SLIDER

Bekas Suami Tidak Serius Arahan Mahkamah


PERCERAIAN antara suami isteri sebenarnya satu situasi yang sangat menyedihkan bagi anak-anak. Walaupun mungkin mereka boleh faham, keadaan akan menjadi sebaliknya apabila bapa yang sepatutnya menjaga kebajikan anak-anak selepas perceraian, tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Bukan menuding jari mencari salah sesiapa tetapi sekadar ingatan untuk pedoman bagi membaiki kelemahan serta kekurangan diri agar sentiasa baik di sisi Allah dan masyarakat.

Minggu ini saya menerima satu cerita daripada seorang pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Tina (bukan nama sebenar) berusia awal 40-an, bekas seorang eksekutif di sebuah bank.

Ingin tahu cerita Tina selanjutnya, jom kita ikuti catatan ini. Begini ceritanya.

“Saya berusia awal 40-an, masih bekerja di sebuah bank. Saya pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang saya cintai kira-kira 19 tahun lalu sebab cinta pandang pertama.

“Kami berkenalan di kampus. Enam tahun menyulam cinta bukan satu jangka masa singkat, malah menjadi jaminan kepada saya yang dia akan kekal bersama saya sehingga ke hujung nyawa.

“Sayangnya perancangan kita tidak sama dengan perancangan Allah. Ujian untuk saya sangat hebat. Selepas melahirkan anak ketiga, suami buat hal. Hubungan cinta dengan kekasih lama menjadi punca perpisahan.

“Bukan saya hendak salahkan reunion yang menjadi penyebab, tetapi itu antara punca suami berubah. Pun begitu saya anggap jodoh kami setakat itu sahaja, saya reda.

“Walaupun pelbagai usaha dibuat menyelamatkan rumah tangga kami, semuanya terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Sebab, suami telah bernikah dengan kekasih lamanya tanpa pengetahuan saya.

“Saya sangat kesal sebab suami adalah bekas seorang pegawai di jabatan agama, berpendidikan tinggi dan tahu hukum hakam agama tetapi tidak boleh berfikir dengan baik tentang tanggungjawab terhadap anak-anaknya selepas bercerai.

“Saya ditinggalkan ketika anak-anak masih kecil, berusia 9 dan 4 tahun. Sekarang sudah 10 tahun berlalu. Anak-anak kekal dengan saya. Susah payah, saya yang tanggung, sedangkan dia bahagia dengan keluarga baharunya.

“Dia tidak memikul tanggungjawab dengan baik seperti sepatutnya, jarang bertanya khabar anak-anak, belanja bulanan diberi bila saya minta. Dia lelaki dan bapa yang tidak menghargai amanah yang Allah kurniakan kepadanya.

“Kebajikan anak langsung dia tidak peduli. Tanya khabar pun tidak. Hari raya jauh sekali untuk beri belanja membeli pakaian raya, begitu juga persekolahan.

“Sampai anak sulung dapat tawaran ke universiti pun, dia tidak peduli, tidak bertanya khabar keperluan yang anak mahukan. Sedih sangat hati saya. Anak sulung saya menangis kerana ayahnya tidak mengambil berat kejayaan yang dia capai.

“Saya pujuk dia, bagi nasihat supaya dia tidak kecil hati. Saya sudah jemu naik turun mahkamah. Pergi sana sini jumpa dia untuk minta nafkah anak. Macam minta sedekah.

“Akhirnya saya nekad berjumpa dengan ketuanya dan menceritakan keadaan sebenar. Arahan mahkamah saya peroleh. Nafkah bulanan anak akan dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Tetapi macam biasa, saya terpaksa mengemis untuk meminta dia masukkan duit nafkah. Mahkamah tetapkan setiap 27 hari bulan, mesti masukkan sebab dia kerja kerajaan. Tetapi kadangkala sampai 5 hari bulan belum ada.

“Dia nak saya selalu telefon, nak dengar suara saya minta duit, baru nak masukkan. Bayangkan kalau 5 hari bulan baru masuk duit nafkah anak, nak belanja macam mana, saya kena bayar sewa van, yuran sekolah agama dan keperluan lain.

“Bukan banyak pun, kalau ribu-ribu tak apa juga. Ini bukan cukup, kena tambah lagi ada. Tapi saya akur dengan arahan mahkamah walaupun saya sudah mohon untuk naikkan jumlah bayaran nafkah sebab anak sulung sudah masuk universiti dan yang bongsu di sekolah menengah.

“Saya sangat sedih dengan keadaan ini. Bapa jenis apa pun, saya tidak tahu. Tapi dia senang lenang dengan isteri dan anak-anak sebelah sana. Selalu keluar negara, bercuti. Post dalam FB (Facebook) ke sana sini, makan di restoran mewah dan lain-lain lagi.

“Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak saya. Dia orang terasa hati dan selalu bercerita dengan saya tentang ayah mereka yang melayan keluarga baharunya dengan begitu baik sekali.

“Saya pujuk mereka dengan menyuruh mereka bersabar, nanti sudah habis belajar, cari kerja, kumpul duit kita boleh pergi bercuti. Yang penting sekarang belajar, jangan peduli tentang ayah. Allah ada. Nanti dia jawab dengan Allah.

“Itu sahaja yang saya mampu beritahu mereka. selebihnya saya serahkan kepada Allah, bukan tidak usaha untuk temukan mereka dengan ayah mereka tetapi selalu tidak menjadi sebab ayah mereka bagi banyak alasan.

“Dia ada nombor telefon bimbit anak-anaknya tetapi tak juga telefon tanya khabar, ajak jumpa ke, macam anak-anak tidak wujud. Tapi saya tidak mahu bebankan fikiran anak-anak dengan masalah ayah mereka. Selagi saya mampu, saya akan usaha untuk membahagiakan mereka. Semoga Allah pelihara kami tiga beranak.

“Kepada bekas suami, jika terbaca catatan ini, sedar-sedarlah, masukkan duit nafkah ikut masa yang mahkamah tetapkan. Jangan tunggu saya merayu. Kita teruskan hidup masing-masing. Fikirkan kebahagiaan anak-anak, jangan pentingkan diri sendiri,” kata Tina menutup cerita.

Betul kata Tina, jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan hal anak-anak. Walaupun sudah mempunyai keluarga baru, mereka juga ada hak yang sama. Jangan bezakan layanan terhadap anak-anak.

Saya doakan Tina dan anak-anaknya sentiasa di dalam rahmat Allah. Ingatlah, pengorbanan akan berakhir dengan kebahagiaan, tunggulah masanya akan sampai. Sabar ya Tina.

Menutup catatan kali ini, pesanan saya, orang-orang yang disayangi Allah adalah mereka yang reda dan sentiasa positif dalam kehidupan terutama ketika menghadapi ujian mencari kebahagiaan abadi.

Salam


No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.