SLIDER

adik beradik
Showing posts with label adik beradik. Show all posts

Saya Maafkan Ayah, Walaupun Kami Di Abaikan

28 Jan 2022

 

Saya kini berusia 35 tahun, sudah berkahwin dengan seorang pendidik dan dikurniakan sepasang anak berusia dua dan empat tahun. Suami saya, Zaidan (bukan nama sebenar), seorang suami yang baik dan faham akan masalah yang saya hadapi sejak kami berkenalan lebih kurang tujuh tahun lalu.Sejak berusia 13 tahun, ibu dan ayah saya bercerai. Adik-adik berusia sembilan dan tujuh tahun. Selepas ayah keluar dari rumah, kami tiga beradik tinggal bersama ibu di kampung dan menumpang di rumah atuk dan nenek. Oleh kerana ibu tidak bekerja agak sukar bagi kami untuk hidup tetapi mujur ada bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu yang membantu.

Kami tiga beradik berpindah sekolah di kampung atas permintaan atuk yang tidak mahu ibu dalam kesusahan untuk membesarkan kami. Sejak berpisah dengan ibu, ayah langsung tidak ambil tahu. Jenguk kami jauh sekali walaupun saya sebagai anak sulung selalu menelefon untuk bertanya khabar dan meminta wang belanja kami.
“Ayah bukan sahaja tidak ambil kisah hal kami tiga beradik tetapi nafkah edah ibu juga tidak diberinya. Kasihan ibu. Tetapi ibu tidak pernah merungut dan meminta–minta. Ibu sangat sabar walaupun saya tahu hati ibu menderita. Kadang-kadang saya nampak ibu menangis.

Sebagai anak perempuan, apa daya saya untuk membantu. Tambahan pula saya masih remaja dan perlu belajar untuk menyara ibu dan adik-adik. Saya nekad untuk belajar rajin-rajin dan berjaya hingga ke universiti, kemudian bekerja dan membantu ibu. Saya mahu membahagiakan ibu dan adik-adik. Alhamdulillah,  saya lulus  cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, begitu juga adik-adik semua berjaya di dalam pelajaran mereka, berkat doa ibu dan pengorbanan atuk dan nenek serta keluarga sebelah ibu yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang kepada kami.

Dalam keperitan hidup, saya berjaya ke menara gading hasil bantuan ibu saudara dan bapa saudara. Mujur ada PTPTN, ringanlah sikit beban mereka menanggung saya dan adik-adik. Saya juga dapat menggunakan duit pinjaman itu untuk membeli keperluan yang saya perlukan. Begitu juga dengan adik-adik. Selepas tamat belajar, saya berusaha ke rumah nenek sebelah ayah dengan tujuan untuk bertanya khabar dan mencari ayah. Saya bawa adik-adik bersama. Nenek sangat sedih kerana perbuatan ayah, dia menangis dan memeluk kami tiga beradik dengan erat sekali.

Nenek juga minta maaf kerana sikap ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik. Saya tidak salahkan nenek kerana saya tahu dia juga tidak mampu menasihati ayah. Alhamdulillah, saya mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusan,  rezeki saya untuk menyara ibu yang telah lama menderita perasaan kerana perbuatan ayah dapat saya tunaikan. Adik-adik juga berjaya di dalam pelajaran mereka dan masuk universiti seperti mana yang ibu hajatkan. Setelah bekerja, hidup kami berubah. Saya boleh membayar balik budi baik ibu saudara dan bapa saudara yang menyara kami sekeluarga. Budi mereka tidak terbalas. Walaupun mereka enggan menerima, saya tetap bagi duit belanja untuk nenek setiap bulan.

Dua tahun setelah bekerja saya bertemu lelaki yang mahu mengambil saya sebagai isterinya. Kami berkenalan semasa di universiti. Dia melamar saya setelah saya bersetuju untuk hidup di sisinya. Ayah tidak ada semasa bakal mentua saya menyarung cincin di jari manis saya. Atuk dan nenek menitiskan air mata pada hari itu kerana sedih dan terharu sementara ibu memang sentiasa bergenang air mata kerana sangat gembira. Pada masa yang sama, ibu juga sangat sedih. Adik-adik tidak berenggang dengan saya sepanjang majlis berlangsung, mungkin mereka boleh merasakan kesedihan yang saya alami.

Selesai majlis, saya mula sedih kerana saya harus mencari ayah untuk majlis nikah saya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan.  Siang malam saya menangis mengenangkan hal ini.  Akhirnya saya  bawa tunang saya bertemu nenek untuk mendapatkan alamat ayah. Dua bulan kami mencari, akhirnya saya berjaya menjejak ayah. Terkejut ayah bila saya muncul di rumahnya. Itulah pertama kali saya berkenalan dengan isteri baharu ayah dan adik-adik saya seramai tiga orang. Mereka mesra dan isteri baharu ayah melayan saya dengan mesra.

Saya perkenalkan tunang saya kepada ayah.  Dia macam rasa bersalah dan tidak memandang tepat ke mata saya. Saya peluk ayah dengan air mata berlinangan di pipi. Saya rindukan ayah sebenarnya. Saya bersyukur dapat berjumpa dengan ayah. Saya bagi tau ayah yang saya akan berkahwin. Saya mahu ayah jadi wali saya. Ayah terdiam. Saya bagi borang nikah yang perlu ayah isi. Ayah mengisinya dengan terketar-ketar dan sebak apabila berbual dengan saya. Saya tahu ayah menyesal dengan apa yang telah dia lakukan tetapi saya ingat pesan ibu, kalau jumpa ayah, layan ayah dengan elok, jangan timbulkan masalah, hormatkan ayah. Jangan bagi ayah sedih, begitu sayangnya ibu kepada ayah.

Sebelum balik saya peluk ayah, saya cium tangan ayah dan berharap sangat ayah akan datang pada hari pernikahan saya nanti. Sambil memeluk saya, ayah berkata dia akan cuba datang tetapi tidak berjanji. Kata ayah, dia malu dengan ibu dan keluarga atuk... malu sangat-sangat. Saya pulang dengan lapang dada berharap ayah akan datang untuk mewalikan saya. Itu hajat saya yang sangat saya harapkan. Saya selalu solat hajat dan buat tahajud minta Allah makbulkan harapan saya. Ya, doa saya makbul. Ayah muncul pada hari pernikahan saya.  Saya menangis, adik-adik juga sama. Ibu tidak berjumpa ayah, mungkin tidak sanggup mengenangkan apa yang ayah sudah lakukan. 

Tetapi saya yakin ibu sudah maafkan ayah. Saya tahu hati ibu, dia sangat sayangkan ayah dan kasih sayangnya itu akan dibawa sampai ke mati. Ayah tidak tunggu majlis perkahwinan saya berlangsung. Saya faham. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ayah  kerana sudi datang dan mewalikan saya. Selepas bernikah, saya rasa lega. Ibu dan adik-adik, saya bawa tinggal bersama saya di rumah yang kami suami isteri beli. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab dan menerima ibu saya dan adik-adik. Keluarga mentua juga sangat baik dan sayangkan saya.

Saya berkongsi cerita ini kerana mahu mereka yang mengalami masalah seperti saya akan sentiasa berdoa, mohon Allah kembalikan kebahagiaan dan kasih sayang yang telah tergugat antara ibu bapa dan anak-anak selepas berlaku perceraian. Tidak semua ayah akan melupakan anak-anaknya sampai mati. Kadang-kala mereka terpaksa, atas sebab-sebab yang tertentu dan ada juga yang sengaja berbuat demikian. Apa pun, kembalilah kepada Allah, insya-Allah ada bahagianya nanti.

Semoga rumah tangga saya akan sentiasa di dalam rahmat Allah hingga ke jannah. Semoga ayah juga dalam bahagia. Saya juga berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik serta membahagiakan mereka sehingga mereka juga bertemu jodoh. Terima kasih Allah atas nikmat dan anugerah ini.

Kredit : UtusanMalaysia


Kerana Harta, Adik-Beradik Berbalah

24 Jan 2022



SAYA cukup tertarik dengan kisah 'Mencari Keberkatan hidup' yang dipaparkan di ruangan ini beberapa minggu lalu. Tentang permaufakatan adik beradik atas harta tinggalan arwah ibu ayah mereka. Dan mereka lakukan yang terbaik untuk menambah pahala ibu ayah mereka. Malangnya adik beradik saya berbalah berebut harta hingga menyusahkan arwah ibu dan ayah di alam sana.

Saya bayangkan ditakdirkan kami berenam beradik boleh berpakat seperti itu tentu hidup kami lebih bahagia dan tentu arwah ibu bapa kami lebih tenteram di sana. Kami tidak ramai tetapi malangnya kami masih tidak dapat membuat keputusan tentang harta peninggalan arwah." Demikian cerita Siti Sara dalam emelnya.

Emak saya meninggal dulu daripada ayah. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, tetapi baik ayah mahupun kami adik-beradik tidak dapat buat keputusan tentang harta peninggalan emak. Emak juga ada harta peninggalan arwah nenek atas nama emak tetapi dikongsi bersama adik-beradik emak yang lain. Pendek kata harta ada, tetapi pemiliknya bukan seorang, ada sangkut paut dengan orang lain. Kata kakak apa yang berlaku kerana emak tak mahu putuskan semasa hayatnya dulu, maka susahlah nak buat keputusan sekarang, sementara itu ada pula adik-beradik emak yang sudah meninggal dunia. Pendek kata memang sulit nak diputuskan.

Oleh kerana ayah masih ada maka perkara tersebut didiamkan begitu sahaja hinggalah ayah meninggal dunia setahun lalu. Barulah masing-masing bersuara tambahan pula tanah emak itu hendak dibeli oleh sebuah syarikat pemaju untuk dirikan projek mereka. Barulah masing-masing terbuka mata, barulah mahu 'ambil kuasa'.

Bab nak ambil surat kuasa atas tanah tersebut bukan mudah. Mesti ada persetujuan adik-beradik dan mestilah orangnya amanah dan mahu menguruskannya serta ada masa. Kami minta abang sulung usahakan ambil kuasa. Tapi abang sulung buat tak kisah. Sebab katanya, dia perlukan duit untuk urusan pindah milik dan turun lain ke pejabat tanah.

Malangnya dalam diam abang tetap teruskan usahanya, kerana dia telah dijanjikan jumlah wang yang banyak jika dia jual tanah emak kepada syarikat tersebut. Bila berita itu bocor, maka berlakulah bertengkaran antara adik dengan abang. Tuduh menuduh berlaku. Dan sudah pasti tidak ada kepercayaan antara mereka lagi. Keadaan menjadi lebih kacau bila isteri abang masuk campur, kerana beliau mahu tanah tersebut segera dijual.

Walaupun saya dan kakak cuba bawa mereka berunding, tetapi gagal kerana setiap kali berbincang kakak ipar masuk campur. Katanya bila minta duit untuk upah abang mengurusan 'ambil surat kuasa' untuk belanja turun naik pejabat tanah, tidak ada siapa nak bagi duit, semua abang belanja sendiri. Tetapi bila nak dapat duit semua nak minta duit. Perkataan kakak ipar kami itu sudah tentu menyakitkan hati dua orang adik lelaki saya. Maka tuduh menuduh berlaku, mereka pula mendakwa abang nak jual harta, nak makan sendiri tanpa memberitahu kami adik beradik.

''Bila kes terbongkar abang cuba jual untuk dirinya sendiri, abang pula mengamuk maka turuh-menuduh berlaku. Tetapi peliknya kami dapat tahu abang dah dapat duit pendahuluan untuk proses penjualan tanah tersebut. Namun abang dan isterinya menafikan. Saya tak tahu siapa yang betul. Sudah beberapa kami saya dan kakak berjumpa abang supaya selesaikan kes ini dengan segera, bukan kerana kami hendakkan hartanya, tetapi kami tak mahu adik beradik bergaduh kerana harta. Kata kakak jika sudah diuruskan surat ambil kuasa, abang boleh jualkan tanah tersebut dan bawa berbincang dengan adik beradik jumlah tawarannya.

Sedihnya hingga kini kes pembahagian harta pusaka emak dan ayah masih tak selesai peliknya tanah tersebut telah dipagar oleh pemaju untuk membangunkan projek mereka. Kami diam bukan kerana takut, tetapi tak mahu mereka bergaduh pasal tanah dan harta. Namun kami yakin memang ada kebenarnnya proses pembelian tanah tersebut telah berlaku, jika tidak takkan ada orang lain berani ceroboh tanah arwah emak kami. 

Beberapa bulan lalu adik-adik lelaki kami telah jumpa peguam untuk membincangkan masalah tanah arwah emak yang diambilalih oleh pemaju. Kami pasti akan berlaku lagi pertengkaran adik-beradik tentang harta tersebut. Inilah masalahnya jika emak tinggalkan harta untuk anak-anak pun susah, tak ditinggalkan harta pun susah. Semuanya kerana tidak ada kepercayaan antara adik-beradik, dan ditokok tambah pula dengan campur tangan ipar duai yang mempunyai kepentingan peribadi.

Peliknya mereka berebutkan tanah tinggalan emak, hingga mereka terlupa keadaan rumah emak yang ditinggalkan selepas kematian ayah. Keadaan rumah semakin teruk, bocor sana sini, rumput tak dipotong dan tak berjaga. Dulu saya bersihkan dan sewakan, duitnya saya kumpul dan diberi sama rata setiap enam bulan sekali. Tetapi adik-beradik lelaki bantah, katanya, sebagai anak lelaki mereka patut dapat dua bahagian. Jika gitu saya minta mereka saja uruskan, tetapi mereka tolak. Akhirnya saya minta adik bongsu tinggal di sana sementara beli rumah sendiri. Malangnya yang lelaki minta bayaran sewa. Kerana merajuk adik tinggalkan rumah tersebut selepas tiga bulan tinggal di sana. Kini keadaan rumah jadi teruk semula.

Pada pandangan saya ini semua terjadi kerana adanya sikap tamak antara adik beradik saya mereka rela rumah itu jadi lebih teruk dan bocor daripada disewakan atau dibenarkan adik sendiri tinggal di situ. Masalahnya hingga kini tentu pembaca dapat bayangkan harta peninggalan arwah emak dan ayah langsung tidak memberi faedah kepada kami anak-anaknya, kerana ada antara kami yang bersikap tamak dan mencurigai antara satu sama lain. Malah ada yang sanggup biarkan harta itu hancur daripada diberikan kepada adik untuk menjaganya.

Ada juga sanggup menjual tanah secara sembunyi untuk kepentingan diri. Sementara harta pemberian nenek kepada emak langsung tidak dipedulikan kerana mereka malas berusaha untuk mengambil kuasa. Sebab takut keluar duit sendiri.

Demikian cerita Siti Sarah panjang lebar tentang harta peninggalan arwah emak ayahnya yang langsung tidak digunakan sebaik mungkin oleh anak-anaknya. Jadi kepada pembaca semua ambillah iktibar daripada cerita Siti Sarah ini supaya harta pusaka anda bawa berkat setelah anda meninggal dunia.

Kredit : UtusanMalaysia



Betul Ke Orang Kata Anak Kedua dalam Keluarga Istimewa. Fakta Anak Kedua Yang Penuh Misteri

26 Nov 2021

 


Adakah kita dapat memilih urutan dalam keluarga, urutan ke berapa yang kita mahukan? Pastinya tidak. Telah ditetapkan dan ditakdirkan kita dilahirkan mengikut urutan mengikut kehendakNya.

Pernah terdengar tak, anak yang dilahirkan sebagai anak kedua mempunyai sifat dan karakter yang tersendiri. Admin pun ada terdengar dan Admin sendiri adalah anak nombor dua dalam keluarga dan Admin juga sedang memerhatikan sifat anak Admin yang nombor dua. Jom kita selusuri benarkah apa yang diperkatakan ramai atau berdasarkan kajian? 

Fakta Istimewa Anak Kedua

Ramai mengatakan, antara karektar yang sangat terserlah sebagai anak kedua ialah mereka nampak bersikap lebih dewasa dalam segala urusan ,keputusan dan perbuatan. Mereka berada di tengah-tengah untuk menghormati kakak,abang dan menyayangi serta menjaga adik-adiknya. Sebab itu kadangkala kita boleh ternampak mereka sentiasa akan mengalah kepada abang dan kakaknya sebagai orang yang lebih dewasa dan mengalah kepada adiknya kerana perlu menyayangi adik yang lebih kecil daripadanya. Situasi ini akan mempengaruhi perkembangan sifat dan karektar. Boleh nampak sifat mereka yang sering berlapang dada dengan adik-beradik. 

Terdapat fakta dan kajian menarik yang ditemui oleh seorang Doktor Medik dan Psikologi iaitu Alfred Adler, yang berpendapat urutan kelahiran dalam sesebuah keluarga turut mempengaruhi sifat dan karektar seseorang. 

Jom kita mentelaah fakta apakah yang diperkatakan oleh beliau tentang anak kedua. Bolehlah kita jadikan panduan dan rujukan bila kita dah ada anak nanti.

1. Rasa Terasing

Anak kedua sentiasa merasa terasing didalam keluarga kerana kebiasaan ibubapa sekarang selalu memberikan lebih perhatian kepada anak pertama kerana kepercayaan mengatakan anak pertama harus dididik untuk memiliki sifat yang baik untuk dijadikan sebagai contoh kepada adik-adiknya.

Selain itu , perhatian turut beralih kepada si bongsu kerana , kepercayaan anak bongsu adalah anak yang paling kecil dalam keluarga yang perlu diberi lebih kasih sayang dan perlindungan. Maka tinggallah anak kedua bersendirian dan kurang mendapat perhatian dari keluarga. Oleh itu kita boleh nampak anak kedua lebih cekal dan lebih 'independent', sebab pembentukan dalam keluarga sendiri telah memaksa dia berbuat sedemikian.


2. Melakukan Sesuatu Lebih Berbeza

Disebabkan kurang mendapat perhatian, seringkali akan nampak mereka selalu akan berusaha lebih gigih untuk membuat sesuatu perkara. Kadangkala mereka akan melakukan sesuatu diluar kotak fikiran, semata-mata untuk mendapatkan  perhatian dari ibubapa. Mereka akan mencuba membuat sesuatu yang berbeza daripada adik-beradiknya dengan harapan perhatian ibubapa turut beralih kepada mereka.

3. Lebih Kreativiti , Lebih Berimaginasi

Disebabkan mereka sering melakukan perkara diluar kotak fikiran, mereka sentiasa bersemangat apabila dapat melakukan sesuatu perkara dan sering berimaginasi untuk merealisasikan impian mereka. Bidang kesenian sangat sesuai untuk mereka. 

Walaubagaimanapun,  anak kedua tidak boleh berada di bawah tekanan. Mereka sangat sukakan kebebasan, fleksibiliti dan bidang pekerjaan yang sesuai adalah bidang yang boleh mengekspresi diri meraka. Mereka tidak dapat mengikut  aturan yang ditetapkan contoh seperti dari  segi jadual, masa dan peraturan. Oleh itu kebanyakan mereka lebih suka kerja-kerja freelance atau bekerja dimana ada tempat-tempat yang mereka sukai sahaja.

4. Ramah Dan Suka Bersahabat

Disebabkan mereka suka mengekspresi diri mereka, anak kedua dilihat sangat peramah, ringan mulut dan suka bersahabat dengan orang luar, dunia luar. Mereka sentiasa berusaha menjalin persahabatan dengan ramai orang  dan berusaha memastikan ikatan persahabatan itu kuat seperti hubungan keluarga.

5. Sedikit Masalah Dalam Hubungan Cinta

Kerana sifat inginkan perhatian yang lebih, takut disisihkan sebati dari kecil, menyebabkan anak kedua agak sukar untuk mencari  pasangan cinta kerana amat risau pasangannya tidak memberi perhatian kepada mereka seperti yang diharapkan. 

Mereka sering dilihat mengharapkan perhatian lebih daripada pasangan mereka, kerana mereka tidak dapat merasai itu semasa mereka kecil. Dan sekiranya mereka gagal mendapat pasangan sepert itu, anak kedua biasanya akan menyalahkan diri sendiri dalam hal ini.


Haaaa...Bagaimana ?  Ada tak di antara ciri-ciri diatas sama seperti anda atau anak anda? 

Pada pendapat Admin, faktor yang mempengaruhi ,bukanlah dari urutan kelahiran, tetapi faktor lingkungan dalam keluarga seperti didikan, pergaulan, dan pembentukan adalah faktor penting yang mempengaruhi sifat, karektar dan keperibadian seseorang  itu. Oleh itu kita sebagai seseorang yang telah melalui pengalaman lalu, perlu berusaha memastikan faktor lingkungan keluarga yang baik dan tersusun untuk menyokong perkembangan anak-anak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosi dan mental.

Antara cara yang paling asas adalah memberikan perhatian, kasih sayang, tanggungjawab dan tumpuan yang sama rata kepada anak-anak supaya mereka tidak rasa terasing dan tersisih dari lingkungan keluarga mereka sendiri.

Admin 


Kisah Inspirasi Kekuatan Seorang Ibu Yang Begitu Cekal Membesarkan Tiga Anak Istimewa.

26 Oct 2018


Hebatnya seorang ibu yang mampu membesarkan anak istimewa dengan penuh kecekalan dan kesabaran. Lebih hebat ujian yang dihadapi seorang ibu ini bersama suaminya apabila kesemua anak-anaknya disahkan insan istimewa yang memerlukan pemerhatian penuh dan menuntut kesabaran yang tinggi.

Ibu mana yang tidak bersedih sekiranya anak disayangi mempunyai masalah dalam pembelajaran serta memerlukan bantuan khas dan juga perlu memberikan perhatian yang penuh kepada mereka agar mereka sihat dan sempurna.

Kecekalan ibu tiga anak ini menarik perhatian serta perlu dikongsikan kepada orang ramai yang mungkin menghadapi masalah yang sama mampu memberikan inspirasi kepada mereka di luar sana untuk menjaga dan membesarkan anak-anak istimewa ini.

Perkongsian ini telah diberikan keizinan daripada Puan Salwa Mohd Salleh untuk menceritakan pengalaman pahit manisnya bagaimana dia dan suaminya menghadapi saat sukar ketika membesarkan anak-anaknya sehingga kini. Yang pasti dia dan suaminya telah dikurniakan sesuatu yang sangat istimewa di dunia.



Penulis Asal: Salwa Mohd Salleh

Apa yang anda akan lakukan jika anak anda memerlukan bantuan khas dalam pembelajaran?
Dan apa pula akan anda lakukan jika KESEMUA anak anda disahkan memerlukan bantuan khas i.e mempunyai learning disabilities dan layak memiliki kad OKU?

INI CERITA KAMI SEKELUARGA

Kenapa hari ini saya membuat keputusan untuk menulis dengan terbuka? Kerana saya rasa sudah sampai masanya untuk lebih ramai orang bersikap terbuka.

Mari kita mulakan satu persatu mengikut timeline.

Kisah Anak Bongsu Si Israa'

Anak bongsu, Israa' kini mencecah 2 tahun 8 bulan. Keluar masuk hospital sejak usia 6 bulan pada tahun 2015 setelah diserang jangkitan paru-paru yang teruk hingga berada di ICU. Tidak terhenti setakat itu, Israa' paling banyak diuji kesihatan. Multiple trigger wheeze (and later asthma), bronchiolitis, recurrent pneumonia, otitis media, single sided deaf, food allergy, allergic rhinitis, speech delay, developmental delay, you name it.

Jika tak warded sekalipun, jadual menziarah hospital setiap bulan memang padat. Hehehe. Hampir kesemua paeds dan staff di ward kenal Israa'. Klinik pakar pun macam hampir semua aje nak dilawat. Menjengah 2 tahun, imun lebih kuat dan sudah jarang admitted.

Kesemua ini ujian besar buat anak kecil ini, tapi dia tetap kanak-kanak yang ceria. Masih belum boleh bercakap buat masa ini (not a single meaningful word) but hey, dah berjaya berjalan! Yeaaay! We are working on his speech and OCT and his case? It's called a GLOBAL DEVELOPMENT DELAY (GDD).

Kisah Anak Tengah Si I'jaaz

Sekarang mari kita bercerita tentang yang di tengah. I'jaaz yang cheeky, banyak cakap, suka menyanyi dan banyak idea/karenah. Sejak usia dia 4 tahun, saya mula dapati ada beberapa perkara tidak kena dengan dia. Antara yang paling selalu, huruf terbalik p, q, j, s dan beberapa lagi. Tapi masih terlalu awal untuk diagnos dengan apa-apa kerana ini fasa anak sedang develop, confuse dengan sesuatu perkara adalah normal. Dia sudah mula ke taska bersama abangnya yang 6 tahun ketika itu pada tahun 2015.

Mencecah usia 5 tahun, dia makin susah nak ke sekolah. Setiap pagi ada sahaja drama. Abangnya pula sudah darjah 1, jadi tiada kawan nk pergi sama. Makin pelik. Alif ba ta yang sudah diajar setahun lebih, dia tak ingat. Tidak fokus, susah mengingati sesuatu arahan, mood berubah dalam jangka beberapa saat dan beberapa lagi ciri lain.

25 Oktober tahun lalu, kami hantar untuk buat ujian bagi dyslexia di Persatuan DYSLEXIA MALAYSIA kerana usianya telah 5 tahun 6 bulan, sesuai untuk buat ujian. Saya tidak terkejut lansung dengan hasil laporan, kerana memang saya telah lama dapat kesan, I'jaaz memang ada ciri dyslexia yang ketara. Dan selepas kami bawa ke pakar psikatari kanak-kanak, I'jaaz juga berkemungkinan menghidap ADHD juga. Tak pelah nak. Special sungguh.

Ada 12 pusat dyslexia di bawah kelolaan PDM seluruh Malaysia. Paling dekat dengan kami di Putrajaya ni adalah di Bandar Baru Bangi. Jadual keseluruhan keluarga untuk 2017 terpaksa dirombak serta merta. Kalau dulu, kami gagahkan juga satu kereta, menghantar anak kesekolah kemudian ke hospital tempat suami bekerja, kali ini masa dan jarak tak mengizinkan. Atas faktor itulah, secara drastik kami membeli kereta terpakai bulan Disember kerana ianya sudah bertukar menjadi keperluan mendesak.

I'jaaz sudah 3 bulan di sekolah baru, makin menyesuaikan diri dan makin happy. Tidak lagi rasa tertekan dan rasa rendah diri sebab semua orang sama dengan dia. Nanti saya cerita lebih lanjut.

Kisah Anak Sulung Si Imran

Oh, apa pula cerita anak sulung, si Imran yang manja, penuh empati, kreatif tapi selalu cembeng. Ini juga kategori special. Dari sudut kesihatan, sejak usia 8 bulan dia juga diserang pneumonia, dan kemudian eczema, allergic rhinitis dan food allergy. Keluar masuk hospital hingga usia 3 tahun dan buatkan Emaknya decide berhenti kerja. Menariknya lepas Emaknaya berhenti, dia tak masuk ward dah. Hahahaha.

Dia mula ke taska umur 4 tahun. Umur 5 tahun saya decide untuk sekolahkan sendiri. Umur 6 masuk semula ke taska. Pada awalnya saya memang sedar, dia sedikit unik dan tidak seperti anak lain. Hampir masuk ke sekolah rendah juga masih tidak boleh membaca dan menulis. Dalam pada hati saya merasa mungkin Imran perlu ambil masa (it's totally normal for kids especially boys jika tak tahu membaca sampai usia 8-10 tahun ya) cuma beberapa ciri lain buat saya sedikit risau. Imran ni ada sedikit ciri autism tetapi saya tak fikir dia autism.

Pendapat saya dipersetujui pakar kanak-kanak waktu saya bawa dia berjumpa sebelum dia masuk ke sekolah rendah. Pakar kata agak grey area tapi let's see. Jadi kami masukkan ke sekolah seperti biasa. Of course lah dia kene masuk kelas pemulihan, linus untuk bantu. Dan dia masih dengan keunikannya. Mengajar imran membaca seolah-olah anda cuba terangkan rocket science dan teori black hole kepada dia. It's very tough for him to get the idea. Sejak umur dia 4 tahun saya dah cuba berbagai kaedah, you name it. Buku rasanya lebih 100 buah. I've tried everything.

Cut short the story, hujung tahun lepas, setelah perbincangan demi perbincangan kami akhirnya bawa imran jumpa Pakar Psikatari Kanak-Kanak di HUKM untuk diagnosis lebih sempurna. Saya tak merisaukan dia tak boleh membaca. Tidak. Saya cuma ingin dia dibantu dengan cara paling efektif supaya dia seronok belajar dan tidak ketinggalan hingga rasa rendah diri. Itu sahaja.

2 minggu selepas I'jaaz menjalani ujian dyslexia, Imran pula didiagnos awal dengan GLOBAL DEVELOPMENTAL DELAY sama seperti Israa'. Dan bermula la appointment demi appointment untuk uji kesemuanya. Kami ke klinik pakar mata, ENT, speech, kanak-kanak dan menjalani ujian IQ untuk Imran. Result akan keluar bulan depan dan baru perbincangan akan diteruskan untuk tahu masalah sebenar Imran dan cara untuk bantu Imran dalam pelajaran.

Panjang?

Kekal Kuat Kerana Anak-Anak

Lama pendam ni. Ketika huru hara dalam kelam kelibut saya dengan Projek Beg Sekolah, ini semua berlaku. Ya, Allah sahaja yang tahu rasa hati saya dan suami.

Paling sukar bila nak beritahu Opah (ibu saya) dan Nanny (ibu suami). Mereka down. Sedih total. Dapat lihat riak wajah mereka yang suram. Saya pula terpaksa yakinkan mereka, ini semua ujian. Dan kami adalah the chosen one (perasan sungguh) sebab kami mampu tempuh. It's not even genetic problem!

Saya bersyukur dikurniakan hati seperti bulldozer. Kekal kuat demi anak-anak. Sekelumit hatta sezarah saya tidak pernah kecil hati atau rasa ujian ini tidak adil. Saya tidak pernah menangisi Why me? Why Me?Saya tidak pernah rasa marah pada Allah.

Saya rasa Allah beri sebab Allah mahu saya buat dengan terbaik bersama suami. Dan mahu saya sebarkan ilmu lebih banyak tentang ini kepada orang awam.

Saya kan terus bercerita mulai saat ini. Dengan hashtag #SalamDyslexia #SalamGDD #EmakGiftedBoys in saya Allah lebih banyak cerita dan info selepas ini.
Doakan kami terus kuat

Doakan kami terus sihat

Doakan kami dapat bawa kebaikan pada keluarga dan semua
Emak,

Yang kekal steady, positive dan strong!

Penulis Asal: Salwa Mohd Salleh 

Semua Saya Tanggung !! Mentua, Kakak Ipar, Adik Ipar, Biras Dan Anak Buah, Tapi Gara-Gara Tak Bagi Pinjam Kereta, Semuanya ....

15 Sept 2017


Di dalam alam bertumahtangga, ramai yang inginkan hubungan dibina bahagia , tetapi bukan semua orang bernasib baik untuk menjalani kehidupan bahagia seperti yang diimpikan itu dan akhirnya berakhir dengan penceraian.

Kadang-kadang hubungan yang dibina dengan suami tiada masalah, tetapi kerana campur tangan keluarga hubungan itu musnah.

Meluahkan perasaannya di dalam iium Confession BM, seorang wanita malang menceritakan kisah hidupnya yang begitu memeritkan.

Bukan kerana sang suami curang atau tidak sayang, tetapi kerana keluarga suami yang terlalu mengambil kesempatan atas kebaikannya sehingga dia hilang sabar menyebabkan dia dipukul dan difitnah.

Jom kita baca luahannya.

Akak Ipar, suaminya & Ibu Mertua yang melampau"

Assalamualaikum. Maaf jika saya gunakan medium ini untuk meluah perasaan, sebelum itu, selamat mennyambut bulan Ramadhan semua. Saya bekas penuntut UIA, graduasi pada tahun 2007.

Saya baru bercerai dengan suami dua minggu sebelum bulan Ramadhan. Saya redha jika dah tertulis jodoh kami hanya setakat itu sahaja. Bukan niat saya nak mengaibkan namun diharap apa yang saya ingin tulis dapat dijadikan iktibar buat diri saya sendiri dan orang lain.

Saya berkahwin dengan suami 3 tahun lepas, di mana ketika itu kami berdua sudah mempunyai kerjaya stabil. Suami saya bekerja sebagai guru di sekolah rendah dan saya di sebuah syarikat swasta, pendapatan saya lebih tinggi daripada suami tapi suami tetap beri duit belanja kepada saya. Jujur saya kata, ex suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Bila saya cakap bertanggungjawab, ex suami memang akan melebihkan keluarganya sendiri. Pada mulanya saya sangat bersyukur sebab ex suami tidak lupa tanggungjawab pada ibu dan keluarganya namun semuanya berubah selepas saya kenal sendiri bagaimana perangai mereka.

Sekali lagi, bukan niat mengaibkan. Begini, pada mulanya selepas kami berkahwin, ex suami mengajak saya tinggal di rumah keluarganya atas desakan ibunya. Ex suami merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik, kakaknya sudah berkahwin dan mempunyai dua org anak (juga tinggal di rumah ibu mertua saya), dan dua adik-adiknya seorang di kolej dan seorang masih bersekolah. W/pun keberatan, namun saya ikutkan juga dan berfikiran ada baiknya boleh mengeratkan hubungan dgn ibu mertua saya.

Long story short, bermulalah satu-satu perkara berbangkit. Pertama, sejak kami masuk di situ, ibu mertua, kakak ipar & abang ipar mula lepas tangan dalam soal belanja rumah. Pada mulanya, saya sangat tidak kisah sebab gaji saya dan suami mencukupi untuk menanggung belanja rumah mertua saya spt barang basah, duit dapur, bil elektrik & air. Mereka juga minta dipasangkan wifi dan astro di rumah tersebut (sebelum ini tiada) Kami berpakat memperuntuk RM1000 untuk kesemua tersebut. Kami juga menanggung adik-adik suami yang masih belajar. Namun, lumrah manusia, tidak menghargai malah tamak.

Konflik pertama apabila kakak ipar & suaminya mula mengharap pada saya dan suami soal biaya anak-anak mereka (9 & 12 tahun). Kakak ipar tidak bekerja, suaminya pula sangat malas bekerja, ex suami saya pernah beritahu abang iparnya selalu bertukar-tukar kerja, sama ada dibuang kerana selalu ponteng dan tidur di rumah. Sekarang suami kakak ipar mengambil upah menolong kawannya menjaga gerai pasar malam.

Isunya, mungkin bagi mereka kami bergaji tinggi jadi tidak salah meminta tolong, saya pun pada mulanya kesian memikirkan kesusahan mereka namun makin lama makin naik lemak sampaikan suami abang ipar mula minta duit setiap minggu daripada kami termasuk duit rokok, minyak, topup dan pernah minta juga dibelikan telefon baru. Suami mula tidak gemar dan pernah 'sound' abg iparnya namun kakaknya marah dan cakap suami kedekut, ibu mertua juga mula berkata suami berkira dengan adik beradik dan pernah menuduh saya yang menghasut suami.

Demi Tuhan, saya tidak pernah melarang suami menolong adik-beradiknya namun saya perasan kakak ipar dan suaminya suka mengambil kesempatan. Sudahlah menumpang di rumah ibu, tidak keluarkan satu sen pun untuk apa-apa sejak kami pindah masuk (sebelum ini pun mengharap pada duit pencen arwah ayah suami). Kemuncaknya apabila seperti mereka mengajar anak-anak mereka meminta duit sekolah pada saya. Saya akan berikan namun semakin lama anak-anak mereka juga berharap pada saya untuk duit sekolah mereka, duit tuisyen, buku, yuran, baju sekolah dan semua.

Pernah satu hari, anak mereka yang darjah 6 pulang sekolah dan cakap sekolahnya buat lawatan ke Langkawi dan perlu bayar RM120 untuk menyertai.

Dengan selamba mak ayah dia cakap

"mintak dengan cikngah (saya), mintak RM500 sekali duit belanja and mak nak pesan barang jugak alang-alang pergi sana" 

Saya yang mendengar di dapur mula rasa menyirap, kerana senang-senang kakak ipar saya cakap macam tu.

Anaknya datang dan cakap

"cikngah, nak RM500 esok, ada lawatan." 

Kemudian terus berlalu. Suami saya ada masa tu and cakap pada kakaknya kalau anak dia nak pergi mana-mana, dia dan suami la bertanggungjawab, jangan mengharap kat orang. Kakak ipar tarik muka, bila suaminya balik, dia mengadu dan terus jadi bertekak dan dikatakan kami berkira. Saya taknak suami saya bergaduh jadi saya berikan juga RM500 pada anak buah saya tu.

Sebenarnya banyak lagi, terlalu panjang. Ibu mertua saya juga sangat suka dibelikan macam-macam, saya tak pernah menghalang suami saya berbelanja pada ibunya namun mertua tidak pernah puas. Pernah sekali saya beli beg tangan untuk diri saya dengan duit saya sendiri, bila mertua nampak dia cakap dengan suami saya kenapa belikan kat saya dan tak belikan pada dia juga, suami terangkan yang saya beli dengan duit saya sendiri dan mertua terus marah saya dan cakap saya membazir, lebih baik beri pada dia buat beli barang rumah, sedangkan apa yang kami beri lebih pada cukup. 
Paling saya marah, syarikat saya berikan saya bonus dalam bentuk percutian atas prestasi kerja beberapa bulan lepas atas tender yang berjaya. percutian 4 orang ke Korea, jadi saya decided untuk bawa suami, ibu saya dan adik saya.

Mertua sangat marah sebab tidak bawa dia (mertua suka tengok drama), marah yang melampau sangat sampai cakap saya menantu tak sedar diri, berkira dengan dia, pergi bercuti tak ingat mak dah macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan batu api kakak ipar yang turut tidak puas hati pada kami. Tapi masa tu saya dah tawar hati dengan mertua and kakak ipar jadi saya terus je pergi bercuti dua minggu dengan suami, ibu dan adik saya. Tapi apabila balik, saya tetap belikan macam-macam buah tangan untuk mereka. Mereka masih lagi perli saya dan cakap macam-macam di belakang saya.

Kemuncak semua perkara ini adalah perangai kakak ipar & suaminya. Mereka ada sebuah motor sahaja untuk urusan transport, itupun sebenarnya ihsan arwah ayah mertua. Digunakan suami kakak ipar untuk pergi kerja. Saya dan suami mempunyai 3 kereta, 1 milik suami dan 2 milik saya. Saya beli viva second hand ketika masih menuntut di UIA ketika itu menggunakan duit hasil kerja part time dan sebahagian duit biasiswa untuk memudahkan saya belajar ketika itu.

Tahun kedua kerja, saya beli kereta baru yang lebih selesa. Saya bercadang memberikan kereta viva tu kepada adik perempuan saya (18 tahun) selepas dia siapkan lesen dan masuk universiti. Kakak ipar dan abang memang selalu pinjam kereta viva tu untuk mereka anak beranak dan saya tidak kisah pun, cuma lama-lama mereka buat seolah-olah harta sendiri pula. road tax, minyak masih harap saya yang bayar.

Kakak ipar suruh ibu mertua cakap dengan saya supaya berikan kereta tersebut pada dia dan suami. Ibu mertua juga suruh begitu, namun saya cakap baik-baik tidak boleh sebab dah janji dengan adik. Ibu mertua dan kakak ipar cakap saya tidak mahu menolong sesama ipar.

Bagi saya, kalau nak, usaha lah, jangan nak semua benda free, lainla mereka cakap mereka nak beli daripada saya. Bukanlah saya kedekut, tapi hasil penat saya ikat perut zaman universiti untuk beli kereta tu supaya memudahkan saya bergerak, saya taknak adik saya rasa susah macam saya, sebab tu saya janji nak beri pada dia.

Kemuncaknya, saya dah beritahu mereka saya akan balik ke rumah saya dah akan bawa kereta viva tersebut untuk beri pada adik saya. Mereka cuma diam jadi saya rasa tiada masalah. Saya nak balik pada hari jumaat, pada hari rabu itu, bila saya balik kerja, saya tengok kereta viva saya tiada, saya assumed kakak ipar dan abang pinjam la kot untuk pergi mana-mana. Saya tak kisah.

Esok pagi nak pergi kerja, kereta masih tiada, saya dah tak sedap hati, balik kerja tu, saya tengok masih tiada.

Saya tanya ibu mertua saya, mana kakak ipar dan abang? Pinjam kereta ke? Ibu mertua dengan selamba cakap

"oh diorang dah balik kampung abang ko kat kelantan, tak tahu balik bila. ko pun bagi-bagi je la kereta tu kat diorang, kesian diorang takde kereta, jangan berkira sangat, ko banyak duit tak berkat hidup ko kedekut."

Darah saya menyirap, dan masa itulah saya terlalu marah. Rasa dipergunakan jadi saya marah ibu mertua saya dan kami berperang besar. Saya cakap ibu mertua saya ambil kesempatan, rumah ni pakai duit saya, dengan nak membela anak-beranak kakak ipar dan abang macam biawak hidup, dan saya terus ditampar ibu mertua. 
Saya dah tak tahan, saya kemas barang saya, saya cabut semua wifi rumah dan panel astro. Bukan saya berkira, namun saya dah tak tahan sangat. Masa pergi bercuti di Korea baru ini pun, ibu mertua perli ibu saya cakap ibu saya kolot, buat malu je bawak pergi luar negara, selekeh dan macam-macam, namun saya sabar.

Kali ini mereka melampau sangat buat lari kereta yang saya nak bagi pada adik saya. Saya call kakak ipar banyak kali namun tak berjawab, message berpuluh-puluh kali tak reply, whatsapp dia bagi saya bluetick.

Last-last saya message kalau esok diorang tak balik bawak kereta saya, saya akan report polis mereka curi. Terus kakak ipar saya call and marah-marah cakap diorang pinjam je and macam-macam.

Tapi saya dah sakit hati dah dengan keluarga suami saya. Masa ini, suami saya takde, dia pergi ikut lawatan sekolah 3 hari jadi guru iringan. Sebab itu mertua and kakaknya berani sangat, sebab suami saya takde.

Esoknya, kakak ipar, abang dan anak-anak diorang balik and kakak ipar serang saya, tampar saya tarik-tarik saya dengan suaminya tengok je dan cakap

"bagus, bagi je penampar, sepak je betina macam ni"

Mertua pun takde langsung nak meleraikan. Mujurlah masa itu, sempat-sempat suami saya balik dan bila dia tengok keadaan macam tu, dia dah naik gila and tarik kakak dia and bertumbuk dengan abang iparnya. Mertua pegang suami and cakap saya punca semua benda and macam-macam fitnah keluar seolah-olah saya ah paling jahat, berkira dan semua benda.

Suami tarik saya masuk bilik and masa itu suami cakap dia ikut saya pindah. Saya masa itu dah tawar hati dengan semua perkara dan selepas dua minggu saya fikir masak-masak di apartment baru saya, saya called suami and minta dia lepaskan saya cara baik, sebab saya dah tidak mahu ada kena mengena dengan mertua, kakak ipar dan abang ipar saya lagi.

Dah tak sanggup. Suami pujuk namun akhirnya dia juga terpaksa lepaskan. Kami bercerai secara baik, tanpa anak. Ex suami lepas kejadian itu pindah keluar dari rumah ibunya dan menyewa di tempat dekat dengan sekolah tempat dia kerja. S

Saya pun dah ada apartment (sewa beli) sendiri dan sedang cuba bina hidup baru. Tolong doakan saya semua, semoga saya kuat.

Pesanan saya, sebelum berkahwin selidiklah juga keadaan keluarga bakal pasangan kita, berkenalan la juga dengan adik-beradik mereka, tahu latar belakang mereka sedikit. Salam Ramadhan semua, maaf post ini terlalu panjang, ini pertama kali saya meluahkan. Harap dimaafkan.


Kredit : siakapkeli



Kalau Tak Mahu Menyesal, Hayati Cerpen Ini Dulu Sebelum Anda Menyertai Reunion Universiti

23 Aug 2017



Berpeluh-peluh Farid. Kakinya berat nak melangkah masuk ke dewan, sedangkan acara sambutan 10 tahun Alumni Universiti 2017 sudah pun bermula. 

"Abang kenapa ni bang?" tanya Marina.
"Abang rasa tak sihat la Na," kata Farid.
"Awak jugak yang beria nak ajak saya datang," kata Marina.
Farid tak tahu apa lagi alasan hendak diberikan. Dia berjalan laju sampaikan Marina tertinggal, lalu terus melangkah masuk ke dewan. Peluh merecik mengalir membuatkan wajahnya berkilat-kilat dalam udara sejuk.

Terus Farid berdiri di tepi pintu dewan, tiba Marina terus berdiri di sebelahnya.

Dari kejauhan, Farid nampak Nadia, gadis pertama mengajar dia erti cinta, duduk bertepuk tangan sambil suaminya di sebelah. Tangan itulah yang dipimpin Farid ketika berjalan-jalan keluar dulu.

Farid berpusing mencari tempat duduk kosong supaya dia dapat duduk cepat. Ada meja kosong tetapi Juliana, gadis yang dia kecewakan selepas bergaduh pada satu malam Rabu bulan Jun tahun 2004, sedang merenung pentas di kelilingi dua orang anak dan suami yang bermisai lebat.

"Ah, ada pun tempat kosong," kata Farid lalu menarik tangan Marina ke arah meja tersebut. Mereka berdua pun cepat-cepat berjalan ke meja itu supaya tidak mengganggu majlis yang sedang dihiburkan kugiran.

"Ada kosong?" tanya Farid.
"Ada, ada. Dua orang kan? Yang tu kosong, yang dua ni ada orang," kata lelaki itu yang tak dikenali. Farid dan Marina cepat-cepat duduk. Lega dia dapat mengelak bertemu mata dengan kekasih-kekasih lama dengan suami dan anak-anak.

"Seronokla batch you buat annivessary, nak harap kitorang punya alumni universiti, susah la," kata Marina pada Farid. Farid hanya mengangguk-ngangguk.

"Eh, Farid?" tegur seseorang.
Farid mengangkat kepala. Rashidah berdiri sambil memegang dua pinggan di tangan, lalu dia meletakkan kedua-dua pinggan berisi makanan di atas meja

Farid hanya mampu diam. Apa yang ditakuti telah berlaku. Marina yang memerhati telatah suaminya yang aneh cepat-cepat menghulurkan salam.

"Abang Farid tak berapa sihat," kata Marina. Farid masih lagi kaku sambil memandang ke lantai yang berkarpet tebal biru. 

Rashidah diam. Farid pun diam. Rashidah terbungkam mendengar Marina menggunakan gelaran yang dulu dia gunakan untuk memanggil bekas teman lelakinya itu. 

Melihat suasana seolah beku, Marina cuba menjernihkan suasana. "Sama fakulti ke dulu korang?" tanya Marina pada Rashidah.
Rashidah mengangguk lemah. 

"Sayang, you dapat kambing tadi? I malas nak queue la, panjang sangat," kata seseorang yang baru tiba, dia berdiri di belakang Rashidah.

Marina terkejut.
"Sani?" tanya Marina, tergamam sampai berdiri.
"Marina?" Sani terpegun."Macam mana you boleh ada sini?"
"Abang?" tanya Rashidah. 

"Ina?" tanya Farid.
Sepanjang makan malam itu, mereka berempat hanya diam dan makan. Lagu yang dimainkan, langsung tak dipedulikan.

Dalam perjalanan pulang, Farid dan Marina langsung tak bercakap sepatah pun. Akhirnya, semakin dekat dengan rumah, Farid membuka mulut. 

"Ina, boleh kita lupakan yang malam ni berlaku?"
Marina mengangguk. 

"Janji dengan saya, kita tak akan benarkan anak kita bercinta sebelum kahwin," Farid memandang jalan tanpa langsung menoleh melihat isterinya. 

Marina diam sahaja.
Kemudian dia mengangguk lagi.

Pengalaman Seram Rumah Berpuaka Di Muar Johor

6 Aug 2017


Kisah ini adalah kisah benar yang pernah kami alami. Pada tahun 1995, kami sekeluarga berpindah dari Johor Bahru ke Muar kerana ayah mohon kepada jabatannya untuk bertukar tempat bertugas ke Muar atas alasan masalah urusan keluarga. Ayah bekerja sebagai pegawai kerajaan bahagian pencegahan penyeludupan dan kebetulan, post di Muar memerlukan beberapa orang pegawai untuk menjalankan aktiviti pencegahan.

Setelah permohonan ayah lulus, ayah meminta pertolongan kawannya yang kebetulan berada di Muar untuk mencarikan kami rumah sewa. Akhirnya, kawannya menemukan sebuah rumah sewa yang terletak di Jalan Daud, Muar. Ayah mengambil keputusan untuk ushar rumah tu sebelum kami berpindah. Saya ketika itu baru berumur 5 tahun dan kami sekeluarga pergi bersama melihat rumah tersebut. Rumahnya sederhana dengan halamannya yang luas dan berjenis Semi-D.

Setelah kami mempersiap segalanya, akhirnya kami sekeluarga berangkat untuk berpindah ke sana. Ayah menjemput sepupunya untuk membantu dan emak juga turut menjemput adik perempuannya untuk turut bersama menyediakan jamuan kecil-kecilan dan apa yang patut. Kisah misteri dan seram berlaku sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Meskipun ketika itu usia saya baru 5 tahun, tapi memori tersebut masih segar dalam ingatan saya. Bagi memudahkan pembaca untuk mengikuti kisah ini, saya ringkaskan kepada beberapa pecahan kisah.

KISAH 1
Sebaik saja kami tiba di rumah tersebut, kami semua memunggah barang, dan saya bersama adik lelaki saya yang ketika itu berusia 4 tahun pergi berjalan ushar sekitar rumah tersebut. Perkara pertama yang terpacul dari mulut adik saya yang sudah pandai berkata-kata adalah “Rumah ni tak best lah kan!”. Balas saya “A’ah lah, tak best!”. Saya juga turut merasakan aura negatif tersebut, walaupun ketika itu saya masih berumur 5 tahun. Saya dan adik pergi mendapatkan emak dan mengadu “Mak! Rumah ni tak best lah...” tapi aduan kami tidak diendahkan. Kata-kata kami didengari oleh kak long dan dia masih ingat lagi kata-kata tersebut sehingga ke hari ini.

KISAH 2
Apa yang nampak menarik adalah senibina rumah tersebut seakan-akan rumah kolonial British dan saya yakin rumah ini mungkin dibina pada waktu Perang Dunia II [WW II] berdasarkan jalan sambungan untuk ke dapur yang hanya berdinding tetapi tidak berbumbung. Selepas penat berkemas, sepupu ayah pergi ke halaman rumah untuk memetik buah mangga yang rendah pokoknya. Pada usia saya 5 tahun tu, saya dapat pegang pokok tersebut. Emak sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan kecil. Makcik pula [adik perempuan emak] duduk berehat kepenatan dan terbaring di atas kerusi. Katanya dia pening kepada, dan apa yang memeranjatkan, ketika itu adik saya dapat lihat ada seorang budak sedang duduk di atas kepada makcik, tapi waktu tu dia tergamam dan tak tau nak ‘describe’ tu benda apa?

KISAH 3
Setelah selesai kemas. Kami berehat pada malam itu sebab kepenatan. Esoknya kami berkenalan dengan jiran sebelah rumah yang merupakan sepasang suami isteri berbangsa Cina. Dorang berdua adalah cikgu sekolah dan dorang sangat mesra dan baik hati. Usia dorang juga sudah hampir untuk bersara, namun masih sihat dan bertenaga. Dorang hanya tinggal berdua sahaja.

Kisah seram dan berpuaka bermula pada suatu malam. Saya tidak ingat bilakah waktu tersebut. Ketika itu, kami sekeluarga asyik menonton TV. Secara tiba-tiba, pintu yang memisahkan bahagian ruang tamu dengan dapur digoncang kuat. Kami terperanjat. Ayah pula segera mendapatkan pistolnya kerana dia risau sekiranya ada perompak yang memasuki rumah memandangkan jalan untuk ke dapur tidak berbumbung dan mudah dimasuki orang. Ayah menunggu pintu digoncang untuk kali kedua, kali ini ayah terus merentap laju daun pintu dan mengacukan pistolnya. Namun tiada sesiapa. Ayah fikir mungkin angin bertiup kencang.

KISAH 4
Malam berikutnya, kejadian yang sama berlaku. Ketika kami sedang asyik menonton TV, sekali lagi pintu digoncang kuat. Kali ini ayah tidak sempat ambil pistol, sebaliknya dia capai parang yang sudah tersedia di tepi pintu. Takut juga kalau-kalau kali ini betul-betul perompak. Sekali lagi pintu direntap, namun tiada sesiapa pun, bahkan tak ada angin. Semenjak daripada kejadian itu, emak mula rasa sesuatu tak kena. Emak mengadu kepada ayah tentang rasa hatinya, kata emak, mungkin itu bukan orang atau angin. Ayah antara percaya dengan tidak.

KISAH 5
Sehingga malam berikutnya, ketika itu ayah tak ada dirumah kerana pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri kes mahkamah. Seperti biasa, bila ayah dapat kes pencegahan, kes tersebut akan di bawa ke mahkamah dan ayah akan tinggalkan kami untuk beberapa hari bagi menghadiri perbicaraan. Pada malam itu pintu digoncang lagi. Kali ini hanya kami berenam. Emak, saya, adik lelaki saya dan tiga orang kakak saya. Kami bertambah risau kerana ayah tak ada dirumah. Kami menasihatkan emak supaya tidak membuka pintu. 

Tetapi dengan keberanian yang ada, emak yakin itu bukan angin atau perompak sebaliknya “benda” lain. Emak ambil penyapu lidi yang tersedia di pintu tersebut. Kali ini emak merentap pintu tersebut kemudian mengibas-ngibaskan penyapu lidi. Serentak itu juga bulu tengkuk emak meremang dan emak kemudian cepat-cepat menutup pintu.

KISAH 6
Emak mengadu kepada ayah tentang kejadian yang kami hadapi ketika ketiadaan ayah di rumah. Ayah setuju dengan emak dan dia mula percaya yang goncang pintu tu bukan angin atau perompak, tapi ‘benda’ tu. Emak dan ayah berbincang untuk mencari rumah sewa yang lain. Kami juga minta supaya ayah pindahkan peti sejuk dari dapur ke ruang tamu kerana takut untuk ke dapur jika nak minum pada waktu malam. Kejadian pintu digoncang kuat tu terus berlarutan, tapi kali ini kalau pintu digoncang, ayah akan suruh kami tutup TV dan tidur. Pintu digoncang biasanya pada pukul 8 malam atau 10 malam.

KISAH 7
Itu kisah pada waktu malam. Pada waktu pagi pula, pintu depan pula akan digoncang. Saya sendiri melihat kejadian tersebut, dan berlari mendapat ayah dan emak yang sedang berehat di bilik. Emak dan ayah pesan supaya saya abaikan kejadian tersebut. Dah masuk, konon buat-buat tak reti keluar!

Pada suatu pagi, satu lagi kejadian aneh berlaku. Waktu tu emak nak jemur pakaian di luar rumah. Nak jemur pakaian sebenarnya boleh dari dalam rumah sebab bahagian jalan ke dapur tidak berbumbung. Namun mak lebih memilih ampaian di luar kerana kawasan tidak berbumbung itu adalah tempat kami mandi. Kenapa? Nanti saya kisahkan.

Berbalik kepada cerita emak yang nak jemur pakaian. Emak cakap, ketika dia nak jemur pakaian, dia akan melalui longkang yang ditutup dengan penutup yang diperbuat daripada simen. Macam biasa, penutup longkang jenis ni akan berbunyi bila dipijak. Jadi, ketika emak menjemur pakaian, emak terdengar penutup tersebut berbunyi kuat “bedebuk!”. Dia menoleh, tapi tiada siapa pun yang memijaknya.

KISAH 8
Ketika saya dan adik bermain-main di halaman rumah, isteri jiran sebelah rumah mengajak kami datang kerumahnya. Saya mesra memanggilnya auntie. Seperti saya cerita, dorang hanya duduk berdua, dan tidak ada anak cucu bersama. Mungkin kehadiran kami dapat menghiburkan hati auntie. Suaminya tiada di rumah ketika itu. Waktu itu emak berada di luar sedang menyapu, mak mebenarkan kami untuk ke rumah auntie. 

Di rumahnya, auntie mengeluarkan set permainan untuk kami main. Ketika sedang kami asyik bermain, tiba-tiba adik saya berkata “Siapa budak hitam tu? Dia buat apa kat sana?”. Adik menunjuk ke salah satu arah di rumah auntie tersebut. Selepas kejadian tu, auntie tu dah tak panggil lagi kami untuk bermain di rumahnya.

KISAH 9
Seingat saya, rumah tersebut mempunyai 3 batang pokok iaitu pokok sukun, pokok mangga, dan pokok. Suatu hari, emak pergi memetik buah mangga untuk dimakan. Buahnya molek-molek dari luaran, tetapi sebaik sahaja emak membelahnya, dalaman buah tersebut sudah busuk berulat. Emak pelik, kenapa masa hari tu sepupu ayah petik bukan main elok isinya? Emak mencuba pokok lain, Alhamdulillah, pokok sukun dan cermai buahnya molek dan boleh dimakan. Setiap petang emak akan buat sukun goreng untuk kami minum petang.

KISAH 10
Pada suatu hari minggu, kami sekeluarga balik ke Johor Bahru untuk melawat rumah kami di sana dan bercuti serta bersihkan apa yang patut. Sebaik saja kami pulang dari Johor Bahru, auntie sebelah rumah jumpa emak dan cakap “Kamu hari tu pergi mana? Rumah kosong, senyap, gelap, lampu semua tutup. Saya ada dengar macam ada orang mandi dalam rumah kamu.” Emak terkejut, dan emak beritahu auntie yang kami semua tiada dirumah pada hari minggu tu sebab balik Johor Bahru.

KISAH 11
Mengapa kita jadikan kawasan tak berbumbung tu sebagai tempat mandi? Inilah kisahnya. Rumah tersebut mempunyai 2 bilik air. Bilik air pertama dilengkapi dengan kolah mandi dan mangkuk tandas jenis cangkung manakala bilik air kedua pula adalah tandas sahaja, tetapi tidak digunakan sebaliknya dijadikan stor. Semenjak kami pindah, bilik air kedua tu memang sudah dijadikan stor menyimpan barang-barang lama. Suatu hari ketika emak sedang kemas rumah, emak membersihkan bilik air kedua tersebut untuk menyapu segala sawang dan habuk serta membuang segala barangan yang tak boleh dipakai.

Pada malam tu, mak bermimpi didatangi makhluk yang ada dua muka, sebelah muka manusia dan sebelah lagi muka anjing. Makhluk tersebut memarahi emak kerana membersihkan bilik air tersebut. Semenjak daripada peristiwa itu, kami tidak berani untuk menggunakan kedua-dua bilik air, kecuali untuk buang air besar di bilik air pertama. Kami mengambil keputusan untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kecuali ayah, sebab ayah dah biasa dengan kes-kes macam ni ketika dia pergi mencegah, so setakat hantu bilik air tu apa lah sangat...

KISAH 12
Suatu hari, saya pun tak ingat bila, seperti biasa ayah akan tinggalkan kami untuk court case di Johor Bahru. Jadi emak panggil emaknya [iaitu atuk perempuan kami sebelah emak] untuk teman kami. Tak tau kenapa mak panggil atuk? Mungkin sebab emak nak atuk tengok-tengokkan rumah tu kot? Ye lah, orang tua biasa faham “benda-benda” ni. Atuk tinggal di Segamat, jadi tak jauh untuk ke Muar.

Atuk cerita, hari pertama dia datang rumah yang kami sewa tu, dia dah rasa tak sedap hati. Jadi pada suatu malam, waktu atuk nak buang hajat, dia bawa sebilah parang untuk ke tandas. Masa dia cangkung nak melepas hajat, dia pacakkan parang atas lantai. Tapi tak tembuslah lantai tu, atuk pegang parang tu. Itu petua orang Melayu dahulu kala, kalau nak pergi ke sungai ke, laut ke, biasa dorang akan pacak parang dulu sebelum turun ke laut atau sungai. Sebaik saja habis buang hajat, atuk terus sambung tidur. Malam tu atuk meracau. 

Esoknya atuk balik kampung. Kisah atuk diganggu ni pun merupakan salah satu punca kami mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kalau korang nak tau, setiap kali kami nak pergi bilik air untuk buang air, kami akan pergi berteman, meskipun waktu pagi.

KISAH 13
Jalan yang kami ambil untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu bukan suatu penyelesaian yang bijak, kerana pada suatu pagi kak long diganggu. Biasanya kak long akan mandi sebelum Subuh untuk ke sekolah. Suatu pagi masa dia mandi, kak long dengar ada orang berlari dibelakangnya dan terdengar bunyi kocakan air dipijak atas lantai simen yang basah. Semenjak daripada kes tu, kak long selalu lambat ke sekolah sebab dia akan tunggu hari terang untuk mandi.

KISAH 14
Kisah ni lagi bahana! Suatu pagi kami dikejutkan dengan keadaan kereta kami terbuka keempat-empat pintunya. Ayah dan emak bukan main cemas. Ayah terus pergi pintu pagar dan tengok kalau-kalau pagar kena pecah. Yang memeranjatkan, pagar masih bermangga dan tiada kesan orang cuba nak pecah mangga dan rantai mangga tersebut.

Pada mulanya ayah fikir mat gian yang pecah masuk rumah. Ayah cepat-cepat masuk kereta dan buka laci kecil dalam kereta yang biasa kita simpan duit syiling dan resit. Duit dalam tu tidak terusik. Kalau mat gian, mestilah dorang akan pecahkan cermin kereta dan ‘aim’ benda berharga dalam kereta tu. Yang lagi pelik, pintu kereta tu berkunci. Kali ni ayah mula yakin bahawa yang ganggu kami tu bukan biasa-biasa.

KISAH 15
Emak dan ayah mula berikhtiar. Sedari solat wajib, hinggalah ke solat sunat tahajjud & hajat. Emak juga selalu memainkan kaset bacaan surah Yasin. Zaman tu MP3 Imam Masjidil Haram belum ada, apatah lagi YouTube. CD pun belum terkenal sangat. Segala jenis nama qari & qariah mak beli kasetnya. Kesannya? Ya, sangat berkesan dalam menghalau benda-benda puaka pukake zuzake tu, namun sekejap saja. Pintu tu pulak tak henti-henti digoncang. Ibarat kata pepatah, halau-halau ayam, nanti esok datang balik. Harapan kami adalah terus berdoa.

KISAH 16
Kemuncak kepada peristiwa ini adalah ketika adik saya diserang sakit perut. Mungkin usaha serta ikhtiar emak dan ayah membuatkan benda sundake pukake tu jadi ganas dan mula buat ‘plan’ dorang sendiri untuk balas dendam. Lepas adik sakit perut, emak dan ayah bawa pergi klinik. Bila tiba di klinik, macam biasa, doktor kata adik saya sihat, tak ada penyakit. Habis yang budak tu sakit perut sampai cirit-birit tu apa hal? Kami jadi bertambah buntu.

Rupanya, sebelum adik diserang sakit perut, adik cerita yang dia ada bermimpi didatangi sepasang burung merpati. Burung tu cakap kat adik “Dia ni anak kita!”. Adik menceritakan mimpi tu pada emak dan ayah, namun emak dan ayah fikir itu cuma mimpi budak-budak, sehinggalah adik diserang sakit perut tu.

KISAH 17
Suatu hari adik minta kak long untuk teman dia pergi tandas untuk buang air besar. Suatu perkara pelik dan seram yang kak long alami. Kak long cakap, adik suruh teman dia depan pintu sebab dia takut, tapi bila kak long berdiri depan pintu, adik halau kak long dan cakap “Kau buat apa diri kat situ? pergilah!”. Bila kak long pergi, tiba-tiba adik menangis “Long nak pergi mana tu? Temanlah adik, adik takut”... Kak long bingung, tapi kak long tetap temankan adik sampai dia habis mencirit.

Disinilah bermula kemuncaknya apabila salah seorang daripada kita kena rasuk atau diganggu dengan penyakit misteri. Masa tu barulah kita hampir sedar yang kita bukan berada di alam nyata lagi, tetapi sudah masuk separuh diri ke alam yang satu lagi.

KISAH 18
Sakit perut adik yang belum lagi ditemui ubat membuatkan kami buntu dan akhirnya kami mengalah, emak dan ayah sudah mula abaikan solat. Ayah sudah tidak mengaji lagi. Emak tak lagi memainkan kaset bacaan surah Yasin. Kak long masih ingat ketika dia nak solat. Dia dah siap sarung telekung dan sebaik saja dia berdiri atas sejadah, dia tiba-tiba melucutkan telekung dan tak jadi solat.

Kami lebih suka keluar rumah pada waktu malam untuk ke Tanjung, suatu tempat popular di Muar untuk ambil angin dan kami kerap makan malam di luar. Mungkin dengan cara demikian kami dapat lupakan gangguan yang kami hadapi di rumah. Kami hampir putus asa walaupun ayah kerap kali berulang ke klinik untuk ubati sakit adik. Adik saya juga pada waktu tu semakin susut saiz badannya. Akhirnya kami menjalani kehidupan seperti biasa dan berserah pada takdir.

KISAH 19
Penyelesaianya kepada masalah ini akhirnya ditemui apabila pada suatu malam, sekitar pukul 8 malam, adik terbangun daripada tidur petangnya dan dia menceritakan mimpinya kepada emak dan ayah. Adik kata, dia bermimpi pergi ke sebuah gunung. Di atas gunung tersebut ada seorang tua yang adik saya kenali, bahkan kami juga kenal dengan orang tua yang dimaksudkan adik dalam mimpinya. Orang tua tersebut berpesan untuk jumpa dirinya jika ada masalah. Selepas adik menceritakan mimpi tersebut kepada emak dan ayah, kami rasakan masalah ini akan berakhir. Usaha dan doa kami akhirnya Allah Makbulkan.

Orang tua tu kami gelar Atuk Mersing dan beliau merupakan seorang hamba Allah Azzawajal yang boleh dikatakan mempunyai karamah. Barulah emak dan ayah sedar dan teringat kepada orang tua tersebut. Dahulu kami sangat rapat dengan Atuk Mersing tu, emak dan ayah dah dia anggap macam anak sendiri. Emak dan ayah kenal orang tua tu masa dorang mengikuti kawan dorang untuk mendapatkan bantuannya bagi mengubati isteri kawan dorang yang gila. Isterinya akhirnya sembuh dengan tawassul orang tua tersebut.

KISAH 20
Setelah adik menceritakan mimpinya dan setelah kami sedar, malam itu juga kami sekeluarga berangkat untuk ke Mersing menemui orang tua tersebut. Kami transit di rumah kami di Johor Bahru sebelum bergerak ke Mersing. Dalam perjalanan kami dari Muar ke Johor Bahru, emak pangku adik atas riba dan emak kata ketika dia pangku adik, dia dapat rasa macam ada benda yang sedang menekan-nekan dadanya. Sepanjang perjalanan, Emak tak putus-putus gentel tasbih dan berselawat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami dari Muar – Johor Bahru, kami sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Setibanya di Johor Bahru sekitar jam 12 malam, kami bermalam di situ. Pada malam itu, di rumah kami, kak long terlihat satu lembaga berambut panjang dan berbaju putih sedang memerhatikan kami yang sedang tidur. Kak long kata dia nampak dalam keadaan sedar dan tidak atau kata mudahnya ketika jalu. Apabila hari terang keesokannya, selepas tengahari, kami berangkat ke Mersing.

KISAH 21
Ayah memandu perlahan serta kami rehat dan rawat sekejap di Kota Tinggi. Alhamdulillah, kami tiba di Mersing dengan selamatnya. Waktu kami tiba hari dah nak masuk Maghrib. Atuk Mersing tak ada di rumah, kata isterinya dia ke pekan. Bukan main gembira lagi isterinya bila lihat kami datang, siap minta tolong ayah sembelihkan ayam untuk dimasak buat kami sekeluarga. Tak lama lepas tu, Atuk Mersing pulang. Ketika dia masuk, dia lihat muka kami semua dan berkata “Berat betul masalah awak semua ni!” walaupun kami cuba sembunyikan dengan senyuman. Selepas ayah dan Atuk Mersing selesai solat Maghrib bersama, Atuk Mersing memulakan sesi pengubatan.

Emak bawa adik dan baringkan di sisi Atuk Mersing. Orang tua tersebut membuka baju adik dan mencelup sedikit minyak urut lalu disapukan ke perut adik. Serentak itu adik meraung-raung kesakitan. Padahal orang tua tu baru sentuh. Perut adik diusap perlahan-lahan. Adik meraung dan merayu pada emak, tapi emak tak hiraukan kerana dia tahu itu bukan adik, tetapi puaka sundake tu yang cuba “trick” emak. Selesai berubat, adik tidur lena.

Orang tua tu siap pesan “Nasib baik awak bawak anak awak ni cepat, kalau tak... sebab ‘benda’ tu dah makan hampir ke perut anak awak ni”. Orang tua tu juga pesan supaya kita berpindah dari rumah tu sebab rumah tu dah jadi tempat puaka-puaka tu duduk. Ibaratnya, kita yang menumpang tempat dorang.

KISAH 22
Akhirnya kami berpindah. Sebelum tu kami stay dulu di Johor Bahru, manakala emak dan ayah pergi cari rumah sewa lain di Muar. Kami akhirnya menemui rumah sewa yang lain dan kami berpindah ke sana dengan aman damainya untuk beberapa tahun sehinggalah ayah berjaya selesaikan masalah keluarga dan berpindah kembali ke Johor Bahru. Alhamdulillah.

Selepas kami pindah dari rumah berpuaka pundak nayeh laknatullahialaih tu, salah seorang kawan ayah menemuinya di pejabat dan tanya “Abang dulu duduk rumah tu ke?”. Ayah jawab “A’ah, aku dah pun pindah dari tempat yang penuh kenistaan tu!”. Kawan dia cakap “Saya dah lama nak cerita dengan abang, tapi tak sampai hati sebab masa tu abang masih stay situ. Masa suatu malam saya buat rondaan kawasan tu, saya nampak ada lembaga berjalan masuk menuju ke rumah tu, kemudian hilang!”.

Lepas kami keluar dari azab tu, ayah ada juga ushar tanya kawan-kawan dia kalau-kalau rumah tu masih ada penyewa. Kata ayah, lepas kami blah, ada orang bujang sewa rumah tu, tapi tak sampai dua hari. Esoknya dah berambus.

SEJARAH HITAM RUMAH
Selepas kami pindah, ayah pun rasa ‘curious’, nak tau juga apa pasal rumah tu punya nista dan berpuaka pundak nayeh. Dia ushar-ushar dengan orang-orang kampung sekitar situ. Menurut kisah, rumah puaka tu adalah milik seorang doktor. Doktor tu ada bunuh seorang perempuan dalam rumah tu. Tapi tak tahu sebab apa dia bunuh perempuan tu? Mayat perempuan tu sampai sekarang tak jumpa.

Bila kisah tu berlaku tak pasti. Sama ada selepas atau sebelum WW II atau doktor tu pemilik rumah tersebut atau penyewa... entahlah... Yup! Mengenai tuan rumah, sebenarnya kami bayar sewa pada orang yang ditugaskan untuk jaga rumah tu. Orang tu bukan pemilik asal rumah puaka tu, tapi keluarga dorang ditugaskan untuk menjaganya. Pasangan cikgu sebelah rumah kami tu pun mungkin bayar sewa dengan orang yang sama sebab kami tak pernah tanya pasangan cikgu tu macam mana dia duduk situ... malas nak kepochi-kepochi.

Yang penting kita semua dah selamat, Alhamdulillah. Masa ayah pergi claim duit pendahuluan, ayah ada juga tanya-tanya pasal rumah tu dan memang penjaga rumah tu akui yang rumah tu “keras”. Tapi, apa yang kami terkilan, kenapa penjaga tu tak inform awal-awal secara jujur? Sanggup aniaya orang demi mengharap duit sewa yang tak bawa ke mampus pun! Kami sewa rumah tu sebulan lebih dan hampir ke dua bulan. Untuk pengetahuan korang, penjaga tu kata, kami adalah penyewa yang paling lama bertahan menyewa rumah tu. Babih!

PENGAKHIRAN DAN KESIMPULAN
Adik kata, masa dia kena urut dengan orang tua tu, dia berada di alam lain. Dia kata dia dengar ada orang sedang baca surah Yasin dan nampak 3 ekor hantu keluar dari perutnya tercampak hingga pecah atap siling rumah orang tua tu.

Semenjak daripada pengalaman ni, kami jadi lebih berhati-hati untuk mencari rumah sewa, sampaikan kadang-kadang sebelum kami sewa sesuatu rumah, kami terus tembak tuan rumah tu “Rumah awak ni berhantu tak?”, bukan apa, kami memang trauma dengan kejadian yang pernah kami alami.

Setakat kisah Villa Nabila tu kita cuma dengar cerita jek, tapi kami sekeluarga dah alaminya secara “LIVE” di rumah puaka tu. Adik saya juga rasa seram sejuk bila dia cuba ceritakan semula pada saya mungkin sebab trauma, begitu juga saya yang adakala berdiri bulu tengkuk ketika menaip kembali kisah ni.

Lokasi rumah ni di Lorong Melur, Jalan Daud, Taman Seri Maharani, Muar. Hati-hati...

Semoga kisah saya ni dapat korang jadikan pedoman agar korang tak tersewa rumah puaka pundak nayeh yang masih wujud di Muar dan semoga Allah Azzawajal melindungi kita semua daripada gangguan syaitan laknatullahialaih. InshaAllah.

** P/S: Gambar2 terkini yang aku attached merupakan street view tahun 2016-2017. Jika min tengok, rumah tu sampai sekarang takde penyewa meskipun nampak banyak bahagian yang dah direnovated. Terutama bahagian jalan ke dapur yang tak berbumbung tu dan tingkap. Dulu tingkap tu pakai tingka kayu dua kuak, sekarang dah tinted**





Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.