Anak Lelaki Lebih Hebat Kalau Ibu Selalu Pesan 5 Hal Penting Ini
Peranan ibu dalam mendidik anak memang sangat penting. Karektor yang dimiliki oleh wanita bergelar ibu iaitu prihatin, lemah lembut, pengasih dan penuh belas kasihan adalah kurniaan dari Ilahi yang tidak ada pada seorang lelaki.
Disebabkan kesabaran dan keprihatinan seorang ibu, kebanyakan anak-anak
lebih selesa untuk meluahkan segala perasaan dan masalahnya kepada sang
ibu. Kadangkala walaupun seseorang anak lebih rapat dengan ayah tetapi
tak boleh mengalahkan keakraban dengan ibu.
Karektor seorang ibu sangat penting bagi setiap anak sama ada perempuan
atau pun lelaki. Tetapi bagi anak lelaki, ibu adalah cinta pertamanya
yang sejati. Figura yang dapat mendidiknya untuk memiliki peribadi
lelaki yang pengasih dan bertanggungjawab.
Jadi, para ibu perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak
lelaki menjadi lelaki dewasa yang penyayang, penyabar, berkeyakinan dan
bertanggungjawab kepada keluarganya satu hari nanti.
Jangan lupa sentiasa pesan perkara berikut supaya anda menjadi ibu yang baik kepada anak lelaki anda.
1. Ajar anak jadi penyabar tetapi tegas
Karektor anak lelaki memang agak kasar dan mudah marah. Ibu, tunjukkan
contoh menjadi orang yang sabar kepada anak-anak. Bila ibu selalu sabar
dalam menghadapi kerenah mereka tetapi masih tegas, ia secara tak
langsung mengajar mereka pentingnya menjadi orang yang banyak bersabar.
Kalau ada masalah jangan cepat hendak naik angin.
2. Didik mereka jadi lelaki sejati
Walaupun anak anda seorang lelaki, mereka tetapi perlu diajar menjadi
orang yang mudah bersikap lembut pada orang lain tanpa perlu
menghilangkan sisi ketegasannya. Dengan cara ini, barulah mereka boleh
menjadi lelaki yang sejati yang tahu menghormati, menghargai dan
prihatin pada orang lain.
3. Menjadi pemberi semangat
Adakalanya anak lelaki akan berhadapan dengan situasi yang
menjengkelkan atau mengecewakan mereka seperti kalah dalam permainan
bola dengan kawan-kawannya dan sebagainya. Biasanya mereka bukan jenis
kaki mengadu seperti anak perempuan. Ia hanya ditunjukkan daripada raut
wajah yang muram dan kecewa sahaja.
Sebagai ibu, anda kena prihatin bila berhadapan dengan situasi anak
lelaki yang kecewa. Menjadi tugas ibu untuk berfikir secara positif dan
memberikan kata-kata semangat kepada anak supaya tidak mudah patah
semangat. Anak akan kembali bersemangat dan mempunyai keyakinan diri
kembali hasil daripada keprihatinan ibu yang sentiasa menjadi penyokong
setianya.
4. Fokus dan yakin untuk jadi orang yang berjaya
Anak lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan ibu biasanya akan
mendapat keputusan akademik yang lebih baik. Bukankah ibu adalah makhluk
yang dicipta oleh Allah sebagai insan yang selalu menenangkan? Jadi
tidak hairanlah anak lelaki yang rapat dengan ibu akan lebih fokus
semasa belajar kerana dia tidak perlu memikirkan masalah dari rumah
serta lebih tenang semasa peperiksaan kerana ibu telah mengajar agar
sentiasa bertenang dan yakin pada diri sendiri.
5. Jadilah lelaki yang menghargai wanita
Biasanya bila si anak lelaki itu rapat dengan ibu sejak dari kecil
lagi, maka dia sedikit sebanyak akan faham dengan karektor dan
sensitiviti seorang wanita. Namun, ia bukan bermakna anak akan
mencontohi perwatakan seorang wanita daripada ibunya. Sebaliknya anak
lelaki akan membesar sebagai lelaki yang lebih memahami wanita. Maka
dengan itu dia akan lebih menghargai dan mencintai wanita yang
disayanginya.
Ibu adalah sahabat sejati kepada anak. Hanya ibulah yang sentiasa
bersama anak semasa susah, sedih dan gembira. Jadilah ibu yang hebat di
mata anak. Ibu sangat berkuasa dalam mempengaruhi dan membentuk jati
diri seorang anak lelaki!
No comments
Post a Comment