2 Anaknya Meninggal, Si Bongsu Lalui Penyakit Yang Sama, Jika Dia Hamil Bayi Perempuan Ini Risikonya
Kata doktor pakar, jika guru muda ini, Rosmariana Mohd Nuri, 33
mengandung anak perempuan, risiko anaknya itu hadapi penyakit
Hirschsprung disease dan wardenburg syndrome adalah tinggi.
Sebelum ini dua orang anak perempuannya telah pergi meninggalkannya
kerana penyakit itu. Dan anak keempatnya, Faiza Alya, 1 tahun 10 bulan
sedang berperang dengan penyakit yang sama.
Anak sulung dan anak ketiga, Siti Zulaikha dan Fatin Amani
menghembuskan nafas terakhir di hospital kerajaan sebelum mencecah usia
dua tahun.
Sebaik disahkan hamil anak bongsu dan ianya adalah perempuan,
Rosmariana sudah melakukan pemeriksaan terperinci. Termasuk ultrasound
dan CTG seawal 7 bulan.
Akhirnya Faiza lahir pada 29 Ogos 2015 dengan berat 2.09 kilogram
secara induce pada usia kandungan 36 minggu. Dia alami kekurangan
oksigen semasa dalam kandungan tetapi selepas dilahirkan keadaannya
normal seperti bayi biasa.
Kerisauan mulai terasa apabila Faiza tidak membuang air besar dalam tempoh 24 jam pemantauan selepas kelahirannya.
"Itulah situasi yang jadi pada dua arwah kakaknya. Sangkaan
doktor hampir tepat apabila masuk hari kedua, Faiza tetap belum membuang
air besar. Saya makin tak keruan. Saya mengharapkan Faiza tak alami
seperti kakak-kakaknya. Selepas hari keempat perut Faiza membesar."
Dari situlah, anak kecil ini disahkan menghidap penyakit sama seperti arwah kakak-kakaknya.
Tiga Tahun Berkampung Di Hospital
Suaminya, Mohammad Salehuddin Musa, 32 menjaga anak bongsu mereka pada
sebelah petang. Rosmariana pula menjaga pada sebelah pagi. Ketika kedua
ibu bapa ini di hospital, anak kedua mereka Ahmad Farhan, 5 tahun akan
berada di samping mereka.
Sejak usia dua bulan, Faiza sudah menjalani pembedahan membuang
bahagian usus tak berfungsi. Selepas pembedahan pertama, dia alami
kesukaran menerima susu secara normal. Sekali lagi dia dibedah pada
bahagian perut. Ditebuk dan dimasukkan tiub untuk tujuan itu.
"Selang dua tiga bulan, jadi lagi komplikasi pendarahan keluar
dari najis. Doktor mengesyaki ususnya dijangkiti kuman. Selema beberapa
hari dia berak berdarah. Berketul-ketul darah yang keluar.
"Dia makin kritikal dan dia terpaksa melalui satu lagi
pembedahan. Kali ini risikonya sangat besar. Hanya doa jadi penyambung
harapan. Tiga hari Faiza di ICU untuk pemantauan doktor dan akhir
sebahagian besar usus yang telah rosak perlu dibuang."
Ketika ini, Faiza alami short bowel syndrome yang menghalangnya makan
seperti kanak-kanak lain. Dia perlu bergantung pada susu khas dan
bekalan nutrisi pemakanan parenteral nutrition (TPN) yang disalurkan
melalui saluran darah dalam tubuhnya.
Wardenburg Syndrome juga menghalang perkembangannya. Dalam usia 1 tahun
9 bulan dia masih belum boleh berdiri sendiri, berjalan apatah lagi
berlari. Pendengarannya juga terbatas.
Masih Ada Harapan
Kata doktor, harapan anak ini semakin cerah. Akan datang tak perlu lagi
bergantung dengan tiub khas bekalan susu dan nutrisi. Namun sementara
masih dipasang dengan tiub khas itu, dia masih perlu menampung kos
membeli susu khas, Comidagen Plus (400 gram) dengan harga RM220 satu tin
untuk kegunaan tiga ke empat hari.
sebulan dia perlukan lapan tin dan jumlahnya RM1760. Itu tak termasuk
perbelanjaan ubat-ubatan, lampin pakai buang malah kos perjalanan.
Bantu Keluarga Ini
Anda yang simpati dengan kisah keluarga yang diuji ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 512848530473 atas nama Rosmariana Mohd Nuri.
Nota
Hirschsprung diseases: sejenis penyakit berkaitan usus
atau bahasa mudahnya usus besar tersumbat yang mana tiada sistem saraf
untuk mengawal pergerakan otot usus tersebut. Ia sangat rumit untuk
difahamkan.
Wardenburg syndrome: satu keadaan yang diwarisi dan
boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, perubahan dan kehilangan
pigmentasi pada kulit, rambut atau kuku serta anak mata berwarna biru.
Sindrom ini selalunya dikesan berlaku di kalangan bayi perempuan dan
sangat jarang ditemui di Malaysia.
No comments
Post a Comment