SLIDER

ibu tiri
Showing posts with label ibu tiri. Show all posts

Kalau Mak Ada, Mak Mesti Sedih

15 May 2017



MASALAH rumah tangga bukan sahaja berlaku kepada pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga tetapi juga pasangan sudah berumur terutama mereka yang baru berkahwin lain. Ada bercinta macam orang muda, bergayut di telefon siang malam, tak jumpa sehari terasa rindu dan apabila berjumpa tidak mahu berpisah pula. Bila sudah berkahwin lebihkan isteri baharu dan keluarganya.Inilah kisah yang saya akan kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Anne (bukan nama sebenar) mengenai ayah­nya yang baru berkahwin lain setelah kematian ibu mereka dua tahun lalu. 

Begini ceritanya.

“Saya anak sulung daripada tiga beradik dan mempunyai seorang adik lelaki dan adik perem­puan yang masih menuntut di universiti. Ibu kami meninggal dunia dua tahun lalu kerana serangan jantung.“Ayah seorang pesara kerajaan, usianya 65 tahun tetapi seorang yang sangat menjaga penampilannya terutama di khalayak. Pakaian memang sangat style mengalahkan orang muda.“Tidak hairanlah ayah dikejar ramai wanita. Setelah dua tahun menduda, ayah akhirnya bertemu jodoh dengan seorang kenalan lamanya, janda beranak tiga juga tetapi kematian suami. Orang­nya cantik, bergaya dan memang sesuai dengan ayah.

“Saya dan adik-adik tidak membantah apabila ayah memberitahu dia mahu bernikah lagi. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya ayah ada orang jaga sakit demamnya, makan mi­numnya. “Adik-adik mengikut saya. Baik saya baiklah mereka, lagipun kami bukan anak yang didik dengan adab sopan menghormati ayah dan orang tua. Saya tidak nampak keburukan bakal ibu tiri kerana dia sangat mesra setelah ayah perkenalkan kepada kami beberapa bulan sebelum mereka bernikah.

“Seperti yang saya boleh agak, selepas berkahwin ayah ba­nyak menghabiskan masa dengan makcik dan keluarganya. Saya dan adik-adik selalu tinggal bersendirian sebab ayah lebih kerap tinggal di rumah makcik dari rumah kami. “Alasan ayah, saya sudah dewasa untuk menjaga adik-adik semasa ketiadaan ayah. Sedangkan ayah tahu, kami perlukan dia. Ini tidak, dalam sebulan seminggu pun ayah jarang dapat bersama kami. Sehinggakan ada kalanya saya terpaksa menelefon dan mesej untuk beritahu ayah sesuatu yang mustahak. Nasiblah kalau ayah baca, jika tidak, tunggulah.

“Saya sangat sedih dengan perangai ayah. Tidak sangka ayah akan mengetepikan anak-anak kerana dapat isteri baharu. Sedangkan masa belum kahwin ayah berjanji akan tinggal bersama kami. Makcik pun setuju de­ngan syarat kami. “Tapi bila sudah berkahwin lain pula jadinya. Ayah ikut cakap isteri baharu, lupa janjinya de­ngan kami. Dia seronok dengan isteri baharunya, kami dibiar menangis kerana sedih dengan sikap ayah. “Saya banyak kali menegur ayah tetapi saya pula kena marah sebab ayah kata saya cemburu dengan anak-anak tiri ayah. Siapa saya hendak cemburukan mereka? Itu hak ayah. Saya tidak kisah. “Yang saya kisah tanggungjawab ayah kepada kami tiga beradik. Itu yang ayah perlu fikirkan, bukan enjoy dengan makcik ke sana sini. Saya tidak marah ayah layan makcik dan anak-anaknya tetapi pada masa sama perlu ingatkan kami juga.

“Adik-adik masih perlukan ayah. Mereka masih belajar. Saya sudah boleh berdikari sebab saya sudah berkerja dan ada pendapatan sendiri. Saya tidak akan susahkan ayah tetapi adik-adik perlukan wang untuk belajar dan sara hidup mereka. “Saya pernah bincang hal ini dengan opah sebelah ayah, sa­yangnya mereka tidak memihak kepada saya sebab kata mereka ayah ada keluarga baharu, dia perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka. Habis saya dan adik-adik ini tanggungjawab siapa? “Enam bulan selepas itu saya ambil keputusan bertukar kerja di utara, kerana mahu dekat dengan nenek sebelah mak yang sangat mengambil berat hal kami tiga beradik. Saya nekad buat keputusan kerana adik-adik juga belajar di utara.

“Saya tidak minta pendapat ayah sebab saya sudah tahu akan jawapannya. Saya benar-benar kecewa dengan sikap ayah dan sedih. Saya mahu berdikari dan hendak jaga adk-adik jauh dari ayah. Cara itu saya rasa lebih selamat. “Adik-adik juga setuju. Kalau ayah sayang kami, dia akan da­tang menjenguk kami di kampung. Jika tidak, saya dan adik-adik hanya berserah kepada Yang Esa.“Sekarang saya rasa tenang. Tidak fikir lagi akan hal ayah walaupun kadang kala saya sangat sedih. Kalau mak ada, mesti mak sedih dengan perbuatan ayah. Saya hanya mampu berdoa dan minta Allah bagi kami kekuatan untuk terus hidup. 

“Ayah masih macam dahulu, kejap timbul, kejap hilang, tapi banyak hilang dari ada. Tapi, kami tidak kisah sebab nenek sentiasa ada. Nenek pengganti mak, ibu saudara dan keluarga sebelah mak sentiasa menyokong kami, memberi layanan dan kasih sayang tidak berbelah bahagi. “Syukur kepada Allah. Itu tidak bermakna saya dan adik-adik tidak ingat kepada opah se­belah ayah, tetapi kami agak renggang sebab ayah yang menjadi puncanya.“Saya berharap kepada anak-anak yang ayah mereka kahwin lain setelah kematian ibu atau sebaliknya, kuatkan semangat dan reda dengan apa yang akan dihadapi. Kita tidak boleh halang ayah atau ibu kahwin lain sebab itu hak mereka. Kena banyak sabar dan berdoa agar semuanya akan baik-baik belaka.

“Saya juga berharap ayah akan sedar kesilapannya dan kembali kepada kenyataan dia masih ada anak yang perlukan perhatian. Semoga Allah dengar doa kami. Aamiin..” demikian Anne menamatkan ceritanya. Saya hanya mampu meminta Anne bersabar dan berdoa ja­ngan putus. Saya percaya satu hari nanti ayahnya akan sedar dan kembali memikul tanggungjawbnya semula. Syabas kepada Anne kerana menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab. Mudah-mu­dahan Anne dan adik-adiknya mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, Allah selalu memberikan kelebihan di sebalik kekurangan dan Allah juga selalu memberikan kekuatan di sebalik kelemahan. Ketika perjalanan hidup terasa membosankan, Allah menyuruh kita untuk banyak bersyukur.

Salam

Kredit : UtusanMalaysia

Sehingga Ke Tua, Tidak Disenangi Ibu Tiri

1 May 2017

BERCAKAP tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular arwah Ibrahim Pendek ‘‘mari kita lihat siapa yang kena!!’’, dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu dan beradik tiri. Pengalaman pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu. Walaupun umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib. Namun bukan semua ibu tiri jahat, malah ada ibu tiri yang didera anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika anak-anak tiri cekap, ibu tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap, anak-anak tiri akan terkena dan hidup menderita. 

Dapat ibu tiri cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa sahaja katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu diceraikan. Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang kakak dan abang. ‘‘Oleh kerana ibu tak bekerja, maka dia terpaksa bawa kami ke rumah opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah ibu bercerai sebab kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah tak ada asalkan ibu tak terseksa. Tetapi kami tak tahu ada masalah lain lebih besar lagi. Kehadiran kami menambah beban hidup opah yang memang sedia susah. Opah menoreh getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami. Tetapi tak sampai dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah kami dengan opah.

‘‘Cuba pembaca bayangkan nasib dan kehidupan kami ketika itu. Opah yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan kami. Waktu itu kakak baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang abang berusia 10 tahun. ‘‘Apa yang menyedihkan kami, ayah tidak pernah ambil tahu tentang kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak rumah ayah dengan rumah opah cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah, banyak benda yang tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam basikal kawan pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku dan pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan isterinya, tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka tengking dan pukul.

‘‘Ketika itu ayah sudah ada anak baru, mula-mula seorang akhirnya bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat jumpa ayah. Kalau dapat jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika itu kami macam yatim piatu. ‘‘Kata opah dia tidak ada daya upaya membiayai persekolahan kami adik beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan pelajaran hingga tingkatan lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa berhenti sekolah, cari kerja. ‘‘Walaupun ayah-ayah saudara (anak-anak opah) ada hulurkan bantuan, hanya cukup untuk beli makanan sebab mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat makan pun sudah cukup baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh, nak naik bas perlukan duirt, mana nak cari.

‘‘Walaupun ayah kata dia tak ada duit, tetapi kami tanggungjawabnya. Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak boleh minum milo, sedangkan kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o kosong. Tunggu hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi manis. ‘‘Pernah juga kami dapat duit dari ibu tiri seringgit dua, itu pun kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik cepat kerana tak selesa tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai ayah balik. Tetapi apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal 80-an? Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik.

‘‘Kakak kerja tak lama sebab kahwin dengan tentera. Tak lama lepas itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak tinggal di rumahnya. Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah, cari kerja untuk hidup. Dah nasib kami. ‘‘Boleh dikatakan saya bukan sahaja dibesarkan oleh kakak dan abang ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga tingkatan lima. Agaknya kerana keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini hidup mereka cukup senang, suaminya dah berpangkat tinggi. ‘‘Bila kami adik-beradik nak kahwin, perkataan yang keluar dari mulut ibu tiri, biarlah mereka ada duit"...apa maksud cakapnya, pembaca fikirlah sendiri.

‘‘Setelah berkahwin dan ada anak, bila cuti atau hari raya, saya akan ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari. Tujuannya hendak bermesra dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi anak-anak boleh bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran mereka tidak disenangi. ‘‘Tidak mahu serabutkan fikiran, maka saya kurangkan balik kampung dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan tak sanggup lagi bermalam di rumah ayah. ‘‘Saya cuba hubungi ayah, bercakap dengannya melalui telefon tapi biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya telefon jauh, ayah tak boleh bergerak. Macam-macam lagi.

‘‘Moral ceritanya daripada pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak yang beribu tiri. Ada antara mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan buruk sangka serta paling teruk jadi pendendam. ‘‘Kini setelah dewasa dan berkeluarga, saya amat menghargai sebuah keluarga bahagia. Saya berjanji akan memelihara dan menghargai keutuhan dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi. ‘‘Hanya mereka yang senasib tahu betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri. ‘‘Nasihat saya kepada ayah-ayah di luar sana, jika terpaksa berkahwin lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab lain, fikirkanlah nasib anak-anak terutama yang masih kecil.

Kepada anak-anak yang telah dewasa dan punya hidup sendiri, ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan orang tua yang tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada yang membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang.’’ Itu cerita Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.
Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nasib Si Ibu Tiri Moden

28 Apr 2017



Hmmm...dah nasib saya jadi ibu tiri. Apalah salah dan dosa saya, sehingga saya dilayan sebegini. Saya Rin, saya berkahwin dengan duda kematian isteri. Masa tu saya berumur 38 tahun, suami 45 tahun. Saya kahwin lewat. Kiranya masa berjumpa suami saya berstatus duda, saya terima dengan redha. Umur pun dah lanjut. Suami saya ada sorang anak perempuan yang sedang meningkat remaja . Kiranya saya ni jadi ibu tirilah kan. Selalunya kita dengar kat berita media, anak-anak didera ibu tiri. Status ibu tiri tu sendiri pun dah dianggap kejam dan jahat, macam dalam drama-drama tv. 

Tapi kes saya ni terbalik pulak. Saya yang didera oleh anak tiri saya adalah. Tapi bukan dera melibatkan fizikal. Cuma melibatkan penderaan emosi dan perasaan. Pada awal perkahwinan kami pun, anak tiri saya dah tak bersetuju dengan ayahnya untuk menjadikan saya isteri. Saya cuba mendekatkan diri saya dengan anak tiri, cuba mengambil hati dan cuba berkawan, namun usaha saya sia-sia, malah dibalas dengan muka yang masam mencuka dan mengeluh. Kalau bercakap dengan saya pun, dengan suara yang menengking dan meninggi, langsung tidak menghormati saya. Saya bersabar dan memujuk hati mungkin dia perlukan lebih masa untuk terima saya sebagai mak dia. 

Ada satu hari , saya dan suami sedang makan. Jadi saya jemputlah anak makan join sekali. Tapi dia hanya menjeling dan buat muka menyampah dengan saya. Saya biarkan aje. Biarkan hatinya cool dan tenang dahulu. Suami perasan anak kesayangannya memperlakukan saya sedemikian. Jadi sebagai ayah, die menegur sikap anak die supaya lebih menghormati saya sebagai ibu tiri. Namun dia buat-buat merajuk dan merungut dengan ayahnya. Bukan setakat merajuk, malah membaling sudu yang dipegangnya ke dalam pinggan. Bagi saya itu dah dikira biadab dan tak menghormati orang tua. Saya pujuk suami supaya biarkan hati anaknya sejuk dulu. Mungkin marahnya tengah meluap-luap selepas kena tegur di hadapan saya.

Hampir 2 tahun kami berkahwin, kami dikurniakan anak lelaki. Memandangkan suami tak ada anak lelaki, dan dah lama tak ada anak kecil, jadi suami sangat teruja dengan kehadiran anak kami. Setiap hari suami sentiasa melayan anak lelaki kami. Namun sejak kami ada anak ni, anak tiri saya semakin memberontak . Dia mula keluar malam dan kalau balik rumah pun terus masuk bilik tak mahu join kami berbual atau makan. Suami pernah ajak berbincang dengan anaknya. Saya ada terdengar di luar bilik, anak tiri menangis-nangis dan menjerit-jerit di depan ayahnya mengatakan bahawa dia tidak suka kehadiran saya di sisi ayahnya. Anak tiri beritahu ayahnya, sejak saya kahwin dengan suami, perhatian ayahnya semakin kurang terhadap die. Kalau dulu 24 jam ayahnya sentiasa berdamping dengan dia. 

Tak macam sekarang, sejak kami  berkahwin. Lagi-lagi bila dah ada adik baru. Perhatian suami terhadap dia dah terbahagi. Semakin kecewalah dia dengan ayahnya. Setiap kali kami bertembung, kalau masa tu saya bersama suami, kelihatan hati dia sangat membenci saya. Kami sentiasa memujuk dia, walau dengan apa cara sekalipun. Saya sendiri cuba membaca di internet, buku malah berjumpa kawan-kawan consultant untuk belajar cara bagaimana nak ambil perhatian anak remaja. Bagaimana nak memujuk hati dia. Namun sehingga sekarang kehadiran saya tetap tidak diterima. Malah, anak tiri ada beritahu suami kalau ayahnya sayangkan dia, anak tiri minta suami menceraikan saya dan tak mahu saya dan anak lelaki saya tinggal di rumah tu lagi. Dia tak nak berkongsi kasih sayang dengan kami.

Malangkah nasib saya ? Dia tak pernah fikir pun hati dan perasaan saya. Walaupun saya turut berkecil hati, terluka dan tersinggung dengan sikapnya, namun saya tak kisah sebab saya percaya hati dan perasaan seorang remaja mungkin lebih sensitif. Jadi saya hanya ada pilihan untuk terus bersabar dan bersabar dan juga terus berusaha memujuk hati anak tiri saya supaya menerima kami. 

Saya mahukan keluarga yang bahagia tanpa ada rasa kurang kasih sayang, Saya sendiri dah menganggap dia dah macam anak saya sendiri. Tolonglah pembaca , kalau ada cara-cara bagaimana lagi yang perlu saya usahakan untuk mengambil hati anak tiri saya.

-Ibu tiri moden-


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.