Wanita Kini Menyesal Kerana Kahwin Sembunyi
PERKAHWINAN sememangnya sesuatu yang dituntut
dalam Islam, malah begitu besar makna perkahwinan ia diumpamakan mendirikan
sebuah masjid - rumah Allah yang melambangkan kemuliaan dan kesucian. Bagaimanapun ada juga perkara semulia ini
dilakukan secara sembunyi kerana beberapa faktor termasuk tidak mendapat restu
orang tua atau atas tujuan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.
Bagi Balqis Abdul Rahman (bukan nama sebenar)
perkahwinan secara sembunyi dengan Darus yang merupakan suami orang, memberikan
kesan mendalam kepada kehidupannya hingga ke hari ini. Kini selepas tiga tahun berkahwin hati
kecilnya tetap meronta menganggap perkahwinan mereka berdua tetap tidak
sempurna. "Biarpun kami bahagia tetapi hubungan
kami masih rahsia malah suami juga datang 'curi-curi' ke rumah saya,"
katanya.
Malah kata Balqis , sehingga kini kedua orang
tua masih menganggap dirinya bujang walaupun telah menjangkau usia 36 tahun. "Kalau pulang bercuti di kampung, semua
tidak tahu saya telah berkahwin malah sindiran anak dara tua sudah kalis di
telinga saya,'' ujarnya membuka cerita ketika ditemui di rumahnya baru-baru
ini. Dia mengakui ketika ingin bernikah dengan
Darus, dia terlalu mengikutkan hati hingga sanggup membelakangkan orang tua dan
berkahwin secara sembunyi.
Namun ketika itu niatnya murni kerana tidak
mahu terjebak dengan maksiat tetapi sayangnya tindakan tersebut hanyalah
memakan diri sendiri. "Bukan setakat tidak boleh menghebohkan
status sebenar saya, malah saya juga tidak dibenarkan mengandung sedangkan
sebagai wanita normal perasaan ingin menjadi ibu meronta-ronta dalam diri. "Melihat orang lain yang berkahwin dan
mempunyai anak menjadikan saya cemburu dan menyesal kerana menggunakan jalan
ini untuk berkahwin,'' cerita anak kelahiran Perlis ini. Balqis kini sedar berkahwin senyap dan menjadi
isteri kedua bukanlah sesuatu yang membahagiakan.
"Walaupun pada pandangan mata masyarakat
saya gembira dengan kehidupan saya tetapi hati kecil saya tetap menderita,''
ujarnya. Akuinya, memang di mata masyarakat dia
sempurna kerana mempunyai kemewahan dan dipandang bahagia, namun dia hati kecil
tetap wujud perasaan menyesal. Dia seperti isteri lain, Balqis sukar untuk
keluar bebas bersama suaminya kerana takut terserempak dengan ahli keluarganya
sendiri. Malah, suaminya sendiri tidak bebas untuk
pulang ke rumahnya walaupun mempunyai ikatan yang sah. "Syahdunya bila terkenang perkara itu,
malah musim perayaan adalah saat yang pahit untuk saya lalui. Maklumlah tidak
dapat beraya dengan suami.
"Sebagai seorang isteri teringin mengucup
tangan suami di pagi raya, tetapi semua itu terlalu payah untuk berlaku,''
ujarnya sebak.
Malah, giliran untuk bermalam juga boleh
dikatakan tidak adil kerana takut dengan persekitaran dan pengetahuan keluarga. Tambahnya lagi, walaupun ini kerelaan hatinya
sendiri tetapi perasaan menyesal menyelubungi hatinya sehingga saat ini. "Kini baru saya tahu akibatnya walaupun
dulu ramai kawan-kawan menasihati saya supaya tidak menurut kata hati,''
ujarnya. Katanya, perkenalan semasa di universiti
dengan suaminya, Darus membuatkan dia selesa untuk terus berkawan walaupun
mengetahui lelaki adalah suami orang dan bapa kepada empat anak.
"Awalnya saya tiada perasaan langsung
pada Darus tambahan pula dia lebih tua 10 tahun daripada saya, namun kerana
pandai berjenaka dan berkata-kata membuatkan saya cair hati," katanya. Malah akui Balqis setiap hari selepas kelas
dia tetap akan bertemu Darus di perpustakaan untuk mengulangkaji bersama. "Mungkin dari situ, cinta mula bertaut,
malah sudah terbit perasaan rindu apabila musim cuti semestar'' katanya. Hubungan itu berterusan sehingga Balqis
bekerja dan hubungan tersebut juga sudah diketahui isteri Darus.
"Alasan itu menjadikan hubungan kami
semakin kukuh walaupun ketika itu ibu bapa saya menentang keras hubungan kami. "Saya pernah bawa Darus pulang ke rumah
dan berterus terang dengan keluarga tetapi ditentang hebat oleh bapa. "Bermula dari situ, kami membuat
perancangan untuk berkahwin lari dan sembunyikan status kami. Malah kerana terlalu sayangkan Darus, saya
sendiri yang mencari prosedur untuk berkahwin di sempadan sehinggalah semuanya
selesai,'' ujarnya lagi. Ditanya perasaan berkahwin secara sembunyi
ketika itu, Balqis hanya menjelaskan, saat itu yang terfikir dibenaknya adalah
hubungan yang sah.
"Saya tidak mahu berterusan dalam dosa,
maklumlah setiap kali bertemu pasti ada dosa-dosa yang akan dilakukan,''
ujarnya penuh menyesal. Malah perjalanan menuju ke sempadan untuk
berkahwin juga merupakan kenangan pahit yang akan dikenang sampai akhir hayat
kepada dirinya. "Ketika itu, kami terpaksa bermalam di
dalam kereta di sebuah perhentian tol sebelum menunggu orang tengah yang akan
membawakan kami berdua ke negara jiran,'' ujarnya yang berkahwin di Selatan
Thailand. Saat itu katanya, terbayang kedua wajah orang
tua yang membesarkan dirinya sehingga berjaya menghantar ke menara gading.
Malah ketika imam datang mendapatkan
persetujuan sebelum akad dimulakan, hati tiba-tiba menjadi sebak dan terus
terbayang wajah ibunya. "Masa itu, saya seolah-olah terdengar
suara ibu. Tetapi demi cinta, saya diamkan sahaja,'' ujarnya. Kini biarpun suaminya adil menjalankan
tanggungjawab dan tidak lagi curang tetapi dia tetap merasakan dirinya terabai. Malah ketika ditanya kehidupan sekarang,
dengan laju Balqis menjawab biarpun luaran bahagia tetapi hatinya tetap tidak
puas. "Keadaan ini kadang-kadang membuatkan
saya murung sendiri dan memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan,''
ujarnya. Keadaan bertambah buruk apabila dia mendapat
tahu suami telah bermain kayu tiga dengan seseorang .
"Ketika itu hanya Allah sahaja tahu
perasaan. ingin kembali kepada keluarga pastinya akan di marah, jadi saya hanya
berdiamkan diri sahaja. "Saya ada juga meminta cerai daripada
suaminya tetapi hanya kemaafan sahaja yang keluar dari mulut suami,"
katanya. Akuinya sejak itu, hatinya mula tawar kepada
suami malah hanya kelangsungan hidup sahaja membuatkan dia meneruskan
perkahwinan tersebut. "Sekiranya saya berkahwin normal, mungkin
keluarga adalah tempat yang saya mengadu dan juga pejabat Agama. Tetapi dalam
situasi ini tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh saya melain menangis,''
ujarnya sebak mengenangkan perangai suaminya.
Kini dia hanya mampu berdoa supaya suami akan
berubah dan pulang berterus terang kepada keluarga. "Perkara yang paling penting sekarang
ialah mendapatkan restu orang tua saya dan selepas itu bolehlah saya
mengandung,'' ujarnya memberitahu menggunakan alat perancang keluarga setiap
kali bersama dengan suaminya. Katanya lagi, mungkin dengan kehadiran anak
nanti ia akan menyambungkan semula hubungan suami dan kedua ibu bapanya.
No comments
Post a Comment