Telah Terbukti Saya Tidak Mandul
PASANGAN yang mendirikan rumah tangga tentu
inginkan anak sebagai penyeri dan pengikat kasih sayang dalam rumah tangga.
Namun tidak semua impian itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat kerana
semuanya ketentuan Allah. Soal zuriat bagi pasangan yang bernikah tentu
menjadi perkara sensitif jika tidak kena gaya terutama kala bertandang ke rumah
mentua. Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aiza
(bukan nama sebenar) dengan anda semua. Dalam tulisan yang panjang lebar, Aiza menceritakan
kekecewaannya dituduh mandul oleh mentua, sedangkan hakikatnya anaknya sendiri
yang mandul.
Kita ikuti kisah Aiza:
"Saya berusia lewat 20-an, bernikah
dengan teman lelaki yang saya kenali sejak di kolej bernama Aiman (bukan nama
sebenar) setelah menjalin hubungan selama enam tahun. "Tamat belajar dan setelah mendapat
kerja, kami bernikah dan direstui keluarga masing-masing. "Dua tahun bernikah saya masih belum
mengandung. "Mentua mula kecoh, bising-bising dan
mengatakan saya merancang tidak mahu anak, pada hal mana ada perempuan yang
tidak mahu melahirkan anak.
"Saya tidak merancang, tidak makan
apa-apa ubat mencegah hamil. Tuhan belum mahu memberi kami rezeki dan zuriat. "Setiap hari selesai solat saya berdoa
minta Tuhan berikan kami zuriat. Saya tidak pernah kecewa sebab saya tahu, saya
tidak ada masalah untuk mengandung sebab saya sudah buat pemeriksaan terperinci
untuk mengetahui tahap kesuburan saya. "Apabila saya ajak suami, dia enggan
dengan alasan dia tidak mandul dan dalam sejarah keluarganya tidak ada yang
mandul.
"Satu hari saya diberitahu suami yang dia
ingin membawa saya bercuti ke sebuah pulau. Alasannya untuk meraikan ulang
tahun perkahwinan kami yang ketiga. "Seronok kerana merasa diri dihargai,
saya setuju tanpa mengetahui tujuan di sebalik ajakan suami saya. Sampai di
sana, saya lihat suami sangat gelisah. Dia asyik menjawab telefon, entah dari
siapa saya tidak tahu. Tapi saya tidak kisah dan tidak mahu merosakkan
percutian kami itu. "Saya tidak mahu berprasangka buruk
kepada suami. Malam kedua di pulau itu ketika kami sedang makan malam, suami
berterus terang meminta izin untuk bernikah lagi seorang. Seperti saya duga
alasannya sebab dia mahukan anak dan kerana desakan ibunya.
"Saya berhenti makan, macam hendak pecah
dada saya dibuatnya. Air mata saya mengalir laju membasahi pipi. Saya amat
sedih, tergamak dia buat saya macam ini. "Saya tinggalkan makanan dan terus balik
ke bilik hotel. Di bilik suami mencurah semua yang terbuku di hatinya. Dia
ingin bernikah lagi seorang kerana mahu membuktikan kepada keluarga dan
kawan-kawan yang dia tidak mandul. "Lama juga kami bertengkar. Rupa-rupanya
yang suami sibuk menelefon itu adalah ibunya yang bertanya sama ada dia sudah
berterus terang dengan saya atau belum.
" Saya mula merasakan hubungan kami akan
menjadi renggang selepas ini terutama apabila mentua masuk campur. Kepercayaan
saya kepadanya sudah pudar, malah hilang ditelan malam yang gelap gelita. "Dalam tangisan yang tidak ada hentinya,
saya memberi dia izin untuk bernikah lagi dengan syarat saya dilepaskan sebab
saya tidak sanggup hidup bermadu. Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan
perempuan lain hanya kerana saya tidak ada anak. "Saya juga tidak sanggup melihat
perempuan lain yang berkongsi suami dengan saya mengandung dan melahirkan
zuriat untuk suami saya.
"Akhirnya saya dilepaskan dengan talak
satu. Saya merasa amat lega walaupun saya kecewa dan bersedih. Hampir dua bulan
saya tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. "Dalam tempoh tersebut, bekas suami
bernikah lain dengan gadis pilihan orang tuanya. Saya mendapat khabar daripada
rakan sekerja suami yang juga teman baik saya semasa di kolej. "Saya tidak berdendam dengan dia dan saya
mendoakan agar dia bahagia dengan isteri barunya. Doa saya supaya kebenaran
akan terbongkar. Saya mahu menebus maruah saya yang telah tercalar.
"Enam bulan setelah bergelar janda saya
dilamar oleh kenalan abang, seorang duda yang baru balik dari bertugas di luar
negara.
"Saya mengikut kata ibu dan abang kerana
tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan saya agar rumah tangga kali ini
akan berkekalan dan saya mampu memberi zuriat kepada suami. " Alhamdulillah, dua bulan setelah
bernikah saya disahkan mengandung. Tuhan telah makbulkan permintaan saya. Saya
menangis dalam pelukan suami kerana teramat gembira. "Ibu dan abang tentulah paling gembira
kerana saya telah berjaya menebus maruah yang tercalar kerana dikatakan mandul
oleh bekas suami dulu.
"Kebenaran telah terbukti. Saya juga
hidup bahagia bersama suami baru yang menyayangi dan menghargai saya sepenuh
jiwa. "Mentua baru saya juga sangat penyayang
dan melayan saya seperti anaknya sendiri. Saya sangat bersyukur. "Kini usia anak saya sudah dua tahun
tetapi bekas suami masih belum dikurniakan anak lagi. Siapa yang mandul
sekarang? Kalau ikutkan hati mahu saya pergi ke rumah bekas mentua dan
memulangkan paku buah keras kepadanya, tetapi saya bukan perempuan jenis itu.
"Biarpun mereka telah menyakiti hati dan
perasaan saya tapi saya tetap menghormati mereka. Cuma saya harap mereka sedar
dan insaf dengan perbuatan mereka itu. "Jangan mudah menghina dan memperkecilkan
orang kerana kekurangan dan kelemahan yang mereka ada. Tidak semua manusia
lemah itu akan lemah selamanya kerana semua yang berlaku adalah dengan izin
Allah. "Saya gembira kerana dapat membersihkan
nama saya dan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu. Saya harap saya akan
terus diberi kekuatan untuk membina hidup bersama suami dan anak kami dalam
keadaan baik, sihat dan sejahtera selamanya.
" Saya sedar setiap yang berlaku ada
hikmahnya dan kini saya sudah peroleh hikmah tersebut. Semoga Allah panjangkan
jodoh saya, murahkan rezeki dan bahagiakan kami di dunia dan akhirat,'' kata
Aiza menutup cerita. Syabas Aiza kerana telah berjuang untuk
menebus maruah anda sebagai wanita. Saya kagum dengan sikap anda yang tidak
berdendam dengan bekas suami dan keluarga mentua walaupun mereka telah banyak
melukakan hati anda. Mudah-mudahan anda akan terus bahagia di
samping suami dan anak yang menjadi pengikat kasih anda berdua. Didiklah dia
menjadi anak yang soleh dan solehah dalam menempuh kehidupan mendatang.
Mengundur diri, kebahagiaan itu bukan sekadar
rasa gembira dan kemewahan yang nampak di mata tetapi juga ketelusan yang
terlahir dari dalam jiwa.
Salam

No comments
Post a Comment