SLIDER

Isteri Mualaf Ditinggal Semasa Pantang


MASA belum dapat macam-macam ‘diayat’, sampai tergoda dan tinggalkan keluarga kerana cinta dengan harapan orang yang dicintai akan melindungi hingga ke hujung nyawa.

Belum pun hilang wangi bunga rampai dan bunyi kompang dari telinga, dia mula buat perangai. Alasan tidak mahu menghampakan permintaan ibu. Mudahnya lelaki buat keputusan.

Begitulah habis madu sepah dibuang. Demikian mukadimah saya minggu ini. Nak tahu kisah lanjut, kita ikuti cerita Efa (bukan nama sebenar).

Ini ceritanya.

“Saya berusia awal 30-an, seorang mualaf yang berkahwin dengan Asnan (bukan nama sebenar) sejak tiga tahun lalu. Kami dikurnia­kan seorang anak lelaki berusia dua tahun.

“Saya hanya seorang kerani di sebuah syarikat kecil yang berurusan dengan kontraktor. Gaji pun tidak seberapa. Saya berkahwin dengan Asnan setelah jatuh cinta dengannya sebab dia selalu datang berurusan di tempat kerja saya.

“Pada mulanya, saya risau juga sebab kami berlainan agama dan adat tetapi dia menyakinkan saya yang dia akan menjaga saya sampai ke hujung nyawanya.

“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang. Itu di awal perkahwinan kami. Namun ujian rumah tangga untuk saya sangat hebat.

“Kami berkahwin tanpa restu ibu bapa dan keluarga Asnan. Ibunya membantah keras hajat dia memperisterikan saya. Tapi dia nekad mengahwini saya ke­rana tidak mahu berpisah dengan saya.

“Kami bernikah di pejabat agama sebulan selepas saya memeluk Islam. Alhamdulillah, bos tempat kerja saya juga membantu urusan tersebut untuk kami.

“Setelah bernikah, kami menyewa sebuah rumah berhampiran tempat kerja saya sementara Asnan berulang alik ke tempat kerjanya kira-kira 25 kilometer dari rumah kami.

“Di peringkat awal, Asnan sa­ngat penyayang. Saya kagum dengan sikap penyayang yang dia tunjukkan kepada saya. Janjinya, tidak akan sia-siakan saya, saya pegang sampai hari ini.

“Keadaannya mula berubah selepas anak sulung kami lahir. Semasa saya dalam pantang, dia tidak pedulikan saya. Dia kerap balik ke rumah ibunya yang mana sebelum ini, dia tidak pernah buat kerana keluarganya tidak terima saya.

“Masih saya ingat kata-katanya yang dia tidak akan balik ke rumah ibunya sehingga mereka semua menerima saya. Tapi keadaan menjadi sebaliknya. Saya tidak mahu cerita kenapa kerana saya tidak mahu berburuk sangka dengan dia dan keluarganya.

“Semasa saya dalam pantang sebulan, sampai ke telinga saya khabar sedih. Suami kahwin lagi atas permintaan ibunya. Hancur hati saya. Sedihnya hanya Allah yang tahu. Saya menangis berminggu-minggu, memeluk bayi kami yang tidak tahu apa-apa.

“Ketika saya sedang bergelut dengan anak yang masih belum habis pantang dan keadaan kesihatan yang belum sihat sepenuhnya, Allah uji saya. Mujur ada seorang kawan, Nasha namanya yang prihatin dengan saya membantu.

“Setelah lebih dua bulan Asnan tinggalkan rumah dan tinggal bersama isteri baharu di rumah ibunya, saya mula memikirkan masa depan saya. Apa akan jadi dengan saya dan bayi yang tidak berdosa ini.

“Bagaimana saya hendak te­ruskan hidup. Suami tidak balik, makan minum saya tidak diberi, nafkah entah di mana. Akhirnya saya mengambil keputusan tinggalkan rumah sewa kami dan menumpang tinggal bersama Nasha, ibu tunggal kepada dua orang anak. Walaupun saya tahu berdosa tinggalkan rumah tanpa izin suami, tapi saya terpaksa. Itu sahaja jalan terbaik untuk masa depan saya.

“Sejak itu, Asnan tidak pernah mencari saya dan anaknya. Kini, telah dua tahun lebih berlalu. Asnan tidak muncul lagi dalam hidup saya. Dia bahagia dengan isteri pilihan ibunya. Saya terus memendam rasa membesarkan anak kami yang kini berusia dua tahun.

“Kasihan anak saya, dia tidak tahu siapa bapanya. Dia membesar bersama anak Nasha seperti adik beradiknya. Dan saya de­ngan Nasha seperti adik beradik kandung, saling bantu membantu, mana yang perlu.

“Saya terus bekerja untuk menyambung hidup. Gaji saya campur kerja lebih masa cukup untuk kami dua beranak, bayar sewa rumah berkongsi dengan Nasha dan belanja dapur dan susu anak. Walaupun Nasha tidak mahu ambil, saya bagi juga sebab tidak mahu membebankan dia.

“Saya telah memfailkan perceraian di mahkamah. Saya ada alasan kukuh untuk berbuat demikian, lengkap dengan buktinya sekali. Saya harap kes ini akan dipermudahkan. Jika dia tidak mahu ceraikan, saya akan tuntut fasakh.

“Saya tidak akan kembali kepada keluarga asal saya kerana mereka juga telah membuang saya sebab berkahwin dengan Asnan dahulu. Insya-Allah saya akan kekal dengan Islam, begitu juga dengan anak saya yang diberi nama Muhammad Azhar.

“Saya sangat terhutang budi dengan Nasha yang mengambil berat akan kami dua beranak dan mendoakan agar dia sentiasa dalam rahmat dan perlin­dungan Allah. Kami telah mengaku saudara dunia akhirat dan berjanji akan mengharungi hidup ber sama walau dalam susah atau senang.

“Dalam masa yang sama, saya mendalami agama Islam, mengaji dan belajar solat dengan seorang ustazah yang sudi mengajar saya secara sukarela.

“Semasa bersama Asnan, dia tidak menjadi imam dan keluarga yang baik dan sempurna untuk saya. Semoga Allah buka pintu hati saya dan pancarkan nur 
di hati saya untuk menjadi seorang wanita dan ibu solehah. Amin.

“Doakan saya dan anak saya. Tentang Asnan, saya mendoakan dia sedar akan perbuatannya dan menjalankan tanggungjawabnya terhadap Muhammad Azhar walaupun saya tidak begitu mengharap. Jika tidak, berjawablah di akhirat nanti,” kata Efa menamatkan ceritanya.

Apa lagi yang mampu saya katakan. Simpati saya yang teramat sangat untuk Efa, tapi saya tahu Efa seorang wanita yang tabah dan cekal. Allah tidak akan me­nguji hambanya yang dia tahu tidak mampu menerima ujianNya.

Semoga Allah permudahkan urusan hidup Efa dan 
kurniakan kebaikan kepadanya dan anaknya di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, lupakan kesedihan kerana hidup tidak akan tenang andai kita selalu memikirkan perkara negatif. Bangkit dan cipta kebahagiaan dengan kembali kepada Allah SWT.

Salam

No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.