SLIDER

penjamin
Showing posts with label penjamin. Show all posts

Dianiaya Rakan Sebagai Penjamin

6 Jun 2017


 
SOALAN:
Saya ada membuat pinjaman peribadi secara cross guarantor dengan sebuah bank bersama seorang kawan kira-kira 13 tahun lalu. Pinjaman saya secara potongan gaji selesai dalam tempoh yang ditetapkan. Sahabat berkenaan hanya membayar tiga kali sahaja sebelum berhenti kerja dan ghaib sehingga kini.

Kes ini kemudian dibawa ke mahkamah. Saya terpaksa mengadap hakim tanpa kehadiran peminjam. Beberapa tahun lalu, pihak bank mencadangkan saya membuat pinjaman untuk menyelesaikan hutang tertunggak berkenaan ataupun memotong gaji saya setiap bulan. 

Cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bajet saya tidak mengizinkan. Saya faham, mengikut hukum syarak saya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut yang berjumlah hampir RM10,000. 

Nama saya telah disenaraihitamkan hampir tujuh tahun hingga kini.
Baru-baru ini, saya membuat pinjaman dengan bank berkenaan sekali gus menyelesaikan hutang tertunggak tersebut. Tanggungjawab saya selesai. Nama saya dan kawan bermasalah itu kini bersih.

Mengikut adat, kawan saya itu kini berhutang dengan saya. Apa pandangan ustaz mengenai kes ini secara umum?

JAWAPAN:
Ya, secara umumnya masalah yang saudara hadapi ialah cabaran hidup, kesabaran dalam berkawan, ketabahan dalam menghadapi muflis dan sebagainya yang saya fakir pasti telah mengganggu keharmonian perjalanan kehidupan saudara. 

Namun, insiden ini pasti akan mematangkan lagi saudara dalam melalui kehidupan seharian supaya lebih berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin tidak akan memasuki lubang biawak padang pasir kali kedua. (riwayat Muslim, kitab: al-Zuhd wa Raqaiq, no:5317). Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Seorang mukmin tidak digigit ular dua kali dari satu lubang".

Maksud hadis ini Rasulullah berpesan bahawa seorang mukmin tidak akan tertipu bagi kali yang kedua. Kalau masih tertipu maksudnya orang itu tidak sempurna imannya. Dalam kaedah fiqh ada menyebut bahawa seseorang itu tidak akan mengundang suatu yang mudarat dan tidak mendedahkan diri kepada kemudaratan. Cukuplah apa yang saudara alami, jangan sampai tertipu bagi kali yang berikutnya. 

Betullah tindakan saudara membuat pinjaman untuk melangsaikan hutang tersebut. Kawan saudara yang berhutang itu harus bertanggungjawab, dalam Islam perbuatan dia haram, kerana mengkhianati persahabatan dan menghumban kawan dalam masalah dan dia melepaskan diri dari masalah tersebut. 

Perbuatan saudara melangsaikan hutang itu bermaksud saudara membayar duit kawan sebagai menunaikan tanggungjawab dan arahan kontrak akad. Saudara sanggup menjamin kawan kerana percaya bahawa dia akan melangsaikannya dan tidak akan mendatangkan masalah dan bebanan kepada saudara. Tetapi bak kata pepatah "seperti melepaskan anjing yang tersepit". 

Biarpun saudara telah melangsaikan hutang yang dituntut oleh pihak bank kepada saudara selaku penjamin, kini kawan saudara berhutang dengan saudara. Mungkin dari sudut Islam ada perbahasan dari kalangan ulama.

Namun demikian, dari sudut akhlak dia tetap salah dan berdosa. Selagi mana dia tidak meminta halal dan memohon kemaafan dia tetap bersalah.

SOALAN 2
Sekiranya beliau gagal menjelaskan hutang ini, apa tindakan yang perlu saya buat? 

JAWAPAN:
Dari sudut undang-undang saya kurang pasti, tetapi peruntukkan penjamin jelas bahawa pinjaman yang dibuat oleh kawan saudara itu adalah tanggungjawab bersama dari sudut undang-undang. 

Sekiranya saudara tahu tempat tinggalnya, saudara berjumpa dan meminta dia melangsaikan hutang dia kepada saudara. Namun ada satu lagi pilihan iaitu saudara halalkan hutang tersebut. 

SOALAN 3
Jika saya tidak menghalalkannya di dunia dan akhirat, apakah saya dikira berdosa? 

JAWAPAN:
Saudara tidak berdosa kerana telah dianiaya oleh rakan sendiri atau dizalimi. Namun sekiranya saudara ingin memaafkan atau bersikap reda atas segala yang berlaku itu adalah lebih baik. 

SOALAN 4
Adakah ini semua takdir atau ujian atau kaffarah yang ditentukan kepada saya? 

JAWAPAN:
Sesungguhnya setiap apa jua masalah yang berlaku ia adalah merupakan ujian atau dugaan yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya di dunia seperti mana dalam firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". (al-Baqarah : 155). 

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah takdir daripada Allah. Dalam masalah saudara Allah uji saudara dengan harta dan kawan. 

SOALAN 5
Berdosakah saya (dahulu) memaki hamun kawan berkenaan di atas perbuatannya? 

JAWAPAN:
Sebagai seorang manusia biasa marah itu suatu yang biasa. Tiada seorang pun yang tiada perasaan marah, cuma marah ini mesti bertempat, tidak boleh sembarang marah. Kalau ditanya yang mana baik marah atau sabar? Pastilah jawapannya sabar, kerana orang yang bersabar atas dugaan lebih baik dari orang yang tidak bersabar. 

Saya faham keadaan saudara yang cukup terhimpit dalam hutang. Nasihat saya beristighfar dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas keterlanjuran lisan saudara. 

SOALAN 6
Berdosakah saya menceritakan masalah ini dan sikap sahabat ini kepada kawan-kawan yang lain? 

JAWAPAN:
Tidak salah saudara bercerita dengan kawan-kawan lain sebagai satu pengalaman. Ini supaya yang lain lebih berhati-hati sama ada dalam masalah menjamin atau individu yang melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengenakan kawan yang menjamin.

Kredit : UtusanMalaysia



 

Bekas Banduan Ingin Jadi Insan Berjaya Selepas Insaf Dipenjara

29 May 2017



Assalamualaikum semua pembaca, Di sini admin kongsikan kisah bahayanya apabila terjerat dengan najis dadah. Moga kisah yang dipaparkan oleh Encik Leong boleh dijadikan tauladan dan iktibar kepada anak-anak muda. Jangan dipersia-siakan waktu muda kalian semata-mata mengejar keseronokan yang sementara. Fikir-fikirkan orang tersayang kesan dan akibat apabila anda terjebak dengan dadah. Ingatlah , sekali anda dah mencuba dadah, memang terseksa untuk anda keluar dari belenggu dadah kecuali mereka yang benar-benar insaf dan sedar di atas kesilapan yang telah dilakukan berjaya keluar dari belenggu dadah.

-Admin-

KEPERITAN menjalani hukuman penjara selama 15 tahun menjadikan seorang bekas banduan, AD Leong, 50, insan yang berjaya dan mensyukuri kehidupan. Detik hitam dalam hidupnya bermula ketika berusia 17 tahun lagi, apabila beliau terjebak dengan dadah hasil pengaruh rakan sebaya dan juga pergaulan bebas dengan masyarakat luar. Perasaan ingin mencuba yang kuat terus mendorong Leong menjamah najis bermula dengan ganja kemudian heroin sebelum mengedar dalam kuantiti kecil.

“Saya mula mengambil dadah ketika berusia 17 tahun akibat pengaruh serta pergaulan dengan rakan-rakan. Ketika ini memang seronok sangat, kawan adalah segala-galanya sehingga saya lupa kepada keluarga. “Selepas berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai, keadaan menjadi tidak terkawal, saya mendapat bekalan terus daripada kawan-kawan…Namun keseronokan itu berakhir apabila saya ditangkap seterusnya dijatuhi hukuman pada 1988 dan ketika itu saya berusia 23 tahun,” katanya.
Bermula dari detik itulah kehidupan Leong yang berasal dari Marudi, Baram (Miri) berubah apabila beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Namun di sebalik kesedihan itu beliau amat bersyukur kerana hukuman gantung sampai mati yang pada mulanya dikenakan ke atasnya ditukar kepada penjara seumur hidup, 20 tahun dan 10 kali sebatan. “Pada mulanya saya dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi disebabkan kesilapan teknikal hukuman ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup dan sebatan 10 kali, serentak. “Bagaimanapun saya mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman dan tempoh penjara dipendekkan kepada 15 tahun,” katanya.

Mengimbau kenangan semasa mula terjebak dengan dadah, Leong memberitahu kasih sayang ibu dan bapanya tidak pernah berubah sehingga beliau dijatuhi hukuman penjara tetapi kurang disenangi oleh adik-beradiknya yang lain. Malah sepanjang di penjara Leong hanya dikunjungi ibu dan bapanya menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan kerana rakan-rakan yang diagungkan dan dianggap penyelamat selama ini tidak pernah kunjung tiba.

“Paling saya kesal ialah, saya sentiasa mengharapkan kawan dan saudara datang menjenguk saya di penjara menghantar barangan keperluan, tetapi mereka tidak pernah muncul yang muncul hanyalah emak dan bapa. “Timbul kesal yang amat mendalam apabila saya melihat emak dan bapa menjenguk saya di penjara.. “Ada satu masa mereka lama tidak datang, saya tidak tahu mereka sakit waktu itu, tidak lama selepas itu pegawai penjara memaklumkan kepada saya ibu meninggal dunia dan ketika itu saya masih perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun lagi,” katanya dengan nada sedih.

Leong menceritakan sepanjang menjalani hukuman di tiga penjara berasingan (Miri, Kuching dan Limbang) pengalaman pahit yang tidak akan lenyap daripada ingatannya ialah disebat 10 kali pada satu masa. Beliau memberitahu tiada kata-kata yang dapat menjelaskan kesakitan disebat 10 kali pada satu masa. “Saya diikat di satu tiang, alat perlindungan (safety) dipakaikan kecuali pada bahagian tengah punggung, kosong. Susah untuk menjelaskan dengan kata-kata rasa sakit itu. “Kalau boleh saya gambarkan ialah rasa sakitnya seperti dilanggar kereta dan seperti satu dawai yang dibakar api, sangat pedih dan pedas. Saya hampir pengsan dan perlu menjalani rawatan beberapa hari,” katanya.

Selepas keluar penjara iaitu pada 10 Mei 2003, Leong menyimpan azam untuk memulakan kehidupan baharu namun ia tidak semudah disangkakan kerana kehadirannya dalam masyarakat sukar diterima disebabkan beliau seorang bekas banduan. Bagaimanapun beliau kembali bersemangat setelah mendapat dorongan serta motivasi daripada salah seorang ahli Lembaga Pelawat Penjara yang kini merupakan Pengarah Pendidikan Sarawak, Serina Sauni. “Beliau (Serina Sauni) yang banyak memberi kata-kata semangat sehingga saya menjadi insan diterima masyarakat sekarang.

“Beliau sering menggalakkan saya keluar dan terus menjadi orang yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ceritanya. Tiga bulan selepas meninggalkan penjara Leong memulakan kehidupannya sebagai bekas banduan dengan bekerja di sebuah kilang dan di situ juga beliau menimba ilmu perniagaan pada masa sama mempraktik segala yang dipelajari di penjara. Sembilan bulan bekerja di kilang berkenaan sebagai pembantu dapur, beliau akhirnya mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri dengan menjadi pembekal makanan kepada pekerja kilang tersebut.

Leong seterusnya mendapat keyakinan untuk mengembangkan perniagaannya dengan lebih memfokus kepada menyediakan perkhidmatan pengurusan dan servis dalam pelbagai bidang antaranya dobi, landskap dan katering. Dari situlah lahirnya Berkat Channel Sdn Bhd yang beroperasi di Samalaju, Bintulu. Selain itu Leong menjadi pakar motivasi sambilan dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah dan juga di institusi pengajian tinggi atas jemputan. Lazimnya jemputan akan diberikan secara rasmi menerusi syarikat bertauliah tempat beliau bernaung iaitu Motivation & Consultancy General Services Company.

“Di bawah syarikat inilah kami bekas-bekas banduan khususnya di negeri ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan berpegang kepada visi ‘Membina peluang, mengubah hidup dan mengurangkan jenayah’,” katanya. Kehidupan Leong kini lengkap setelah beliau bertemu jodoh dengan gadis pilihannya yang juga seorang pendidik dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata. “Masyarakat juga sudah mula menerimanya dan secara peribadi saya rasa kerana saya sudah insaf dan membuktikan bahawa manusia boleh berubah.

“Saya amat percaya kalau seseorang itu mempunyai keinginan kuat untuk berhenti mengambil dadah mereka boleh melakukannya dalam sekelip mata. Petuanya ialah dia (penagih) harus menjauhkan diri dari rakan-rakan yang masih menagih dadah,” katanya. Selain itu, kata Leong, untuk benar-benar berubah dan bebas dari belenggu dadah seseorang itu harus mempunyai pegangan agama. Leong memberitahu beliau hanya mengenali agama semasa di penjara. Di situ beliau mendalami agama Kristian dan menjadikannya pedoman hidup, ia terbukti berjaya menjadikannya  insan sebenar.

“Kalau untuk anak muda, saya sering memberitahu kepada mereka jika saya diberi satu peluang kembali ke usia muda atau diberi peluang untuk satu hajat, jawapan saya ialah saya mahu menjadi remaja semula. “Saya tahu apa yang boleh saya pilih dan sudah tentu saya tidak akan pilih jalan yang sudah saya lalui, saya tidak akan mengambil dadah, dengar nasihat ibu bapa dan berusaha menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Kredit : theborneopost

Sayangkan Sahabat, Hampir Muflis

4 May 2017

As'kum admin, Terima kasih kerana sudi siarkan luahan saya.


Pernah tak korang ada masalah kena tipu kawan baik sebab tak bayar hutang ? Sebab duit, kawan pun boleh jadi lawan. Saya paling tak suka untuk membenci orang lain tanpa sebab. Tapi disebabkan masalah hutang ni, membuatkan hubungan kami yang dulunya akrab kini dah jadi suram. Cerita hutang saya ni, bukanlah si dia berhutang cash dengan saya. Tapi nama saya di ambil sebagai penjamin di atas dokumen pinjaman kereta yang dibuat oleh kawan baik. Biar saya namakan kawan saya ni "Si A". Niat saya cuma untuk membantu sahabat, tapi bila dah jadi kes macam ni, saya sendiri tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Si A ni lagi.

Kami dulu kenal rapat  sewaktu di kolej lagi. Duduk satu rumah sewa, pergi kemana-mana pun mesti bersama. Sehinggalah kami graduate dan dah bekerja dengan kerjaya masing-masing. Bila dah bekerja pun, kami masih duduk satu rumah sewa. Macam biasalah, awal-awal kerja mesti kumpul duit, lepas tu nak beli kereta untuk memudahkan perjalanan ke ofis. Tapi Si A ni nak apply loan tak lepas sebab gaji tak layak. Pegawai bank minta dia cari seorang penjamin. Jadi Si A ni meluahkan hasrat dia kepada saya untuk jadi penjamin dia. Kalau dah duduk satu rumah, hari-hari Si A merayu minta pertolongan saya. Bukannya saya tak pernah nasihatkan dia supaya bersabar dulu, tapi kalau hati dah tak boleh tunggu lagi , saya berleter banyak mana pun, tak memberi kesan. Saya sedia maklum syarat-syarat seorang penjamin loan ni. Saya tahu, malah impact bila peminjam tak bayar, penjaminlah orang pertama yang dikejar oleh pihak bank.

Atas perbincangan dan budi bicara kami berdua, akhirnya saya bersetuju untuk tolong Si A jadi penjamin loan kereta dia ni. Dia berjanji yang dia takkan timbulkan masalah dan culas dalam urusan pembayaran bulanan loan tu. Jadi, dalam tempoh kami membujang ni, semua berjalan lancar dan ok. Loan kereta Si A tak ada masalah apa-apa tunggakan pun. Sehinggalah selepas kami berdua dah berkahwin dan membina keluarga masing-masing. Walaupun kami dah berpisah rumah, tapi kami still berhubung di antara satu sama-lain.

Lebih kurang 2 tahun usia perkahwinan , seingat sayalah, tiba-tiba dapat panggilan daripada pihak bank mengatakan loan kereta Si A dah lama tak bayar. Tertunggak 3 bulan. Jadi pihak bank minta saya untuk bayarkan amaun yang tertunggak tu. Saya ada berhubung dengan Si A, untuk discuss pasal loan yang tertunggak tu. Panjang lebar Si A ni bercerita. Dia cakap, dia tengah ada masalah kewangan. Nanti dia cuba bayarkan sikit-sikit. Saya pula jenis mudah kesiankan orang. Lagi-lagi kalau orang tu kawan baik. Saya ok je, janji dia bayarlah tunggakan tu.

Tapi tak seperti yang dijanjikan, bank banyak kali call. Tunggakan dah hampir 5 bulan. Saya call Si A banyak kali, tapi tak berangkat. Mungkin dia tahu saya nak tanya pasal loan kereta dia. Saya cuba call guna nombor lain. Si A jawab. Tapi penjelasan yang dia bagi seolah-olah macam nak marah saya balik sebab push dia untuk bayar tunggakan tu. Dia cakap dia tertekan dan stress, sebab saya asyik call je. Si A cakap , suruh saya ignore je call daripada pihak bank tu. Sampailah sekarang kalau saya call tak berangkat, tak berjawab. Saya cuba whatsapp ajak jumpa untuk settlekan masalah ni. Dia cuma jawab minta maaf dan minta di beri masa untuk selesaikan masalah dia. Sejak dari hari tu,  kami dah loss-contact, nombor phone pun dah bertukar. Bila saya pergi ke rumah dia, diorang semua dah berpindah, tak tahu pergi mana. Pernah satu hari saya terserempak dengan Si A di pusat beli-belah. Saya cuba nak menghampiri dia. Tapi Si A perasan yang saya ada kat situ, terus menghilangkan diri. Mungkin dia tak bersedia nak jelaskan pasal loan kereta dia tu.

Sekarang ni nama saya dah diblacklisted dalam ccris. Saya tak tahu apa akan jadi bila saya dah sampai tahap muflis. Bila dah dapat surat lawyer, saya cuma boleh tolong bayarkan jumlah tunggakan 2 bulan je, tapi untuk settlekan semua amaun tak mampulah dalam keadaan sekarang yang segala-galanya perlukan duit. Saya cuma terkilan sebab dah loss-contact dengan kawan baik saya ni gara-gara hutang loan kereta. Hubungan baik yang dah lama terjalin, lenyap sekelip mata. Ya betul, mungkin ini bukan dia mintak nak berlaku. Mungkin dia ada masalah-masalah yang sesiapa pun tak tahu. Tapi ini situasi dia. Pada situasi saya pula, perlu juga harapkan Si A untuk selesaikan masalah tunggakan ni. Baru selesai masalah hutang bank tersebut. Mungkin dah nasib kami. Bukan kami minta pun benda ni nak terjadi.

Kalau korang ada pengalaman jadi penjamin loan ni, sharelah kat sini . Mana tahu ada idea untuk saya dapat selesaikan masalah yang membelenggu . Saya pun berharap dapat contact balik kawan baik saya ni.

-Penjamin baik hati-
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.