SLIDER

atuk
Showing posts with label atuk. Show all posts

Kisah Emak Yang Menyayat Hati Sepanjang Hidupnya Dari Muda Hingga Hujung Usia

13 Mar 2022



“APA yang ingin saya ceritakan di sini bukan bertujuan mengumpat, tetapi sebagai peringatan untuk diri saya sendiri, juga kalau ada wanita yang ingin tahu. Ceritanya mudah sahaja, iaitu nasib seorang wanita sudahlah semasa mudanya dia jadi pengasuh adik adiknya, setelah kahwin mengasuh anak-anaknya sendiri dan setelah tua disuruh mengasuh orang asing dengan alasan untuk menambah pahala kerana berbakti kepada orang yang amat memerlukan.

“Saya rasa mungkin pembaca tidak faham apa yang saya maksudkan, tetapi terus terang saya katakan cerita saya ini ada kena mengena dengan diri dan nasib emak saya saya sendiri.’’ Itu cerita Zuraina dalam emel pendeknya dan ketika kami menyambung perbualan baru-baru ini. “Emak saya ibu tinggal, bukan ibu tunggal, sebab ayah lari tinggalkan emak bersama 4 orang anak yang masih kecil hingga kini kami tak pernah jumpa. Bukan tak mahu jumpa, tapi rasanya malas nak cari. Untuk apa? Saya memang tak kenal pun, mungkin kakak dan abang boleh kenal wajahnya. Sebab saya ditinggalkan kata emak berumur lebih kurang 7 bulan.

“Kerana tak ada mata pencarian untuk teruskan hidup, emak terpaksa bawa kami balik kampung. Memanglah awalnya ada adik beradik emak `berketak’ mempersoalkan kehadiran kami, sebab sapa nak tanggung makan minum kami. Kata emak mereka salahkan emak tak tau jaga suami sebab itu ditinggal suami. Pendek sungguh akal mereka! “Emak banyak pekakkan telinga selagi nenek dan datuk sanggup terima emak dan kami semua, emak duduk di rumah tersebut. Mulanya emak tak bekerja. Tetapi atas pertolongan jiran emak dapat kerja cuci pejabat. Pagi-pagi emak keluar sama kakak dan abang yang hendak ke sekolah. Saya dijaga nenek sementara emak bekerja.  

“Emak tunggu di rumah majikan untuk diambil dengan kereta bersama pekerja lain. Sebab rumah nenek jauh tak ada bas masuk, kecuali motor dan kereta. Oleh kerana tak ada motor, emak jalan kaki ke rumah majikan hampir 2 batu dari rumah nenek. Hasil pendapatan itulah emak boleh sekolahkan abang dan kakak, beli buku, pakaian, dan untuk tampung makan minum kami di rumah nenek dengan jumlah gaji tak seberapa. “Hidup di kampung ketika itu memang susah. Ketika kakak dan abang nak sambung belajar ke sekolah menengah datuk terpaksa jual beberapa ekor kambing untuk perbelanjaan permulaan nak uruskan sekolah kakak dan abang . Oleh kerana sekolah menengah agak jauh dari rumah, datuk terpaksa jual kambing lagi untuk beli motor terpakai, dan emak terpaksa hantar dan ambil kakak dan abang balik sekolah. Jadi emak terpaksa berhenti kerja. Tapi emak dapat kerja lain jadi tukang masak di kantik sekolah. Masih ada rezeki.

“Di pendekkan cerita kini kami semua sudah bekerja, walaupun bukan berpangkat besar, tetapi boleh menyara hidup sendiri. Bila kami duduk di bandar, emak tak mahu ikut kami.  Emak masih duduk rumah datuk dan jaga nenek yang uzur. Setiap bulan semua kami bantu hulur duit untuk emak, sebab emak terpaksa duduk di rumah sepenuh masa jaga nenek. Adik beradik emak yang lain tak mahu bantu, sebab kata mereka dulu datuk bantu emak dan besarkan kami, maka kini giliran kami pulak kena bantu dan jaga nenek. “Setelah nenek meninggal dunia, emak tinggal sendirian, ketika inilah bermula cerita baru dalam hidup emak. Ada pulak orang kampung cadangkan supaya emak kahwin lagi, tak elok duduk sendirian, emak tolak, kata emak dia masih isteri orang.

“Tapi ada pulak AJK kampung yang berusah payah menguruskan hal emak, kata mereka kalau dah tak jumpa suami bertahun-tahun, tak bagi nafkah dan sebagainya, bermakna emak sudah bercerailah. Kata orang itu memang ada kebenarannya kerana emak sudah lama ditinggalkan, suami tak pernah datang jenguk isteri dan anak-anak, tak pernah beri nafkah. Takkan nak tunggu lagi suami jenis ini tak bertanggungjawab. “AJK kampong itu menambah dia boleh urusankan masalah emak. Jika emak mahu bercerai. Lagi pun apa gunanya digantung tak bertali bertahun-tahun. Ini semua boleh diselesaikan, asal emak mahu tahu jelas statusnya sudah bercerai atau tidak. Kerja ini amat mudah katanya lagi. Betul, akhirnya emak dapat surat cerai. Selesai.

“Ingatkan cerita itu tamat di situ sahaja, tetapi  AJK kampung ini ada niat tersembunyi dia nak kahwinkan emak dengan besan dia sebab disuruh oleh anak menantunya mencarikan seorang isteri untuk ayahnya. Kami hairan juga mengapa nak kahwinkan emak setelah emak berusia lebih 50 tahun . Dan sebagai anak kami tak galakkan emak kahwin lagi. Cukuplah! Lagi pun emak dah tua, emak patut rehat setelah susah semasa mudanya. “Emak juga tolak, tetapi di AJK tadi tetap merayu supaya emak kahwin dengan besannya. Isteri dia pun sama merayu. Ini yang membuatkan emak lembut hati. 5 bulan lamanya mereka merayu emak, siap bawa anak menantunya sekali, sebab nak buktikan bahawa anak-anak semua setuju ayah mereka kahwin lagi, malah merekalah yang carikan jodoh untuk ayah mereka.

“Akhirnya emak nikah juga dengan besan AJK kampung tu. Kami semua tak berapa suka.  Sebab bila dah nikah emak kena tinggalkan rumah kampung  duduk rumah  suaminya. “Sebenarnya ada sebab mengapa emak terpaksa terima rayuan AJK tersebut untuk nikah, sebab sebelum itu emak sudah terdengar `risik-risik’ abang emak nak balik duduk kampung setelah dia berhenti kerja. Itu cerita emak pada saya.

 “Tapi saya katakan kalau paklong nak duduk rumah atok emak boleh duduk di rumah kami, kami semua bersedia terima emak. Tetapi kata emak kami yang perempuan belum berkahwin duduk berkongsi rumah di bandar, jadi emak tak mahu menyusahkan kami. Cuma abang dah kahwin, tetapi emak tak selesa duduk di rumah menantu perempuan. Maka inilah jadi punca emak buat keputusan nikah lagi dengan harapan ada tempat tumpang berteduh. “Selepas nikah barulah emak tahu, suaminya banyak perlukan bantuan emak uruskan makan minum, bersihkan rumah. sediakan pakaian dan ubat kerana dia berpenyakit. Orangnya bukan tua sangat, tetapi penyakitnya banyak. Anak-anak semua bekerja dan tak ada masa nak jaga, apa lagi uruskan makan minum ayah mereka, kerana itu mereka carikkan isteri untuk ayahnya supaya ada orang boleh jaga ayahnya dan boleh hidup sempurna.

“Bila emak berkahwin memang banyak masalah timbul kepada kami. Sebab kami tak dapat bermesra dengan emak seperti dulu. Maklum emak sudah ada suami ada tanggung jawab. Kalau kami datang jengok emak pun cuma sebulan atau dua bulan sekali. “Kehadiran kami melihat emak tak ubah macam tetamu. Kami berbual di ruang tamu, minum dan balik. Sebab emak sibuk menguruskan makan minum suaminya. Masalah lebih terasa pada Hari Raya. Bila kami datang anakanak tiri emak pun ada sama, jadi semuanya terasa amat janggal.  Kami memang tak boleh berbual lama dengan emak yang sentiasa sibuk di dapur menyediakan makan minum tetamu.

 “ Kami memang terasa amak sedih dengan tugas baru emak ini. Tetapi apa boleh kami katakan ini pilihan emak yang terpaksa. Doa kami supaya masalah emak ini segera berakhir supaya kami dapat berkumpul semula dengan emak seperti dulu. “Akhirnya kami yang perempuan ini beraya di rumah abang beberapa jam pada raya kelima atau keenam. Itu pun jika abang tak duduk lebih lama di rumah mertuanya. Memang sedih.

“Masa bergerak begitu pantas, 6 tahun berlalu, akhirnya kerana penyakit yang memanjang,  suami emak, akhirnya meninggal dunia di hospital. 2 bulan lamanya sebelum itu dia terlantar di hospital. Emaklah yang jaga siang dan malam. “Walaupun emak mungkin rasa sedih dengan kematian suaminya, tetapi kepada kami ia terasa begitu lega dan menyenangkan. Harapan kami supaya kami dapat berkumpul semula. Kami bercadang untuk berkongsi beli rumah supaya kami dapat duduk bersama emak. “Sebulan selepas suami emak meninggal anak-anak tirinya datang buat perundingan dengan emak. Di pendekkan cerita salah seorang dari anak tiri emak beritahu, dia hendak duduk rumah pusaka itu.

Ada pulak menyuarakan pandangan rumah tersebut akan dijual sebab sudah ada pembelinya dan harga yang ditawarkan memang tinggi. “Oleh kerana ada yang nak duduk, maka emak terpaksa keluar dari rumah tersebut dengan ucapan terima kasih daripada anak-anak tirinya. Itulah sahaja yang emak dapat. “Bukan nak mengumpat, tetapi rasanya kehadiran emak semasa berkahwin, tak ubah sebagai pembantu rumah dan pembantu peribadi percuma yang bertugas uruskan rumah, sediakan makan minum dan menjaga majikan yang tua dan berpenyakit. Kalau upah pembantu pasti emak dibayar lebih RM1,000 sebulan, tetapi atas nama isteri, emak jadi pembantu percuma tak bergaji, tak ada elaun. Mereka dapat pembantu rumah percuma menguruskan ayah mereka.

 “Semua makanan disediakan termasuk sayur dan ikan. Kalau lampin dan ubat kehabisan, telefon lampin dan ubat akan dihantar. Harta milik ayah dan ibunya semua sudah dibahagikan dari awal lagi, termasuk rumah tempat emak tinggal. Duit pencen suami diambil oleh anak-anaknya. Ayahnya tidak dibenarkan keluar rumah kecuali bersama mereka. “Saya suka pengalaman hidup emak saya ini jadi inspirasi kepada wanita yang berumur yang mahu dikahwinkan oleh anak-anaknya untuk menjaga ayah mereka. Fikir-fikirkanlah. Rasanya biarlah anak-anak ambil tanggungjawab jaga ibu dan ayah mereka yang sudah tua dan berpenyakit, jangan serahkan kepada orang lain supaya mereka boleh lepas tangan.

“Saya dapat rasakan kesedihan emak sepanjang hayatnya hidup terseksa. Saya berdoa saya diberikan peluang jaga emak hingga ke akhir hayatnya. Saya tak kesah, kalaupun ini bermakna saya tidak akan kahwin kerana bukan semua suami suka jika isterinya menjaga emaknya dan tinggal bersama mereka.’’ Itu cerita Zuraina tentang pengalaman pahit hidup emaknya. 


Kredit : DCCKMONA



Saya Maafkan Ayah, Walaupun Kami Di Abaikan

28 Jan 2022

 

Saya kini berusia 35 tahun, sudah berkahwin dengan seorang pendidik dan dikurniakan sepasang anak berusia dua dan empat tahun. Suami saya, Zaidan (bukan nama sebenar), seorang suami yang baik dan faham akan masalah yang saya hadapi sejak kami berkenalan lebih kurang tujuh tahun lalu.Sejak berusia 13 tahun, ibu dan ayah saya bercerai. Adik-adik berusia sembilan dan tujuh tahun. Selepas ayah keluar dari rumah, kami tiga beradik tinggal bersama ibu di kampung dan menumpang di rumah atuk dan nenek. Oleh kerana ibu tidak bekerja agak sukar bagi kami untuk hidup tetapi mujur ada bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu yang membantu.

Kami tiga beradik berpindah sekolah di kampung atas permintaan atuk yang tidak mahu ibu dalam kesusahan untuk membesarkan kami. Sejak berpisah dengan ibu, ayah langsung tidak ambil tahu. Jenguk kami jauh sekali walaupun saya sebagai anak sulung selalu menelefon untuk bertanya khabar dan meminta wang belanja kami.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.

Sebagai anak perempuan, apa daya saya untuk membantu. Tambahan pula saya masih remaja dan perlu belajar untuk menyara ibu dan adik-adik. Saya nekad untuk belajar rajin-rajin dan berjaya hingga ke universiti, kemudian bekerja dan membantu ibu. Saya mahu membahagiakan ibu dan adik-adik. Alhamdulillah,  saya lulus  cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, begitu juga adik-adik semua berjaya di dalam pelajaran mereka, berkat doa ibu dan pengorbanan atuk dan nenek serta keluarga sebelah ibu yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang kepada kami.

Dalam keperitan hidup, saya berjaya ke menara gading hasil bantuan ibu saudara dan bapa saudara. Mujur ada PTPTN, ringanlah sikit beban mereka menanggung saya dan adik-adik. Saya juga dapat menggunakan duit pinjaman itu untuk membeli keperluan yang saya perlukan. Begitu juga dengan adik-adik. Selepas tamat belajar, saya berusaha ke rumah nenek sebelah ayah dengan tujuan untuk bertanya khabar dan mencari ayah. Saya bawa adik-adik bersama. Nenek sangat sedih kerana perbuatan ayah, dia menangis dan memeluk kami tiga beradik dengan erat sekali.

Nenek juga minta maaf kerana sikap ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik. Saya tidak salahkan nenek kerana saya tahu dia juga tidak mampu menasihati ayah. Alhamdulillah, saya mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusan,  rezeki saya untuk menyara ibu yang telah lama menderita perasaan kerana perbuatan ayah dapat saya tunaikan. Adik-adik juga berjaya di dalam pelajaran mereka dan masuk universiti seperti mana yang ibu hajatkan. Setelah bekerja, hidup kami berubah. Saya boleh membayar balik budi baik ibu saudara dan bapa saudara yang menyara kami sekeluarga. Budi mereka tidak terbalas. Walaupun mereka enggan menerima, saya tetap bagi duit belanja untuk nenek setiap bulan.

Dua tahun setelah bekerja saya bertemu lelaki yang mahu mengambil saya sebagai isterinya. Kami berkenalan semasa di universiti. Dia melamar saya setelah saya bersetuju untuk hidup di sisinya. Ayah tidak ada semasa bakal mentua saya menyarung cincin di jari manis saya. Atuk dan nenek menitiskan air mata pada hari itu kerana sedih dan terharu sementara ibu memang sentiasa bergenang air mata kerana sangat gembira. Pada masa yang sama, ibu juga sangat sedih. Adik-adik tidak berenggang dengan saya sepanjang majlis berlangsung, mungkin mereka boleh merasakan kesedihan yang saya alami.

Selesai majlis, saya mula sedih kerana saya harus mencari ayah untuk majlis nikah saya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan.  Siang malam saya menangis mengenangkan hal ini.  Akhirnya saya  bawa tunang saya bertemu nenek untuk mendapatkan alamat ayah. Dua bulan kami mencari, akhirnya saya berjaya menjejak ayah. Terkejut ayah bila saya muncul di rumahnya. Itulah pertama kali saya berkenalan dengan isteri baharu ayah dan adik-adik saya seramai tiga orang. Mereka mesra dan isteri baharu ayah melayan saya dengan mesra.

Saya perkenalkan tunang saya kepada ayah.  Dia macam rasa bersalah dan tidak memandang tepat ke mata saya. Saya peluk ayah dengan air mata berlinangan di pipi. Saya rindukan ayah sebenarnya. Saya bersyukur dapat berjumpa dengan ayah. Saya bagi tau ayah yang saya akan berkahwin. Saya mahu ayah jadi wali saya. Ayah terdiam. Saya bagi borang nikah yang perlu ayah isi. Ayah mengisinya dengan terketar-ketar dan sebak apabila berbual dengan saya. Saya tahu ayah menyesal dengan apa yang telah dia lakukan tetapi saya ingat pesan ibu, kalau jumpa ayah, layan ayah dengan elok, jangan timbulkan masalah, hormatkan ayah. Jangan bagi ayah sedih, begitu sayangnya ibu kepada ayah.

Sebelum balik saya peluk ayah, saya cium tangan ayah dan berharap sangat ayah akan datang pada hari pernikahan saya nanti. Sambil memeluk saya, ayah berkata dia akan cuba datang tetapi tidak berjanji. Kata ayah, dia malu dengan ibu dan keluarga atuk... malu sangat-sangat. Saya pulang dengan lapang dada berharap ayah akan datang untuk mewalikan saya. Itu hajat saya yang sangat saya harapkan. Saya selalu solat hajat dan buat tahajud minta Allah makbulkan harapan saya. Ya, doa saya makbul. Ayah muncul pada hari pernikahan saya.  Saya menangis, adik-adik juga sama. Ibu tidak berjumpa ayah, mungkin tidak sanggup mengenangkan apa yang ayah sudah lakukan. 

Tetapi saya yakin ibu sudah maafkan ayah. Saya tahu hati ibu, dia sangat sayangkan ayah dan kasih sayangnya itu akan dibawa sampai ke mati. Ayah tidak tunggu majlis perkahwinan saya berlangsung. Saya faham. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ayah  kerana sudi datang dan mewalikan saya. Selepas bernikah, saya rasa lega. Ibu dan adik-adik, saya bawa tinggal bersama saya di rumah yang kami suami isteri beli. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab dan menerima ibu saya dan adik-adik. Keluarga mentua juga sangat baik dan sayangkan saya.

Saya berkongsi cerita ini kerana mahu mereka yang mengalami masalah seperti saya akan sentiasa berdoa, mohon Allah kembalikan kebahagiaan dan kasih sayang yang telah tergugat antara ibu bapa dan anak-anak selepas berlaku perceraian. Tidak semua ayah akan melupakan anak-anaknya sampai mati. Kadang-kala mereka terpaksa, atas sebab-sebab yang tertentu dan ada juga yang sengaja berbuat demikian. Apa pun, kembalilah kepada Allah, insya-Allah ada bahagianya nanti.

Semoga rumah tangga saya akan sentiasa di dalam rahmat Allah hingga ke jannah. Semoga ayah juga dalam bahagia. Saya juga berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik serta membahagiakan mereka sehingga mereka juga bertemu jodoh. Terima kasih Allah atas nikmat dan anugerah ini.

Kredit : UtusanMalaysia


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.