SLIDER

keselamatan
Showing posts with label keselamatan. Show all posts

Lumpuh Seumur Hidup, Bekas Penunggang Pesan Lupakanlah Basikal Lajak

13 Jun 2022


“Lupakanlah basikal lajak,” kata Muhammad Saad Zainuddin, 28, yang lumpuh dan hilang kaki kiri selepas terbabit kemalangan ketika berusia 14 tahun di Jalan Lingkaran Tengah, Johor Bahru, iaitu lokasi sama yang mengorbankan lapan remaja ketika bermain basikal diubah suai itu pada 2017.

Saad berkata, keseronokan bermain basikal lajak hanya sementara dan jika terbabit kemalangan, kesannya berpanjangan sehingga merana seumur hidup.

“Ambil iktibar kisah saya yang kini lumpuh dan hilang upaya. Pengalaman saya lalui bukan membanggakan, ia cukup pahit dan menyakitkan namun menginsafkan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengimbau tragedi itu Saad berkata, aktiviti berkenaan bermula sejak dia berusia 11 tahun susulan gelojak jiwa selepas terpengaruh dengan trend basikal lajak yang memuncak ketika itu.

Katanya, dia sanggup mengumpul duit elaun membantu ibu bapanya berniaga bagi mendapatkan barangan terpakai untuk mengubah suai basikal menjadi basikal lajak.

“Pada mulanya, saya hanya menunggang basikal lajak bersama kawan di laluan kampung berhampiran rumah. Namun tidak lama selepas itu, saya mula berani menunggang di jalan utama di sekitar bandar raya ini (Johor Bahru) termasuk lokasi tumpuan basikal lajak iaitu di Jalan Lingkaran Tengah, iaitu sama yang mengorbankan lapan remaja pada 2017.

“Keberanian itu akhirnya membawa padah. Pada 10 Ogos 2008 ketika saya berusia 14 tahun. Ketika menunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Tengah itu bersama tiga lagi rakan, basikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan yang sedang parkir di tepi jalan,” katanya.

Katanya, susulan kemalangan itu, Saad mengalami kecederaan parah, iaitu terkoyak di kepala, selain pengsan di lokasi kejadian yang tidak sampai 150m dari tempat kejadian lapan remaja basikal lajak yang maut.

“Saya hanya tersedar apabila dirawat di hospital. Pada mulanya, doktor yang merawat hanya mensyaki saya mengalami hilang ingatan. Namun apabila menjalani pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan saya lumpuh dari pinggang akibat kecederaan serius pada tulang belakang,” katanya.

Saad berkata, dia tidak dapat menerima takdir itu apatah lagi doktor memaklumkan dia mungkin akan lumpuh seumur hidup.

“Saya kemurungan selama tiga tahun selepas tragedi itu dan trauma untuk keluar rumah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sokongan dan dorongan kuat ahli keluarga termasuk teman rapat berjaya memulihkan kemurungan dan semangatnya.

“Walaupun saya kehilangan upaya, keluarga terutama ibu, ayah dan adik beradik terus membantu saya termasuk menguruskan diri terutama untuk ke bilik air.

“Kini saya mahu bangkit memulakan hidup baru walaupun lumpuh dan hilang upaya. Saya kini ditugaskan menjaga kaunter di kedai makan diusahakan keluarga yang dibuka mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Kredit : msn.com


Mistik Tiang Seri Rumah, ‘Penjaga’ Rumah Melayu Lama

15 Feb 2022

 



PERNAH anda dengar tentang tiang seri rumah? Kebanyakan rumah-rumah tradisional Melayu pada zaman dahulu mempunyai sebatang tiang yang dipanggil tiang seri.

Tiang seri ini kedudukannya di tengah rumah ibu dan sangat istimewa berbanding tiang-tiang yang lain.

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu dahulu, kewujudan tiang seri bertujuan untuk menjaga keselamatan dan juga bertindak sebagai perisai daripada gangguan jahat.

Bagaimana pula sebatang tiang kayu boleh berbuat demikian? Jika dilihat daripada segi logiknya, tiang ini berkedudukan tetap dan jelas sama sekali tidak berfungsi apa-apa untuk keselamatan.

Dahulu kami pernah menemubual seorang warga emas bernama Zakaria dari Machang, Kelantan. Menurutnya, agak sukar untuk membuktikan sama ada benar tiang seri mempunyai kuasa mistik.

Ini kerana tiada bukti kukuh mengenainya. Namun, kepercayaan masyarakat Melayu dulu yang kuat berpegang pada kepercayaan khurafat menyebabkan mereka sanggup melakukan perjanjian dengan makhluk ghaib.

Menurut Zakaria, kisah tiang seri yang ada ‘penjaganya’ itu berlaku disebabkan kehadiran entiti yang ‘dilantik’ sebagai pengawal untuk menjaga keselamatan rumah itu. 

Soalnya, bagaimana pula ‘penjaga’ itu boleh hadir dalam tiang ini?

Jelas Zakaria, pada zaman dahulu sebelum sesuatu tiang seri dipacak, upacara ‘menjamu’ akan dilakukan oleh pawang dan dukun. Upacara itu menggunakan mantera-mantera yang dibaca khas bagi memanggil semangat untuk dimasukkan ke dalam tiang seri.

Selepas selesai upacara itu, tiang seri akan dipacak ke dalam tanah dan barulah proses pembinaan rumah bermula.

Kami juga dahulu pernah bertanyakan perkara ini kepada Ar. Mastor yang ketika itu merupakan ketua Jabatan Seni Bina di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurutnya, tiang seri dalam bidang seni bina bermaksud sebuah tiang yang paling tinggi terletak di tengah-tengah ruang rumah. Tiang ini tidak berdinding dan merupakan tonggak utama untuk menyokong kedudukan rumah.

Tiang seri biasanya diambil daripada sebatang pokok keras seperti cengal dan balau. Tiang ini memang istimewa berbanding tiang-tiang lain kerana ia merupakan keunikan dalam seni bina Melayu.

Berdasarkan kajiannya, hampir 100 peratus rumah tradisional Melayu mempunyai tiang seri. Malah, kaitan tiang seri dengan unsur mistik memang perkara sinonim dikaitkan.

Kata Mastor, dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana unsur entiti ini menjalankan tugasnya sebagai penjaga rumah sewaktu dia bersama beberapa pengkaji lain sedang menjalankan operasi memindahkan sebuah rumah lama di Kelantan suatu ketika dahulu.

Ketika itu barulah dia faham tentang apa yang dipanggil sebagai perundingan antara manusia dengan entiti yang menjaga rumah itu.

Sebelum kejadian tidak diingini berlaku, waris rumah itu terlebih dahulu memaklumkan kepada Mastor supaya dilakukan satu upacara khas untuk mendapatkan persetujuan ‘penunggu’ tiang seri rumah berkenaan untuk turut sama berpindah dan tidak mengganggu kerja-kerja yang dilakukan.

Ketika upacara itu berlangsung, beberapa syarat perlu dipenuhi termasuklah menyediakan jamuan yang terdiri daripada telur, pulut kuning dan ayam panggang. Selepas itu, seorang perantara akan mula berkomunikasi dengan penunggu  tiang itu bagi mendapatkan persetujuan untuk memindahkan rumah tersebut.

Hanya selepas orang perantara itu memberitahu bahawa ‘penunggu’ tiang seri itu bersetuju, barulah keesokan harinya kerja-kerja untuk membuka dan memindahkan rumah itu dilakukan.

Menurut pendapatnya, masyarakat Melayu zaman dahulu banyak terikat dengan kepercayaan animisme yang kuat yang turut mempengaruhi pemikiran termasuk menerapkannya dalam kehidupan mereka.

Kredit : UtusanTV


Nak tukar tayar kereta? Fahami dahulu kod pada sisi tayar untuk elak ditipu

1 Feb 2022

 

SEBAGAI pemilik kereta, pastinya anda sudah tahu apabila tiba masanya, tayar harus ditukar bagi memastikan pemanduan selamat dan lancar.
Bila tayar sudah mula botak, pastikan anda segera menukarnya kerana memandu dengan tayar seperti itu sangatlah berbahaya.
Selain hanya mengetahui kondisi tayar yang sudah teruk, apakah perkara perlu anda tahu sebelum menukar tayar?
Jika selalu mengisi atau pam angin tayar, pasti anda akan perasan dengan beberapa nombor dan huruf yang tercetak di bahagian sisi tayar.
Apakah kod nombor dan huruf tersebut?
Sebenarnya ia bukanlah dicetak dan diletakkan di situ untuk hiasan semata. Kod pada tayar tersebut membawa maksud yang sangat penting melibatkan tayar tersebut.
Tertarik dengan satu hantaran oleh Facebook Pakar Tayar Kereta yang menjelaskan tentang bagaimana caranya untuk membaca kod yang terletak pada sisi atau sidewall tayar.
Ikuti perkongsian tersebut di bawah.
PENTING UNTUK TAHU KOD PADA TAYAR
Salah satu sebab kenapa anda perlu tahu membaca kod tersebut ialah ia boleh mengelak anda jadi mangsa penipuan apabila ingin menukar tayar.
Bukanlah semua bengkel begitu tetapi tidak salah untuk kita pelajarinya agar lebih berwaspada daripada menjadi mangsa.
Berikut cara membaca kod tayar dengan betul.
Sebagai contoh kod yang tertera seperti 185/65R13 96H
185 = Lebar (mm) 65 = Nisbah aspek (Lebar / Tinggi) dalam % R = Radial 13 = Diameter rim (inci) 96 = Index beban (Had maksimum bebanan) – rujuk jadual dlm gambar H = Had maksimum kelajuan
KOD TARIKH KELUARAN
Selain itu, pada bahagian sisi tayar juga anda boleh mendapati maklumat tentang tarikh keluaran tayar.
Jelas page Pakar Tayar Kereta, kalau lihat di sisi tayar, ada empat angka tercatit, contohnya 2511.
Maksud di sebalik nombor tersebut ialah, tayar ini dikeluarkan oleh kilang pada minggu ke-25 tahun 2011.
Penting untuk tahu tarikh supaya anda tahu tayar yang anda beli adalah baharu.
Admin nasihatkan agar membeli tayar tidak lebih dari empat ke lima bulan selepas pengeluaran tayar dari kilang.
Jadi anda dapat pastikan tayar anda baharu dan cukup masa untuk proses pematangan getah. Getah kalau terlalu lama akan dapat macam-macam masalah.
Ia menyebabkan tayar jadi keras, mudah retak, menggelembung, mengurangkan cengkaman pada jalan, sekali gus berpotensi berlaku kemalangan serius.
Elakkan guna tayar yang sama lebih dari empat tahun meskipun bunga tayar masih tebal.
Maklumlah, ada sahaja pemandu yang jarang menggunakan kereta. Mungkin sebab jarang guna kenderaan tersebut atau kereta terlalu banyak.
Keluar sahaja sedikit duit utk tukar tayar baharu agar keselamatan lebih terjamin.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada anda!
Kredit: Facebook Pakar Tayar Kereta
Kredit Maskulin
Kredit Astroawani

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.