SLIDER

menantu
Showing posts with label menantu. Show all posts

Jiwa Terseksa Bila Jadi Menantu Bukan Pilihan

20 Apr 2022

 


“KATA orang tua-tua `jauh berjalan luas pandangan’ dan bila berjalan kita bertemu dengan ramai manusia dan mengenali pelbagai kerenah dan perangai mereka,aik dari segi agama, bahasa juga budaya. Malah dalam masyarakat sekeliling kita pun masih agak sukar untuk kita sendiri memahami  pelbagai perangai apa lagi loghat mereka apabila berbicara.“Namun apa yang ingin saya ceritakan bukan tentang masyarakat, tetapi lebih kepada kehidupan saya yang datang dari dua negeri berbeza budaya dan tutur kata. Contoh orang negeri utara bercakap agak sukar difahami oleh orang dari selatan, apa lagi jika dari pantai timur, mahupun Sabah dan Sarawak.’’ Itu cerita Hanijuwita ketika kami bertemu.

 

“Nak dijadikan cerita saya orang selatan berkahwin dengan orang pantai timur. Saya bukan sahaja tak faham budaya mereka, malah bahasa mereka yang teruk-teruk itu memang susah nak faham. Jadi bila sekali sekali ikut suami balik kampungnya saya jadi macam orang ulu, mendengar tetapi tak pernah faham apa juga perbualan mereka. “Lebih teruk lagi perangai mertua saya dan anak-anak gadisnya bila bercakap,macamkan berbisik, hinggakan saya tak terdengar apa yang mereka katakan.

 

Paling teruk kalau bercakap sama ada tengah marah atau bertanya seperti orang berbisik, bukan bercakap, langsung tak dengar, cuma mimik muka menunjukkan mereka tengah marah. Suara tak dengar. Saya bukan pekak, tetapi saya lihat adik-adik  ipar saya faham walaupun tak dengar suara ibunya. “Pernah juga saya cuba berbual dengan mertua saya, tetapi mertua saya tak mahu jawab, saya benar-benar tak faham, apa masalahnya, adakah kerana saya bersuara agak kuat sikit, atau dia tak faham bahasa, rasanya nada saya taklah kuat, mungkin mereka tak suka.

 

“Pernah juga saya cuba ubah nada percakapan saya, dia cuma pandang, tapi tak jawab juga. Akhirnya saya mengalah, memang saya tak boleh berbual dengan keluarga ini terutama mertua saya, jadi untuk memudahkan hubungan kami, saya hanya akan bercakap dengan adik ipar saya atau dengan suami Jay apabila saya ingin bertanyakan sesuatu, jika tak perlu baik saya diam.

 

“Paling saya hairan bila mereka berbual panjang anak beranak, dan saya dating duduk sama ingin mendengar perbualan dan memahami gaya bahasa mereka, biasanya mertua saya terus diam, Macamkan mereka sedang berbual sesuatu rahsia, bila saya hadir, maka perbualan itu terhenti begitu sahaja. “ Kalau sekali dua keadaan seperti itu saya mungkin boleh faham mereka tak ada modal nak berbual lagi. Tetapi kalau memanjang saya datang dan mereka berhenti berbual, tentu saya rasa hairan. Dan tak salah kalau saya katakan mereka bercakap perkara rahsia. Saya datang bukan nak dengar rahsia mereka, tetapi cuba memahami gaya bahawa mereka. Tak salah kan?

 

“Tetapi satu lagi perangai mertua saya suka panggil Jay keluar bilik dan mengajaknya pergi kedai atau ke rumah saudara mereka pada waktu malam, ini memang saya tak faham,.“Bayangkan sedang kami masuk bilik selepas jam 10 malam, lepas 20 minit kemudian adik Jay akan ketok pintu dan Jay akan beritahu saya, dia nak ke kedai beli tepong lah, gula dan endah apa apa barang lagi, ataupun Jay beritahu emaknya ajak ke rumah saudara sekejap. Alasannya esok saudaranya akan ke KL tak jumpa lagi. Soalnya kenapa tak pergi jumpa pada siang hari, kenapa tunggu sampai malam hari baru nak bertandang ke rumah orang. Ini saya tak faham. Dan mengapa tak mengajak saya ikut sama kalau ke rumah saudara mereka? “Pernah juga adiknya ajak makan di luar, kenapa malam baru keluar, mungkin kedai dah tutup. Tetapi mereka tetap keluar dan balik entah jam berapa saya pun tak tahu.

 

Apa yang pasti saya syak mereka berbual dan tak mahu saya dengar perbualan mereka. “Saya pernah `sound’ pada suami saya kalau nak keluar makan ajaklah saya sama, atau keluar lebih awal lagi, mengapa dah malam baru nak keluar. Pekan mereka bukan macam KL 24 jam ada kedai masih dibuka lagi. Dan manusia tak tidur. Tapi Jay kata apa salahnya dia bawa adiknya makan di luar sekali sekala. Kerana emaknya ada bersama menemani mereka. Dan Jay beri alasan, biarlah saya tidur sebab letih. “Kalau ajak Jay pergi pasar pun saya tak pernah diajak sama. Alasan Jay biar saya bantu adik siapkan benda benda nak masak.

 

Pada saya bukan susah sangat kalau setakat buang kulit bawang merah, bawang putih dan halia. Sedangkan untuk ke pasar Jay minta duit saya sebab duitnya dah habis. Sebenarnya saya teringin juga keluar ke pekan. Tapi tak dibenarkan.

 

“Saya mula terasa hati dengar sikap mertua saya ini ketika awal perkahwinan kami lagi, sebab apa yang saya masak dia tak sentuh, awalnya saya fikir mungkin tak ikut seleranya, tetapi kalau sepanjang tahun perangainya tak perubah, saya terasa pelik jugak “Terasa lebih pelik bila Jay tak mahu ikut saya balik kampung selepas setahun kami berkahwin, macam-macam Jay beri alasan. Setahun lepas kahwin saya hamil, mertua saya macam orang meroyan bila tahu saya mengandung. Kalau dating rumah saya dia tak senang duduk, kejap ajak Jay ke rumah anaknya di Serdang,

sekejap di PJ, tapi tak lama, lepas makan dia balik. “Di rumah saya mereka tak suka saya sediakan makan, mereka nak masak sendiri.

 

Tetapi masalahnya bila mereka memasak, ruang dapur saya berselerak macam kapal pecah. Dapur tempat masak berkecah tak dibersihkan, bahan masakan bersepah tak disimpan di tempat asalnya. Pinggan mangkuk lepas makan bertimbun dalam sinki tidak bercuci. Anak dara ada tapi mereka tak mahu tolong cuci pinggan. “Saya terpaksa bersihkan dapur sendiri. Saya dah lali dengan kerenah mereka setiap kali datang ke rumah kami.

 

Nak mengamuk mertua, terpaksalah telan dan simpan dalam hati. Hujung minggu mereka ke rumah anak menantu yang lain pulak. Jay hantarkan. Keluar pagi malam baru balik. Kadang mertua tidur semalam di rumah menantu biasanya tidak bermalam langsung.

“Saya pernah beberapa kali  ikut Jay ke rumah biras. Tetapi saya dapat tahu mertua saya tak berani ke dapur, semua makan minum disediakan di meja, mereka makan selepas itu duduk di ruang tamu

berbual atau berbaring bilik yang disediakan. Begitulah halnya bila waktu makan tengah hari atau malam, tak seorang pun ahli keluarga mertua membantu di dapur.“Saya fikir mungkin kerana menantu mereka ada pembantu rumah.

Bila saya tanya pada ipar mengapa mertua tak ke dapur. Ipar beritahu dia tak izinkan. Sebab mereka bukan membantu, sebaliknya lebih banyak buat sepah yang menyusahkan mereka berkemas. “Contoh lepas kisar cili, pengisarnya dibiarkan di lantai, ubi kendang bercampur bawang, di letak dalam bekas yang sama .

Begitu juga sayor terbiar atas meja dari pagi sampai petang. “Kata ipar ini lagi dulu dia pun tak ada pembantu, tapi selepas beranak pinak dia cari pembantu. Sejak itu kak tak benarkan mereka ke dapur lagi. Pernah mertua tak mahu makan sebab nak masak sendiri. Beliau tak pedulikan. Bila lapar nanti mereka akan makan juga.

 

“Nak ajak anaknya makan di luar anaknya pulak baru berhenti kerja, jadi mereka terpaksa diamkan diri. Kata kakak ipar lagi dia berterus terang dengan mertua menceritakan dia terpaksa berjimat sementara suaminya dapat kerja. Tak boleh makan luar lagi. terdiam mereka “Bila saya ceritakan masalah saya, kak ipar kata dia boleh ramal itulah perangai mertua kami. Sebab kami menantu bukan pilihan, mertua kami suka menantu senegeri dengan mereka. Satu Bahasa satu gaya hidup. Tapi saya bukan seperti

kakak ipar ini, dia berani terus terang. Dan dia tak peduli kalau mertua tak sukakan dia. “Masalah saya hingga dah beranak satu

pun masih takut bersuara, dan selalu membawa diri bila mereka berkumpul dan berbual anak beranak. Oleh kerana rumah menantu lain mertua saya tak berapa berkenan, maka rumah sayalah jadi

sarang mereka berkumpul dan bercerita. Nak ambil pembantu rumah saya tak mampu, jadi saya biarkan aja rumah bersepah ikut suka mereka.

“Saya kemas rumah setelah mereka balik. Jika tidak bilik jadi kubu saya bersama anak yang masih kecil, saya tak tahu sampai bila saya boleh jadi seperti ini. Namun saya senang hati saya tak perlu masak ketika mereka ada di rumah. Dan saya tidak akan keluar duit belanja pasar, biarlah Jay uruskan keluarganya sehingga dia sendiri jemu satu hari nanti. “Saya dapat rasakan ibu Jay memang tak sukakan saya dan sentiasa menghasut Jay supaya berkahwin dengan gadis

pilihannya dari negerinya sendiri. Dengan perangai mertua suka campur tangan dalam rumahangga anak menantu saya rasa tak hairanlah ramai ibu ibu muda hari ini bencikan mertua hingga membawa perceraian.’’ Itu cerita Mas  tentang perangai mertuanya, kerana itu dia amalkan falsafah duit dia hanya untuk

dirinya sendiri. Dia tidak mahu melabur wang untuk memikat hati mertuanya. Padanya itu satu pembaziran kerana kalau buat baik macam mana pun mertua etap tidak sukakan dirinya.

 

 Kredit : dcckmona


 

Sebaiknya Tinggal Bersama Mertua Atau Berasingan ?

2 Dec 2021



Soalan

Assalamualaikum SS Dato' Mufti. Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal.

Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan mengertikan hakikat perkahwinan seperti nas Ilahi:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya“Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)

Berkenaan dengan permasalahan Puan, saya amat bersimpati dan saya ringkaskan jawapan dalam beberapa poin berikut:

  • Sepatutnya, apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
  • Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

MaksudnyaTempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

(Surah al-Talaq: 6)

  • Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
  • Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
  • Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
  • Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

  • Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)

  • Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا

Maksudnya“Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.”

Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)

  • Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.

Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumahtangga Puan akan merasa harmoni dan elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk. Lazimilah qiamullail serta berdoalah sepertimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Kredit: muftiwp

Berbeza Penampilan, Dibenci Mertua Dan Adik-Beradik Suami

11 Jun 2017


HAJAT di hati nak bermenantukan orang Kelantan… Nak buat macam mana, dapat orang Kuala Lumpur…” Kata-kata itu meluncur laju daripada bibir ibu mertua saya saat bersalaman dengan sanak saudara yang hadir pada majlis kenduri kami. Sungguh saya kecil hati dengan kenyataannya. Kata-kata itu disambut dengan hilai tawa saudara sambil menjeling sepintas lalu ke arah saya yang sibuk melayan tetamu lain.

Tiada majlis bersanding atau upacara bergambar. Sekadar jamuan makan dan tahlil diiringi jamuan makan bersama-sama saudara dan jiran tetangga. Suasana harmonis itu membuatkan saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan keluarga yang baik ilmu agamanya berbanding saya, yang tidak bertudung dan jauh lebih sosial ini.
Memang, saya berpenampilan tidak seperti adik-beradik perempuan suami yang bertudung labuh dan berbaju litup kesemuanya. Saya tidak bertudung.

Berpakaian tidak cukup kain dan perang rambutnya. Tapi pada hemat saya ketika itu, saya ada budi bicara dan susila. Saya dididik untuk menghormati orang tua dan saudara seagama.


Berkecil hati

Saya amat menitikberatkan soal penampilan dan kerjaya, malah ibu bapa saya seorang yang menjaga kata-kata. Kami adik-beradik diasuh untuk bercakap hanya bila perlu dan tidak suka mengumpat orang sekeliling. Di rumah suami, saya hanya menjauhkan diri daripada orang ramai kerana berasa terasing dan berasa rendah diri apabila diperli.


Pergilah duduk di ruang tamu. Bersembang dengan kakak dan mak. Ambil hati mereka. Kenapa duduk dalam bilik saja?” Tegur suami, setelah lima bulan kami mendirikan rumah tangga .
Arahan suami saya patuhi. Saya ke ruang tamu mengambil tempat berdekatan adik-beradik suami.

Tidak sampai seminit saya duduk, suasana yang tadinya riuh rendah bertukar sunyi. Adik dan kakak ipar termasuk ibu yang empat orang kesemuanya diam tak berkutik.
Mereka seakan hairan dan tidak selesa dengan kehadiran saya di situ. Kakak menguatkan suara televisyen. Mai masuk bilik dululah bu. Tak sukalah ada orang bandar dengar cakap kita. Esok kita sembang ya. Assalamualaikum.” Adik bongsu suami bernama Maisarah mengundur diri.

Dia bersalaman dengan semua kakaknya termasuk ibu, tetapi tidak dengan saya yang sedia menghulurkan tangan. Sudahnya saya termenung sendirian memandang peti TV tanpa perasaan. Saya tidak sedar bila semuanya bersurai.


Semua perbuatan jadi tak kena

Saya baru sahaja masuk ke rumah selepas mengangkat jemuran di ampaian sewaktu terdengar ibu mengeluh sakit kaki. Sudah dua hari saya dan suami bercuti di rumah ibu.
Perasaan kasihan yang tinggi membuatkan saya tidak berfikir panjang lalu mencapai botol minyak panas di atas rak berdekatan.

Saya tarik kaki ibu dan saya urut tanpa meminta izin terlebih dahulu. Saya bukanlah arif fasal urutan tapi kerana menjadi kebiasaan saya mendapatkan perkhidmatan urutan di spa dan pusat tradisional, tekniknya dapat saya tiru dan buat.
Aduhhh! Apa kau buat ni perempuan? Nak bunuh aku ke? Siapa suruh kau tekan kaki aku ni! Pergi sana! Aku tak suka! Sakit...” Ibu menjerit kuat. Kakak keluar bilik dan mendekati kami. Saya belum sempat berikan apa-apa penjelasan sebelum kakak merampas botol minyak angin sambil memukul bahu saya.

Apa kau buat kat ibu? Tak fahamlah manusia tak ada adab macam kau ni. Sebelum nak jaga orang, tubuh kau tu tutup dulu. Jaga dulu. Selepas tu baru ambil tahu hal orang lain...” kata-kata kakak ipar itu melekat dalam kepala saya. Ia berlegar-legar tanpa arah keluar.
Selepas beberapa minggu balik ke Kuala Lumpur pun saya masih tak dapat lupakan apa yang kakak cakapkan. Sindirannya memang sinis dan tajam menghiris hati, tapi saya tidak mampu menafikan kebenarannya.

Ya... saya akui, layanan adik-beradik suami termasuk ibu mertua terlalu hambar terhadap saya. Ia jelas dan nyata menunjukkan betapa mereka tidak suka dengan saya dan tidak pernah bersetuju dengan pilihan abang sulung mereka.
Begitulah hubungan saya dengan keluarga sebelah mertua yang hambar dan terasing. Tapi setiap perkara dan peristiwa yang meruntun jiwa itu saya simpan dalam hati. Tidak pernah sekali pun saya mengadu.

Kirim hadiah dari jauh

Beberapa bulan berlalu, saya ambil keputusan untuk tidak lagi balik mengiringi suami ke kampungnya. Walhal sejak dulu, paling kurang dua minggu sekali kami balik kampung. Saya beri alasan terlalu sibuk dengan bisnes butik saya.
Namun, tanpa pengetahuan suami saya selalu mengirim baju dan telekung atau kain pasang melalui pos kepada keluarga suami. Ibu, kakak dan adik-adiknya semua dapat hadiah.

Dalam kiriman itu saya letakkan kad dengan ucapan maaf dan nyatakan ia sebagai pengganti diri. Setiap kali suami balik ke Kuala Lumpur, dia sampaikan salam dan pertanyaan daripada keluarganya kepada saya. Saya hanya mendiamkan diri.
Perubahan diri saya ke arah Muslimah yang lebih baik disambut baik oleh suami. Dia senyum dan sering memuji kecantikan saya saat mengenakan hijab dan baju kurung.

Dari dalam hati yang paling jauh, saya akui saya lebih selesa berpenampilan begitu. Mendapat suami yang baik yang sentiasa membantu memantapkan pengetahuan agama saya membuatkan saya rasa amat bertuah dan istimewa.
Setiap perilaku dan cara berpakaian adik-beradik suami sebenarnya sentiasa menjadi perhatian saya. Saya cemburu dengan mereka. Meski pun saya dilayan hambar tetapi ada kelebihan dan kecantikan dari luaran mereka dalam bab berpakaian.

Hari ini, setelah setahun lebih saya tidak balik ke kampung suami, ibu sudah rajin menjenguk saya di sini.
Layanan ibu juga semakin baik malah ibu selalu membawa bekalan yang dimasak dari kampung ke rumah saya. Antara kata-kata ibu yang paling saya ingat adalah kebaikan saya melayannya walaupun dia tidak menyukai saya.

Anak-anak ibu pun tak pernah kirim hadiah atau telefon ibu bila masing-masing balik ke bandar. Sha sajalah yang ambil berat kat ibu...” Ibu sudah selalu berbual-bual dengan saya sewaktu memasak di dapur dan paling utama, senyuman yang paling payah diukir kini selalu melekat di bibir ibu. Saya mendoakan hubungan kami semakin jernih dan akhirnya lebih akrab suatu masa nanti.


Luahan rasa daripada kiriman:
Aisyah, 26,
Kampung Pandan, Kuala Lumpur

Kredit : sinarharian



Anak Dan Menantu Abai Anak, Kejar Kemewahan dan Kerjaya

17 Oct 2011


Kredit : UtusanMalaysia

BERTUAH mereka yang ada menantu berilmu, beragama dan berbudi bahasa, ke mana pergi sentiasa dipuji orang.Namun bagi yang sebaliknya, tentu perasaan kecewa tidak dapat dielak, malah rasa malu kepada keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan turut mengganggu fikiran. Hendak salahkan anak pun tidak kena sebab jodoh pertemuan, semuanya ketentuan Allah. Inilah persoalan yang bermain di fikiran Mama Yati (bukan nama sebenar) yang sedih dengan sikap anak menantunya yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga urusan rumah tangga diabaikan.

Pertemuan di satu majlis baru-baru ini membolehkan Mama Yati berkongsi rasa terkilan dan sedih dengan sikap anak menantunya itu walaupun nasihat dan teguran telah diberikan. "Saya sudah muak untuk menegur dan menasihati mereka, tidak ada perubahan, macam itu juga," keluh Mama Yati. Kita ikuti kisah Mama Yati. "Anak lelaki saya, Rizal (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an telah berkahwin dengan Efa (bukan nama sebenar), seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat ternama di ibu kota. "Perkahwinan empat tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia 2 tahun, saya jaga sejak lahir hingga kini.

"Memang saya faham tugas seorang pegawai pemasaran, sibuk sepanjang masa termasuk juga anak lelaki saya itu, yang bekerja di sebuah bank. "Dalam sibuk-sibuk bekerja, saya pasti jika bijak membahagikan masa tentu tidak ada masalah yang timbul. Ini berlainan dengan hidup anak dan menantu saya ini. "Kami tinggal berdekata, jadi saya tawar diri untuk menjaga cucu saya kerana saya tidak bekerja. Lagipun saya masih sihat untuk berbuat demikian. "Malangnya, mereka mengambil kesempatan di atas kebaikan saya untuk tidak mengambil berat tentang anak lelaki mereka itu. Semua diletakkan di atas bahu saya walaupun setiap bulan mereka memberi wang untuk perbelanjaan anaknya kepada saya.

"Sejak berkahwin, saya tidak pernah nampak mereka duduk semeja makan bersama setiap kali saya ke rumah mereka, selalunya salah seorang mesti tidak ada. "Isteri atau suami outstation dan suami atau isteri jumpa klien itu adalah jawapan standard yang selalu diberikan kepada saya. Itu juga saya boleh faham. "Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Sibuknya mereka mengalahkan menteri. Hari bekerja sibuk, hujung minggu sibuk, sehingga hendak bawa anak bersiar-siar sekali skala pun tidak ada masa. "Malah sejak lahir hingga sekarang mereka langsung tidak tunjuk rasa tanggungjawab terhadap anak kecil itu kerana merasa budak itu selamat dalam penjagaan saya. Memang betul anak mereka selamat. Tapi di mana rasa kasih sayang dan ambil berat mereka terhadap zuriat mereka itu. Sudah banyak kali saya beritahu perkara ini kepada mereka, nasihat dan teguran memang selalu, tetapi tindakan tidak ada.

"Saya pelik juga sebab ibu bapa lain kalau berpisah dengan anak terasa rindu, tapi anak menantu saya ini tidak pula. Kalau saya cakap banyak, kata saya merungut dan ugut nak ambil anak mereka, tapi tak ambil juga sampai sekarang. "Saya kasihan kepada cucu saya sebab tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa. Budak itu semakin membesar, sampai bila dia harus tinggal dengan saya. Dia perlukan ibu bapanya. "Baru-baru ini saya telah meluahkan semua perkara yang telah lama saya simpan kepada mereka berdua. Bagaimana kecewanya saya kerana ada anak menantu seperti mereka yang tidak menghargai anak dan tidak pedulikan perkara lain, selain kerja.

"Saya ralat sebab saya tahu mereka hanya pentingkan duit dan kerja. Amal ibadat, solat dan kerja kebajikan entah ke mana. Hubungan dengan jiran dan saudara mara langsung tidak ada. "Gaya hidup mereka terlalu sosial. Ke sana sini bergaul dengan lelaki, perempuan tanpa batas sebab tugas. Siang malam, pagi petang tidak tahu hendak balik rumah. Pakaian sudah macam orang putih, baju kurung, tudung langsung tidak pandang. "Saya malu dengan saudara mara apabila mereka asyik bercerita tentang menantu saya yang macam mat salleh celup itu. Macam sudah hilang Melayunya."Yang buatkan saya semakin sedih kerana anak saya tidak dapat menjadi ketua keluarga yang baik, mendidik dan membawa isterinya ke jalan Allah.

"Apa guna ada isteri berpelajaran tinggi dan cantik kalau tidak ada iman, budi bahasa dan tidak tahu hormat orang tua serta tidak tahu tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. "Orang lain pun kerja juga tetapi tidaklah sampai lupa tanggungjawab dan anak. Bukan saya tidak boleh jaga anak mereka, tapi sampai bila saya kena korban? Mereka perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap anak tersebut, sebab itu anak mereka."Adik-adik saya marah sebab saya terlalu berlembut dengan mereka, tapi kalau saya berkeras pula, takut mereka akan pergi jauh dari saya. "Sebagai ibu tentu saya rasa sedih. Tidak tahu di mana silap saya. Pelajaran, didikan agama rasanya cukup saya bagi, tetapi kenapa jadi begitu. "Saya berdoa agar anak menantu saya itu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ini baru anak seorang sudah kalut, bagaimana kalau sudah ramai nanti. "Saya tidak kisah jaga cucu tapi saya sedih sebab dia tidak dapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya yang sibuk mengejar dunia, saham akhirat langsung tidak fikir.

"Semua orang kerja, semua orang sibuk tetapi sebagai manusia, isteri, suami dan ibu bapa, kita mesti ada fokus dalam hidup. Seimbangkan peranan antara kerjaya dan rumah tangga. "Mentang-mentang saya boleh jaga anak, jangan ambil kesempatan. Fikir juga tentang masa depan anak. Setakat datang bawa mainan, baju mahal dan makanan mewah saja, tidak cukup. Kasih sayang dan kebajikan anak itu penting. "Wang ringgit juga bukan ukuran dan jaminan membahagiakan anak. Tidak bagi duit pun saya boleh bagi makan cucu saya. Saya harap apa yang saya cakap kepada mereka akan mereka dengar. 

"Saya bukan mengungkit tetapi mahu mereka berubah dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Masih belum terlambat untuk mereka sedar. Kalau boleh saya mahu mereka ambil anak mereka dan jaga sendiri. Bukan saya tidak mahu jaga tapi saya rasa sudah sampai masa mereka berdikari. Pasangan suami isteri lain pun buat macam itu, tidak susahkan orang tua. "Saya harap mereka faham dan tidak ambil hati. Saya berdoa semoga mereka boleh fikir dan mengubah gaya hidup mereka secara lebih positif. Saya reda dengan apa yang akan mereka lakukan, sebab apa yang saya buat adalah untuk kebaikan mereka. 

"Kepada ibu-ibu di luar sana yang mungkin menghadapi masalah seperti saya tapi takut hendak berterus terang dengan anak menantu adalah cara terbaik agar kita tidak terus memendam rasa dengan kerenah anak menantu," Mama Yati berpesan sebelum menamatkan ceritanya. Itulah kisahnya yang ingin Mama Yati kongsi dengan pembaca. Benar juga katanya, di peringkat awal seorang ibu hanya membantu meringankan beban anak menantu. Tidak sangka pula akhirnya menjadi tanggungjawab. Buat pasangan suami isteri yang kalut mengejar kemewahan hidup dan mementingkan kerjaya, cubalah membahagikan masa agar rumah tangga terus terpelihara, anak-anak tidak terbiar dan ibu tidak dibebankan dengan tanggungjawab sebagai pengasuh. Kepada Mama Yati, mudah-mudahan kemelut yang dilaluinya akan segera berlalu. Berdoalah minta diberi kesejahteraan kepada anak menantu dan cucu. Doa seorang ibu, insya-Allah akan dimakbulkan Allah. 

Menutup kata, terimalah segala masalah itu dengan rasa tenang, insya-Allah kebahagiaan itu akan menjadi milik kamu.
Salam

© Utusan Melayu (M) Bhd
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.