Saya Maafkan Ayah, Walaupun Kami Di Abaikan
Saya kini berusia 35 tahun, sudah berkahwin dengan seorang pendidik
dan dikurniakan sepasang anak berusia dua dan empat tahun. Suami saya,
Zaidan (bukan nama sebenar), seorang suami yang baik dan faham akan
masalah yang saya hadapi sejak kami berkenalan lebih kurang tujuh tahun
lalu.Sejak berusia 13 tahun, ibu dan ayah saya bercerai. Adik-adik
berusia sembilan dan tujuh tahun. Selepas ayah keluar dari rumah, kami
tiga beradik tinggal bersama ibu di kampung dan menumpang di rumah atuk
dan nenek. Oleh kerana ibu tidak bekerja agak sukar bagi kami untuk
hidup tetapi mujur ada bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu yang
membantu.
Kami tiga beradik berpindah sekolah di kampung atas permintaan atuk
yang tidak mahu ibu dalam kesusahan untuk membesarkan kami. Sejak
berpisah dengan ibu, ayah langsung tidak ambil tahu. Jenguk kami jauh
sekali walaupun saya sebagai anak sulung selalu menelefon untuk bertanya
khabar dan meminta wang belanja kami.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.
Sebagai anak perempuan, apa daya saya untuk membantu. Tambahan pula
saya masih remaja dan perlu belajar untuk menyara ibu dan adik-adik.
Saya nekad untuk belajar rajin-rajin dan berjaya hingga ke universiti,
kemudian bekerja dan membantu ibu. Saya mahu membahagiakan ibu dan
adik-adik. Alhamdulillah, saya lulus cemerlang di dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia, begitu juga adik-adik semua berjaya di dalam
pelajaran mereka, berkat doa ibu dan pengorbanan atuk dan nenek serta
keluarga sebelah ibu yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang kepada
kami.
Dalam keperitan hidup, saya berjaya ke menara gading hasil bantuan
ibu saudara dan bapa saudara. Mujur ada PTPTN, ringanlah sikit beban
mereka menanggung saya dan adik-adik. Saya juga dapat menggunakan duit
pinjaman itu untuk membeli keperluan yang saya perlukan. Begitu juga
dengan adik-adik. Selepas tamat belajar, saya berusaha ke rumah nenek sebelah ayah dengan
tujuan untuk bertanya khabar dan mencari ayah. Saya bawa adik-adik
bersama. Nenek sangat sedih kerana perbuatan ayah, dia menangis dan
memeluk kami tiga beradik dengan erat sekali.
Nenek juga minta maaf kerana sikap ayah yang tidak menunaikan
tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik. Saya tidak salahkan nenek
kerana saya tahu dia juga tidak mampu menasihati ayah. Alhamdulillah, saya mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusan,
rezeki saya untuk menyara ibu yang telah lama menderita perasaan kerana
perbuatan ayah dapat saya tunaikan. Adik-adik juga berjaya di dalam
pelajaran mereka dan masuk universiti seperti mana yang ibu hajatkan. Setelah bekerja, hidup kami berubah. Saya boleh membayar balik budi
baik ibu saudara dan bapa saudara yang menyara kami sekeluarga. Budi
mereka tidak terbalas. Walaupun mereka enggan menerima, saya tetap bagi
duit belanja untuk nenek setiap bulan.
Dua tahun setelah bekerja saya bertemu lelaki yang mahu mengambil
saya sebagai isterinya. Kami berkenalan semasa di universiti. Dia
melamar saya setelah saya bersetuju untuk hidup di sisinya. Ayah tidak
ada semasa bakal mentua saya menyarung cincin di jari manis saya. Atuk dan nenek menitiskan air mata pada hari itu kerana sedih dan
terharu sementara ibu memang sentiasa bergenang air mata kerana sangat
gembira. Pada masa yang sama, ibu juga sangat sedih. Adik-adik tidak
berenggang dengan saya sepanjang majlis berlangsung, mungkin mereka
boleh merasakan kesedihan yang saya alami.
Selesai majlis, saya mula sedih kerana saya harus mencari ayah untuk majlis nikah saya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan. Siang malam saya menangis mengenangkan hal ini. Akhirnya saya bawa tunang saya bertemu nenek untuk mendapatkan alamat ayah. Dua bulan kami mencari, akhirnya saya berjaya menjejak ayah. Terkejut ayah bila saya muncul di rumahnya. Itulah pertama kali saya berkenalan dengan isteri baharu ayah dan adik-adik saya seramai tiga orang. Mereka mesra dan isteri baharu ayah melayan saya dengan mesra.
Saya perkenalkan tunang saya kepada ayah. Dia macam rasa bersalah
dan tidak memandang tepat ke mata saya. Saya peluk ayah dengan air mata
berlinangan di pipi. Saya rindukan ayah sebenarnya. Saya bersyukur dapat
berjumpa dengan ayah. Saya bagi tau ayah yang saya akan berkahwin. Saya mahu ayah jadi wali
saya. Ayah terdiam. Saya bagi borang nikah yang perlu ayah isi. Ayah
mengisinya dengan terketar-ketar dan sebak apabila berbual dengan saya. Saya tahu ayah menyesal dengan apa yang telah dia lakukan tetapi saya
ingat pesan ibu, kalau jumpa ayah, layan ayah dengan elok, jangan
timbulkan masalah, hormatkan ayah. Jangan bagi ayah sedih, begitu
sayangnya ibu kepada ayah.
Sebelum balik saya peluk ayah, saya cium tangan ayah dan berharap sangat ayah akan datang pada hari pernikahan saya nanti. Sambil memeluk saya, ayah berkata dia akan cuba datang tetapi tidak berjanji. Kata ayah, dia malu dengan ibu dan keluarga atuk... malu sangat-sangat. Saya pulang dengan lapang dada berharap ayah akan datang untuk mewalikan saya. Itu hajat saya yang sangat saya harapkan. Saya selalu solat hajat dan buat tahajud minta Allah makbulkan harapan saya. Ya, doa saya makbul. Ayah muncul pada hari pernikahan saya. Saya menangis, adik-adik juga sama. Ibu tidak berjumpa ayah, mungkin tidak sanggup mengenangkan apa yang ayah sudah lakukan.
Tetapi saya yakin ibu sudah maafkan ayah. Saya
tahu hati ibu, dia sangat sayangkan ayah dan kasih sayangnya itu akan
dibawa sampai ke mati. Ayah tidak tunggu majlis perkahwinan saya berlangsung. Saya faham. Saya
sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ayah kerana sudi datang
dan mewalikan saya. Selepas bernikah, saya rasa lega. Ibu dan adik-adik,
saya bawa tinggal bersama saya di rumah yang kami suami isteri beli. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan seorang suami
yang penyayang dan bertanggungjawab dan menerima ibu saya dan adik-adik.
Keluarga mentua juga sangat baik dan sayangkan saya.
Saya berkongsi
cerita ini kerana mahu mereka yang mengalami masalah seperti saya akan
sentiasa berdoa, mohon Allah kembalikan kebahagiaan dan kasih sayang
yang telah tergugat antara ibu bapa dan anak-anak selepas berlaku
perceraian. Tidak semua ayah akan melupakan anak-anaknya sampai mati. Kadang-kala
mereka terpaksa, atas sebab-sebab yang tertentu dan ada juga yang
sengaja berbuat demikian. Apa pun, kembalilah kepada Allah, insya-Allah
ada bahagianya nanti.
Semoga rumah tangga saya akan sentiasa di dalam rahmat Allah hingga ke jannah. Semoga ayah juga dalam bahagia. Saya juga berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik serta membahagiakan mereka sehingga mereka juga bertemu jodoh. Terima kasih Allah atas nikmat dan anugerah ini.
No comments
Post a Comment