Bagaimana Saya Dapatkan Bantuan Kewangan Apabila Suami Tiba-Tiba Sakit Kronik
Sejak saya menulis pengalaman menghadapi suami yang sakit, hampir
setiap minggu ada yang menghubungi saya. Kebanyakannya mengalami perkara
yang sama.
Ada yang menghantar mesej di Facebook. Ada yang mesej di Whatsapp. Ada juga yang menelefon terus.

Penulis, Puan Raudzah dan suami, Tuan Idzwan
Saya fikir ianya juga satu rahmat. Saya boleh membantu orang lain dengan sedikit pengalaman yang saya ada.Yang terbaru, seorang kakak dari Rawang. Situasinya memang sangat
serupa dengan apa yang saya telah lalui hampir 11 bulan yang lalu.
Sekarang suaminya masih belum sedar di ICU. Apa yang ditanya oleh kakak ini, sama serupa dengan segala persoalan
yang membebani fikiran saya dulu. Bezanya dulu saya tidak tahu pada
siapa mahu bertanya lanjut.
Apabila terjadi situasi seperti ini (hilang punca pendapatan),
biasanya waris terdekat (isteri) akan diasak dengan pertanyaan seperti,
tak pergi mohon duit zakat ke? Tak claim dengan SOCSO ke? Insurans dah setelkan ke? Sejujurnya, waris yang sedang susah hati akan semakin berserabut fikiran mereka.

Permintaan Kakak Widaad apabila abah sihat nanti.
Mengikut pengalaman saya (di hospital kerajaan), semua tuntutan atau
permohonan boleh dibuat setelah pesakit telah dibenarkan keluar dari
hospital. Kerana selepas pesakit keluar, barulah laporan dari doktor
boleh dikeluarkan. Laporan pula tidak boleh mohon secara terus daripada doktor yang
merawat. Semua permohonan untuk laporan perubatan mesti dibuat melalui
Bahagian Rekod hospital.
Jadi, sementara pesakit masih di hospital, apa yang boleh dilakukan ialah:
1. Hubungi pegawai PERKESO atau pergi ke pejabat PERKESO berhampiran,
mohon pencerahan dari mereka dan dapatkan borang berkaitan.
2. Pergi ke pusat zakat, minta pencerahan dari pegawai pusat zakat
tentang bentuk bantuan yang boleh dipohon dan ambil borang yang
berkenaan.
3. Hubungi agen insurans pesakit. Mereka akan bantu uruskan hal hal
berkaitan. (Dalam kes seperti suami saya (Haemorrhagic Stroke), termasuk
dalam sakit kritikal dan urusan tuntutannya boleh dibuat terus selepas
keluar dari hospital. Manakala tuntutan untuk TPD – Total Permanent
Disabilities dibuat selepas 180 hari sakit).
4. Pergi ke pejabat JKM dan minta borang bantuan penjaga pesakit
terlantar. Boleh minta borang permohonan status OKU terus (jika
berkenaan).
Saya mengesyorkan, hal mengambil borang dan sebagainya ini dibantu
oleh orang lain. Sama ada adik beradik, rakan-rakan rapat atau saudara
terdekat.
Ia antara sumbangan kita dalam memudahkan urusan waris yang sudah sedia maklum sibuk menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak.
Saya mencatatkan perkara di atas, berdasarkan pengalaman saya sebagai
seorang isteri yang hilang punca pendapatan dan tidak boleh bekerja
kerana suami disahkan oleh doktor sebagai orang yang hilang upaya. Dalam
masa yang sama perlu menguruskan hal rumahtangga dan juga persekolahan
anak-anak yang ramai.

Kakak Aneem bergambar dengan Abah sebelum bertolak ke Kuantan.
Apa khabar agaknya Tasneem di Kuantan.
Malam ini malam pertama dia menjalani program simulasi di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) selama 4 hari 3 malam.
InsyaAllah, dia akan beroleh ilmu baru. Pengalaman baru. Rakan-rakan baru. Semangat baru. Mungkin juga azam yang baru.
Ibu doakan cinta Kakak Aneem pada Al Quran akan bertambah subur dan mekar selepas program ini.
Harap dia tak sedih lihat peserta lain dihantar ibu ayah pagi tadi. Aneem akan jadi anak yang cekal, tabah dan kuat. InsyaAllah.
(Puan Raudzah)
Kebanyakan permohonan yang saya catatkan di atas, saya lakukan
sendiri. Memang agak ‘renyah’ dan letih juga nak berulang ke Bahagian
Rekod hospital beberapa kali untuk mengambil borang dan laporan. Tapi
Alhamdulillah, Allah beri kudrat dan kemudahan, boleh memandu dan ada
kenderaan sendiri.
Saya fikir, bagaimana orang-orang yang lebih susah. Tiada kenderaan,
tiada telefon bimbit, warga emas dan lain-lain. Urusan menguruskan
segala permohonan ini memang akan menjadi sukar jika tiada yang
membantu.
Untuk rekod dan catatan tambahan:
- Tuntutan insurans suami saya selesai selepas 10 bulan permohonan. Yang ini agak mengambil masa kerana menunggu beberapa laporan lengkap dan terperinci dari pihak hospital.
- Bantuan peralatan dari PERKESO dapat selepas 4 bulan permohonan. Perlu hadir temuduga dengan panel jemaah doktor PERKESO sebelum diluluskan.
- Pencen Ilat PERKESO lulus selepas 6 bulan permohonan.
- Permohonan bantuan zakat (Selangor) diluluskan selepas 4 bulan permohonan.
- Bantuan penjaga pesakit terlantar (JKM), lulus selepas 3-4 minggu permohonan.
- Permohonan status OKU suami (JKM) diperoleh dalam tempoh sebulan selepas permohonan dihantar.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal.
Untuk yang seterusnya, saya akan cuba berusaha dengan cara sendiri untuk ‘survival’ keluarga. Tidak selamanya kita boleh bergantung pada pihak lain.

Kasih Hud Ammar buat Abah.
Terima kasih – jazaakumullahu khairan kathir kepada semua
yang telah membantu memudahkan urusan saya selama ini. Allah akan
merahmati semuanya dan melipatgandakan rezeki semuanya insyaAllah.
Semoga semua yang diuji seperti saya dan suami juga dipermudahkan
urusan oleh Allah. Perlu banyak-banyak sabar dan mohon kekuatan dari
Allah. Ujian yang nampak biasa di mata orang lain. Tapi yang
menanggungnya memang perlu ketabahan luarbiasa.
Tapi yakin, Allah Maha Tahu setiap kemampuan hamba hambaNya.
Semoga ada manfaat.
Wallahu’alam.
Tuan Idzwan, suami Puan Raudzah, adalah penghidap darah tinggi
(hypertension). Beliau mengalami pendarahan dalam kepala (Basal Ganglia
Bleed) 11 bulan yang lalu. Beliau telah menjalani pembedahan dan kini,
mengalami strok di bahagian kiri badan.
Sama-sama kita doakan Tuan Idzwan lekas sembuh, insyaAllah.
No comments
Post a Comment