Bekas Banduan Ingin Jadi Insan Berjaya Selepas Insaf Dipenjara
Assalamualaikum semua pembaca, Di sini admin kongsikan kisah bahayanya apabila terjerat dengan najis dadah. Moga kisah yang dipaparkan oleh Encik Leong boleh dijadikan tauladan dan iktibar kepada anak-anak muda. Jangan dipersia-siakan waktu muda kalian semata-mata mengejar keseronokan yang sementara. Fikir-fikirkan orang tersayang kesan dan akibat apabila anda terjebak dengan dadah. Ingatlah , sekali anda dah mencuba dadah, memang terseksa untuk anda keluar dari belenggu dadah kecuali mereka yang benar-benar insaf dan sedar di atas kesilapan yang telah dilakukan berjaya keluar dari belenggu dadah.
-Admin-
KEPERITAN menjalani hukuman penjara selama 15 tahun menjadikan seorang bekas banduan, AD Leong, 50, insan yang berjaya dan mensyukuri kehidupan. Detik hitam dalam hidupnya bermula ketika berusia 17 tahun lagi, apabila beliau terjebak dengan dadah hasil pengaruh rakan sebaya dan juga pergaulan bebas dengan masyarakat luar. Perasaan ingin mencuba yang kuat terus mendorong Leong menjamah najis bermula dengan ganja kemudian heroin sebelum mengedar dalam kuantiti kecil.
“Saya mula mengambil dadah ketika berusia 17
tahun akibat pengaruh serta pergaulan dengan rakan-rakan. Ketika ini memang
seronok sangat, kawan adalah segala-galanya sehingga saya lupa kepada keluarga. “Selepas berhenti sekolah dan bekerja sebagai
pembantu kedai, keadaan menjadi tidak terkawal, saya mendapat bekalan terus
daripada kawan-kawan…Namun keseronokan itu berakhir apabila saya ditangkap
seterusnya dijatuhi hukuman pada 1988 dan ketika itu saya berusia 23 tahun,”
katanya.
Bermula dari detik itulah kehidupan Leong yang
berasal dari Marudi, Baram (Miri) berubah apabila beliau dijatuhi hukuman
gantung sampai mati.
Namun di sebalik kesedihan itu beliau amat
bersyukur kerana hukuman gantung sampai mati yang pada mulanya dikenakan ke
atasnya ditukar kepada penjara seumur hidup, 20 tahun dan 10 kali sebatan. “Pada mulanya saya dikenakan hukuman gantung
sampai mati tetapi disebabkan kesilapan teknikal hukuman ditukar kepada hukuman
penjara seumur hidup dan sebatan 10 kali, serentak. “Bagaimanapun saya mendapat pengampunan kerana
berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman dan tempoh penjara dipendekkan
kepada 15 tahun,” katanya.
Mengimbau kenangan semasa mula terjebak dengan
dadah, Leong memberitahu kasih sayang ibu dan bapanya tidak pernah berubah
sehingga beliau dijatuhi hukuman penjara tetapi kurang disenangi oleh
adik-beradiknya yang lain. Malah sepanjang di penjara Leong hanya
dikunjungi ibu dan bapanya menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan
kerana rakan-rakan yang diagungkan dan dianggap penyelamat selama ini tidak
pernah kunjung tiba.
“Paling
saya kesal ialah, saya sentiasa mengharapkan kawan dan saudara datang menjenguk
saya di penjara menghantar barangan keperluan, tetapi mereka tidak pernah
muncul yang muncul hanyalah emak dan bapa. “Timbul kesal yang amat mendalam apabila saya
melihat emak dan bapa menjenguk saya di penjara.. “Ada satu masa mereka lama tidak datang, saya
tidak tahu mereka sakit waktu itu, tidak lama selepas itu pegawai penjara
memaklumkan kepada saya ibu meninggal dunia dan ketika itu saya masih perlu
menjalani hukuman penjara lapan tahun lagi,” katanya dengan nada sedih.
Leong menceritakan sepanjang menjalani hukuman
di tiga penjara berasingan (Miri, Kuching dan Limbang) pengalaman pahit yang
tidak akan lenyap daripada ingatannya ialah disebat 10 kali pada satu masa. Beliau memberitahu tiada kata-kata yang dapat
menjelaskan kesakitan disebat 10 kali pada satu masa. “Saya diikat di satu tiang, alat perlindungan
(safety) dipakaikan kecuali pada bahagian tengah punggung, kosong. Susah untuk
menjelaskan dengan kata-kata rasa sakit itu. “Kalau boleh saya gambarkan ialah rasa
sakitnya seperti dilanggar kereta dan seperti satu dawai yang dibakar api,
sangat pedih dan pedas. Saya hampir pengsan dan perlu menjalani rawatan
beberapa hari,” katanya.
Selepas keluar penjara iaitu pada 10 Mei 2003,
Leong menyimpan azam untuk memulakan kehidupan baharu namun ia tidak semudah
disangkakan kerana kehadirannya dalam masyarakat sukar diterima disebabkan
beliau seorang bekas banduan. Bagaimanapun beliau kembali bersemangat
setelah mendapat dorongan serta motivasi daripada salah seorang ahli Lembaga
Pelawat Penjara yang kini merupakan Pengarah Pendidikan Sarawak, Serina Sauni. “Beliau (Serina Sauni) yang banyak memberi
kata-kata semangat sehingga saya menjadi insan diterima masyarakat sekarang.
“Beliau sering menggalakkan saya keluar dan
terus menjadi orang yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ceritanya. Tiga bulan selepas meninggalkan penjara Leong
memulakan kehidupannya sebagai bekas banduan dengan bekerja di sebuah kilang
dan di situ juga beliau menimba ilmu perniagaan pada masa sama mempraktik
segala yang dipelajari di penjara. Sembilan bulan bekerja di kilang berkenaan
sebagai pembantu dapur, beliau akhirnya mengambil keputusan membuka perniagaan
sendiri dengan menjadi pembekal makanan kepada pekerja kilang tersebut.
Leong seterusnya mendapat keyakinan untuk
mengembangkan perniagaannya dengan lebih memfokus kepada menyediakan
perkhidmatan pengurusan dan servis dalam pelbagai bidang antaranya dobi,
landskap dan katering. Dari situlah lahirnya Berkat Channel Sdn Bhd
yang beroperasi di Samalaju, Bintulu. Selain itu Leong menjadi pakar motivasi
sambilan dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah dan juga di institusi
pengajian tinggi atas jemputan. Lazimnya jemputan akan diberikan secara rasmi
menerusi syarikat bertauliah tempat beliau bernaung iaitu Motivation &
Consultancy General Services Company.
“Di bawah syarikat inilah kami bekas-bekas
banduan khususnya di negeri ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan
berpegang kepada visi ‘Membina peluang, mengubah hidup dan mengurangkan
jenayah’,” katanya. Kehidupan Leong kini lengkap setelah beliau
bertemu jodoh dengan gadis pilihannya yang juga seorang pendidik dan pasangan
itu dikurniakan seorang cahaya mata. “Masyarakat juga sudah mula menerimanya dan
secara peribadi saya rasa kerana saya sudah insaf dan membuktikan bahawa
manusia boleh berubah.
“Saya amat percaya kalau seseorang itu
mempunyai keinginan kuat untuk berhenti mengambil dadah mereka boleh
melakukannya dalam sekelip mata. Petuanya ialah dia (penagih) harus menjauhkan
diri dari rakan-rakan yang masih menagih dadah,” katanya. Selain itu, kata Leong, untuk benar-benar
berubah dan bebas dari belenggu dadah seseorang itu harus mempunyai pegangan
agama. Leong memberitahu beliau hanya mengenali agama
semasa di penjara. Di situ beliau mendalami agama Kristian dan menjadikannya
pedoman hidup, ia terbukti berjaya menjadikannya insan sebenar.
“Kalau untuk anak muda, saya sering
memberitahu kepada mereka jika saya diberi satu peluang kembali ke usia muda
atau diberi peluang untuk satu hajat, jawapan saya ialah saya mahu menjadi
remaja semula. “Saya tahu apa yang boleh saya pilih dan sudah
tentu saya tidak akan pilih jalan yang sudah saya lalui, saya tidak akan
mengambil dadah, dengar nasihat ibu bapa dan berusaha menjadi pelajar
cemerlang,” katanya.
Kredit : theborneopost
Kredit : theborneopost
No comments
Post a Comment