SLIDER

nenek
Showing posts with label nenek. Show all posts

Kisah Emak Yang Menyayat Hati Sepanjang Hidupnya Dari Muda Hingga Hujung Usia

13 Mar 2022



“APA yang ingin saya ceritakan di sini bukan bertujuan mengumpat, tetapi sebagai peringatan untuk diri saya sendiri, juga kalau ada wanita yang ingin tahu. Ceritanya mudah sahaja, iaitu nasib seorang wanita sudahlah semasa mudanya dia jadi pengasuh adik adiknya, setelah kahwin mengasuh anak-anaknya sendiri dan setelah tua disuruh mengasuh orang asing dengan alasan untuk menambah pahala kerana berbakti kepada orang yang amat memerlukan.

“Saya rasa mungkin pembaca tidak faham apa yang saya maksudkan, tetapi terus terang saya katakan cerita saya ini ada kena mengena dengan diri dan nasib emak saya saya sendiri.’’ Itu cerita Zuraina dalam emel pendeknya dan ketika kami menyambung perbualan baru-baru ini. “Emak saya ibu tinggal, bukan ibu tunggal, sebab ayah lari tinggalkan emak bersama 4 orang anak yang masih kecil hingga kini kami tak pernah jumpa. Bukan tak mahu jumpa, tapi rasanya malas nak cari. Untuk apa? Saya memang tak kenal pun, mungkin kakak dan abang boleh kenal wajahnya. Sebab saya ditinggalkan kata emak berumur lebih kurang 7 bulan.

“Kerana tak ada mata pencarian untuk teruskan hidup, emak terpaksa bawa kami balik kampung. Memanglah awalnya ada adik beradik emak `berketak’ mempersoalkan kehadiran kami, sebab sapa nak tanggung makan minum kami. Kata emak mereka salahkan emak tak tau jaga suami sebab itu ditinggal suami. Pendek sungguh akal mereka! “Emak banyak pekakkan telinga selagi nenek dan datuk sanggup terima emak dan kami semua, emak duduk di rumah tersebut. Mulanya emak tak bekerja. Tetapi atas pertolongan jiran emak dapat kerja cuci pejabat. Pagi-pagi emak keluar sama kakak dan abang yang hendak ke sekolah. Saya dijaga nenek sementara emak bekerja.  

“Emak tunggu di rumah majikan untuk diambil dengan kereta bersama pekerja lain. Sebab rumah nenek jauh tak ada bas masuk, kecuali motor dan kereta. Oleh kerana tak ada motor, emak jalan kaki ke rumah majikan hampir 2 batu dari rumah nenek. Hasil pendapatan itulah emak boleh sekolahkan abang dan kakak, beli buku, pakaian, dan untuk tampung makan minum kami di rumah nenek dengan jumlah gaji tak seberapa. “Hidup di kampung ketika itu memang susah. Ketika kakak dan abang nak sambung belajar ke sekolah menengah datuk terpaksa jual beberapa ekor kambing untuk perbelanjaan permulaan nak uruskan sekolah kakak dan abang . Oleh kerana sekolah menengah agak jauh dari rumah, datuk terpaksa jual kambing lagi untuk beli motor terpakai, dan emak terpaksa hantar dan ambil kakak dan abang balik sekolah. Jadi emak terpaksa berhenti kerja. Tapi emak dapat kerja lain jadi tukang masak di kantik sekolah. Masih ada rezeki.

“Di pendekkan cerita kini kami semua sudah bekerja, walaupun bukan berpangkat besar, tetapi boleh menyara hidup sendiri. Bila kami duduk di bandar, emak tak mahu ikut kami.  Emak masih duduk rumah datuk dan jaga nenek yang uzur. Setiap bulan semua kami bantu hulur duit untuk emak, sebab emak terpaksa duduk di rumah sepenuh masa jaga nenek. Adik beradik emak yang lain tak mahu bantu, sebab kata mereka dulu datuk bantu emak dan besarkan kami, maka kini giliran kami pulak kena bantu dan jaga nenek. “Setelah nenek meninggal dunia, emak tinggal sendirian, ketika inilah bermula cerita baru dalam hidup emak. Ada pulak orang kampung cadangkan supaya emak kahwin lagi, tak elok duduk sendirian, emak tolak, kata emak dia masih isteri orang.

“Tapi ada pulak AJK kampung yang berusah payah menguruskan hal emak, kata mereka kalau dah tak jumpa suami bertahun-tahun, tak bagi nafkah dan sebagainya, bermakna emak sudah bercerailah. Kata orang itu memang ada kebenarannya kerana emak sudah lama ditinggalkan, suami tak pernah datang jenguk isteri dan anak-anak, tak pernah beri nafkah. Takkan nak tunggu lagi suami jenis ini tak bertanggungjawab. “AJK kampong itu menambah dia boleh urusankan masalah emak. Jika emak mahu bercerai. Lagi pun apa gunanya digantung tak bertali bertahun-tahun. Ini semua boleh diselesaikan, asal emak mahu tahu jelas statusnya sudah bercerai atau tidak. Kerja ini amat mudah katanya lagi. Betul, akhirnya emak dapat surat cerai. Selesai.

“Ingatkan cerita itu tamat di situ sahaja, tetapi  AJK kampung ini ada niat tersembunyi dia nak kahwinkan emak dengan besan dia sebab disuruh oleh anak menantunya mencarikan seorang isteri untuk ayahnya. Kami hairan juga mengapa nak kahwinkan emak setelah emak berusia lebih 50 tahun . Dan sebagai anak kami tak galakkan emak kahwin lagi. Cukuplah! Lagi pun emak dah tua, emak patut rehat setelah susah semasa mudanya. “Emak juga tolak, tetapi di AJK tadi tetap merayu supaya emak kahwin dengan besannya. Isteri dia pun sama merayu. Ini yang membuatkan emak lembut hati. 5 bulan lamanya mereka merayu emak, siap bawa anak menantunya sekali, sebab nak buktikan bahawa anak-anak semua setuju ayah mereka kahwin lagi, malah merekalah yang carikan jodoh untuk ayah mereka.

“Akhirnya emak nikah juga dengan besan AJK kampung tu. Kami semua tak berapa suka.  Sebab bila dah nikah emak kena tinggalkan rumah kampung  duduk rumah  suaminya. “Sebenarnya ada sebab mengapa emak terpaksa terima rayuan AJK tersebut untuk nikah, sebab sebelum itu emak sudah terdengar `risik-risik’ abang emak nak balik duduk kampung setelah dia berhenti kerja. Itu cerita emak pada saya.

 “Tapi saya katakan kalau paklong nak duduk rumah atok emak boleh duduk di rumah kami, kami semua bersedia terima emak. Tetapi kata emak kami yang perempuan belum berkahwin duduk berkongsi rumah di bandar, jadi emak tak mahu menyusahkan kami. Cuma abang dah kahwin, tetapi emak tak selesa duduk di rumah menantu perempuan. Maka inilah jadi punca emak buat keputusan nikah lagi dengan harapan ada tempat tumpang berteduh. “Selepas nikah barulah emak tahu, suaminya banyak perlukan bantuan emak uruskan makan minum, bersihkan rumah. sediakan pakaian dan ubat kerana dia berpenyakit. Orangnya bukan tua sangat, tetapi penyakitnya banyak. Anak-anak semua bekerja dan tak ada masa nak jaga, apa lagi uruskan makan minum ayah mereka, kerana itu mereka carikkan isteri untuk ayahnya supaya ada orang boleh jaga ayahnya dan boleh hidup sempurna.

“Bila emak berkahwin memang banyak masalah timbul kepada kami. Sebab kami tak dapat bermesra dengan emak seperti dulu. Maklum emak sudah ada suami ada tanggung jawab. Kalau kami datang jengok emak pun cuma sebulan atau dua bulan sekali. “Kehadiran kami melihat emak tak ubah macam tetamu. Kami berbual di ruang tamu, minum dan balik. Sebab emak sibuk menguruskan makan minum suaminya. Masalah lebih terasa pada Hari Raya. Bila kami datang anakanak tiri emak pun ada sama, jadi semuanya terasa amat janggal.  Kami memang tak boleh berbual lama dengan emak yang sentiasa sibuk di dapur menyediakan makan minum tetamu.

 “ Kami memang terasa amak sedih dengan tugas baru emak ini. Tetapi apa boleh kami katakan ini pilihan emak yang terpaksa. Doa kami supaya masalah emak ini segera berakhir supaya kami dapat berkumpul semula dengan emak seperti dulu. “Akhirnya kami yang perempuan ini beraya di rumah abang beberapa jam pada raya kelima atau keenam. Itu pun jika abang tak duduk lebih lama di rumah mertuanya. Memang sedih.

“Masa bergerak begitu pantas, 6 tahun berlalu, akhirnya kerana penyakit yang memanjang,  suami emak, akhirnya meninggal dunia di hospital. 2 bulan lamanya sebelum itu dia terlantar di hospital. Emaklah yang jaga siang dan malam. “Walaupun emak mungkin rasa sedih dengan kematian suaminya, tetapi kepada kami ia terasa begitu lega dan menyenangkan. Harapan kami supaya kami dapat berkumpul semula. Kami bercadang untuk berkongsi beli rumah supaya kami dapat duduk bersama emak. “Sebulan selepas suami emak meninggal anak-anak tirinya datang buat perundingan dengan emak. Di pendekkan cerita salah seorang dari anak tiri emak beritahu, dia hendak duduk rumah pusaka itu.

Ada pulak menyuarakan pandangan rumah tersebut akan dijual sebab sudah ada pembelinya dan harga yang ditawarkan memang tinggi. “Oleh kerana ada yang nak duduk, maka emak terpaksa keluar dari rumah tersebut dengan ucapan terima kasih daripada anak-anak tirinya. Itulah sahaja yang emak dapat. “Bukan nak mengumpat, tetapi rasanya kehadiran emak semasa berkahwin, tak ubah sebagai pembantu rumah dan pembantu peribadi percuma yang bertugas uruskan rumah, sediakan makan minum dan menjaga majikan yang tua dan berpenyakit. Kalau upah pembantu pasti emak dibayar lebih RM1,000 sebulan, tetapi atas nama isteri, emak jadi pembantu percuma tak bergaji, tak ada elaun. Mereka dapat pembantu rumah percuma menguruskan ayah mereka.

 “Semua makanan disediakan termasuk sayur dan ikan. Kalau lampin dan ubat kehabisan, telefon lampin dan ubat akan dihantar. Harta milik ayah dan ibunya semua sudah dibahagikan dari awal lagi, termasuk rumah tempat emak tinggal. Duit pencen suami diambil oleh anak-anaknya. Ayahnya tidak dibenarkan keluar rumah kecuali bersama mereka. “Saya suka pengalaman hidup emak saya ini jadi inspirasi kepada wanita yang berumur yang mahu dikahwinkan oleh anak-anaknya untuk menjaga ayah mereka. Fikir-fikirkanlah. Rasanya biarlah anak-anak ambil tanggungjawab jaga ibu dan ayah mereka yang sudah tua dan berpenyakit, jangan serahkan kepada orang lain supaya mereka boleh lepas tangan.

“Saya dapat rasakan kesedihan emak sepanjang hayatnya hidup terseksa. Saya berdoa saya diberikan peluang jaga emak hingga ke akhir hayatnya. Saya tak kesah, kalaupun ini bermakna saya tidak akan kahwin kerana bukan semua suami suka jika isterinya menjaga emaknya dan tinggal bersama mereka.’’ Itu cerita Zuraina tentang pengalaman pahit hidup emaknya. 


Kredit : DCCKMONA



Saya Maafkan Ayah, Walaupun Kami Di Abaikan

28 Jan 2022

 

Saya kini berusia 35 tahun, sudah berkahwin dengan seorang pendidik dan dikurniakan sepasang anak berusia dua dan empat tahun. Suami saya, Zaidan (bukan nama sebenar), seorang suami yang baik dan faham akan masalah yang saya hadapi sejak kami berkenalan lebih kurang tujuh tahun lalu.Sejak berusia 13 tahun, ibu dan ayah saya bercerai. Adik-adik berusia sembilan dan tujuh tahun. Selepas ayah keluar dari rumah, kami tiga beradik tinggal bersama ibu di kampung dan menumpang di rumah atuk dan nenek. Oleh kerana ibu tidak bekerja agak sukar bagi kami untuk hidup tetapi mujur ada bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu yang membantu.

Kami tiga beradik berpindah sekolah di kampung atas permintaan atuk yang tidak mahu ibu dalam kesusahan untuk membesarkan kami. Sejak berpisah dengan ibu, ayah langsung tidak ambil tahu. Jenguk kami jauh sekali walaupun saya sebagai anak sulung selalu menelefon untuk bertanya khabar dan meminta wang belanja kami.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.

Sebagai anak perempuan, apa daya saya untuk membantu. Tambahan pula saya masih remaja dan perlu belajar untuk menyara ibu dan adik-adik. Saya nekad untuk belajar rajin-rajin dan berjaya hingga ke universiti, kemudian bekerja dan membantu ibu. Saya mahu membahagiakan ibu dan adik-adik. Alhamdulillah,  saya lulus  cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, begitu juga adik-adik semua berjaya di dalam pelajaran mereka, berkat doa ibu dan pengorbanan atuk dan nenek serta keluarga sebelah ibu yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang kepada kami.

Dalam keperitan hidup, saya berjaya ke menara gading hasil bantuan ibu saudara dan bapa saudara. Mujur ada PTPTN, ringanlah sikit beban mereka menanggung saya dan adik-adik. Saya juga dapat menggunakan duit pinjaman itu untuk membeli keperluan yang saya perlukan. Begitu juga dengan adik-adik. Selepas tamat belajar, saya berusaha ke rumah nenek sebelah ayah dengan tujuan untuk bertanya khabar dan mencari ayah. Saya bawa adik-adik bersama. Nenek sangat sedih kerana perbuatan ayah, dia menangis dan memeluk kami tiga beradik dengan erat sekali.

Nenek juga minta maaf kerana sikap ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik. Saya tidak salahkan nenek kerana saya tahu dia juga tidak mampu menasihati ayah. Alhamdulillah, saya mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusan,  rezeki saya untuk menyara ibu yang telah lama menderita perasaan kerana perbuatan ayah dapat saya tunaikan. Adik-adik juga berjaya di dalam pelajaran mereka dan masuk universiti seperti mana yang ibu hajatkan. Setelah bekerja, hidup kami berubah. Saya boleh membayar balik budi baik ibu saudara dan bapa saudara yang menyara kami sekeluarga. Budi mereka tidak terbalas. Walaupun mereka enggan menerima, saya tetap bagi duit belanja untuk nenek setiap bulan.

Dua tahun setelah bekerja saya bertemu lelaki yang mahu mengambil saya sebagai isterinya. Kami berkenalan semasa di universiti. Dia melamar saya setelah saya bersetuju untuk hidup di sisinya. Ayah tidak ada semasa bakal mentua saya menyarung cincin di jari manis saya. Atuk dan nenek menitiskan air mata pada hari itu kerana sedih dan terharu sementara ibu memang sentiasa bergenang air mata kerana sangat gembira. Pada masa yang sama, ibu juga sangat sedih. Adik-adik tidak berenggang dengan saya sepanjang majlis berlangsung, mungkin mereka boleh merasakan kesedihan yang saya alami.

Selesai majlis, saya mula sedih kerana saya harus mencari ayah untuk majlis nikah saya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan.  Siang malam saya menangis mengenangkan hal ini.  Akhirnya saya  bawa tunang saya bertemu nenek untuk mendapatkan alamat ayah. Dua bulan kami mencari, akhirnya saya berjaya menjejak ayah. Terkejut ayah bila saya muncul di rumahnya. Itulah pertama kali saya berkenalan dengan isteri baharu ayah dan adik-adik saya seramai tiga orang. Mereka mesra dan isteri baharu ayah melayan saya dengan mesra.

Saya perkenalkan tunang saya kepada ayah.  Dia macam rasa bersalah dan tidak memandang tepat ke mata saya. Saya peluk ayah dengan air mata berlinangan di pipi. Saya rindukan ayah sebenarnya. Saya bersyukur dapat berjumpa dengan ayah. Saya bagi tau ayah yang saya akan berkahwin. Saya mahu ayah jadi wali saya. Ayah terdiam. Saya bagi borang nikah yang perlu ayah isi. Ayah mengisinya dengan terketar-ketar dan sebak apabila berbual dengan saya. Saya tahu ayah menyesal dengan apa yang telah dia lakukan tetapi saya ingat pesan ibu, kalau jumpa ayah, layan ayah dengan elok, jangan timbulkan masalah, hormatkan ayah. Jangan bagi ayah sedih, begitu sayangnya ibu kepada ayah.

Sebelum balik saya peluk ayah, saya cium tangan ayah dan berharap sangat ayah akan datang pada hari pernikahan saya nanti. Sambil memeluk saya, ayah berkata dia akan cuba datang tetapi tidak berjanji. Kata ayah, dia malu dengan ibu dan keluarga atuk... malu sangat-sangat. Saya pulang dengan lapang dada berharap ayah akan datang untuk mewalikan saya. Itu hajat saya yang sangat saya harapkan. Saya selalu solat hajat dan buat tahajud minta Allah makbulkan harapan saya. Ya, doa saya makbul. Ayah muncul pada hari pernikahan saya.  Saya menangis, adik-adik juga sama. Ibu tidak berjumpa ayah, mungkin tidak sanggup mengenangkan apa yang ayah sudah lakukan. 

Tetapi saya yakin ibu sudah maafkan ayah. Saya tahu hati ibu, dia sangat sayangkan ayah dan kasih sayangnya itu akan dibawa sampai ke mati. Ayah tidak tunggu majlis perkahwinan saya berlangsung. Saya faham. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ayah  kerana sudi datang dan mewalikan saya. Selepas bernikah, saya rasa lega. Ibu dan adik-adik, saya bawa tinggal bersama saya di rumah yang kami suami isteri beli. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab dan menerima ibu saya dan adik-adik. Keluarga mentua juga sangat baik dan sayangkan saya.

Saya berkongsi cerita ini kerana mahu mereka yang mengalami masalah seperti saya akan sentiasa berdoa, mohon Allah kembalikan kebahagiaan dan kasih sayang yang telah tergugat antara ibu bapa dan anak-anak selepas berlaku perceraian. Tidak semua ayah akan melupakan anak-anaknya sampai mati. Kadang-kala mereka terpaksa, atas sebab-sebab yang tertentu dan ada juga yang sengaja berbuat demikian. Apa pun, kembalilah kepada Allah, insya-Allah ada bahagianya nanti.

Semoga rumah tangga saya akan sentiasa di dalam rahmat Allah hingga ke jannah. Semoga ayah juga dalam bahagia. Saya juga berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik serta membahagiakan mereka sehingga mereka juga bertemu jodoh. Terima kasih Allah atas nikmat dan anugerah ini.

Kredit : UtusanMalaysia


Peminat Fanatik, Kuala Pilah Syurga Emas Murah

16 Jun 2017


PADA sekitar 80-an, saya pernah teman nenek ke sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah. Kalau tak silap, beli barang kemas untuk nenek sendiri.

Mulanya memang saya mengelak bila nenek mengajak. Dalam hati lebih baik duduk berbaring di katil, membaca novel sambil berkhayal bersama watak dan perjalanan plotnya.

Tapi saya tidak dapat mengelak 'ajakan paksa' nenek.

Melangkah masuk ke Kedai Emas Poh Soon, tiada yang menarik minat saya. Walau kedai itu kelihatan baharu, walau barangan kemas yang tersusun mengeluarkan cahaya berkilau, entah kenapa...hati tidak terpikat.

Lagipun ketika itu bagi saya, barang kemas (emas) adalah aksesori orang tua. Malah melihat perempuan bagai kedai emas bergerak, pemandangan saya jadi semak.

Waktu nenek berbual dengan uncle bertubuh kurus sambil menunjuk-nunjuk barang kemas tersimpan dalam cermin kaca, mata saya melilau memandang arah luar kedai. Tiada yang menarik dalam kedai itu untuk perhatian.

Tapi bila nenek mula tawar menawar, saya mula beralih mengadap.

Nenek bijak berbalah harga. Saya tidak ingat berapa segram emas 916 ditawarkan pada masa itu. Yang saya ingat, nenek akan minta kurang sehingga lebih daripada 10 ringgit selepas uncle kurus buka mulut.

Bila nenek menjeling, saya sudah faham. Saya perlu mendarab jumlah sebenar barang kemas yang mahu nenek beli. Itulah tugas khas saya setiap kali nenek bawa ke kedai emas.

Itu cerita waktu usia saya masih belasan tahun.

Kini nenek sudah lama tiada. Tapi yang paling saya ingat, nenek pernah pesan "kalau beli emas di sini (Kuala Pilah) mesti tawar sehingga serendah RM30 daripada harga pasaran."



Hari ini, Kedai Emas Poh Soon masih wujud di pekan Kuala Pilah.

Saya tidak tahu uncle kurus masih ada di kedai itu atau pun tidak. Tapi yang pasti Kedai Emas Poh Soon dan enam lagi kedai emas lain di pekan Kuala Pilah, semakin terkenal di seluruh Malaysia. Malah ada warga Singapura yang datang ke Kuala Pilah semata-mata untuk beli emas.

Kenapa Kuala Pilah? Benarkah harga emas di bandar kecil ini jauh lebih murah berbanding tempat lain?

Sebenarnya, harga emas murah di Kuala Pilah bukan satu cerita baru. Peminat dan pengumpul emas sudah mengetahuinya sejak lama dulu.
Dan untuk memastikan kebenarannya, Kedai Emas Poh Soon dijadikan premis terjahan pertama.


Daftar persatuan

“Ramai dari negeri luar datang sini beli emas. Mereka cakap harga sini murah berbanding tempat lain,” kata peniaga Kedai Emas Poh Soon, lebih dikenali Poh, 60-an.

Beliau berkata, harga emas di sini murah disebabkan kedai tersebut telah berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.

“Saya tidak tahu harga emas kedai lain kerana ia berbeza. Ada kedai berdaftar dengan persatuan, ada tidak.

“Kalau dulu, harga emas 916 di sini boleh mencecah RM120 segram dan harganya akan berubah setiap hari.

“Hari ini, harga emas RM133 segram manakala harga pasaran luar, RM170. Memang ia jauh lebih murah,” katanya.

Poh yang sudah berniaga selama lebih 30 tahun, sering didatangi pelanggan dari luar Negeri Sembilan.

“Ada pelanggan datang dari Perak, Singapura, Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan semua yang datang ke sini, tahu emas di Kuala Pilah murah melalui internet.
“Walaupun harga murah, kualiti juga bagus setanding di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, pelanggan setia, R Santhi, 46, berkata, kedai ini jauh lebih murah dan kualiti emas juga sangat bagus.

“Saya selalu datang kedai ini untuk beli emas, kerana harganya berbeza dengan tempat lain, lagi pun  pekerja di sini sangat peramah dan membuatkan kita rasa selesa.

“Saya memang tahu emas di Kuala Pilah murah. Malah saya turut mempromosikan kepada adik-beradik, rakan-rakan untuk beli emas di sini. Pastinya amat berbaloi,” katanya.

Rani, 53, pula memberitahu, harga emas di Kuala Pilah pernah mencecah serendah RM120 segram, baru-baru ini.

“Waktu itu, memang ramai orang di kedai emas. Hari ini harga naik sedikit tetapi ia masih lagi antara termurah.

“Tidak semua kedai emas di sini jual harga sama walaupun jarak antara satu kedai dengan yang lain hanya beberapa langkah. Ada yang lebih RM2 hingga RM3.

Orang ramai perlu bijak memilih kedai mana paling murah dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Zawiyah Hamzah, 65, dari Felda Bukit Rokan sanggup berkunjung ke Kuala Pilah semata-mata mahu membeli emas.

“Makcik sudah tahu, emas di sini murah. Makcik sanggup datang walau jauh. Walaupun murah, tetapi kualiti baik dan sama di tempat lain.

"Di Kedai Chan Kwong, harga emas RM135 segram. Ini pun dah kira murah berbanding di Bahau dan negeri lain,” katanya.

Menurut pekerja kedai runcit, Maisuri A Rashid, 50, fenomena emas murah di Kuala Pilah sudah lama diperkatakan.

“Saya yang kerja di kedai runcit ini pun sering ditanya pelanggan tentang harga emas. Bukan setakat orang Negeri Sembilan, malah dari negeri lain pun ramai.

“Saya akui emas di Kuala Pilah memang murah. Saya suka pergi ke kedai emas Cheah Poh Hing, kerana  banyak design yang cantik dan terbaru,” katanya.

Selain itu, katanya, pembeli boleh memeriksa ketulenan emas yang dijual di mana-mana kedai, bagi mendapatkan kesahihan emas itu, dan terbukti emas yang dijual di Kuala Pilah adalah asli.

“Jangan dengar bila orang cakap, harga emas murah tidak berkualiti. Bohong. Ia berkualiti dan tulen sama sahaja di kedai-kedai lain,” katanya.

Kredit : SinarHarian 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

###########################################################################

Adakah anda peminat barangan kemas?
Saya bukanlah peminat barangan emas ni tetapi hendak tak hendak, macam mana pun akan ada masanya dalam hidup seorang lelaki perlu ke kedai emas untuk membeli barangan emas bagi dijadikan hantaran pada bakal isteri.
Kita boleh nampak ada pelbagai jenis butik emas yang menjual emas di serata tempat, dengan nama-nama terkenal yang kerap keudara iklan mempromosikan produk emas mereka.
Tetapi saya nak memberitahu anda tentang kedai emas paling berbaloi di Semenanjung Malaysia dengan harga emas murah sekitar RM15 ke RM30 satu gram. Kalau beli gelang 8 gram, kita dah mampu jimat RM120.
Kedai emas yang saya maksudkan adalah pekan Kuala Pilah.
Jika anda berkunjung ke pekan Kuala Pilah atau lebih senang di panggil Pilah sahaja, anda akan perasan kedai emas pasti wujud di setiap deretan kedai di sana. Ini kerana di Kuala Pilah, tidak tahulah apa kisahnya, kebanyakan kedai yang menjual emas di situ tidak berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.
Apabila tidak didaftarkan, penjual emas berhak menentukan sendiri harga jualan mereka yang pastinya berbeza dengan jualan peniaga berdaftar yang perlu mengikut harga persatuan.

Untuk ke pekan Kuala Pilah tidak susah, jika anda dari Kuala Lumpur hanya ikut lebuhraya LEKAS dan ikut saja papan tanda ke Pilah. Dari Melaka boleh ikut jalan melalui Inas sementara yang datang dari Pantai Timur, boleh ikut jalan Muadzam Shah atau jalan Bentong melalui Simpang Pelangai.
Jika anda tanya saya berbaloi atau tidak datang ke Kuala Pilah membeli emas, saya minta anda sendiri datang ke Kuala Pilah dan tengok ragam pembeli di sini. Tanya pada mereka dari mana mereka datang. Jangan terkejut pula kalau rata-rata yang ada di kedai itu bukan orang Pilah.

Kedainya mungkin tidaklah serupa butik serta penjualnya tidak memakai uniform, tapi produknya tetap sama. Saya sangat-sangat mengesyorkan sesiapa yang ingin mencari barangan kemas untuk dihadiahkan sempena perkahwinan supaya datang berkunjung dahulu.
Ada banyak kedai jadi tinjau-tinjau lah dulu. Apa yang saya tahu, pada ketika artikrl ini ditulis jika harga emas di butik mewah berharga RM185 1 gram, di Pilah harganya hanya sekitar RM168-RM170.
Harga pula boleh tawar menawar sampai puas hati. Nak beraya ni, kan lagi cantik kalau isteri kita gelangnya sampai ke siku.
Kredit : Iluminasi 




20 Tahun Diganggu Jin Saka Malah Dirogol

8 Jun 2017




Gangguan jin saka adalah perkara yang boleh dikatakan kerap juga berlaku dalam sesetengah keluarga masyarakat Melayu. Ia adalah keadaan bila mana seseorang itu dihuni tubuhnya atau didampingi oleh jin (berbagai jenis) sama ada dia sendiri mahukan perkara itu atau dia terperangkap (oleh perbuatan oranglain), atau atas faktor keturunan. Seorang guru wanita yang telah berkahwin lebih 3 tahun (tapi belum dapat anak) kini sedang diganggu saka dan masih dalam peringkat berubat. Punca saka itu adalah dari bapa mertuanya (kini sudah meninggal). 

Khabarnya semua adik-beradik suaminya juga diganggu oleh saka tersebut. Gangguan itu agak menyukarkan juga. Petik suiz lampu tidak menyala, terdengar bunyi seakan anak kucing mengiau, bunyi seperti orang main guli, bunyi kerusi ditarik, bunyi mencakar-cakar, termasuklah rumah berdentum dan bergegar. Hal itu menyeramkan bulu roma hinggakan guru wanita itu tidak berani balik ke rumahnya sekembali dari kerja. Dia duduk di masjid sementara menunggu suaminya pula pulang dari kerja (suaminya kerja hingga jam 10 malam). Di waktu malam pula, walaupun suaminya ada di sisinya, dia tetap diganggu dengan berbagai bunyi hingga sukar untuk tidur.

Itu hanyalah satu kisah benar dari beberapa kisah benar lain yang mungkin tidak perlu saya catat dalam artikel ini kerana tujuan saya menulis hal di atas tadi hanyalah sebagai pengenalan kepada isi sebenar yang akan anda baca selepas ini. Saya juga telah berbincang dengan agak panjang lebar dengan ustaz mentor saya berkaitan hal saka ini dan mungkin saya akan tulis di Megasutra bila ada kesempatan, insyaAllah. Selamat membaca - IbnuYusof.

-----------

'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'


"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."

Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. 


Ikuti luahannya:
Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun. Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.
Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.

Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.

Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.

Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar. Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.

Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.

Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.

Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.

Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.

Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.

Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada 'belaan' keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.

Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.

Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.

Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.

Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:

"Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai 'wali' ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan 'khadam' untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.

"Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

"Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah," katanya.

Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil.

Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.

Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang 'ia' sudah mati dan hendak memeluk saya.

Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.

Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.

Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.

Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.

Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi 'amalannya' diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.

Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.

Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.

Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.

Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.

INFO: Saka
1. Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.
2. Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.
3. Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.
4. Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran

Kredit : addychini


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.