SLIDER

punca
Showing posts with label punca. Show all posts

Cerai: Semuanya Bermula Dari Tak Sekufu?

29 Jul 2025






Daripada kes selebriti yang bercerai ini, kita dapat belajar yang jangan main-main dengan 'sekufu' selepas perkahwinan. Walaupun ia bukan suatu rukun perkahwinan tapi ia sangat disarankan oleh ulama.
Kalau ikut pengalaman saya, ada 4 masalah sekufu yang biasa menjadi punca berlakunya perceraian.

1. SEKUFU TARAF HIDUP
Sebab itu ada istilah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Memang benar ada perkara kita boleh toleransi, tapi ada perkara sudah sebati dengan kehidupan si dia sejak kecil.
Kalau kahwin dengan kerabat diraja contohnya, bukan kedudukan yang menjadi isu utama, tapi tanggungjawab, budaya keluarga, cara makan pun sudah berbeza. Kerana mereka dibesarkan dengan gaya yang sebegitu. Kalau kerabat diraja berkahwin dengan orang kebanyakan. Bayangkan apa yang akan berlaku? Sebelum kahwin sepatutnya perkara ini di bangkitkan supaya boleh tahu sebenarnya sesuai tak kalau hidup berdua selepas kahwin nanti.
2. SEKUFU LIFESTYLE
Kita perlu sedar cara hidup orang T20, M40, dan B40 caranya berbeza. Perkara ini kalau sukar ubah, boleh berlaku pertentangan antara suami dan isteri. Lifestyle ni penting tau, bagaimana cara hidup seseorang. Kalau awak berpasangan dengan orang yang dah biasa hidup mewah, barang yang dia guna semua branded. Koleksi dari Dior, Louis Vuitton (LV), Gucci dan selevel ni je yang jadi pilihan harian dia, awak kena lah get ready sebab tinggi maintenance pasangan awak.
3. SEKUFU PENDIDIKAN
Kalau sekufu Pendidikan ini tak ditangani sebelum berkahwin, sebab itulah ada timbul dalam perkahwinan kata-kata pasangan terhadap pasangan seperti
“Awak ni lembab la”
“Awak tak belajar tentang ni ke?”
“Awak belajar tak tinggi, mana awak tahu”
"Awak ni suami slow lah”
Lagi-lagi kalau pasangan yang berkahwin seorang ada background PhD tapi seorang lagi hanya ada sijil SPM, kerana masing-masing sangat sukar bertolak ansur dan menghormati pemikiran satu sama lain.
4. SEKUFU AGAMA
Walaupun orang anggap agama adalah isu peribadi dan boleh dibaiki. Tapi kalau gap terlampau besar, dan pasangan taknak berubah, akan jadi tak tenang dan mesti akan ada konflik. Agama bermain dengan pemikiran, prinsip hidup. Kalau agama tak match, bermula daripada berkahwin, cara menguruskan keluarga dan anak-anak, pasti akan banyak konflik.
Sebelum berkahwin, banyakkan bincang dan rujuk orang tua, terutamanya masa pemilihan jodoh, jangan hanya kahwin sebab doronagn cinta yang kuat, tanpa mengambil kira realiti kehidupan selepas kahwin. Ada banyak lagi faktor-faktor lain, tapi yang saya sebutkan ini banyak berlaku berdasarkan pengalaman saya.

AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan

9 Oct 2024




Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:

  • Agama dan kesolehan

Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ

Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.

   Surah al-Sajadah (18)

Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.

  • Pekerjaaan

Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.

Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.

  • Tidak cacat

Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.

Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.

Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

           Riwayat al-Hakim (2/163)

Kesimpulan

Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.

Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.

Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Nota Hujung:

[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”

[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.


Kredit : MuftiWP

Selain faktor keturunan, ini antara punca utama mengapa uban tumbuh lebih awal

15 Jan 2022



Uban bukan hanya masalah orang tua tapi dah jadi masalah bagi orang muda dah sekarang. Umur baru 20 dah muncul rambut putih. Artikel kali ini saya nak share tentang punca uban di usia muda dan cara nak atasinya. Kalau orang tua kita tahulah sebab dah tua memang rambut akan beruban tapi yang pelik bin ajaib bila orang muda pun dah ramai yang beruban. Senang cerita gaya hidup amat mempengaruhi seperti diet tak betul, stress, kurang nutrisi selain dari genetik. Malu juga muda-muda dah uban kan? Kalau perempuan ok lagi sebab pakai tudung tapi lelaki takleh sorok. Masalah uban di usia muda ni membuatkan hilang keyakinan diri dan segan bila berada dikhalayak ramai.


Jom kita tengok apa 15 punca sebenar rambut kita ni cepat sangat beruban.

1 - Penyakit Tiroid
Tiroid yang sangat aktif boleh mengganggu penghasilan melanin, sehingga boleh menyebabkan uban.

2 - Kekurangan Vitamin B12 & zat besi
Uban di usia muda juga boleh disebabkan kadar vitamin B12 yang rendah. Selain vitamin tersebut, zat besi juga sangat diperlukan sebagai makanan rambut. Jadi sangat disarankan untuk selalu mengambil makanan yang kaya vitamin B12 dan zat besi.

3 - Faktor Keturunan Atau Genetik
Uban yang tumbuh di usia muda juga mungkin disebabkan keturunan. Oleh itu, cuba check tengok keturunan kita tu ramai tak uban di usia muda ni. So kalau ayah atau ibu kita, mungkin untuk uban awal adalah sangat tinggi.

4 - Kekurangan Vitamin C Dan Vitamin E
Kekurangan Vitamin C & E juga menjadi punca uban sebelum usia. Jumlah sel melanin akan berkurang, maka muncullah uban.

5 - Merokok
Kajian yang dijalankan oleh J.G.Mosley di British Medical Journey pada 1996 mendapati bahawa perokok akan mengalami empat kali lebih cepat mengalami masalah rambut beruban. Merokok boleh mendatangkan serangan radikal bebas di dalam tubuh dan ianya mampu menurunkan kadar melanin.

6 - Suka makan Junk Food
Bukan saja tak bagus untuk kesihatan tapi juga bagi rambut. Kandungan junk food boleh mengganggu penghasilan melanin di dalam rambut.

7 - Stress
Sebenarnya stress amat tidak bagus untuk kesihatan kita kerana stress merupakan antara punca pelbagai penyakit kronik. Stress boleh mengakibatkan rambut gugur dan beruban!

8 - Diet Yang Tidak Seimbang
Diet tidak seimbang mengakibatkan tubuh kekurangan nutrisi. Jika badan kekurang nutrisi maka system dalam badan tidak berjalan dengan baik. Sebenarnya bukan sahaja boleh sebabkan uban tetapi juga masalah kesihatan lain yang lebih teruk.

9 - Guna Pengering Rambut
Nak guna boleh tetapi jangan terlampau kerap kerana boleh menyebabkan rambut menjadi lemah dan cepat rapuh. Suhu panas akan menyebabkan gangguan kepada penghasilan melanin, oleh itu rambut cepat beruban.

10 - Kulit Kepala Kotor
Yang ni kita tak ambil peduli sangat, kulit kepala kotor pun menjadi punca tau. Bukan setakat rambut uban tetapi juga rambut gugur. So jagalah kebersihan rambut, gunakan shampoo yang sesuai. Dan kalau boleh guna yang organik sebab bebas bahan kimia. Bahan kimia ini punca banyak masalah kesihatan. Saya syorkan amik set Shampoo Prosante.

11 - Penggunaan Pewarna Rambut
Bahan kimia pada pewarna rambut boleh rosakkan sel melanin.

12 - Kerap Mencuci Rambut
Mencuci rambut tu bagus untuk elak kulit kepala kotor kan? Tetapi janganlah terlalu kerap kadang-kadang rambut menjadi kering. Sebab tu pilih shampoo yang sesuai, walau kerap guna tapi rambut still lembap dan cantik.

13 - Hormon Yang Tidak Seimbang
Keadaan kulit kepala dan rambut sangat ditentukan oleh perubahan hormon. Penyakit tiroid atau sedang hamil boleh mengakibatkan perubahan hormon.

14 - Mengalami Menopause Awal
Bagi wanita, jika anda mempunyai tanda-tanda menoupause atau telah pun menopause di usia muda, anda berisiko untuk beruban lebih awal.

15 - Kekurangan asid folik
Zat ni sangat penting tau, kekurangan boleh mengganggu pertumbuhan rambut dan uban pra-matang pun boleh keluar.

Dah tau punca, sekarang cuba cari jalan penyelesaian sebelum uban penuh kepala!


Hanya 3 langkah yang perlu anda amalkan dan berkemungkinan ia melambatkan proses pertumbuhan uban anda.

1 - Elakkan stress
Tekanan yang sering dialami remaja pada zaman moden kini adalah salah satu penyebab munculnya uban kerana tekanan daripada pelajaran di sekolah atau di kolej. Dibebani dengan masalah-masalah tidak dapat menyiapkan bebanan tugasan kolej. Stres adalah faktor penyebab timbulnya penuaan pada rambut. Remaja perlulah lebih santai dalam mengatasi dengan itu dapat mencegah uban daripada terus timbul sebelum waktunya.

2 - Jaga kebersihan kulit kepala
Menggunakan syampu yang sesuai untuk rambut agar kulit kepala dan rambut lebih sihat. 

3 - Pengambilan nutrisi dalam pemakanan seharian
Malnutrisi adalah salah satu penyebab timbulnya uban atau penuaan pada rambut. Diet secara berlebihan mengakibatkan kurangnya kandungan gizi yang diperlukan dalam badan dan ini menyebabkan tumbuhnya uban pada rambut. Pilih makanan berprotein tinggi untuk memastikan sistem pembinaan sel berlaku secara efisien. 

Secara kesimpulannya, jaga pemakanan anda seharian. Takyah la makan banyak sangat junk food tapi tambah sayur dan buah-buahan. Selain itu ambil protein sebab protein ni membantu mendapatkan rambut yang sihat dan cantik. Tambah vitamin B12 dan zat besi juga.

Semua orang taknak uban di usia muda kan? Saya pun taknak. So apa tunggu lagi, cepat selesaikan masalah anda!


Kredit : VitaSihatDanCantik


Kanser Lidah . AWAS ! Penyakit Senyap

19 Aug 2017




Biasanya apabila terdapat ulser atau di dalam mulut, kita akan merasa pedih dan susah untuk makan. Ulser ini berwarna putih dan sembuh dalam masa yang singkat apabila kita letak garam atau ubat.

Jika terdapat ulser tetapi tidak sakit atau pedih, pesakit perlu lebih prihatin dan jika keadaan berterusan, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

Buat masa ini banyak kes kanser lidah hanya dikesan lewat kerana pesakit tidak rasa sakit.

Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Pakar Damansara, Dr. Roslan Abdul Rahman, lidah adalah organ deria yang membantu dalam deria rasa seperti manis, masam, masin dan pahit apabila sesuatu benda dimasukkan ke dalam mulut.

“Lidah yang terdiri daripada gabungan beberapa otot juga berperanan di dalam menelan selain bertutur.

“Makanan yang telah dikunyah akan dibentuk kepada bolus dan ditolak oleh lidah ke bahagian farinks untuk ditelan,” katanya semasa ditemui di Damansara baru-baru ini.

Selain untuk makan, lidah amat penting untuk pertuturan, misalnya konsonan seperti L, N dan T yang memerlukan pergerakan lidah ke lelangit atau gigi hadapan untuk mendapat sebutan yang jelas.

Menurut Dr. Roslan, lidah boleh dibahagi kepada 2/3 bahagian anterior (hadapan) dan 1/3 bahagian posterior (belakang) lidah.

Seperti mana-mana kanser lain di dalam mulut, kanser lidah biasanya bermula dengan ulser yang tidak sakit dan tidak sembuh setelah dua minggu walaupun telah mendapat rawatan biasa.

Ulser tersebut lama kelamaan menjadi lebih besar dan dalam sehingga membentuk lubang seperti kawah yang mempunyai tisu yang nekrotik atau mati di bahagian tengah.

“Kanser lidah juga boleh bermula dengan ketumbuhan yang kelihatan sepeti cendawan atau bunga kobis yang tumbuh keluar daripada bahagian lidah.

“Ketumbuhan tersebut juga tidak sakit dan tumbuh dengan kadar yang agak cepat dan menjadi besar dengan cepat.

“Terdapat juga tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu mempunyai risiko untuk mendapat kanser lidah iaitu terdapat tompokan-tompokan putih atau merah pada permukaan lidah yang dikenali sebagai lesi pramalignan seperti leukoplakia dan eritroleukoplakia,” katanya.

Bagaimanapun jelas Dr. Roslan tanda-tanda ini perlu disiasat dan dipantau dengan kerap untuk memastikan ia tidak berubah menjadi kanser.

Kanser lidah yang kerap berlaku lebih kurang 95 peratus adalah dari jenis kanser sel squamous (squamous cell carcinoma) iaitu kanser sel epithelium yang meliputi otot-otot lidah.

Punca
“Seperti juga kanser lain di dalam mulut, penyebab kanser lidah adalah merokok, tabiat mengunyah sirih pinang dan kapur serta pengambilan alkohol.

“Namun terdapat juga peratusan kecil daripada penghidap kanser lidah yang tidak terlibat dengan mana-mana penyebab di atas tetapi masih mendapat kanser lidah,” katanya.

Dr. Roslan berkata, penyakit kanser lidah di mana penghidap tidak merokok, mengambil alkohol atau makan sirih mungkin dikaitkan dengan jangkitan virus human papiloma 16 (hpv 16).

“Mengikut data yang dikumpulkan oleh Statistik Kanser Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2006 insiden kanser pada lelaki dan perempuan adalah 1:1 per 100,000 populasi,” katanya.

Usia
Mengikut Statistik Kanser Kebangsaan KKM yang dikeluarkan pada tahun 2006 insiden kanser lidah meningkat dari usia 50 tahun ke atas dan memuncak pada usia 60 hingga 69 tahun bagi kedua-dua jantina lelaki dan wanita.

Walau bagaimanapun kajian di Amerika Ayarikat (AS) di antara tahun 1975 hingga 2007 mendapati kanser lidah semakin meningkat secara mendadak dalam kalangan wanita kulit putih berusia antara 18 hingga 44 tahun

Menurut Dr. Roslan, trend yang sama diperhatikan di negara maju lain termasuk Malaysia dan data sedang dikumpul buat masa ini.

Punca
“Biasanya kanser berpunca daripada bahan kimia karsinogen yang terdapat dalam nikotin rokok, alkohol dan sirih pinang kapur mengakibatkan perubahan pada gen yang mengawal pertumbuhan dan kematian sel di dalam sel sel lidah.

“Ini menyebabkan sel-sel tersebut hilang kawalan dalam pertumbuhan dan kematian sel secara normal dan membentuk sel sel kanser,” katanya.

Dr. Roslan Abdul Rahman

Prank

3 Aug 2017


Assalamualaikum.
Semua tahu apa tu prank. Dan aku percaya majoriti pernah prank orang dan pernah kena prank. Mula mula memang seronok kenakan orang tapi bila kita yang kena, berapi juga hati ni kan.. hehe
Aku dulu pun suka prank orang. Bukan dahsyat2 punya, ala biasa biasa je (aku rasalah). Takat telur campur kopi campur nila dan ect, lepas tu curah pada kawan masa birthday dia. Ada yang lain pula, sorokkan barang2 keperluan harian dia (masa asrama dulu) lepas tu pulangkan balik sebagai hadiah hari lahir dia. Seronok tu memang seronok. Kitorang gelakkan dia ramai2. Orang yang terkena pun ikut gelak sekali. Wah, macam suka betul lah time tu. Tapi masa birthday aku, rupa rupanya aku kena lagi teruk. Baju sekolah lesap, beg sekolah dekat bilik lain. Menggagau aku cari macam orang gila. Kawan2 aku siap acah2 tulis surat cinta untuk aku. Konon2 dari secret admirer. Peh, berbunga bunga sekejap hati ni. Hahaha..
Bila terbongkar semua tu, masa tu berapi api aku bila tahu tu semua prank. Beriya aku ingat ada orang dengki dekat aku + ada yang syok ke (hati kemain kembang baca surat cinta tu). Aku putus kawan selama seminggu (acah2 sangat putus kawan). Dalam masa seminggu tu, aku tersedar dan terfikir. Macam ni rupanya rasa di prank oleh orang lain. Sakit hatinya, malunya, marahnya, segala macam rasa aku dapat waktu tu. Dari luar memang nampak gelak2 suka2 tapi dalam hati tu Allah je lah yang tahu. Lepas kes aku kena prank, aku terus insaf. Tak main2 kenakan orang dah. Sebab aku dah rasa dipermain mainkan.
Bila makin lama makin besar, aku tengok prank tu dah jadi benda harian dalam hidup kita. Contohnya, ada rancangan prank dalam tandas. Main tukar2 sign lelaki perempuan (cerita ni dalam Malaysia tau, bukan overseas). Aku tengok ada mak dan anak dia masuk tandas. Si anaknya dah buka seluar dah pun. Itu budak yang kena. Buatnya ada yang pakai tudung tu masuk tandas je buka tudung terus (niat nak betulkan tudung), tak ke naya dah tayang aurat orang. Mana pula yang nak betulkan spentot yang tersedot ke, dah macam2 gaya pula jadinya. Tiba2 keluar kamera, tunjuk dah kena prank. Mak oi, malu wei.
Ada juga aku terjumpa si A post maklumat peribadi si B dekat sebuah confession. Seolah olah macam si B mencari jodoh sedangkan si A ni prank si B. Siap post gambar bagai. Orang2 yang komen galak tag kawan2 masing2. Gelak2 acah nak berkenalan. Tapi yang kena prank tu, apa yang dia hadap agaknya. Oii, kalau aku yang kena, malu abang akak oii. Mana nak sorok muka tu..
Aku pernah buka video apa entah. Nampak macam tak ada apa2 tapi suara background dia. Astaghfirullah. Suara orang mengerang ehem ehem. Aduhh, depan atuk nenek mak cik pak cik sedara bagai pula. Malu kepalang tak terkata, macam aku ni kaki porno pula.
Kalau panggilan2 prank ni, memang aku tak minat. Dia punya panggilan tu boleh buat gaduh tau. Kalau takat biasa2 okaylah. Layan lah juga pagi pagi tu. Tapi kalau sampai kacau tunang orang, cakap nak berkenalanlah. Ada yang kata ada hubungan sulit (berzina) dengan suami/isteri orang tu lah. Kata tak dapat kerja lah, direject permohonan bagai. Ini memang menyumbang sumpahan tujuh keturunan. Hal serius kehidupan, hukum hakam islam jangan buat main tau.
Yang ni pun menyirap. Ada sekali aku tengok kekonon ada dompet jatuh dan siapa2 yang lalu dkat situ, pihak tv ni tuduh orang itu sebagai pemilik dompet tu. Kalau dompet kosong, takpe lah wei. Ini dalam dompet tu acah ada dadah. DADAH tau… Dadah bukannya duit ke mainan ke tepung gandum ke. Azab tau kalau kena tuduh ada dadah. Orang tengok memang gelak2, ye lah prank kan. Tapi cuba bayangkan kalau orang yg kena prank tu ada hal emergency. Ada urusan bank ke, mak atau ayah nazak dekat hospital ke apa ke. Buatnya apa2 berlaku, menyesal seumur hidup orang tu. Kalau kau yang kena pula, agak2 apa rasanya?
Some says ‘Prank is a joke’. Tapi kalau melibatkan maruah orang tu, adakah masih dikira joke? Berbaloikah kita menjatuhkan air muka orang? Dah tak ada common sense ke kita semua ni? Kalau kau yang kena, marah ke suka?

Diam ke melenting?

Tiada siapa yang suka dia dipermainkan. Lagi2 zaman sekarang semua benda di hujung jari, macam2 orang boleh buat untuk prank orang lain. Cukup2 lah prank ni semua. Prank dan joke tak sama. Joke kita sama2 gelak ketawa, suka sama suka tapi prank? Sebelah pihak merana tau!
Apa apa pun, kita bercakap apa pun kena beringat. Nak bergurau melawak boleh, tiada yang halang. Lagi bagusnya sebenarnya sebab akan menghiburkan orang dan kita pun x stress. Tapi tu bukan tiket untuk kita prank orang lain. Ada banyak cara bergurau. Korang pandai2 lah cari hadis hadis bagaimana Rasulullah S.A.W. bergurau. Kalau bagi panjang2, takut x baca pula ye. Ini pun dah panjang, entah korang baca ke idok.
Akhir kata, berkata kata biar berpada pada. Jangan sampai usik jiwa raga, nanti naya. Kalau dah tak ada apa nak cakap atau nak buat, duk diam men pesbuk. Settle tak kacau orang. Okay?
– Kak Da

Perempuan Kaki Bersaiz Besar Murah Rezeki ?

13 Jul 2017


Orang-orang tua cakap kalau perempuan kaki saiz kapal ni rezeki murah. Tak tau lah betul atau salah. Tapi tak kot.
Orang-orang Cina percaya bahawa “rasa sejuk datang dari kaki” dan “seseorang mulai penuaan dari kaki”. Kaki adalah punce kepada masalah yang tersembunyi dalam tubuh manusia. Masyarakat Cina percaya bahawa setiap titik meridian di kaki kita adalah sebahagian daripada sistem tubuh kita, kerana itu refleksi kaki adalah rawatan ideal untuk orang tua, orang yang tertekan, ahli sukan, dan semua orang. Adakah anda tahu bahawa hanya dengan mengamati bentuk kaki seseorang dan kaki, anda boleh mempelajari tentang ciri-ciri keperibadian dan rahsia seseorang? Bacalah untuk pengetahuan, bukan untuk kepercayaan.
Kaki panjang, ramping dan halus menunjukkan orang tersebut akan menikmati kehidupan yang belayar lancar dengan sedikit rintangan. Seorang yang aktif, berkerja keras dan suka membantu. Lebih cenderung memiliki kehidupan yang sangat baik sebelum tiga puluhan anda. Setelah 30, kehidupan anda bergantung pada takdir penunjuk lain.
Kaki yang pendek berbanding tubuh menunjukkan kecerdasan, penuh perhatian dan tenang. Lebih cenderung memilih pekerjaan yang tidak memerlukannya untuk berhubungan dengan orang terlalu banyak. Mungkin menghadapi beberapa kepayahan sebelum tiga puluhan, tapi setelah itu sangat meningkatkan keberuntungan anda menjadi lebih baik.
Seseorang yang berjalan dengan kaki menghala ke dalam menunjukkan mereka low profile, lebih suka kehidupan stabil daripada mengambil risiko.
Jika anda berjalan dengan kaki terbuka, ini menunjukkan anda orang yg suka menyibuk hal orang. Anda mungkin lebih sibuk dengan urusan org lain berbanding dgn urusan sendiri. Anda suka menunjuk dan biasanya sangat becok.
Kaki kurus bertulang menunjukkan kemiskinan. Hidup mempunyai banyak kesulitan dan itu adalah perjuangan untuk membuatkan hidup berjalan lancar. Jadi jangan cuba untuk gemuk kaki anda. Tidak seperti kaki berdaging baik untuk membawa kehidupan yang baik!
Jari-jari kaki berbentuk tajam menunjukkan anda adalah kambing hitam keluarga. Anda suka menghabiskan wang tetapi malas untuk bekerja, itu menunjukkan kurangnya prestasi besar dalam hidup.
Kaki yang berisi dan halus menunjukkan anda akan menjadi sangat makmur dan kaya. Hal ini juga penunjuk bahawa keluarga seperti seseorang sangat kaya, termasuk kelas istimewa.
Jika kuku jari kaki anda tersusun dalam bentuk bulat dan halus, terutama jika anda seorang wanita, hal ini menunjukkan anda akan berkahwin dengan suami yang kaya.
Jari-jari kaki yang kecil menunjukkan anda adalah orang yang bertanggungjawab dan jujur. Orang dengan jari-jari kaki kecil dikatakan untuk menjaga harta pasangan dengan baik.
Jika kaki anda besar, (saiz 8 ke atas untuk lelaki dan saiz 7 ke atas untuk perempuan) ini menunjukkan anda adalah seorang “survivor”. Anda boleh mengendalikan setiap jenis masalah, kemunduran, kesulitan atau orang yang sukar. Anda menentukan dan dapat memberikan kepimpinan yang kuat.
Jika jari kaki tengah adalah yang terpanjang di antara jari-jari kaki yang lain, itu bukan penunjuk yang baik kerana menunjukkan nasib anda boleh berubah menjengkelkan selama setengah baya .. Anda boleh menderita kekurangan terus-menerus menghadapi masalah wang dan yang menghalang kejayaan anda.
Jika jari kedua kaki anda lebih panjang dari ibujari kaki anda, hal ini menunjukkan anda akan mempunyai banyak rezeki dan banyak teman-teman di sekitar anda. Anda melihat orang lain dengan hati yang baik, begitu banyak akan berbicara baik tentang anda. Tetapi anda harus bekerja keras untuk mempertahankan gaya hidup anda semakin boros.
Jika kaki anda kecil (saiz 6 ke bawah untuk lelaki dan saiz 5 ke bawah untuk perempuan), anda harus merawat hidung atau sistem pernafasan. Anda dewasa dan bijaksana, tetapi harus belajar untuk mengatasi sifat cemburu anda dan kecenderungan, kerana mereka boleh membawa kepada kejatuhan anda atau menjadi sumber utama ketidakbahagiaan.
Warna jari kaki anda tidak boleh hanya menunjukkan keadaan kesihatan anda, juga boleh menunjukan potensi anda untuk kekayaan. Jari-jari kaki yang susu putih dan telus cadangkan anda akan memiliki kehidupan yang stabil. jari-jari kaki kelabu cadangkan anda akan memiliki kehidupan yang sukar. Warna kemerahan Namun yang terbaik adalah, yang menunjukkan seseorang itu kaya dan sukses.
Jari-jari kaki besar menunjukkan anda adalah pemimpin. Anda boleh menjadi orang yang sangat keras kepala, panas marah dan posesif, tapi anda dapat membangkitkan ghairah besar pada orang lain.
Jari-jari gemuk dan tidak seragam dalam saiz, ini menunjukkan anda mempunyai keberuntungan untuk memiliki harta dan menikmati nasib baik. Anda mempunyai potensi untuk menjadi seorang hartawan terkemuka.

Angkara Politik Silaturahim Terputus

12 Jul 2017


BALIK atau tidak? Itu persoalan yang menghantui Bidin. Sudah lama dipendam hati yang terluka.Perbuatan kakaknya yang sering mencemuh dan menghinanya hanya kerana perbezaan politik, membuatkan Bidin tawar hati.

Bukan tidak rindukan kampung halaman tapi setiap kali balik, pasti ada sahaja kata-kata sindiran yang diterima. Macam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan. Bersubahat dengan ‘pendajal-pendajal’ yang dilaknat, makan duit haram, makan rasuah dan banyak lagi sudah menjadi bahan ejekan untuk dirinya.

Bidin tak tahu apa salahnya. Hanya kerana menyatakan sokongan kepada satu parti, dia dihina sedemikian rupa. Bagi Bidin, tidak salah mempunyai persepsi berbeza kerana dia juga punya hak untuk menilai parti mana yang sehaluan dengan prinsipnya.

Bidin makin keliru. Kenapa sering dipersalah walhal yang buat kerja-kerja tidak senonoh dalam parti bukan dirinya. Baginya, mana-mana parti politik sama sahaja. Kalau parti A terima rasuah, apa kurangnya parti B dan C?

Itu semua bagi Bidin adalah kesilapan individu, tiada kaitan dengan parti. Kalau buruk tingkah laku individu yang mewakili parti-parti tertentu, maka buruklah individu itu. Kepimpinan parti sewajarnya mengambil tindakan ke atas individu terlibat.

Jadi kenapa dirinya dipersalah? Salahkah menjadi penyokong parti-parti tertentu? Jijik sangatkah dirinya kalau tidak sehaluan dengan parti yang disokong oleh kakaknya?

Paling menyakitkan apabila status Islamnya sering dipertikai. Ideologi apa yang sedang merosakkan masyarakat hari ini? Kenapa perlu dipalitkan dengan akidah seseorang? Bukan manusia yang menilai beriman atau tidaknya seseorang itu kepada Allah SWT. Sebaliknya, setiap orang itu dinilai Allah dari segi amal dan ketakwaan.

Apakah adil apabila orang yang kuat beramal, menjaga ibadahnya, banyak bersedekah, sentiasa menjaga pergaulannya dan menjaga sahsiah dirinya, tapi hanya kerana menyokong sesuatu parti, maka terlondeh semua amalannya pada mata Allah?

Kenapa susah sangat nak faham bahawa yang buat jahat itu individu. Maka hukumlah individu itu dan janganlah dipukul rata.


TIP KAUNSELOR
* PERBEZAAN pandangan bukan perkara baharu dalam masyarakat. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW, sahabat hatta imam empat yang tersohor juga berbeza pandangan dalam beberapa perkara. Namun ia diraikan tanpa menempelak pihak tidak sependapat. Justeru, berlapang dada adalah sebaik-baik tindakan.

* Jangan sesekali memaksa orang lain menerima pandangan kita. Sebaliknya, saling bertolak-ansur saat berhadapan dengan perbezaan pandangan.

* Keikhlasan dalam memberikan pandangan mampu mengelak berlakunya perbalahan.

* Orang yang ikhlas akan sentiasa mendahului kepentingan syariat Islam berbanding kepentingan diri. Bahkan akan sentiasa mementingkan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak musuhnya.

* Sabda Rasulullah SAW: “Dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim ialah saudara bagi orang Muslim lain. Dia tidak boleh menzaliminya, membelakanginya dan menghinanya. Ketakwaan terletak di sini (lalu Baginda menunjukkan kepada hatinya, sebanyak tiga kali). Sudah memadai keburukan pada seseorang lelaki apabila dia menghina saudara Muslimnya. Setiap Muslim adalah haram ke atas Muslim yang lain dari sudut darah, harta dan maruah,” - Riwayat Muslim.


PANDANGAN KAUNSELOR
Rumit! Dari dulu hingga kini, kes perbezaan ideologi politik tidak pernah berubah. Masing-masing ada sahaja provokasi yang dibuat. Lebih malang apabila ia melibatkan perpecahan dalam ahli keluarga sendiri. Semuanya tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan pegangan parti politik.

Sewajarnya, biarlah pegangan politik individu tidak menjadi titik noktah dalam perhubungan. Harus menghormati antara satu sama lain kerana masing-masing punya prinsip dan pegangan berbeza. Benar, air dicincang tak akan putus, namun pernahkah kita memikirkan, bagaimana dengan perasaan pihak yang pernah kita lukakan dek kerana lidah tak bertulang?

Adakala kita sukar mengawal emosi apabila berbicara. Demi menegakkan pandangan dan prinsip, kita terlepas pandang tentang perasaan seseorang.

Janganlah hanya kerana mahukan kepuasan diri, maka ada hati-hati terluka yang kita abaikan. Hal-hal seumpama ini bukan mengeratkan silaturahim bahkan akan lebih menjarakkan perhubungan antara satu sama lain.

Cubalah bersikap rasional saat berbeza pendapat. A, mungkin ada alasan kenapa dia memilih sesuatu parti politik. Begitu juga bagi B, C, D, E, F dan seterusnya.

Hakikat yang perlu difahami, apa sahaja parti politik yang dipilih, ia menjadi hak individu. Janganlah kerana perbezaan yang wujud ini, mencetuskan permusuhan dan perselisihan yang berpanjangan.

Ambil pendekatan Sayidina Umar Abdul Aziz apabila mengatakan: “Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeza pendapat kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan.”

Dan ingatlah, Imam Shafie pernah berkata: “Pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul.”

Justeru berhati-hatilah saat berbicara sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda, Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di belakangnya!. Kemudian Baginda ditanya lagi, Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar? Jawab Baginda, Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” - Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.


Wanita Berbelanja, Lelaki Pula Yang ‘Panas’?

“MEMANGLAH wanita boleh berbelanja besar, beli macam-macam dan mampu bayar kad kredit yang dia gunakan itu tanpa masalah. Sebab, lepas bayar kad kredit tu, dia `pau’ pula duit suami dia,’’ rungut seorang rakan lelaki.

Cepat sahaja dia memberikan ulasan itu setelah membaca laporan akhbar ini, Jumaat lalu mengenai perbelanjaan kad kredit wanita yang meningkat dua kali ganda berbanding lelaki dan disokong pula dengan kenyataan bahawa walaupun banyak berbelanja, wanita tidak mempunyai masalah membayar kad kredit dan golongan lelaki paling banyak dirujuk dalam Program Pengurusan Kredit (DMP) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Menurut laporan itu, perbelanjaan kad kredit wanita di Malaysia meningkat 129 peratus sejak 2011 berbanding lelaki yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 71 peratus bagi tempoh yang sama.

Perbelanjaan barangan runcit oleh wanita menyaksikan kenaikan 10 peratus manakala lelaki hanya berbelanja dua peratus lebih tinggi berbanding 2015. Sementara itu, perbelanjaan wanita bagi tujuan melancong dan beli-belah menunjukkan pertumbuhan ketara apabila terdapat peningkatan sebanyak 28 dan 13 peratus berbanding lelaki yang hanya merekodkan pertumbuhan 14 dan lima peratus bagi kategori sama.

Mengulas perkara itu lagi, rakan saya itu berkata, golongan wanita perlu dikawal atau mengawal perbelanjaan mereka. Kalau tidak dikawal betul-betul, perbelanjaan bagi yang sudah berkeluarga akan `kacau’ dan ini menyesakkan lagi kehidupan dalam keadaan harga barangan yang sentiasa naik dan ekonomi negara tidak menentu ini.

“Memanglah, suami ketua keluarga dan menjadi tanggungjawab mengeluarkan duit untuk perbelanjaan keluarga, tetapi si isteri `agak-agaklah’ bila berbelanja. Benda yang tidak perlu beli, tak payah beli. Kalau tak beli, bukan boleh mati pun,’’ katanya. Nampak marah betul dia. Mungkin dia salah seorang `mangsa keadaan’.

Menurut AKPK, sebanyak 65 peratus yang mempunyai masalah kewangan terdiri daripada lelaki. Golongan itu banyak menyertai DMP mungkin kerana mereka adalah ketua keluarga.

Hakikatnya, walaupun wanita sering dikaitkan dengan nafsu berbelanja yang besar, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan mereka yang berbelanja sebegitu mampu berbuat demikian. Ada wanita yang memang bergaji besar, tidak punya tanggungan atau yang belum berkahwin. Mereka mampu berbelanja mewah untuk penampilan diri dan sebagai ganjaran pada diri sendiri selepas penat bekerja.

Ada wanita yang gajinya lebih besar berbanding suaminya dan turut membantu dalam perbelanjaan keluarga tetapi pada masa sama, dia juga mahu membelanjakan wangnya itu untuk kegunaannya sendiri. Kadang-kadang inilah yang menyebabkan konflik apabila suami melihat isterinya seperti sudah terlebih berbelanja.

Pun begitu, walaupun mampu berbelanja besar, golongan wanita terutamanya perlu beringat. Orang kata, langit tidak selalu cerah. Kita pun tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku pada hari esok dan dalam suasana ekonomi yang tidak berapa elok berbelanja secara sederhana adalah yang terbaik.

Mungkin pada masa depan, duit yang berlebihan itu amat diperlukan untuk menanggung kos perubatan dan rawatan, kos pengajian tinggi anak-anak dan hal-hal kecemasan lain. Dalam dunia ini, walaupun dikatakan wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang.

Adakalanya juga, bila punya banyak wang, kita ­dihormati dan bila tidak punya wang, senang sahaja sesiapa pun mahu memperlekehkan kita.

Kata seorang rakan perempuan saya pula. Lelaki pun lebih kurang juga dalam berbelanja. Sama sahaja. Kalau ada duit lebih pun mereka akan menggunakan duit itu ­untuk hobi masing-masing.

“Jadi kenapa kita yang berbelanja, dia pula yang ­`panas’? Duit kita, bukan guna duit dia,’’ katanya.

Menurut rakan saya itu, suaminya mempunyai hobi mencantikkan kereta. Beribu-ribu duitnya sudah habis ke situ. Macam-macam aksesori kereta dipasangnya. Setiap bulan ada saja perubahan pada kereta berkenaan.

Lama-kelamaan, katanya, mungkin kereta itu boleh terbang. Yang itu hendak dikira macam mana? Bukan perlu pun. Kereta tak cantik pun, tak mati kan?”




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.