rancanglah sesuatu untuk mengubah perkara-perkara rutin yang biasa anda lakukan supaya keinginan untuk merokok tidak timbul. Berilah masa secukupnya bagi menyiapkan diri anda untuk membuat persediaan berhenti merokok, tetapi jangan sekali-kali membatalkan niat anda untuk berhenti merokok.

4. DAPATKAN SOKONGAN
Maklumkan kepada keluarga, teman rapat dan rakan sekerja bahawa anda telah berhenti merokok dan dapatkanlah sokongan mereka. Bahkan adalah lebih baik sekiranya anda mengajak rakan anda yang merokok supaya bersama-sama untuk berhenti merokok agar masing-masing dapat saling menyokong. Ada baiknya jika anda dapat menentukan calun rakanyang boleh menyertai anda berhenti merokok.


5. RANCANG KEHIDUPAN HARIAN TANPA MEROKOK
Semasa melalui kehidupan harian tanpa merokok anda perlu merancang caramana mengatasi keadaan atau situasi bilamana anda biasanya merokok, contohnya setiap kali selepas minum kopi atau selepas makan dan sebagainya. Cuba alih perhatian anda kepada sesuatu yang bukan kebiasaan yang anda lakukan. Perancangan yang teliti membolehkan anda melalui kehidupan harian dengan yakin dan tenang. Lalui setiap jam dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.



MULAKAN BERHENTI MEROKOK

YAKIN DIRI
Anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

Langkah 1  
BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2
BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3
LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara " cold turkey ". Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4          
TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI.
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5
BERFIKIRLAH SECARA POSITIF.
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6
DAPATKANLAH SOKONGAN.
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7
MELAWAN KEINGINAN MEROKOK.
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiapkali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya

AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK

1. MELENGAHKAN-LENGAHKAN
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit.
Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda " nanti " setiap kali anda ingin merokok.

2. MENARIK NAFAS PANJANG.
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.

3. MINUM AIR.
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum.

4. MEMBUAT SESUATU.
Buatlah sesuatu yang boleh mengalehkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam.

FAEDAH YANG ANDA PEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK

Selepas beberapa jam sistem peredaran darah akan mulai bersih daripada bahan nikotin. Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan nikotin akan lenyap dari badan.

Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk jantung anda.
Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis gas beracun akan mula lenyap dari tubuh, membolehkan lebih banyak oksigen diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih baik.
Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik. Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari, pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih.
Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.
Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien.
Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi lebih subur

GEJALA " WITHDRAWAL " ATAU GIAN.
Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala "withdrawal". Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.

Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.
Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu.

Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.

Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.

Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah.

Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala "withdrawal" ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian.
 

MENGEKALKAN STATUS TIDAK  PEROKOK.
Sekarang anda telahpun berhenti merokok. Tugas seterusnya yang mana lebih mencabar ialah bagi anda untuk terus mengekalkan status bukan perokok anda. Terdapat ramai orang yang mengambil sikap tidak berhati-hati selepas beberapa bulan berhenti merokok sehingga tanpa disedari mereka kembali merokok. Jangan biarkan perkara ini berlaku ke atas diri anda. IKUTI PETUA INI...

BERFIKIRAN SECARA POSITIF.
Seperti menjaga keadaan fizikal, keadaan mental anda perlu disesuaikan. Fikirkan diri anda sebagai bukan perokok. Sentiasa peringatkan diri anda sebab-sebab kenapa anda berhenti merokok. Tumpukan perhatian kepada faedah yang diperolehi dengan tidak merokok. Ingatlah bahawa semua gejala "withdrawal" akan lenyap dan ini merupakan suatu petanda baik yang tubuh anda sedang pulih daripada ketagihan rokok. Katakan saya boleh...

LAWAN FIKIRAN NEGATIF.
Jangan biarkan fikiran negatif menghancurkan niat anda untuk terus kekal sebagai bukan perokok. Jangan sekali-kali mencuba untuk kembali merokok. Ingatkan petua 4M bagi mengatasi setiap fikiran negatif yang boleh mendorong anda merokok.

BERI GANJARAN  UNTUK DIRI ANDA.
Kejayaan berhenti merokok merupakan suatu pencapaian yang layak diberi pujian dan ganjaran. Anda harus berasa bangga yang anda sekarang bukan lagi seorang perokok. Gunakanlah wang yang berjaya anda jimatkan untuk membeli sesuatu yang anda idamkan selama ini atau gunakan wang itu untuk melancung atau sebagainya yang berfaedah kepada diri anda.

MENJAGA BERAT BADAN.
Sebahagian orang berjaya berhenti merokok dan tidak menghadapi masalah berat badan, tetapi sebahagian yang lain berjaya berhenti merokok tetapi mengalami masalah kenaikkan berat badan. Secara purata, berat badan mereka meningkat kira-kira 2 kg. Ini adalah kerana deria rasa dan deria bau yang kembali pulih menyebabkan seseorang itu merasai makanan yang dimakan lebih sedap sehingga ia makan lebih banyak daripada biasa.

Dengan mengamalkan pemakanan sihat berpandukan piramid makanan dan mengamalkan senaman tiga kali seminggu selama sekurang-kurangnya 20 minit setiap kali bersenam, masalah berat badan boleh diatasi dengan berkesan


  
Oleh : 
HAMZAH HJ.AHMAD
BOJ(UM) DRSH(LOND) P.C.K (KEDAH)
Kredit : inspektoratsik


 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.