Biasanya apabila terdapat ulser atau di dalam mulut, kita akan merasa pedih dan susah untuk makan. Ulser ini berwarna putih dan sembuh dalam masa yang singkat apabila kita letak garam atau ubat.

Jika terdapat ulser tetapi tidak sakit atau pedih, pesakit perlu lebih prihatin dan jika keadaan berterusan, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

Buat masa ini banyak kes kanser lidah hanya dikesan lewat kerana pesakit tidak rasa sakit.

Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Pakar Damansara, Dr. Roslan Abdul Rahman, lidah adalah organ deria yang membantu dalam deria rasa seperti manis, masam, masin dan pahit apabila sesuatu benda dimasukkan ke dalam mulut.

“Lidah yang terdiri daripada gabungan beberapa otot juga berperanan di dalam menelan selain bertutur.

“Makanan yang telah dikunyah akan dibentuk kepada bolus dan ditolak oleh lidah ke bahagian farinks untuk ditelan,” katanya semasa ditemui di Damansara baru-baru ini.

Selain untuk makan, lidah amat penting untuk pertuturan, misalnya konsonan seperti L, N dan T yang memerlukan pergerakan lidah ke lelangit atau gigi hadapan untuk mendapat sebutan yang jelas.

Menurut Dr. Roslan, lidah boleh dibahagi kepada 2/3 bahagian anterior (hadapan) dan 1/3 bahagian posterior (belakang) lidah.

Seperti mana-mana kanser lain di dalam mulut, kanser lidah biasanya bermula dengan ulser yang tidak sakit dan tidak sembuh setelah dua minggu walaupun telah mendapat rawatan biasa.

Ulser tersebut lama kelamaan menjadi lebih besar dan dalam sehingga membentuk lubang seperti kawah yang mempunyai tisu yang nekrotik atau mati di bahagian tengah.

“Kanser lidah juga boleh bermula dengan ketumbuhan yang kelihatan sepeti cendawan atau bunga kobis yang tumbuh keluar daripada bahagian lidah.

“Ketumbuhan tersebut juga tidak sakit dan tumbuh dengan kadar yang agak cepat dan menjadi besar dengan cepat.

“Terdapat juga tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu mempunyai risiko untuk mendapat kanser lidah iaitu terdapat tompokan-tompokan putih atau merah pada permukaan lidah yang dikenali sebagai lesi pramalignan seperti leukoplakia dan eritroleukoplakia,” katanya.

Bagaimanapun jelas Dr. Roslan tanda-tanda ini perlu disiasat dan dipantau dengan kerap untuk memastikan ia tidak berubah menjadi kanser.

Kanser lidah yang kerap berlaku lebih kurang 95 peratus adalah dari jenis kanser sel squamous (squamous cell carcinoma) iaitu kanser sel epithelium yang meliputi otot-otot lidah.

Punca
“Seperti juga kanser lain di dalam mulut, penyebab kanser lidah adalah merokok, tabiat mengunyah sirih pinang dan kapur serta pengambilan alkohol.

“Namun terdapat juga peratusan kecil daripada penghidap kanser lidah yang tidak terlibat dengan mana-mana penyebab di atas tetapi masih mendapat kanser lidah,” katanya.

Dr. Roslan berkata, penyakit kanser lidah di mana penghidap tidak merokok, mengambil alkohol atau makan sirih mungkin dikaitkan dengan jangkitan virus human papiloma 16 (hpv 16).

“Mengikut data yang dikumpulkan oleh Statistik Kanser Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2006 insiden kanser pada lelaki dan perempuan adalah 1:1 per 100,000 populasi,” katanya.

Usia
Mengikut Statistik Kanser Kebangsaan KKM yang dikeluarkan pada tahun 2006 insiden kanser lidah meningkat dari usia 50 tahun ke atas dan memuncak pada usia 60 hingga 69 tahun bagi kedua-dua jantina lelaki dan wanita.

Walau bagaimanapun kajian di Amerika Ayarikat (AS) di antara tahun 1975 hingga 2007 mendapati kanser lidah semakin meningkat secara mendadak dalam kalangan wanita kulit putih berusia antara 18 hingga 44 tahun

Menurut Dr. Roslan, trend yang sama diperhatikan di negara maju lain termasuk Malaysia dan data sedang dikumpul buat masa ini.

Punca
“Biasanya kanser berpunca daripada bahan kimia karsinogen yang terdapat dalam nikotin rokok, alkohol dan sirih pinang kapur mengakibatkan perubahan pada gen yang mengawal pertumbuhan dan kematian sel di dalam sel sel lidah.

“Ini menyebabkan sel-sel tersebut hilang kawalan dalam pertumbuhan dan kematian sel secara normal dan membentuk sel sel kanser,” katanya.

Dr. Roslan Abdul Rahman