SLIDER

perkeso
Showing posts with label perkeso. Show all posts

Perkeso Lancar Skim Perlindungan Khas Untuk Surirumah. Ini 10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang SKSSR Dan 5 Faedah Perubatan Kepada Surirumah Termasuk Janda Dan Ibu Tunggal

17 Apr 2024



KEDENGARAN remeh, namun bukan mudah bagi mereka yang menggalas 'title' sebagai seorang suri rumah.

Sebagai mengiktiraf penglibatan suri rumah dalam 'Care Economy' dan pembangunan institusi keluarga, Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berkuat kuasa 1 Disember 2022.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berdepan dengan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Skim ini tidak terikat dengan aktiviti pengurusan rumah tangga atau rutin seharian dalam kediaman, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke temu janji doktor, membeli barang keperluan di pasar atau pasaraya dan sebagainya. 

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, skop 'suri rumah' di bawah Akta 838 adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

"Ia merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa," ujarnya. 


Berikut adalah 10 perkara penting yang anda perlu tahu mengenai SKSSR:

1) Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang dari 55 tahun

2) Tiada had umur minimum untuk mencarum.

3) Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah

4) Caruman secara sukarela namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing.

5) Mana-mana pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah

6) SKSSR menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.

7) Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

8) Manfaat di bawah Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti Elaun Keuzuran, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

9) Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus buat golongan wanita, dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

10) Permohonan dibuka pada 1 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000. 


Skim itu bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Pada masa sama, SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran. 

Caruman berkenaan boleh dilakukan oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut. 


Dengan menyertai skim SKSSR, berikut merupakan enam faedah perlindungan yang boleh diperolehi suri rumah di dalam negara: 


1. Faedah Perubatan
Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.

Akses terhadap rawatan itu tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Kemasukan ke wad bagi pencarum adalah dengan kelayakan wad kelas kedua Hospital Kerajaan.

2. Faedah Hilang Upaya Kekal

Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Pencarum boleh menerima bayaran pukal sehingga RM30.000 bagi satu tempoh caruman mengikut jenis kecederaan. 

3. Elaun Layanan Sentiasa

Elaun Layanan Sentiasa dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

4. Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 akan dibayar secara sekali gus atau one-off kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Bayaran ini akan diberikan kepada orang tanggungan yang layak atau pihak yang menanggung perbelanjaan pengebumian.

5. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Pembiayaan bagi faedah ini mencecah sehingga RM50,000 dalam satu tempoh caruman jika suri rumah diperakukan menghidap keilatan atau hilang upaya sehingga memerlukan kemudahan pemulihan jasmani seperti kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan lain-lain.

Rawatan bagi dialisis adalah sebanyak RM200 setiap bulan atau menurut Akta Fi 1951.

6. Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai usia 55 tahun akibat bencana domestic atau sedang menerima elaun keuzuran atau mati atas apa-apa sebab dalam tempoh perlindungan, Pencen Penakat akan dibayar sebanyak RM300 sebulan kepada orang tanggungan yang layak mengikut syer ditetapkan.

Pencen Penakat dibayar kepada duda atau anak.

Jika suri rumah berinsurans tidak meninggalkan duda, anak, bayaran Pencen Penakat dibayar kepada Ibu bapa suri rumah berinsurans. 

Syer anak dibayar sehingga anak berumur 21 tahun atau berkahwin atau jika masih belajar sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Jika ada anak yang terencat mental, kurang upaya fizikal yang menyebabkan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, syer anak tersebut dibayar sehingga berumur 55 tahun.

Pencen Penakat dibayar hanya kepada duda atau ibu bapa warganegara Malaysia sehingga mencapai umur 55 tahun sahaja.

Bayaran Pencen Penakat kepada duda juga akan terhenti jika duda berkahwin semula.

Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum.


Kredit Link To :


7 Langkah Membuat Tuntutan Perkeso Ketika Jatuh Sakit

7 Langkah Membuat Tuntutan Perkeso Ketika Jatuh Sakit

2 Jul 2017



Ramai juga kenalan kami yang hairan, bagaimana suami saya boleh mendapat pencen Ilat PERKESO, sedangkan dia sudah pun berhenti makan gaji lebih kurang setahun, ketika jatuh sakit. Saya juga sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tuntutan kepada PERKESO ini, sehinggalah seorang saudara memberitahu saya ketika suami masih di hospital dulu. 

Saya fikir, jika sudah tidak bekerja makan gaji, sudah tidak boleh membuat apa-apa tuntutan. Saudara (sepupu) saya itu langsung tidak ‘mengganggu’ saya ketika saya sibuk berulang ke hospital dan susah hati menghadapi suami yang sakit tiba-tiba. 

Saudara itu dengan usaha sendiri mendapatkan nama penuh suami dan dia minta abangnya periksa status kelayakan suami saya di PERKESO. Setelah mendapat kepastian, barulah dia memaklumkan hal itu pada saya. Tidak berapa lama selepas itu, saudara itu juga mendapatkan borang tuntutan PERKESO untuk saya. Alhamdulillah. Allah menghadirkan ramai insan yang membantu dan memudahkan urusan saya ketika keadaan yang sangat sukar.

Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.
Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.

Menurut pegawai PERKESO, secara kasar caruman suami saya cukup untuk membuat tuntutan. Rupa-rupanya, sekiranya kita pernah bekerja, dan mencarum dengan PERKESO, kita boleh membuat tuntutan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang digariskan PERKESO.

Hendak dijadikan cerita, setelah permohonan suami saya dalam proses, pegawai terbabit menyatakan caruman suami masih tidak cukup pula. Tetapi dengan inisiatif pegawai terbabit menyemak semula rekod, mereka dapati syarikat tempat suami bekerja sebelum ini tidak melunaskan caruman suami selama beberapa bulan. Pihak PERKESO kemudiannya menghubungi mereka dan minta bayaran tersebut dibuat untuk kebaikan suami.

Alhamdulillah, pihak syarikat itu tidak mengambil masa yang lama untuk menghantar cek pembayaran kepada PERKESO. Jika bayaran tertunggak itu tidak dibuat sebenarnya tindakan boleh diambil oleh PERKESO. Tetapi tentunya ia memakan masa.

Suami saya telah menerima pencen Ilat PERKESO bermula hujung tahun lepas. Oleh kerana keadaan suami yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya, saya juga diberikan elaun oleh PERKESO, yang dipanggil Elaun Layanan Sentiasa (ELS).

Selain itu, suami juga dibekalkan dengan lampin pakai buang setiap bulan dan beberapa peralatan seperti kerusi roda dan tilam angin. Katil hospital yang telah saya beli juga saya tuntut semula belanjanya dengan PERKESO kerana katil itu juga termasuk dalam senarai keperluan yang disenaraikan oleh jemaah doktor PERKESO.

Alhamdulillah.

Cara-cara membuat tuntutan dengan PERKESO:

1. Semak nama dan nombor kad pengenalan anda dengan PERKESO sama ada anda layak membuat tuntutan.

2. Dapatkan borang tuntutan yang berkenaan di mana-mana pejabat PERKESO terdekat. Borang boleh diambilkan oleh orang lain. Sesetengah borang boleh juga dimuat turun di laman web PERKESO.

3. Dapatkan laporan perubatan doktor dari Bahagian Rekod hospital.

4. Borang tuntutan bersama laporan dihantar ke PERKESO.

5. Perkeso akan memberi maklumbalas melalui surat berserta tarikh anda perlu hadir untuk menghadap jemaah doktor panel PERKESO. Pihak yang menuntut akan ditemuduga oleh doktor. Maklumbalas ini diterima dalam tempoh sebulan.

Dalam kes seperti suami saya yang terlantar dan sukar untuk dibawa menghadap jemaah doktor, wakil pihak yang menuntut (saya contohnya) perlu memaklumkan kepada pihak PERKESO. 

Wakil PERKESO akan datang membuat penilaian keadaan pesakit di rumah, dan mengambil gambar untuk dilampir sebagai laporan kepada jemaah doktor. Pada hari temuduga, hanya waris terdekat yang perlu menghadiri temuduga tersebut.

6. Jawapan dari pihak PERKESO tentang temuduga (lulus atau tidak diluluskan) akan dihantar melalui surat. Biasanya dalam tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh temuduga.

7. Sekiranya lulus, PERKESO akan meminta anda menghantar salinan buku atau kad bank yang disahkan oleh pegawai bank berkenaan untuk mereka masukkan jumlah tuntutan yang diperolehi terus ke dalam akaun.

Jika anda atau orang terdekat ada ditimpa kemalangan atau sakit yang tidak membolehkan anda bekerja, cuba periksa dengan PERKESO sekiranya layak membuat tuntutan (skim bencana pekerjaan atau Ilat). Sila periksa juga, adakah majikan anda membayar caruman PERKESO anda, supaya tidak ada masalah di kemudian hari.

Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.
Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.

Catatan di atas adalah berdasarkan pengalaman saya selama menguruskan tuntutan PERKESO suami.

Boleh baca lanjut di www.perkeso.gov.my



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.