SLIDER

rumah
Showing posts with label rumah. Show all posts

Petua & Tips Hilangkan Bau Najis Kucing Secara Semulajadi – 7 Cara Mudah & Selamat!

4 Jun 2025



Masalah bau najis kucing adalah sesuatu yang sering dihadapi oleh pemilik kucing. Sama ada anda tinggal di rumah atau apartmen, bau busuk dari litter box boleh mencacatkan suasana rumah dan memberi ketidakselesaan kepada keluarga dan tetamu.

Berita baiknya, ada banyak cara semula jadi untuk hilangkan bau najis kucing tanpa perlu bergantung kepada produk kimia yang mahal dan berbahaya. Dalam artikel ini, kami kongsikan 7 petua hilangkan bau najis kucing secara semulajadi, menggunakan bahan mudah yang anda mungkin sudah ada di rumah.


 

KENAPA PILIH CARA SEMULAJADI UNTUK HILANGKAN BAU NAJIS KUCING

Selamat untuk haiwan peliharaan dan kanak-kanak
Lebih mesra alam
Jimat kos
Tidak meninggalkan bahan kimia berbahaya di rumah



1. BAKING SODA - PENYERAPAN BAU YANG EFISIEN

Baking soda ialah bahan semula jadi yang sangat popular dalam menghilangkan bau.

Cara Penggunaan:

  • Taburkan satu sudu kecil baking soda ke dalam litter box selepas pembersihan.

  • Campurkan bersama pasir kucing untuk serapan bau maksimum.

Kelebihan:

  • Meneutralkan bau busuk secara semulajadi

  • Tidak toksik dan selamat untuk kucing




2. CUKA PUTIH + AIR SUAM - SEMBURAN PEMBERSIH DIY

Cuka putih adalah bahan anti-bakteria yang membantu membunuh kuman penyebab bau.

Cara Penggunaan:

  • Campurkan 1:1 cuka putih dan air suam dalam botol semburan.

  • Sembur pada lantai, permaidani, atau kawasan terkena air kencing/najis kucing.

  • Lap dengan kain bersih selepas 5–10 minit.

Tip Tambahan:

  • Tambah 3–5 titik minyak pati lemon untuk kesan lebih menyegarkan.




3. ARANG AKTIF - SERAP BAU TANPA PEWANGI

Arang aktif (activated charcoal) sangat terkenal sebagai penyerap bau semulajadi.

Cara Penggunaan:

  • Letakkan arang aktif dalam bekas kecil berhampiran litter box.

  • Tukar arang setiap 2–3 minggu untuk hasil terbaik.

Peringatan:

  • Jauhkan dari capaian kucing, jangan biarkan ia dimakan.



4. SERBUK KOPI TERPAKAI - WANGI DAN EFISIEN

Jangan buang ampas kopi anda! Ia boleh digunakan sebagai penghilang bau.

Cara Penggunaan:

  • Keringkan serbuk kopi selepas digunakan.

  • Letakkan dalam mangkuk kecil di kawasan litter box atau tempat kucing selalu lepak.

Kelebihan:

  • Menyerap bau dan memberi aroma semula jadi

  • Bebas bahan kimia



5. GUNAKAN PASIR KUCING SEMULAJADI

Beralih kepada pasir kucing mesra alam adalah salah satu langkah utama untuk mencegah bau yang kuat.

Jenis pasir semulajadi terbaik:

  • Pasir bentonit tanpa pewangi

  • Pellet kayu pain

  • Pasir jagung/beras

Kenapa lebih baik?

  • Kurang bau kimia

  • Lebih menyerap

  • Tidak merengsakan hidung sensitif kucing




6. DAUN PANDAN ATAU KULIT LIMAU

Bau aromatik daripada daun pandan atau kulit sitrus boleh menyamarkan bau busuk litter box.

Cara Penggunaan:

  • Letakkan daun pandan atau kulit lemon segar dalam bekas kecil berhampiran litter box.

  • Tukar setiap 2–3 hari.



7. JAGA KEBERSIHAN LITTER BOX SECARA KONSISTEN

Akhir sekali, litter box yang bersih adalah kunci utama untuk mengelakkan bau.

Tip Penjagaan Harian:

  • Cedok najis dan gumpalan air kencing setiap hari

  • Tukar pasir sepenuhnya setiap 5–7 hari

  • Cuci litter box seminggu sekali dengan air panas dan cuka



BONUS : RESEPI DIY SEMBURAN HILANGKAN BAU NAJIS KUCING

Bahan-bahan:

  • 1 cawan cuka putih

  • 1 cawan air suam

  • 1 sudu besar baking soda

  • 3–5 titis minyak pati lemon (pilihan)

Cara Guna:

  1. Campur semua bahan dalam botol semburan.

  2. Goncang sebelum setiap penggunaan.

  3. Sembur pada tempat berbau dan lap dengan kain bersih.



Menghilangkan bau najis kucing secara semulajadi adalah lebih mudah, murah, dan selamat berbanding menggunakan bahan kimia. Dengan mengamalkan beberapa petua di atas secara konsisten, anda bukan sahaja dapat menikmati rumah yang bebas bau, malah memberikan persekitaran yang sihat dan selesa untuk kucing kesayangan anda.



JANGAN LUPA KONGSI !

Jika anda suka artikel ini, kongsikan dengan rakan pemilik kucing lain! Atau tinggalkan komen – anda mungkin ada petua tambahan yang berkesan untuk dikongsi bersama komuniti pencinta kucing.



Perkeso Lancar Skim Perlindungan Khas Untuk Surirumah. Ini 10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang SKSSR Dan 5 Faedah Perubatan Kepada Surirumah Termasuk Janda Dan Ibu Tunggal

17 Apr 2024



KEDENGARAN remeh, namun bukan mudah bagi mereka yang menggalas 'title' sebagai seorang suri rumah.

Sebagai mengiktiraf penglibatan suri rumah dalam 'Care Economy' dan pembangunan institusi keluarga, Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berkuat kuasa 1 Disember 2022.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berdepan dengan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Skim ini tidak terikat dengan aktiviti pengurusan rumah tangga atau rutin seharian dalam kediaman, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke temu janji doktor, membeli barang keperluan di pasar atau pasaraya dan sebagainya. 

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, skop 'suri rumah' di bawah Akta 838 adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

"Ia merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa," ujarnya. 


Berikut adalah 10 perkara penting yang anda perlu tahu mengenai SKSSR:

1) Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang dari 55 tahun

2) Tiada had umur minimum untuk mencarum.

3) Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah

4) Caruman secara sukarela namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing.

5) Mana-mana pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah

6) SKSSR menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.

7) Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

8) Manfaat di bawah Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti Elaun Keuzuran, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

9) Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus buat golongan wanita, dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

10) Permohonan dibuka pada 1 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000. 


Skim itu bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Pada masa sama, SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran. 

Caruman berkenaan boleh dilakukan oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut. 


Dengan menyertai skim SKSSR, berikut merupakan enam faedah perlindungan yang boleh diperolehi suri rumah di dalam negara: 


1. Faedah Perubatan
Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.

Akses terhadap rawatan itu tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Kemasukan ke wad bagi pencarum adalah dengan kelayakan wad kelas kedua Hospital Kerajaan.

2. Faedah Hilang Upaya Kekal

Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Pencarum boleh menerima bayaran pukal sehingga RM30.000 bagi satu tempoh caruman mengikut jenis kecederaan. 

3. Elaun Layanan Sentiasa

Elaun Layanan Sentiasa dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

4. Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 akan dibayar secara sekali gus atau one-off kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Bayaran ini akan diberikan kepada orang tanggungan yang layak atau pihak yang menanggung perbelanjaan pengebumian.

5. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Pembiayaan bagi faedah ini mencecah sehingga RM50,000 dalam satu tempoh caruman jika suri rumah diperakukan menghidap keilatan atau hilang upaya sehingga memerlukan kemudahan pemulihan jasmani seperti kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan lain-lain.

Rawatan bagi dialisis adalah sebanyak RM200 setiap bulan atau menurut Akta Fi 1951.

6. Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai usia 55 tahun akibat bencana domestic atau sedang menerima elaun keuzuran atau mati atas apa-apa sebab dalam tempoh perlindungan, Pencen Penakat akan dibayar sebanyak RM300 sebulan kepada orang tanggungan yang layak mengikut syer ditetapkan.

Pencen Penakat dibayar kepada duda atau anak.

Jika suri rumah berinsurans tidak meninggalkan duda, anak, bayaran Pencen Penakat dibayar kepada Ibu bapa suri rumah berinsurans. 

Syer anak dibayar sehingga anak berumur 21 tahun atau berkahwin atau jika masih belajar sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Jika ada anak yang terencat mental, kurang upaya fizikal yang menyebabkan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, syer anak tersebut dibayar sehingga berumur 55 tahun.

Pencen Penakat dibayar hanya kepada duda atau ibu bapa warganegara Malaysia sehingga mencapai umur 55 tahun sahaja.

Bayaran Pencen Penakat kepada duda juga akan terhenti jika duda berkahwin semula.

Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum.


Kredit Link To :


Ibu Lagakan Kami Adik-Beradik Sehingga Bergaduh Besar

12 Apr 2022



Harapan saya apa yang saya luahkan di ruangan ini dapat dikongsi bersama, paling tidak supaya kita tidak menyalahkan anak-anak sahaja jika tidak mahu menjaga ibu mereka.

Bukan tujuan saya membuka aib keluarga sendiri, tetapi sekadar menjadi renungan dan pengajaran buat pembaca setia, khususnya kaum wanita kerana satu hari nanti kita juga akan menempuh dunia yang sama, seperti ibu kita lalui.

Saya mempunyai empat orang  adik-beradik. Emak saya sudah tua, ada tanda-tanda akan diserang penyakit strok. Saya dan suami sering menawarkan diri untuk menjaga emak, kerana saya tahu kalau kita kurang beri perhatian, 

mungkin penyakitnya akan segera menyerang. Lagi pun ibu pernah tinggal bersama kami satu ketika dahulu, tetapi tak lama, katanya tidak selesa tinggal di rumah kami. Alasannya, anak saya ramai dan kawasan rumah saya bising. Dia suka tinggal bersama adik Su yang ketika itu baru setahun dua berkahwin. 

Tetapi sejak emak tinggal bersama adik, rumahtangga adik sering terjadi perselisihan faham. Pertengkaran dan pergaduhan sering terjadi antara adik dan suaminya yang berakhir dengan perceraian.

Saya dapat tahu dari adik, emak suka ikut campur tangan dalam urusan mereka suami isteri banyak yang mak tak sukakan menantunya.  Bila emak keluar dari rumah adik, mereka suami isteri rujuk semula.

Bila adik Su rujuk dengan suaminya semula tentulah emak tak selesa lagi datang ke rumah adik apalagi hendak tinggal bersama seperti dulu. Jadi emak terpaksa pindah tinggal di rumah anak lelakinya di KL yang merupakan anak kesayangan emak. 

Lagi pun sejak bujang lagi adik Sham pernah berjanji pada enak yang dia akan jaga emak apabila emak memerlukannya nanti.

Tetapi janji sebelum kahwin, dah beristeri adik mula tak selesa bila emak cakap nak datang ke rumahnya.  Beberapa kali emak telefon Sham untuk menjemputnya tapi Sham tak berapa nak layan, alasannya sibuk tak boleh ambil emak tinggal bersama di rumahnya.

Saya tak tahulah apa alasan Sham sebenarnya, tetapi saya tahu emak memang tak berkenan dan tak serasi dengan menantunya, isteri Sham. da sahaja yang emak tak berkenankan isteri Sham. Jadi mungkin salah satu sebab Sham tak pedulikan permintaan emak untuk membawa emak tinggal bersamanya.

Setelah saya kaji masalah adik-beradik saya satu persatu, saya dapati perangai adik-adik saya ini taklah seteruk mana. 

Tetapi sedihnya perangai emak yang merunsingkan saya. Saya dapati emak menjadi punca kami adik-beradik berbalah bukan perangai suami atau isteri kami adik-beradik sebenarnya.

Satu perangai buruk emak suka melaga-lagakan dan memburuk-burukkan antara kami adik-beradik. Sebagai contoh emak memburukkan saya pada adik-adik, tapi depan saya emak akan mengutuk dan burukkan adik-adik. 

Begitulah peel emak sejak dulu lagi. Jadi akhirnya antara kami adik-beradik tak pernah setuju angin, sentiasa benci antara satu sama lain. Jika dah selalu masam muka akhirnya kami bertengkar dan bergaduh. Itu zaman remaja kami sebelum berkahwin.

Bila masing-masing dah berumahtangga, emak burukkan kami cara lain pulak. Sebagai contoh, emak mengata saya tak layan emak ketika tinggal di rumah saya. Pada saya pulak emak kata adik-adik tidak layan dia dan nak jadi anak derhaka. Pendek kata antara kami selalu sangat berselisih faham dan tuduh menuduh. 

Terbaru emak mengadu pada adik Su, saya burukkan Su. Apalagi Su datang mengamuk ke rumah saya lantas tuduh saya macam-macam tanpa bertanya. 

Saya tahu adik tak akan mengamuk macam tu kalau hatinya tak sakit sangat. Sedangkan saya tak pernah mengutuk Su. Ceritanya terbongkar bila adik kata emak yang bercerita. Jadi salah siapa kalau kami adik-beradik berkelahi? 

Di pendekkan cerita, emak memfitnah saya dengan cerita yang tidak pernah saya lakukan. Saya mengambil langkah berdiam diri tetapi macam-macam cerita tak betul timbul satu-persatu. Begitu juga dengan Shah. Mengenangkan ibu sudah tua, saya hanya bersabar kerana Shah pembengis, dia  maki hamun saya tanpa bertanya. 

Dia tengking saya macam budak-budak. Saya tak suka bising. Kerana dia lelaki. Tapi herannya emak suka bila dapat tahu kami bergaduh adik-beradik. Dia mahu anak-anaknya dengar cakap dia dan buat apa yang dia suruh. Baru dia rasa puas hati bila sudah melaga-lagikan kami.

Walaupun emak fitnahkan saya macam-macam, tapi saya tetap sayangkan emak. Malah saya kesian bila Shah tak pedulikan makan minum emak.  Bayangkan emak sarapan jam 12 tengah hari, itu pun emak terpaksa kejutkan Shah dan isterinya dari tidur di bilik atas. Makan malam pulak jam 11 malam.

Tetapi kerana emak sayangkan Shah kerana dia anak lelaki harapan, emak tak marah, walau apa pun Shah lakukan pada emak. Saya pernah ajak emak tinggal dengan saya, dan saya berjanji tidak akan minta apa-apa harta emak, tetapi emak tak ambil peduli. 

Saya juga pernah nasihatkan emak baikkan hubungan kami adik-beradik. Sebaliknya semakin menjadi-jadi emak fitnahkah saya. Akibatnya adik-adik bencikan saya sebab percaya cerita emak.

Emak fikir dengan fitnahkan saya maka Shah dan Su akan jaga emak dengan baik, tetapi sayangnya emak tetap dipinggir dan diketepikan.Apa yang merunsingkan saya siapa antara mereka akan menjaga emak? Sekarang pun emak dah tersepit kerana fitnahnya. 

Nak ke rumah saya dia tak sukakan saya, nak ke rumah Su dia bencikan suami Su. Nak tinggal di rumah Shah, mereka suami isteri tak pernah pedulikan emak. Malah menganggap emak kuli mereka. Sementara seorang lagi adik masih bujang, tak boleh nak tumpang.

Saya tak boleh nak berbincang adik-beradik sebab mereka semua bencikan saya akibat fitnah yang emak taburkan terhadap saya. Begitu juga antara Su dan Shah mereka juga tak pernah berbaik, sentiasa berbalah. Ada saja yang tak kena.

Kini saya hanya memanjatkan doa memohon kepada Allah agar emak dapat mengakhiri perjalanan hidupnya dengan aman, bukan memporak-perandakan hidup anak-anak. Saya mahu kami berbaik adik-beradik dapat bergilir menjaga emak. Sikap emak memfitnahkan kami bukan boleh membuatkan emak disayangi, sebaliknya emak akan dibenci dan dipinggirkan.’’ Demikian luahan hati Shamsiah.

Memfitnah bukan boleh menarik perhatian orang atau anak-anak sayangkan kita, atau percayakan apa juga cerita yang disebarkan, sebaliknya akan membuat diri kita sentiasa ditakuti dan dibenci bila kebenaran terserlah akhirnya nanti.

Akhirnya siapa yang mahu menjaga emak bila dia sakit terlantar nanti. Dan siapa yang mahu mengambil tugas menguruskan masalah emak nanti? Inilah yang saya bimbangkan. Tapi emak tak pernah fikirkan semua itu, dia suka dengar kalau kami bergaduh.


Kredit : DCKK

13 Cara Halau Tikus Dari Rumah Dengan Berkesan

6 Apr 2022


Rumah anda banyak tikus berkeliaran? Cuba praktikkan cara halau tikus dan perangkap tikus yang kami kongsikan di bawah supaya haiwan perosak ini tidak lagi datang ke rumah anda buat selama-lamanya!

Bayangkan jika anda bangun pagi dalam keadaan rumah dengan makanan yang berselerak, dengan najis tikus di merata tempat, arghh stressnya!

Sebut sahaja masalah mana-mana rumah tentang haiwan perosak, masalah tikus sudah semestinya antara yang paling popular dan paling menjengkelkan. Jangan bimbang, dalam artikel ini kami kongsikan tentang cara halau tikus agar rumah anda bukan sahaja bersih, tetapi selamat daripada sebarang penyakit.

Tanda tikus ada di rumah

Sebelum meneruskan lebih lanjut, anda perlu tahu tanda-tanda kehadiran tikus di rumah anda. Bagaimana caranya? Terdapat beberapa tanda dan kesan yang boleh diperhatikan di sekeliling kawasan dalam rumah iaitu:

  • Najis tikus seperti bentuk beras berwarna coklat gelap
  • Kesan gigitan pada plastik makanan, perabot kayu, wayar elektrik
  • Kesan kotoran pada dinding di sepanjang laluan haiwan perosak ini, disebabkan kotoran pada badan tikus yang bergesel dengan permukaan dinding
  • Bunyi cakaran dari atas siling pada waktu malam. Disebabkan tikus aktif pada waktu malam, bunyi cakaran akan didengari pada waktu ini
  • Kesan tapak kaki kecil. Bagi mengetahui laluan aktif yang dilalui tikus, taburkan tepung di sekeliling laluan yang disyaki menjadi laluan tikus. Kesan tapak kaki yang baru akan dapat dilihat pada keesokan paginya
  • Lubang dalam tanah. Tikus boleh membina lubang dalam tanah sebagai sarang, tempat simpanan mereka atau menjadi laluan tikus ke dalam rumah.
  • Sarang tikus. Tikus kebiasaannya akan membuat sarang di kawasan yang tersembunyi dengan menggunakan cebisan kertas atau kain. Dalam sarang tikus ini, biasanya anda akan menjumpai anak-anak tikus yang masih kecil dan sarang ini akan terletak berdekatan dengan sumber makanan seperti peti sejuk.

Tempat yang sering menjadi laluan tikus di rumah anda

Apabila anda sudah tahu tentang tanda kehadiran tikus di rumah, terdapat beberapa tempat yang perlu diperiksa kerana sering menjadi laluan tikus. Tidak kira luar atau dalam rumah, kesemua tempat ini perlu melalui pemeriksaan yang teliti agar tidak ada seekor tikus pun yang terlepas.

Kawasan di luar rumah:

  • Longkang- Pastikan longkang anda bertutup atau periksa sekiranya terdapat lubang tikus di kawasan longkang
  • Kawasan kebun- Perhatikan tanah di sekitar tanaman kebun, periksa sama ada terdapat lubang tikus atau tidak di dalam tanah
  • Garaj kereta- Pasti anda biasa dengar kereta yang rosak disebabkan wayar kereta digigit haiwan perosak ini kan? Perhatikan di sekitar kawasan garaj, atau kawasan berkayu kerana ia boleh menjadi laluan tikus.

Kawasan di dalam rumah:

  • Siling atau bumbung rumah- Tinjau keadaan siling rumah anda, jika ada kehadiran tikus, kawasan bumbung dan siling akan dipenuhi najis tikus dan sarangnya.
  • Dapur- Sumber makanan merupakan salah satu punca kenapa tikus masuk ke dalam rumah kita. Periksa di kawasan belakang peti sejuk yang tersembunyi.
  • Ruang membasuh pakaian- Ruang membasuh pakaian perlu dipastikan sentiasa kering. Paip yang bocor dan titisan air boleh menjadi sumber bekalan air buat haiwan perosak ini.

Jenis-jenis tikus

Tikus yang paling sering dijumpai di dalam rumah adalah Tikus Norway (Rattus norvegicus), Tikus Rumah (Rattus rattus), dan Mencit (Mus Musculus). Tetapi menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat beberapa jenis tikus yang terdapat di Malaysia seperti  Antaranya ialah:

  • Tikus rumah (Rattus rattus diardii)
  • Tikus Norway (Rattus norvergicus)
  • Tikus rumah kecil (Mus musculus)
  • Tikus sawah (Rattus argentiventer)
  • Tikus kayu (Rattus tiomanicus)
  • Tikus Burma (Rattus exculans).

Cara halau tikus dari rumah

Seterusnya, apabila kita sudah tahu di mana kawasan laluan tikus dan tanda-tandanya, makin mudah untuk kita aplikasikan cara yang berkesan untuk menghalau dan menghapuskan tikus ini. Berikut adalah cara-cara menghalau tikus yang boleh dipraktikkan di sekitar rumah anda.

1. Sekat sumber makanan, minuman, dan sarang tikus

Perkara pertama yang paling penting untuk menghalau tikus ialah menyekat tiga faktor utama tikus boleh hidup di dalam rumah anda iaitu makanan, minuman, dan sarangnya. Tidak ada gunanya jika anda mencuba pelbagai cara menghalau tikus, tanpa menitikberatkan perkara ini.

  • Sumber makanan boleh disekat dengan memastikan kawasan dapur, peti sejuk anda sentiasa diselenggara dan dibersihkan untuk memastikan tiada makanan yang terdedah, atau lubang tikus. Pastikan tong sampah yang berisi sisa makanan tertutup dan tidak dibiarkan terdedah
  • Sumber minuman pula boleh disekat dengan memastikan tiada saluran paip yang bocor yang menyebabkan air bertakung. Lopak kecil ini mungkin nampak remeh bagi anda, tetapi bagi tikus, ia sumber minuman mereka.
  • Sarang atau tempat berlindung. Rumah yang berselerak merupakan syurga bagi tikus untuk membiak kerana mereka mempunyai tempat untuk bersembunyi. Pastikan setiap rekahan, lubang serta celah-celah ruang di rumah anda dibaiki dan ditutup.

2. Perangkap tikus

Bagi cara ini, anda boleh menggunakan perangkap tikus yang boleh dibeli di kedai atau menggunakan kreativiti untuk membuat perangkap sendiri. Kebiasaannya, setiap perangkap akan diletakkan sedikit cebisan makanan sebagai umpan untuk menarik perhatian tikus.

Selain itu, gam tikus juga boleh digunakan sebagai cara halau tikus atas siling rumah anda. Jangan lupa untuk taburkan sedikit cebisan makanan sebagai umpan. Tikus akan melekat pada permukaan gam yang kuat dan tidak boleh melepaskan diri. Walaupun begitu, jangan biarkan perangkap tikus ini terlalu lama, kerana tikus akan mati dan bangkai tikus akan mengeluarkan bau yang sangat busuk.

3. Bela kucing

Bagi mereka yang sukakan kucing, ini mungkin masa yang baik untuk membela kucing. Si comel ini bukan sahaja boleh menjadi peneman anda di dalam rumah, tetapi boleh mengurangkan populasi tikus di rumah, kerana naluri semulajadinya untuk memburu mangsa.

Namun begitu, jangan biarkan si comel anda menjadikan tikus ini sebagai makanan mereka pula. Ini kerana, tikus boleh menyebabkan jangkitan cacing kepada usus atau toxoplasmosis  dan juga keracunan makanan sekiranya tikus itu memakan umpan yang mengandungi racun tikus. Oleh itu, kami sediakan alternatif semulajadi pula bagi cara seterusnya untuk menghalau tikus. Teruskan membaca!

4. Kulit durian

Bila musim durian setiap tahun, selain menikmati isi durian yang sangat lazat, kulit durian jangan dibuang tau! Anda boleh gunakan kulit durian sebagai salah satu cara halau tikus di rumah anda. Letakkan sahaja kulit durian di tempat yang sering menjadi laluan tikus. Insya-Allah, tikus tidak akan suka dengan bau durian dan kulit durian yang berduri.

5. Daun durian belanda

Ambil beberapa helai daun durian belanda dan gantung atau letakkan di tempat yang sering menjadi sarang atau laluan tikus. Biarkan selama beberapa hari dan ganti dengan daun yang baru jika sudah kering.

6. Daun pandan

Jika anda inginkan rumah yang berbau wangi dan pada masa yang sama dapat menghalau tikus, boleh sahaja gunakan daun pandan. Bau daun pandan yang wangi boleh digunakan untuk menghalau tikus.

Gantung serta letakkan beberapa helai daun pandan di lubang atau kawasan yang disyaki menjadi laluan tikus. Disebabkan daun pandan ini sangat mudah didapati di kawasan rumah di Malaysia, anda boleh berjimat, rumah berbau wangi, serta boleh menghalau tikus pada waktu yang sama!

7. Semburan serai wangi

Seterusnya, semburan serai wangi juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Apa yang menarik, pada zaman moden ini, semburan serai wangi ini mudah didapati dan dijual di kedai runcit atau pasar raya berdekatan dengan rumah anda. Caranya juga cukup mudah, hanya semburkan semburan ini di kawasan sarang tikus atau laluannya.

8. Serbuk lada hitam

Selain daripada alternatif bahan semulajadi, bahan dapur turut boleh digunakan sebagai salah satu ikhtiar atau cara untuk menghalau tikus. Gunakan sahaja serbuk lada hitam di dapur, dan taburkan di kawasan yang anda sering lihat menjadi laluan tikus.

Serbuk lada hitam ini boleh berfungsi dalam dua cara untuk menghalau tikus iaitu sebagai racun tikus semulajadi atau menghalau tikus. Lada hitam mengandungi sejenis bahan, iaitu piperine yang mampu membunuh tikus, jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Walaupun cara ini kurang berkesan berbanding racun kimia, ia merupakan satu alternatif yang berbaloi untuk dicuba.

Bau serbuk lada hitam juga boleh mendatangkan iritasi kepada tikus yang boleh membuatkan mereka menjauhi kawasan yang ditaburkan serbuk ini.

9. Limau purut

Tahukah anda, limau purut yang biasanya digunakan sebagai mandian untuk menghilangkan bau badan, ia juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Caranya, potong limau purut kepada dua bahagian dan letakkan sahaja di kawasan laluan tikus. Selain daripada buah limau purut, daun limau purut turut boleh digunakan dengan cara yang sama.

Cara ini merupakan salah satu petua menghalau tikus yang sering dikongsikan oleh atuk nenek kita.

10. Cuka

Cuka yang paling sesuai digunakan untuk menghalau tikus ialah cukai putih. Bagi menggunakan kaedah ini, anda memerlukan kapas dan juga cuka. Caranya adalah seperti berikut:

  • Mop dan bersihkan kawasan yang sering menjadi laluan tikus
  • Celup bebola kapas ke dalam cuka. Bagi mengelakkan iritasi pada tangan anda, gunakan sarung tangan
  • Letakkan bebola kapas yang dicelup cuka tadi di kawasan laluan atau sarang tikus
  • Sekiranya bebola kapas yang dicelup cuka telah kering, anda hanya perlu celupkan bebola kapas yang sama ke dalam cuka dan letakkan kembali di tempat asalnya.

11. Minyak pudina

Daun pudina atau minyak pudina bukan sahaja boleh digunakan sebagai wangian terapi di dalam rumah, tetapi juga sebagai penghalau tikus di kediaman anda. Selain bebas kimia, ia juga merupakan salah satu alternatif yang bagus jika anda mempunyai anak kecil di rumah.

Cara untuk menggunakan minyak pudina ini juga sangat mudah. Campurkan minyak pudina bersama dengan air dan semburkan di sekitar kawasan yang menjadi laluan tikus. Apa yang menarik, selain menghalau tikus, minyak pudina ini juga boleh digunakan untuk menghalau lipas.

12. Ubat gegat

Jika cara semulajadi masih tidak mendatangkan kesan, anda boleh beralih dengan menggunakan bahan kimia iaitu ubat gegat. Ubat gegat atau naphtalene hanya perlu diletakkan di tempat yang sering menjadi kawasan laluan atau sarang tikus.

Walaupun tikus tidak suka dengan bau yang dikeluarkan oleh ubat gegat ini, namun awas, ubat gegat ini turut mengandungi racun yang bukan sahaja berbahaya kepada tikus, tetapi juga anak kecil. Oleh kerana ubat gegat ini biasanya berwarna-warni, bentuknya sering disalahertikan sebagai gula-gula oleh kanak-kanak.

13. Servis kawalan serangga perosak

Jika semua cara di atas tidak mendatangkan sebarang hasil, mungkin ini masanya anda mendapatkan bantuan dengan khidmat profesional. Walaupun cara ini memerlukan sejumlah kos, tetapi ia sangat berbaloi untuk digunakan bagi mengelakkan masalah tikus ini menjadi lebih teruk dan menyebabkan kerugian harta benda yang lebih banyak.

Sebelum membuat keputusan memilih syarikat kawalan serangga yang sesuai, buat perbandingan harga dan ulasan dari beberapa syarikat dahulu sebelum memilih yang terbaik untuk bajet anda.

Masalah tikus di dalam rumah ini bukan sahaja menjengkelkan, malah boleh mendatangkan penyakit jika tidak dikendalikan dari awal. Semoga dengan perkongsian kali ini, anda dapat mengurangkan masalah tikus di rumah anda. Semoga berjaya!

Kredit : propertyguru


Mistik Tiang Seri Rumah, ‘Penjaga’ Rumah Melayu Lama

15 Feb 2022

 



PERNAH anda dengar tentang tiang seri rumah? Kebanyakan rumah-rumah tradisional Melayu pada zaman dahulu mempunyai sebatang tiang yang dipanggil tiang seri.

Tiang seri ini kedudukannya di tengah rumah ibu dan sangat istimewa berbanding tiang-tiang yang lain.

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu dahulu, kewujudan tiang seri bertujuan untuk menjaga keselamatan dan juga bertindak sebagai perisai daripada gangguan jahat.

Bagaimana pula sebatang tiang kayu boleh berbuat demikian? Jika dilihat daripada segi logiknya, tiang ini berkedudukan tetap dan jelas sama sekali tidak berfungsi apa-apa untuk keselamatan.

Dahulu kami pernah menemubual seorang warga emas bernama Zakaria dari Machang, Kelantan. Menurutnya, agak sukar untuk membuktikan sama ada benar tiang seri mempunyai kuasa mistik.

Ini kerana tiada bukti kukuh mengenainya. Namun, kepercayaan masyarakat Melayu dulu yang kuat berpegang pada kepercayaan khurafat menyebabkan mereka sanggup melakukan perjanjian dengan makhluk ghaib.

Menurut Zakaria, kisah tiang seri yang ada ‘penjaganya’ itu berlaku disebabkan kehadiran entiti yang ‘dilantik’ sebagai pengawal untuk menjaga keselamatan rumah itu. 

Soalnya, bagaimana pula ‘penjaga’ itu boleh hadir dalam tiang ini?

Jelas Zakaria, pada zaman dahulu sebelum sesuatu tiang seri dipacak, upacara ‘menjamu’ akan dilakukan oleh pawang dan dukun. Upacara itu menggunakan mantera-mantera yang dibaca khas bagi memanggil semangat untuk dimasukkan ke dalam tiang seri.

Selepas selesai upacara itu, tiang seri akan dipacak ke dalam tanah dan barulah proses pembinaan rumah bermula.

Kami juga dahulu pernah bertanyakan perkara ini kepada Ar. Mastor yang ketika itu merupakan ketua Jabatan Seni Bina di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurutnya, tiang seri dalam bidang seni bina bermaksud sebuah tiang yang paling tinggi terletak di tengah-tengah ruang rumah. Tiang ini tidak berdinding dan merupakan tonggak utama untuk menyokong kedudukan rumah.

Tiang seri biasanya diambil daripada sebatang pokok keras seperti cengal dan balau. Tiang ini memang istimewa berbanding tiang-tiang lain kerana ia merupakan keunikan dalam seni bina Melayu.

Berdasarkan kajiannya, hampir 100 peratus rumah tradisional Melayu mempunyai tiang seri. Malah, kaitan tiang seri dengan unsur mistik memang perkara sinonim dikaitkan.

Kata Mastor, dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana unsur entiti ini menjalankan tugasnya sebagai penjaga rumah sewaktu dia bersama beberapa pengkaji lain sedang menjalankan operasi memindahkan sebuah rumah lama di Kelantan suatu ketika dahulu.

Ketika itu barulah dia faham tentang apa yang dipanggil sebagai perundingan antara manusia dengan entiti yang menjaga rumah itu.

Sebelum kejadian tidak diingini berlaku, waris rumah itu terlebih dahulu memaklumkan kepada Mastor supaya dilakukan satu upacara khas untuk mendapatkan persetujuan ‘penunggu’ tiang seri rumah berkenaan untuk turut sama berpindah dan tidak mengganggu kerja-kerja yang dilakukan.

Ketika upacara itu berlangsung, beberapa syarat perlu dipenuhi termasuklah menyediakan jamuan yang terdiri daripada telur, pulut kuning dan ayam panggang. Selepas itu, seorang perantara akan mula berkomunikasi dengan penunggu  tiang itu bagi mendapatkan persetujuan untuk memindahkan rumah tersebut.

Hanya selepas orang perantara itu memberitahu bahawa ‘penunggu’ tiang seri itu bersetuju, barulah keesokan harinya kerja-kerja untuk membuka dan memindahkan rumah itu dilakukan.

Menurut pendapatnya, masyarakat Melayu zaman dahulu banyak terikat dengan kepercayaan animisme yang kuat yang turut mempengaruhi pemikiran termasuk menerapkannya dalam kehidupan mereka.

Kredit : UtusanTV


Rupanya Guna Arang Je Boleh Hilangkan Bau Najis Kucing, Berkesan!

20 Jan 2022



“Busuknya bau najis kucing ni. Hari-hari cuci dah. Hmm…”

Bagi anda yang memelihara kucing, situasi di atas pasti sering dialami kan? Bau najis kucing sememangnya boleh menggangu persekitaran dan juga mental. Lagi memalukan jika tetamu hadir ke rumah tetapi hanya bau najis kucing sahaja yang menusuk hidung.

Jadi, bagi anda yang mengalami masalah ini, apa kata cuba satu arang yang dikhususkan untuk menghilangkan bau najis kucing. Kalau anda ada banyak kucing, patut beli supaya tiada lagi masalah itu. Memang menjadi! Jom tengok…

Salah satu cabaran apabila memelihara kucing di dalam rumah adalah bau najisnya yang kuat. Jika tidak kena cara pengurusannya, boleh semerbak satu rumah. Maka disebabkan itulah, ada antara pencinta kucing yang memilih untuk memelihara haiwan tersebut di luar kediaman mereka.

Pun begitu, berbeza ceritanya jika anda tinggal di kediaman bertingkat atau tiada halaman seperti apartment ataupun flat. Dengan kos sekitar RM4 hingga RM6 sahaja, anda sudah boleh mencipta penyerap bau sendiri untuk menghapuskan ‘aroma’ najis kucing peliharaan anda.

Saya nak berkongsi satu tips yang baru saya buat dua hari lepas. Tips ni bagi mereka yang bela kucing di dalam rumah. Masalah yang sering dihadapi adalah bau najis yang keluar daripada litterbox.

Caranya adalah dengan menggunakan arang. Tak perlu beli arang yang mahal-mahal pun, saya cuma guna arang yang dipakai untuk bakar-bakar lauk ja. Boleh beli kat kedai hardware, satu paket besar sekitar RM4 ke RM6 sahaja (ikut lokasi masing-masing).

Saya potong separuh botol air besar (lagi besar bekas lagi bagus), tebuk lubang bagi banyak-banyak macam dalam gambar tu, pastu masukkan arang bagi penuh & tutup atasnya dengan kain kasa pembalut luka (boleh ja guna tisu atau kain biasa).

Selepas siap buat semua tu, boleh la gantung atau letak tepi sangkar betul-betul dekat dengan litterbox. Bagi kucing yang tak duduk dalam sangkar, boleh letak tepi litterbox kucing anda.

Saya dah cuba selama dua hari. Memang berkesan. Cara ni jugak boleh guna untuk letak dalam kereta atau dalam bilik. Kalau dalam bilik punya saya isi arang tu dalam balang besar. Cara penghasilannya sama juga, cuma saiz bekas ja lebih besar. Kalau rajin, hias-hias la sikit bekas tu ikut kreativiti masing-masing. Selamat mencuba.

Kredit:  Facebook Mohd Fadli

Kredit : SirapLimau


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.