7 Langkah Membuat Tuntutan Perkeso Ketika Jatuh Sakit

Ramai juga kenalan kami yang hairan, bagaimana suami saya boleh
mendapat pencen Ilat PERKESO, sedangkan dia sudah pun berhenti makan
gaji lebih kurang setahun, ketika jatuh sakit. Saya juga sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tuntutan kepada
PERKESO ini, sehinggalah seorang saudara memberitahu saya ketika suami
masih di hospital dulu.
Saya fikir, jika sudah tidak bekerja makan gaji,
sudah tidak boleh membuat apa-apa tuntutan. Saudara (sepupu) saya itu langsung tidak ‘mengganggu’ saya ketika
saya sibuk berulang ke hospital dan susah hati menghadapi suami yang
sakit tiba-tiba.
Saudara itu dengan usaha sendiri mendapatkan nama penuh suami dan dia
minta abangnya periksa status kelayakan suami saya di PERKESO. Setelah mendapat kepastian, barulah dia memaklumkan hal itu pada
saya. Tidak berapa lama selepas itu, saudara itu juga mendapatkan borang
tuntutan PERKESO untuk saya. Alhamdulillah. Allah menghadirkan ramai insan yang membantu dan memudahkan urusan saya ketika keadaan yang sangat sukar.

Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.
Menurut pegawai PERKESO, secara kasar caruman suami saya cukup untuk
membuat tuntutan. Rupa-rupanya, sekiranya kita pernah bekerja, dan
mencarum dengan PERKESO, kita boleh membuat tuntutan sekiranya memenuhi
syarat-syarat yang digariskan PERKESO.
Hendak dijadikan cerita, setelah permohonan suami saya dalam proses,
pegawai terbabit menyatakan caruman suami masih tidak cukup pula. Tetapi
dengan inisiatif pegawai terbabit menyemak semula rekod, mereka dapati
syarikat tempat suami bekerja sebelum ini tidak melunaskan caruman suami
selama beberapa bulan. Pihak PERKESO kemudiannya menghubungi mereka dan
minta bayaran tersebut dibuat untuk kebaikan suami.
Alhamdulillah, pihak syarikat itu tidak mengambil masa yang lama
untuk menghantar cek pembayaran kepada PERKESO. Jika bayaran tertunggak
itu tidak dibuat sebenarnya tindakan boleh diambil oleh PERKESO. Tetapi
tentunya ia memakan masa.
Suami saya telah menerima pencen Ilat PERKESO bermula hujung tahun
lepas. Oleh kerana keadaan suami yang terlantar dan memerlukan penjagaan
rapi sepenuhnya, saya juga diberikan elaun oleh PERKESO, yang dipanggil
Elaun Layanan Sentiasa (ELS).
Selain itu, suami juga dibekalkan dengan lampin pakai buang setiap
bulan dan beberapa peralatan seperti kerusi roda dan tilam angin. Katil
hospital yang telah saya beli juga saya tuntut semula belanjanya dengan
PERKESO kerana katil itu juga termasuk dalam senarai keperluan yang
disenaraikan oleh jemaah doktor PERKESO.
Alhamdulillah.
Cara-cara membuat tuntutan dengan PERKESO:
1. Semak nama dan nombor kad pengenalan anda dengan PERKESO sama ada anda layak membuat tuntutan.
2. Dapatkan borang tuntutan yang berkenaan di mana-mana pejabat
PERKESO terdekat. Borang boleh diambilkan oleh orang lain. Sesetengah
borang boleh juga dimuat turun di laman web PERKESO.
3. Dapatkan laporan perubatan doktor dari Bahagian Rekod hospital.
4. Borang tuntutan bersama laporan dihantar ke PERKESO.
5. Perkeso akan memberi maklumbalas melalui surat berserta tarikh
anda perlu hadir untuk menghadap jemaah doktor panel PERKESO. Pihak yang
menuntut akan ditemuduga oleh doktor. Maklumbalas ini diterima dalam
tempoh sebulan.
Dalam kes seperti suami saya yang terlantar dan sukar untuk dibawa
menghadap jemaah doktor, wakil pihak yang menuntut (saya contohnya)
perlu memaklumkan kepada pihak PERKESO.
Wakil PERKESO akan datang membuat penilaian keadaan pesakit di rumah,
dan mengambil gambar untuk dilampir sebagai laporan kepada jemaah
doktor. Pada hari temuduga, hanya waris terdekat yang perlu menghadiri
temuduga tersebut.
6. Jawapan dari pihak PERKESO tentang temuduga (lulus atau tidak
diluluskan) akan dihantar melalui surat. Biasanya dalam tempoh 2 hingga 3
minggu dari tarikh temuduga.
7. Sekiranya lulus, PERKESO akan meminta anda menghantar salinan buku
atau kad bank yang disahkan oleh pegawai bank berkenaan untuk mereka
masukkan jumlah tuntutan yang diperolehi terus ke dalam akaun.
Jika anda atau orang terdekat ada ditimpa kemalangan atau sakit yang
tidak membolehkan anda bekerja, cuba periksa dengan PERKESO sekiranya
layak membuat tuntutan (skim bencana pekerjaan atau Ilat). Sila periksa
juga, adakah majikan anda membayar caruman PERKESO anda, supaya tidak
ada masalah di kemudian hari.

Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.
Catatan di atas adalah berdasarkan pengalaman saya selama menguruskan tuntutan PERKESO suami.
Boleh baca lanjut di www.perkeso.gov.my
No comments
Post a Comment