SLIDER

nafkah
Showing posts with label nafkah. Show all posts

Kesan Poligami Terhadap Anak-Anak: Antara Kebaikan dan Keburukan

2 Aug 2025



Poligami, satu amalan yang dibenarkan dalam Islam, sering menjadi perbincangan hangat dalam masyarakat. Fokus sering diletakkan pada hubungan antara suami dan isteri-isteri, namun satu aspek penting yang kadangkala terlepas pandang ialah kesan poligami terhadap anak-anak.

Bagaimana perasaan anak apabila ayah mereka berpoligami? Adakah mereka terkesan secara emosi, sosial dan psikologi? Atau mungkinkah ada nilai-nilai positif yang mereka pelajari daripada pengalaman ini?





APA ITU POLIGAMI

Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada satu isteri dalam masa yang sama. Dalam Islam, ia dibenarkan dengan syarat lelaki tersebut mampu berlaku adil dari segi nafkah, masa, dan kasih sayang. Namun, keadilan yang dituntut bukan sahaja kepada isteri-isteri, tetapi juga kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.



KEBAIKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA DIURUS DENGAN BAIK)

Walaupun sering dikaitkan dengan kesan negatif, poligami juga berpotensi membawa manfaat tertentu kepada anak-anak, terutamanya jika ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan hikmah.

1. 🌱 Peluang Membesar Dalam Keluarga Besar

Anak-anak yang membesar dalam keluarga poligami berpeluang mengenali lebih ramai adik-beradik dan saudara tiri. Ini boleh memperkukuh kemahiran sosial, rasa kebersamaan, dan nilai kekeluargaan.

2. 🧠 Belajar Toleransi dan Empati

Melalui interaksi harian dalam keluarga besar, anak-anak berpeluang belajar toleransi, perkongsian, dan empati sejak kecil – nilai yang penting untuk hidup bermasyarakat.

3. 👨‍👩‍👧‍👦 Membentuk Jiwa Yang Matang

Cabaran yang wujud dalam keluarga poligami, jika ditangani dengan bimbingan yang betul, boleh menjadikan anak lebih matang, memahami realiti kehidupan, dan kuat dari segi emosi.

4. 📚 Peluang Pendidikan Luas

Dalam sesetengah kes, seorang ayah yang berpoligami mungkin mempunyai kemampuan ekonomi yang baik dan mampu menyediakan peluang pendidikan atau sumber sokongan tambahan untuk anak-anak daripada semua keluarga.



KEBURUKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA TIDAK DIURUS DENGAN BAIK)

Namun, dalam realiti masyarakat hari ini, keburukan poligami terhadap anak-anak lebih ketara, khususnya apabila berlaku pengabaian tanggungjawab dan ketidakadilan.

1. 💔 Rasa Terabai dan Kurang Kasih Sayang

Anak-anak mungkin merasa bahawa mereka dilayan tidak sama rata, terutama jika ayah lebih kerap berada di rumah isteri yang lain. Ini boleh menimbulkan rasa sedih, cemburu, dan tercabar dari sudut emosi.

2. ⚠️ Konflik Sesama Adik-Beradik Tiri

Jika tiada usaha membina hubungan yang sihat antara keluarga tiri, anak-anak boleh bermusuhan atau bersaing antara satu sama lain. Ini mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam keluarga.

3. 😔 Masalah Psikologi dan Keyakinan Diri

Anak-anak yang membesar dalam suasana tidak stabil mungkin mengalami:

  • Tekanan emosi

  • Kemurungan ringan atau berat

  • Kurang keyakinan diri

  • Masalah tingkah laku di sekolah atau masyarakat

4. ❓ Kekeliruan Identiti dan Nilai

Apabila anak melihat konflik antara ayah dan ibu-ibu, mereka mungkin mengalami kekeliruan tentang peranan keluarga, menyoal keadilan ayah, dan menyimpan perasaan negatif terhadap perkahwinan atau lelaki secara umum.

5. 🧍‍♀️ Ibu yang Tertekan, Anak yang Menderita

Dalam banyak kes, anak-anak menyerap emosi dan tekanan ibu mereka. Jika si ibu sering bersedih atau bercakap negatif tentang ayah atau madu, anak-anak akan mudah terpengaruh secara emosi dan pemikiran.



PERANAN AYAH DAN IBU DALAM MENGURANGKAN KESAN NEGATIF

Bagi ayah yang memilih untuk berpoligami, tanggungjawab bukan sekadar berlaku adil terhadap isteri-isteri, tetapi juga:

  • Memberi masa dan perhatian yang seimbang kepada semua anak

  • Menjadi pendengar dan pendidik emosi kepada anak-anak

  • Menjaga kestabilan hubungan antara anak-anak dan ibu mereka

  • Tidak menunjukkan pilih kasih secara terbuka

Bagi ibu pula, walaupun berada dalam tekanan emosi, penting untuk:

  • Tidak memindahkan rasa kecewa kepada anak

  • Membina hubungan harmoni dengan isteri lain demi kesejahteraan anak

  • Fokus pada didikan dan pembangunan anak-anak, bukan konflik



TIPS PRAKTIKAL UNTUK IBU BAPA DALAM KELUARGA POLIGAMI

Komunikasi




Ajak anak berbual tentang perasaan mereka. Dengarkan tanpa menghakimi.
Masa BerkualitiWujudkan masa eksklusif antara ayah dan anak-anak tanpa gangguan.
Pendidikan EmosiAjar anak cara mengurus emosi seperti marah, cemburu, atau kecewa.
Hubungan Antara Ibu Tiri dan AnakGalakkan hubungan hormat dan terbuka – bukan bermusuh.
Sokongan KaunselingPertimbangkan kaunseling keluarga jika ada tekanan berpanjangan.



MEMBINA KELUARGA POLIGAMI YANG SIHAT ADALAH TIDAK MUSTAHIL

Poligami itu sendiri bukanlah punca utama kepada masalah dalam keluarga. Yang lebih penting ialah bagaimana ia diurus. Jika ibu bapa bertindak dengan hikmah, adil, sabar dan berprinsip, anak-anak masih boleh membesar dalam suasana yang positif dan penuh kasih sayang.

Namun, jika poligami disertai dengan pengabaian, kezaliman emosi, dan konflik berpanjangan, maka bukan sahaja rumah tangga akan rosak, tetapi anak-anak turut menjadi mangsa jangka panjang.

Poligami adalah satu amanah besar. Ia bukan hanya soal hak lelaki, tetapi soal masa depan generasi yang dibesarkan dalam perkahwinan tersebut.

Cerai: Semuanya Bermula Dari Tak Sekufu?

29 Jul 2025






Daripada kes selebriti yang bercerai ini, kita dapat belajar yang jangan main-main dengan 'sekufu' selepas perkahwinan. Walaupun ia bukan suatu rukun perkahwinan tapi ia sangat disarankan oleh ulama.
Kalau ikut pengalaman saya, ada 4 masalah sekufu yang biasa menjadi punca berlakunya perceraian.

1. SEKUFU TARAF HIDUP
Sebab itu ada istilah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Memang benar ada perkara kita boleh toleransi, tapi ada perkara sudah sebati dengan kehidupan si dia sejak kecil.
Kalau kahwin dengan kerabat diraja contohnya, bukan kedudukan yang menjadi isu utama, tapi tanggungjawab, budaya keluarga, cara makan pun sudah berbeza. Kerana mereka dibesarkan dengan gaya yang sebegitu. Kalau kerabat diraja berkahwin dengan orang kebanyakan. Bayangkan apa yang akan berlaku? Sebelum kahwin sepatutnya perkara ini di bangkitkan supaya boleh tahu sebenarnya sesuai tak kalau hidup berdua selepas kahwin nanti.
2. SEKUFU LIFESTYLE
Kita perlu sedar cara hidup orang T20, M40, dan B40 caranya berbeza. Perkara ini kalau sukar ubah, boleh berlaku pertentangan antara suami dan isteri. Lifestyle ni penting tau, bagaimana cara hidup seseorang. Kalau awak berpasangan dengan orang yang dah biasa hidup mewah, barang yang dia guna semua branded. Koleksi dari Dior, Louis Vuitton (LV), Gucci dan selevel ni je yang jadi pilihan harian dia, awak kena lah get ready sebab tinggi maintenance pasangan awak.
3. SEKUFU PENDIDIKAN
Kalau sekufu Pendidikan ini tak ditangani sebelum berkahwin, sebab itulah ada timbul dalam perkahwinan kata-kata pasangan terhadap pasangan seperti
“Awak ni lembab la”
“Awak tak belajar tentang ni ke?”
“Awak belajar tak tinggi, mana awak tahu”
"Awak ni suami slow lah”
Lagi-lagi kalau pasangan yang berkahwin seorang ada background PhD tapi seorang lagi hanya ada sijil SPM, kerana masing-masing sangat sukar bertolak ansur dan menghormati pemikiran satu sama lain.
4. SEKUFU AGAMA
Walaupun orang anggap agama adalah isu peribadi dan boleh dibaiki. Tapi kalau gap terlampau besar, dan pasangan taknak berubah, akan jadi tak tenang dan mesti akan ada konflik. Agama bermain dengan pemikiran, prinsip hidup. Kalau agama tak match, bermula daripada berkahwin, cara menguruskan keluarga dan anak-anak, pasti akan banyak konflik.
Sebelum berkahwin, banyakkan bincang dan rujuk orang tua, terutamanya masa pemilihan jodoh, jangan hanya kahwin sebab doronagn cinta yang kuat, tanpa mengambil kira realiti kehidupan selepas kahwin. Ada banyak lagi faktor-faktor lain, tapi yang saya sebutkan ini banyak berlaku berdasarkan pengalaman saya.

AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan

9 Oct 2024




Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:

  • Agama dan kesolehan

Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ

Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.

   Surah al-Sajadah (18)

Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.

  • Pekerjaaan

Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.

Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.

  • Tidak cacat

Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.

Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.

Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

           Riwayat al-Hakim (2/163)

Kesimpulan

Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.

Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.

Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Nota Hujung:

[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”

[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.


Kredit : MuftiWP

Wanita Bujang Bila Terjebak Bercinta Dengan Suami Orang, Susah Nak ‘Patah Balik’

3 Oct 2024

 


Hubungan percintaan antara wanita bujang dengan suami orang. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita bujang yang terjebak dalam cinta begini. Kalau sudah terjebak, memang susah hendak ‘berpatah balik.’

Alasan yang diberikan biasanya dikatakan jodoh dan rasa kasih dan sayang pada lelaki yang berstatus suami orang. Bercinta dengan suami orang melibatkan banyak perkara terutama soal hati dan juga perasaan.

Wanita Bujang Bila Terjebak Berkawan Dengan Suami Orang

Melalui satu hantaran dilaman Facaebook, Firdaus Shakirin melontarkan pandangannya tentang mengapa wanita bujang perlu mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang.

“Berkawan” dengan suami orang: Kalau boleh elak tu, elaklah…

Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh…nak buat macam mana kan…ketentuan ALLAH SWT…tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tidak pandai jaga pergaulan dan tidak tahu batas bila bergaul…

Bukan tidak tahu dia itu suami orang, tapi melayan juga…dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan.”

Susah Nak ‘Patah Balik’

TIGA SEBAB KENAPA PERLU ELAK BERKAWAN DENGAN SUAMI ORANG: 

1. Bukan semuanya mampu

Kita bukan hendak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, tidak mampu. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tidak membantu langsung bab kewangan. Dari A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri.

Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri top up perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka di mana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia tidak mampu.

2. Niat nak test market, main-main, tak serius

Bukan semua yang menyentuh hati anda itu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda, ada yang saja-saja test market, sekadar suka-suka, main-main. Dia tidak mahu ke peringkat seterusnya sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.

Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya. Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.

3. Jangan menambahkan bilangan ibu tunggal

Biasalah, adat mula-mula hendak menumpang kasih. Bila kasih sudah ditumpang, maka mula tamak dan mahu ianya jadi hak milik seorang.

Yang pertama sudah mula rasa kurang senang, yang pertama sudah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.

Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia baik-baik sahaja dengan isterinya. Apabila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan sudah ke laut, nafkah sudah mula tak tunai. Anak isteri tak dihiraukan lagi  dek kerana keasyikan dilamun cinta baru.

Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka putus asa dan redalah si isteri dalam mempertahankan rumah tangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya hendak membantu janda, telah menjandakan pula isteri sendiri.

Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas pergaulan. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.

Kepada ‘orang ketiga’ andai rosak sesebuah rumah tangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana. Allah Maha Adil dan Saksama.

Kredit : https://www.facebook.com/firdausshakirin.25/

Mertua Sorok Anak, Supaya Tak Perlu Beri Nafkah

14 Apr 2022



Saya ingin menarik perhatian pembaca khususnya yang sudah bergelar ayah , sudahkah anda menyediakan segala keperluan untuk anak-anak anda menyambut hari yang berbahagia ini? Cukupkah makan minum serta pakaian anda sediakan untuk mereka?

Kepada ibu-ibu tiri semua, sudahkah anda ingatkan suami anda tentang nafkah kepada anak-anak yang ditinggalkan kepada bekas isteri? Jika belum ingatkan, sebab kealpaan suami akan mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan anda kerana bersuamikan lelaki yang tidak bertanggungjawab kepada anak-anak sendiri. Jika anda pula yang menyekat suami daripada beri nafkah kepada anak-anaknya, maka anda pasti akan menerima balasannya, sama ada cepat atau lambat, sebab janji Allah itu pasti.

Itu cuma sedikit ingatan kepada suamisuami yang enggan beri nafkah kepada anak-anaknya kerana tujuan mereka hanya hendak seksa bekas isteri supaya hidup sengsara tanggung  makan minum dan pakai anak-anak sendirian. Ingatlah anda tidak akan terlepas daripada pembalasan  Allah. Saya bawakan ingatan ini untuk kita berkongsi rintihan ramai ibu tunggal termasuk dari KSIT yang terhidmpit hidupnya kerana bekas suami enggan bertanggungjawab. Dari ramai ibu-ibu tunggal yang ditemui, mereka rata-rata melahirkan rasa keciwa kerana terpaksa menanggung anak-anak sendirian, sedangkan itu tanggungjawab kaum lelaki sebagai ayah. Tambah terseksa bila tiba Hari Raya dan permulaan awal persekolahan.

Antara beberapa ibu tunggal yang ditemui dan dihubungi, ada antara mereka menyalahklan Mahkamah Syariah yang tidak menyediakan peruntukan untuk memotong terus gaji bekas suami sebagai nafkah untuk anak-anak. Sebaliknya Mahkamah Syariah melepaskan masalah nafkah ini  kepada bekas isteri untuk buat tuntutan. Tidak kurang juga menggalakkan ibu-ibu tuanggal menggunakan  khidmat peguam untuk mendapatkan nafkah. “Puan Bismiyanti berkata, tindakan mahkamah suruh ambil peguam untuk dapatkan nafkah memang tidak adil, lepas bercerai, kebanyakan suami, termasuk suami saya tak mahu bagi nafkah, Sudah lebih setahun saya turun naik mahkamah buat tuntutan. Tetapi setiap kali ke mahkamah saman suami hadir, dia tak pernah datang, Dan kes tertangguh berkali-kali. Guna khidmat peguam bukan percuma, semua kena bayar. 

“Akhirnya kerana tidak mampu, saya terpaksa lupakan tuntutan. Sebab setiap kali ke mahkamah kena ambil cuti. Saya kerja dengan syarikat Cina mereka tak faham pasal mahkamah syariah, bila saya minta cuti, mereka kata saya ponteng. Dan beri amaran akan berhentikan kerja kalau selalu ambil cuti. 

“Jadi kalau puan di tempat saya mana lebih penting, nak tuntut nafkah kah atau nak fikirkan kerja. Kalau saya berhenti kerja sapa nak beri makan 3 orang anak saya ini? Siapa nak beli pakaian seragam dan buku sekolah bila awal penggal persekolahan nanti.. Jadi dengan rasa amat keciwa saya terpaksa lupakan tuntutan nafkah. Bukan kerana saya tak mahu tuntut, tapi saya lebih sayangkan kerja. Kerana itulah periok nasi kami anak beranak. “Bekas suami bukan tak bekerja, tetapi sengaja tak mahu bagi nafkah, sudah kahwin baru tetapi  dia lebih rela tanggung nafkah anak-anak tiri daripada anak-anak sendiri. 

Dia langsung tak peduli saman mahkamah katanya, “apa mahkamah boleh buat, kalau dia tak datang? “Ada juga sekali dua dia datang tengok anaknya di sekolah. Bila jumpa paling banyak dia beri anaknya RM10 seorang. Sebagai ayah dia langsung tak peduli tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan kepadanya untuk beri nafkah anak-anak, anak sakit pun dia tak kisah. Agaknya kerana tak mahu bagi nafkah, maka Allah tunjukkan depan mukanya yang dia dipaksa tanggung 2 orang anak tirinya. Itu pun masih tak sedar lagi.’’ Itu cerita Puan Bismiyanti

“Puan Aliah juga mempunyai pengalaman yang sama. Dia langsung tak tuntut mafkah ke mahkamah sebab memang tak ada duit nak bayar peguam. Dia cuma merayu kepada bekas suaminya supaya beri nafkah, terutama ketika Hari Raya dan awal penggal persekolahan. “Seperti biasa bukan senang nak dapat sebab dia kata dia pun dah ada anak sendiri lebih terok lagi kena beli susu dan pampers. Gajinya pun tak banyak. Katanya saya ibunya dan bekerja, jadi apa salahnya kalau saya tanggung anak-anak sendiri ?

“Bila saya kata beri nafkah tanggungjawab seorang ayah. Dia jawab itu cerita zaman dulu. Orang lelaki dulu dia seorang diri bekerja sementara isteri. duduk rumah. Jadi si ayah kena beri nafkah anak-anak. Tetapi zaman sekarang isteri atau ibu-ibu semua sudah bekerja, jadi isterilah yang patut bagi makan pakai anak-anaknya, tak perlu minta daripada suami. “Kerana selalu bergaduh pasal nafkah,  maka anak-anak tidak dapat belajar dengan baik, tambah saya duduk rumah flat, perangai anak-anak turut berubah. 

Oleh kerana saya sering kerja malam, anak-anak terbiar, ada kalanya ponteng sekolah. “Jadi salahkah anak-anak jika mereka terpengaruh dengan perangai budakbudak liar. Bekas suami salahkan saya kerana tak jaga anak. Masalahnya saya bekerja tak tentu masa, anak-anak tinggal sendirian di rumah. Gangguan luar sentiasa menguasai mereka, dan anak sulung saya berhenti sekolah dalam tingkatan 4. Dia tak minat bersekolah, akhirnya bekerja kedai motor. “Anak kedua saya perempuan, kerana takut dia ikut perangai abangnya saya hantar dia duduk dengan kakak saya di kampong. Alasan saya kalau duduk kampong sekolah dekat boleh jalan kaki, dan dia boleh bersama sepupunya. Alhamdulillah kini dia dalam tingkatan 4. “Tetapi bekas suami tuduh saya sengaja hantar anak ke kampung kerana saya nak enjoy tak mahu jaga anak. 

Sedangkan ada anak ketiga masih bersekolah dia duduk dengan saya.  Harapan saya bila anak kedua saya dapat masuk kolej atau naik tingkatan 6 nanti bolehlah saya hantarkan anak ke 3 ke kampung. Saya bersyukur kakak saya faham masalah saya dan mahu bantu saya jaga anak-anak saya. Tetapi setiap bulan saya tetap hantar duit bantuan kepadanya. “Saya tak peduli apa kata bekas suami, kerana saya mahu selamatkan anak-anak saya, saya tak mahu mereka ikut jejak abangnya yang liat ke sekolah. Pada saya kalau ayah sendifri tak mahu fikirkan nasib anak-anak buat apa ada ayah. Jangan besok bila dah tua jangan pulak tuduh anak-anak tak pedulikan ayah. Ayah mesti cermin diri sendiri’’ Itu cerita Aliah panjang lebar. Sementara itu, Puan Norraihana yang ada 2 orang anak masih kecil juga memberitahu hidupnya terseksa kerana besarkan anak-anaknya sendiri. 

Suaminya menghilangkan diri atas alasan pindah tempat kerja. Ingatkan betul, rupanya menyorok kerana tidak mahu beri nafkah anak-anak. “Bila saya sering hubunginya minta nafkah, dia tukar no telefon, supaya saya tak dapat hubungi dia lagi. Bila saya telefon ibunya di kampung, mereka beritahu mengapa saya cari dia lagi, sebab saya sudah diceraikan. Tetapi saya tak tahu. Dan tindakan terakhirnya dia ceraikan saya di mahkamah Syariah. Lebih licik, dia beritahu mahkamah syariah suruh datang jam 11 pagi, tetapi bila saya sampai dia sudah ceraikan saya di mahkamah syariah pada jam 10 pagi. Bila saya sampai, saya kebingongan. Tak tahu siapa yang betul.

“Walaupun sah saya diceraikan, tetapi saya tetap mencarinya untuk dapatkan nafkah, tetapi dia tetap menghilangkan diri. Berkali-kali saya bertanyakan kepada kaum keluarganya di mana anaknya tinggal dan di mana dia bekerja. Tetapi tidak seorang pun  mahu beritahu,  sebaliknya mereka salahkan saya kerana bercerai. Masalahnya saya diceraikan bukan saya ceraikan suami. “Pelik sungguh tuduhan keluarganya apakah saya wanita boleh ceraikan suami. Bukankah talak  ditangan suami? Tetapi keluarganya tetap salahkan saya kerana bercerai. Namun itu bukan masalahnya, saya tetap mahukan nafkah anak-anak daripada bekas suami.

“Saya pelik mengapa bekas mertua saya dan anak-anaknya tidak mahu beritahu atau nasihatkan anak lelakiunya supaya bertanggungjawab dan beri nafkah anakanaknya. Sepatutnya sebagai ibu menjadi tanggungjawab dia nasihatkan anaknya supaya jadi ayah yang baik dan amanah. “Jangan persoalkan mengapa kami bercerai, sebagai isteri memang saya tak mahu bercerai, tetapi kalau diceraikan juga salah saya ke? “Inilah masalahnya apabila emak ayah tidak mahu menasihatkan anaknya supaya beri nafkah sebaliknya menyembunyikan di mana anaknya berada. 

Tujuannya supaya anaknya iaitu bekas suami saya tidak tak perlu bagi nafkah anak-anak. Alasan bekas mertua, anaknya nak kahwin lagi, dan dia hendak bina keluarga baru yang perlukan duit.  Tetapi macam mana dengan nafkah anak-anak yang ditinggalkan kepada  bekas isteri. “Saya juga pernah menghubungi adik beradik bekas suami saya di KL minta mereka nasihatkan abangnya supaya beri nafkah. Sebaliknya adiknya menyalahkan, kerana saya yang salah hingga berlaku perceraian, maka saya tak boleh dapatkan nafkah. 

Mana dia orang sekolah? Cakap macam orang tak tahu agama, sedangkan ayahnya orang kuat masjid dan mereka pun mendapat pendidikan agama takkan soal nafkah anak pun mereka tak tahu? “Masalahnya bila saya bawa tuntutan nafkah ke mahkamah syariah, saya disuruh cari alamat bekas suami supaya mereka boleh hantar surat saman supaya hadir ke mahkamah. Masalahnya macam mana nak cari jika keluarganya sembunyikan anaknya daripada saya?

 “Kerana itu saya sarankan kepada Mahkamah Syariah supaya buat potong gaji suami yang bekerja atau berniaga sebaik sahaja mahkamah luluskan perceraian. Sebab sementara menunggu tuntutan nafkah yang makan masa bertahun-tahun, apa anak-anak nak makan. “ Jika salah satu pihak tidak setuju dengan jumlah potongan nafkah yang ditetapkan oleh mahkamah, maka mereka boleh lawan di mahkamah kemudiannya. Jadi, mahkamah fikirkan masalah ibu-ibu Tags: cerai Kahwin Ratapan Isteri suami tunggal yang terseksa tuntut nafkah dari bekas suami. Jangan biarkan anak-anak jadi mangsa kerana kebebalan ayah mereka,’’ itu harapan Norraihana supaya mahkamah syariah  buat peruntukan potong gaji bekas suami sebaik sahaja luluskan perceraian..


Kredit dckkmona


Sesat Belajar Agama , Suami Gila Isim , Bercerai Kesudahannya

11 Apr 2022




Assalamuaikum… Nama aku Jeslina. Umur sudah 38 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 8 tahun.

5 tahun yang lalu, aku telah bercerai dengan suami iaitu Ikhwan (bukan nama sebenar). Punca penceraian kami adalah kerana perangai bekas suami masa itu. Dia merupakan lulusan perakaunan. Dan bekerja sebagai pegawai bank.

Dia juga menyertai satu kumpulan macam geng usrahlah kiranya. Aku tak kisah benda tue. Tapi yang aku hairan, apa yang dia belajar itu kadang bertentangan dengan landasan agama. Satunya dia tak boleh ditegur walau terang terangan dia salah.

Dia kata dia banyak join usrah, ceramah. Dan mengatakan orang yang kurang join usrah, ceramah tue tak fikir agama. Itu kata dia. As a wife, aku cuma diam. Sebab tahu, kalau dibangkang nanti, dia akan cakap ; Nak jadi isteri derhaka ke? Nak jadi nusyuz?

Sepanjang aku berkahwin dengan Ikhwan, awal2 dia larang aku bekerja. Katanya isteri layaknya duduk rumah, uruskan rumah, uruskan suami. Tapi bab nafkah, belanja rumah, sangatlah kelaut. Bagi pun, RM200-RM300. Duit belanja isteri takde ya.

Duit dua tiga ratus tue belanja keperluan. Wifi rumah dah lama tak dibayar, akhir dia terminated kan. Alasan sebab nanti saya tengok benda2 lagha. Katanya tak mati pun takde Wifi. Tapi bukan sebab itu, memang dia dah malas bayar.

Kadang join gathering keluarga aku, siap2 dia warning jangan nak rapat2 sangat dengan mereka(keluarga). Katanya tempat isteri di sisi suami. Jadi tak seronok aku dibuatnya.

Dahlah jarang berjumpa, tak bagi nak bersilaturahim pulak. Lagi satu kalau ada saudara mara dia buat kenduri ke apa, jarang sangat pergi. Dia kata, Kita tak pergi pun tak batal majlis diorang. Ada ke tak kita pergi bukan kisahpun.

Satu lagi perangai bekas suami, kalau anak sakit or demam, takkan dia benarkan di bawa ke klinik atau hospital. Katanya kita kena redha.

Kita tawakkal saja. Bawa ke hospital pun kalau dah sampai ajal, mati jugak. Tapi dia jugak bising kenapa anak masih tak sihat. Alih-alih dituduhnya aku tak jaga elok2 anak. Dia nak jaga anak?Kirim salamlah!

Pernah satu ketika, dia tegur anak buah aku yang berusia 6 tahun sebab pakai skirt. Bagi kita, normallah budak. Tapi bagi dia tak normal.

Selamba cakap Mak Ayah budak tue tak pandai ajar agama kat anak. Sampaikan Kakak ipar dengan Abang aku dengar kot. Memang terasalah hati mereka. Bekas laki aku memang takde perasaan. Bagi dia, apa yang dia kata tue betul sebetul betulnya. Jangan bantah atau bangkang.

Satu hari, anak kena sawan. Jadi tak fikir apa aku cepat2 bawa ke hospital. Tengah anak dirawat, aku called dia cakap bagitahu anak kat hospital. Fikir dia risau tapi, guess what? Dia cakap. Siapa yang izinkan?! Tak cakap dengan aku pun! Kau nie nak jadi isteri derhaka ke?!

Siapa izinkan kau bawa ke hospital?! Dia jerkah aku dalam telefon. Berderai airmata aku. Sikit pun dia tak tanya macamana dengan anak.

Sepatah pun takde. Yang dia cakap aku isteri derhaka sebab tak minta izin bawa anak ke hospital.

Sepanjang anak aku kat hospital, sehari pun Ikhwan tak jenguk. Katanya dia marah aku. Aku isteri nusyuz katanya. Katanya macamana nak hidup kalau semua benda nak belakangkan suami.

Aku bukan belakangkan dia. Anak kena sawan takkan aku nak biar, redha jer tengok anak aku tue. Dia tak boleh fikir semua tue. Dalam kepala otak dia, aku isteri derhaka, nusyuz. Itu jer yang dia selalu sebut.

Dia selalu hantar video, atau petikan ceramah pasal isteri derhaka pada aku. Aku pernah share satu perkongsian pasal suami.

Sudahnya, dia mengamuk sakan. Terasalah tue. Sampai tak nak tidur sebilik. Rela tidur kat ruang tamu. Lama-lama aku keraskan hati. Cakap apa yang perlu jer.

Sediakan apa yang patut jer. Dia perasan. Then dia ceramahkan aku begitu begini. Tetap jugak nak label aku isteri yang derhaka, yang nusyuz. Aku cuma diam mengangguk jer. Dia mendengus lepas tue berlalu pergi.

Dan yang paling kelakar, dia ada buat air Yasin. Katanya untuk aku sebab aku dah berubah. Takut ada hantu syaitan menempel. Sebab tue jadi derhaka. Aku just senyum. Aku senyum saja, dia yang sakit hati terus ambil air Yasin tue simbah kat aku.

Dia geram sebab aku just senyum. Dalam hati aku memang dah nak meletup tapi aku gagahkan diri dengan berkata, Thanks Abang mandikan saya. Selama nie Abang tak pernah mandikan saya pun. Mandikan anak pun tak pernah.

Dia diam tapi air muka dan pandangan dia macam nak telan orang gamaknya. Dan kemuncak ceritanya, sebelum kami bercerai, Mak aku called tanya khabar dan tanya bila nak balik kampung.

Saja aku pasang loudspeaker kebetulan Ikhwan ada. Mak aku rindukan cucu. Belum sempat aku nak jawab, Ikhwan terus rampas telefon.

Dia cakap, Jeslina nak balik kampung, tue semua izin saya. Saya tak izinkan, jangan gatal balik. Saya suami dia, dia kena taat. Terus dia matikan talian.

Aku cakap, Tue kan Mak saya. Kenapa cakap macam tue? Boleh jer cakap elok2. Ikhwan tuding jari depan aku dan cakap, Mak ke Bapak kau ke, takde hak nak campur urusan rumahtangga kita! Kau dah jadi isteri aku. Kau kena taat!Kalau tak isteri neraka kau!

Sejak dari itu, Mak Abah aku jadi suspicious. Abah aku kata ada yang tak kena dengan Ikhwan. Beberapa hari kenudian, Abah aku datang seorang ke rumah dari kampung. Drive sendiri sebab Abah masih kuat lagi. Ikhwan tak tahu. Abah datang dan bertanya hal sebenarnya.

Aku pun berterus terang sambil menangis. Dan kebetulan Ikhwan balik. Dia nampak ada kereta lain kat garaj rumah. Terus dia serbu jerit nama aku. Dia jerit, Betina murah!Kau bawa jantan masuk rumah ;Dia tarik aku sampai aku tersungkur.

Abah aku datang dan jerit, Ikhwan!!! Dan Ikhwan terkejut. Tiba-tiba dia jadi lembut then cakap, ;Eh, Abah…

Belum sempat dia habiskan kata2, Abah cakap, Abah amanahkan kau untuk jaga anak perempuan Abah, kau bimbing dia. Tapi Abah tak sangka, kau buat anak perempuan Abah macam nie ya. Tergamaknya kau, Ikhwan. Abah aku kecewa dengan sikap Ikhwan.

Dan Abah sambung, Kalau macam inilah, lebih baik kau lepaskan Jeslina. Pulangkan Jeslina pada kami. Kami keluarga dia. Tak gamak kami biarkan Jeslina macam nie sebab sikap kau, Ikhwan.

Ikhwan diam. Tapi sekejap saja. Sepanjang aku di kampung dengan anak, ada saja mesej dia. Dah macam orang gila. Dia ugut, dia nerakakan aku. Dia nerakakan Mak Abah aku. Dia cakap keturunan aku keturunan ahli neraka. Derhaka, nusyuz tue dah pasti disebut.

Ada satu kali, dia cakap, Patut isteri derhaka bunuh jer. Halal darahnya kalau dibunuh.

Dan aku cuma balas, Baik, jumpa kat mahkamah. TQ. Bila aku mesej gitu, dia lagi bertalu-talu mesej aku. Siap cakap jangan menyesal kalau ceraikan aku. Aku tak balas pun.

Dah cerai pun, dok ganggu aku lagi. Telefonlah, mesejlah. Aku cuma cakap, Kita dah cerai. Jangan sibuk lagi kacau orang. Kang aku report polis! Barulah dia berhenti called dan mesej aku.

Mak Ayah Ikhwan kemana? Ada tapi tak macam keluarga. Disebabkan Ikhwan rasa dia paling beragama. Dan juga sanggup nerakakan Mak Ayah dia sendiri. Pernah Ikhwan kata sebelum kami cerai, Kenapalah aku lahir bukan dari Mak Bapak golongan agamawan.

Now, 5 tahun sudah aku jadi ibu tunggal. Lepas cerai, habis Eddah, aku start cari kerja dan aku diterima bekerja di sebuah perusahaan di bandar. Gaji agak lumayan. Dapatlah aku beli kereta secondhand. Dapatlah bayar semua keperluan rumah dan anak tunggal aku nie.

Ikhwan? Dia ada kahwin buat kali kedua tapi hanya seketika. Dengar kata, Ikhwan sudah jadi gila. Gila Isim…Entahlah. Cuma Mak Ayah dia jer selalu jumpa anak aku tue.

Mereka malu sebab anak mereka macam tue. Diorang sendiri pun dah tak tahu nak berubat dimana lagi untuk Ikhwan. Mak Ayah dia tak salah pun. Hubungan kami walaupun aku dengan Ikhwan dah lama cerai, tetap baik. Bekas mentua aku tue baik.

Jadikanlah kisah aku nie sebagai pengajaran terutama pada kaum hawa. Dan tak salah belajar agama tapi kena pandai beza mana betul, mana yang tidak. Kalau tak, jadilah macam Ikhwan tue. Dan geng usrah dia pun dah takde. Aku lebih senang sendiri besarkan anak aku.

Kalau dulu, kesian. Dia sakit bukan Ikhwan ambil tahu. Ikhwan pun, hal anak semua atas bahu aku nie. Berak kencing anak sekalipun tak pernah dia cucikan. Minta tolong, dijawabnya tue tugas isteri.

Begitulah lumrah hidup…

Terima kasih…

Jeslina (Bukan nama sebenar)


Kredit : IIUMC


Saat-saat Yang Dinantikan Oleh Seorang Surirumah

1 Aug 2017


Bila suami dapat gaji, benda yang paling best ialah pergi supermarket beli barang dapur. Walau cuma pergi Tesco ke Econsave, tapi itulah.. rasa syok sungguh.

Sebab kadang dalam seminggu, terutamanya suami kerja lebih masa memang tak ada peluang keluar rumah. Itulah realiti seorang wanita yang menjadi suri di rumah. Jadi bila suami ajak keluar beli barang, dia punya feeling, yeay bestnya macam nak melompat bintang 3x. Sebab dapat rasa fresh air (fresh la sangat), cuci-cuci mata, & ada orang boleh tolong tengok-tengokkan anak-anak juga (beza dengan outing sendiri dengan anak-anak).

Jangan tak percaya, ramai je mak-mak yang tak berani nak drive keluar sendiri dengan anak-anak. Macam nak keluar, tapi nanti tak jadi bila mengenangkan kegetiran yang mungkin terjadi. Huuu... sayalah antara orangnya tu. Hihi.

Kadang kalau seharian anak-anak asyik mengamuk, sampai kita sendiri muka pun da takleh nak senyum, suami balik saya terus request kat dia, nak keluar satgi. Dia tanya nak pergi mana? Pergi guardian. Nak beli apa? Nak beli shampu. Lepas tu muka suami saya macam; "Eh bukan kat kedai runcit depan rumah pun ada shampu?" 😅 Tapi syukurlah dia tetap ikut je tanpa banyak soal. Haha.

Sebenarnya mungkin ramai suami tak tahu, ramai isteri (especially stay home mother) bila dapat keluar pergi watson sekadar dapat try tester perfume, pergi cuci mata kat Tesco tengok nonstick pan atau ke indexliving tengok decoration ruangan rumah, walau tak beli pun dah rasa happy sangat dah. Serius. Aktiviti window shopping ni ibarat terapi untuk mengurangkan stress & menceriakan emosi.
.
Pernah sekali kami pergi beli barang di Econsave, saya berpisah dengan suami cari barang, ternampak seorang wanita yang juga sedang pilih-pilih barang, tup tup kena tengking dengan suaminya yang tiba-tiba muncul.

"Puas cari kat sini rupanya... Belek apa lagi tu! Menghabiskan duit je tahu. Dah jom balik lah!" Lepas marah terus dia berpaling pergi.

Air muka isteri yang ceria tadi tu terus berubah. Saya pun tiba-tiba serbasalah untuk respon bagaimana sebab saya sedar isteri itu rasa malu & nampak seperti sudah mahu menangis. Terus dia beredar.

Sedihnyalah... kadang hanya sebab isteri duduk di rumah, ada jenis suami yang sewenangnya pandang rendah pada isteri. Anggap isteri duduk rumah rehat-rehat, makan & tercongok depan tv saja agaknya. Bila isteri minta apa-apa dianggap menyusahkan & menghabiskan duit. Allah..

Ketika Mu’awiyah bin Haidah RA bertanya kepada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah, apa hak isteri terhadap suaminya?”

Baginda menjawab,

“Engkau beri makan isterimu bila engkau makan & engkau beri pakaian bila engkau berpakaian. Jangan engkau pukul wajahnya, jangan engkau jelekkan (mencerca, mencela) & jangan engkau boikot kecuali di dalam rumah.” (HR. Abu Dawud & Ibnu Majah)


Maka hendaklah para suami sedar bahawa apa yang dia nafkahkan kepada isteri & anak-anaknya tidaklah bernilai sia-sia di sisi Allah.

Hargailah para isteri, isteri bukan beban. Bahkan jika suami berbuat baik kepada isteri, isteri senang hati sentiasa mendoakan. Doa tulus itulah magnet rezeki buat kalian.

Alhamdulillah 'ala kulli nikmah. 



Bekas Suami Tidak Serius Arahan Mahkamah

23 Jul 2017


PERCERAIAN antara suami isteri sebenarnya satu situasi yang sangat menyedihkan bagi anak-anak. Walaupun mungkin mereka boleh faham, keadaan akan menjadi sebaliknya apabila bapa yang sepatutnya menjaga kebajikan anak-anak selepas perceraian, tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Bukan menuding jari mencari salah sesiapa tetapi sekadar ingatan untuk pedoman bagi membaiki kelemahan serta kekurangan diri agar sentiasa baik di sisi Allah dan masyarakat.

Minggu ini saya menerima satu cerita daripada seorang pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Tina (bukan nama sebenar) berusia awal 40-an, bekas seorang eksekutif di sebuah bank.

Ingin tahu cerita Tina selanjutnya, jom kita ikuti catatan ini. Begini ceritanya.

“Saya berusia awal 40-an, masih bekerja di sebuah bank. Saya pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang saya cintai kira-kira 19 tahun lalu sebab cinta pandang pertama.

“Kami berkenalan di kampus. Enam tahun menyulam cinta bukan satu jangka masa singkat, malah menjadi jaminan kepada saya yang dia akan kekal bersama saya sehingga ke hujung nyawa.

“Sayangnya perancangan kita tidak sama dengan perancangan Allah. Ujian untuk saya sangat hebat. Selepas melahirkan anak ketiga, suami buat hal. Hubungan cinta dengan kekasih lama menjadi punca perpisahan.

“Bukan saya hendak salahkan reunion yang menjadi penyebab, tetapi itu antara punca suami berubah. Pun begitu saya anggap jodoh kami setakat itu sahaja, saya reda.

“Walaupun pelbagai usaha dibuat menyelamatkan rumah tangga kami, semuanya terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Sebab, suami telah bernikah dengan kekasih lamanya tanpa pengetahuan saya.

“Saya sangat kesal sebab suami adalah bekas seorang pegawai di jabatan agama, berpendidikan tinggi dan tahu hukum hakam agama tetapi tidak boleh berfikir dengan baik tentang tanggungjawab terhadap anak-anaknya selepas bercerai.

“Saya ditinggalkan ketika anak-anak masih kecil, berusia 9 dan 4 tahun. Sekarang sudah 10 tahun berlalu. Anak-anak kekal dengan saya. Susah payah, saya yang tanggung, sedangkan dia bahagia dengan keluarga baharunya.

“Dia tidak memikul tanggungjawab dengan baik seperti sepatutnya, jarang bertanya khabar anak-anak, belanja bulanan diberi bila saya minta. Dia lelaki dan bapa yang tidak menghargai amanah yang Allah kurniakan kepadanya.

“Kebajikan anak langsung dia tidak peduli. Tanya khabar pun tidak. Hari raya jauh sekali untuk beri belanja membeli pakaian raya, begitu juga persekolahan.

“Sampai anak sulung dapat tawaran ke universiti pun, dia tidak peduli, tidak bertanya khabar keperluan yang anak mahukan. Sedih sangat hati saya. Anak sulung saya menangis kerana ayahnya tidak mengambil berat kejayaan yang dia capai.

“Saya pujuk dia, bagi nasihat supaya dia tidak kecil hati. Saya sudah jemu naik turun mahkamah. Pergi sana sini jumpa dia untuk minta nafkah anak. Macam minta sedekah.

“Akhirnya saya nekad berjumpa dengan ketuanya dan menceritakan keadaan sebenar. Arahan mahkamah saya peroleh. Nafkah bulanan anak akan dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Tetapi macam biasa, saya terpaksa mengemis untuk meminta dia masukkan duit nafkah. Mahkamah tetapkan setiap 27 hari bulan, mesti masukkan sebab dia kerja kerajaan. Tetapi kadangkala sampai 5 hari bulan belum ada.

“Dia nak saya selalu telefon, nak dengar suara saya minta duit, baru nak masukkan. Bayangkan kalau 5 hari bulan baru masuk duit nafkah anak, nak belanja macam mana, saya kena bayar sewa van, yuran sekolah agama dan keperluan lain.

“Bukan banyak pun, kalau ribu-ribu tak apa juga. Ini bukan cukup, kena tambah lagi ada. Tapi saya akur dengan arahan mahkamah walaupun saya sudah mohon untuk naikkan jumlah bayaran nafkah sebab anak sulung sudah masuk universiti dan yang bongsu di sekolah menengah.

“Saya sangat sedih dengan keadaan ini. Bapa jenis apa pun, saya tidak tahu. Tapi dia senang lenang dengan isteri dan anak-anak sebelah sana. Selalu keluar negara, bercuti. Post dalam FB (Facebook) ke sana sini, makan di restoran mewah dan lain-lain lagi.

“Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak saya. Dia orang terasa hati dan selalu bercerita dengan saya tentang ayah mereka yang melayan keluarga baharunya dengan begitu baik sekali.

“Saya pujuk mereka dengan menyuruh mereka bersabar, nanti sudah habis belajar, cari kerja, kumpul duit kita boleh pergi bercuti. Yang penting sekarang belajar, jangan peduli tentang ayah. Allah ada. Nanti dia jawab dengan Allah.

“Itu sahaja yang saya mampu beritahu mereka. selebihnya saya serahkan kepada Allah, bukan tidak usaha untuk temukan mereka dengan ayah mereka tetapi selalu tidak menjadi sebab ayah mereka bagi banyak alasan.

“Dia ada nombor telefon bimbit anak-anaknya tetapi tak juga telefon tanya khabar, ajak jumpa ke, macam anak-anak tidak wujud. Tapi saya tidak mahu bebankan fikiran anak-anak dengan masalah ayah mereka. Selagi saya mampu, saya akan usaha untuk membahagiakan mereka. Semoga Allah pelihara kami tiga beranak.

“Kepada bekas suami, jika terbaca catatan ini, sedar-sedarlah, masukkan duit nafkah ikut masa yang mahkamah tetapkan. Jangan tunggu saya merayu. Kita teruskan hidup masing-masing. Fikirkan kebahagiaan anak-anak, jangan pentingkan diri sendiri,” kata Tina menutup cerita.

Betul kata Tina, jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan hal anak-anak. Walaupun sudah mempunyai keluarga baru, mereka juga ada hak yang sama. Jangan bezakan layanan terhadap anak-anak.

Saya doakan Tina dan anak-anaknya sentiasa di dalam rahmat Allah. Ingatlah, pengorbanan akan berakhir dengan kebahagiaan, tunggulah masanya akan sampai. Sabar ya Tina.

Menutup catatan kali ini, pesanan saya, orang-orang yang disayangi Allah adalah mereka yang reda dan sentiasa positif dalam kehidupan terutama ketika menghadapi ujian mencari kebahagiaan abadi.

Salam


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.