SLIDER

mandul
Showing posts with label mandul. Show all posts

Sangat Tragik, Bermadu Dengan Madu Yang Bengis Dan Ganas

21 Apr 2022



SAYA sependapat dengan Lela dan Izani juga isteri-isteri pertama yang teraniaya. Saya tidak setuju dengan pendapat Zee tentang "Isteri pertama tak sedar diri". Sebenarnya wanita yang rampas suami oranglah yang paling kejam dan tak tau diuntung. ''Daripada pengalaman saya sejak bermadu dengan Fida, hidup saya bukan sahaja tidak tenteram malah terperangkap sama dengan dosa yang dilakukannya.'' Itu cerita Sofi ketika kami berbual panjang di telefon minggu lalu.


''Saya sudah berkahwin selama 22 tahun, tetapi tidak mempunyai anak. Saya ambil anak saudara suami untuk dijadikan anak angkat. Mana tahu ada rezeki dapat anak sendiri. Namun kami masih belum ada rezeki. Malangnya suami buat hal, dia kahwin di Siam. ''Suatu hari dia beritahu dah kahwin. Saya tanya bila? Di mana? Dengan siapa? Kenapa tak beritahu awal? Dia sergah saya balik. Kena minta izin ke? Bukan itu maksud saya tetapi mengapa nikah di Siam? Saya boleh pinangkan kalau betul-betul dia nak kahwin. Mengapa mesti sembunyi?

''Lebih mengecewakan, jika sebelum ini hidup kami aman damai, setelah bernikah dengan Fida, saya sering diganggu dengan panggilan telefon yang menyakitkan hati. Madu saya akan panggil suami segera balik setiap kali giliran saya. ''Dia tak izinkan suami jumpa anak angkat kami apa lagi berjumpa saya. Dia marah malah panggil saya lembu tua. Saya beritahu suami, dia nasihatkan berbuat baik. Saya ikut nasihat suami dan demi kebaikan bersama, saya minta dia kenalkan dengan Fida. Pada hari ditetapkan, saya pergi bersama suami dan ibu bapa mertua ke rumah Fida dengan tujuan nak berkenalan.

''Dua jam kami menunggu dia tak keluar jumpa kami. Puas suami saya pujuk. Pelik sungguh! Saya datang dengan niat berbaik, bukan nak serang dia. Akhirnya dia keluar juga. Saya lihat dia dah mengandung. Melihat rupanya, tak sangka dia orang yang sering maki hamun saya selama ini. Dia nampak tertib depan mertua saya. Langkahnya lemah longlai, suaranya lemah lembut. Saya tak boleh bayangkan macam mana orang lembut seperti ini bercakap kasar dan panggil saya lembu tua. ''Patutlah suami saya tak percaya apa yang saya ceritakan. Sebab bila bercakap depan suami, macam langit dengan bumi. 

''Katanya dia masih belum bekerja dan baru dapat ijazah kaunseling dari universiti, berumur 24 tahun, 17 tahun muda daripada suami saya. Apa yang mengejutkan, suami kata mereka baru dua bulan kahwin, tapi perutnya dah besar. Katanya dia dijangka bersalin Februari tahun depan. ''Bukan nak memuji, suami saya memang baik. Kami sering solat berjemaah dan saya tak fikir suami terlanjur kerana dia bukan lelaki rakus, tambahan mereka baru beberapa bulan berkenalan. 

''Nak dijadikan cerita, enam bulan nikah, dia selamat melahirkan seorang bayi seberat tiga kilogram. Dengan megah dan tanpa malu, dia menjaja cerita yang dia sudah ada anak, bukan macam saya 'lembu tua mandul'. Dalam geram, saya tanya dia semula; Baru nikah dah beranak. Anak siapa? Dia mengamuk mengadu pada suami suruh ceraikan saya. Hem! sudahlah suami kita dirampas. Dia suruh saya diceraikan dan berani panggil saya lembu tua. ''Saya beritahu suami bukan saya ganggu dia, tetapi Fida yang selalu telefon dan SMS ganggu saya. Kerana suami tak percaya, saya beri telefon saya pada suami biar dia sendiri dengar dan baca SMS Fida. Pernah saya tukar nombor telefon tetapi dia tahu semua, mungkin dia dapat daripada telefon suami. 

''Tak lama kemudian permohonannya jadi guru diterima dan dia perlu belajar semula. Jadi dia serahkan anak pada mertua suruh jaga. Pernah juga saya bawa anaknya ke rumah saya kerana jika suami kata itu anaknya, saya cuba sayangi anak itu. Apabila Fida dapat tahu, dia mengamuk marahkan saya. Kalau saya belikan pakaian untuk anaknya, dia bakar. Malah dia pernah ugut suami pilih anak atau saya. Jika sayangkan anak, ceraikan saya.''Oleh kerana dia sering ganggu saya, suami beri taklik ''jika dia ganggu saya lagi, maka tertalaklah dia dengan talak satu.'' Tapi Fida memang degil sanggup langgar taklik, maka tertalaklah dia dengan talak satu. Walaupun sudah bercerai, mertua masih jaga anaknya.

''Di samping itu, gangguan Fida terhadap saya tak pernah padam. Gelaran lembu tua mandul sudah jadi muzik merdu di telinga dan mulutnya.''Sebenarnya bukan saya tak berusaha dapat anak sendiri mengikut pelbagai cara, cuma belum ada rezeki. Malah saya pernah menjalani ujian IVF dengan bayaran RM15,000 di hospital swasta di KL beberapa tahun lalu. Doktor sahkan saya tak ada masalah cuma air mani suami kurang.

''Doktor nasihatkan suami buat beberapa kali ujian ICSI sebelum IVF dapat dilakukan kepada saya. Tetapi tak lama selepas itu, suami mengaku dia dah nikah. Saya masih tertanya-tanya siapa sebenarnya bermasalah, saya atau suami. Selama tiga tahun Fida jadi madu saya, dia tak beranak lagi sedangkan dia kata akan beranak tiap tahun untuk sakitkan hati saya. ''Dua tahun selepas bercerai secara taklik, Fida dan suami mahu nikah semula. Suami memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah. Sebelum ke mahkamah, suami beri amaran jangan banyak soal. 

''Ketika hakim tanya pasal giliran, Fida lebih awal beritahu ketika cuti sekolah suami mesti bersamanya, waktu lain dengan saya. Saya akur. Tetapi itu semua janjinya depan hakim. Hakikatnya suami tak boleh bersama saya. Setiap kali balik, dia akan telefon dan ganggu suruh suami balik dengan pelbagai alasan. Si perampas nak berkuasa tak sedar diri setelah rampas suami orang!

''Tak cukup dengan ugutan, Fida sanggup paparkan gambar seksinya bersama suami dalam FB. Apakah tujuannya kalau tidak untuk sakitkan hati saya! Tapi saya tak kisah kerana yang malu bukan saya, dia sendiri sebagai pendidik yang langsung tak ada maruah. Perbuatannya itu juga hanya memalukan suami di mata teman sepejabatnya." Itu cerita Sofi tentang madunya yang pembengis.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kredit : UtusanMalaysia



Rezeki Anak : Sikit Atau Ramai Atau Tiada Zuriat, Janganlah Suka Kecoh

26 Oct 2021



Setiap pasangan yang telah berkahwin, sering dilontarkan pertanyaan :

"Bila nak dapat anak?"

"Tak tambah anak lagi ke?"

"Ramainya anak, tak rimas ke?" 

"Mandul ke?"

Persoalan tentang anak memang tidak berkesudahan , dan sebenarnya sikit atau banyak anak atau tidak mempunyai anak , semuanya adalah urusan rezeki Maha Pencipta. 

Mungkin ada di kalangan pasangan setiap tahun dapat anak, mungkin ada yang mempunyai anak sorang sahaja malah ada yang berkahwin berpuluh tahun, masih belum dikurniakan anak dan macam-macam lagi.

Setiap orang mempunyai garis masa masing-masing. Bilangan anak bukanlah harus menjadi perdebatan di kalangan masyarakat, seharusnya setiap ibu bapa perlu memikirkan untuk menggalas tanggungjawab amanah Allah , untuk membesarkan anak sebaik mungkin.

Pasangan yang berkahwin terutama sekali wanita, tidak perlu bersedih dengan apa jua situasi seperti contoh di atas, kerana semuanya sudah di atur rezeki masing-masing. Kita hanya mampu berusaha dan merancang , selebihnya berserah pada yang Maha Kuasa.

Apa yang lebih penting, setiap perancangan untuk mempunyai zuriat, perlu ada  persefahaman dan perbincangan antara suami isteri. Samaada ingin mempunyai anak ramai, atau sedikit atau ada masalah untuk mendapatkan zuriat, perancangan bersama adalah jalan lebih baik untuk membesarkan keluarga dan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan sebelum bertemu dengan yang lebih pakar untuk dapatkan khidmat nasihat.

Dan pesanan untuk kita sendiri juga, jangan lah jadi orang yang sibuk nak tahu hal orang sampai tanya persoalan bertubi-tubi dengan soalan-soalan tentang hal anak yang boleh menyebabkan hati orang lain terguris. Cukuplah mendoakan dan memberi sokongan kepada mereka.



“4 Tahun Kahwin, Tiada Anak. Saya Sangat OK”- Kisah Inspirasi Bagi Pasangan Belum Ada Anak

4 Jun 2017



Zuriat adalah anugerah dan amanah daripada Allah s.w.t. ..dan kita sebagai hambanya hanya mampu berdoa untuk mendapat zuriat yg baik dan sempurna. Kepada pasangan yang dah lama berkahwin , tapi masih belum mendapat zuriat, ini adalah ujian hebat buat mereka. Bukan setakat untuk menghadapi ujianNya, tapi nak menadah telinga daripada kata-kata umpatan orang luar juga satu bebanan. 

Orang sekeliling memang suka melihat kekurangan orang lain, terutama sekali mereka yang merasakan nasib mereka lebih baik daripada orang lain. Kadang-kadang admin naik hairan dengan manusia yang suka cakap lepas ni, langsung tiada perasaan timbang rasa dan tidak memikirkan perasaan orang lain.

Kalau kita ada rakan-rakan, saudara-mara, dan adik-beradik yang sedang menghadapi masalah ini, janganlah sama sekali mencaci-cerca, mengata atau menghina pasangan itu kerana mereka sedang melaluinya dengan bermacam-macam usaha. Mereka pasti akan tertekan, kecewa dan sedih jikalau selalu ditanyakan tentang anak. Kalau anda ada cadangan atau sebarang alternatif untuk membantu pasangan mendapatkan zuriat, berjumpa mereka secara personally dan berbincang seperti orang bijak pandai. 

Untuk pasangan yang sedang menghadapi ujian ini, perkongsian dari Shafiq Fadeli melalui laman facebook beliau mungkin akan memberikan sedikit kata-kata semangat dan kekuatan untuk kalian melaluinya dengan tenang. Insyaallah, admin juga mendoakan kepada semua agar dikurniakan zuriat yang soleh, solehah dan menenangkan kedua ibu bapa.  

-Admin Laman Qaseh-


Artikel ini panjang. Namun percayalah, teruskan membaca, saya jamin anda akan perolehi sesuatu yang sangat bermanfaat.

29 Julai 2011, saya sah bergelar suami kepada isteri saya, semestinya saya seperti anda yang lain, sama juga seperti majoriti insan lain, mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Saya mengimpikan untuk memiliki anak seperti orang lain juga, saya mengimpikan untuk bergelar ayah, saya mengimpikan untuk dipanggil ‘Abi’. Saya mengimpikan untuk memiliki, menjaga dan mendidik anak-anak saya dengan didikan terbaik. Kini sudah 2015, lebih 4 tahun sudah kami berkahwin, dan kami masih belum dikurniakan cahaya mata.

Apa pandangan orang ramai?

Ramai yang kasihankan kami, hingga kami kasihan kepada mereka kerana kasihankan kami. Ada rakan-rakan yang memberikan tips, nasihat, tidak kurang yang bagi produk untuk bantu kami. Tidak dilupa, ada juga yang menyarankan untuk bertemu doktor, bidan, tukang urut, ustaz, dan lain-lain. (Terima kasih kerana anda semua prihatin)

Pelbagai diagnosis yang saya terima. Pada mulanya saya sangkakan yang kami tidak sihat, namun apabila pakar mengesahkan yang kami sihat, mulalah kedengaran tekaan-tekaan yang mengatakan ini semua berpunca dari gangguan makhluk halus, saka, dan bermacam-macam lagi. Jujurnya, saya pun sudah tak ingat berapa banyak tips, nasihat, dan tekaan yang sudah saya terima.

Pada awalnya, kami sungguh tertekan… Saya sebagai lelaki, saya mampu mengawal emosi saya. Sedih, namun sorok. Teringin, namun sorok. Geram, namun sorok. Kecewa, namun sorok. Lain pula halnya dengan isteri saya, sebagai wanita yang dikurniakan naluri keibuan yang lemah lembut, pastinya keadaan diri yang masih tidak memiliki anak cukup menampar benaknya.

Ada yang datang bertanya, dan menunjukkan muka pelik “Eh, dah lama kahwin tak dapat anak lagi???” Kemudian dia terus berlalu pergi. Beliau tanya satu soalan yang berdurasi 1 saat sahaja, tapi cukup untuk buat kami sedih selama 1 minggu. “Bila nak mengandung ni?”, sedih lagi 1 minggu. “Bila la umi awak nak jadi nenek ni?” sedih lagi 1 minggu. Hehe, sungguh senang kerja mereka, datang menghancurkan hati kami dalam 1 saat sahaja, kemudian terus berlalu pergi jumpa kawan-kawan dan bergelak-sakan menonton drama lucu. Dan kami berselubung duka untuk entah ke berapa kalinya. Ya, pada masa itu saya rasa geram. Itu pada awalnya.

Selepas 4 tahun… kami sudah ada perspektif yang berbeza. Ilmu, kematangan dan pengalaman cukup untuk menguatkan langkah kami. Kami sedar, malah saya sendiri kerap menyebutkan perkara ini dalam ceramah saya, bahawasanya Qada’ dan Qadar Allah itu adalah ujian, amanah, dan ianya adalah 100% hak Allah. Ini bukan berpunca dari tersalah makan ke, gangguan saka ke, apa ke, ini adalah satu ujian yang Allah bagi kepada kami, ujian ‘tidak memiliki anak’. Bukan kami sahaja diuji sebegini, semua manusia pun diuji.

Sepertimana orang lain, masing-masing ada ‘medan tempur’ sendiri. Analogi mudah, seperti tentera. Kita lihat tentera ada macam-macam jawatan dan posisi. Ada pegawai, ada tentera di lapangan tempur, ada di bilik operasi, ada jaga komunikasi, ada yang pandu jet pejuang, ada yang sediakan peluru, ada yang pandu trak, ada yang sediakan makanan, ada yang memberi arahan, ada yang merangka strategi peperangan. Masing-masing diberikan ‘medan tempur’ sendiri, kerjanya lain-lain, namun matlamatnya sama iaitu untuk memenangi peperangan dan mencapai kejayaan.

Jika orang kata kami tiada anak itu adalah ujian, ya, ia memang satu ujian. Dan itulah ‘medan tempur’ kami, di mana Allah ingin lihat bagaimana kami menjadi hamba yang soleh apabila diletakkan di dalam ‘medan tempur’ tersebut. Mampukah kami menguasai medan tempur ini, dan akhirnya mencapai kejayaan di akhir pertempuran ini? Allah tak bagi kami anak, Allah bagi kami kesukaran di sini dan sana, namun Allah juga bagi 1001 rahmat yang sebenarnya berganda-ganda lagi banyak dari setitik kesukaran yang kami hadapi. Maka, adakah wajar kami bersedih dan tidak bersyukur? 

Semestinya tidak!

Allah bagi kami nikamat yang banyak. Di usia muda kami sudah memiliki pekerjaan yang stabil, malah memiliki perniagaan yang sangat hebat, kami memiliki rakan-rakan yang baik, ahli keluarga yang sangat baik, kesihatan yang baik, kami memiliki rumah dan kereta idaman kami, kami diberi ruang untuk berjumpa dan mengenali individu hebat di Malaysia, kami sentiasa dikurniakan fast-track apabila kami berbuat sesuatu untuk mencapai impian kami, setiap program dan ceramah saya mendapat sambutan hebat, ramai orang suka kami, ramai orang sayang kami, ramai orang hormat, kagum, malah ada yang nak jadi macam kami. Dan semuanya bukannya kebetulan, itu semua kurniaan Allah. Itulah rupa ‘medan tempur’ kami. Di situlah kami bertempur.

Ujian kami adalah ‘tidak memiliki anak’, tetapi memiliki banyak lagi nikmat. Maka Allah nak uji kami, bagaimana kami uruskan hidup kami yang macam sekarang ini?

Dan kami percaya, orang yang memiliki anak juga adalah satu ujian. Semestinya ujiannya tak kurang hebatnya, kena jaga anak, didik anak, hantar anak pergi sekolah, ajarkan anak tentang agama, bina akhlak anak, dan macam-macam lagi, itu ‘medan tempur’ mereka. Sama juga macam seorang lelaki yang beristeri seorang dan seorang lelaki yang beristeri ramai. Semestinya kehidupan, cabaran dan ujian mereka tidak sama, sebab masing-masing memiliki rupa ‘medan tempur’ yang berlainan.

Namun di akhirnya, tidak kira walau bagaimanapun rupa ‘medan tempur’ kita, apa yang kita mahu adalah kejayaan dan kebahagiaan di akhir pertempuran itu.

Lihatlah Nabi Ayub diuji dengan penyakit sopak di seluruh badannya, Siti Asiah diuji dengan ditakdirkan menjadi isteri kepada Firaun, Nabi Nuh diuji dengan isteri dan anak-anak yang derhaka, malah Nabi Muhammad diuji dengan kewafatan putera-puteranya. Mereka juga diuji dengan ujian yang sungguh hebat! Persoalannya, adakah mereka berduka, berputus asa, dan berhenti ‘bertempur’?

Anda faham tak apa yang saya cuba sampaikan?

Pasakkan dalam minda kita, tak kira bagaimanapun rupa ujian yang Allah bagi kepada kita, kita kena terima ketentuan ini dengan redha, dan selesaikan ujian itu dengan sebaiknya. Mungkin awalnya kita goyah dan jatuh, namun bangkitlah, teruskan. Jangan berhenti. Biarlah di garisan penamat nanti, kita menang dan cemerlang. Jalankanlah amanah dan laksanakanlah tugasan, bertempurlah dengan hebat di ‘medan tempur’ itu.

Wahai mereka yang tiada anak.
Wahai mereka yang ada anak.
Wahai mereka yang kaya dan miskin.
Wahai mereka yang berjaya dan gagal.
Wahai mereka yang alim dan jahil.
Wahai mereka yang tidak kira apa ujian sekalipun yang anda hadapi sekarang.

Bertabahlah, lakukannya sebaiknya, terus buru kejayaan dunia dan akhirat.
Semoga berjaya semua!

Kerana seorang guru tidak memandang rupa kertas ujian yang diberikan kepada muridnya, tetapi dia memandang jawapan muridnya, untuk diberikan markah.

Dan, kerana Allah tidak memandang bentuk ujian yang Dia berikan kepada kita, tetapi Dia memandang hasil usaha kita untuk mencapai redhaNya, untuk diberikan syurga.

Artikel ini bukan untuk minta simpati, bukan untuk mengeluh.

Saya cuma nak ajak anda semua rasa OK dengan apa saja ujian yang anda terima hari ini. Dan saya, sejujurnya saya SANGAT OK smile emoticon.

Sekian.

Kredit : Fb ShafiqFadeli


Telah Terbukti Saya Tidak Mandul

23 May 2017




PASANGAN yang mendirikan rumah tangga tentu inginkan anak sebagai penyeri dan pengikat kasih sayang dalam rumah tangga. Namun tidak semua impian itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat kerana semuanya ketentuan Allah. Soal zuriat bagi pasangan yang bernikah tentu menjadi perkara sensitif jika tidak kena gaya terutama kala bertandang ke rumah mentua. Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aiza (bukan nama sebenar) dengan anda semua. Dalam tulisan yang panjang lebar, Aiza menceritakan kekecewaannya dituduh mandul oleh mentua, sedangkan hakikatnya anaknya sendiri yang mandul.

Kita ikuti kisah Aiza:

"Saya berusia lewat 20-an, bernikah dengan teman lelaki yang saya kenali sejak di kolej bernama Aiman (bukan nama sebenar) setelah menjalin hubungan selama enam tahun. "Tamat belajar dan setelah mendapat kerja, kami bernikah dan direstui keluarga masing-masing. "Dua tahun bernikah saya masih belum mengandung. "Mentua mula kecoh, bising-bising dan mengatakan saya merancang tidak mahu anak, pada hal mana ada perempuan yang tidak mahu melahirkan anak.

"Saya tidak merancang, tidak makan apa-apa ubat mencegah hamil. Tuhan belum mahu memberi kami rezeki dan zuriat. "Setiap hari selesai solat saya berdoa minta Tuhan berikan kami zuriat. Saya tidak pernah kecewa sebab saya tahu, saya tidak ada masalah untuk mengandung sebab saya sudah buat pemeriksaan terperinci untuk mengetahui tahap kesuburan saya. "Apabila saya ajak suami, dia enggan dengan alasan dia tidak mandul dan dalam sejarah keluarganya tidak ada yang mandul.

"Satu hari saya diberitahu suami yang dia ingin membawa saya bercuti ke sebuah pulau. Alasannya untuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga. "Seronok kerana merasa diri dihargai, saya setuju tanpa mengetahui tujuan di sebalik ajakan suami saya. Sampai di sana, saya lihat suami sangat gelisah. Dia asyik menjawab telefon, entah dari siapa saya tidak tahu. Tapi saya tidak kisah dan tidak mahu merosakkan percutian kami itu. "Saya tidak mahu berprasangka buruk kepada suami. Malam kedua di pulau itu ketika kami sedang makan malam, suami berterus terang meminta izin untuk bernikah lagi seorang. Seperti saya duga alasannya sebab dia mahukan anak dan kerana desakan ibunya.

"Saya berhenti makan, macam hendak pecah dada saya dibuatnya. Air mata saya mengalir laju membasahi pipi. Saya amat sedih, tergamak dia buat saya macam ini. "Saya tinggalkan makanan dan terus balik ke bilik hotel. Di bilik suami mencurah semua yang terbuku di hatinya. Dia ingin bernikah lagi seorang kerana mahu membuktikan kepada keluarga dan kawan-kawan yang dia tidak mandul. "Lama juga kami bertengkar. Rupa-rupanya yang suami sibuk menelefon itu adalah ibunya yang bertanya sama ada dia sudah berterus terang dengan saya atau belum.

" Saya mula merasakan hubungan kami akan menjadi renggang selepas ini terutama apabila mentua masuk campur. Kepercayaan saya kepadanya sudah pudar, malah hilang ditelan malam yang gelap gelita. "Dalam tangisan yang tidak ada hentinya, saya memberi dia izin untuk bernikah lagi dengan syarat saya dilepaskan sebab saya tidak sanggup hidup bermadu. Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan perempuan lain hanya kerana saya tidak ada anak. "Saya juga tidak sanggup melihat perempuan lain yang berkongsi suami dengan saya mengandung dan melahirkan zuriat untuk suami saya.

"Akhirnya saya dilepaskan dengan talak satu. Saya merasa amat lega walaupun saya kecewa dan bersedih. Hampir dua bulan saya tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. "Dalam tempoh tersebut, bekas suami bernikah lain dengan gadis pilihan orang tuanya. Saya mendapat khabar daripada rakan sekerja suami yang juga teman baik saya semasa di kolej. "Saya tidak berdendam dengan dia dan saya mendoakan agar dia bahagia dengan isteri barunya. Doa saya supaya kebenaran akan terbongkar. Saya mahu menebus maruah saya yang telah tercalar.

"Enam bulan setelah bergelar janda saya dilamar oleh kenalan abang, seorang duda yang baru balik dari bertugas di luar negara.
"Saya mengikut kata ibu dan abang kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan saya agar rumah tangga kali ini akan berkekalan dan saya mampu memberi zuriat kepada suami. " Alhamdulillah, dua bulan setelah bernikah saya disahkan mengandung. Tuhan telah makbulkan permintaan saya. Saya menangis dalam pelukan suami kerana teramat gembira. "Ibu dan abang tentulah paling gembira kerana saya telah berjaya menebus maruah yang tercalar kerana dikatakan mandul oleh bekas suami dulu.

"Kebenaran telah terbukti. Saya juga hidup bahagia bersama suami baru yang menyayangi dan menghargai saya sepenuh jiwa. "Mentua baru saya juga sangat penyayang dan melayan saya seperti anaknya sendiri. Saya sangat bersyukur. "Kini usia anak saya sudah dua tahun tetapi bekas suami masih belum dikurniakan anak lagi. Siapa yang mandul sekarang? Kalau ikutkan hati mahu saya pergi ke rumah bekas mentua dan memulangkan paku buah keras kepadanya, tetapi saya bukan perempuan jenis itu.

"Biarpun mereka telah menyakiti hati dan perasaan saya tapi saya tetap menghormati mereka. Cuma saya harap mereka sedar dan insaf dengan perbuatan mereka itu. "Jangan mudah menghina dan memperkecilkan orang kerana kekurangan dan kelemahan yang mereka ada. Tidak semua manusia lemah itu akan lemah selamanya kerana semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. "Saya gembira kerana dapat membersihkan nama saya dan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu. Saya harap saya akan terus diberi kekuatan untuk membina hidup bersama suami dan anak kami dalam keadaan baik, sihat dan sejahtera selamanya.

" Saya sedar setiap yang berlaku ada hikmahnya dan kini saya sudah peroleh hikmah tersebut. Semoga Allah panjangkan jodoh saya, murahkan rezeki dan bahagiakan kami di dunia dan akhirat,'' kata Aiza menutup cerita. Syabas Aiza kerana telah berjuang untuk menebus maruah anda sebagai wanita. Saya kagum dengan sikap anda yang tidak berdendam dengan bekas suami dan keluarga mentua walaupun mereka telah banyak melukakan hati anda. Mudah-mudahan anda akan terus bahagia di samping suami dan anak yang menjadi pengikat kasih anda berdua. Didiklah dia menjadi anak yang soleh dan solehah dalam menempuh kehidupan mendatang.

Mengundur diri, kebahagiaan itu bukan sekadar rasa gembira dan kemewahan yang nampak di mata tetapi juga ketelusan yang terlahir dari dalam jiwa.

Salam

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Kredit : UtusanMalaysia

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.