SLIDER

berkahwin
Showing posts with label berkahwin. Show all posts

Perkeso Lancar Skim Perlindungan Khas Untuk Surirumah. Ini 10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang SKSSR Dan 5 Faedah Perubatan Kepada Surirumah Termasuk Janda Dan Ibu Tunggal

17 Apr 2024



KEDENGARAN remeh, namun bukan mudah bagi mereka yang menggalas 'title' sebagai seorang suri rumah.

Sebagai mengiktiraf penglibatan suri rumah dalam 'Care Economy' dan pembangunan institusi keluarga, Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berkuat kuasa 1 Disember 2022.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berdepan dengan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Skim ini tidak terikat dengan aktiviti pengurusan rumah tangga atau rutin seharian dalam kediaman, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke temu janji doktor, membeli barang keperluan di pasar atau pasaraya dan sebagainya. 

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, skop 'suri rumah' di bawah Akta 838 adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

"Ia merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa," ujarnya. 


Berikut adalah 10 perkara penting yang anda perlu tahu mengenai SKSSR:

1) Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang dari 55 tahun

2) Tiada had umur minimum untuk mencarum.

3) Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah

4) Caruman secara sukarela namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing.

5) Mana-mana pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah

6) SKSSR menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.

7) Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

8) Manfaat di bawah Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti Elaun Keuzuran, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

9) Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus buat golongan wanita, dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

10) Permohonan dibuka pada 1 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000. 


Skim itu bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Pada masa sama, SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran. 

Caruman berkenaan boleh dilakukan oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut. 


Dengan menyertai skim SKSSR, berikut merupakan enam faedah perlindungan yang boleh diperolehi suri rumah di dalam negara: 


1. Faedah Perubatan
Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.

Akses terhadap rawatan itu tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Kemasukan ke wad bagi pencarum adalah dengan kelayakan wad kelas kedua Hospital Kerajaan.

2. Faedah Hilang Upaya Kekal

Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Pencarum boleh menerima bayaran pukal sehingga RM30.000 bagi satu tempoh caruman mengikut jenis kecederaan. 

3. Elaun Layanan Sentiasa

Elaun Layanan Sentiasa dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

4. Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 akan dibayar secara sekali gus atau one-off kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Bayaran ini akan diberikan kepada orang tanggungan yang layak atau pihak yang menanggung perbelanjaan pengebumian.

5. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Pembiayaan bagi faedah ini mencecah sehingga RM50,000 dalam satu tempoh caruman jika suri rumah diperakukan menghidap keilatan atau hilang upaya sehingga memerlukan kemudahan pemulihan jasmani seperti kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan lain-lain.

Rawatan bagi dialisis adalah sebanyak RM200 setiap bulan atau menurut Akta Fi 1951.

6. Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai usia 55 tahun akibat bencana domestic atau sedang menerima elaun keuzuran atau mati atas apa-apa sebab dalam tempoh perlindungan, Pencen Penakat akan dibayar sebanyak RM300 sebulan kepada orang tanggungan yang layak mengikut syer ditetapkan.

Pencen Penakat dibayar kepada duda atau anak.

Jika suri rumah berinsurans tidak meninggalkan duda, anak, bayaran Pencen Penakat dibayar kepada Ibu bapa suri rumah berinsurans. 

Syer anak dibayar sehingga anak berumur 21 tahun atau berkahwin atau jika masih belajar sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Jika ada anak yang terencat mental, kurang upaya fizikal yang menyebabkan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, syer anak tersebut dibayar sehingga berumur 55 tahun.

Pencen Penakat dibayar hanya kepada duda atau ibu bapa warganegara Malaysia sehingga mencapai umur 55 tahun sahaja.

Bayaran Pencen Penakat kepada duda juga akan terhenti jika duda berkahwin semula.

Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum.


Kredit Link To :


AWAS! Anak Juga Boleh Mengalami STRESS

13 Dec 2021




Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres. Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.

Perkara ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap mengenai permasalahan remaja.

Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri. Beliau memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.

"Memang ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. "Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa," kata Sarada.
 
PERANAN IBU BAPA

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah. Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa. 

"Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik," tambahnya. Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak. "Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. "Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa," Sarada memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini baru-baru ini.

TAMBAH STRES 

Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah. Secara tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. 

"Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka. "Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian," jelas Sarada.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.

"Mungkin mereka mempunyai teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan diri mereka. "Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah," kata Sarada.

JAGA EMOSI 

Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak. Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh. Bila anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi.

Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. "Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya. "Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.

"Jangan terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang perkara yang agak serius. "Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu dan ayah tetap sayang kamu," katanya, sambil menjelaskan kata-kata positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.

"Tolonglah jaga emosi anak," Sarada berpesan lagi. Beliau berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya. "Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga, dengan kaunselor," katanya.

ANAK KECIL

Dalam soal stres dan anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.

Anak kecil, katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres. "Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh bersepah sedikit. "Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak," tambahnya.

Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.
Bermain, bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering dilarang bermain. "Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan personaliti kita," katanya.

Sarada juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.

"Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan. "Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah," kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.

BERI MASA

Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa. Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah. Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak. Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.

Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau video.

Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.

Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan. Ibu bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.

Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.

"Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi menghormatinya sebagai seorang individu. "Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka.

"Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan," katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.

SIAPKAN DIRI

Belum bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan. Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.

Menurut beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami.

"Ada juga isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan," jelas Katherine, juga kaunselor berdaftar.
Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka.

Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.

"Masing-masing berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena cari cara kita, cara bersama.

"Tolak ansur itu amat penting. Suami atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan berbincang dan berkomunikasi," jelas Katherine.


Kredit. Mstar.Com



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.