SLIDER

sembunyi
Showing posts with label sembunyi. Show all posts

Sangat Tragik, Bermadu Dengan Madu Yang Bengis Dan Ganas

21 Apr 2022



SAYA sependapat dengan Lela dan Izani juga isteri-isteri pertama yang teraniaya. Saya tidak setuju dengan pendapat Zee tentang "Isteri pertama tak sedar diri". Sebenarnya wanita yang rampas suami oranglah yang paling kejam dan tak tau diuntung. ''Daripada pengalaman saya sejak bermadu dengan Fida, hidup saya bukan sahaja tidak tenteram malah terperangkap sama dengan dosa yang dilakukannya.'' Itu cerita Sofi ketika kami berbual panjang di telefon minggu lalu.


''Saya sudah berkahwin selama 22 tahun, tetapi tidak mempunyai anak. Saya ambil anak saudara suami untuk dijadikan anak angkat. Mana tahu ada rezeki dapat anak sendiri. Namun kami masih belum ada rezeki. Malangnya suami buat hal, dia kahwin di Siam. ''Suatu hari dia beritahu dah kahwin. Saya tanya bila? Di mana? Dengan siapa? Kenapa tak beritahu awal? Dia sergah saya balik. Kena minta izin ke? Bukan itu maksud saya tetapi mengapa nikah di Siam? Saya boleh pinangkan kalau betul-betul dia nak kahwin. Mengapa mesti sembunyi?

''Lebih mengecewakan, jika sebelum ini hidup kami aman damai, setelah bernikah dengan Fida, saya sering diganggu dengan panggilan telefon yang menyakitkan hati. Madu saya akan panggil suami segera balik setiap kali giliran saya. ''Dia tak izinkan suami jumpa anak angkat kami apa lagi berjumpa saya. Dia marah malah panggil saya lembu tua. Saya beritahu suami, dia nasihatkan berbuat baik. Saya ikut nasihat suami dan demi kebaikan bersama, saya minta dia kenalkan dengan Fida. Pada hari ditetapkan, saya pergi bersama suami dan ibu bapa mertua ke rumah Fida dengan tujuan nak berkenalan.

''Dua jam kami menunggu dia tak keluar jumpa kami. Puas suami saya pujuk. Pelik sungguh! Saya datang dengan niat berbaik, bukan nak serang dia. Akhirnya dia keluar juga. Saya lihat dia dah mengandung. Melihat rupanya, tak sangka dia orang yang sering maki hamun saya selama ini. Dia nampak tertib depan mertua saya. Langkahnya lemah longlai, suaranya lemah lembut. Saya tak boleh bayangkan macam mana orang lembut seperti ini bercakap kasar dan panggil saya lembu tua. ''Patutlah suami saya tak percaya apa yang saya ceritakan. Sebab bila bercakap depan suami, macam langit dengan bumi. 

''Katanya dia masih belum bekerja dan baru dapat ijazah kaunseling dari universiti, berumur 24 tahun, 17 tahun muda daripada suami saya. Apa yang mengejutkan, suami kata mereka baru dua bulan kahwin, tapi perutnya dah besar. Katanya dia dijangka bersalin Februari tahun depan. ''Bukan nak memuji, suami saya memang baik. Kami sering solat berjemaah dan saya tak fikir suami terlanjur kerana dia bukan lelaki rakus, tambahan mereka baru beberapa bulan berkenalan. 

''Nak dijadikan cerita, enam bulan nikah, dia selamat melahirkan seorang bayi seberat tiga kilogram. Dengan megah dan tanpa malu, dia menjaja cerita yang dia sudah ada anak, bukan macam saya 'lembu tua mandul'. Dalam geram, saya tanya dia semula; Baru nikah dah beranak. Anak siapa? Dia mengamuk mengadu pada suami suruh ceraikan saya. Hem! sudahlah suami kita dirampas. Dia suruh saya diceraikan dan berani panggil saya lembu tua. ''Saya beritahu suami bukan saya ganggu dia, tetapi Fida yang selalu telefon dan SMS ganggu saya. Kerana suami tak percaya, saya beri telefon saya pada suami biar dia sendiri dengar dan baca SMS Fida. Pernah saya tukar nombor telefon tetapi dia tahu semua, mungkin dia dapat daripada telefon suami. 

''Tak lama kemudian permohonannya jadi guru diterima dan dia perlu belajar semula. Jadi dia serahkan anak pada mertua suruh jaga. Pernah juga saya bawa anaknya ke rumah saya kerana jika suami kata itu anaknya, saya cuba sayangi anak itu. Apabila Fida dapat tahu, dia mengamuk marahkan saya. Kalau saya belikan pakaian untuk anaknya, dia bakar. Malah dia pernah ugut suami pilih anak atau saya. Jika sayangkan anak, ceraikan saya.''Oleh kerana dia sering ganggu saya, suami beri taklik ''jika dia ganggu saya lagi, maka tertalaklah dia dengan talak satu.'' Tapi Fida memang degil sanggup langgar taklik, maka tertalaklah dia dengan talak satu. Walaupun sudah bercerai, mertua masih jaga anaknya.

''Di samping itu, gangguan Fida terhadap saya tak pernah padam. Gelaran lembu tua mandul sudah jadi muzik merdu di telinga dan mulutnya.''Sebenarnya bukan saya tak berusaha dapat anak sendiri mengikut pelbagai cara, cuma belum ada rezeki. Malah saya pernah menjalani ujian IVF dengan bayaran RM15,000 di hospital swasta di KL beberapa tahun lalu. Doktor sahkan saya tak ada masalah cuma air mani suami kurang.

''Doktor nasihatkan suami buat beberapa kali ujian ICSI sebelum IVF dapat dilakukan kepada saya. Tetapi tak lama selepas itu, suami mengaku dia dah nikah. Saya masih tertanya-tanya siapa sebenarnya bermasalah, saya atau suami. Selama tiga tahun Fida jadi madu saya, dia tak beranak lagi sedangkan dia kata akan beranak tiap tahun untuk sakitkan hati saya. ''Dua tahun selepas bercerai secara taklik, Fida dan suami mahu nikah semula. Suami memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah. Sebelum ke mahkamah, suami beri amaran jangan banyak soal. 

''Ketika hakim tanya pasal giliran, Fida lebih awal beritahu ketika cuti sekolah suami mesti bersamanya, waktu lain dengan saya. Saya akur. Tetapi itu semua janjinya depan hakim. Hakikatnya suami tak boleh bersama saya. Setiap kali balik, dia akan telefon dan ganggu suruh suami balik dengan pelbagai alasan. Si perampas nak berkuasa tak sedar diri setelah rampas suami orang!

''Tak cukup dengan ugutan, Fida sanggup paparkan gambar seksinya bersama suami dalam FB. Apakah tujuannya kalau tidak untuk sakitkan hati saya! Tapi saya tak kisah kerana yang malu bukan saya, dia sendiri sebagai pendidik yang langsung tak ada maruah. Perbuatannya itu juga hanya memalukan suami di mata teman sepejabatnya." Itu cerita Sofi tentang madunya yang pembengis.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kredit : UtusanMalaysia



Mertua Sorok Anak, Supaya Tak Perlu Beri Nafkah

14 Apr 2022



Saya ingin menarik perhatian pembaca khususnya yang sudah bergelar ayah , sudahkah anda menyediakan segala keperluan untuk anak-anak anda menyambut hari yang berbahagia ini? Cukupkah makan minum serta pakaian anda sediakan untuk mereka?

Kepada ibu-ibu tiri semua, sudahkah anda ingatkan suami anda tentang nafkah kepada anak-anak yang ditinggalkan kepada bekas isteri? Jika belum ingatkan, sebab kealpaan suami akan mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan anda kerana bersuamikan lelaki yang tidak bertanggungjawab kepada anak-anak sendiri. Jika anda pula yang menyekat suami daripada beri nafkah kepada anak-anaknya, maka anda pasti akan menerima balasannya, sama ada cepat atau lambat, sebab janji Allah itu pasti.

Itu cuma sedikit ingatan kepada suamisuami yang enggan beri nafkah kepada anak-anaknya kerana tujuan mereka hanya hendak seksa bekas isteri supaya hidup sengsara tanggung  makan minum dan pakai anak-anak sendirian. Ingatlah anda tidak akan terlepas daripada pembalasan  Allah. Saya bawakan ingatan ini untuk kita berkongsi rintihan ramai ibu tunggal termasuk dari KSIT yang terhidmpit hidupnya kerana bekas suami enggan bertanggungjawab. Dari ramai ibu-ibu tunggal yang ditemui, mereka rata-rata melahirkan rasa keciwa kerana terpaksa menanggung anak-anak sendirian, sedangkan itu tanggungjawab kaum lelaki sebagai ayah. Tambah terseksa bila tiba Hari Raya dan permulaan awal persekolahan.

Antara beberapa ibu tunggal yang ditemui dan dihubungi, ada antara mereka menyalahklan Mahkamah Syariah yang tidak menyediakan peruntukan untuk memotong terus gaji bekas suami sebagai nafkah untuk anak-anak. Sebaliknya Mahkamah Syariah melepaskan masalah nafkah ini  kepada bekas isteri untuk buat tuntutan. Tidak kurang juga menggalakkan ibu-ibu tuanggal menggunakan  khidmat peguam untuk mendapatkan nafkah. “Puan Bismiyanti berkata, tindakan mahkamah suruh ambil peguam untuk dapatkan nafkah memang tidak adil, lepas bercerai, kebanyakan suami, termasuk suami saya tak mahu bagi nafkah, Sudah lebih setahun saya turun naik mahkamah buat tuntutan. Tetapi setiap kali ke mahkamah saman suami hadir, dia tak pernah datang, Dan kes tertangguh berkali-kali. Guna khidmat peguam bukan percuma, semua kena bayar. 

“Akhirnya kerana tidak mampu, saya terpaksa lupakan tuntutan. Sebab setiap kali ke mahkamah kena ambil cuti. Saya kerja dengan syarikat Cina mereka tak faham pasal mahkamah syariah, bila saya minta cuti, mereka kata saya ponteng. Dan beri amaran akan berhentikan kerja kalau selalu ambil cuti. 

“Jadi kalau puan di tempat saya mana lebih penting, nak tuntut nafkah kah atau nak fikirkan kerja. Kalau saya berhenti kerja sapa nak beri makan 3 orang anak saya ini? Siapa nak beli pakaian seragam dan buku sekolah bila awal penggal persekolahan nanti.. Jadi dengan rasa amat keciwa saya terpaksa lupakan tuntutan nafkah. Bukan kerana saya tak mahu tuntut, tapi saya lebih sayangkan kerja. Kerana itulah periok nasi kami anak beranak. “Bekas suami bukan tak bekerja, tetapi sengaja tak mahu bagi nafkah, sudah kahwin baru tetapi  dia lebih rela tanggung nafkah anak-anak tiri daripada anak-anak sendiri. 

Dia langsung tak peduli saman mahkamah katanya, “apa mahkamah boleh buat, kalau dia tak datang? “Ada juga sekali dua dia datang tengok anaknya di sekolah. Bila jumpa paling banyak dia beri anaknya RM10 seorang. Sebagai ayah dia langsung tak peduli tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan kepadanya untuk beri nafkah anak-anak, anak sakit pun dia tak kisah. Agaknya kerana tak mahu bagi nafkah, maka Allah tunjukkan depan mukanya yang dia dipaksa tanggung 2 orang anak tirinya. Itu pun masih tak sedar lagi.’’ Itu cerita Puan Bismiyanti

“Puan Aliah juga mempunyai pengalaman yang sama. Dia langsung tak tuntut mafkah ke mahkamah sebab memang tak ada duit nak bayar peguam. Dia cuma merayu kepada bekas suaminya supaya beri nafkah, terutama ketika Hari Raya dan awal penggal persekolahan. “Seperti biasa bukan senang nak dapat sebab dia kata dia pun dah ada anak sendiri lebih terok lagi kena beli susu dan pampers. Gajinya pun tak banyak. Katanya saya ibunya dan bekerja, jadi apa salahnya kalau saya tanggung anak-anak sendiri ?

“Bila saya kata beri nafkah tanggungjawab seorang ayah. Dia jawab itu cerita zaman dulu. Orang lelaki dulu dia seorang diri bekerja sementara isteri. duduk rumah. Jadi si ayah kena beri nafkah anak-anak. Tetapi zaman sekarang isteri atau ibu-ibu semua sudah bekerja, jadi isterilah yang patut bagi makan pakai anak-anaknya, tak perlu minta daripada suami. “Kerana selalu bergaduh pasal nafkah,  maka anak-anak tidak dapat belajar dengan baik, tambah saya duduk rumah flat, perangai anak-anak turut berubah. 

Oleh kerana saya sering kerja malam, anak-anak terbiar, ada kalanya ponteng sekolah. “Jadi salahkah anak-anak jika mereka terpengaruh dengan perangai budakbudak liar. Bekas suami salahkan saya kerana tak jaga anak. Masalahnya saya bekerja tak tentu masa, anak-anak tinggal sendirian di rumah. Gangguan luar sentiasa menguasai mereka, dan anak sulung saya berhenti sekolah dalam tingkatan 4. Dia tak minat bersekolah, akhirnya bekerja kedai motor. “Anak kedua saya perempuan, kerana takut dia ikut perangai abangnya saya hantar dia duduk dengan kakak saya di kampong. Alasan saya kalau duduk kampong sekolah dekat boleh jalan kaki, dan dia boleh bersama sepupunya. Alhamdulillah kini dia dalam tingkatan 4. “Tetapi bekas suami tuduh saya sengaja hantar anak ke kampung kerana saya nak enjoy tak mahu jaga anak. 

Sedangkan ada anak ketiga masih bersekolah dia duduk dengan saya.  Harapan saya bila anak kedua saya dapat masuk kolej atau naik tingkatan 6 nanti bolehlah saya hantarkan anak ke 3 ke kampung. Saya bersyukur kakak saya faham masalah saya dan mahu bantu saya jaga anak-anak saya. Tetapi setiap bulan saya tetap hantar duit bantuan kepadanya. “Saya tak peduli apa kata bekas suami, kerana saya mahu selamatkan anak-anak saya, saya tak mahu mereka ikut jejak abangnya yang liat ke sekolah. Pada saya kalau ayah sendifri tak mahu fikirkan nasib anak-anak buat apa ada ayah. Jangan besok bila dah tua jangan pulak tuduh anak-anak tak pedulikan ayah. Ayah mesti cermin diri sendiri’’ Itu cerita Aliah panjang lebar. Sementara itu, Puan Norraihana yang ada 2 orang anak masih kecil juga memberitahu hidupnya terseksa kerana besarkan anak-anaknya sendiri. 

Suaminya menghilangkan diri atas alasan pindah tempat kerja. Ingatkan betul, rupanya menyorok kerana tidak mahu beri nafkah anak-anak. “Bila saya sering hubunginya minta nafkah, dia tukar no telefon, supaya saya tak dapat hubungi dia lagi. Bila saya telefon ibunya di kampung, mereka beritahu mengapa saya cari dia lagi, sebab saya sudah diceraikan. Tetapi saya tak tahu. Dan tindakan terakhirnya dia ceraikan saya di mahkamah Syariah. Lebih licik, dia beritahu mahkamah syariah suruh datang jam 11 pagi, tetapi bila saya sampai dia sudah ceraikan saya di mahkamah syariah pada jam 10 pagi. Bila saya sampai, saya kebingongan. Tak tahu siapa yang betul.

“Walaupun sah saya diceraikan, tetapi saya tetap mencarinya untuk dapatkan nafkah, tetapi dia tetap menghilangkan diri. Berkali-kali saya bertanyakan kepada kaum keluarganya di mana anaknya tinggal dan di mana dia bekerja. Tetapi tidak seorang pun  mahu beritahu,  sebaliknya mereka salahkan saya kerana bercerai. Masalahnya saya diceraikan bukan saya ceraikan suami. “Pelik sungguh tuduhan keluarganya apakah saya wanita boleh ceraikan suami. Bukankah talak  ditangan suami? Tetapi keluarganya tetap salahkan saya kerana bercerai. Namun itu bukan masalahnya, saya tetap mahukan nafkah anak-anak daripada bekas suami.

“Saya pelik mengapa bekas mertua saya dan anak-anaknya tidak mahu beritahu atau nasihatkan anak lelakiunya supaya bertanggungjawab dan beri nafkah anakanaknya. Sepatutnya sebagai ibu menjadi tanggungjawab dia nasihatkan anaknya supaya jadi ayah yang baik dan amanah. “Jangan persoalkan mengapa kami bercerai, sebagai isteri memang saya tak mahu bercerai, tetapi kalau diceraikan juga salah saya ke? “Inilah masalahnya apabila emak ayah tidak mahu menasihatkan anaknya supaya beri nafkah sebaliknya menyembunyikan di mana anaknya berada. 

Tujuannya supaya anaknya iaitu bekas suami saya tidak tak perlu bagi nafkah anak-anak. Alasan bekas mertua, anaknya nak kahwin lagi, dan dia hendak bina keluarga baru yang perlukan duit.  Tetapi macam mana dengan nafkah anak-anak yang ditinggalkan kepada  bekas isteri. “Saya juga pernah menghubungi adik beradik bekas suami saya di KL minta mereka nasihatkan abangnya supaya beri nafkah. Sebaliknya adiknya menyalahkan, kerana saya yang salah hingga berlaku perceraian, maka saya tak boleh dapatkan nafkah. 

Mana dia orang sekolah? Cakap macam orang tak tahu agama, sedangkan ayahnya orang kuat masjid dan mereka pun mendapat pendidikan agama takkan soal nafkah anak pun mereka tak tahu? “Masalahnya bila saya bawa tuntutan nafkah ke mahkamah syariah, saya disuruh cari alamat bekas suami supaya mereka boleh hantar surat saman supaya hadir ke mahkamah. Masalahnya macam mana nak cari jika keluarganya sembunyikan anaknya daripada saya?

 “Kerana itu saya sarankan kepada Mahkamah Syariah supaya buat potong gaji suami yang bekerja atau berniaga sebaik sahaja mahkamah luluskan perceraian. Sebab sementara menunggu tuntutan nafkah yang makan masa bertahun-tahun, apa anak-anak nak makan. “ Jika salah satu pihak tidak setuju dengan jumlah potongan nafkah yang ditetapkan oleh mahkamah, maka mereka boleh lawan di mahkamah kemudiannya. Jadi, mahkamah fikirkan masalah ibu-ibu Tags: cerai Kahwin Ratapan Isteri suami tunggal yang terseksa tuntut nafkah dari bekas suami. Jangan biarkan anak-anak jadi mangsa kerana kebebalan ayah mereka,’’ itu harapan Norraihana supaya mahkamah syariah  buat peruntukan potong gaji bekas suami sebaik sahaja luluskan perceraian..


Kredit dckkmona


Pedihnya Hati Apabila Kekasih Melamar Sahabat Baik

29 Sept 2017



JODOH perlu diusahakan walaupun ketentuannya milik Allah. Yang penting berusahalah agar anda ditemukan dengan pasangan yang sesuai. Kisah ini dikirim oleh seorang wanita yang menamakan dirinya sebagai Naima (bukan nama sebenar) mengenai pengalamannya putus cinta setelah teman lelakinya bernikah dengan sahabatnya sendiri.Kita ikuti kisah Naima seterusnya. 


“Saya berusia awal empat puluh tahun. Masih belum bertemu yang serasi, bukan memilih tetapi keserasian atau sekufu juga perlu diambil kira. 

“Pelbagai kategori insan telah saya temui, dari yang sederhana sehinggalah ke peringkat atasan. Namun Allah belum menyingkap lelaki yang sesuai untuk saya. 

“Alhamdulillah dalam masa mencari saya akhirnya diperkenalkan dengan seorang teman baharu oleh seorang kawan baik yang saya anggap seperti saudara sendiri. 

“Perkenalan dengannya menjadikan diri saya berubah daripada seorang yang pendiam dan pemalu kepada seorang yang peramah dan boleh dibawa ke majlis. 

“Tanpa disedari saya mula jatuh cinta dengan lelaki itu yang saya panggil Zami. Orangnya sangat baik, peramah dan penyayang. “Hubungan kami sangat manis. Saya tahu dia sayangkan saya begitulah saya. Namun ujian Allah datang tanpa henti. Saya diuji dengan pelbagai perkara termasuk daripada sahabat baik yang memperkenalkan Zami kepada saya. 

“Dalam diam dia juga menaruh hati kepada Zami. Maka jadilah cinta tiga segi antara kami, itupun saya tidak tahu. Pandai mereka menyimpan rahsia. “Permainan cinta yang saya lalui amat menggerunkan, malah meninggalkan kenangan pahit dalam pencarian jodoh saya. 

“Sedih dan hiba apabila mendapat tahu sahabat saya, Nadia (bukan nama sebenar) memang bercinta dengan Zami, lelaki yang telah memberi harapan kepada saya. “Menyedari keadaan akan menjadi sulit saya bertekad mengundur diri. Saya maklumkan kepada Zami yang kami tidak ada jodoh dan saya minta diputuskan hubungan tanpa memberi alasan saya sudah tahu akan kisah cintanya dengan Nadia.

“Saya mengalah kerana tidak mahu kehilangan sahabat. Saya rela menjauhkan diri dari Zami kerana mahu melihat mereka bahagia. “Satu hari Zami menghubungi saya. Dia ingin berjumpa dengan saya dan menjelaskan perkara sebenar tentang apa yang berlaku dalam hubungan kami. “Tidak disangka di dalam pertemuan itu Zami membuat kejutan kepada saya dengan memaklumkan yang dia dan Nadia sudah bertunang. 

“Bayangkan dalam masa bercinta dengan saya dia melamar Nadia. Patutkah saya diperlakukan begitu? Apa salah saya? “Saya kecewa. Air mata yang tumpah tidak dapat mengembalikan hati saya yang sudah ranap. Nadia sepatah pun tidak beritahu saya yang dia telah bertunang dengan Zami sedangkan kami hari hari berjumpa. 

“Mungkin itulah istimewanya insan yang bergelar lelaki, pilihan di tangan mereka dan malang bagi wanita yang terpaksa akur dengan keputusan lelaki seperti Zami walaupun pedihnya umpama luka tertikam sembilu. “Hari dilangsungkan pernikahan mereka, saya hadir menjadi pengiring kepada Nadia yang bakal bergelar isteri pada Zami. Saya gagah hadir sebab tidak mahu menyinggung hati mereka atas dasar persahabatan.

“Saya cuba untuk tersenyum tetapi hati saya sangat sakit melihat pengantin begitu riang. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Menarik sungguh drama mereka. “Malah Zami langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang dia telah lakukan. Untuk pertama kali hajat saya memiliki seorang teman yang boleh dijadikan pelindung hidup musnah kerana rakusnya hati seorang sahabat yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

“Sehingga kini saya terfikir, apakah untuk memiliki sesuatu yang kita hajati kita perlukan keberanian yang luar biasa, jika kita terlalu berlembut atau bertolak ansur kita akan kecundang, sudahnya, milik kita dirampas orang! “Saya banyak belajar tentang hidup terutama setelah apa yang berlaku dalam hidup saya. Kerana tidak mahu terus terganggu dengan drama Zami dan Nadia saya akhirnya memohon untuk berhenti kerja dan berpindah ke tempat lain. 

“Sejak itu saya tidak pernah tahu lagi hal mereka. Malah mereka juga tidak berusaha untuk mencari dan bertanya khabar saya. Saya doakan mereka bahagia. “Dalam hidup ini saya percaya kepada ketentuan Allah. Mungkin jodoh saya belum sampai. Walau ramai yang mencuba tetapi saya sangat berhati-hati. Bimbang pisang berbuah dua kali. 

“Sesungguhnya tidak mudah untuk kita menegakkan tugu cinta dan mempertahankannya. Kerana kehadiran cinta belum pasti menjanjikan kebahagiaan, saya telah melaluinya dan saya sakit kerana cinta. Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk terus hidup,’’ Naima menutup ceritanya. Saya sangat bersimpati dengan masalah Naima. Menjadi lumrah dalam kehidupan apa yang kita sayangi, tidak semestinya menjadi milik kita.

Sabarlah Naima. Jangan ikutkan hati. Anda telah 
membuat keputusan bijak dengan 
mengalah dan merestui pernikahan mereka.
Bertabahlah Naima menghadapi cabaran hidup. Mungkin jodoh belum ada. Mungkin juga Allah S.W.T sedang menguji anda untuk menghadiahkan seorang lelaki yang lebih baik daripada Zami. Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, apapun, dulukan diri sendiri daripada perkara lain demi masa depan anda. 

Insya-Allah satu hari anda pasti ketemu lelaki idaman yang serasi dan dapat melindungi anda di dunia dan akhirat. 

Salam

Sumber : Utusan

Kredit : terbakor.com


Memang Semua LELAKI 'GATAL' Ke ??

26 Aug 2017



Nak tanya para lelaki dalam page ni, memang lelaki & gatal tak boleh hilang ke macam mana? Even dah kahwin pun.

Masalah saya ni taklah besar mana. Saya tak tahu lah saya ni sensitive ke ape, tapi perempuan kot, mesti lah terasa bila suami tengok perempuan lain. Even dalam social media pun. Suami saya suke sangat comment gatal & lucah kat gambar perempuan, model lah. Kadang dia sorang, kadang kawan2 tag dia, kadang dia tag kawan2. Saya rase jijik & malu bila terjumpa & baca. Dia dah buka aib sendiri, kalau saya boleh terjumpa, mesti kenalan kami yang rapat pun boleh nampak. Saya rase malu sangat.

Banyak kali dah lah saya jumpa, tapi saya diam je, taknak tanya, sbb nak jaga hati dia even sakit je hati bila baca ayat dia. Satu hari tu saya jumpa comment dia, dia nampak saya baca, saya tak ckp apa, saya sentap, diam je wholeday tak cakap dgn dia. Then dia minta maaf, dia cakap dia melawak je, janji tak buat lagi. Saya iya kan je lah, malas nak ckp banyak.

Ingat kan dah stop, paling latest, saya ternampak masa dia tinggal phone dia atas meja, dia pm lucah model suruh bj. Tuhan je yg tahu ape saya rase masa tu. Sampai saya dah tawar hati dengan dia. Dah tak rasa apa bila tengok dia comment mcm tu, sbb dah boleh expect. Sampai nak bersama pun dah takde mood, sbb teringat semua ayat2 dia. Saya jadi meluat bila tengok dia, depan cakap lain, belakang buat lain. Saya boleh je balas balik, biar dia rase, tapi saya tak sanggup langsung nak buat macam tu, nak guris perasaan dia, sbb saya tahu rasa sakit tu macam mana. Kadang tu saya jadi syak macam2 kat dia, takut dia buat benda yang sama kat tempat keje/luar. Saya betul dah lost respect kat dia, tengah cuba so hard nak gain kan balik.

Minta maaf cakap, benda macam ni mungkin orang nampak kecik, takde ape, tapi bagi saya benda benda macam ni sikit sebanyak merosakkan hubungan suami isteri. Boleh jadi moody bila pikir balik.

Para suami, tolonglah jaga sikit hati & perasaan isteri, benda macam ni tak lawak langsung, macam takde benda lain nak melawak. Tunduk lah sikit pandangan tu, jgn sebab benda bodoh macam ni, hubungan suami isteri renggang.



Renung-Renungkan....Luahan Hati Isteri Kedua

29 May 2017




Aku isteri kedua. Aku dituduh sebagai perampas suami orang. AKu dikeji, dihina dan dilemparkan dengan pelbagai tomahan yang menyakitkan. Sebelum ni aku pekakkan telinga kerana percaya bahawa cinta kami mampu mengatasi segala dugaan yang melanda. Ternyata aku silap. Sudah sepuluh tahun kami bernikah. Keluarga mertua dan ipar duai masih tak dapat menerima aku. Malah anak-anak aku juga dibenci. Maduku memang tak bersetuju kami berkahwin sepuluh tahun lalu. Tetapi dia hanya mendiamkan diri dan mungkin memendam rasa hingga kini. Aku cuba merebut kasih suami dan memastikan aku dan anak-anak mendapat kelebihan utama dari maduku dan anak-anaknya. Benar aku menang. Aku bukan saja berjaya merampas suami maduku tetapi juga ayah kepada anak-anaknya.

Tapi hidupku tak seperti pasangan lain. Aku tak pernah merasa kasih sayang ibu mertua atau keakraban ipar duai. Setiap kali raya aku akan disisihkan. Kami akan bergilir-gilir pulang ke kampung. Tahun pertama, suami membawa aku dan maduku pulang ke kampung bersama. Aku diperlekehkan. Semua orang membenci aku. Ipar duai ku yang mulut celupar mengutuk aku depan-depan. Tahun kedua, aku beraya di rumah aku dan aku sangat bahagia. Tetapi petang raya pertama suami aku harus pergi menemui anak-anaknya dirumah isteri pertama. Aku ingatkan sebab aku takde anak, maka dia lebih selesa dengan anak-anaknya.

Tahun ke tiga kami dapat seorang anak, waktu itu aku baru habis pantang dan beraya sendirian tanpa suami kerana tahun itu giliran suami beraya dengan isteri dan anak-anaknya. Sepatutnya dia menemui aku pada hari raya kedua tetapi mak mertua aku memaksa dia pulang ke kampungnya. Suami ajak aku balik sekali tapi aku dah serik. Mereka buat aku macam aku ni tak wujud. Aku rasa terasing dan berkecil hati dengan sikap mereka.

Rumah aku dan rumah maduku jaraknya 45 minit. Suami aku tak dapat bergilir-gilir setiap hari kerana sukar baginya untuk berulang sejauh itu, jadi kami ambil keputusan untuk mengambil giliran sorang seminggu. Seminggu suami disana dan seminggu disini. Pada awal perkahwinan kami, aku berjaya buat suami duduk bersama aku selama 2-3 minggu. Dalam sebulan kadang-kadang seminggu je suami di rumah maduku.

Kini semuanya berubah. Anak-anak maduku kini sudah berjaya. Mereka juga sudah besar-besar dan semuanya sudah tamat pelajaran. Suami aku seakan selesa bersama anaknya yang berjaya sedangkan anak-anak aku yg masih kecil dianggap menyusahkan. Kini anak-anak maduku sudah berkerjaya dan berjaya. Sesekali mengajak ayahnya bercuti keluar negara dan aku sering ditinggalkan. Maduku dan anak-anaknya seolah-seolah nak buat suami gembira ketika disamping mereka hingga melupakan aku. Begitu yang aku lakukan sejak 10 tahun lalu. Kini aku kembali terima nasib yang sama.

Pernah satu hari, anak aku sakit. Aku cuba hubungi suami tapi tak dapat. Aku terpaksa tebalkan muka kerumah maduku untuk mencari suami. hanya anak bungsu suami yang berusia 19 tahun yang ada dirumah dan dia kata ayah, ibu dan abang kakanya bercuti ke London. AKu minta dia berikan contact number suami sebab anak aku sakit. Anak bongsu suami marahkan aku. dia berkata dengan kasar 'tak puas lagi ke ganggu kebahagiaan orang?' aku menahan diri. biarlah dia nak cakap apa-apa asalkan aku dapat cara untuk hubungi suami aku. tapi dengan sombong, anak bongsu suami baling duit 300 ratus ringgit dan suruh aku hantar anak aku ke klinik. Aku rasa terhina tapi aku ambik jugak duit tu sebab aku takde duit nak rawat anak aku sakit.

Baru-baru ni, anak sulong suami mencadangkan suami agar ayahnya berkahwin lagi satu. mereka memperkenalkan ayahnya dengan seorang janda muda kematian suami pada hari ke 3 mereka bernikah. suami aku nampaknya macam suka. Anak sulong suami memberi alasan, kasihan kepada janda muda itu kerana kematian suami, yatim piatu dan tiada tempat bergantung. memandangkan suami aku mampu, maka anak-anaknya mencadangkan cadangan yang sangat menyakitkan hati aku. aku tau mereka sekadar nak membalas dendam kerana aku pernah merampas ayah mereka sepuluh tahun lalu.

suami aku kini berubah, dia sibuk dengan bakal isteri ke-3nya itu. aku makan hati. aku tak kerja, anak-anak pula masih kecil. memang aku tau suami aku mampu tapi batin aku tersiksa. mungkin ini balasan untuk aku. aku tiada tempat mengadu, mak aku dah pesan sejak mula tapi aku degil dan ikutkan kata hati. semuanya kerana cinta. baru aku terfikir, kalau suami aku dulu sanggup lupakan isterinya, abaikan anak-anaknya kerana aku, mungkin satu masa dia akan abaikan aku demi wanita lain. maklumlah barang baru.

kepada gadis-gadis diluar sana yang terjebak dengan cinta suami orang, fikirkanlah... bukan senang nak berkongsi kasih.

1. Keluarga mertua tak terima
2. Ipar duai mengutuk dan mengina
3. Effect pada anak-anak yang tak berdosa pun orang tak suka
4. Sukar merebut kasih sayang
5. bukan senang nak dapat suami yang betul-betul adil, salah sorang mesti ada yang lebih
6. hidup tak macam orang lain, ada masa kita rasa macam tidak bersuami
7. maki hamun orang setiap hari jadi doa, tak mungkin akan bahagia jika hari-hari orang doa yg tak baik tentang kita
8. ibu bapa kedua belah pihak tak restu

kita mungkin berjaya rampas suami orang, tapi berjayakah kita hidup bahagia, mengecapi nikmat rumahtangga sebenar? bagi suami hanya SEX yang paling nikmat dalam dunia, yang lain dia peduli apa?


Kredit :  astalavista6048

Wanita Kini Menyesal Kerana Kahwin Sembunyi

18 May 2011




PERKAHWINAN sememangnya sesuatu yang dituntut dalam Islam, malah begitu besar makna perkahwinan ia diumpamakan mendirikan sebuah masjid - rumah Allah yang melambangkan kemuliaan dan kesucian. Bagaimanapun ada juga perkara semulia ini dilakukan secara sembunyi kerana beberapa faktor termasuk tidak mendapat restu orang tua atau atas tujuan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

Bagi Balqis Abdul Rahman (bukan nama sebenar) perkahwinan secara sembunyi dengan Darus yang merupakan suami orang, memberikan kesan mendalam kepada kehidupannya hingga ke hari ini. Kini selepas tiga tahun berkahwin hati kecilnya tetap meronta menganggap perkahwinan mereka berdua tetap tidak sempurna. "Biarpun kami bahagia tetapi hubungan kami masih rahsia malah suami juga datang 'curi-curi' ke rumah saya," katanya.

Malah kata Balqis , sehingga kini kedua orang tua masih menganggap dirinya bujang walaupun telah menjangkau usia 36 tahun. "Kalau pulang bercuti di kampung, semua tidak tahu saya telah berkahwin malah sindiran anak dara tua sudah kalis di telinga saya,'' ujarnya membuka cerita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Dia mengakui ketika ingin bernikah dengan Darus, dia terlalu mengikutkan hati hingga sanggup membelakangkan orang tua dan berkahwin secara sembunyi.

Namun ketika itu niatnya murni kerana tidak mahu terjebak dengan maksiat tetapi sayangnya tindakan tersebut hanyalah memakan diri sendiri. "Bukan setakat tidak boleh menghebohkan status sebenar saya, malah saya juga tidak dibenarkan mengandung sedangkan sebagai wanita normal perasaan ingin menjadi ibu meronta-ronta dalam diri. "Melihat orang lain yang berkahwin dan mempunyai anak menjadikan saya cemburu dan menyesal kerana menggunakan jalan ini untuk berkahwin,'' cerita anak kelahiran Perlis ini. Balqis kini sedar berkahwin senyap dan menjadi isteri kedua bukanlah sesuatu yang membahagiakan.

"Walaupun pada pandangan mata masyarakat saya gembira dengan kehidupan saya tetapi hati kecil saya tetap menderita,'' ujarnya. Akuinya, memang di mata masyarakat dia sempurna kerana mempunyai kemewahan dan dipandang bahagia, namun dia hati kecil tetap wujud perasaan menyesal. Dia seperti isteri lain, Balqis sukar untuk keluar bebas bersama suaminya kerana takut terserempak dengan ahli keluarganya sendiri. Malah, suaminya sendiri tidak bebas untuk pulang ke rumahnya walaupun mempunyai ikatan yang sah. "Syahdunya bila terkenang perkara itu, malah musim perayaan adalah saat yang pahit untuk saya lalui. Maklumlah tidak dapat beraya dengan suami.

"Sebagai seorang isteri teringin mengucup tangan suami di pagi raya, tetapi semua itu terlalu payah untuk berlaku,'' ujarnya sebak.
Malah, giliran untuk bermalam juga boleh dikatakan tidak adil kerana takut dengan persekitaran dan pengetahuan keluarga. Tambahnya lagi, walaupun ini kerelaan hatinya sendiri tetapi perasaan menyesal menyelubungi hatinya sehingga saat ini. "Kini baru saya tahu akibatnya walaupun dulu ramai kawan-kawan menasihati saya supaya tidak menurut kata hati,'' ujarnya. Katanya, perkenalan semasa di universiti dengan suaminya, Darus membuatkan dia selesa untuk terus berkawan walaupun mengetahui lelaki adalah suami orang dan bapa kepada empat anak.

"Awalnya saya tiada perasaan langsung pada Darus tambahan pula dia lebih tua 10 tahun daripada saya, namun kerana pandai berjenaka dan berkata-kata membuatkan saya cair hati," katanya. Malah akui Balqis setiap hari selepas kelas dia tetap akan bertemu Darus di perpustakaan untuk mengulangkaji bersama. "Mungkin dari situ, cinta mula bertaut, malah sudah terbit perasaan rindu apabila musim cuti semestar'' katanya. Hubungan itu berterusan sehingga Balqis bekerja dan hubungan tersebut juga sudah diketahui isteri Darus. 

"Alasan itu menjadikan hubungan kami semakin kukuh walaupun ketika itu ibu bapa saya menentang keras hubungan kami. "Saya pernah bawa Darus pulang ke rumah dan berterus terang dengan keluarga tetapi ditentang hebat oleh bapa. "Bermula dari situ, kami membuat perancangan untuk berkahwin lari dan sembunyikan status kami. Malah kerana terlalu sayangkan Darus, saya sendiri yang mencari prosedur untuk berkahwin di sempadan sehinggalah semuanya selesai,'' ujarnya lagi. Ditanya perasaan berkahwin secara sembunyi ketika itu, Balqis hanya menjelaskan, saat itu yang terfikir dibenaknya adalah hubungan yang sah.

"Saya tidak mahu berterusan dalam dosa, maklumlah setiap kali bertemu pasti ada dosa-dosa yang akan dilakukan,'' ujarnya penuh menyesal. Malah perjalanan menuju ke sempadan untuk berkahwin juga merupakan kenangan pahit yang akan dikenang sampai akhir hayat kepada dirinya. "Ketika itu, kami terpaksa bermalam di dalam kereta di sebuah perhentian tol sebelum menunggu orang tengah yang akan membawakan kami berdua ke negara jiran,'' ujarnya yang berkahwin di Selatan Thailand. Saat itu katanya, terbayang kedua wajah orang tua yang membesarkan dirinya sehingga berjaya menghantar ke menara gading.

Malah ketika imam datang mendapatkan persetujuan sebelum akad dimulakan, hati tiba-tiba menjadi sebak dan terus terbayang wajah ibunya. "Masa itu, saya seolah-olah terdengar suara ibu. Tetapi demi cinta, saya diamkan sahaja,'' ujarnya. Kini biarpun suaminya adil menjalankan tanggungjawab dan tidak lagi curang tetapi dia tetap merasakan dirinya terabai. Malah ketika ditanya kehidupan sekarang, dengan laju Balqis menjawab biarpun luaran bahagia tetapi hatinya tetap tidak puas. "Keadaan ini kadang-kadang membuatkan saya murung sendiri dan memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan,'' ujarnya. Keadaan bertambah buruk apabila dia mendapat tahu suami telah bermain kayu tiga dengan seseorang .

"Ketika itu hanya Allah sahaja tahu perasaan. ingin kembali kepada keluarga pastinya akan di marah, jadi saya hanya berdiamkan diri sahaja. "Saya ada juga meminta cerai daripada suaminya tetapi hanya kemaafan sahaja yang keluar dari mulut suami," katanya. Akuinya sejak itu, hatinya mula tawar kepada suami malah hanya kelangsungan hidup sahaja membuatkan dia meneruskan perkahwinan tersebut. "Sekiranya saya berkahwin normal, mungkin keluarga adalah tempat yang saya mengadu dan juga pejabat Agama. Tetapi dalam situasi ini tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh saya melain menangis,'' ujarnya sebak mengenangkan perangai suaminya.

Kini dia hanya mampu berdoa supaya suami akan berubah dan pulang berterus terang kepada keluarga. "Perkara yang paling penting sekarang ialah mendapatkan restu orang tua saya dan selepas itu bolehlah saya mengandung,'' ujarnya memberitahu menggunakan alat perancang keluarga setiap kali bersama dengan suaminya. Katanya lagi, mungkin dengan kehadiran anak nanti ia akan menyambungkan semula hubungan suami dan kedua ibu bapanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.