SLIDER

pakcik
Showing posts with label pakcik. Show all posts

Saya Maafkan Ayah, Walaupun Kami Di Abaikan

28 Jan 2022

 

Saya kini berusia 35 tahun, sudah berkahwin dengan seorang pendidik dan dikurniakan sepasang anak berusia dua dan empat tahun. Suami saya, Zaidan (bukan nama sebenar), seorang suami yang baik dan faham akan masalah yang saya hadapi sejak kami berkenalan lebih kurang tujuh tahun lalu.Sejak berusia 13 tahun, ibu dan ayah saya bercerai. Adik-adik berusia sembilan dan tujuh tahun. Selepas ayah keluar dari rumah, kami tiga beradik tinggal bersama ibu di kampung dan menumpang di rumah atuk dan nenek. Oleh kerana ibu tidak bekerja agak sukar bagi kami untuk hidup tetapi mujur ada bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu yang membantu.

Kami tiga beradik berpindah sekolah di kampung atas permintaan atuk yang tidak mahu ibu dalam kesusahan untuk membesarkan kami. Sejak berpisah dengan ibu, ayah langsung tidak ambil tahu. Jenguk kami jauh sekali walaupun saya sebagai anak sulung selalu menelefon untuk bertanya khabar dan meminta wang belanja kami.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.

Sebagai anak perempuan, apa daya saya untuk membantu. Tambahan pula saya masih remaja dan perlu belajar untuk menyara ibu dan adik-adik. Saya nekad untuk belajar rajin-rajin dan berjaya hingga ke universiti, kemudian bekerja dan membantu ibu. Saya mahu membahagiakan ibu dan adik-adik. Alhamdulillah,  saya lulus  cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, begitu juga adik-adik semua berjaya di dalam pelajaran mereka, berkat doa ibu dan pengorbanan atuk dan nenek serta keluarga sebelah ibu yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang kepada kami.

Dalam keperitan hidup, saya berjaya ke menara gading hasil bantuan ibu saudara dan bapa saudara. Mujur ada PTPTN, ringanlah sikit beban mereka menanggung saya dan adik-adik. Saya juga dapat menggunakan duit pinjaman itu untuk membeli keperluan yang saya perlukan. Begitu juga dengan adik-adik. Selepas tamat belajar, saya berusaha ke rumah nenek sebelah ayah dengan tujuan untuk bertanya khabar dan mencari ayah. Saya bawa adik-adik bersama. Nenek sangat sedih kerana perbuatan ayah, dia menangis dan memeluk kami tiga beradik dengan erat sekali.

Nenek juga minta maaf kerana sikap ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik. Saya tidak salahkan nenek kerana saya tahu dia juga tidak mampu menasihati ayah. Alhamdulillah, saya mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusan,  rezeki saya untuk menyara ibu yang telah lama menderita perasaan kerana perbuatan ayah dapat saya tunaikan. Adik-adik juga berjaya di dalam pelajaran mereka dan masuk universiti seperti mana yang ibu hajatkan. Setelah bekerja, hidup kami berubah. Saya boleh membayar balik budi baik ibu saudara dan bapa saudara yang menyara kami sekeluarga. Budi mereka tidak terbalas. Walaupun mereka enggan menerima, saya tetap bagi duit belanja untuk nenek setiap bulan.

Dua tahun setelah bekerja saya bertemu lelaki yang mahu mengambil saya sebagai isterinya. Kami berkenalan semasa di universiti. Dia melamar saya setelah saya bersetuju untuk hidup di sisinya. Ayah tidak ada semasa bakal mentua saya menyarung cincin di jari manis saya. Atuk dan nenek menitiskan air mata pada hari itu kerana sedih dan terharu sementara ibu memang sentiasa bergenang air mata kerana sangat gembira. Pada masa yang sama, ibu juga sangat sedih. Adik-adik tidak berenggang dengan saya sepanjang majlis berlangsung, mungkin mereka boleh merasakan kesedihan yang saya alami.

Selesai majlis, saya mula sedih kerana saya harus mencari ayah untuk majlis nikah saya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan.  Siang malam saya menangis mengenangkan hal ini.  Akhirnya saya  bawa tunang saya bertemu nenek untuk mendapatkan alamat ayah. Dua bulan kami mencari, akhirnya saya berjaya menjejak ayah. Terkejut ayah bila saya muncul di rumahnya. Itulah pertama kali saya berkenalan dengan isteri baharu ayah dan adik-adik saya seramai tiga orang. Mereka mesra dan isteri baharu ayah melayan saya dengan mesra.

Saya perkenalkan tunang saya kepada ayah.  Dia macam rasa bersalah dan tidak memandang tepat ke mata saya. Saya peluk ayah dengan air mata berlinangan di pipi. Saya rindukan ayah sebenarnya. Saya bersyukur dapat berjumpa dengan ayah. Saya bagi tau ayah yang saya akan berkahwin. Saya mahu ayah jadi wali saya. Ayah terdiam. Saya bagi borang nikah yang perlu ayah isi. Ayah mengisinya dengan terketar-ketar dan sebak apabila berbual dengan saya. Saya tahu ayah menyesal dengan apa yang telah dia lakukan tetapi saya ingat pesan ibu, kalau jumpa ayah, layan ayah dengan elok, jangan timbulkan masalah, hormatkan ayah. Jangan bagi ayah sedih, begitu sayangnya ibu kepada ayah.

Sebelum balik saya peluk ayah, saya cium tangan ayah dan berharap sangat ayah akan datang pada hari pernikahan saya nanti. Sambil memeluk saya, ayah berkata dia akan cuba datang tetapi tidak berjanji. Kata ayah, dia malu dengan ibu dan keluarga atuk... malu sangat-sangat. Saya pulang dengan lapang dada berharap ayah akan datang untuk mewalikan saya. Itu hajat saya yang sangat saya harapkan. Saya selalu solat hajat dan buat tahajud minta Allah makbulkan harapan saya. Ya, doa saya makbul. Ayah muncul pada hari pernikahan saya.  Saya menangis, adik-adik juga sama. Ibu tidak berjumpa ayah, mungkin tidak sanggup mengenangkan apa yang ayah sudah lakukan. 

Tetapi saya yakin ibu sudah maafkan ayah. Saya tahu hati ibu, dia sangat sayangkan ayah dan kasih sayangnya itu akan dibawa sampai ke mati. Ayah tidak tunggu majlis perkahwinan saya berlangsung. Saya faham. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ayah  kerana sudi datang dan mewalikan saya. Selepas bernikah, saya rasa lega. Ibu dan adik-adik, saya bawa tinggal bersama saya di rumah yang kami suami isteri beli. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab dan menerima ibu saya dan adik-adik. Keluarga mentua juga sangat baik dan sayangkan saya.

Saya berkongsi cerita ini kerana mahu mereka yang mengalami masalah seperti saya akan sentiasa berdoa, mohon Allah kembalikan kebahagiaan dan kasih sayang yang telah tergugat antara ibu bapa dan anak-anak selepas berlaku perceraian. Tidak semua ayah akan melupakan anak-anaknya sampai mati. Kadang-kala mereka terpaksa, atas sebab-sebab yang tertentu dan ada juga yang sengaja berbuat demikian. Apa pun, kembalilah kepada Allah, insya-Allah ada bahagianya nanti.

Semoga rumah tangga saya akan sentiasa di dalam rahmat Allah hingga ke jannah. Semoga ayah juga dalam bahagia. Saya juga berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik serta membahagiakan mereka sehingga mereka juga bertemu jodoh. Terima kasih Allah atas nikmat dan anugerah ini.

Kredit : UtusanMalaysia


Pakcik Dan Makcik Buang Nenek Yang Uzur

25 Apr 2017

Terima kasih admin kerana memaparkan kisah saya. Dan saya berharap kisah saya akan menjadi tauladan kepada pembaca di luar sana juga.

Ibu saya seorang ibu tunggal, selepas kematian ayah. Ibu merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Ibu ada sorang abang dan sorang kakak. Kiranya mereka ini adalah pakcik dan makcik sayalah. Masing – masing dah berkahwin, ada anak dan kehidupan sendiri. Saya adalah satu-satunya anak ibu berusia 20 tahun. Sepupu-sepupu saya lebih kurang sebaya umur saya juga. Kami masih ada sorang nenek (sebelah ibu). Namun keadaan nenek tersangat uzur, yang mana memerlukan penjagaan rapi dan perhatian daripada penjaga atau anak-anak. Yang menjadi masalah besar sekarang ialah, pakcik dan makcik saya enggan untuk menjaga nenek saya yang uzur tu. Mereka bulat-bulat menyerahkan nenek kepada ibu saya untuk dijaga, tanpa ada sebarang persetujuan.

Sebelum ini mereka ada membuat perbincangan, namun diakhirnya mereka mahu ibu saya yang menjaga nenek. Alasannya sebab ibu adalah ibu tunggal dan tiada komitmen terhadap keluarga. Sedangkan mereka katanya terlalu banyak komitmen kerjaya, rumahtangga dan tidak ada masa yang cukup untuk menjaga nenek. Saya sangat kesal, bila mereka memberi alasan mcm tu sedangkan, mereka juga tahu ibu saya juga bekerja untuk mencari nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Ibu berniaga sendiri, menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan rumah dan juga pengajian saya yang akan tamat lagi 2 tahun. Tambahan pula , ibu juga sudah tiada kudrat akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

Ibu tidak kisah untuk menjaga nenek, yang tidak disukainya ialah apabila makcik dan pakcik saya langsung taknak ambil tahu akan hal nenek. Hanya menjenguk setahun sekali. Pakai, makan , kesihatan nenek langsung tak tanya khabar. Nak hulurkan duit untuk ringankan beban ibu , memang jauh sekalilah. Itu yang membuatkan saya rasa sangat geram. Seolah-olah mereka dah buang terus nenek dari kehidupan mereka. Mudah sangat mereka nak melepaskan tangan, sedangkan itulah emak yang melahirkan dan menjaga mereka sejak kecil. Saya rasa sangat malu dan kecewa atas perbuatan mereka.

Saya pun bukannya mengharapkan sangat pakcik dan makcik menjaga nenek sampai bila-bila pun, cukuplah dengan bergilir-gilir menjaganya. Sekurang-kurangnya ibu saya ada juga ruang masa untuk berehat memandangkan sakit jantungnya menyebabkan ibu tak boleh terlalu terbeban membuat kerja. Kadangkala saya tak sanggup tengok ibu kepenatan, saya ponteng kelas untuk membantu ibu menjual nasi lemak dan menjaga nenek di rumah. Saya pernah usulkan pada ibu, untuk berhenti belajar supaya saya dapat bekerja dan menjaga mereka berdua, tapi ibu tak setuju. Ibu minta saya tamatkan pengajian yang masih berbaki lagi 2 tahun.

Apabila saya cuba bangkitkan perkara ini, saya dikatakan tidak menghormati orang tua dan cuba nak menuduh mereka culas akan tanggungjawab mereka, padahal itu yang sebenarnya yang sedang terjadi. Mereka seperti alpa dan lupa akan tanggungjawab sebagai anak. Mereka dah buang jauh emak mereka sendiri. Mereka seperti anak tidak mengenang budi. Mereka menuduh ibu saya yang mengajar saya untuk bersikap sedemikian, sedangkan itu adalah perasaan hati saya yang memang saya nak luahkan selama ini. Saya berterus-terang kepada mereka akan situasi ibu sekarang. Tapi apa yang saya jelaskan dipandang sebelah mata je. Kata mereka, kalau dah tak mampu nak menjaga nenek, hantar je ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Bila mereka dah cakap macam tu, nampak sangatlah mereka memang tak nak jaga nenek.

Macam mana lagi saya nak buat, untuk sedarkan mereka di atas perbuatan mereka yang sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab, pada masa yang sama saya masih menghormati mereka sebagai pakcik dan makcik saya. Pembaca di luar sana , mungkin ada pendapat yang boleh dikongsikan.


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.