SLIDER

madu
Showing posts with label madu. Show all posts

Sangat Tragik, Bermadu Dengan Madu Yang Bengis Dan Ganas

21 Apr 2022



SAYA sependapat dengan Lela dan Izani juga isteri-isteri pertama yang teraniaya. Saya tidak setuju dengan pendapat Zee tentang "Isteri pertama tak sedar diri". Sebenarnya wanita yang rampas suami oranglah yang paling kejam dan tak tau diuntung. ''Daripada pengalaman saya sejak bermadu dengan Fida, hidup saya bukan sahaja tidak tenteram malah terperangkap sama dengan dosa yang dilakukannya.'' Itu cerita Sofi ketika kami berbual panjang di telefon minggu lalu.


''Saya sudah berkahwin selama 22 tahun, tetapi tidak mempunyai anak. Saya ambil anak saudara suami untuk dijadikan anak angkat. Mana tahu ada rezeki dapat anak sendiri. Namun kami masih belum ada rezeki. Malangnya suami buat hal, dia kahwin di Siam. ''Suatu hari dia beritahu dah kahwin. Saya tanya bila? Di mana? Dengan siapa? Kenapa tak beritahu awal? Dia sergah saya balik. Kena minta izin ke? Bukan itu maksud saya tetapi mengapa nikah di Siam? Saya boleh pinangkan kalau betul-betul dia nak kahwin. Mengapa mesti sembunyi?

''Lebih mengecewakan, jika sebelum ini hidup kami aman damai, setelah bernikah dengan Fida, saya sering diganggu dengan panggilan telefon yang menyakitkan hati. Madu saya akan panggil suami segera balik setiap kali giliran saya. ''Dia tak izinkan suami jumpa anak angkat kami apa lagi berjumpa saya. Dia marah malah panggil saya lembu tua. Saya beritahu suami, dia nasihatkan berbuat baik. Saya ikut nasihat suami dan demi kebaikan bersama, saya minta dia kenalkan dengan Fida. Pada hari ditetapkan, saya pergi bersama suami dan ibu bapa mertua ke rumah Fida dengan tujuan nak berkenalan.

''Dua jam kami menunggu dia tak keluar jumpa kami. Puas suami saya pujuk. Pelik sungguh! Saya datang dengan niat berbaik, bukan nak serang dia. Akhirnya dia keluar juga. Saya lihat dia dah mengandung. Melihat rupanya, tak sangka dia orang yang sering maki hamun saya selama ini. Dia nampak tertib depan mertua saya. Langkahnya lemah longlai, suaranya lemah lembut. Saya tak boleh bayangkan macam mana orang lembut seperti ini bercakap kasar dan panggil saya lembu tua. ''Patutlah suami saya tak percaya apa yang saya ceritakan. Sebab bila bercakap depan suami, macam langit dengan bumi. 

''Katanya dia masih belum bekerja dan baru dapat ijazah kaunseling dari universiti, berumur 24 tahun, 17 tahun muda daripada suami saya. Apa yang mengejutkan, suami kata mereka baru dua bulan kahwin, tapi perutnya dah besar. Katanya dia dijangka bersalin Februari tahun depan. ''Bukan nak memuji, suami saya memang baik. Kami sering solat berjemaah dan saya tak fikir suami terlanjur kerana dia bukan lelaki rakus, tambahan mereka baru beberapa bulan berkenalan. 

''Nak dijadikan cerita, enam bulan nikah, dia selamat melahirkan seorang bayi seberat tiga kilogram. Dengan megah dan tanpa malu, dia menjaja cerita yang dia sudah ada anak, bukan macam saya 'lembu tua mandul'. Dalam geram, saya tanya dia semula; Baru nikah dah beranak. Anak siapa? Dia mengamuk mengadu pada suami suruh ceraikan saya. Hem! sudahlah suami kita dirampas. Dia suruh saya diceraikan dan berani panggil saya lembu tua. ''Saya beritahu suami bukan saya ganggu dia, tetapi Fida yang selalu telefon dan SMS ganggu saya. Kerana suami tak percaya, saya beri telefon saya pada suami biar dia sendiri dengar dan baca SMS Fida. Pernah saya tukar nombor telefon tetapi dia tahu semua, mungkin dia dapat daripada telefon suami. 

''Tak lama kemudian permohonannya jadi guru diterima dan dia perlu belajar semula. Jadi dia serahkan anak pada mertua suruh jaga. Pernah juga saya bawa anaknya ke rumah saya kerana jika suami kata itu anaknya, saya cuba sayangi anak itu. Apabila Fida dapat tahu, dia mengamuk marahkan saya. Kalau saya belikan pakaian untuk anaknya, dia bakar. Malah dia pernah ugut suami pilih anak atau saya. Jika sayangkan anak, ceraikan saya.''Oleh kerana dia sering ganggu saya, suami beri taklik ''jika dia ganggu saya lagi, maka tertalaklah dia dengan talak satu.'' Tapi Fida memang degil sanggup langgar taklik, maka tertalaklah dia dengan talak satu. Walaupun sudah bercerai, mertua masih jaga anaknya.

''Di samping itu, gangguan Fida terhadap saya tak pernah padam. Gelaran lembu tua mandul sudah jadi muzik merdu di telinga dan mulutnya.''Sebenarnya bukan saya tak berusaha dapat anak sendiri mengikut pelbagai cara, cuma belum ada rezeki. Malah saya pernah menjalani ujian IVF dengan bayaran RM15,000 di hospital swasta di KL beberapa tahun lalu. Doktor sahkan saya tak ada masalah cuma air mani suami kurang.

''Doktor nasihatkan suami buat beberapa kali ujian ICSI sebelum IVF dapat dilakukan kepada saya. Tetapi tak lama selepas itu, suami mengaku dia dah nikah. Saya masih tertanya-tanya siapa sebenarnya bermasalah, saya atau suami. Selama tiga tahun Fida jadi madu saya, dia tak beranak lagi sedangkan dia kata akan beranak tiap tahun untuk sakitkan hati saya. ''Dua tahun selepas bercerai secara taklik, Fida dan suami mahu nikah semula. Suami memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah. Sebelum ke mahkamah, suami beri amaran jangan banyak soal. 

''Ketika hakim tanya pasal giliran, Fida lebih awal beritahu ketika cuti sekolah suami mesti bersamanya, waktu lain dengan saya. Saya akur. Tetapi itu semua janjinya depan hakim. Hakikatnya suami tak boleh bersama saya. Setiap kali balik, dia akan telefon dan ganggu suruh suami balik dengan pelbagai alasan. Si perampas nak berkuasa tak sedar diri setelah rampas suami orang!

''Tak cukup dengan ugutan, Fida sanggup paparkan gambar seksinya bersama suami dalam FB. Apakah tujuannya kalau tidak untuk sakitkan hati saya! Tapi saya tak kisah kerana yang malu bukan saya, dia sendiri sebagai pendidik yang langsung tak ada maruah. Perbuatannya itu juga hanya memalukan suami di mata teman sepejabatnya." Itu cerita Sofi tentang madunya yang pembengis.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kredit : UtusanMalaysia



HADIS 'PAYUNG EMAS' PALSU . Ustazah Asma turut memberi Pandangan atas Pencerahan Datuk Seri Zulkifli

3 Feb 2022




Istilah 'Payung Emas' yang akan diperolehi wanita sekiranya membenarkan suaminya berpoligami berikutan ia sunnah Rasulullah SAW merupakan hadis palsu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu. 
Ustazah Asma' Harun turut memberi pandangannya berkenaan pencerahan yang diberikan oleh Datuk Seri Zulkifli.
Alhamdulillah, semoga dengan pencerahan ini, kita lebih berhati-hati berkata atau menulis berkaitan isu ini, daripada dulu saya konsisten menyatakan bahawa ia adalah palsu, namun tetap pihak-pihak guna pakai, kadang dengan nada bergurau.
Bahkan selalu diingatkan kepada lelaki yang ingin berpoligami, jangan memaksa isteri dengan mengingatkan tentang besarnya ganjaran itu ini hingga menggunakan hujjah palsu, paksa terima atas nama taqdir dan jodoh, jika anda sebenarnya tidak mampu dan tidak layak. Tambah pula isteri tidak mahu, telah berikan khidmat yang sehabis baik, maksudnya tiada sebab kukuh syara’ atau tidak sihat hingga tak mampu memenuhi keperluan batin, atau tidak dapat hamil, atau mungkin mempunyai akhlak yang sangat buruk.

Mudahan si isteri dapat pahala dan Syurga atas sabarnya, bimbang suami pula tiada di syurga atas sebab berlaku zalim. Zalim ni memang luas dan perlu perbahasan ilmiah, ramai yang rasa dia tak buat zalim sebab isteri tak bersuara, suami seolah boleh guna kuasanya atas alasan wajib ditaati. Jika suami dah cuba sehabis baik, namun isteri tetap tidak mampu terima, maka tidaklah zalim lagi.
Ingatlah menyakiti hati saudara muslim itu perbuatan dilarang, sakitkan hati kawan-kawan pun diberi dosa, ini hati isteri yang telah banyak memberi bakti. Data kelahiran anak lelaki di Malaysia masih ramai lagi lelaki berbanding perempuan, jika dibuat alasan itu juga perlu diperhalusi.
Benar, memang ada poligami yang harmoni, boleh dijadikan contoh kepada ummah. Biasanya suami ni memang seorang yang luar biasa usaha untuk berikan yang terbaik dalam pelbagai segi, juga yang ada ikhtiar merawat hati isteri pertama dan anak-anak secara berterusan.

Paling utama adalah benar-benar ikut cara Nabi SAW. Kenapa setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA baru Nabi mula poligami, pada usia 53 tahun dan ke atas, semua tu boleh jadi timbang tara. Dengan siapa yang dinikahi, atas dasar apa dan lain-lain. Memang bila dikaji, setiap apa yang Nabi SAW lakukan ada hikmah besar. Maka yang ingin bernikah lagi dengan alasan sunnah Nabi SAW, paling penting cara pelaksanaan juga diikuti. Hadis berkaitan Nabi SAW tidak setuju anakanda Fatimah R.A. untuk dimadukan adalah sahih.
Bahkan tidak berdosa isteri yang menolak keinginan suami berpoligami atas sebab tertentu, petikan daripada artikel pada link di bawah:

“Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah R.A. bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Thalib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian daripadaku, aku merasa senang dengan apa sahaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya."

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)

Bacaan penuh:
Kenapa ia terlalu sakit?
Banyak sebab. Antaranya:
Kebanyakan pasangan daripada awal nikah, bermula dengan kehidupan yang susah dan payah, lahirkan seorang demi seorang anak, diasuh dididik hingga dewasa, penat lelah tak boleh dibayangkan, namun tiba saatnya dah mula dapat melepaskan lelah sedikit demi sedikit, nak menikmati kehidupan yang damai, anak dah membesar, menunggu masa untuk bermenantu dan bercucu, tiba datang ujian kasih dan perhatian perlu dikongsi, waktu dan perancangan semua perlu berbahagi, ia adalah satu ujian yang sangat berat 😢.

Memang tidak menidakkan tentang isteri kedua juga ada hak, namun tetap ada berbeza, contohnya bab harta sepencarian pun dah berbeza, isteri pertama dah boleh buat tuntuan dalam tempoh nikah, Islam agama yang sangat teliti, menjaga hak semua pihak.

Suami yang kalian nikahi, lagi pula pada umur yang tertentu, dia dijaga dirapi selama ini oleh sang isteri yang teliti, sebab itu si suami dilihat menawan, didoakan dan diberikan sokongan tidak berbelah bagi, hingga si suami dilihat kecukupan. Isteri yang baru hadir, harus mengerti dengan sebenarnya, kenapa susahnya yang pertama ini untuk berlapang dada, bukan tidak redha pada Ilahi, namun lukanya pada manusia yang dipercayai dan dicintai.
Kerana itu, bagi wanita yang tidak mampu hidup berpoligami, hingga memberikan tekanan emosi dan mental, sakit pula dah bertambah, hingga darah tinggi dan lain-lain. Maka bukan menjadi satu laknat Allah, jika wanita ini mohon dilepaskan.

Daripada pengalaman saya di Jabatan Agama Islam menguruskan pasangan poligami, kebanyakan isteri pertama yang ingin dilepaskan, bukan faktor utama kerana benci poligami, mereka faham tentang hukum, atau sebab tidak redha dengan taqdir, namun demi mencari ketenangan dan kedamaian hidup di hujung usia, saat hati dah tak kuat nak berperang dengan perasaan sendiri.

Allahu Akbar, memang kita akan jumpa ada isteri pertama yang sangat sabar dan tenang, yang selalu menutupi kedukaan dengan senyuman, begitu juga isteri kedua, ketiga dan keempat yang begitu sabar dan redha dengan keadaan dan himpitan yang perlu selalu mengalah itu dan ini. Memang seolahnya dunia seperti lebih berpihak kepada yang pertama hingga kadang ramai yang kedua, ketiga dan keempat menderita, sebab itu penting sangat, sebelum nikah dibuat dengan baik, jumpa isteri pertama, tanya daripada hati wanita kepada wanita. Bahkan memang ada, wanita yang ingin mencarikan suaminya isteri, memang ada yang sangat terbuka, manusia kan berbeza, perasaan pun berbeza. Ada yang cemburunya sangat rendah.

Itulah pernikahan, monogami juga tidak lepas daripada ujian demi ujian, apatah lagi poligami. Si suami jangan hanya menuntut redha daripada isteri dan anak-anak, kalian juga kena redha dengan ketidakmampuan isteri dan anak-anak untuk menerima apa yang berlaku dengan berlapang dada. Sebelum meminta, berilah dulu, kerana bahagia yang dibina adalah atas banyaknya luka orang yang banyak berkorban dalam hidup kamu.

Maaf salah silap dalam tulisan ini, isu sensitif yang sentiasa ulasannya tidak akan berakhir dengan baik untuk semua pihak.

Kredit : Astro Awani



Madu Meroyan Suami Bawa Saya Bercuti

20 Jul 2017


BUKAN mudah hendak menyesuaikan diri dengan hidup bermadu, tetapi jika reda pasti ada hikmahnya. Ini semua ketentuan Allah. Bukan kita untuk menidakkan ketentuan Allah. 

Namun kesabaran akan mengajar kita reda dan menerimanya dengan positif, tambahan pula jika suami boleh berlaku adil.

Inilah kisah catatan saya minggu ini, kiriman seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Mazni (bukan nama sebenar). Ingin tahu kisah Mazni selanjutnya, jom kita baca.

Ini kisahnya.
“Saya seorang pesara kerajaan, berusia lewat 50-an, bersuami dan bermadu dengan seorang wanita muda berusia lewat 30-an. “Kami dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya sudah berumah tangga dan mempunyai tujuh orang cucu. Saya hidup bahagia walaupun lima tahun lalu, saya diuji dengan pernikahan kedua suami. Sejak itu, saya hidup bermadu. 

“Saya bersikap profesional dalam perkara ini, saya anggap ia jodoh suami. Walau dia tidak minta izin tapi saya terima dengan lapang dada, meskipun saya dapat tahu seminggu setelah mereka selamat diijabkabulkan.

“Saya tidak terkejut,marah dan mengamuk sebab saya tahu mesti ada sebab suami berbuat demikian. Kenapa dia melanggar janji kami untuk sehidup semati, saya tidak mahu tahu sebab saya tahu, janji manusia tidak sama dengan janji Allah.

“Lima tahun saya belajar tentang hidup bermadu, tentang giliran bermalam, tentang berkongsi suami dan menerimanya dengan reda. Alhamdulillah Allah makbulkan segala doa-doa saya.

“Madu saya masih muda, cantik orangnya. Saya tidak pernah berjumpa tetapi hanya melihat gambar. Orangnya memang menjaga penampilan berbanding saya yang lebih sederhana. 

“Perempuan kampung. Walau bekerja, saya tidak hebat dalam menjaga penampilan diri. Sebab saya mahu jadi diri saya, bukan orang. Saya tidak mahu jadi isteri dan ibu ‘plastik’ di mata suami dan anak-anak.

“Syukur suami tetap sayang kepada saya di sebalik kekurangan yang saya miliki. Kasihnya tetap sama, giliran saya diutamakan. Saya bangga ada suami macam dia.

“Sayangnya ujian untuk saya tidak berhenti. Madu saya agak pelik perangainya. Dia sangat cemburu dengan saya. Kalau suami balik rumah saya, dia akan ganggu. Telefon berdering macam pejabat saham.

“Ada-ada sahaja yang dia hendak minta suami buat. Suruh baliklah. Nak makan itulah, nak makan inilah. Mengalahkan orang muda. 

“Sampaikan kadangkala saya suruh suami balik sahaja, tidak payah bermalam di rumah saya. Biar lebihkan dia dalam segala hal. Saya tidak mahu suami stres dengan masalah madu saya yang suka meroyan itu. 

“Baru-baru ini, suami bawa saya bercuti ke luar negara sebab dia dapat hadiah cabutan bertuah. Kata suami dia beritahu madu saya tentang perkara itu.

“Apa lagi mengamuklah dia. Memaki hamun suami saya, siap dengan amaran lagi, kalau pergi juga, dia akan balas dendam. Tapi suami buat tak kisah, sebab dia sudah nekad hendak bawa saya bercuti.

“Hendak tahu apa terjadi. Seminggu kami di luar negara, seminggu dia meroyan. Telefon bimbit suami penuh dengan mesej, WhatsApp dan berderingnya tidak tahu berapa ratus kali. Naik bingit telinga kami.

“Suami tidak layan, angkat pun tidak. Saya tidak tahu apa yang dia rasa ketika itu. Akhirnya kami nekad tutup telefon. Nak jadikan ceritakan, sebaik sahaja kami sampai di rumah, dia sudah menunggu. Cekak pinggang bagai, macam orang hilang akal.

“Dituduhnya saya buat ubat guna-guna sampai suami tidak ingatkan dia. Tidak layan dia. Dia tidak sedar, dia datang serang rumah saya. Jiran keliling yang tidak tahu hujung pangkal, semua tahu saya dimadukan suami. 

“Malunya saya hanya Allah sahaja yang tahu, tapi nak buat macam mana, perkara sudah berlaku. Suami bawa dia balik ke rumah yang mereka sewa di taman bersebelahan.

“Belum hilang penat bercuti, saya diuji lagi. Itulah pertama kali saya melihat wajah madu saya. Sayang sekali rupanya yang cantik, tidak sama dengan hatinya yang buruk sangka dengan saya.

“Sepatutnya, saya yang tuduh dia rampas suami saya tetapi lain pula yang berlaku. Bagaimanapun, saya bangga dengan suami, berulang kali dia minta maaf kepada saya dengan sikap isterinya itu.

“Selepas kejadian itu, suami nampak murung. Saya tahu masalah dengan isteri keduanya yang jadi punca. Dia bagi tahu saya dia hendak ceraikan isteri keduanya. Mulanya saya bantah.

“Tetapi suami ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Katanya, isteri keduanya itu ada hubungan dengan lelaki lain. Lama sudah dia tahu, tapi belum ada bukti kukuh untuk tuduh dia. Sekarang semuanya telah menyerlah. Dia nekad.

“Suami akhirnya menjatuhkan talak satu kepada madu saya. Saya tidak bertepuk tangan dengan keputusan suami tetapi saya sedih kerana perkahwinan suami berakhir seperti ini.

“Mungkin ada hikmahnya untuk kami. Saya terus reda dan pasrah. Semoga selepas ini, hidup kami bahagia sampai ke akhir hayat,”kata Mazni menamatkan ceritanya.

Itulah lumrah hidup berumah tangga. Kesabaran akan berakhir dengan kebahagiaan. Saya kagum dengan sikap Mazni. 

Tidak semua hidup bermadu itu pahit, semuanya bergantung kepada bagaimana setiap pasangan terbabit menerimanya. Dalam kes Mazni, beliau reda dan menyifatkan semua itu sudah takdir Allah kepadanya.

Semoga rumah tangga Mazni sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Mengundur diri, pesanan saya, kehidupan hanyalah sebuah perjalanan, Allah dan syurgaNya tujuan sebenar kita.

Salam

Bersyukur Lepas Bercerai. Anak 19 orang, Tapi Anak Isteri Ke-3 Di Abaikan

2 Jun 2017


''Apakah dosa dan kesalahan anak-anak sehingga ayah mereka sanggup memperlakukan mereka sedemikian rupa? Apakah cukup sekiranya dia berdoa semoga Allah murahkan rezeki untuk anak-anak sahaja. Bagaimana pula tentang kasih sayang dia sebagai ayah terhadap anak-anak?

''Kadang kala mereka bertanya ke mana dan mengapa ayah tidak balik. Apa yang harus saya katakan selain menyebut ayahnya telah mati. Jawapannya mudah, tak sakit hati dan harap-harap anak kita tak tanya lagi. Bagaimanapun saya tetap mencuba membawa tuntutan nafkah anak-anak ke mahkamah tetapi sampai sahaja surat peguam tentang tuntutan nafkah dan saman malu daripada saya, dia terus menghilangkan diri sehingga kini tidak dapat dijejaki.

''Sebagai ayah dia mesti ingat, dia mungkin boleh elak dari tuntutan nafkah di dunia, tapi tidak di akhirat. Saya ingin mengingatkan dia, di malam pertama perkahwinan kami, dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang lelaki dan ayah yang penyayang. ''Tetapi setelah berkahwin baru saya kenal siapa dia sampai sekarang dia tidak berjaya membuktikannya. Kalau benar dia seorang ayah yang penyayang mengapa anak-anak ini dipersia-siakan? Tidakkah dia merasai bahawa anak-anak ini sangat memerlukan dia.

''Dia boleh benci saya; tuduh saya apa sahaja tuduhan yang boleh dilahirkannya dari mulut, lidah dan hatinya, tetapi bolehkah kemarahan dan kebenciannya kepada saya dibalas kepada anak-anak. Apakah anak-anak harus menerima hukuman tersebut. ''Kalau dia kata tak mampu nak sara hidup anak-anak cakap terus terang kepada saya. Saya boleh terima dan mungkin boleh halalkan perbuatan jahatnya kepada saya selama ini, tetapi mengapa dia tak mahu langsung tengok muka anak-anaknya itu. Seolah-olah dia bencikan anak-anaknya kerana saya.

''Tetapi kalaulah dia ingin persoalkan dia tak mampu sekarang tetapi mengapa dia boleh tanggung anak-anaknya yang lain. ''Sebab itu tuan kadi telah tetapkan kalau tak mampu jangan kahwin, tetapi dia kahwin juga dengan saya dengan seribu alasan; sekarang macam mana dia nak tanggung makan minum anaknya seramai 19 orang termasuk 3 orang anak saya. ''Percayakah anda kalau saya katakan dengan isteri pertama dia ada 10 anak, isteri kedua 6 orang? Tetapi itulah kenyataan. 

Bagi saya kalau dia boleh bagi makan 16 anak yang lain macam mana dengan anak-anak saya yang masih kecil ini sebagai anak isteri ketiga yang masih memerlukan makan untuk hidup dan buku ke sekolah. ''Selepas seminggu saya menghantarkan surat saman; saya hantar pula surat melalui peguam yang menyatakan saya ingin bersemuka dengan dia. Tujuan saya biar kami berbincang dari hati ke hati. Kalau dia tidak mampu membayar saman saya, cukuplah buat masa akan datang dia memberi nafkah anak mengikut jumlah yang dia mampu tetapi datanglah dan ziarahlah mereka. 

''Saya berusaha supaya kami tidak ke mahkamah. Nak cari jalan baik, untuk dunia dan akhirat. Tetapi dia rupanya seorang pengecut. Dia cuma berani menipu perempuan, berbohong dan mereka-reka pelbagai cerita memburukkan orang lain. Tetapi bila terima surat peguam dia lari balik kampung isteri keduanya. ''Apa yang menyakitkan hati saya sebelum kami berpisah, dia tuduh saya dengan pelbagai fitnah termasuk membocorkan rahsia rumah tangga kepada keluarga dan adik-beradik saya. Tetapi sebenarnya sampai sekarang mereka tak tahu cerita sebenar dari mulut saya apa yang terjadi dalam rumah tangga kami.

''Mereka tahu banyak hal kami daripada dia sendiri yang sering mengadu hal konon saya jahat. Saya tak pernah bercerita. Dari tahun ke tahun saya memendam rasa dan saya berdoa semoga Allah menyelesaikan masalah saya dengan segera. ''Akhirnya setelah mengutuk dan mengumpat akhirnya dia ceraikan saya, saya rasa cukup lega dan tidak sedih sedikitpun bukan kerana saya selalu diketepikan, tetapi kerana saya sudah lama hidup menderita dan cukup terseksa dengan perbuatannya.

''Sebelum saya menghantarkan surat peguam, banyak kali cuba menghubunginya kerana ingin berbincang. Tapi setiap kali saya menelefon, dia tutup telefon bimbitnya. Tak bolehkah kita berbincang soal anak-anak walaupun kita bukan suami isteri lagi? ''Dia pernah datang dan tidur di rumah sahabatnya yang bersebelahan dengan rumah saya. Esoknya pagi-pagi dia keluar tanpa bertanya dan menjenguk anaknya. Itu manusiakah atau binatang?

''Sewaktu saya menghantar surat saman untuk dia, ramai kawan-kawannya memprotes. Kononnya ada jalan lain yang boleh saya selesaikan tanpa peguam; tanpa mahkamah iaitu berbincang. ''Pada saya kawannya hanya pandai cakap. Kalau mereka ikhlas nak tolong mengapa tak pernah tolong selesaikan masalah nafkah anak-anak saya, yang ketika ditinggalkan baru berusia satu setengah tahun.

''Sebenarnya mereka cuma kesian pada Smail sahaja tetapi mereka tak kesiankan nasib anak-anak yang ditinggalkan dan isteri yang terpaksa hidup menderita membesarkan anak-anak sendirian. Lebih saya kesalkan mereka tidak pernah menegur sikap Smail yang kejam tinggalkan anak-anak. Saya bukan tuntut hak saya, tapi hak dan masa depan anak-anak saya. ''Sebelum saya mengakhiri surat saya ini, ingin saya mengajukan satu soalan buat dia, apa perasaan dia terhadap anak-anak ini. Ingat! Anak-anak saya ini kesemuanya bijak-bijak belaka. Sekiranya dia enggan memberikan mereka nafkah jangan akui mereka anak setelah mereka berjaya kelak.

Kalau mereka terlibat dalam keruntuhan akhlak, tolong jangan persalahkan saya. Fikir di manakah salah anda. ''Jangan jadi seperti kisah seorang ibu tunggal yang pernah dipaparkan di ruangan DCCK ini dahulu. Setelah anak-anaknya berjaya ke universiti, suami yang tak malu datang menuntut anak-anaknya. "Ibu tunggal itu jugalah yang dipersalahkan kononnya tidak menghubungi dan memberitahu bekas suaminya di mana anak-anaknya tinggal. Walhal, ibu tunggal itu sudah putus asa berikhtiar menuntut duit nafkah anak-anak daripada bekas suaminya.

''Saya faham cuma kebanyakan lelaki tidak mahu faham sifat semula jadi mereka. Mereka akan hanya kenal anak-anak setelah mereka besar, bekerja dan berjaya dalam hidup. Kalau anak-anak jahat dan tak pandai bersekolah, maka si ibulah menjadi mangsa. ''Si ayah sering menyalahkan si ibu dengan pelbagai alasan kalau anak-anaknya gagal dalam hidup, mereka tuduh si ibu yang bodohlah menyebabkan anak-anak bodoh dan tidak berjaya dalam hidup.

''Sebaliknya kalau si anak berjaya, mereka akan mendakwa konon merekalah orang yang berjaya, yang pandai dan berkebolehan dalam mendidik anak-anak langsung melupakan tugas, jasa dan kebijaksanaan si isteri tadi dalam membesarkan anak-anak. ''Dulu semasa dia buat hal dia buat pelbagai fitnah kepada saya, dia tuduh saya ada kekasihlah dan macam-macam lagi. Tetapi yang sebenarnya dia yang buat hal sengaja mencari jalan menghancurkan hidup saya dan memalukan saya pada jiran-jiran.

''Sekarang setelah lima tahun lebih bercerai, saya masih tak berkahwin lagi, saya tak mahu hidup anak-anak terancam kerana saya dapat suami baru.''Saya sedar anak-anak tidak akan mesra dengan saya kalau saya kahwin dan mereka ada bapa tiri. Mereka masih kecil; mereka mahukan kasih sayang saya, belaian dan tunjuk ajar saya. Kalau saya kahwin lagi, tentu saya terpaksa layan suami baru, habis masa bila saya nak layan anak-anak.

''Sebab itulah kebanyakan wanita apabila mereka bercerai, mereka lebih rela jadi ibu tunggal daripada cari laki dan kahwin lagi, sebab belum tentu suami baru boleh jaga anak-anak tiri. Mereka juga ada anak-anak sendiri yang terpaksa dipelihara, lainlah kalau kahwin dengan orang bujang. ''Tetapi sekali fikir, mana nak cari lelaki bujang yang nak kahwin dengan janda beranak tiga atau empat, kecuali mereka ada masalah sendiri atau tak ada duit nak buat hantaran belanja jika kahwin. 

''Jadi untuk cari jalan mudah kahwin janda, senang dapat isteri dan tak banyak keluar duit. Di samping mengharapkan si isteri yang sudah beranak-pinak itu akan memberikan sepenuh kasih sayang dan layanan kepadanya, sebab dapat kahwin orang bujang. ''Namun mereka juga terpaksa berdepan dengan masalah kalau ibu mentua tak suka menantu janda. Pendeknya setelah memikirkan banyak hal dan masalah, ramai wanita yang sudah bergelar janda mereka tak berminat nak kahwin lagi. Sebab pertama mereka amat sayangkan anak-anak. Bukan seperti lelaki mereka sering ambil mudah dalam banyak hal.

''Sebenarnya saya juga menghadapi masalah yang sama, saya sayangkan anak-anak sebab itu sehingga lebih lima tahun menjanda saya tidak pernah terfikir hendak kahwin lagi. Bukan tak ada orang melamar, baik yang masih bujang atau suami orang. Saya fikir kedua-dua golongan ini bermasalah. ''Saya juga tidak pernah beranggapan ingin rujuk atau kembali kepadanya. Sebelum berpisah lagi hati saya sudah terlalu hancur terhadap dia. Kerana itu saya amat bersyukur akhirnya saya diceraikan. Saya rasa hidup saya bahagia, hati saya lapang; jiwa saya tenteram setelah jadi janda, walaupun terpaksa kerja keras mencari wang untuk membesarkan anak-anak.

''Saya tak mahu kahwin kerana memikirkan adakah suami baru saya nanti akan memberikan kasih sayang terhadap anak-anak saya sedangkan ayah sejati tidak sukakan anaknya. Dan setahu saya, bapa tiri lebih kejam daripada ibu tiri. ''Kini saya berazam biarlah saya didik dan besarkan anak-anak ini di samping saya sendiri mengejar kejayaan diri saya yang suatu masa dulu terhalang disebabkan perkahwinan ini.

''Dia boleh campak saya, tetapi jangan buang anak-anak sendiri. Ziarah mereka bila-bila ada waktu. Betul anak-anaknya sudah lebih sedozen, tetapi itu tidak bermakna dia bencikan anak-anak daripada isteri ketiga?'' demikian cerita Atika tentang hidupnya. Benar juga kata Atika kasih sayang seorang suami terhadap isterinya boleh diputuskan, tetapi bolehkah dia memutuskan kasihnya terhadap anak-anak?

Anak-anak adalah amanah Allah kepada ayah untuk membesar dan mendidik mereka dengan baik, begitu juga kepada ibunya dengan tugas tertentu, kegagalan anda akan dipertanggungjawabkan satu hari nanti. Balasannya bukan sahaja akan diterima semasa anda mati atau di akhirat, tetapi terpaksa dipikul sewaktu anda masih hidup lagi.

Kredit : UtusanMalaysia


  

Kalau Nak Jadi Isteri Kedua, Jangan Cari Lelaki 'Pak Turut'

1 Jun 2017



BUKAN mudah hidup bermadu. Manis di mata orang tetapi pahit di mata empunya diri yang bermadu dan berkongsi kasih. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah ibaratnya.Tidak semua orang bermadu menikmati bahagia dan disayangi suami terutama bab berlaku adil. Mesti ada yang tidak kena di mana-mana.Ada suami yang hanya berani berpoligami tetapi tidak sanggup berlaku adil dan bertindak mengawal keadaan supaya rumah tangga yang dibina sentiasa di dalam keadaan baik, sedangkan hakikatnya bagai api di dalam serkam. 

Inilah kehidupan yang dilalui Marina (bukan nama sebenar) yang sudah lima tahun hidup bermadu sebagai isteri kedua. Susah senang tiada siapa yang tahu semuanya ditanggung sendiri kerana kasihkan suami. Sayangnya hak sebagai isteri kedua diketepikan oleh suami.
Kepada saya Marina meluahkan isi hatinya menjadi isteri kedua kepada seorang pegawai kerajaan yang mementingkan dirinya sendiri dan hak isteri pertama yang tidak pernah diganggu walaupun sedar isteri keduanya makan hati.

Ini cerita Marina.

“Saya berusia 35 tahun berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri dan empat orang anak yang sedang remaja. Saya bertugas sebagai kerani di sebuah bank. Kami berkahwin atas dasar cinta setelah berkenalan di satu seminar di utara tanah air lebih kurang enam tahun lalu. “Setahun juga kami bercinta dan saya tahu dia suami orang dan ada anak. Akan tetapi masa itu semuanya indah. Walau suami orang saya rasa dihargai dan disayangi. Kami selalu berjumpa apabila suami ada tugasan di luar daerah di utara.

“Lama lama saya menerima lamarannya untuk menjadi isteri kedua. Walau keluarga melarang di peringkat awal tetapi saya berjaya memujuk ayah dan mak menerima suami yang dipanggil Iman (bukan nama sebenar) walaupun dia 10 tahun lebih tua dari saya ketika itu. “Memang jodoh saya dengan dia amat kuat. Perkahwinan kami berlangsung dengan meriah tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Suami hanya membawa rakan-rakan dan saudara mara yang rapat dengannya ke majlis pernikahan kami. 

“Setelah berkahwin saya tinggal di utara dan dia tetap di Kuala Lumpur. Maknanya saya terpaksa berulang ke sana jika ingin berjumpa dengannya atau dia akan ke utara. Itu perjanjian kami. Setahun keadaan amat menyenangkan saya. Macam suami isteri lain saya merasa disayangi dan sangat bahagia. “Setiap akhir bulan suami datang menemui saya. Jika dia tidak dapat datang saya akan ke Kuala Lumpur dan menginap di hotel. Hampir dua tahun hidup kami begitu sehinggalah saya mengandungkan anak sulung kami. Isteri pertamanya masih belum tahu tentang perkahwinan kami.

“Tahun kedua kami berkahwin, ujian mula datang, satu demi satu. Suami jarang datang berjumpa saya di utara. Telefon kurang dijawab, mesej tidak berbalas. Saya mula fikir yang bukan-bukan. Saya mendesak suami mengaku sama ada isterinya sudah tahu tentang perkahwinan kami. Dia berkata ya dan meminta saya supaya tidak risau kerana dia tahu apa yang hendak dibuatnya.“Satu hari ketika saya sedang menunggu suami di hotel saya didatangi oleh seorang wanita yang mengaku dia isteri kepada Iman. Saya sangat terkejut dan hilang kata-kata. Saya dapat cam wajahnya kerana suami pernah menunjukkan gambar isteri pertamanya kepada saya. 

“Saya cuba mengawal perasaan dan tidak menunjukkan rasa takut walaupun pada dasarnya memang saya sangat takut sebab tidak bersedia untuk menghadapinya dalam keadaan begini. Saya layan dia dengan baik dan bercakap dengan sebaik bahasa yang saya dapat. “Dia juga tidak marah dan tidak meninggikan suara dengan saya. Dia hanya bagi amaran supaya saya tidak meminta yang bukan-bukan daripada suami kami kerana katanya suami tidak mampu. Mereka hidup senang kerana harta dan perniagaan yang dia buat. “Saya beranikan diri bertanya dari mana dia tahu yang saya telah bernikah dengan suaminya. 

Dia ketawa dan berkata, setiap kecurangan pasti Allah akan tunjuk kebenarannya. Saya terdiam. Maknanya dia menyiasat tentang suami dan membongkar rahsia yang kami simpan hampir dua tahun ini. “Betul tekaan saya dia mengintip pergerakan kami setelah syak suami sering berulang alik ke utara dan setiap hujung bulan akan ke luar. Memang saya duga perkara ini akan berlaku. “Saya menjawab setiap soalannya dengan suara perlahan. Saya tidak takut, hanya bimbang tersalah cakap sehingga menimbulkan kemarahannya. Tapi Alhamdulillah dia wanita yang baik dan tidak menyerang saya membabi buta.

“Walaupun saya tahu dia kecewa dan marah tetapi sikapnya sangat baik terhadap saya. Pertemuan hampir sejam itu berlalu dalam keadaan yang sangat tertekan buat saya. Dia memberi amaran yang saya tidak akan dapat apa yang saya inginkan. “Maksudnya hak saya untuk menyambut hari raya dengan suami, bercuti dan sebagainya tidak akan berlaku. Jangan mimpi katanya. Pendek kata dia sudah buat peraturan yang saya hanya di tempat kedua. Saya kena sedar diri dan tahu hak saya di mana. 

“Saya tidak menangis di hadapan dia kerana tidak mahu nampak saya lemah, tetapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Sedihnya tidak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata. Sampai hati dia buat saya macam ini. Yang saya pelik kenapa suami boleh biarkan dia datang berjumpa saya macam itu sahaja. “Atau memang suami tidak tahu yang dia datang berjumpa saya. Selepas dia balik saya menangis tidak berhenti. Saya sedih dengan nasib saya selepas ini. Apa maknanya bernikah dan ada suami kalau masa depan saya gelap dan tidak bahagia seperti pasangan suami isteri lain.

“Saya lalu teringat kata-kata ibu dan ayah. Bukan mudah hidup bermadu. Kena sabar dan reda dengan apa yang bakal dilalui. Sekarang baru saya rasa apa yang ayah dan ibu kata itu benar belaka. Tetapi semuanya sudah berlaku. Takdir Allah untuk saya akan saya terima. “Dua jam selepas kami berjumpa suami datang. Dia kelihatan resah dan macam orang bersalah. Sebelum saya buka mulut dia sudah minta maaf di atas apa yang berlaku. Benar sekali yang isteri pertamanya datang dengan izinnya.

“Katanya dia tidak ada pilihan. Isterinya mendesak supaya dia mengaku dan mahu berjumpa saya. Sudah lama dia tahu rahsia ini tetapi dia diamkan diri dan menunggu masa yang sesuai untuk bersemuka dengan saya dan suami. “Dia sengaja biarkan suami ke luar daerah setiap hujung bulan kerana dia tahu suami berjumpa saya. Dia kumpul bukti, gambar gambar kami bersama dan di mana kami pergi. Memang dia bijak. “Sejak itu saya tidak mendapat hak saya. Suami tetap balik tetapi macam tergesa-gesa dan saya tidak lagi dibenarkan ke Kuala Lumpur oleh madu saya. 

Keadaan saya makin tertekan setelah anak kami lahir. Saya membesarkan anak seorang diri dengan bantuan keluarga. Ada suami macam tidak ada. “Anak saya kini sudah berusia empat tahun. Sesekali sahaja dia berjumpa ayahnya. Pada hari raya pun dia jarang dapat beraya dengan ayahnya macam orang lain. Sebab ayahnya beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga pertamanya. “Saya mula bingung memikirkan hal ini. Belum sekali saya dapat menyambut hari raya bersama suami sejak kami bernikah. Saya mula rasa bosan dan sedih. Lebih lebih lagi apabila keluarga bertanya ke mana suami saya?

“Sekarang saya sedang memikirkan apakah yang terbaik untuk masa depan saya. Jika inilah yang berlaku untuk masa akan datang saya rasa elok saya hidup sendiri, tidak makan hati dan bersedih. Tapi bila memikirkan anak yang perlukan ayahnya saya tidak sampai hati. “Tapi apa maknanya ada ayah jika setahun sekali nak beraya sama pun susah. Sebulan sekali datang menjenguk anak juga tidak mencukupi untuk memikul tanggungjawab sebagai ayah. Tidak dinafikan nafkah batin dan zahir saya diberi tetapi yang saya pentingkan kasih sayang dan perhatian seorang suami.

“Ayah dan mak malas hendak campur tangan sebab mereka sudah memberi amaran kepada saya sebelum bernikah dahulu. Berani buat kena tanggung, kata ayah. Masih saya ingat kata-kata ayah yang tegas itu. “Saya masih berharap suami akan berubah dan tidak mendengar kata isteri pertamanya. Saya juga ada hak. Suami patut ingat dia ada tanggungjawab untuk saya dan anak kami. Dia harus berani berdepan dengan isterinya bukan menjadi pak turut. “Jika keadaan tidak berubah saya terpaksa memikirkan semula hubungan kami. Bukan saya minta untuk berpisah tetapi saya perlukan jaminan untuk masa depan saya dan anak kami. Saya tidak sanggup lagi hidup begini selamanya.

“Anak pula selalu bertanya mana ayahnya? Sampai bila saya hendak sembunyikan dari anak yang ayahnya kerja jauh? Dia semakin besar dan semakin faham dengan kehidupan ibunya. Ini yang saya fikirkan. Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk menghadapi hidup ini dengan tabah dan sabar. “Kepada madu saya jika terbaca catatan ini atau semua wanita yang hidup bermadu, terutama isteri pertama janganlah sekat suami untuk berjumpa isterinya yang lain. Mereka juga ada hak untuk mendapat perhatian dan kasih sayang suami.

“Kami juga tidak minta untuk berkongsi suami tetapi takdir Allah yang menentukan begitu. Kita sama-sama kena terima dan reda. Semoga suami juga membaca dan membaiki kelemahannya sebagai suami. Ingat saya dan anak adalah amanah yang Allah berikan kepada abang.“Semoga masih ada cahaya indah untuk saya dan rumah tangga kami dapat dipertahankan. Saya sayang suami dan saya hanya mahukan keadilan dalam ikatan perkahwinan ini,’’ Marina menamatkan ceritanya.

Sedih saya membaca cerita Marina. Memang tidak semua orang menerima nasib yang sama. Ada wanita yang bermadu hidup senang dan bahagia. Ada yang tidak seperti mana Marina hadapi. Tapi saya harap Marina bersabar. Mungkin suami perlukan masa untuk memujuk dan berbincang dengan isteri pertamanya. Bukan mudah untuk berpoligami jika tidak bijak menanganinya dengan baik. Tetapi saya puji sikap suami yang masih menunaikan tanggungjawabnya dengan memberi nafkah zahir batin kepada Marina.

Menamatkan catatan pesanan saya, kebahagiaan akan datang se­­telah diuji dengan pelbagai masalah. Walau berat walau pahit, bersabarlah kerana dalam apa juga keadaan, Allah akan pulangkan hak hambaNya kepada mereka yang berhak. Jangan putus berdoa dan jangan putus mengharap.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia


 

Renung-Renungkan....Luahan Hati Isteri Kedua

29 May 2017




Aku isteri kedua. Aku dituduh sebagai perampas suami orang. AKu dikeji, dihina dan dilemparkan dengan pelbagai tomahan yang menyakitkan. Sebelum ni aku pekakkan telinga kerana percaya bahawa cinta kami mampu mengatasi segala dugaan yang melanda. Ternyata aku silap. Sudah sepuluh tahun kami bernikah. Keluarga mertua dan ipar duai masih tak dapat menerima aku. Malah anak-anak aku juga dibenci. Maduku memang tak bersetuju kami berkahwin sepuluh tahun lalu. Tetapi dia hanya mendiamkan diri dan mungkin memendam rasa hingga kini. Aku cuba merebut kasih suami dan memastikan aku dan anak-anak mendapat kelebihan utama dari maduku dan anak-anaknya. Benar aku menang. Aku bukan saja berjaya merampas suami maduku tetapi juga ayah kepada anak-anaknya.

Tapi hidupku tak seperti pasangan lain. Aku tak pernah merasa kasih sayang ibu mertua atau keakraban ipar duai. Setiap kali raya aku akan disisihkan. Kami akan bergilir-gilir pulang ke kampung. Tahun pertama, suami membawa aku dan maduku pulang ke kampung bersama. Aku diperlekehkan. Semua orang membenci aku. Ipar duai ku yang mulut celupar mengutuk aku depan-depan. Tahun kedua, aku beraya di rumah aku dan aku sangat bahagia. Tetapi petang raya pertama suami aku harus pergi menemui anak-anaknya dirumah isteri pertama. Aku ingatkan sebab aku takde anak, maka dia lebih selesa dengan anak-anaknya.

Tahun ke tiga kami dapat seorang anak, waktu itu aku baru habis pantang dan beraya sendirian tanpa suami kerana tahun itu giliran suami beraya dengan isteri dan anak-anaknya. Sepatutnya dia menemui aku pada hari raya kedua tetapi mak mertua aku memaksa dia pulang ke kampungnya. Suami ajak aku balik sekali tapi aku dah serik. Mereka buat aku macam aku ni tak wujud. Aku rasa terasing dan berkecil hati dengan sikap mereka.

Rumah aku dan rumah maduku jaraknya 45 minit. Suami aku tak dapat bergilir-gilir setiap hari kerana sukar baginya untuk berulang sejauh itu, jadi kami ambil keputusan untuk mengambil giliran sorang seminggu. Seminggu suami disana dan seminggu disini. Pada awal perkahwinan kami, aku berjaya buat suami duduk bersama aku selama 2-3 minggu. Dalam sebulan kadang-kadang seminggu je suami di rumah maduku.

Kini semuanya berubah. Anak-anak maduku kini sudah berjaya. Mereka juga sudah besar-besar dan semuanya sudah tamat pelajaran. Suami aku seakan selesa bersama anaknya yang berjaya sedangkan anak-anak aku yg masih kecil dianggap menyusahkan. Kini anak-anak maduku sudah berkerjaya dan berjaya. Sesekali mengajak ayahnya bercuti keluar negara dan aku sering ditinggalkan. Maduku dan anak-anaknya seolah-seolah nak buat suami gembira ketika disamping mereka hingga melupakan aku. Begitu yang aku lakukan sejak 10 tahun lalu. Kini aku kembali terima nasib yang sama.

Pernah satu hari, anak aku sakit. Aku cuba hubungi suami tapi tak dapat. Aku terpaksa tebalkan muka kerumah maduku untuk mencari suami. hanya anak bungsu suami yang berusia 19 tahun yang ada dirumah dan dia kata ayah, ibu dan abang kakanya bercuti ke London. AKu minta dia berikan contact number suami sebab anak aku sakit. Anak bongsu suami marahkan aku. dia berkata dengan kasar 'tak puas lagi ke ganggu kebahagiaan orang?' aku menahan diri. biarlah dia nak cakap apa-apa asalkan aku dapat cara untuk hubungi suami aku. tapi dengan sombong, anak bongsu suami baling duit 300 ratus ringgit dan suruh aku hantar anak aku ke klinik. Aku rasa terhina tapi aku ambik jugak duit tu sebab aku takde duit nak rawat anak aku sakit.

Baru-baru ni, anak sulong suami mencadangkan suami agar ayahnya berkahwin lagi satu. mereka memperkenalkan ayahnya dengan seorang janda muda kematian suami pada hari ke 3 mereka bernikah. suami aku nampaknya macam suka. Anak sulong suami memberi alasan, kasihan kepada janda muda itu kerana kematian suami, yatim piatu dan tiada tempat bergantung. memandangkan suami aku mampu, maka anak-anaknya mencadangkan cadangan yang sangat menyakitkan hati aku. aku tau mereka sekadar nak membalas dendam kerana aku pernah merampas ayah mereka sepuluh tahun lalu.

suami aku kini berubah, dia sibuk dengan bakal isteri ke-3nya itu. aku makan hati. aku tak kerja, anak-anak pula masih kecil. memang aku tau suami aku mampu tapi batin aku tersiksa. mungkin ini balasan untuk aku. aku tiada tempat mengadu, mak aku dah pesan sejak mula tapi aku degil dan ikutkan kata hati. semuanya kerana cinta. baru aku terfikir, kalau suami aku dulu sanggup lupakan isterinya, abaikan anak-anaknya kerana aku, mungkin satu masa dia akan abaikan aku demi wanita lain. maklumlah barang baru.

kepada gadis-gadis diluar sana yang terjebak dengan cinta suami orang, fikirkanlah... bukan senang nak berkongsi kasih.

1. Keluarga mertua tak terima
2. Ipar duai mengutuk dan mengina
3. Effect pada anak-anak yang tak berdosa pun orang tak suka
4. Sukar merebut kasih sayang
5. bukan senang nak dapat suami yang betul-betul adil, salah sorang mesti ada yang lebih
6. hidup tak macam orang lain, ada masa kita rasa macam tidak bersuami
7. maki hamun orang setiap hari jadi doa, tak mungkin akan bahagia jika hari-hari orang doa yg tak baik tentang kita
8. ibu bapa kedua belah pihak tak restu

kita mungkin berjaya rampas suami orang, tapi berjayakah kita hidup bahagia, mengecapi nikmat rumahtangga sebenar? bagi suami hanya SEX yang paling nikmat dalam dunia, yang lain dia peduli apa?


Kredit :  astalavista6048
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.