SLIDER

boros
Showing posts with label boros. Show all posts

Jimat Banyak Untuk Pencen Awal: Ramai Orang Tersilap Belanja Banyak Duit Mereka Pada 4 Perkara Ini

13 Aug 2017

#1-Ukur Baju Di Badan Sendiri.



Jika kita ini jenis yang makan gaji, bekerja selama berpuluh-puluh tahun pasti memenatkan.

Mungkin rasa nak pencen seawal yang mungkin tetapi kewangan kita sampai ke tua masih belum kukuh membuatkan hajat kita itu tergantung.

Antara sebab orang nak buat bisnes adalah mereka ada impian untuk bersara awal dan menjalani hidup yang mereka suka dengan tenang. Ada yang berjaya ada yang tidak. Mengapa?

Mengikut kajian seorang pakar kewangan yang juga jutawan dari barat, orang ramai menghabiskan hampir 70% daripada duit mereka untuk 3 perkara berikut dan ini adalah satu pembaziran.


#2-Beli Rumah Melebihi Kemampuan.



Sana-sini orang nak beli rumah terutamanya pasangan muda yang baharu berkahwin.

Memanglah beli rumah adalah satu keperluan dan mungkin juga satu pelaburan akan tetapi ikutlah kemampuan.

Kalau kemampuan kita hanyalah sekadar rumah kecil atau rumah kos rendah maka belilah pada kadar yang mampu.

Jangan terus berimpian besar lalu mahu rumah besar, kereta besar dan sebagainya.

Banyak perkara yang perlu difikirkan. Kalau anda dan pasangan membeli rumah yang rendah daripada harga yang anda mampu, maka anda telah melakukan penjimatan.

Mungkin rumah tidak kelihatan gah akan tetapi banyak duit yang anda telah jimat untuk simpanan hampir 25%.

Kalau bilangan isi rumah tidak ramai sangat, buat apa perlu kita nak beli rumah besar-besar untuk 10 orang duduk.

Selesa? Carilah keselesaan ikut kemampuan, jika kita beli rumah selesa sedangkan kita tidak berapa mampu lagi, mungkin nanti baki bulanan duit kita tidak selesa dan menyeksa di kemudian hari.

Banyak lagi kos hidup lain yang kita perlu fikir. Bersederhanalah dan berkorban sedikit untuk keinginan dan impian untuk masa hadapan.

Kerajaan pun banyak buat skim perumahan mampu milik sekarang ini. Rajin-rajinkan diri bertanya dan mencari.

Kalau masih belum betul mampu, tidak perlu beli lagi, sewa sahaja rumah pada harga yang murah untuk kumpul duit beli rumah impian bila masanya sesuai.

Contohi Warren Buffet, bapa pelaburan dunia yang masih tinggal di rumah lama walaupun telah lama menjadi kaya.

Kos rumahnya hanyalah .001% daripada jumlah kekayaannya sekarang. Wareen Buffet sudah kaya, anda belum kaya lagi.

Pilihlah mahu terbeban dengan komitmen yang tidak perlu atau mahu hidup secara sederhana dan bersenang di kemudian hari.


#3-Guna Pengangkutan Yang Mahal.



Mengikut kajian, perkara kedua yang ramai orang habiskan duit selepas rumah adalah kenderaan.

Memang ramai yang tidak boleh lari daripada buat pinjaman kereta.
Kadang-kadang sebab bayar kereta, baki gaji kita tinggal sedikit.

Kenapa? Kerana kita beli kereta yang harga lebih daripada harga mampu milik dan terikat dengan komitmen hampir 9 tahun.

Setiap bulan dalam 9 tahun kalau kita boleh kumpul separuh daripada apa yang kita bayar untuk kereta agak-agak dah berapa kita dapat simpan?

Cuba kumpul deposit supaya kita dapat buat bayaran balik pinjaman dalam masa yang singkat.

Tidak salah kalau guna kereta second-hand dahulu. Beli kereta hanya jika perlu dan mengikut kemampuan.

Ikut kemampuan bukan bermakna kalau gaji RM 3,000 boleh beli kereta yang ansuran RM 1,000 sebulan.

Itu hanya akan membuat duit anda cepat lesap. Baki yang tinggal lepas bayar kereta tambahan pula ada pinjaman rumah, berapa sangat tinggal untuk anda belanja? Nak simpan apatah lagi.

Mungkin anda boleh tanggung apabila gabung gaji pasangan. Tetapi banyak lagi kos lain seperti minyak,tol, insuran, dan lain-lain yang anda kena congak sebelum decide nak beli kereta. Jangan sebab kereta, rumah, kita hidup stress.


#4-Terlebih Beli Makanan.


Menurut kajian ini juga, hampir 43% perbelanjaan rumah dihabiskan untuk makanan.

Makanan ini memang keperluan asasi setiap orang dan memang sukar nak berjimat untuk makanan.

Tetapi sebenarnya kita dah banyak membazir untuk makanan. Kita beli barangan makanan yang tidak perlu seperti snek, makanan pra-masak, vitamin ,suplemen dan sebagainya.

Sebenarnya, kalau kita tidak beli barangan makanan jenis ini dan hanya beli makanan asas seperti makanan mentah daging,ayam,ikan,telur, sayur-sayuran dan buah-buahan, makanan kita sudah mencukupi untuk keperluan badan.

Hanya amalkan pemakanan mengikut piramid makanan sudah cukup untuk anda menjaga kesihatan tubuh badan dengan baik.

Tidak perlu membazir duit untuk membeli makanan yang tidak perlu hanya kerana tuntutan nafsu.

Sekali-sekala berbelanja mewah untuk makanan tidak salah tetapi jangan amalkan selalu.

Kalau hanya makan di rumah sahaja berbanding makan diluar, anda akan terkejut dengan jumlah yang anda boleh jimat setiap sebulan.


Berbelanjalah dengan bijak ikut tuntutan keperluan bukan tuntutan keperluan nafsu.

Bekas Suami Tidak Serius Arahan Mahkamah

23 Jul 2017


PERCERAIAN antara suami isteri sebenarnya satu situasi yang sangat menyedihkan bagi anak-anak. Walaupun mungkin mereka boleh faham, keadaan akan menjadi sebaliknya apabila bapa yang sepatutnya menjaga kebajikan anak-anak selepas perceraian, tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Bukan menuding jari mencari salah sesiapa tetapi sekadar ingatan untuk pedoman bagi membaiki kelemahan serta kekurangan diri agar sentiasa baik di sisi Allah dan masyarakat.

Minggu ini saya menerima satu cerita daripada seorang pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Tina (bukan nama sebenar) berusia awal 40-an, bekas seorang eksekutif di sebuah bank.

Ingin tahu cerita Tina selanjutnya, jom kita ikuti catatan ini. Begini ceritanya.

“Saya berusia awal 40-an, masih bekerja di sebuah bank. Saya pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang saya cintai kira-kira 19 tahun lalu sebab cinta pandang pertama.

“Kami berkenalan di kampus. Enam tahun menyulam cinta bukan satu jangka masa singkat, malah menjadi jaminan kepada saya yang dia akan kekal bersama saya sehingga ke hujung nyawa.

“Sayangnya perancangan kita tidak sama dengan perancangan Allah. Ujian untuk saya sangat hebat. Selepas melahirkan anak ketiga, suami buat hal. Hubungan cinta dengan kekasih lama menjadi punca perpisahan.

“Bukan saya hendak salahkan reunion yang menjadi penyebab, tetapi itu antara punca suami berubah. Pun begitu saya anggap jodoh kami setakat itu sahaja, saya reda.

“Walaupun pelbagai usaha dibuat menyelamatkan rumah tangga kami, semuanya terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Sebab, suami telah bernikah dengan kekasih lamanya tanpa pengetahuan saya.

“Saya sangat kesal sebab suami adalah bekas seorang pegawai di jabatan agama, berpendidikan tinggi dan tahu hukum hakam agama tetapi tidak boleh berfikir dengan baik tentang tanggungjawab terhadap anak-anaknya selepas bercerai.

“Saya ditinggalkan ketika anak-anak masih kecil, berusia 9 dan 4 tahun. Sekarang sudah 10 tahun berlalu. Anak-anak kekal dengan saya. Susah payah, saya yang tanggung, sedangkan dia bahagia dengan keluarga baharunya.

“Dia tidak memikul tanggungjawab dengan baik seperti sepatutnya, jarang bertanya khabar anak-anak, belanja bulanan diberi bila saya minta. Dia lelaki dan bapa yang tidak menghargai amanah yang Allah kurniakan kepadanya.

“Kebajikan anak langsung dia tidak peduli. Tanya khabar pun tidak. Hari raya jauh sekali untuk beri belanja membeli pakaian raya, begitu juga persekolahan.

“Sampai anak sulung dapat tawaran ke universiti pun, dia tidak peduli, tidak bertanya khabar keperluan yang anak mahukan. Sedih sangat hati saya. Anak sulung saya menangis kerana ayahnya tidak mengambil berat kejayaan yang dia capai.

“Saya pujuk dia, bagi nasihat supaya dia tidak kecil hati. Saya sudah jemu naik turun mahkamah. Pergi sana sini jumpa dia untuk minta nafkah anak. Macam minta sedekah.

“Akhirnya saya nekad berjumpa dengan ketuanya dan menceritakan keadaan sebenar. Arahan mahkamah saya peroleh. Nafkah bulanan anak akan dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Tetapi macam biasa, saya terpaksa mengemis untuk meminta dia masukkan duit nafkah. Mahkamah tetapkan setiap 27 hari bulan, mesti masukkan sebab dia kerja kerajaan. Tetapi kadangkala sampai 5 hari bulan belum ada.

“Dia nak saya selalu telefon, nak dengar suara saya minta duit, baru nak masukkan. Bayangkan kalau 5 hari bulan baru masuk duit nafkah anak, nak belanja macam mana, saya kena bayar sewa van, yuran sekolah agama dan keperluan lain.

“Bukan banyak pun, kalau ribu-ribu tak apa juga. Ini bukan cukup, kena tambah lagi ada. Tapi saya akur dengan arahan mahkamah walaupun saya sudah mohon untuk naikkan jumlah bayaran nafkah sebab anak sulung sudah masuk universiti dan yang bongsu di sekolah menengah.

“Saya sangat sedih dengan keadaan ini. Bapa jenis apa pun, saya tidak tahu. Tapi dia senang lenang dengan isteri dan anak-anak sebelah sana. Selalu keluar negara, bercuti. Post dalam FB (Facebook) ke sana sini, makan di restoran mewah dan lain-lain lagi.

“Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak saya. Dia orang terasa hati dan selalu bercerita dengan saya tentang ayah mereka yang melayan keluarga baharunya dengan begitu baik sekali.

“Saya pujuk mereka dengan menyuruh mereka bersabar, nanti sudah habis belajar, cari kerja, kumpul duit kita boleh pergi bercuti. Yang penting sekarang belajar, jangan peduli tentang ayah. Allah ada. Nanti dia jawab dengan Allah.

“Itu sahaja yang saya mampu beritahu mereka. selebihnya saya serahkan kepada Allah, bukan tidak usaha untuk temukan mereka dengan ayah mereka tetapi selalu tidak menjadi sebab ayah mereka bagi banyak alasan.

“Dia ada nombor telefon bimbit anak-anaknya tetapi tak juga telefon tanya khabar, ajak jumpa ke, macam anak-anak tidak wujud. Tapi saya tidak mahu bebankan fikiran anak-anak dengan masalah ayah mereka. Selagi saya mampu, saya akan usaha untuk membahagiakan mereka. Semoga Allah pelihara kami tiga beranak.

“Kepada bekas suami, jika terbaca catatan ini, sedar-sedarlah, masukkan duit nafkah ikut masa yang mahkamah tetapkan. Jangan tunggu saya merayu. Kita teruskan hidup masing-masing. Fikirkan kebahagiaan anak-anak, jangan pentingkan diri sendiri,” kata Tina menutup cerita.

Betul kata Tina, jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan hal anak-anak. Walaupun sudah mempunyai keluarga baru, mereka juga ada hak yang sama. Jangan bezakan layanan terhadap anak-anak.

Saya doakan Tina dan anak-anaknya sentiasa di dalam rahmat Allah. Ingatlah, pengorbanan akan berakhir dengan kebahagiaan, tunggulah masanya akan sampai. Sabar ya Tina.

Menutup catatan kali ini, pesanan saya, orang-orang yang disayangi Allah adalah mereka yang reda dan sentiasa positif dalam kehidupan terutama ketika menghadapi ujian mencari kebahagiaan abadi.

Salam


Wanita Berbelanja, Lelaki Pula Yang ‘Panas’?

12 Jul 2017

“MEMANGLAH wanita boleh berbelanja besar, beli macam-macam dan mampu bayar kad kredit yang dia gunakan itu tanpa masalah. Sebab, lepas bayar kad kredit tu, dia `pau’ pula duit suami dia,’’ rungut seorang rakan lelaki.

Cepat sahaja dia memberikan ulasan itu setelah membaca laporan akhbar ini, Jumaat lalu mengenai perbelanjaan kad kredit wanita yang meningkat dua kali ganda berbanding lelaki dan disokong pula dengan kenyataan bahawa walaupun banyak berbelanja, wanita tidak mempunyai masalah membayar kad kredit dan golongan lelaki paling banyak dirujuk dalam Program Pengurusan Kredit (DMP) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Menurut laporan itu, perbelanjaan kad kredit wanita di Malaysia meningkat 129 peratus sejak 2011 berbanding lelaki yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 71 peratus bagi tempoh yang sama.

Perbelanjaan barangan runcit oleh wanita menyaksikan kenaikan 10 peratus manakala lelaki hanya berbelanja dua peratus lebih tinggi berbanding 2015. Sementara itu, perbelanjaan wanita bagi tujuan melancong dan beli-belah menunjukkan pertumbuhan ketara apabila terdapat peningkatan sebanyak 28 dan 13 peratus berbanding lelaki yang hanya merekodkan pertumbuhan 14 dan lima peratus bagi kategori sama.

Mengulas perkara itu lagi, rakan saya itu berkata, golongan wanita perlu dikawal atau mengawal perbelanjaan mereka. Kalau tidak dikawal betul-betul, perbelanjaan bagi yang sudah berkeluarga akan `kacau’ dan ini menyesakkan lagi kehidupan dalam keadaan harga barangan yang sentiasa naik dan ekonomi negara tidak menentu ini.

“Memanglah, suami ketua keluarga dan menjadi tanggungjawab mengeluarkan duit untuk perbelanjaan keluarga, tetapi si isteri `agak-agaklah’ bila berbelanja. Benda yang tidak perlu beli, tak payah beli. Kalau tak beli, bukan boleh mati pun,’’ katanya. Nampak marah betul dia. Mungkin dia salah seorang `mangsa keadaan’.

Menurut AKPK, sebanyak 65 peratus yang mempunyai masalah kewangan terdiri daripada lelaki. Golongan itu banyak menyertai DMP mungkin kerana mereka adalah ketua keluarga.

Hakikatnya, walaupun wanita sering dikaitkan dengan nafsu berbelanja yang besar, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan mereka yang berbelanja sebegitu mampu berbuat demikian. Ada wanita yang memang bergaji besar, tidak punya tanggungan atau yang belum berkahwin. Mereka mampu berbelanja mewah untuk penampilan diri dan sebagai ganjaran pada diri sendiri selepas penat bekerja.

Ada wanita yang gajinya lebih besar berbanding suaminya dan turut membantu dalam perbelanjaan keluarga tetapi pada masa sama, dia juga mahu membelanjakan wangnya itu untuk kegunaannya sendiri. Kadang-kadang inilah yang menyebabkan konflik apabila suami melihat isterinya seperti sudah terlebih berbelanja.

Pun begitu, walaupun mampu berbelanja besar, golongan wanita terutamanya perlu beringat. Orang kata, langit tidak selalu cerah. Kita pun tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku pada hari esok dan dalam suasana ekonomi yang tidak berapa elok berbelanja secara sederhana adalah yang terbaik.

Mungkin pada masa depan, duit yang berlebihan itu amat diperlukan untuk menanggung kos perubatan dan rawatan, kos pengajian tinggi anak-anak dan hal-hal kecemasan lain. Dalam dunia ini, walaupun dikatakan wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang.

Adakalanya juga, bila punya banyak wang, kita ­dihormati dan bila tidak punya wang, senang sahaja sesiapa pun mahu memperlekehkan kita.

Kata seorang rakan perempuan saya pula. Lelaki pun lebih kurang juga dalam berbelanja. Sama sahaja. Kalau ada duit lebih pun mereka akan menggunakan duit itu ­untuk hobi masing-masing.

“Jadi kenapa kita yang berbelanja, dia pula yang ­`panas’? Duit kita, bukan guna duit dia,’’ katanya.

Menurut rakan saya itu, suaminya mempunyai hobi mencantikkan kereta. Beribu-ribu duitnya sudah habis ke situ. Macam-macam aksesori kereta dipasangnya. Setiap bulan ada saja perubahan pada kereta berkenaan.

Lama-kelamaan, katanya, mungkin kereta itu boleh terbang. Yang itu hendak dikira macam mana? Bukan perlu pun. Kereta tak cantik pun, tak mati kan?”




Mertua Banyak Hutang

6 Jul 2017


Nama aku mila. umur aku 26. aku dah 4 tahun kahwin dan Alhamdulillah dikurniakan seorang cahaya mata yg comel berumur setahun lebih skrg ni. yg lg sorang dlm perut.

aku kenal suami aku masa sama2 belajar. 5 tahun bercinta dan kitorg decided untuk kahwin. Sepanjang bercinta tu aku mmg tau la pasal family die yg nama dah blacklisted and bnyak hutang. family die jauh sgt beza dgn family aku. family aku ni jenis tak suka berhutang ( berhutang bile perlu je mcm loan kete loan umah camtu) . dan kalau buat loan ke ape ke mmg bayar tetiap bulan cantik je. 

tp aku terima die seadanya sbb mak bapak die yg bnyak hutang die ni okay je yela dah nama pun cinta, cinta tu kan buta. die keje pun gaji die aku yg manage sbb kitorg plan nak kahwin dah kn so nak simpan duit sndiri. aku tolong manage je tp semua duit kat acc die. aku pulak kerja sndiri income aku sebulan dlm 15k-20k.

kumpul punye kumpul duit die masa tu ade la dalam 10k. tetiba mak bapak die nak pnjam nak buat bayar hutang tu la hutang ni la. die ni mmg jenis anak yg baik yg mmg jenis tak melawan jenis ikut cakap mak bapak semua tu. die pun bg la duit die semua tu kat parents die (aku taktau bnda ni okay aku cuma tau die bg dalam 1k-2k camtu je) . parents die ni dua2 bekerja . so aku taktau la duit tu lg mane. aku penah pg umah die, memula pegi tv besar. second pegi tv kecik. rupanya tv kene tarik sbb tak bayar lol. dahla beli tv pun nak berhutang, lpastu hutang tg puntak mampu nak bayar. 

haih. tu baru tv, yg lain tayah cite la. agaknye kalau seluar dalam tu boleh hutang pon diorg hutang agaknyez Then smpai lah tahun yg spatutnye kitorg plan nak kahwin. aku mula2 taknak tunang and aku nak buat majlis pun simple je sbb dok fikir kehidupan lepas kahwin plus aku tau yg die pun tak bnyak duit mana.

Tapi at the end kitorg bertunang jugak sbb family2 belah aku and belah die nak. kitorg ikutkan je la. kire merisik skali tunang. tu pun aku takdenye buat pelamin ape bagai. just pakai lelawa skit, mekap pun kak sdare aku yg mekapkan. time tunang aku cakap tak payah dulang2 hantaran semua tp biasala org2 tua nak jugak. (bukan parents aku eh parents aku paling sporting diorg tak kesah pun). tp korang tau tak yg best ape? cincin tunang tak beli lagi ni. 

lg seminggu je nak tunang. gile ke ape? aku mati2 ingat die da beli. tanye punya tanya rupanya die takde duit nak beli sbb dah bg parents die semua duit tu. and parents die lg la takde duit. huh. last2 aku keluarkan la duit aku sndiri untuk beli cincin tunang sndiri. yela takkanla nak cancel last mnit kan. tp parents die cakap parents die akan ganti balek. aku pun yekan je la. then time carik cincin, parents die ikut skali. aku nak satu cincin je cincin tnang, tp parents die sebok suruh beli cincin risik skali. katanya kang diorg bayar balek. hurm aku pun cuba la jd bakal menantu yg baik kann so aku ikut jee.

Then selesai sudah majlis tunang kitorg. time tu dah discuss kahwin 10 bulan lepas tu. wuu wuuu. excited campur sedih campur risau semua ada. lg 10 bulan tula kitorg kumpul duit habis habisan huhuhu. majlis kenduri belah aku mmg buat besar2an la sbb aku sorang pompuan plus parents aku yg nak buat besar2an. aku on jela. aku nak bg duit skit untuk tambah2 buat majlis tu diorg taknak. last2 aku cakap okay takpela bab pelamin, andaman and baju kahwen bia aku yg settle. diorg pon okay. aku takde risau sgt bab duit hantaran sbb kalau suami aku tak ckup, aku tambah lah gituu. sbb aku taknak pun actually duit hantaran, but again, risau org kampung bising tu la ni la. so buat jela.

Tiba masa majlis perkahwinan kitorg . Alhamdulillah semua berjalan lancar. then sedara mara aku semua tanya, bile majlis belah laki. yela biasenye kan lpas sminggu lpas majlis belah pompuan, belah laki pulak. pulak tu kitorg dok dalam satu negeri je tak jauh mane kan. aku mmg diam krik2 la sbb mertua aku tak pnah bg tau bile nak buat majlis belah sana. huh. parents aku pun keep tanya. for your information, aku tak pernah bg tau kat family aku pasal family laki aku ni camne. aku just bg tahu yg baik2 je. yelaa kalau aku bg tau kompem diorg tak bg kahwin punya haha. udahnye mmg tak buat pun majlis belah laki.

Sebulan lepas kitorg kahwin, laki aku benti kerja. yela lpas kitorg bncang2, aku ni biness sndiri so waktu tu sndiri. die pulak keje pegi pagi balek malam. sbb tmpat kerja die jauh dr rumah aku. (oh yaa kitorg duk rumah parents aku. sbb kat umah parents aku besar plus mmg parents aku suh duk situ dulu dah beli rumah sndiri nnti kalau nak kelua, kelua la.) lepas die banti kerja die kerj sndiri jugak tp dalam bahagian sales. aku masa tu Alhamdulillah dpt tau aku pregnant. income aku sebelum ni dr 15-20k makin menurun sbb aku mabuk teruk time pregnant. so aku takde mood nak buat bisness. tu semua staff2 aku yg uruskan.

okay berbalik pada laki aku td. die buat sales tu memula semua okay. tp ntah mcmmane makin lame die makin malas buat kerja. mentang gaji aku bnyak pastu aku tak pnah mntak die nafkah ke duit blanje je. kemain die goyang kaki. tp salah aku jugak sbb mase die nak benti keje tu aku cakap, tak payah bg nafkah duit belanja semua, in fact, aku cakap fikir untuk diri die sndiri je dulu. aku ade income aku lebih dr cukup so tak perlu risau. die pon okay. lebih dari okay pulak tu yg sampai goyang kaki tak fikir pasal gaji. huh.

Aku kan bisnes, aku tak penah buat loan pape just loan kereta je. mcm bisness tu modal semua dr bapak aku huhuhu. okay mase 2 bulan lepas kawn camtu, ade satu nmber office ni slalu call fon die. tp die tak angkat. aku curious kat situ. aku belek2 fon die jumpe msg yang ade tunggakan kereta 2000 . aku mmg terkejut gile la sbb bile masenye die beli kereta? kalau ade manenye? and dah 4 bulan pulak tu tak bayar. tanya punye tanya rupenye mak die guna nama die belikan kereta untuk adik die. lol. 

time ni bile aku tau aku mncarut habis dalam hati. nama suami aku jd masuk ccris/ctos semua ade. entah2 dah blacklisted. dah tau mak die tuutakde duit buat la cara takde duit. ni lagi belikan adiknya kereta untuk belajar kat U sana. aku dulu time belajar parents aku tak belikan pape pun walaupun diorg mampu. ni dahlah takde duit, nama diri sndiri dah blacklisted lpastu nak blacklist kan nama anak pulak haih. korang tolong aku carut skit huhuhu. lpas aku dpt tau mmg aku bengang la. tp tgh pregnant kan masa tu so tak boleh nak marah sgt takut menurun kat anak hurmm.

tak lama lepas tu bapak mentua aku benti keje. mula2 aku dpt tau yg ni mmg lol habis la. dah la korang bnyak hutang, lpastu benti keje haih haih. rupenye die benti keje ambek vss. so dapat la dlm 300k lebih. aku mcm hah legaaa settle la hutang2 die gamaknye and clear la nama suami aku. tp takkkkkkkk wuuu. korang nak tau sebelum die benti keje, die g jual rumah. pastu g menyewa 800 sebulan. ni aku taktau la nak panggil cerdik ke ape huhu. die kne jual rumah tu sbb dah bape bulan tak bayar rumah. 

mmg bank ambek dah. jual rumah tu mmg die dpt la dalam 100k camtu. campur duit vss die dalam 400k. lepas bayar hutang2 semua ade la lebih dlm 80k agaknye. huhu. tp guysss diorg bukan menyimpan guysss diorg joli sakan smpai habis duit tu guysss. huhu aku malas nak ambek tahu dah sbb aku dah happy konon2 nama suami aku clear dah hhuhu.

ku sangka kan panas hingga ke petang. rupanya hujan ditengahari huhuhuhu. tak lama lepas tu dpt msg dr bank lg ade tunggakan kete hhuhuhuhuhu. jomlah kite berhuhuhuhu . time ni mmg aku menyirap habis. dah ade duit bukannye nak bayar habis hutang2 tp korang boleh berjoli sakan pulak haih . marah mmg aku marah. suami aku tu tak pndai marah jd aku la tolong marah kan. huh. aku forward kan je msg tunggakan tu ke mak metua aku. (guna fon suami aku lerr) . tp die buat dunno je lol. huh.

beberapa bulan lepas tu aku tgok diorg mcm sengkek balek. dah habis ke berjoli sakan tuuuuuu. hurmm tak lama lpas tu diorg call suami aku nak pnjam 5k sbb baru prasan hutang tak habis lg. baru prasan guysss. setelah dah habis kau berjoli baru prasan ehhhh. tak sudah kau blacklist kan nama anak kau, kau mntak duit lg. haih.

lpas tu aku kesian, sbb aku kan menantu yg baik, lol. so aku bg laa. tp diorg ingat tu duit suami aku. diorg taktau anak diorg takde duit. kalau mnharapkan duit anak diorg tu mati kebulur aku anak beranak. pastu korang bile duit bnyak skit kemain tuka fon baru beli hbag mahal2. time takde duit balek korang jual balek kan. aku taktau nak cakap diorg ni jenis ape.

aku tau kau bg anak kau kawen ngan aku konon boleh settle kan semua hutang kau ke? mntang family aku berada. kau gunakan anak kau pulak. silap besar la haaa. suami aku a.k.a anak kau dah bg duit blanje tetiap bulan kat korang berdua. yg sbnrnya duit blanje tu duit aku, sbb anak kau tu income sikit. cukup makan mulut die je. aku yg tanggung semua okayyy. dahlah anak kau tak bg nafkah kat aku dan anak, korang tambah pulak dgn hutang2 bodoh korang tu. time ade duit tak beragak nak settlekan hutang tp korang berjoli kan. lpastu nak bg anak kau yg lain hdup mewah, kau guna nama suami aku. 

lpastu kau tak bayar dan nama suami aku blacklist. bnyak cantik muka korang. konon alasan nak bg anak hidup mewah sanggup berhutang. tu namanya bod** tau takk. bukannya berkorban untuk besarkan anak2, tp kau lg merosakkan anak2 ade la.

lpastu baru ni call suami aku nak pnjam nama nak beli moto pulakkk. looooool kau dah blacklist kan nama die lg nak gune lg. lpastu suami aku bg tau la kan ke nama die dah blacklist. tapi diorg boleh jawab yg diorg ade member boleh buatkan loan even dah blacklist zzzzzz. then what? lpas dah bg guna nama korang tak bayar pulak kan? nak bia suami aku muflis agaknye. huh.

then kitorg pnye hdup jd tak tenang sbb mertua aku asek mntak duit. aku tau korang pembaca ni cadangkan kitorg untuk cerai kan? no no. suami aku is the best husband in the world. mayb die tak berharta tp bab2 lain die terbaik. tak perlu aku mention sini. kang jd tajuk ‘suami aku the best’ pulekkk. hurmm. now aku mngandung anak ke dua. insyaallah hujung bulan 12 ni bersalin.

now suami aku same2 run bisnes ngan aku. Alhamdulillah makin maju dan berjaya. kitorg pun tgh carik2 rumah nak beli huhu. mak bapak mertua aku? suami aku just bg duit belanja tetiap bulan. bnyak bg 1k sorang sebulan. dan suami aku dah nasihat diorg jgn berhutang ape semua lg as hutang2 diorg smua suami aku dah settle kan. kalau ade hutang lg suami aku cakap suami aku takkan ambek tahu dah. and mak bapak die meroyan huhuhu. yela takkan aku nak ajar suami aku benci mak bapak sndiri huhuhu. 

kitorg pun jarang balek sana, bukan ape, sbb dedua bz kerja. takdela jarang mane sebulan paling busuk pun msti skali balek. anak2 aku pun bibik dok jaga , kitorg pun tak bnyak spent time sgt, sbb yela muda lg ni nak carik ape yg termampu, sbb taknak jd mcm mentua aku tu kan huhu, ini kan pulak diorg meroyan tak dpt jumpe cucu huhu.

camtula ceritanya. aku singkatkan je sbb kalau nak cite betul2 panjang sgt. aku just nak nasihatkan, kalau korang nak kahwin tu, tolong la siasat dulu family balal suami/isteri korang. jgn jd mcm aku okay. cam aku ni nasik baik sumi aku okay. cuba korang bayangkan kalau suami aku jenis mcm mak bapak die jugak? haa. aku bersyukur dan redha atas ape yg jd, pengajaran untuk diri aku supaya lebih berhari2 dan smpaikan kat korang. Tolong la, sbb bile kau kahwin kau bukan kawhin dgn isteri/suami koraang je, korang kahwin ngan family die skali. sbb tu aku cakap siasat dulu sebelum kahwin. dah kawin lg payah huhu.

okaylah smpai sini je kisah aku dan mertua. insyaallah weekend ni aku anak branak pegi bercuti di istanbul. doakan kami selamat pergi dan pulang.

– mila


Duit Tak Cukup, Idea Menarik Atasi Masalah Poket Kering Di Kalangan Siswazah

15 Jun 2017

Kehidupan sebagai pelajar universiti sememangnya berbeza jika dibandingkan ketika berada di sekolah dahulu.  Di zaman sekolah tidak memerlukan duit yang banyak, berbeza apabila seseorang itu sudah diterima masuk ke universiti. Sebagai seorang pelajar universiti yang sedang melalui fasa peralihan persekitaran, tentunya keinginan untuk membeli tidak dapat dielakkan.  Melalui satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh seorang penyelidik ke atas 165 orang pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), mendapati pelajar lelaki lebih gemar untuk memperuntukkan wang lebih untuk perbelanjaan makanan, pakaian, hiburan, alat-alat tulis, rekreasi, pengangkutan dan perubatan. 

Manakala pelajar perempuan pula lebih gemar membelanjakan wang mereka untuk tujuan alat-alat kosmetik, bil telefon, hadiah dan lain-lain seperti barang kemas dan membeli majalah hiburan. Namun kekangan hidup sebagai pelajar, menyebabkan ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menolak kesemua keinginan ini ke tepi dahulu.  Wang saku yang diberi oleh ibu bapa sering tidak mencukupi dan wang pinjaman PTPN atau biasiswa pula awal-awal lagi sudah lari daripada bajet.  Jika diolak-tolak dengan yuran pengajian, duit buku, bayaran sewa rumah bagi yang duduk di luar kampus dan sebagainya, mungkin baki wang yang tinggal hanya cukup-cukup untuk duit makan.
Namun bagi sesetengah pelajar pula, ada yang dalam kalangan mereka ini yang sanggup untuk bersusah payah dengan melakukan kerja secara sambilan.  Mereka bekerja untuk memperoleh wang tambahan semata-mata atas keinginan untuk membeli barangan yang dihajati. Ada yang sanggup bekerja di cawangan restoran makanan segera, menjadi juruwang di kedai-kedai serbaneka, bekerja di pasar raya dan sebagainya.  Namun tidak kurang juga yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan.  Mereka ini kebanyakannya menceburi bidang perniagaan atas sebab seperti:-
  • Untuk menampung kos perbelanjaan seharian ketika berada di universiti
  • Tidak mahu mensia-siakan masa yang terluang, terutamanya ketika cuti semester
  • Dapat belajar pelbagai perkara baru dan dapat menimba pengalaman dalam bidang perniagaan
  • Dengan menceburi bidang perniagaan, maka tentulah lebih ramai kenalan yang kita dapat
Melalui artikel ini, kita singkap beberapa jenis perniagaan yang kebiasaannya diceburi oleh para pelajar universiti tempatan, antaranya:-
Menawarkan Servis Jualan Secara Konvensional atau Jualan Dalam Talian
Ramai pelajar yang memenuhi masa senggang mereka dengan berkecimpung dalam bidang perniagaan tidak kira sama ada perniagaan yang berbentuk konvensional atau secara dalam talian.  Ada pelajar yang memulakan kemahiran berniaga mereka dengan menjual tambah nilai prabayar talian telefon bimbit.  Menambah nilai untuk telefon bimbit merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap pelajar untuk berhubung dengan ibu bapa, rakan dan juga buah hati.   Menjual tambah nilai di universiti ini memang untung, pelajar suka bergayut di telefon dan suka menghantar sms.  Tambahan pula kalau duduk di kolej kediaman, tentunya pelajar ini malas hendak keluar ke kedai semata-mata untuk membeli kad tambah nilai.  Dengan modal permulaan untuk menjadi ejen yang rendah dan hanya perlu melakukan sedikit promosi kepada rakan-rakan, pelajar tadi sudah mampu memulakan perniagaan tambah nilai mereka.  Namun keuntungan yang diperoleh daripada menjual tambah nilai ini tidak banyak, rata-rata ejen hanya akan mendapat 3% – 4% sahaja daripada kos jualan. Contohnya, jika pelanggan menambah nilai prabayar sebanyak RM10, ejen hanya akan mendapat RM0.30 – RM0.40 sahaja.  Namun, sekiranya pelajar itu rajin dan mempunyai pelanggan yang ramai, maka semakin banyak jualan yang dibuat, semakin untunglah dia.  Sekurang-kurangnya dapatlah menampung semula kos tambah nilai untuk telefon bimbit sendiri.
Kaedah membeli dan menjual dalam talian pula, mula menarik perhatian masyarakat kita sejak lebih dua dekad yang lalu.  Bagi mereka yang berkira wang, kos pergi ke bandar, mengisi petrol kereta, letak kereta dan makan-makan sepanjang membeli-belah dirasakan lebih tinggi berbanding dengan hanya menekan tetikus dan menurunkan maklumat kad kredit dalam talian di rumah.  Bagi mereka, urusan membeli secara dalam talian ini sebenarnya lebih mudah dan harga barangan yang ditawarkan juga ada kalanya lebih murah berbanding yang dijual di kedai atau pasar raya sedangkan jenis pakaian adalah sama.  Bagi pelajar yang bijak berniaga, tentunya mereka tidak akan ketinggalan untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian ini.  Ramai yang terlibat menjual busana Muslimah seperti jubah, baju kurung, t-shirt, tudung dan sebagainya.  Ada juga yang terlibat dalam bidang kulinari, akan memasarkan produk makanan mereka secara dalam talian. Mereka ini ada kalanya hanya perlu ada akaun Facebook sebagai senjata utama dalam perniagaan mereka ditambah dengan sikap dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Terdapat juga dalam kalangan pelajar yang menceburi bidang Multi-Level Marketing (MLM) ketika masih dalam pengajian.  Salah satu faktor penglibatan pelajar adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan dorongan ejen MLM yang berjaya menarik minat pelajar berkenaan.  Sesiapa yang pernah mengikuti taklimat berkaitan MLM, tentunya setuju bahawa yang mendengar taklimat ini kalau tidak kuat imannya tentu akan mudah terpengaruh dengan keistimewaan yang ditunjukkan.  Terdapat juga pelajar yang menjadi ahli kerana mereka adalah pengguna produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat MLM tersebut. Dengan menjadi ahli dalam syarikat MLM, maka produk akan dapat dibeli dengan harga keahlian.  Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar ini terlibat menjadi ejen jualan langsung, banyak masa yang perlu diperuntukkan dan dihabiskan untuk memberi penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk yang dijual.   Maka adalah sesuatu yang kurang bijak untuk seorang pelajar menceburi perniagaan MLM, melainkan sekiranya pelajar tersebut seorang yang pandai menguruskan masanya sendiri.
Melalui Penulisan
Penulisan adalah merupakan salah satu cara yang amat berkesan untuk menjana pendapatan terutamanya bagi pelajar yang memerlukan wang saku.  Ada dalam kalangan pelajar yang menyediakan perkhidmatan penulisan di waktu lapang mereka atau ketika mereka berada dalam cuti semester.  Antara perkhidmatan yang boleh ditawarkan adalah seperti menaip tugasan atau tesis untuk pelajar lain, menulis artikel untuk laman web, memberi servis penulisan kreatif atau membuat terjemahan artikel atau buku.  Ada juga yang menghantar karya-karya penulisan mereka ke majalah atau akhbar untuk slot-slot rencana ataupun cerpen.
Menulis tidak hanya terhad kepada contoh-contoh di atas sahaja yang lebih bercorak kreatif.  Selain itu, terdapat ramai pelajar yang mempunyai minat dan berkecenderungan untuk menulis secara aktif dalam blog mereka sendiri.   Blog merupakan satu medium untuk menyalurkan pendapat, berkongsi pengetahuan, memberikan informasi kepada orang ramai.  Terdapat pelbagai jenis blog yang mendapat sambutan yang dibuat berdasarkan niche tertentu seperti hiburan, muzik dan yang peribadi.  Di samping menulis blog sebagai hobi, blog juga dilihat sebagai salah satu cara yang dapat memberi pelajar tadi pendapatan pasif.  Melalui sumber pengiklanan dalam sesebuah blog, wang yang diperoleh sudah tentunya akan masuk ke kocek pemilik blog sendiri.  Pelajar yang memiliki blog juga boleh mendaftar untuk iklan daripada Google – AdSense ataupun Nuffnang yang kebiasaannya akan dipaparkan pada banner blog itu sendiri.  Contohnya untuk iklan Nuffnang, terdapat dua cara untuk menjana pendapatan, iaitu secara buffered earning atau metered earning.  Buffered earning adalah pendapatan yang diperoleh melalui jumlah trafik blog setiap hari.  Melalui metered earning pula, setiap klik yang unik akan diberi sagu hati.  Pendapatan ini akan diberikan secara bulanan dalam bentuk cek kepada penulis blog tersebut.  Di samping itu, pemilik blog juga boleh membuat ulasan tentang produk sama ada perkhidmatan, produk fizikal atau digital dan secara tidak langsung dapat mempromosikan blog mereka sendiri.  Mungkin setelah terkenal, akan ada pihak yang membayar untuk mengulas produk keluaran syarikat mereka sendiri pula!
Menawarkan Servis Perkhidmatan
Bagi pelajar yang mempunyai kemahiran, ramai juga yang menawarkan khidmat yang berkaitan dengan kemahiran mereka.  Antara contoh perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti khidmat membaiki komputer, membuat laman web, khidmat fotografi dan video untuk majlis formal dan yang tidak formal.  Servis perkhidmatan sebenarnya amat menguntungkan, kerana tiada modal permulaan yang diperlukan oleh pelajar, hanya memerlukan kemahiran mereka dalam sesuatu bidang itu sahaja.  Untuk pelajar yang mempunyai kebijaksanaan dalam sesuatu subjek pula, ada yang akan diupah rakan pelajar lain untuk memberikan mereka perkhidmatan tuisyen secara persendirian.
Selain itu, bagi mereka yang mempunyai pencetak mereka sendiri pula, ada juga yang menawarkan khidmat mencetak untuk tugasan atau tesis pelajar sendiri.  Kebiasaannya harga yang ditetapkan, tidak lah tinggi.  Mungkin sama harganya berbanding dengan yang dikenakan oleh kafe siber atau kedai-kedai yang terdapat di universiti.
Kesimpulan
Tidak dinafikan pengalaman belajar di universiti memang berharga.  Banyak perkara yang boleh dipelajari dan pelajar juga diberi kebebasan untuk menentukan banyak hal dalam kehidupan mereka.  Selain itu pelajar perlu berdikari menguruskan hidup sama ada dari aspek belajar, kewangan dan sebagainya.  Jika dilihat daripada aspek kewangan, bukan mudah untuk pelajar ini tadi memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan.  Ada pelajar yang sanggup bekerja untuk menjana pendapatan sampingan. Ada juga pelajar yang melibatkan diri mereka dalam bidang keusahawanan demi untuk mencari duit lebih.  Dalam Islam sendiri, aktiviti ekonomi yang berbentuk perniagaan amatlah digalakkan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar ini cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, antaranya adalah seperti minat terhadap mata pelajaran perdagangan dan keusahawanan, persepsi positif dan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan serta dorongan dan galakan daripada ibu bapa sendiri.
Terdapat beberapa contoh perniagaan yang dijalankan oleh pelajar, antaranya menawarkan servis penjualan secara konvensional atau penjualan dalam talian, menawarkan khidmat penulisan dan menawarkan servis perkhidmatan. Bagi mereka, yang penting rezeki yang diperoleh dapat menampung kos perbelanjaan mereka ketika di universiti.  Namun begitu pembahagian masa dan disiplin adalah perkara yang sangat penting bagi seorang mahasiswa dan mahasiswi.   Bagi mereka yang terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan pada peringkat pengajian ini, mereka sebenarnya terdedah kepada risiko penangguhan dan kegagalan menamatkan pengajian.  Mahasiswa dan mahasiswi yang cuba menjana pendapatan dengan melakukan kerja sampingan dan menjalankan perniagaan ketika masih di universiti ini perlulah sentiasa diingatkan agar pandai menjaga masa dan seterusnya boleh menjaga segala aktiviti mereka dengan lebih terurus. 
Kredit : Usahawan.Com

Dianiaya Rakan Sebagai Penjamin

6 Jun 2017


 
SOALAN:
Saya ada membuat pinjaman peribadi secara cross guarantor dengan sebuah bank bersama seorang kawan kira-kira 13 tahun lalu. Pinjaman saya secara potongan gaji selesai dalam tempoh yang ditetapkan. Sahabat berkenaan hanya membayar tiga kali sahaja sebelum berhenti kerja dan ghaib sehingga kini.

Kes ini kemudian dibawa ke mahkamah. Saya terpaksa mengadap hakim tanpa kehadiran peminjam. Beberapa tahun lalu, pihak bank mencadangkan saya membuat pinjaman untuk menyelesaikan hutang tertunggak berkenaan ataupun memotong gaji saya setiap bulan. 

Cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bajet saya tidak mengizinkan. Saya faham, mengikut hukum syarak saya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut yang berjumlah hampir RM10,000. 

Nama saya telah disenaraihitamkan hampir tujuh tahun hingga kini.
Baru-baru ini, saya membuat pinjaman dengan bank berkenaan sekali gus menyelesaikan hutang tertunggak tersebut. Tanggungjawab saya selesai. Nama saya dan kawan bermasalah itu kini bersih.

Mengikut adat, kawan saya itu kini berhutang dengan saya. Apa pandangan ustaz mengenai kes ini secara umum?

JAWAPAN:
Ya, secara umumnya masalah yang saudara hadapi ialah cabaran hidup, kesabaran dalam berkawan, ketabahan dalam menghadapi muflis dan sebagainya yang saya fakir pasti telah mengganggu keharmonian perjalanan kehidupan saudara. 

Namun, insiden ini pasti akan mematangkan lagi saudara dalam melalui kehidupan seharian supaya lebih berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin tidak akan memasuki lubang biawak padang pasir kali kedua. (riwayat Muslim, kitab: al-Zuhd wa Raqaiq, no:5317). Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Seorang mukmin tidak digigit ular dua kali dari satu lubang".

Maksud hadis ini Rasulullah berpesan bahawa seorang mukmin tidak akan tertipu bagi kali yang kedua. Kalau masih tertipu maksudnya orang itu tidak sempurna imannya. Dalam kaedah fiqh ada menyebut bahawa seseorang itu tidak akan mengundang suatu yang mudarat dan tidak mendedahkan diri kepada kemudaratan. Cukuplah apa yang saudara alami, jangan sampai tertipu bagi kali yang berikutnya. 

Betullah tindakan saudara membuat pinjaman untuk melangsaikan hutang tersebut. Kawan saudara yang berhutang itu harus bertanggungjawab, dalam Islam perbuatan dia haram, kerana mengkhianati persahabatan dan menghumban kawan dalam masalah dan dia melepaskan diri dari masalah tersebut. 

Perbuatan saudara melangsaikan hutang itu bermaksud saudara membayar duit kawan sebagai menunaikan tanggungjawab dan arahan kontrak akad. Saudara sanggup menjamin kawan kerana percaya bahawa dia akan melangsaikannya dan tidak akan mendatangkan masalah dan bebanan kepada saudara. Tetapi bak kata pepatah "seperti melepaskan anjing yang tersepit". 

Biarpun saudara telah melangsaikan hutang yang dituntut oleh pihak bank kepada saudara selaku penjamin, kini kawan saudara berhutang dengan saudara. Mungkin dari sudut Islam ada perbahasan dari kalangan ulama.

Namun demikian, dari sudut akhlak dia tetap salah dan berdosa. Selagi mana dia tidak meminta halal dan memohon kemaafan dia tetap bersalah.

SOALAN 2
Sekiranya beliau gagal menjelaskan hutang ini, apa tindakan yang perlu saya buat? 

JAWAPAN:
Dari sudut undang-undang saya kurang pasti, tetapi peruntukkan penjamin jelas bahawa pinjaman yang dibuat oleh kawan saudara itu adalah tanggungjawab bersama dari sudut undang-undang. 

Sekiranya saudara tahu tempat tinggalnya, saudara berjumpa dan meminta dia melangsaikan hutang dia kepada saudara. Namun ada satu lagi pilihan iaitu saudara halalkan hutang tersebut. 

SOALAN 3
Jika saya tidak menghalalkannya di dunia dan akhirat, apakah saya dikira berdosa? 

JAWAPAN:
Saudara tidak berdosa kerana telah dianiaya oleh rakan sendiri atau dizalimi. Namun sekiranya saudara ingin memaafkan atau bersikap reda atas segala yang berlaku itu adalah lebih baik. 

SOALAN 4
Adakah ini semua takdir atau ujian atau kaffarah yang ditentukan kepada saya? 

JAWAPAN:
Sesungguhnya setiap apa jua masalah yang berlaku ia adalah merupakan ujian atau dugaan yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya di dunia seperti mana dalam firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". (al-Baqarah : 155). 

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah takdir daripada Allah. Dalam masalah saudara Allah uji saudara dengan harta dan kawan. 

SOALAN 5
Berdosakah saya (dahulu) memaki hamun kawan berkenaan di atas perbuatannya? 

JAWAPAN:
Sebagai seorang manusia biasa marah itu suatu yang biasa. Tiada seorang pun yang tiada perasaan marah, cuma marah ini mesti bertempat, tidak boleh sembarang marah. Kalau ditanya yang mana baik marah atau sabar? Pastilah jawapannya sabar, kerana orang yang bersabar atas dugaan lebih baik dari orang yang tidak bersabar. 

Saya faham keadaan saudara yang cukup terhimpit dalam hutang. Nasihat saya beristighfar dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas keterlanjuran lisan saudara. 

SOALAN 6
Berdosakah saya menceritakan masalah ini dan sikap sahabat ini kepada kawan-kawan yang lain? 

JAWAPAN:
Tidak salah saudara bercerita dengan kawan-kawan lain sebagai satu pengalaman. Ini supaya yang lain lebih berhati-hati sama ada dalam masalah menjamin atau individu yang melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengenakan kawan yang menjamin.

Kredit : UtusanMalaysia



 

Keluarga Orang Susah, Tapi Adik-Adik Tidak Hargai Pengorbanan Kakak

31 May 2017


Asni, 25, merupakan seorang kakak yang amat bertanggungjawab terhadap adik-adik dan kedua-dua orang tuanya. Dia yang bekerja sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan tonggak harapan keluarga. Sebagai anak sulung, Asni, amat peka dengan keadaan keluarganya yang memerlukan pendapatan tambahan, selama ini hanya berharap kepada ayahnya, seorang buruh kasar.

Bagi Asni, biarpun hanya bekerja di sebuah tempat biasa-biasa sahaja, dengan gaji yang sederhana, namun dia sentiasa bersyukur kerana sebaik habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia akhirnya mendapat kerja bagi membantu keluarga. Asni mempunyai tiga orang lagi adik-adik perempuan bawahnya yang sekarang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dan awam yang terletak di Kedah dan Pulau Pinang.

Demi melihatkan adik-adiknya berjaya pada masa depan dan demi mengejar cita-cita mereka, Asni menggalakkan adik-adiknya belajar ke mercu menara gading biarpun dia terpaksa bekerja keras untuk ‘menyara’ adik-adiknya secara bulanan. “Hendak harapkan ayah, gaji dia tidak seberapa. Ibu pula tidak bekerja dan adik-adik pula masih lagi belajar.

“Saya reda berkorban demi adik-adik kerana mereka insan-insan yang menjadi harapan keluarga untuk meneruskan perjuangan membebaskan kehidupan kami yang dihimpit dalam kancah kemiskinan. “Belajar di IPT ini memang memerlukan banyak duit, biarpun ada Tabung PTPTN, tetapi apabila apabila sampai bab ke makan dan minum, sedikit sebanyak kita juga yang hendak menanggungnya.

“Pada mulanya, ketika ketiga-tiga mereka hendak masuk kolej dan belajar tinggi, ibu ada juga melarang kerana khuatir tidak dapat menampung perbelanjaan sekali serentak. Tetapi ketika itu saya yang beria-ia meminta mereka masuk ke menara gading kerana ingin mereka berjaya satu hari nanti. “Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya yang hanya belajar separuh jalan dan tidak dapat meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi kerana berkorban demi keluarga,” katanya.

Menurut Asni, dek kerana mahukan kejayaan adik-adik jadi kebanggaan keluarga, hampir separuh pendapatannya diberikan kepada adik-adiknya yang sedang belajar. “Mula-mula saya merasakan semuanya itu adalah sempurna. Saya tenang memikirkan tanggungjawab saya sepenuhnya kepada adik-adik tercapai. “Namun, lama-kelamaan saya merasa amat terhimpit kerana memikul beban yang tidak disangka-disangka apabila adik-adik mula meminta duit yang kata mereka amat diperlukan bagi pelajaran mereka. Kalau seorang meminta RM200 sebulan kalau tiga orang sudah tentu RM600.

“Itu belum lagi mereka meminta wang-wang sampingan yang kononnya diperlukan ketika hidup di kolej. Saya meminta mereka agar tidak keterlaluan dalam berbelanja, kena berjimat kerana sukar untuk membahagikan duit yang banyak setiap bulan. “Tetapi mereka memberi alasan kerana kononnya duit-duit itu diperlukan untuk belajar. Dalam ketiga-tiga adik, yang tengah itu memang tidak mendengar kata. Dia yang paling banyak menghabiskan duit dan meminta duit daripada saya, hampir setiap minggu.

“Saya sangat keliru dan tertanya-tanya betulkah dia perlukan sebegitu banyak duit untuk belajar sedangkan dia boleh berjimat-cermat. Tambahan permintaannya yang bukan-bukan seperti perlukan telefon bimbit baharu, baju-baju baharu dan sebagainya menyebabkan saya meradang. “Ibu ada juga menasihati adik saya ini agar tidak terlalu boros berbelanja, namun dia akan menengking kami dan merajuk. Dia berkata, dia perlukan duit yang banyak kerana hidup di kota metropolitan seperti di Pulau Pinang itu perlu pelbagai kemudahan.

“Saya bercadang untuk menghentikan bantuan kewangan kepadanya. Saya cuba ke kolejnya untuk berbincang. Namun apabila pergi ke sana dia tiada kerana mengikut kawan-kawannya ke bandar Georgetown bersama rakan-rakan luar kolej. “Terkejut dengan tindakan adik saya ini yang berpeleseran daripada belajar, saya menjadi marah. Patutlah tidak cukup duit selalu. Saya menelefonnya menyuruh dia balik ke rumah hujung minggu untuk berbincang dengannya.

“Namun adik saya enggan balik dan marah-marah. Dia berkata, kalau saya tidak memberinya belanja bulanan di kolej, dia juga mempunyai rakan-rakan luar yang boleh ‘sponsor’ dirinya di sana. “Saya tidak menceritakan semua itu kepada ibu dan ayah. Saya amat menjaga kesihatan ayah kerana pernah diserang angin ahmar beberapa bulan lalu. “Saya pun sebenarnya sudah muak dan bosan dengan perangai adik-adik ini. Sedikit pun tidak menghargai pengorbanan yang saya lakukan. Bukannya saya minta dibalas namun setidak-tidaknya berpada-padalah dengan pebelanjaan bulanan. Saya ini bukannya cop duit setiap bulan.

“Bukan itu sahaja, mereka juga seolah-olah tidak menghargai saya kerana saya sendiri bagi mereka tidak berpelajaran tinggi, jadi saya tiada nilai pada mata mereka,” katanya.

Kredit : UtusanMalaysia


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.