Anak Tak Sah Taraf Bukan Hina, Mudarat Sembunyi Nasab Lebih Besar: Mufti WP
BANGI, 8 Zulkaedah 1438H, Selasa – Isu menutup malu dan aib bukan alasan yang kuat untuk anak tidak sah taraf ber’bin’ atau ‘bintikan’ bapa biologinya, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Katanya,
mudarat menyembunyikan nasab anak tak sah taraf adalah lebih besar
berbanding menjaga malu dan aib anak itu, kerana ia membabitkan pelbagai
perkara termasuk pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita.
Bagaimanapun jelas beliau, punca utama masalah itu adalah ekoran tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal di negara ini.
“Isu
penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar
sebagai punca dalam masyarakat. Betapa lemahnya pendidikan seks yang
berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi.
“Jika kita
mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus
masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga,”
katanya di ruangan Bayan Linnas, yang disiarkan di laman web Mufti
Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dr
Zulkifli berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai lepas,
memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau
dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh
Jumhur ulama.
Sehubungan
itu, ia hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama
Allah yang mulia dan sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.
“Mesyuarat
juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni
implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara
keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib
yang mungkin dialami oleh anak zina).
“Ini
bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab
sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam,”
katanya.
Justeru,
beliau mengingatkan pasangan yang terjebak zina supaya bernikah secepat
mungkin, sebagai bentuk pemulihan diri dan bertaubat kepada Allah.
Beliau
menjelaskan, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri
mensyaratkan bahawa ibu bapa terlibat dosa itu dihukum dengan 100 kali
rotan sebelum mereka boleh menasabkan anak tersebut kepada bapa
kandungnya.
“Ini
kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah
fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat.
“Maka,
masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri
sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan
menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina. Dengan
itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau
diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu
yang disebut-sebut.
“Sikap
melarikan diri dan menyembunyikan status hanya akan menambah masalah
kemudian hari dan memakan integriti masyarakat Islam itu sendiri,”
katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya anak tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdul.
“Nasab
anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie
atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie. Nasab
anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti ‘Ziyad bin Abihi’.
“Kami
tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan
tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang
tuanya.
“Ini
kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain.
Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap
manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling
bertakwa antara kita,” katanya.
Oleh Athirah Huda Zalhe
No comments
Post a Comment