“Tidur Sambil Berpegangan Tangan Adalah Momen Terindah Sebelum Dia Menghembuskan Nafas Terakhir” – Kamal Effendi Reda dengan Ketentuan Ilahi
Cinta kepada arwah isteri, Idzni Dalilla jadi azimat dan bangkitkan semangat buat Kamal Effendi mendepani hari-hari mendatang.
DIA cuma guru biasa yang tidak mengharapkan cinta jauh sekali mahu
mendirikan rumahtangga pada usia muda. Namun kisah cinta dan
pengorbanannya terhadap arwah isteri cukup luar biasa. Demi cinta dan
kasihkan isteri, segala yang termampu sudah ditunaikan. Takdir Allah
menjemput isteri ke negeri abadi pada ulang tahun pertama perkahwinan
mereka tular di laman sosial.
Betapa Allah mahu menguji dan mungkin mahu mengangkat martabat
pasangan ini ke satu tingkat lebih tinggi, siapa tahu bukan? Tidak
pernah menyesal bagi Kamal, 365 hari yang dilalui bersama arwah isteri
memahatkan memori terindah. InTrend selami emosi dan semarak cinta yang
kekal utuh menjadi pegangan Kamal Effendi.
Maaf seandainya menjentik emosi
Kamal mengimbas kembali mengenai arwah isteri. Boleh kongsikan detik
perkenalan Kamal dengan arwah Idzni?
Tak mengapa, insya-Allah boleh. Kami sebenarnya berkenalan melalui
laman sosial (Instagram sekitar Februari 2015). Arwah isteri menghantar
mesej panjang lebar lantas menghuraikan segala jangkaan yang diingininya
dalam menjalin persahabatan tersebut.
Dalam masa sama, arwah isteri maklum mengenai beberapa kenalan
perempuan saya pernah meluahkan hasrat hati sama untuk berkenalan dengan
saya. Kebetulan antara kami, ramai mutual friends misalnya rakan sekolej saya juga berkawan dengannya.
Sejujurnya saya tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin pada usia
muda. Saya sasarkan mahu menamatkan zaman bujang ketika berumur 30
tahun. Perihal itu juga saya huraikan kepadanya agar dia memahami dengan
jelas. Tetapi rahsia di sebalik semua ini, pada saya jika bukan kerana
arwah isteri, mungkin saya tidak akan berkahwin dengan sesiapa pun.
Dan entah mengapa selepas membaca segala luahan isi hatinya, saya
terdetik hati untuk screen capture mesej tersebut dan kongsikan dengan
keluarga. Kata keluarga, mengapa tidak kami keluar dan berjumpa. Lantas
kami berfikir , okey jumpa sahaja. Dan jika selepas pertemuan tersebut
tiada ‘spark’ atau mungkin tiada keserasian, tidak mengapa. Kami tidak
akan rugi apa-apa.
Persepsi Kamal mengenai hubungan yang bakal terjalin?
Agak lucu kerana cara pendekatan perhubungan kami umpama menguruskan
sebuah perniagaan (ketawa) kerana kami look forward what’s next and so
on. Misalnya, “Suka tak? Okey, sekarang sudah suka sama suka dan
kemudian ke peringkat seterusnya."
Malah sehingga kami memilih untuk berkahwin, perasaan berdebar itu
ada kerana masing-masing takut jika antara kami tiada keserasian dan
pelbagai emosi bersarang dalam hati.
Kami memulakan perhubungan ini dengan berlapang dada dan menerima
sebarang kebarangkalian yang akan berlaku. Tetapi alhamdulillah,
semuanya berjalan dengan baik. Mungkin itulah kuasa jodoh yang Allah
sudah tetapkan dan tentukan untuk kami.
Antara ciri istimewa arwah isteri yang membuatkan Kamal berkata, “Ya, dialah pilihan hati saya...”
Arwah isteri seorang yang berani. Sejak awal perkenalan lagi, dia
sudah berani meluahkan hasrat hati. Pada saya sebenarnya dia memiliki
kualiti dan ciri istimewa yang tiada pada gadis lain.
Lebih menarik, dia tidak menggunakan khidmat atau bantuan rakan
(orang tengah) misalnya. Apa jua yang diluahkan adalah lahir dari lubuk
sanubarinya. Itu jauh lebih mudah dan secara tidak langsung mematangkan
perhubungan kami. Kerana saya lebih suka pendekatan secara
berterus-terang.
Bagaimana arwah isteri memberitahu Kamal mengenai penyakitnya?
Sebelum arwah isteri muncul dalam sebuah rancangan televisyen
(sekitar 2015 dia menuntut di tahun akhir jurusan Perubatan di London),
dia menghantar mesej. Katanya ada sesuatu yang ingin diberitahu. Dan
sangkaan saya pada mulanya, mungkin dia mahu menukar tarikh pertemuan
kami. Tetapi tidak. Katanya lagi, biarlah saya tahu mengenai perkara
tersebut dari mulutnya sendiri. Rasa bimbang dan cuak mula bermain-main
dalam ruang legar fikiran saya ketika itu.
Katanya lagi, dia sebenarnya sakit. Terkejut saya mendengarnya kerana
memandangkan kami tinggal berjauhan, hanya foto di Instagram sahaja
yang dapat saya lihat. Dan melihat kepada setiap foto yang dimuatnaik,
pada saya dia nampak sihat dan lagaknya tidak seperti orang yang
menghidap penyakit. Lalu saya bertanya sakit apa?
Jawabnya, kanser. Secara spontan saya bertanya lagi, “Stage berapa?”
Jawabnya lagi, “Stage four.” Usai mendengar penjelasannya lantas
membuatkan saya mahu mengetahui lebih dalam lagi perihal dirinya, mahu
lebih banyak bertanya dan secara tidak langsung membuatkan saya
mengagumi semangat dan ciri istimewa seorang gadis yang ada padanya.
Dan detik pertemuan pertama itu...
Dua minggu selepas kemunculannya dalam rancangan tersebut (akhir Mac
2015), arwah isteri pulang ke Kuala Lumpur untuk bercuti selama dua
minggu kerana kakaknya berkahwin. Kali pertama berjumpa memang saya
banyak bertanyakan soalan mengenai keadaan kesihatannya, bagaimana dia survive seorang diri di London, apakah rawatan yang telah dilalui dan banyak lagi.
Dan pada kali pertama pertemuan, kami turut membicarakan mengenai
perihal latar belakang keluarga masing- masing, asal-usul juga
berkisarkan kepada topik perkahwinan. Tetapi kami tidak memutuskan untuk
berkahwin. Menariknya, biarpun arwah isteri sakit tetapi dia masih
punya semangat dan keberanian mahu mencari cinta.
Sebelum ini kata arwah dia pernah merasakan seolah- olah mementingkan
diri sendiri jika mahu mencari cinta kerana maklum mengenai apa
kesudahan yang bakal dilalui. Tetapi baginya ia umpama sudah mengalah di
langkah permulaan jika dia berpegang kepada pendirian itu. Kerana cinta
itu rezeki dan rahmat Allah katanya. Lalu mengapa mahu berputus asa
kerana sesungguhnya jodoh itu di tangan Allah.
Pertemuan selanjutnya yang membuahkan bibit ke arah perkahwinan?
Selepas itu kami memikirkan apakah kemungkinan yang akan berlaku
seterusnya. Bagi kami, jika ada jodoh adalah, jika tidak masing-masing
akan membawa haluan sendiri. Lalu saya mengambil inisiatif mengajaknya
keluar untuk kali kedua pada hari lahirnya (11 April 2015) beberapa
minggu sebelum dia pulang ke London. Saya mula merasakan ada sesuatu
yang serius antara kami tetapi saya tidak memaklumkan kepada keluarga.
Bagi keluarga arwah isteri pula, segalanya dipermudahkan. Mungkin ya,
benarlah kuasa jodoh. Jika kita mempunyai niat mahu mendirikan masjid,
Allah akan permudahkan. Begitu juga dengan perjalanan perhubungan kami.
Selepas seminggu dia pulang ke London, kami berhubung lagi dan
memutuskan untuk berkahwin melalui kiriman mesej. Tetapi dalam masa sama
saya meminta tempoh berfikir untuk bertanyakan kepada ibu dan keluarga.
Dan syukur ibu merestui malah berkata, “Gembirakan dia.”
Pengalaman berkahwin, bagaimana rasanya?
Biarpun usia perkahwinan kami singkat, cuma setahun sahaja tetapi
pada saya perkahwinan adalah sesuatu yang sangat indah. Saya bahagia.
Hanya selepas tiga kali berjumpa kemudian kami memutuskan untuk
berkahwin.
Walaupun pada mulanya kami umpama dua individu berbeza yang agak
gusar melangkah ke fasa perkahwinan, tidak tahu apa yang menanti di
hadapan tetapi persamaan kami adalah sifat terbuka untuk melalui detik
seterusnya.
Selepas hari pertama berkahwin, arwah isteri bertanya kepada saya apa
yang membuatkan saya memilihnya sebagai suri hati dan jawab saya, “Saya
mahu menggembirakan, berbakti dan menyayangi dirinya selayaknya.
” Pegangan saya mengenai perkahwinan, ia adalah perjanjian dan
komitmen seumur hidup. Berkahwin juga peluang untuk kita menggandakan
pahala. Tidak sukar untuk menabur budi dan berbuat baik kepada seorang
isteri yang juga bakal ibu anak-anak kita.
Hubungan kami umpama bercinta selepas berkahwin dan ia cukup
memaknakan hari-hari yang dilalui bersama. Dan selepas semua yang
terjadi, walaupun isteri sakit tetapi saya tidak pernah merasa penat,
alhamdulillah. Mungkin juga kerana sikap kami yang sering berterus
terang, berkongsi segalanya dan jujur selain kesediaan untuk berbuat
baik kepada isteri semuanya dipermudahkan Allah.
Bagaimana kalian melalui detik berjauhan selepas berkahwin?
Kami berkahwin pada tanggal 27 Disember 2015 dan kira-kira sebulan
selepas itu, arwah isteri pulang ke London semula untuk menyambung
pengajian (menduduki peperiksaan akhir). Sepanjang tinggal berjauhan,
kami banyak berhubung menerusi WhatsApp dan kadang-kadang e-mel.
Walaupun tinggal berjauhan tetapi ia tidak menjarakkan perhubungan kami.
Arwah isteri pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian sekitar Mac
2016 dan dia bercuti hingga Julai 2016. Alhamdulillah, kami sempat
menjalani kehidupan sebagai suami isteri sepanjang tempoh itu.
Syukur kerana sempat merasai nikmat dan hidup berumahtangga dalam
bulan Ramadan dan dapat merasa air tangan arwah isteri memasak untuk
saya. Selepas itu saya menghantarnyapulang ke London kerana dia menerima
tawaran bertugas sebagai doktor.
Saya tinggal di sana selama tiga minggu dan sepanjang tahun 2016 saya
berpeluang melawat isteri tiga kali di sana. Dan memandangkan kita
bakal memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi, sebenarnya terlalu banyak
kenangan dan nilai sentimental yang menjentik emosi saya. Kerana sekitar
bulan Ramadan, keadaan kesihatan arwah mula menunjukkan perubahan
sedikit demi sedikit.
Jika tidak keberatan, boleh kongsikan mengenai keadaan dan penyakit arwah selepas itu?
Arwah isteri pulang ke Malaysia sekitar Oktober 2016 kerana keadaan
kesihatannya semakin merosot. Sehinggakan dia tidak berupaya untuk
bekerja. Malah sejak baru berkahwin, dia sudah mula menampakkan
tanda-tanda.
Misalnya tidak lagi aktif seperti dahulu, kadang-kadang berasa sakit
di bahagian belakang, lenguh-lenguh sendi. Dan selepas itu sakitnya
semakin kerap. Arwah menghidap penyakit kanser renal cell carcinoma
(RCC) tahap empat dan ia adalah sejenis kanser buah pinggang yang jarang
ditemui.
Tiada ubat yang mampu mengubati penyakit ini. Dan salah satu faktor
mengapa dia kembali menyambung pengajian dan bekerja di sana adalah
untuk menjalani prosedur rawatan. Sebagai pelajar perubatan dan doktor,
arwah isteri mempunyai kelebihan dan tiada kos yang perlu dibayar, semua
rawatan dan ubat-ubatan percuma di sana.
Secara tidak langsung arwah isteri mendapat rawatan daripada kumpulan
pakar terbaik di sana. Tiada ubat untuk mengubati penyakit RCC di
Malaysia. Menurut rakan arwah isteri yang juga seorang doktor, ubat
penyakit ini baru dibawa masuk tahun lalu jika mempunyai permintaan dan
terlalu mahal kosnya yang menelan belanja sehingga setengah juta untuk
penggunaan enam bulan sahaja.
Menurut ramalan doktor di sana, ubat yang diambil arwah isteri hanya
memanjangkan jangka hayat selama setahun tetapi alhamdulillah arwah
isteri mampu bertahan hingga empat ke lima tahun.
Pada mulanya arwah isteri didiagnosis menghidap penyakit RCC sekitar
tahun 2011 ke 2012 ketika masuk tahun kedua belajar. Sebagai pelajar
perubatan, mereka perlu menjalani pemeriksaan lengkap untuk mengetahui
tahap kesihatan.
Dijadikan cerita, bahagian pinggang arwah isteri mempunyai satu
tekstur yang keras dan tidak lembut seperti biasa. Dan selepas
pemeriksaan lanjut dijalankan, doktor mendapati ia adalah sejenis
kanser.
Arwah isteri terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian buah
pinggang selepas itu dan cuti sakit selama setahun. Ketika itu
penyakitnya didiagnosis pada tahap tiga. Namun dek kerana lewat
menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan, ia sudah merebak pada
bahagian paru-paru dan tulang. Kemudian, arwah isteri masih mahu
meneruskan pengajian.
Pada mulanya doktor gusar adakah dia mampu melakukannya. Doktor juga
pernah berkata, kebarangkalian untuk arwah isteri hidup mungkin tidak
sampai dalam tempoh setahun memandangkan keadaan kesihatannya yang
semakin merosot.
Tetapi arwah isteri tetap dengan pendiriannya mahu menamatkan
pengajian. Berbekalkan semangat, iltizam yang tinggi dan iringan doa
serta sokongan keluarga alhamdulillah Allah makbulkan impiannya.
Bagi arwah isteri, mengapa mahu menunggu ajal menjemput kerana maut
berada di mana-mana dan boleh berlaku kepada sesiapa. Rentetan itulah
dimensi pemikiran saya mengenai percaturan, jodoh dan sebagainya tidak
memberi tekanan. Mungkin kerana pengalaman melihat dan berada dalam saat
genting seperti apa yang berlaku kepada arwah isteri membuatkan saya
lebih positif, tenang dan menerima ketentuan-Nya.
Lantas, bagaimana kalian kekal positif melalui momen itu?
Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada arwah isteri dalam soal
ini. Kata orang suami perlu kuat kerana jika tidak bagaimana isteri
mampu meminjam kekuatan itu. Tetapi kekuatan itu bukan menjadi paksaan
bagi saya. Kerana isteri selalu berkata jika mempunyai apa jua perasaan
sekalipun sebenarnya kita tidak dapat lari daripadanya. Misalnya jika
sedih, kita perlu menerima kesedihan itu.
Jika mahu menangis untuk meredakan perasaan sedih, menangislah. Saya
akui merasa takut untuk menempuhi semua itu tetapi arwah isteri
memainkan peranan. Dia menyokong dan mententeramkan emosi saya dan
secara tidak langsung itu yang menjadi sumber kekuatan.Kami saling
memberi kekuatan semangat. Melihat ke lubuk sanubari arwah isteri,
masya-Allah. Dia seorang wanita cekal yang mempunyai semangat tinggi dan
positif.
Itulah kekuatan dirinya yang saya pinjam dan sematkan dalam diri
hingga hari ini. Selain itu rahsia kekuatan saya berpunca daripada
amalan isteri. Jika solat Subuh, lazimnya dia akan bangun lebih awal.
Dia akan mulakan dengan melakukan solat taubat dan solat tahajud.
Rutin ini tidak pernah ditinggalkannya sepanjang tempoh dia sakit.
Sejujurnya saya tidak pernah melakukannya sebelum berkahwin. Dan arwah
isteri telah mengubah saya pada awal perkahwinan kami hingga hari ini.
Dia telah mendidik saya dengan rutin ini yang secara tidak langsung
memberi kekuatan kepada kami sepanjang tempoh itu. Dan tanpa disedari
juga arwah isteri seolah-olah mahu mempersiapkan saya agar lebih tenang
jika dia tiada suatu hari nanti.
Kongsikan antara detik sukar yang Kamal lalui?
Berada di sisinya, saya melihat dan merasai semua perasaan juga
masa-masa sukar.Misalnya arwah isteri perlu bangun tidur seawal tiga
pagi untuk memakan ubat. Ia sejenis pil seperti pil kemoterapi dan
mempunyai kesan sampingannya. Sebelum dia mengambil ubat tersebut, dia
perlu pastikan perutnya kosong tiga jam. Dan selepas makan ubat juga dia
perlu memastikan perutnya kosong juga.
Jika tersalah makan akan mengakibatkan cirit-birit dan muntah.
Rambutnya juga bertukar ke warna perak. Dan saya sudah bersedia dengan
segala perubahan itu kerana arwah isteri telah memberitahu lebih awal
sebelum berkahwin.
Daripada perspektif lain juga, detik sukar ini turut mencakupi aspek
keyakinan diri. Tentang bagaimana keyakinan seorang isteri perlu
berhadapan dengan seorang lelaki yang baru dikenali dan dikahwini.
Dan saya maklumkan kepadanya bahawa setiap perubahan yang dilalui
akibat kesan penyakit ini misalnya rambut bertukar ke warna perak itu
semua tidak mendatangkan masalah kepada saya. Ia terlalu kecil
dibandingkan dengan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya.
Pengalaman detik sukar lain termasuk apabila arwah isteri masih di
sana dan tidak berupaya untuk bekerja kerana terlalu sakit. Dia tidak
boleh berdiri terlalu lama. Dalam masa sama, dia sudah mula mengambil
morfin sebagai ubat tahan sakit.Kemudian bermulalah episod-episod duka
apabila dia menelefon saya dan menangis. Perasaan saya pula ketika itu
sukar ditafsirkan.
Katanya disebabkan terlalu sakit dan ubat juga tidak mampu
menghilangkan kesakitan yang dirasai, tetapi jika dengan berkongsi dan
meluahkan perasaan sedih dan sakit dengan suami secara perlahan-lahan
kesakitan itu akan beransur kurang. Dan setiap kali dia menelefon, kami
akan menangis. Hinggalah kesihatannya semakin merosot, saya terbang ke
London sekitar Oktober 2016 dan membawanya balik ke sini.
Masih segar dalam ingatan apabila saya menolaknya dengan kerusi roda,
membawanya berjumpa doktor untuk sesi temu janji dan pemeriksaan. Tidak
seperti pasangan suami isteri yang lain. Si suami menolak isteri yang
mengendong bayi tetapi saya menolak isteri yang sakit.
Tetapi saya sudah bersedia dengan kemungkinan kami tidak mempunyai
zuriat kerana menurut doktor kami tidak boleh mempunyai anak. Tetapi
saya sandarkan kepada Allah. Jika ada rezeki, adalah. Jika tidak
sekalipun, tidak mengapa.
Memasuki November 2016, keadaan arwah semakin teruk. Dia tidak boleh
berjalan (bedridden). Kebetulan ketika itu musim cuti persekolahan dan
saya boleh fokus untuk menjaganya sepenuh masa.
Saya pernah berkata kepadanya, “Mengapa cepat sangat benda ini
berlaku?” Jawabnya, “Tak apa, kita doakan yang terbaik. Have faith.”
Syukur juga kerana kami mempunyai keluarga yang benar-benar memahami dan
memberi sokongan.
Baik keluarga saya, keluarga mentua, ipar-duai semua memainkan
peranan dan membantu. Saya tinggal di rumah ibu mentua untuk menjaga
arwah isteri. Saya mengangkatnya, memandikannya, mencuci najis, menyalin
lampin dan sebagainya. Ia banyak mendidik saya untuk lebih mendalami
sifat sabar.
Masa benar-benar menduga kalian bukan?
Ya dan kerana itu kami pastikan sentiasa berkomunikasi antara satu
sama lain. Selalu berkongsi rasa dan apa jua bersama lebih-lebih lagi
saat dirinya semakin sakit. Sebenarnya kelebihan adalah kami tahu bahawa
masa tidak berpihak kepada kami. Dan disebabkan itu saya berikan yang
terbaik untuk arwah kerana tidak mahu ada penyesalan kemudian hari.
Saya pernah bertanya kepadanya, “Jika awak dijemput Allah, adakah
awak akan pergi dengan rasa tenang dan gembira?” Jawabnya, “Ya, sebab
saya dikurniakan suami terbaik, saya dapat habiskan belajar, dapat
bekerja dan saya sudah peroleh semua yang saya inginkan.”
Momen terakhir yang diingati sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir?
Kira-kira dua hari sebelum arwah isteri ‘pergi’, dia menunjukkan
perubahan ketara. Banyak bercakap dan selera makannya berubah. Semua
yang mahu dimakan saya cari dan berikan kepadanya. Daripada keadaan
fizikal pula tidak nampak seperti orang sakit.
Saya meletakkan harapan tinggi bahawa dia akan kembali pulih dan
sihat sepenuhnya. Daripada kami boleh tidur bersama sehingga perlu tidur
berasingan disebabkan keadaannya yang sakit. Daripada boleh berpelukan
kemudian sehingga boleh berpegangan tangan.
Dijadikan cerita, pada malam 25 Disember 2016, dia teruja dan begitu
seronok lantas meminta agar saya tidur bersamanya. Ketika itu kami
tinggal di rumah kakaknya. Lazimnya dia akan tidur bersama kakak dan
ibunya. Tetapi berbeza dengan malam itu. Kami tidur sambil berpegangan
tangan dan keesokan harinya (26 Disember) adalah hari lahir saya. Dan
tidak menyangka itu adalah malam terakhir kami dapat tidur bersama.
Rupa-rupanya Allah memberi peluang terakhir buat saya melalui momen
itu. Apabila dia bangun pagi keesokan harinya, dia semakin sakit.
Mungkin kesan daripada kesakitan itu, dia terlupa hari lahir saya. Dan
di awal perkahwinan dahulu dia pernah memberitahu beberapa kesan
sampingan yang akan dirasainya misalnya lumpuh, terlupa dan sebagainya.
Sudah tentu saya menanti ucapan hari lahir daripadanya kerana ramai
ahli keluarga dan rakan-rakan mengucapkan selamat hari lahir juga
mengirimkan ucapan menerusi kiriman WhatsApp. Tetapi selepas saya beri
ubat kepadanya, dia masih mendiamkan diri.
Saya berkata padanya, “Hari ni hari jadi I,” dan dia meminta maaf
kerana terlupa disebabkan terlalu sakit dan berkali-kali dia memberi
ucapan kepada saya sehinggalah dia tertidur. Dan sebenarnya arwah
sudahpun menulis ucapan panjang lebar dalam diarinya sebelum dia
benar-benar sakit.Berbicara mengenai diari, terlalu banyak perihal saya
yang ditulisnya. Barang- barang, buku-buku dan pelbagai item semua
tersimpan rapi.
Dahulu arwah pernah menyuarakan kebimbangan dan perasaan takutnya
untuk berdepan dengan kematian. Tetapi saya sering mengingatkannya agar
banyakkan berdoa. Juga saya mengingatkan arwah isteri agar membaca Surah
Al-Mulk kerana maklum tafsiran surah ini adalah peneman buat kita di
alam kubur.
Dan kala kami berbual santai, saya katakan padanya, “Kalau I... Nak
mati dalam tidur sebab I fikir dalam tidur mungkin tidak terasa sakit,”
dan arwah sekadar mengangguk. Detik cemas bermula sekitar jam tujuh
malam pada hari lahir saya, 26 Disember apabila keadaan arwah semakin
tenat. Nafasnya berbunyi akibat jangkitan kuman.
Saya menelefon ambulans dan dia dibawa ke Hospital Kajang. Tiba di
Unit Kecemasan, arwah isteri dipakaikan tiub oksigen dan masih sedarkan
diri. Hinggalah tengah malam, dia meminta ubat daripada ibunya. Katanya
mahu makan ubat sebelum tidur. Dalam keadaan sakit, dia tetap mahukan
ibunya. Dia menggenggam jari-jemari ibunya dan berkata jangan
tinggalkannya.
Ibunya menemani di hospital ketika itu dan saya pula di rumah kerana
suami tidak dibenarkan bermalam di wad wanita. Awal pagi jururawat
melihatnya semakin senyap dan kebetulan arwah pergi dijemput Ilahi
ketika tidur sekitar jam tiga pagi. Segala urusan dipermudahkan kerana
usai dia meninggal, kami segerakan pengurusan jenazah.
Menjadi permintaan arwah juga jika dia meninggal dunia agar segala
urusan diselesaikan sesegera yang boleh. Solat jenazah dilakukan di
hospital dan disemadikan di Sungai Kantan, Kajang berhampiran kawasan
rumah ibu mentua.
Selepas pemergian isteri, bagaimana Kamal mengharungi setiap perubahan yang berlaku?
Ada dua perkara yang perlu saya kendalikan. Pertama adalah daripada
segi emosi dan kedua adalah perhatian daripada orang ramai. Sejujurnya
selepas pemergian isteri, hidup saya berubah 360 darjah. Semua momen
yang kami lalui bersama pada saya terlalu privasi dan istimewa.
Malah saya tidak menyangka sama sekali ia akan menjadi bahan atau
tajuk utama portal, laporan berita, akhbar perkongsian di laman sosial
sehingga menjadi tular. Daripada perspektif lain saya memikirkan apa
yang perlu saya lakukan dengan perhatian daripada orang ramai. Selepas
arwah isteri meninggal, saya menerima pelbagai maklum balas daripada
orang ramai.
Ada isteri yang baru kehilangan suami akibat kanser, ada yang baru
menghidap kanser meninggalkan mesej kepada saya bertanyakan bagaimana
perlu melalui semua ini dan apa yang harus dilakukan untuk meneruskan
hidup, memang banyak.
Secara peribadi, sukar untuk menghuraikannya malah tidak bersedia
untuk melaluinya apatah lagi menjangkakan perhatian yang diterima
daripada pelbagai pihak seperti yang berlaku hingga hari ini.
Rupa-rupanya ada yang menjadikan kisah kami sebagai sumber inspirasi
dan sebagainya. Sejujurnya saya masih memerlukan masa untuk membiasakan
diri dan menerima semua ini.
Apa yang Kamal boleh kongsikan mengenai istilah pengorbanan yang dilalui sepanjang pemergian isteri?
Saya meletakkan taraf ibu pada tingkat tertinggi kerana seorang ibu
telah berkorban seumur hayatnya demi anak-anak. Maka dengan itu saya
hormati kedudukan seorang ibu di sisi anaknya. Biarpun isteri sakit,
saya tetap mendahulukan ibu mentua untuk mengendalikan apa yang perlu
kerana pada hemat saya ibu mentua lebih berhak.
Seperti arwah isteri, apabila sakit dia masih lagi mahukan ibunya
menemani. Dan itu sudah cukup menterjemahkan kasih sayang dan
pengorbanan seorang ibu. Bercakap mengenai ibu mentua, dia seorang yang
cekal, tabah dan positif.Dan arwah isteri mewarisi kekuatan semangat
daripada ibunya. Saya cukup beruntung dipertemukan dengan keluarga
mentua. Banyak yang saya pelajari daripada mereka.
Bila rindukan arwah isteri, apa yang Kamal lakukan?
Saya akan menangis dan perasaan rindu itu sentiasa ada. Saya akan
melihat semula koleksi peribadinya kerana sewaktu awal perkenalan dahulu
kami banyak mengutus surat.
Saya akan membaca diarinya, belek semula gambar-gambarnya, wangian
pertama yang dihadiahkan kepada saya, baju-baju dan banyak lagi. Dan
saya sering mengingatkan rakan-rakan agar cipta memori dengan mengambil
gambar insan yang kita sayangi.
Misalnya dengan bergambar, ia umpama memori kecil tetapi nilanya amat
bermakna untuk dikenang jika mereka pergi meninggalkan kita suatu hari
nanti. Kata orang kesibukan akan mengatasi kesedihan tetapi berbeza
dengan saya. Hari pertama saya kembali ke sekolah untuk mengajar, entah
mengapa saya terus menghantar mesej kepada arwah isteri menyatakan saya
sudah sampai sekolah.
Dan saya tidak menyedari tindak-tanduk ketika itu kerana sudah
terbiasa. Dan dalam waktu sibuklah lazimnya saya akan mengingatinya.
Misalnya, tiada lagi isteri yang akan mengingatkan saya agar makan, itu
dan ini.
Hikmah di sebalik apa yang terjadi?
Hingga kini saya masih mencari dan sebahagiannya ada yang sudah
dilihat dan saya rasai. Perkara ini masih baru pada saya. Biarpun
setahun tetapi sarat dengan pelbagai perasaan. Saya tidak mampu
mengungkap dengan kata-kata betapa bahagianya saya dalam tempoh singkat
itu. Dan dalam tempoh itu arwah isteri beri dan tinggalkan bekalan yang
terbaik untuk saya kenang sepanjang hayat.
Malah apabila saya dilanda masalah, saya tidak cepat melatah dan
berputus asa sebaliknya lebih positif. Hikmah lain termasuk saya
berpeluang menyebarkan kebaikan kerana ia adalah hasil perhatian orang
ramai.
Daripada mula berkahwin kami sudah tular dan selepas pemergian arwah
isteri juga perhatian yang sama saya peroleh. Walaupun pada mulanya saya
terfikir, siapalah saya di mata masyarakat sehinggakan menerima
undangan ke sesi perkongsian itu dan ini untuk menceritakan segalanya.
Saya bersyukur kerana perhatian ini dan berharap agar dapat berkongsi
kebaikan dan memberikan inspirasi kepada semua. Hingga hari ini saya
masih mencari dan mengumpul kekuatan kerana sumbernya datang daripada
keluarga dan pendorong terbesar adalah diri sendiri.
Mungkin mudah orang mengatakan ‘be strong’ tetapi hakikatnya saya
tiada pilihan lain kecuali mencari kekuatan diri. Tetapi saya lebih suka
melihat setiap memori bersama arwah daripada sudut positif yang
membangkitkan semangat berbanding meratap sedih sepanjang masa.
Oleh: Huda Hussain
No comments
Post a Comment