SLIDER

pemalas
Showing posts with label pemalas. Show all posts

Jiwa Terseksa Bila Jadi Menantu Bukan Pilihan

20 Apr 2022

 


“KATA orang tua-tua `jauh berjalan luas pandangan’ dan bila berjalan kita bertemu dengan ramai manusia dan mengenali pelbagai kerenah dan perangai mereka,aik dari segi agama, bahasa juga budaya. Malah dalam masyarakat sekeliling kita pun masih agak sukar untuk kita sendiri memahami  pelbagai perangai apa lagi loghat mereka apabila berbicara.“Namun apa yang ingin saya ceritakan bukan tentang masyarakat, tetapi lebih kepada kehidupan saya yang datang dari dua negeri berbeza budaya dan tutur kata. Contoh orang negeri utara bercakap agak sukar difahami oleh orang dari selatan, apa lagi jika dari pantai timur, mahupun Sabah dan Sarawak.’’ Itu cerita Hanijuwita ketika kami bertemu.

 

“Nak dijadikan cerita saya orang selatan berkahwin dengan orang pantai timur. Saya bukan sahaja tak faham budaya mereka, malah bahasa mereka yang teruk-teruk itu memang susah nak faham. Jadi bila sekali sekali ikut suami balik kampungnya saya jadi macam orang ulu, mendengar tetapi tak pernah faham apa juga perbualan mereka. “Lebih teruk lagi perangai mertua saya dan anak-anak gadisnya bila bercakap,macamkan berbisik, hinggakan saya tak terdengar apa yang mereka katakan.

 

Paling teruk kalau bercakap sama ada tengah marah atau bertanya seperti orang berbisik, bukan bercakap, langsung tak dengar, cuma mimik muka menunjukkan mereka tengah marah. Suara tak dengar. Saya bukan pekak, tetapi saya lihat adik-adik  ipar saya faham walaupun tak dengar suara ibunya. “Pernah juga saya cuba berbual dengan mertua saya, tetapi mertua saya tak mahu jawab, saya benar-benar tak faham, apa masalahnya, adakah kerana saya bersuara agak kuat sikit, atau dia tak faham bahasa, rasanya nada saya taklah kuat, mungkin mereka tak suka.

 

“Pernah juga saya cuba ubah nada percakapan saya, dia cuma pandang, tapi tak jawab juga. Akhirnya saya mengalah, memang saya tak boleh berbual dengan keluarga ini terutama mertua saya, jadi untuk memudahkan hubungan kami, saya hanya akan bercakap dengan adik ipar saya atau dengan suami Jay apabila saya ingin bertanyakan sesuatu, jika tak perlu baik saya diam.

 

“Paling saya hairan bila mereka berbual panjang anak beranak, dan saya dating duduk sama ingin mendengar perbualan dan memahami gaya bahasa mereka, biasanya mertua saya terus diam, Macamkan mereka sedang berbual sesuatu rahsia, bila saya hadir, maka perbualan itu terhenti begitu sahaja. “ Kalau sekali dua keadaan seperti itu saya mungkin boleh faham mereka tak ada modal nak berbual lagi. Tetapi kalau memanjang saya datang dan mereka berhenti berbual, tentu saya rasa hairan. Dan tak salah kalau saya katakan mereka bercakap perkara rahsia. Saya datang bukan nak dengar rahsia mereka, tetapi cuba memahami gaya bahawa mereka. Tak salah kan?

 

“Tetapi satu lagi perangai mertua saya suka panggil Jay keluar bilik dan mengajaknya pergi kedai atau ke rumah saudara mereka pada waktu malam, ini memang saya tak faham,.“Bayangkan sedang kami masuk bilik selepas jam 10 malam, lepas 20 minit kemudian adik Jay akan ketok pintu dan Jay akan beritahu saya, dia nak ke kedai beli tepong lah, gula dan endah apa apa barang lagi, ataupun Jay beritahu emaknya ajak ke rumah saudara sekejap. Alasannya esok saudaranya akan ke KL tak jumpa lagi. Soalnya kenapa tak pergi jumpa pada siang hari, kenapa tunggu sampai malam hari baru nak bertandang ke rumah orang. Ini saya tak faham. Dan mengapa tak mengajak saya ikut sama kalau ke rumah saudara mereka? “Pernah juga adiknya ajak makan di luar, kenapa malam baru keluar, mungkin kedai dah tutup. Tetapi mereka tetap keluar dan balik entah jam berapa saya pun tak tahu.

 

Apa yang pasti saya syak mereka berbual dan tak mahu saya dengar perbualan mereka. “Saya pernah `sound’ pada suami saya kalau nak keluar makan ajaklah saya sama, atau keluar lebih awal lagi, mengapa dah malam baru nak keluar. Pekan mereka bukan macam KL 24 jam ada kedai masih dibuka lagi. Dan manusia tak tidur. Tapi Jay kata apa salahnya dia bawa adiknya makan di luar sekali sekala. Kerana emaknya ada bersama menemani mereka. Dan Jay beri alasan, biarlah saya tidur sebab letih. “Kalau ajak Jay pergi pasar pun saya tak pernah diajak sama. Alasan Jay biar saya bantu adik siapkan benda benda nak masak.

 

Pada saya bukan susah sangat kalau setakat buang kulit bawang merah, bawang putih dan halia. Sedangkan untuk ke pasar Jay minta duit saya sebab duitnya dah habis. Sebenarnya saya teringin juga keluar ke pekan. Tapi tak dibenarkan.

 

“Saya mula terasa hati dengar sikap mertua saya ini ketika awal perkahwinan kami lagi, sebab apa yang saya masak dia tak sentuh, awalnya saya fikir mungkin tak ikut seleranya, tetapi kalau sepanjang tahun perangainya tak perubah, saya terasa pelik jugak “Terasa lebih pelik bila Jay tak mahu ikut saya balik kampung selepas setahun kami berkahwin, macam-macam Jay beri alasan. Setahun lepas kahwin saya hamil, mertua saya macam orang meroyan bila tahu saya mengandung. Kalau dating rumah saya dia tak senang duduk, kejap ajak Jay ke rumah anaknya di Serdang,

sekejap di PJ, tapi tak lama, lepas makan dia balik. “Di rumah saya mereka tak suka saya sediakan makan, mereka nak masak sendiri.

 

Tetapi masalahnya bila mereka memasak, ruang dapur saya berselerak macam kapal pecah. Dapur tempat masak berkecah tak dibersihkan, bahan masakan bersepah tak disimpan di tempat asalnya. Pinggan mangkuk lepas makan bertimbun dalam sinki tidak bercuci. Anak dara ada tapi mereka tak mahu tolong cuci pinggan. “Saya terpaksa bersihkan dapur sendiri. Saya dah lali dengan kerenah mereka setiap kali datang ke rumah kami.

 

Nak mengamuk mertua, terpaksalah telan dan simpan dalam hati. Hujung minggu mereka ke rumah anak menantu yang lain pulak. Jay hantarkan. Keluar pagi malam baru balik. Kadang mertua tidur semalam di rumah menantu biasanya tidak bermalam langsung.

“Saya pernah beberapa kali  ikut Jay ke rumah biras. Tetapi saya dapat tahu mertua saya tak berani ke dapur, semua makan minum disediakan di meja, mereka makan selepas itu duduk di ruang tamu

berbual atau berbaring bilik yang disediakan. Begitulah halnya bila waktu makan tengah hari atau malam, tak seorang pun ahli keluarga mertua membantu di dapur.“Saya fikir mungkin kerana menantu mereka ada pembantu rumah.

Bila saya tanya pada ipar mengapa mertua tak ke dapur. Ipar beritahu dia tak izinkan. Sebab mereka bukan membantu, sebaliknya lebih banyak buat sepah yang menyusahkan mereka berkemas. “Contoh lepas kisar cili, pengisarnya dibiarkan di lantai, ubi kendang bercampur bawang, di letak dalam bekas yang sama .

Begitu juga sayor terbiar atas meja dari pagi sampai petang. “Kata ipar ini lagi dulu dia pun tak ada pembantu, tapi selepas beranak pinak dia cari pembantu. Sejak itu kak tak benarkan mereka ke dapur lagi. Pernah mertua tak mahu makan sebab nak masak sendiri. Beliau tak pedulikan. Bila lapar nanti mereka akan makan juga.

 

“Nak ajak anaknya makan di luar anaknya pulak baru berhenti kerja, jadi mereka terpaksa diamkan diri. Kata kakak ipar lagi dia berterus terang dengan mertua menceritakan dia terpaksa berjimat sementara suaminya dapat kerja. Tak boleh makan luar lagi. terdiam mereka “Bila saya ceritakan masalah saya, kak ipar kata dia boleh ramal itulah perangai mertua kami. Sebab kami menantu bukan pilihan, mertua kami suka menantu senegeri dengan mereka. Satu Bahasa satu gaya hidup. Tapi saya bukan seperti

kakak ipar ini, dia berani terus terang. Dan dia tak peduli kalau mertua tak sukakan dia. “Masalah saya hingga dah beranak satu

pun masih takut bersuara, dan selalu membawa diri bila mereka berkumpul dan berbual anak beranak. Oleh kerana rumah menantu lain mertua saya tak berapa berkenan, maka rumah sayalah jadi

sarang mereka berkumpul dan bercerita. Nak ambil pembantu rumah saya tak mampu, jadi saya biarkan aja rumah bersepah ikut suka mereka.

“Saya kemas rumah setelah mereka balik. Jika tidak bilik jadi kubu saya bersama anak yang masih kecil, saya tak tahu sampai bila saya boleh jadi seperti ini. Namun saya senang hati saya tak perlu masak ketika mereka ada di rumah. Dan saya tidak akan keluar duit belanja pasar, biarlah Jay uruskan keluarganya sehingga dia sendiri jemu satu hari nanti. “Saya dapat rasakan ibu Jay memang tak sukakan saya dan sentiasa menghasut Jay supaya berkahwin dengan gadis

pilihannya dari negerinya sendiri. Dengan perangai mertua suka campur tangan dalam rumahangga anak menantu saya rasa tak hairanlah ramai ibu ibu muda hari ini bencikan mertua hingga membawa perceraian.’’ Itu cerita Mas  tentang perangai mertuanya, kerana itu dia amalkan falsafah duit dia hanya untuk

dirinya sendiri. Dia tidak mahu melabur wang untuk memikat hati mertuanya. Padanya itu satu pembaziran kerana kalau buat baik macam mana pun mertua etap tidak sukakan dirinya.

 

 Kredit : dcckmona


 

Realistik Bayar Nafkah Anak Selepas Bercerai Atau Cubaan Culas !!

18 Jul 2017



Kisah bekas suami Artis muda telah membuat permohonan untuk mengubah kadar nafkah anak dari RM1500 ke RM500 sebulan dengan alasan kurang mampu. Membaca komen pembaca akhbar, rata-rata majoriti mengatakan RM500 memang tidak cukup, ada juga yang kata ibu juga patut menyumbang biayai nafkah anak mereka, bak omputih kata share responsibility. 

Ada beberapa isu nafkah yang ramai kena faham dan hadam. Mari kita bincang secara umum kerana isu nafkah ini memang isu yang sentiasa menjadi masalah kepada isteri apabila bercerai dengan suami. 

1) Tanggungjawab siapakah untuk menyediakan nafkah anak? Jawapannya terang lagi bersuluh iaitu AYAH-BAPA-DADDY. Bukan Mommy, Mama atau Ibu yang harus memikul tanggungjawab tersebut. Sila rujuk Surah Al-Baqarah Ayat 233.
Kalau tidak tahu mengenai ini sila pergi kursus perkahwinan sekali lagi dan sentiasa hadir ke Masjid mendengar ceramah tentang tanggungjawab sebagai suami dan ayah.

2)Be realistic.
RM500 sebulan untuk nafkah bayi. Mari kita buat kira-kira yang paling 'kedekut'
Susu formula RM25x3= RM75
Lampin: RM50x 3= RM150
Makanan bayi RM= RM100
Perubatan = RM100
Insurance = RM100
Jumlah: RM525
Berdasarkan RM500, Anak itu tidak dapat membeli keperluan lain seperti pakaian dll. Ini belum lagi campur perbelanjaan kecemasan dan keperluan 2-3 bulan sekali seperti injection vaksin dll. 


3)Isu pengasuh/taska (RM200-400)
Begitu ramai yang komen mengatakan jika bekas isteri bekerja dan mengambil pengasuh untuk menjaga anak tersebut, maka upah pengasuh/taska tersebut ibu yang harus bayar. Ini adalah komen yang paling kurang cerdik. Apabila bercerai, ibu yang membayar sewa rumah, ansuran kereta, bil elektrik, bil air, petrol. Ibu yang menyediakan tempat tinggal anak, Ibu itu jugalah yang membayar keperluan lain untuk anak. Jika ibu itu tidak keluar bekerja, bagaimana ibu itu hendak menanggung kehidupannya sendiri dan anak-anaknya. 


Realiti selepas bercerai/masih berkahwin, ibu juga menanggung sebahagian nafkah anak-anak walaupun itu bukan tangggungjawabnya. 

Jika tanggungjawab menyediakan nafkah anak pun tak mampu, manakan mampu lelaki yang bernama ayah berkahwin baru dan mempunyai anak-anak lain dengan isteri baru. Bukan menghalang lelaki berkahwin lain tapi jangan sampai nafkah anak terabai. Harus pijak dibumi yang nyata. 

Jangan kedekut dengan anak sendiri, anak kan rezeki, bagaimana rezeki nak masuk jika dengan anak sendiri kita sekat nafkah mereka, dan jangan sesekali kerana berdendam dengan bekas isteri, anak yang menjadi mangsa.

Kredit : Fb Azliana Adnan


Adakah Penawar Untuk Isteri Pemalas?

13 Jun 2017


RUMAH tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya. Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.

Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya. Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu ramah.

Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?

Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi (bukan nama sebenar) yang kini makan hati dengan sikap isteri yang tidak pandai mengurus rumah tangga. Kata Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka ada masa untuk mengurus rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.

Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas. Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun. Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.

Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja. Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku. Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.

Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan. Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran. Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk. Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai. Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.

Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu. Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah. Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.

Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih. Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi. Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.

Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus. Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?

Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak. Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!

Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas. Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.

Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan. Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali. Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.

Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas. Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran. Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.

Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah. Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka. Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.

Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini. Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.

Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.

Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam.

Kredit : UtusanMalaysia




Rakan Sebilik(rumah sewa) Pengotor Dan Pemalas

4 Jul 2015


Salam admin,

Saya tinggal di rumah sewa dengan 5 orang rakan berusia pertengahan 20-an. Saya berkongsi bilik dengan seorang rakan saya. Walaupun usia dah boleh dikatakan layak untuk berkahwin, tetapi dia tidak pandai menguruskan diri walaupun perkara-perkara asas.

Kami menyewa tinggal satu bilik yang ada katil double. Katil die di atas, saya dibawah. Dia sering menimbun pakaian kotornya di tilam saya. Kdg -kdg pakaian yg masih lembap pun akan diletakkan di atas katil saya menyebabkan katil saya berbau . Tuala yg digunakan selepas mandi tu pun digantung kat kepala katil saya. Saya naik pelik kenapa die taknak gantung di luar balkoni . Saya cakap kat die supaya gantung kalt luar, die buat tak dengar je. Sudahnya saya yg tolong sidaikan kat luar.

Dalam bilik ada satu tong sampah kecil, bila sudah penuh saya selalu pesan bergilir-gilirlah buang sampah tu di tong sampah besar kat luar. Tapi dia buat perangai sardin je, biarkan mcm tu je sampah sampai melimpah dan berbau. Lipas, lalat, nyamuk dah mula menyinggah kat sampah tu pun, die buat mcm nampak tak nampak je. Nak tak nak, saya lah juga yang kena pergi buang.

Sama juga halnya dengan bilik air. Saya bgtahu die kita kena buat jadual cuci bilik air . Sekurang-kurangnya selesalah bila nak mandi. Masa bincang kata OK, sampai giliran dia , bilik air tu dah sampai berkulat, licin dan geli untuk memijak pun masih lagi tidak kisah menggunakan bilik air dalam keadaan kotor mcm tu Bila saya ingatkan giliran dia mencuci, dia kata dia busy. Kdg-kdg kencing berak pun die tak flush. Naik loya dibuatnya.

Saya pernah ajak berbincang dengan dia berkenaan perbuatannya namun akibatnya kami bermasam muka dan dia mula buat perangai sentap, walhal saya tidak meninggikan suara pun, sebaliknya saya menegur dengan cara elok mengenai sikap pengotornya.

Saya dah mula naik bosan dgn rakan sebilik pengotor dan pemalas.
Macam mana lagi saya nak buat. Ikutkan hati, saya nak tukar rakan sebilik, tapi tak tahu lah cara nak bagitahu kat kawan saya ni. Takkanlah saya yg kena pindah, sedangkan saya dah lama duduk disitu, ok je. Bila dia dtg masuk 2 bulan lepas, perkara mcm ni berlaku.

Tolonglah bagi saya pendapat mcmmana lagi nak bgtahu die.

-Ita-
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.