SLIDER

adik ipar
Showing posts with label adik ipar. Show all posts

Semua Saya Tanggung !! Mentua, Kakak Ipar, Adik Ipar, Biras Dan Anak Buah, Tapi Gara-Gara Tak Bagi Pinjam Kereta, Semuanya ....

15 Sept 2017


Di dalam alam bertumahtangga, ramai yang inginkan hubungan dibina bahagia , tetapi bukan semua orang bernasib baik untuk menjalani kehidupan bahagia seperti yang diimpikan itu dan akhirnya berakhir dengan penceraian.

Kadang-kadang hubungan yang dibina dengan suami tiada masalah, tetapi kerana campur tangan keluarga hubungan itu musnah.

Meluahkan perasaannya di dalam iium Confession BM, seorang wanita malang menceritakan kisah hidupnya yang begitu memeritkan.

Bukan kerana sang suami curang atau tidak sayang, tetapi kerana keluarga suami yang terlalu mengambil kesempatan atas kebaikannya sehingga dia hilang sabar menyebabkan dia dipukul dan difitnah.

Jom kita baca luahannya.

Akak Ipar, suaminya & Ibu Mertua yang melampau"

Assalamualaikum. Maaf jika saya gunakan medium ini untuk meluah perasaan, sebelum itu, selamat mennyambut bulan Ramadhan semua. Saya bekas penuntut UIA, graduasi pada tahun 2007.

Saya baru bercerai dengan suami dua minggu sebelum bulan Ramadhan. Saya redha jika dah tertulis jodoh kami hanya setakat itu sahaja. Bukan niat saya nak mengaibkan namun diharap apa yang saya ingin tulis dapat dijadikan iktibar buat diri saya sendiri dan orang lain.

Saya berkahwin dengan suami 3 tahun lepas, di mana ketika itu kami berdua sudah mempunyai kerjaya stabil. Suami saya bekerja sebagai guru di sekolah rendah dan saya di sebuah syarikat swasta, pendapatan saya lebih tinggi daripada suami tapi suami tetap beri duit belanja kepada saya. Jujur saya kata, ex suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Bila saya cakap bertanggungjawab, ex suami memang akan melebihkan keluarganya sendiri. Pada mulanya saya sangat bersyukur sebab ex suami tidak lupa tanggungjawab pada ibu dan keluarganya namun semuanya berubah selepas saya kenal sendiri bagaimana perangai mereka.

Sekali lagi, bukan niat mengaibkan. Begini, pada mulanya selepas kami berkahwin, ex suami mengajak saya tinggal di rumah keluarganya atas desakan ibunya. Ex suami merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik, kakaknya sudah berkahwin dan mempunyai dua org anak (juga tinggal di rumah ibu mertua saya), dan dua adik-adiknya seorang di kolej dan seorang masih bersekolah. W/pun keberatan, namun saya ikutkan juga dan berfikiran ada baiknya boleh mengeratkan hubungan dgn ibu mertua saya.

Long story short, bermulalah satu-satu perkara berbangkit. Pertama, sejak kami masuk di situ, ibu mertua, kakak ipar & abang ipar mula lepas tangan dalam soal belanja rumah. Pada mulanya, saya sangat tidak kisah sebab gaji saya dan suami mencukupi untuk menanggung belanja rumah mertua saya spt barang basah, duit dapur, bil elektrik & air. Mereka juga minta dipasangkan wifi dan astro di rumah tersebut (sebelum ini tiada) Kami berpakat memperuntuk RM1000 untuk kesemua tersebut. Kami juga menanggung adik-adik suami yang masih belajar. Namun, lumrah manusia, tidak menghargai malah tamak.

Konflik pertama apabila kakak ipar & suaminya mula mengharap pada saya dan suami soal biaya anak-anak mereka (9 & 12 tahun). Kakak ipar tidak bekerja, suaminya pula sangat malas bekerja, ex suami saya pernah beritahu abang iparnya selalu bertukar-tukar kerja, sama ada dibuang kerana selalu ponteng dan tidur di rumah. Sekarang suami kakak ipar mengambil upah menolong kawannya menjaga gerai pasar malam.

Isunya, mungkin bagi mereka kami bergaji tinggi jadi tidak salah meminta tolong, saya pun pada mulanya kesian memikirkan kesusahan mereka namun makin lama makin naik lemak sampaikan suami abang ipar mula minta duit setiap minggu daripada kami termasuk duit rokok, minyak, topup dan pernah minta juga dibelikan telefon baru. Suami mula tidak gemar dan pernah 'sound' abg iparnya namun kakaknya marah dan cakap suami kedekut, ibu mertua juga mula berkata suami berkira dengan adik beradik dan pernah menuduh saya yang menghasut suami.

Demi Tuhan, saya tidak pernah melarang suami menolong adik-beradiknya namun saya perasan kakak ipar dan suaminya suka mengambil kesempatan. Sudahlah menumpang di rumah ibu, tidak keluarkan satu sen pun untuk apa-apa sejak kami pindah masuk (sebelum ini pun mengharap pada duit pencen arwah ayah suami). Kemuncaknya apabila seperti mereka mengajar anak-anak mereka meminta duit sekolah pada saya. Saya akan berikan namun semakin lama anak-anak mereka juga berharap pada saya untuk duit sekolah mereka, duit tuisyen, buku, yuran, baju sekolah dan semua.

Pernah satu hari, anak mereka yang darjah 6 pulang sekolah dan cakap sekolahnya buat lawatan ke Langkawi dan perlu bayar RM120 untuk menyertai.

Dengan selamba mak ayah dia cakap

"mintak dengan cikngah (saya), mintak RM500 sekali duit belanja and mak nak pesan barang jugak alang-alang pergi sana" 

Saya yang mendengar di dapur mula rasa menyirap, kerana senang-senang kakak ipar saya cakap macam tu.

Anaknya datang dan cakap

"cikngah, nak RM500 esok, ada lawatan." 

Kemudian terus berlalu. Suami saya ada masa tu and cakap pada kakaknya kalau anak dia nak pergi mana-mana, dia dan suami la bertanggungjawab, jangan mengharap kat orang. Kakak ipar tarik muka, bila suaminya balik, dia mengadu dan terus jadi bertekak dan dikatakan kami berkira. Saya taknak suami saya bergaduh jadi saya berikan juga RM500 pada anak buah saya tu.

Sebenarnya banyak lagi, terlalu panjang. Ibu mertua saya juga sangat suka dibelikan macam-macam, saya tak pernah menghalang suami saya berbelanja pada ibunya namun mertua tidak pernah puas. Pernah sekali saya beli beg tangan untuk diri saya dengan duit saya sendiri, bila mertua nampak dia cakap dengan suami saya kenapa belikan kat saya dan tak belikan pada dia juga, suami terangkan yang saya beli dengan duit saya sendiri dan mertua terus marah saya dan cakap saya membazir, lebih baik beri pada dia buat beli barang rumah, sedangkan apa yang kami beri lebih pada cukup. 
Paling saya marah, syarikat saya berikan saya bonus dalam bentuk percutian atas prestasi kerja beberapa bulan lepas atas tender yang berjaya. percutian 4 orang ke Korea, jadi saya decided untuk bawa suami, ibu saya dan adik saya.

Mertua sangat marah sebab tidak bawa dia (mertua suka tengok drama), marah yang melampau sangat sampai cakap saya menantu tak sedar diri, berkira dengan dia, pergi bercuti tak ingat mak dah macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan batu api kakak ipar yang turut tidak puas hati pada kami. Tapi masa tu saya dah tawar hati dengan mertua and kakak ipar jadi saya terus je pergi bercuti dua minggu dengan suami, ibu dan adik saya. Tapi apabila balik, saya tetap belikan macam-macam buah tangan untuk mereka. Mereka masih lagi perli saya dan cakap macam-macam di belakang saya.

Kemuncak semua perkara ini adalah perangai kakak ipar & suaminya. Mereka ada sebuah motor sahaja untuk urusan transport, itupun sebenarnya ihsan arwah ayah mertua. Digunakan suami kakak ipar untuk pergi kerja. Saya dan suami mempunyai 3 kereta, 1 milik suami dan 2 milik saya. Saya beli viva second hand ketika masih menuntut di UIA ketika itu menggunakan duit hasil kerja part time dan sebahagian duit biasiswa untuk memudahkan saya belajar ketika itu.

Tahun kedua kerja, saya beli kereta baru yang lebih selesa. Saya bercadang memberikan kereta viva tu kepada adik perempuan saya (18 tahun) selepas dia siapkan lesen dan masuk universiti. Kakak ipar dan abang memang selalu pinjam kereta viva tu untuk mereka anak beranak dan saya tidak kisah pun, cuma lama-lama mereka buat seolah-olah harta sendiri pula. road tax, minyak masih harap saya yang bayar.

Kakak ipar suruh ibu mertua cakap dengan saya supaya berikan kereta tersebut pada dia dan suami. Ibu mertua juga suruh begitu, namun saya cakap baik-baik tidak boleh sebab dah janji dengan adik. Ibu mertua dan kakak ipar cakap saya tidak mahu menolong sesama ipar.

Bagi saya, kalau nak, usaha lah, jangan nak semua benda free, lainla mereka cakap mereka nak beli daripada saya. Bukanlah saya kedekut, tapi hasil penat saya ikat perut zaman universiti untuk beli kereta tu supaya memudahkan saya bergerak, saya taknak adik saya rasa susah macam saya, sebab tu saya janji nak beri pada dia.

Kemuncaknya, saya dah beritahu mereka saya akan balik ke rumah saya dah akan bawa kereta viva tersebut untuk beri pada adik saya. Mereka cuma diam jadi saya rasa tiada masalah. Saya nak balik pada hari jumaat, pada hari rabu itu, bila saya balik kerja, saya tengok kereta viva saya tiada, saya assumed kakak ipar dan abang pinjam la kot untuk pergi mana-mana. Saya tak kisah.

Esok pagi nak pergi kerja, kereta masih tiada, saya dah tak sedap hati, balik kerja tu, saya tengok masih tiada.

Saya tanya ibu mertua saya, mana kakak ipar dan abang? Pinjam kereta ke? Ibu mertua dengan selamba cakap

"oh diorang dah balik kampung abang ko kat kelantan, tak tahu balik bila. ko pun bagi-bagi je la kereta tu kat diorang, kesian diorang takde kereta, jangan berkira sangat, ko banyak duit tak berkat hidup ko kedekut."

Darah saya menyirap, dan masa itulah saya terlalu marah. Rasa dipergunakan jadi saya marah ibu mertua saya dan kami berperang besar. Saya cakap ibu mertua saya ambil kesempatan, rumah ni pakai duit saya, dengan nak membela anak-beranak kakak ipar dan abang macam biawak hidup, dan saya terus ditampar ibu mertua. 
Saya dah tak tahan, saya kemas barang saya, saya cabut semua wifi rumah dan panel astro. Bukan saya berkira, namun saya dah tak tahan sangat. Masa pergi bercuti di Korea baru ini pun, ibu mertua perli ibu saya cakap ibu saya kolot, buat malu je bawak pergi luar negara, selekeh dan macam-macam, namun saya sabar.

Kali ini mereka melampau sangat buat lari kereta yang saya nak bagi pada adik saya. Saya call kakak ipar banyak kali namun tak berjawab, message berpuluh-puluh kali tak reply, whatsapp dia bagi saya bluetick.

Last-last saya message kalau esok diorang tak balik bawak kereta saya, saya akan report polis mereka curi. Terus kakak ipar saya call and marah-marah cakap diorang pinjam je and macam-macam.

Tapi saya dah sakit hati dah dengan keluarga suami saya. Masa ini, suami saya takde, dia pergi ikut lawatan sekolah 3 hari jadi guru iringan. Sebab itu mertua and kakaknya berani sangat, sebab suami saya takde.

Esoknya, kakak ipar, abang dan anak-anak diorang balik and kakak ipar serang saya, tampar saya tarik-tarik saya dengan suaminya tengok je dan cakap

"bagus, bagi je penampar, sepak je betina macam ni"

Mertua pun takde langsung nak meleraikan. Mujurlah masa itu, sempat-sempat suami saya balik dan bila dia tengok keadaan macam tu, dia dah naik gila and tarik kakak dia and bertumbuk dengan abang iparnya. Mertua pegang suami and cakap saya punca semua benda and macam-macam fitnah keluar seolah-olah saya ah paling jahat, berkira dan semua benda.

Suami tarik saya masuk bilik and masa itu suami cakap dia ikut saya pindah. Saya masa itu dah tawar hati dengan semua perkara dan selepas dua minggu saya fikir masak-masak di apartment baru saya, saya called suami and minta dia lepaskan saya cara baik, sebab saya dah tidak mahu ada kena mengena dengan mertua, kakak ipar dan abang ipar saya lagi.

Dah tak sanggup. Suami pujuk namun akhirnya dia juga terpaksa lepaskan. Kami bercerai secara baik, tanpa anak. Ex suami lepas kejadian itu pindah keluar dari rumah ibunya dan menyewa di tempat dekat dengan sekolah tempat dia kerja. S

Saya pun dah ada apartment (sewa beli) sendiri dan sedang cuba bina hidup baru. Tolong doakan saya semua, semoga saya kuat.

Pesanan saya, sebelum berkahwin selidiklah juga keadaan keluarga bakal pasangan kita, berkenalan la juga dengan adik-beradik mereka, tahu latar belakang mereka sedikit. Salam Ramadhan semua, maaf post ini terlalu panjang, ini pertama kali saya meluahkan. Harap dimaafkan.


Kredit : siakapkeli



Berbeza Penampilan, Dibenci Mertua Dan Adik-Beradik Suami

11 Jun 2017


HAJAT di hati nak bermenantukan orang Kelantan… Nak buat macam mana, dapat orang Kuala Lumpur…” Kata-kata itu meluncur laju daripada bibir ibu mertua saya saat bersalaman dengan sanak saudara yang hadir pada majlis kenduri kami. Sungguh saya kecil hati dengan kenyataannya. Kata-kata itu disambut dengan hilai tawa saudara sambil menjeling sepintas lalu ke arah saya yang sibuk melayan tetamu lain.

Tiada majlis bersanding atau upacara bergambar. Sekadar jamuan makan dan tahlil diiringi jamuan makan bersama-sama saudara dan jiran tetangga. Suasana harmonis itu membuatkan saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan keluarga yang baik ilmu agamanya berbanding saya, yang tidak bertudung dan jauh lebih sosial ini.
Memang, saya berpenampilan tidak seperti adik-beradik perempuan suami yang bertudung labuh dan berbaju litup kesemuanya. Saya tidak bertudung.

Berpakaian tidak cukup kain dan perang rambutnya. Tapi pada hemat saya ketika itu, saya ada budi bicara dan susila. Saya dididik untuk menghormati orang tua dan saudara seagama.


Berkecil hati

Saya amat menitikberatkan soal penampilan dan kerjaya, malah ibu bapa saya seorang yang menjaga kata-kata. Kami adik-beradik diasuh untuk bercakap hanya bila perlu dan tidak suka mengumpat orang sekeliling. Di rumah suami, saya hanya menjauhkan diri daripada orang ramai kerana berasa terasing dan berasa rendah diri apabila diperli.


Pergilah duduk di ruang tamu. Bersembang dengan kakak dan mak. Ambil hati mereka. Kenapa duduk dalam bilik saja?” Tegur suami, setelah lima bulan kami mendirikan rumah tangga .
Arahan suami saya patuhi. Saya ke ruang tamu mengambil tempat berdekatan adik-beradik suami.

Tidak sampai seminit saya duduk, suasana yang tadinya riuh rendah bertukar sunyi. Adik dan kakak ipar termasuk ibu yang empat orang kesemuanya diam tak berkutik.
Mereka seakan hairan dan tidak selesa dengan kehadiran saya di situ. Kakak menguatkan suara televisyen. Mai masuk bilik dululah bu. Tak sukalah ada orang bandar dengar cakap kita. Esok kita sembang ya. Assalamualaikum.” Adik bongsu suami bernama Maisarah mengundur diri.

Dia bersalaman dengan semua kakaknya termasuk ibu, tetapi tidak dengan saya yang sedia menghulurkan tangan. Sudahnya saya termenung sendirian memandang peti TV tanpa perasaan. Saya tidak sedar bila semuanya bersurai.


Semua perbuatan jadi tak kena

Saya baru sahaja masuk ke rumah selepas mengangkat jemuran di ampaian sewaktu terdengar ibu mengeluh sakit kaki. Sudah dua hari saya dan suami bercuti di rumah ibu.
Perasaan kasihan yang tinggi membuatkan saya tidak berfikir panjang lalu mencapai botol minyak panas di atas rak berdekatan.

Saya tarik kaki ibu dan saya urut tanpa meminta izin terlebih dahulu. Saya bukanlah arif fasal urutan tapi kerana menjadi kebiasaan saya mendapatkan perkhidmatan urutan di spa dan pusat tradisional, tekniknya dapat saya tiru dan buat.
Aduhhh! Apa kau buat ni perempuan? Nak bunuh aku ke? Siapa suruh kau tekan kaki aku ni! Pergi sana! Aku tak suka! Sakit...” Ibu menjerit kuat. Kakak keluar bilik dan mendekati kami. Saya belum sempat berikan apa-apa penjelasan sebelum kakak merampas botol minyak angin sambil memukul bahu saya.

Apa kau buat kat ibu? Tak fahamlah manusia tak ada adab macam kau ni. Sebelum nak jaga orang, tubuh kau tu tutup dulu. Jaga dulu. Selepas tu baru ambil tahu hal orang lain...” kata-kata kakak ipar itu melekat dalam kepala saya. Ia berlegar-legar tanpa arah keluar.
Selepas beberapa minggu balik ke Kuala Lumpur pun saya masih tak dapat lupakan apa yang kakak cakapkan. Sindirannya memang sinis dan tajam menghiris hati, tapi saya tidak mampu menafikan kebenarannya.

Ya... saya akui, layanan adik-beradik suami termasuk ibu mertua terlalu hambar terhadap saya. Ia jelas dan nyata menunjukkan betapa mereka tidak suka dengan saya dan tidak pernah bersetuju dengan pilihan abang sulung mereka.
Begitulah hubungan saya dengan keluarga sebelah mertua yang hambar dan terasing. Tapi setiap perkara dan peristiwa yang meruntun jiwa itu saya simpan dalam hati. Tidak pernah sekali pun saya mengadu.

Kirim hadiah dari jauh

Beberapa bulan berlalu, saya ambil keputusan untuk tidak lagi balik mengiringi suami ke kampungnya. Walhal sejak dulu, paling kurang dua minggu sekali kami balik kampung. Saya beri alasan terlalu sibuk dengan bisnes butik saya.
Namun, tanpa pengetahuan suami saya selalu mengirim baju dan telekung atau kain pasang melalui pos kepada keluarga suami. Ibu, kakak dan adik-adiknya semua dapat hadiah.

Dalam kiriman itu saya letakkan kad dengan ucapan maaf dan nyatakan ia sebagai pengganti diri. Setiap kali suami balik ke Kuala Lumpur, dia sampaikan salam dan pertanyaan daripada keluarganya kepada saya. Saya hanya mendiamkan diri.
Perubahan diri saya ke arah Muslimah yang lebih baik disambut baik oleh suami. Dia senyum dan sering memuji kecantikan saya saat mengenakan hijab dan baju kurung.

Dari dalam hati yang paling jauh, saya akui saya lebih selesa berpenampilan begitu. Mendapat suami yang baik yang sentiasa membantu memantapkan pengetahuan agama saya membuatkan saya rasa amat bertuah dan istimewa.
Setiap perilaku dan cara berpakaian adik-beradik suami sebenarnya sentiasa menjadi perhatian saya. Saya cemburu dengan mereka. Meski pun saya dilayan hambar tetapi ada kelebihan dan kecantikan dari luaran mereka dalam bab berpakaian.

Hari ini, setelah setahun lebih saya tidak balik ke kampung suami, ibu sudah rajin menjenguk saya di sini.
Layanan ibu juga semakin baik malah ibu selalu membawa bekalan yang dimasak dari kampung ke rumah saya. Antara kata-kata ibu yang paling saya ingat adalah kebaikan saya melayannya walaupun dia tidak menyukai saya.

Anak-anak ibu pun tak pernah kirim hadiah atau telefon ibu bila masing-masing balik ke bandar. Sha sajalah yang ambil berat kat ibu...” Ibu sudah selalu berbual-bual dengan saya sewaktu memasak di dapur dan paling utama, senyuman yang paling payah diukir kini selalu melekat di bibir ibu. Saya mendoakan hubungan kami semakin jernih dan akhirnya lebih akrab suatu masa nanti.


Luahan rasa daripada kiriman:
Aisyah, 26,
Kampung Pandan, Kuala Lumpur

Kredit : sinarharian



Kisah Cinta Antara Dua Darjat Moden

5 Jun 2017

Aku nak cerita tentang kisah hidup abang aku. Tak sangka kisah Cinderella moden berlaku dalam keluarga aku. Abang long aku dah kahwin dan keluarga aku alhamdulillah boleh dikatakan hidup senang. Kami ini keturunan Syed dan Sharifah. Dan atas alasan keturunanlah mak aku tak boleh terima kakak ipar iaitu isteri abang long.

Mak aku menentang keras semasa abang long suarakan hasrat nak menikah dengan kakak ipar. Mak aku kata kalau nak menikah juga boleh, tapi cari yang sama taraf sebab malu kalau sedara mara tahu kahwin dengan orang-orang biasa saja. Menurutnya lagi, abang long cuba juga untuk memujuk ibunya namun ia tidak berhasil kerana si ibu tetap tidak mengizinkan. Lalu abangnya memutuskan hubungan dengan wanita tersebut.

Pun begitu selepas empat tahun berlalu, abangnya masih tidak bernikah dan tidak mempunyai mana-mana kekasih. Akhirnya, siibu terpaksa akur untuk menerima wanita yang dicintai abangnya sebagai menantu. Mak aku cakap tak apalah kalau abang long nak menikah juga dengan budak kampung tu. Menikahlah. Tapi kena duduk sekali kepas kahwin.

Semuanya nampak indah pada mulanya sehinggalah abang long terpaksa bekerja on call kerana dia seorang doktor.Pada ketika itu mereka baru sahaja berkahwin selama tiga minggu. Aku tengah tengok TV. Sekali aku dengar mak aku bising-bising ketuk pintu bilik abang aku. Logiklah masa tu dah nak tidurkan, memanglah kakak ipar sudah masuk bilik lepas dia kemas-kemas dapur.

Ibunya dalam nada marah membentak,

Kau ingat kau tuan puteri dalam rumah aku nak senang lena? Kau pergi kemas dekat luar, lap perabot semua. Menyedari apa yang sedang berlaku, dia terus mendapatkan ibu dan kakak iparnya untuk cuba menenangkan keadaan. Apabila dia cuba mempertahankan kakak iparnya, dia pula dimarahi si ibu. 

Lepas itu, aku terus telefon abang cakap kakak ipar kena buat kerja waktu malam-malam macam ini. Abang aku terus emergency balik rumah, tapi masa abang aku sampai, mak aku terus suruh kakak ipar masuk bilik. Jangan keluar. Mak aku cakap, dia saja minta tolong kakak ipar kemas-kemas rumah. Bukan berat pun setakat lap-lap perabot dan sapu-sapu debu.

Walaupun telah diberi nasihat kepada abang long dan isteri, kakak iparnya tetap tidak mahu berpindah kerana takut ibu mertua akan lebih membencinya. Malah ibunya terlalu bencikan si kakak ipar sehingga dia tidak mahu cucu daripada perempuan itu. Masa kakak ipar hamil, mak paksa kakak ipar buat kerja rumah dari mop lantai, jemur baju dan memasak. Apatah lagi masa itu dia alahan, kemuncaknya kakak ipar keguguran.

Disebabkan hal itu, abangnya mengambil keputusan untuk terus berpindah dari rumah tersebut. Mereka juga kini sudah lima tahun tinggal berasingan dari si ibu. Malah dia sendiri juga pernah mendengar kata-kata kejam dari mulut ibunya kepada kakak ipar, Aku takkan bagi kau mengandung anak Fikri. Kau tak layak dengan anak aku.

Walaupun begitu, dia yakin ibunya tidaklah sejahat yang disangka. Kemungkinan ibunya bersikap begitu hanya kerana ingin menjaga status dan darjatnya. Sungguhpun sehingga kini kakak ipar cuba untuk berbuat baik terhadap ibunya, wanita itu tetap tidak dilayan. Kalau abang long datang, mak beriya-iya borak dengan abang saja dan main-main dengan anak abang long. Tapi dengan kakak ipar mak pandang pun tak nak.

Dia juga dari awal lagi sudah diingatkan untuk memilih pasangan yang setaraf kerana takut memilih orang biasa. Malah ibunya juga sudah memperkenalkannya dengan anak kepada kawan ibunya yang setaraf dengan status mereka. Kini, dia hanya mampu berdoa semoga ibunya berubah dan berbaik dengan kakak iparnya nanti. 

Sabarlah kak, InsyaAllah semoga satu hari mak akan terbuka hati menerima kakak.

Kredit : Fb KisahRumahTangga


 

Keluarga Ipar Cemburu Dan Suka Campur Urusan Keluarga

17 Jul 2013



Kredit : MingguanWanita
Oleh:Dr. Noorazniza Ishak

Campur tangan keluarga dalam sebuah perhubungan selalunya makin merosakkan keadaan. Inilah yang terjadi pada seorang isteri yang disiarkan kisahnya minggu ini. Sikap keluarga suaminya yang suka masuk campur urusan rumah tangga menyebabkan mereka pernah bercerai namun kembali rujuk. Akan tetapi hal yang sama masih lagi terjadi. Semoga kisahnya dijadikan tauladan buat semua.

Saya dan suami berkahwin sejak setahun lalu. Sekali pun masih baru tetapi pelbagai masalah berlaku dalam perhubungan kami berdua. Kami pernah bercerai semasa ikatan perkahwinan baru berusia beberapa bulan. Masalah yang berlaku semuanya berpunca dari keluarga mentua yang terlalu suka masuk campur hubungan kami suami isteri. Bayangkan, kakak ipar pernah datang ke rumah dan dia meminta kami mengubah susun atur perabot di dalam rumah. Dia mengarahkan agar kami mengikut kehendaknya sedangkan susur atur itu sudah kami tetapkan suami isteri.

Bila kami membeli peralatan elektrik seperti peti ais dan TV yang agak besar, keluarga mentua akan menelefon suami dan memarahinya sedangkan menjadi hal kami untuk memilih yang terbaik. Saya jadi tertekan dengan sikap mereka dan saya suarakan kemarahan kepada suami. Saya meminta agar keluarganya tidak masuk campur atau mempertikaikan hal sebegini. Begitu juga ketika suami balik kerja, dia wajib singgah di rumah kakaknya. Jika tidak berbuat demikian, kakaknya akan menelefon bertanya. Bukan itu saja, setiap kali dia memasak makanan kesukaan suami, dia pasti minta suami singgah tidak kira siang atau pun malam. Namun yang diajak hanya suami sahaja, bukannya saya.

Begitu juga kalau jika berdepan masalah, dia akan menelefon suami tanpa mengira masa sedangkan dia sudah punya suami. Ada masanya suami baru saja balik tetapi kakaknya akan meminta suami saya datang ke rumahnya. Malah perkara kecil seperti lampu rosak telefon atau gantung bingkai gambar itu pun dia minta bantuan suami sedangkan dia ada suami. Tidak habis dengan kerenah kakak ipar, adik ipar perempuan saya juga sama. Adik ipar tidak mahu menegur saya dan hanya tersenyum bila ditanya. Puas saya mencari jawapan tetapi sebulan berkahwin, sikapnya tetap begitu.

Dia juga selalu meminta suami saya pergi ke hostelnya tempatnya bekerja dan minta suami menemaninya membeli belah. Bukan itu saja, dia kerap mengajak suami keluar makan. Namun sebelum keluar dia akan bertanya sama ada saya ikut atau tidak. Ada ketikanya saya menegur sikap suami kerana mengabaikan saya. Saya hanya suri rumah dan hanya pada suami tempat saya bercerita. Dalam hal ini, kami kerap bergaduh dan akhirnya bercerai. Suami minta rujuk kembali tetapi masalah tetap sama berulang.

Baru-baru ini kami berpindah ke sebuah negeri lain. Suami membeli TV baru dan bila adiknya tahu, dia terus menghantar SMS marah-marah. Katanya tindakan suami hanya menghabiskan duit sahaja. Saya jadi terkilan dan terkejut kerana rumah kami tiada TV selepas yang lama rosak. Tidak habis dengan sikap itu, kalau kami naik kereta, adiknya akan berebut mahu tempat duduk di depan. Kalau sekali dua tidak mengapa tetapi sudah terlalu kerap. Suami hanya melihat saja sikap adiknya tanpa mahu menegur.

Adik ipar juga seolah cemburu dengan hubungan saya dan suami. Jika suami memegang tangan saya ketika berjalan, dia akan tarik muka masam. Jika suami mahu merasa makanannya, dia akan suapkan seolah-olah mereka pasangan kekasih. Begitu juga kalau bergambar dengan suami, seolah-olah pasangan kekasih dan ia menyakitkan mata saya  melihatnya. Saya ada menegur suami tetapi suami meminta saya tidak terlalu cemburu sedangkan saya sebenarnya saya sudah muak melihat aksi mereka.

Tidak habis di situ, baru-baru ini saya ada meletakkan status di Facebook  dengan ayat romantik. Bila adik ipar dia membuat onar. Dia kembali memuat naikkan gambarnya dengan suami saya dan menulis ayat-ayat romantik, rindu dan sebagainya. Tolonglah saya Prof?  Saya tidak faham dengan apa yang terjadi dan ketika menulis ini, saya dalam pantang selepas keguguran. Suami memulaukan saya kerana saya menegur adiknya perihal TV yang kami beli.

Sudah puas saya ambil hati keluarga. Saya akui ibu dan ayah mentua baik tetapi adik-beradiknya tidak begitu. Suami juga seolah-olah berat sebelah, banyak kali saya menegur tapi tiada tindakan darinya. Saya sayangkan rumah tangga saya dan tak mahu berlaku perceraian. Untuk makluman, adik beradik suami ramai perempuan dan setahu saya, suami anak emas keluarga. Apa harus saya lakukan?

******************************************************

SARANAN OLEH PROF DR NOORAZNIZA ISHAK



Assalamualaikum WRT, Puan yang dimuliakan,



Personaliti lelaki dan perempuan dijadikan berbeza-beza mengikut beberapa faktor yang menyumbang kepada penampilan dalaman dan tingkah laku yang dipamerkan. Antara faktor yang menyumbang kepada pembentukan personaliti ini adalah persekitaran keluarga, persekitaran pendidikan, persekitaran pekerjaan , pergaulan, dan sangat sedikit berkaitan dengan aspek keturunan. Itulah keajaiban yang dicipta Allah SWT terhadap makhluk yang amat istimewa iaitu manusia. Pembentukan tingkah laku lelaki dikaitkan dengan aspek sangat sederhana, logik, fokus kepada perkara yang mudah, telus dan “direct”.



Manakala tingkah laku perempuan pula dikaitkan sebagai ingin tahu semua perkara dan ingin buat semua perkara, fokus kepada perkara yang kecil dan kompleks, kabur dan kadang-kadang beremosi. Alam perkahwinan telah menyatukan individu, keluarga dan cara hidup mereka. Penyesuaian kepada cara hidup ini kadang-kadang memerlukan masa yang lama tambahan pula jika cara hidup kedua-dua pasangan yang berkahwin sangat berbeza.


Perbezaan merangkumi cara berkomunikasi, cara menerima, cara melayan, cara menghormati, cara menghargai dan berbagai situasi yang kadang-kadang menemui jalan buntu untuk difahami dan dipraktikkan. Pasangan yang ditemukan dengan cara hidup yang berbeza mungkin boleh “survive” jika tiada campur tangan ahli keluarga, namun jika ada pengaruh dari ahli keluarga mungkin setiap individu akan lebih percaya, terpengaruh, membela ahli keluarga mereka sendiri kerana jangka masa bersama keluarga lebih lama berbanding dari usia perkahwinan.


Maka tidak hairanlah jika pasangan yang baru berkahwin boleh bercerai akibat daripada perselisihan cara hidup serta tidak mencapai harapan dan jangkaan perkahwinan yang dilakarkan. Ini yang berlaku pada perkahwinan puan yang bercerai seawal empat bulan perkahwinan dan mengalami jalan buntu sehingga kini hasil dari penglibatan keluarga dalam rumah tangga puan.


Tambahan pula adik beradik suami puan ramai perempuan berbanding lelaki maka pergantungan kepada suami puan sebagai “wira” dalam keluarga serta rasa “ memiliki” bagi adik dan kakak ipar puan terhadap suami puan telah mencorakkan situasi “ rejection kepada puan. uan juga dianggap sebagai penghalang kepada kemesraan antara keluarga mereka kerana kehadiran puan merupakan persaingan terhadap kemesraan dan perhatian suami puan kepada mereka. Oleh itu puan perlu nilai keadaan ini dengan beberapa alternatif.


Pertama, puan perlu semak semula cara penerimaan keluarga suami puan kepada orang luar termasuk kehadiran puan. Fahami dan pelajari cara- cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan keluarga suami puan. Perkara yang paling mudah adalah nilai diri puan dan buat penyesuaian dan perubahan. Belajar untuk menerima dan diterima oleh mereka. Kadang-kadang sikap “beralah” dan menerima dengan positif akan membantu puan dan mereka untuk berubah.


Sikap yang positif hanya boleh dipupuk jika pemikiran puan positif. Oleh itu jangan cepat berprasangka buruk terhadap apa yang mereka katakan. Selagi apa yang puan buat mendapat restu daripada suami dan hasil perbincangan bersama maka pandangan orang lain tidak begitu penting untuk difikirkan. Seterusnya semak juga personaliti dan cara puan berinteraksi dengan mereka  agar puan boleh selaraskan dan boleh diterima oleh semua.


Kedua, puan perlu berbincang dengan suami untuk membantu penerimaan keluarganya terhadap puan. Yakinlah bahawa jodoh yang telah ditentukan ini adalah pilihan Allah SWT terhadap puan dan suami, maka cari keredhaan terhadap hubungan ini. Keredhaan dalam diri puan bermula setelah puan yak n dan menerima suami serta keluarganya seadanya, bukan memikirkan tentang kelemahan mereka dan menggunakan situasi ini untuk membentuk alas an ketidakbahagiaan puan dalam berumah tangga.


Yakinlah bahawa apa yang puan harapkan tidak sama dengan rutin kehidupan mereka, oleh itu jika menunggu perubahan mereka agar mengikut jangkaan dan harapan yang puan gariskan mungkin sangat sukar untuk dicapai. Oleh itu belajar untuk redha dengan pemberian Allah ini, serta tidak fokus kepada perkara yang akan mencacatkan hubungan keluarga. Ketiga, puan perlu belajar untuk tidak mempedulikan perkara yang bukan prioriti dalam hubungan. Dengan kata lain, tidak perlu terlalu terasa hati dengan perkataan-perkataan yang dilontarkan mereka. Belajar untuk memberi perhatian kepada perkara yang perlu dan berfaedah sahaja.


Keempat, puan perlu menghormati “boundary” atau sempadan keluarga yang telah dibina dalam keluarga suami puan yang telah mereka bina sebelum kehadiran puan. Keadaan ini menjadi semakin serius kerana suami puan adalah tempat mereka berlindung. Oleh itu berusaha untuk menjadi sebahagian daripada mereka , bukan meminta mereka mengikut puan. Puan yang dihormati, melakukan apa yang kita suka adalah lebih senang daripada  melakukan apa yang orang lain suka kerana kita tidak dapat membaca apa yang orang lain suka sehingga kita betul-betuk rapat dengan mereka.


Dalam keadaan puan yang masih dalam berpantang ini biasanya sangat beremosi dan tidak stabil . Adalah lebih baik jika puan fokuskan kepada kesihatan puan dan berusaha untuk cepat sembuh. Oleh itu masalah penyesuaian sering berlaku sekiranya individu tidak mengambil inisiatif untuk mengetahui, memahami, mempelajari serta melaksanakan apa yang disukai oleh orang lain bagi membantu hubungan yang stabil dan berkesan. Semua keadaan ini hanya boleh dimulakan dengan diri puan bukan orang lain.



Ulasan yang jelas dan padat oleh Prof. Dr. Noorazniza Ishak.

Suami Berlebih-lebihan Memanjakan Adik Ipar

28 Sept 2011

SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup berumah tangga.Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara. Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Begini cerita Hani.

Saya baru setahun berkahwin dengan suami, Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank. Kami bernikah atas dasar suka sama suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun lebih muda daripada saya. Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi.

Saya tidak kisah tentang adiknya yang menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu. Apa yang saya terkilan adalah sikap suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan. Sebagai contoh, setiap hari, saya memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.

Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan menjemputnya. Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah, sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya tetapi berpada-padalah. Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.

Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang berlaku apa-apa. Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang lain, dihantar dan dijemput sesekali. Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa yang tidak kecewa dan sakit hati?

Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya. Apa salah sekurang-kurangnya beritahu saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit hati saya. Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang sayang dan mengambil berat tentang dirinya.

Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak sempat tiba di rumah. Memandangkan ini tahun pertama menyambut Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap suami. Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi. Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga. 

Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan saya sekarang. Marah atau cemburu?Mungkin sebab saya belum menyelami suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik menyampah. Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.

Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila seseorang itu berdiam masalah telah selesai. Doa dan pinta saya, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami bina, Hani menamatkan ceritanya. Begitulah masalah dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.

Saya harap Hani bersabar dengan apa yang dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam garam rumah tangga. Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik ipar anda itu. Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh merenggangkan hubungan anda berdua.

Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang dalam masa terdekat.
Selamat berpuasa!

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Kredit : UtusanMalaysia


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.